Bikash Nur Idris's Blog, page 23

April 25, 2012

.: cinta datang lagi [1] :.

Mac 2006
SERBA putih—itulah tema perkahwinan itu. Keluarga pihak lelaki, sanak saudara sebelah perempuan. Juga pasangan yang diraikan sendiri—Jaspal dan Shereen. Malahan, ruang dewan yang ditempah khas untuk majlis resepsi perkahwinan itu juga galak tampilkan warna penuh kesucian itu.
Mempelai lelaki kelihatan tampan dengan kot berwarna putih manakala pengantin perempuan tampak menawan dengan gaun ringkas yang juga berwarna putih. Tema moden dan santai menjadi pilihan majlis resepsi malam itu. Sayang sekali, suci sepasang pakaian pada tubuh tidak menunjuk pada suci dua keping hati itu menerima perkahwinan ini.
Mata itu meneliti raut Jaspal dan Shereen. Ada senyum, ada ceria. Namun cuma plastik sahaja. Dia tidak tertipu sebagaimana pihak keluarga lelaki atau sanak saudara sebelah perempuan. Senyum kaku yang sudah dilatih sejak awal, yakinnya. Kerana kalau senyum itu ada kebenaran, takkan mungkin mata menangkap kepalsuan. Mata tidak pernah bijak membohongi. Itulah pengajaran yang dipegangnya hingga kini.
Dia tidak ke mari untuk lihat wajah mendung pasangan itu, yang sama-sama menerima pilihan keluarga kerana itulah mahu yang lebih tua. Orang tua mereka mahu menukar hubungan rakan kepada keluarga, sekali gus memastikan anak-anak tidak hilang diri dalam cinta yang dipisahkan agama.
Dia juga bukan ke sini demi lihat raut duka pasangan itu, yang sama-sama menerima diri sendiri di luar rela kerana hati masing-masing sudah dihuni cinta lain. Cinta kepada insan berlainan agama dan bangsa. Bukankah di hati itu semua tidak terlihat?
Tapi, hati yang tidak pernah terlihat percaya atau setia, mudah sahaja cinta terundur. Sebaik pasungan jual beli langsai, ia menjauh pergi.
Cinta Shereen Nair, seorang gadis Singh dan sayang Jaspal, seorang pemuda Singh, tewas juga di pertengahan. Cinta hanya boleh menang kalau hati dan perasaan benar-benar menginginkannya. Sekalipun mata masih menyatakan keninginan itu, tiada guna apabila percaya dan setia hilang bersama palsu senyum pada wajah.
Keluhan terlepas.
Tanpa tahu ada diri terdengar, ada mata yang tertampan. Lelaki itu mula menilik setiap aksi si genit itu. Terdorong tanpa mahu, terikut di luar sedar. Si genit bangun dan sang jejaka mengekor.
Raisya terus membawa langkah ke luar dewan yang indah dihias itu. Sudah tidak mampu duduk di mejanya sambil menghantar mata pada dua batang tubuh di hadapan dewan. Juga tidak mampu tabahkan diri melihat senyuman tidak lekang pada bibir kedua mempelai yang telah selamat mendirikan rumah tangga demi satu sebab yang sama; kehendak dan keinginan orang tua.
Dan, yang paling tidak mampu dilakukan adalah menerima kerlingan demi kerlingan daripada sepasang mata pengantin lelaki itu, yang telah menghampar janji tanpa memenuhi.
Ah, alangkah bagusnya jika dia boleh benci lelaki itu—yang menganyam cinta di hatinya perlahan-lahan namun menghadiahkan derita sekelip mata. Tapi dia tidak boleh benci apa pun yang ada pada lelaki itu. Kerana jauh di sudut hati yang masih punya sisa keluhuran, dia tahu lelaki itu sama menderita. Sepertinya.
Kerlingan demi kerlingan itulah yang membicarakannya.
Keluhan terluah. Berpeluk tubuh, Raisya terus menghantar kaki ke satu sudut yang paling sunyi. Kerana sunyi itu menyampaikan maksud hatinya kala ini. Dan, dia mahu dihuni sunyi ini!
Dia tidak boleh terus duduk di dalam dewan itu, yang diisi batang-batang tubuh, sama ada daripada keluarga pihak lelaki atau saudara pihak perempuan. Tidak juga boleh berdiri di kalangan teman-teman pihak lelaki atau rakan-rakan pihak perempuan.
Dia sesak. Dia sebak. Maka sunyi jadi pilihan.
