.: secukup rasa [21] :.

AMAR menghempas tubuh pada sofa di bilik kerjanya. Kepenatan. Banding hari selalu, hari ini dia paling penat. Mana tidaknya kalau seharian dia bertungkus mengerjakan pekerjaan yang diperlukan untuk satu minggu ini. Dia mengejar apa sahaja pekerjaan yang perlu dihabiskan dalam lima hari. Mana tak serupa ini jadinya.
“Kenapa kau buat macam ni, Amar? Ni dah kes dera tau.”
Ucapan Hadi yang duduk di sofa berangkai di sebelah buat Amar buka mata. Kepala yang masih bersandar dibiar saja. Dia pandang Hadi begitu. Gaya orang penat belum hilang begini, kalau dengan Hadi, dia tidak kisah. Tidak perlukan topeng muka persona yang selalu dia guna pakai. Selamba Amar angkat sebelah kening.
“Jelas. Kau tengah dera diri dengan habiskan kerja satu minggu dalam masa satu hari. Dah dekat pukul 9.00 dah ni. Dengan aku-aku sekali kena dera. Ah...” Mengeluh Hadi, buat-buat serius. Padahal bukan kisah sangat pun perlu balik waktu begini. Lebih lewat pun pernah. Kerana Amar jenisnya kalau sudah terlalu taksub dengan kerja pada satu-satu waktu, dia perlu ada sama. Dia harus memantau. Pantau supaya Amar tak lupa diri. Jika tidak, Amar akan terus menghadap kerja saja.
Namun, kerja keras itulah antara rahsia berjayanya Setia Pertiwi di bawah naungan Amar.
Ramai menyangka Amar seorang genius. Kerana itulah Setia Pertiwi bukan saja berdiri berdiri sempurna sebagaimana sebelumnya, malah lebih gah dan kian menjadi sebutan lagi. Hakikatnya, Amar bukanlah genius yang tidak mengadun usaha dalam mencapai apa yang Setia Pertiwi ada kini. Amar berjerih, Amar bersusah. Cuma banyak mata menutup pandang, seperti tidak nampak akan hal itu sebaliknya sewenang meletak kenyataan bahawa Amar itu ada sentuhan emas pada setiap apa disentuhnya. Midas.
Sedang Amar, hanyalah manusia yang berusaha dalam mendapatkan sentuhan Midas itu.
“Baliklah. Yang ikut aku ke sini kenapa? Balik, lepaskan rindu kau kat Wid. Dia mesti tunggu kau.”
Hadi ketawa. “Tak ada maknanya. Sah dia dah tidur tu. Kata nak tidurkan budak-budak, sekali dengan dia-dia sekali lelap.” Berkata begitu, Hadi mengukir senyum. Senyum mengingat, senyum mengenang.
Melihat Hadi yang begitu, entah mengapa terpalit cemburu di hati Amar. Bukan datang kerana Widelia, tidak juga kerana Hadi. Ia datang kerana apa yang kedua-dua sahabat baiknya itu ada. Dan ia baru hendak datang semenjak dua menjak ini. Awal dulu, sebelum ini, tidak pula cemburu sebegini menjengah rasa. Amar faham sangat mengapa timbulnya perasaan cemburu sebegini. Jelas yang sangat walau cuba dinafi-nafi. Dia cemburukan apa yang Hadi ada bersama Widelia. Dia cemburukan akrab hubungan dan dalamnya sayang antara pasangan suami isteri itu.
Kerana Amar tidak pernah berpeluang merasa ia.
Hubungannya dengan Maiya tidak bermula begitu dan berakhir pun tidak begitu. Hubungannya dengan Maiya hubungan ah-dia-calon-isteri-terbaik-CEO-Syarikat-Pertiwi. Hubungan mereka memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak, ada timbal balik. Dia tidak memberi lebih, Maiya tidak meminta lebih. Hubungan sekadarnya. Lebih sebagai rakan kongsi daripada suami isteri.
Sebelum-sebelum ini, bertahun-tahun sebelum ini, Amar tidak pernah fikir lebih perihal perkahwinannya dengan Maiya. Ia pernah bermula dan berakhir apabila Maiya meninggal dunia. Begitu saja. Hilangnya Maiya pun dia tidak rasa sampai ke hati. Ah, Maiya dah tak ada. Ah, isteri aku dah tak ada. Ah, mama Aisy dah tak ada. Itu saja antara kelumit rasa yang sentuh hati. Sedih itu ada, tapi tidaklah sampai dia rasa hilang dan kosong. Malah tidak juga rasa ada yang pincang dalam kehidupannya selepas itu.
Namun, beberapa hari ini, semenjak Zunah kembali ke rumah ini, dia selalu terfikir-fikirkan arwah Maiya. Cuba menjejak apa yang mereka pernah ada, dalam tiada. Dan sejak itu juga dia pandai cemburu lihat kemesraan Hadi dengan Widelia. Cemburu kerana dia tidak memilikinya bersama Maiya dulu malah mungkin saja tak akan merasa ia bersama Zunah.
Zunah benci dia. Zunah mahu berkahwin dengan dia kerana terpaksa. Akan sampai manakah hubungan paksa yang intinya rasa benci? Amar mengeluh sendiri.
“Apa halnya ni, Amar? Kau lain macam satu hari ni. Dah bertungkus lumus serupa orang tak kenal penat, sekarang, asyik mengelamun, asyik mengeluh. What’s wrong actually? Something to do with your wife to be?”
Amar senyum tipis. “Kenapa ya, Hadi, kau cakap okey dengan permintaan Wid hari tu?”
Berkerut sekejap dahi Hadi hendak fahamkan. “Hari tu? Hari bila?”
“Hari Wid propose kau. Give me a baby…”
Hadi pandang seketika Amar. Bukan pandang yang biasa-biasa. Namun pandang yang ada erti. Akhirnya Hadi senyum. “Aku tengok mata dia… dan aku nampak yakin, pasti. Dia tak main-main. Dia sangat serius. Hubungan aku dengan Wid awalnya macam kau dengan Zunah sekarang nilah…”
Amar tertawa perlahan. Sekejap saja. “Aku tau kau nak sedapkan hati aku, Hadi. Tapi contoh yang salah kau guna tu. Aku dibenci Zunah, sepenuh hati. Tu permulaan hubungan aku dengan Zunah. Sedang Wid… dia tak benci kau. Dia selesa dan senang dengan kau. Zunah…” Diam. “Tak selesa atau senang dengan aku.”
“Kau tau tak kenapa Wid propose aku hari tu?”
Amar geleng perlahan. Sungguh dia tidak tahu. Bukan tak ada dia soal Widelia. Ada. Namun Widelia asyik tunjuk gigi. Bila dia dah mula rasa nak buat Widelia kutip gigi apabila asyik beraksi begitu, sudahnya Amar tak soal lagi. Biarlah rahsia.
“She was pressured by her family into marriage with someone she doesn’t know. After she was pressured into making herself… your wife.”
Amar sentak. Tidak menyangka pula. Sangka Amar Widelia tidak pernah mengalami keadaan sebegitu. Didesak keuarga pasal hal nikah kahwin apatah pula didesak dalam mendapatkan dia sebagai suami. Widelia yang dia kenal orangnya selalu ceria, bagai tiada hal. Masalah atau penekanan sepertinya tiada ke atasnya. Hidup Widelia nampak mudah. Bekerja, sibuk dengan kerja, kemudian berhenti. Habis rutin itu, cari kerja baru dan mulakan rutin yang sama. Widelia relaks sahaja dengan dunianya yang sebegitu. Tidak pula Amar perasan bahawasanya mata kasarnya sekian waktu itu hanya dibohongi.