Raisya akhirnya mematikan langkah, berdiri merenung ke hadapan, tanpa tahu apa yang sedang direnung. Fokusnya tiada dan lama-kelamaan hanya kekaburan. Kolam matanya kian memberat, lalu dia menyerah diri. Akur pada rontaan hati, rintihan jiwa.
Perlahan-lahan mata dipejam, membiarkan sahaja air hangat itu jatuh menitik ke pipi. Mengalir deras semahunya. Memang dia cuba mengawal diri sejak di dalam dewan lagi, namun jika air jernih ini punya pandangannya sendiri… siapa dia untuk menghalang! Lalu dia akur bila ia terus menitis.
Titik, titik dan titik!
“You tak apa-apa?”
Soalan daripada suara garau itu merampas sunyi!
Raisya tersentak. Mahu menjerit dek sapaan mendadak itu, dia hilang suara. Ditelan sebak yang menjalar. Seketika tadi dia sangka itu suara kekasih hatinya—bekas kekasih hatinya! Tapi dia tahu dia silap.
Suara pemuda kesayangannya itu bukan begitu. Suara ini mungkin garau dan kelakian, namun ada serak. Beza sekali!
Raisya mengesat air mata lalu membuka mulut, bersuara. “I okey. Okey!”
“But, you’re crying!”
Suara itu seolah-olah menyalahkan dia kerana menangis. Serentak itu hatinya jadi berang.
Suka hati akulah nak nangis ke, nak meraung ke! Mata aku, air mata aku! Kalau air mata aku kering sekalipun, tak adanya aku nak minta kau sedekahkan air mata kau tu! Malahan kalau aku nangis air mata darah sampai tak cukup darah untuk tubuh aku pun, aku tetap tak akan minta kau dermakan darah kau untuk aku!
Ada faham?!
“Dan, itu adalah satu kesalahan? Tak ada pun tanda Dilarang Menangis kat sini! Atau ada, tapi I yang tak nampak?” tanya Raisya geram, tanpa memaling muka ke arah pemilik tubuh yang diyakininya hanya beberapa langkah di belakangnya.
“Now, you’re angry!”
Suara yang masih mendesah pendengaran Raisya itu tidak berubah. Tetap tenang. Sedang dia sudah berubah intonasi. Daripada cemas menjadi berang dan kini… geram.
“Oh! Bukan sahaja Dilarang Menangis tapi Dilarang Marah pun ada!”
Dengan bibir terketap, Raisya akhirnya menoleh muka dan batang tubuh sekali gus. Mahu menyambung sindirannya tapi dia terbungkam. Terkedu dengan mata tidak berkerdip.
Pemuda itu bermuka tenang, tanpa riak. Menentang kemas raut Raisya. Menjadikan Raisya mula tidak menentu. Serba tidak betul.
“I know you!”
Bingkisan kata pemuda itu membuatkan Raisya mengerutkan dahi. Dia memberanikan diri, mahu bertentang mata dengan pemuda itu namun dia tidak berdaya. Sapaan mata itu buat dia tidak turah dengan debar tidak putus dalam dada.
Kenapa ni? Aku kena heart attack ke? Tapi, macam ni ke rasanya kena heart attack?
“Ya, I memang kenal you! You sepejabat dengan Jaspal, kan?”
Senyuman pemuda itu cukup manis menggoda namun ianya tidak mampu halangi sebak yang tiba-tiba menghimpit dada, menghalau debar tadi lalu ianya meresap ke seluruh ruang jiwa. Tangisan Raisya pecah mendadak, hanya kerana nama pemuda pujaannya disebut.
Jaspal, kekasih yang kini telah pun menjadi seorang suami—suami perempuan lain!
Lelaki itu jadi kaget. Tidak sama sekali menyangka begitu sekali penangan nama Jaspal. Dia tidak faham mengapa gadis itu, yang diyakininya muda beberapa tahun daripadanya—mungkin dua tahun, mungkin tiga tahun, mungkin… argh, tak penting pun semua tu!—tiba-tiba sahaja meraung begini.
Dia juga cukup takjub dengan kebolehan luar biasa gadis ini; sekejap menangis, kemudian melenting, tiba-tiba tayang muka geram semacam dan kini menangis semula! Pencapaian Guiness Book of Records betul!
Dia terus memandang gadis yang masih teresak itu. Dia memang pernah melihat gadis ini bersama Jaspal. Dia amat yakin. Jadi, mengapa pula gadis ini mendadak meraung begini? Malahan dia cukup pasti, adiknya, Neesa, pun akan kalah dengan raungan si manis ini.