“Dia sangat tertekan. Tapi dia tak cakap kat kau, kat aku. Tapi hari tu… kata Wid lepas kami kahwin, dia fikir satu aje. Daripada dia kahwin dengan entah siapa… atau dipaksa-paksa supaya perangkap kau sebagai suami, baik dia cari alternatif lain. Dan alternatif itu aku. Sebab aku lelaki kedua rapat dengan dia selepas kau. Dia tau dia takkan jadi isteri kau sebab dia tak boleh bayang jadi satu lagi Maiya. Dia Wid. Wid yang suka ambil masa sendiri dalam buat apa dia nak dan bukan jenis ditetapkan langkah dia, dihadkan jalan dia. Jadi, dia pilih aku. Dia sanggup masuk perkahwinan tanpa cinta, tanpa sayang, dengan aku. Bukan ke kau dengan Zunah pun sama? Tanpa cinta, tanpa sayang?”
“Perkahwinan aku dengan Maiya bermula dengan… tanpa cinta, tanpa sayang. Tapi lepas hidup dengan Maiya selama tu, aku mula sayang dia… hargai dia. Dia isteri aku, dia mama Aisy. Dan kau pulak, dengan Wid… walaupun permulaannya kosong perasaan, tapi sekarang hangat menggebu-gebu. Kalah pengantin baru aku tengok.”
“Sebab malam aku tau pasal apa Wid cakap tu… aku berjanji takkan terus dengan perasaan kosong. Aku isi, dia isi…” Hadi sengih nakal. “Lama-lama Wid pun berisi.” Hadi gelak sakan.
Amar pula tersenyum sambil geleng kepala dengan ayat 18SX sahabatnya itu.
“Kau nak tau isi apa aku guna sepanjang hubungan kami, sampai sekarang?” Apabila Amar jongket dagu sedikit, mahukan kata lanjutnya, Hadi sambung , “Aku tak mencintai Widelia yang sempurna. Tapi aku mencintai Wid aku, yang degil, yang kadang fikir dia aje betul, yang kadang cari pasal tak menentu dengan aku, merajuk tiba-tiba…” Senyum. “Wid yang tak sempurna… aku mencintai dia dengan sesempurna mungkin. Sebagaimana dia sayangkan aku yang tak sempurna, sesempurna mungkin.”
“Mmm…” Amar berkerut dahi. “Aku agak tak faham.”
Tersenyum, Hadi bangun daripada duduknya. “Benci Zunah pada kau tu adalah ketidaksempurnaan Zunah. Sayang benci, dakap benci tu. Sayang Zunah yang tak sempurna, sesempurnanya.”
Bersama nasihat yang lebih-lebih buat Amar kerut dahi dan muka, Hadi berlalu ke pintu bilik kerja Amar, mencapai tombol. Sempat dia kerdip mata kepada Amar yang nyata sangat tidak faham apa yang dia baru kata. “Aku balik dulu. I miss my wife already… Assalamualaikum, Amar. Have a rest.”
Mengangguk tanpa sedar, Amar biar saja Hadi berpergian tinggal dia sendiri. Tinggal dia yang masih cuba cerna makna mendalam yang cuba Hadi sampaikan. Ada masa kawan baiknya itu suka member nasihat dalam bentuk jalan jauh dan bukan lebuh raya. Konon hendak Amar lebih menghargai nasihat diberi. Nak hargai apanya kalau faham pun lepas sepuluh tahun!
Malas memikirkan nasihat Hadi yang dia hanya akan faham sepuluh tahun nanti, Amar bawa mata ke pergelangan tangan. Jarum jam yang sudah lebih jam 9.00 mendetikkan sesuatu.
“I miss my wife already….”