“You’re staring at me!” ujar Raisya kembali tidak selesa. Kalau ikut hati, dia masih mahu hamburkan air mata yang diperam selama ini. Belum puas rasanya.
Namun sepasang mata sepet itu menghalangnya daripada memakbulkan keinginan hati. Pautan renungan itu seolah sedang cuba menyelami dirinya malahan di luar sedar cuba memujuknya. Walau dia amat yakin bukan itu tujuan kedua-dua anak mata hitam itu meratahi rautnya.
Mungkin pemuda ini sedang cuba selesaikan satu teka-teki hebat dalam menjawab satu soalan mudah: Minah ni baru keluar dari Tampoi atau Tanjung Rambutan? Tentu mamat ini hidup-hidup sangka dia sudah hilang akal. Dan, renungan tanpa jemu itu masih ke segenap inci wajahnya.
“You’re still staring at me!” tekan Raisya lebih tegas, antara esak. Mahu si tampan yang berdiri beberapa kaki di hadapannya tahu dia amat tidak selesa dengan kelakuannya itu.
Namun si tampan terus merenung.
“Macam mana you boleh buat macam tu?”
“Apa?” Raisya jadi pelik. Pemikirannya pun sama beralih. Rasanya dia yang perlu menyoal; Mamat ni keluar dari Tampoi atau Tanjung Rambutan?
“Bercakap dalam nada tegas sambil teresak? Satu pencapaian yang mengagumkan. Adik I sendiri tak mampu buat macam tu!” Pemuda itu jadi teruja.
Sesuatu yang tidak boleh dicapai oleh adik kesayangannya, tentulah akan timbulkan perasaan sebegitu.
Raisya terkebil sekejap. Sudahnya tawa halus terletus. Jika tadi tangan kanannya ke mulut, menutupnya demi menahan agar tiada esakan yang pecah didengar kuat, kini ianya kembali ke situ demi menahan tawanya daripada menerpa gegendang telinga pemuda ini.
“You memang hebat!” kata pemuda itu sambil mengangkat kedua-dua belah tangan sedikit tinggi. Seolah menyerah kalah dalam cuba menyelesaikan satu misteri X-Files.
“Kita baru jumpa, belum cukup lima minit, tapi you dah nangis, marah, geram, nangis dan ketawa. I rasa you kena jumpa adik I untuk tunjuk kehebatan you ni. Biar dia tahu ada yang lebih hebat. Dia juga tentu kagum, sebagaimana I.” Pemuda tersebut terus gelengkan kepala tanda tidak percaya.
Sementara Raisya, beberapa kali cuba mengawal tawa di balik esakannya. Namun dia gagal dengan cubaan sendiri. Gelaknya lepas. Lantang dan kuat. Malahan mata yang tadinya mengalirkan air hangat kerana sedih mendengar sebaris nama yang masih lekat dalam hatinya, kini sedang mengalirkan air mata lagi—kerana terlalu galak tertawa.
Ironis sungguh!
Tawa yang lahir dari sudut hati gadis itu, sebagaimana tangisan tadi, membuatkan bunga bibir sang jejaka perlahan-lahan terangkat. Muka kagumnya hilang. Diganti paras senang, seceria tawa gadis di hadapannya ini—yang sedang menutup mulut dengan tangan kanan dan memegang perut dengan tangan kiri dan badan sedikit menunduk.
Sudah lama rasanya dia tidak punya kemampuan untuk pamerkan rasa hati sebegini. Namun malam ini, daripada segala malam yang dilalui, boleh pula dia lakukannya.
“I dah...” Raisya menarik nafas dalam seraya cuba mengawal tawa.
Namun tidak berhasil. Hanya kerana jongketan kening serta segarit senyum daripada pemuda di hadapannya yang masih tenang dengan wajah senang. Gelaknya kedengaran seketika sebelum dia kembali mengawal diri.
“I dah apa?” soal pemuda itu mahu tahu.
“I dah lama tak gelak macam ni. Seems like ages! But… it’s good. Very good. Thanks to you.”
Pemuda itu melebarkan senyuman. Dia mengeluarkan sapu tangan dari poket seluar lalu diunjuk kepada gadis yang beria berterima kasih kepadanya, sedang di sudut hatinya sendiri dirasakan satu keperluan untuk dia nyatakan rasa terima kasih buat gadis ini.
“Nah, lap air mata you tu.”
Raisya menggoncang kepala. Menolak.
“Air mata gembira tak perlu dikesat. Hanya air mata sedih. Kalau you berikannya sebelum you buat I marah atau ketawa tadi, mungkin I dah terima. Tapi bukan untuk air mata ni.”
Pemuda itu mengangkat kedua-dua bahu. Sapu tangan kembali ke poket seluar.
“You selalu bawa sapu tangan ke mana pun?” tanya Raisya sekadar mengisi ruang hening yang mahu mengambil ruang.
Sekilas, dipandang lelaki tampan yang kelihatan lebih kacak dengan pakaian ala Bollywood seperti dalam filem Hindi. Kurta biru gelap itu kena dengan kulitnya yang putih bersih. Bukan selalu dapat tengok anak teruna berketurunan Cina pakai pakaian sebegini!
“Dah jadi habit sejak beberapa minggu. Mungkin dah susah nak buang!”
“Habit?”
“Hmm. Adik perempuan I selalu perlukannya. Jadi I ada sehelai dalam poket selalu. Sebenarnya untuk setiap poket seluar dah tersedia satu. Precaution!”
“You mesti terlalu sayangkan adik you untuk lakukan semua tu. Tapi... kenapa perlukan precaution sampai begitu sekali? Apa yang tak kena dengan adik you?”
Pemuda itu menyeringai. “She’s pregnant! Dia memang dah jenis emosional dan sejak pregnant ni dia selalu terlebih emo. Ada sesuatu dengan hormone, mungkin. Entahlah…”
Ketawa kecil Raisya meledak. “Adik you cukup bertuah sebab ada abang macam you.”
“I selalu cakap macam tu pada dia, tapi dia tak pernah percaya. Apa kata kalau you jumpa dia dan sampaikan pada dia? Those exact words!”
Raisya senyum tipis seraya mengangguk.
Pemuda itu membalas senyuman gadis itu sambil mata menyoroti raut hitam manis itu. Gadis ini benar-benar punya wajah gadis India. Lebih kepada heroin filem Tamil berbanding filem Hindi. Kalau tidak kerana selendang yang kemas melitupi setiap inci kulit kepalanya, dia tak mungkin jangka gadis ini seorang Muslimah.
Malahan gadis ini turut nampak lebih manis memadankan baju Punjabi satu sut berwarna hitam dengan pelbagai hiasan menarik dan unik pada bajunya. Kedua-dua belah tangannya dihiasi dengan gelang yang berpadanan. Selendang yang digunakan sebagai tudung kepala pula jelas sut yang sama dengan bajunya.
Wajah si manis ini nyata indah berselendang sedemikian. Kerana dia tahu tidak semua gadis pandai memperagakan selendang sebagai tudung. Sesetengahnya lebih sesuai bertudung litup sahaja. Neesa contohnya!
Namun selendang dengan gadis ini, cukup sesuai. Menaikkan seri wajahnya dan sesuai dengan bentuk mukanya. Selendangnya pun sempurna menutup bahagian dada. Bukan sekadar satu fesyen, seperti yang selalu dilihat kini. Menutup rambut, menutup dada—cukup syarat.
“You masih lakukannya. Masih renung I. Apa yang tak kena dengan I? I tak nangis atau marah atau geram dan nangis kemudian lagi! Jadi, kenapa you masih tengok I?”
Pemuda itu angkat bahu. “I tak boleh nak tahan diri!”
“Okey! Soalan yang selalu orang Tanya I bila tengok I, I ni campur ke. Tak, I memang pure Indian. Famili I peluk Islam.” Raisya tayang muka blur tiba-tiba. “Err, kenapa I bagi tahu you semua ni?”
“Entah. Mungkin you bosan sebab I asyik tengok you. Sebenarnya itu memang salah satu sebab I tak boleh kalih mata daripada you. You mengingatkan I pada dua orang yang berbeza!”
“I harap bukan seseorang yang you benci.”
“Kenapa cakap begitu?”
“Muka you sedikit berubah...” terang Raisya berhati-hati.
“Tak. Bukan orang yang I benci...”
Suasana sepi seketika.
Pemuda itu masih terus melihat Raisya dan Raisya sendiri masih terus menentang lelaki itu. Seolah menanti salah seorang daripada mereka menyahkan kebisuan yang cuba menghuni.
Tugas itu jatuh di bahu si pemuda sudahnya.
“Tak nak masuk?”
Raisya lekas menggeleng. “I rasa panas kat dalam tu.”