Bicara akhir Hadi itu menjengah. Lalu hati jadi panas dengan perasaan yang susah hendak dia tafsirkan. Keinginan ikut membuak. Amar hendak melihat paras Zunah. Amar mahu mendengar suara Zunah. Bingkas, sambil melonggarkan lagi tali leher dan menyingsing lengan kemeja ungu cair pada tubuh, Amar memanjangkan langkah, keluar dari bilik kerjanya. Dan ketika itulah dia berpapasan dengan Mokhtar, lelaki 50-an yang kini menjadi ketua pembantu rumah agam itu.
“Mokhtar, Aisy dah tidur?” tanya Amar sambil melarikan langkah, tanpa berhenti. Lelaki bernama Mokhtar itu beriringan dengannya. Memikirkan langkah Mokhtar yang lebih kecil atas faktor ketinggian dan usia, Amar mengecilkan langkahnya. Masih ada rasa perikemanusiaan berbaki. Tambah apabila mengenang lelaki itu sudah banyak berjasa kepada rumah agam itu semenjak tiada Maiya dalam memastikan urusan rumah agam tersebut.
“Belum, Tuan Amar.”
Henti sekejap kaki Amar. Hairan. “Belum? Dah 9.00 lebih masih belum?”
Mokhtar berdeham-deham. Seperti tiada keyakinan hendak bersuara ataupun tidak. Namun apabila perasankan mata tajam Amar yang kian mengecil dan mencengil melihatnya, berdeham kuat, terus Mokhtar berkata, “Aisy masih kat nusery. Dengan Cik Zunah dan adik, mmm… maksud saya Firhal.”
“Nursery?” Amar kembali atur kaki, laju tanpa kisahkan singkat langkah Mokhtar di belakang, yang mengejar.
Amar terus bergerak ke apartmen di sebelah selatan. Rumah agam itu mempunyai sayap utara dan selatan. Untuk memudahkan, Maiya menamakan apartmen selatan dan apartmen utara. Apartmen selatan dipenuhi dengan bilik pengasuh, bilik tidur tamu yang boleh memuatkan 10 orang lagi sesudah antara bilik yang ada diisi Pak Cik Aiyub, Mak Cik Faizah serta dua anak bujangnya. Ada sama bilik tamu yang Maiya panggil bilik menyambut, di mana tetamu yang datang bertandang dilayan di sana, juga bilik makan tamu yang mempunyai meja makan yang dapat memuatkan hampir 20 orang serta bilik muzik yang diisi dengan piano kerana Maiya cukup suka memainkannya kepada pengunjung rumah itu.
Manakala apartmen sebelah utara pula diisi bilik tidur keluarga. Ada bilik tidur Amar, ibunya serta Aisy. Kini bertambah pula dengan bilik tidur Zunah, yang dikongsi bersama Firhal. Malah Amar sudah pun minta Mokhtar memastikan sudah ada dua bilik untuk dua lagi adik Zunah. Dan masih ada beberapa lagi bilik tidur serta sebuah perpustakaan mini yang dipenuhi dengan novel-novel Melayu kegemaran Maiya. Perpustakaan mini yang isinya sudah tidak bertambah lagi sesudah tiadanya Maiya. Selain bilik keluarga, di apartmen utara juga terdapat bilik-bilik pembantu rumah di rumah agam itu. Hanya beberapa orang yang bujang. Malah, Mokhtar sendiri tinggal di situ semenjak dulu.
Sebaik tiba ke apartmen selatan, Amar terus sahaja mendapatkan bilik yang dijadikan nursery di situ. Bilik yang jadi tempat Aisy yang berusia lima tahun belajar atau bermain. Di bawah pengawasan pengasuh yang disediakan, Aisy harus dipastikan mempelajari apa yang perlu sebagai bakal pewaris Setia Pertiwi dan dibolehkan bermain setakat yang perlu. Aisy semenjak usia kecil sudah diasuh oleh Maiya, dengan setuju Amar, untuk menjadi seorang genius. Maiya sangat menitikberatkan hal itu dari segala segi, termasuk makan minum, tutur adab serta pembawakan Aisy. Aisy sudah didewasakan sebelum usia oleh mereka, dengan kawalan ketat oleh pengasuh yang bersama Aisy semenjak anak itu dilahirkan.