Pemuda itu melihat ke arah dewan. Walaupun mereka terlalu jauh dari pintu hadapan namun mereka berdua masih belum tersembunyi daripada batang tubuh lain yang turut keluar mengambil angin malam yang lembut menyapa wajah.
Malahan ada juga antara tetamu yang hadir sudah mulai beransur daripada majlis yang sudah berjalan selama dua jam lamanya.
Pemuda itu pandang Raisya semula. Boleh ditangkap resah gadis itu apabila mendengar perkataan masuk dalam soalannya tadi. Dia tidak tahu mengapa dia tahu, tapi dia tahu… sebagaimana dia tahu gadis ini juga tidak betah menjadi patung hidup di dalam dewan tersebut.
“I pun tak rasa nak masuk. Apa kata kalau kita duduk di mana-mana? Kita boleh berbual. Kalau you mahulah...”
Raisya tak fikir lama. Terus mengangguk, mahu!
Untuk berada di dalam dewan dia tidak sanggup. Untuk mengajak sunyi meladeni hatinya dia tidak boleh lagi. Pemuda ini tiba-tiba menjadi benteng tempat dia menyandar tubuh. Melepas lelah dan lemas.
Apa salahnya berbual dengan jejaka ini dan berkongsi rasa hati? Selepas ini dia tak akan mungkin menemuinya semula. Ini yang pertama, ini yang terakhir. Ya, apa salahnya?!
Dia hanya menuruti langkah pemuda itu—yang disedarinya masih boleh digelar Jejaka Tanpa Nama. Pemuda itu mengayun kaki ke sudut yang masih agak tersorok daripada kehangatan di dalam dewan, namun ruang tersebut tidak segelap pilihannya tadi. Diwarnai oleh neon lampu yang berwarna lembut, tidak terlalu terang. Ala-ala romantik gitu!
Hisy, aku ni! Ada ke sempat fikir mende gitu?!
Raisya hanya melihat tingkah jejaka tinggi lampai itu berhenti mendadak di sudut pilihannya sambil membawa batang leher ke sekitar.
“Tempat ni, okey?”
Raisya bingkas mengangguk. Matanya turut melengas di kaki lima dewan tersebut. Duduk atas lantailah jawabnya! Tiada kerusi yang boleh dilihat. Tapi dia tidak kisah sebenarnya. Lebih baik duduk di sini berbanding di dalam dewan kala ini! Seribu kali lebih baik dan afdal!
“Tunggu sini. I ambilkan kerusi. I tak nak you duduk atas lantai. Baju you terlalu cantik untuk dikotori begitu.” Pemuda itu mengerdip mata seraya berlalu, namun panjang langkah kedua-dua kakinya terhenti dek kata lanjut daripada Raisya.
“I tak kisah!”
“I kisah,” jawab pemuda tersebut selamba. “I juga tak nak rosakkan baju ni. I paid a fortune for it!” sambungnya berwajah nakal, terus berlalu.
A fortune? Raisya masih bersama garit senyum apabila jejaka itu kembali dengan dua buah kerusi dari dalam dewan. Entah kerusi siapa yang diculik mamat ni! Nasiblah...
Pemuda itu meletak kerusi, bersandar ke dinding. Sebelah-menyebelah. Hmm, macam nak bersanding pulak. Hatinya tercuit sendiri. Dia hanya sembunyikan senyum.
Sesudah puas hati dengan kedudukan kerusi barulah dia persilakan si manis itu duduk. Sempat saling berbalas senyum sebelum mereka berdua sama melabuh duduk.
“Jadi, kenapa you nangis tadi? Apa yang buat you sedih?” Pemuda itu memulakan topik, terus kepada pokok utama persoalan yang mengganggunya sejak awal pertemuan mereka lagi.
“Siapa kata I nangis sebab sedih? Mungkin itu air mata gembira,” tangkis Raisya menjongket kening. Mencari peluang berdebat hanya kerana mahu nafikan kebenaran.
“I know the difference. You dah tunjuk bezanya pada I. Tapi kalau you nak tolak juga kenyataan yang tersua, tentulah I terima aje. I terlalu asing untuk you ceritakan masalah you tu. I tahu. Tapi, you juga perlu tahu, I’m a good listener. Thanks to my dearest sister.”
“You buat I mahu sangat-sangat jumpa dengan adik you tu. Dia tak ada kat sini?”
“Tentulah dia tak ada. Kalau dia dengan I, tak adanya I boleh duduk berbual dengan you di sini. Kalau you betul nak jumpa dia, by the way, her name’s Neesa, I boleh aturkan. Jika ada pertemuan kedua antara kita.”
“I harap tak ada!” Cepat sahaja Raisya menjawab, diiringi gelengan. “Sebab fikirkan tak akan adalah I sanggup duduk di sini dengan you walau you dah tengok I menangis.”
“Kenapa pulak? You taklah buruk mana pun bila you menangis...” usik pemuda itu nakal.
Raisya menjegil mata. Berpura marah. Nada menggiat jelas pada bait akhir itu. Mana mungkin dia marah atau berkecil hati…
“Sebenarnya I tak pernah menangis depan orang yang I tak kenal. The truth, I tak pernah menangis depan orang lain kecuali keluarga I.”
“You could have fooled me!” Pemuda itu meletak tangan pada dada, membulatkan mata. Berpura-pura terperanjat.
Raisya tertawa perlahan. Aksi jejaka di samping yang selamba mencuitnya.
“Betul. Tapi I boleh rasa kenapa you tak percaya. Kalau I tengok you nangis gitu pun I tak akan percaya itu bukan habit you.”
Jejaka di sebelah cuma mengangguk setuju.
“I baru putus kasih. Dia baru kahwin,” terang Raisya tidak semena-mena.
Malahan dia sendiri jadi tercengang dengan pengakuan tulus ikhlasnya itu. Pantas dia menggigit lidah dek keterlanjuran sendiri. Namun apabila si jejaka mengiring tubuh ke kiri sedikit, lebih hampir dengannya, dia jadi kaku.
Pemuda itu merenung kemas raut gadis di sampingnya. Sempat menangkap paras terperanjat dan adegan gigit lidah seketika daripada gadis itu sebelum dia duduk mematung hanya kerana dia mengalih tubuh lebih dekat. Bila dia gerakkan kaki kirinya sedikit, lututnya mengenai lutut gadis itu.
Seperti terkena renjatan elektrik, gadis itu mengalih kedudukan kaki malahan cuba berlagak selamba dengan senyuman tipis.
“I telah lakukan dua perkara yang sama sekali I tak pernah lakukan sebelum ini. Sebelum bertemu you!” Raisya masih menghantar senyum bila matanya menentang sepasang anak mata hitam itu. Sedang menerobos tajam ke matanya.
“Satu, menangis di hadapan I, orang yang you tak kenal. Dua, luahkan perasaan hati sebenar, walau you amat tak sangka ianya akan terkeluar dari mulut you. Kan?”
Raisya mengangguk.
“Jika antara kita ada pertemuan kedua, I bukan lagi orang asing tau. Masa tu I akan perkenalkan you pada Neesa,” ucap lelaki itu, masih menajamkan renungan ke sepasang mata coklat kejernihan itu.
Ianya bukan sekadar ucapan. Dia benar-benar maksudkannya.
Raisya tidak lagi sanggup menerima pandangan itu. Dia tahu tiada apa di situ. Mungkin hanya simpati atau kasihan. Dia tidak mahukannya!
“I harap antara kita tak akan ada pertemuan lagi selepas ini. I hanya mahu kenal you sebagai orang asing, yang kasihan dengan I. Cukuplah rasa itu untuk malam ini sahaja. Mungkin I perlukannya untuk bangkit tabah di masa depan. I hanya akan kenang malam ini sebelum I tidur, mungkin. Kenang kerana I telah lakukan dua perkara yang terlalu asing bagi I, pada seorang yang asing untuk I. Lagipun, nama you pun I tak tahu!”
“Tapi, jika ada pertemuan kedua antara kita, you kena jumpa adik I! Paling tidak untuk katakan pada dia, dia sangat bertuah dapat I sebagai abang.” Lelaki itu merenung, menagih jawapan.
Raisya mengangguk. “Okey!”
Dia tidak takut untuk berjanji hanya kerana dia yakin takkan mungkin ada pertemuan kedua antara mereka. Jika ada pun dia akan elakkan diri seolah Jejaka Tanpa Nama ini adalah satu virus yang harus dijauhi.
Kuarantinkan diri! Kena, wajib, perlu!
“Is that you, honey?”
Derap kaki yang kedengaran membuatkan jejaka itu dan Raisya sama-sama mengalih batang leher ke kiri.
Susuk tubuh yang sedang melangkah itu kian lama kian jelas di mata. Tubuh lampai dengan potongan langsing bergaun putih moden kian terlihat.