Jadi, atas sebab itulah Amar terkejut sakan apabila menolak pintu bilik nursery yang sedikit menganga.
Zunah duduk di atas lantai, sebagaimana Aisy dan Firhal. Zunah duduk bersila itik, Aisy dengan lutut memangku lantai dan agak menonggeng manakala Firhal duduk mengangkang bersandarkan tubuh kakaknya. Zunah dengan telapak tangan comot. Aisy juga sama. Firhal pula mulut comot.
“What’s happening here?” tanya Amar bercekak pinggang di hadapan pintu bilik nursery yang sudah menganga. Sebagaimana mulutnya, tak percaya.
Suara yang bergema tiba-tiba dan agak keras lantunannya mengejutkan Aisy yang sedang menonggeng sambil melekapkan sesuatu di tangan pada kertas di atas lantai. Tertiarap Aisy jadinya. Zunah yang seperti Aisy sedang memberi perhatian pada sesuatu di tangan, terus menjerit terkejut sambil baling ‘sesuatu’ di tangan itu ke belakang, sambil mulut melatahkan, “Oh mak kau terkejut!”
Amar yang sudah sedia terkejut jadi lebih peranjat dengan latah Zunah. Minah salih celup melatah, bukan selalu dapat tengok. Sah bahana keluarga baru Zunahlah. Kemudian mata Amar terus ke tubuh lampai dan berisi yang baru dia perasan sejak tadi berdiri di belakang Zunah. Yang tadinya mungkin saja mencerun marah, setakat Amar kenal pengasuh Aisy itu, kini sedang menyambung latah Zunah dengan, “Oh kau aku terkejut!”, kemudian capai ‘sesuatu’ yang terkelepek elok pada muka tembamnya. Pengasuh Aisy yang Amar tak pernah ambil tahu nama selain panggil Pengasuh itu, yang selalunya tahu hendak bermuka serius lagi garang, ketika ini nampak seperti hendak menangis sangat-sangat, sambil pandang ‘sesuatu’ yang sudah ada di tangannya.
Amar tilik dari jauh ‘sesuatu’ itu. Memicing mata hendak tangkap ‘sesuatu’ yang rupanya macam… ubi?!
Masih tidak dapat menerima hakikat, Amar alih mata kepada Zunah yang masih duduk bersila itik di atas lantai, sambil memeluk Firhal di kiri dan Aisy di kanan, memandang dia serupa hendak menelan orang. Dan orang pilihan Zunah itu adalah dia. Namun… Amar lebih nak tahu…
“Ubi?”
Zunah angkat tinggi muka. Macam beri amaran pun ada.
Lalu Amar jadi perasan pada comot muka Zunah, sebagaimana telapak tangan Zunah. “Watercolor?”
Amar langsung tidak dapat apa kaitan ubi dengan watercolor, sampailah dia lihat kertas di depan Zunah, yang sudah dicop-cop dengan hiasan watercolor pelbagai corak dan hirisan kulit ubi serta isi ubi di atas surat khabar, sedikit jauh daripada Zunah. Ada sama pisau lipat di situ. Bilik nursery yang selama ini jadi kebanggaan Pengasuh nampak seperti dapur master chef sesat!
“Zunah buat apa ni?!” Amar teran satu demi satu ayat menahan rasa.
Aisy memeluk lengan Zunah erat, sembunyi muka.
Firhal masih malas-malas bersandar pada Zunah, sambil gigit ubi di tangan.
Zunah pandang berani orang yang dia hendak telan, yang kini sepertinya hendak telan dia.
Dan tiba-tiba Pengasuh muka jiwa kental Iron Lady mula menangis hiba…
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 01, 2012 11:45
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.