Shereen kini sedang berdiri tidak jauh, melihat pemuda itu dan Raisya, silih berganti.
Raisya bangun dari kerusi. Terperanjat. Matanya tambah bulat melihat Shereen, yang sama berwajah terkejut dan hairan.
“Fariz, what are you doing here?” tanya Shereen tegas. Masih melihat Fariz dan Raisya berganti-ganti. Tidak puas hati.
“You tak sepatutnya di sini, Shereen. Jaspal akan cari you nanti. Masuk ke dalam semula. I hanya ambil angin di sini,” kata Fariz tenang sambil bangun dan berdiri di sebelah Raisya.
Shereen mahu buka mulut, membalas. Namun dia matikan niatnya apabila sekali lagi ada bunyi tapak kaki sedang bergerak laju kedengaran.
Ke arah mereka.
Dia menggelisah sendiri. Bimbang jika salah seorang daripada sanak saudaranya sedang ke mari. Tangannya saling bersulaman, tak kena. Sekejap dia tengok belakang, sekejap dia lihat hadapan. Antara Fariz dan Raisya. Ada rasa tidak enak menyelinap masuk ke hati apabila lihat mereka berdiri bergandingan ketika ini.
Derap langkah tadi mati. Di sebelah Shereen, yang sedang bernafas lega. Batang tubuh yang sasa dan lebih lampai daripada orang di sebelahnya itu melengaskan mata sekali gus. Dalam masa yang sama memerhati Fariz, Raisya dan Shereen.
Matanya kembali pada paras Raisya, yang masih dengan mata yang membulat.
“What are you doing here with him?!” soal Jaspal pula melampiaskan perasaan sebenar Shereen—tidak puas hati.
“Yes, Fariz? What are you doing here with her?” tekan Shereen pula seolah disuntik semangat juang tiba-tiba.
Fariz melihat antara Jaspal dan Shereen, kemudian matanya kemas pada Raisya.
“Ya Allah...” Fariz menggeleng sendiri. Boleh tangkap siapa yang telah patahkan hati gadis manis ini dan dari mana dia pernah lihat gadis ini.
“You’re a Muslim!” Raisya terlongo menentang Fariz.
Dia mati-mati sangka pemuda ini berketurunan Cina dan beragama... Argh, yang dia ingat bukan Islam! Tapi... tak sangka cempedak jadi nangka. Dan, dia sudah tahu nama pemuda ini.
Fariz!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 25, 2012 04:22

April 19, 2012

.: dalam satu rasa [prolog] :.

1999PADA usia sebegini, dia seharusnya bergelak ketawa bersama teman sebaya. Sama-sama melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi dalam bidang yang dia sukai. Mungkin saja sama-sama berbisik mengenai kekacakan jejaka itu, ketampanan jejaka ini. Namun, semua peluang itu tidak dia rasai. Dan jauh di sudut hati, dia tahu ia tidak mungkin dinikmati kerana keputusan ayah adalah muktamad. Sekalipun keputusan peperiksaan yang diperolehnya petang kelmarin menunjukkan dia layak untuk memohon ke mana-mana pusat pengajian tinggi, namun ia tidak mungkin menjadi kenyataan. Walaupun itulah yang didambakan sekeping hati kecil miliknya.Nur Zafifah Asma, itulah nama yang menjadi pilihan ibu untuknya. Ibu sendiri yang memilih nama itu untuknya. Zafifah, nama yang punya makna tersendiri buat ibu. Zafifah, kerana ibu mahu dia jadi pengantin kepada seorang lelaki, suri hati seorang suami yang boleh menyayangi, sebagaimana dia bakal menjadi isteri yang penyayang. Tentu sahaja dia mahu menjadi isteri yang penyayang, namun sebelum itu Zafifah mahu mencapai cita-citanya terlebih dahulu. Zafifah mahu melanjutkan pelajaran ke universiti. Mendapat tempat antara anak-anak bangsa yang ada. Tambah pula ibu sendiri mahu lihat dia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan anak Melayu yang lain. Tapi sayang… semua itu tidak mungkin terlaksana. Pemergian ibu membantutkan semua angannya itu kerana ayah tidak mungkin mengizinkan dia berbuat demikian. Ayah tak akan mengizinkan dia mencapai impian dan cita-citanya. Ia hanya bakal terkubur.Mungkinkah kerana ayah bukan bapa kandungnya? keluh Zafifah sendiri. Dan kalau bapa kandungnya masih ada, akan beginikah nasibnya? Ah!Ibu, kalau ibu masih ada mesti along tak perlu hadapi semua ni. Ibu pasti akan cuba sedaya upaya demi lihat along masuk universiti, mengatur langkah pertama demi capai cita-cita serta impian along. Sebab cita-cita along adalah impian ibu juga. Tapi sekarang… semua tu hancur, ibu. Hanya jadi angan-angan. Yang takkan tercapai. Along dah tak ada peluang tu, ibu…Hati Zafifah merintih hiba. Pilu mengenangkan nasib diri. Namun dia tidak boleh terlalu mengikut perasaan. Dia harus yakin, ada hikmah yang tersembunyi di balik semua ini. Ya, Allah sudah menjanjikan sesuatu yang baik untuknya di masa depan. Mungkin keinginan hatinya ini bukan terbaik buatnya kini. Bukankan ibu pernah menasihatinya berulang kali dahulu? Kadang-kadang Allah halangkan sekejap matahari, kemudian Dia datangkan pula guruh dan kilat. Puas kita menangis, mencari di mana matahari, rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi yang indah. Hatinya dipujuk lagi dengan nasihat-nasihat ibu. Perasaannya dipapah lagi. Agar dia tega dengan keputusan ayah.Lagipun, jika Zafifah meneruskan kehendak hati untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, siapa pula yang bakal menjaga adik-adiknya? Siapa yang akan mengambil berat kebajikan Zahirah dan Mahirah? Mahu harapkan ayah? Heh, lebih baik tak usah. Selama ini ibu sahajalah yang menjaga mereka adik-beradik. Semenjak kecil ibulah segalanya untuk mereka. Ayah? Hanya pada hujung nama. Selain itu tiada apa yang ayah berikan kepada mereka, apatah pula ibu sendiri. Selain kesakitan, tiada apa pun yang pernah ayah berikan untuk ibu. Walaupun ada ketika hati Zafifah amat dambakan kehadiran ibu semula dalam hidup mereka, namun sering kalinya dia amat bersyukur dengan pemergian ibu. Paling tidak, ibu tidak perlu bersusah payah lagi. Tidak perlu merasa sakit-sakit yang dihadiahkan oleh suaminya sendiri! Ayah tidak punya hati dan perut. Sanggup menyakiti tubuh ibu tanpa belas. Sudahlah hati ibu dicarik dengan sikap kaki perempuannya, tubuh ibu turut dilukai. Ibu tidak pernah bahagia dengan ayah. Zafifah nampak semua itu semenjak dia kecil. Namun, senyum ibu tak pernah tersasar. Tetap lembut dan manis. Seolah-olah hidupnya cukup bahagia, amat gembira. Ibu tetap sembunyikan kenyataan yang dilihat dan didengar oleh mereka. Itulah ibu, pemimpin dalam keluarga mereka yang empat orang itu, sebagaimana namanya Saiyidah. Hanya mereka berempat, tanpa ayah yang ada bagai tak ada. Dan kini, sudah hampir empat bulan Saiyidah kembali ke rahmatullah. Spontan bibir Zafifah terkumat-kamit menghadiahkan al-Fatihah buat ibu, mengharapkan ketenangan ibu di sana. Menginginkan ibu dicucuri rahmat-Nya jauh di sana. Ibu seorang isteri yang taat dan patuh kepada ayah, sekalipun ayah melayan ibu bak hamba. Ibu juga seorang ibu yang penyayang dan pengasih. Sering mengajar dia serta adik-adiknya agar bersabar dengan ketentuan dan dugaan-Nya. Kata-kata yang sering ibu ungkapkan meniti ruang telinganya. Serasa ibu sendiri memetik kata-kata itu. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.Ibu, jasa ibu terlalu banyak untuk along dan adik-adik. Ibu mendidik kami agar menjadi anak solehah. Ibu takkan kami lupakan sampai bila-bila dan kami akan sentiasa mendoakan ibu. Tenanglah di sana, ibu…“Along tak tidur lagi?”Suara halus dan serak itu membuatkan Zafifah menoleh kepala. Tubir matanya menerpa batang tubuh adik bongsunya, Mahirah, yang lebih selesa dengan panggilan adik dalam kalangan mereka tiga beradik. Dia sendiri sebagai along, Zahirah pula angah.“Adik? Along ingatkan adik dah tidur…” Zafifah bangkit dari sofa yang menjadi habuan punggungnya semenjak tadi. Matanya yang segar membuatkan dia keluar dari bilik, memilih untuk duduk berangan tak sudah di ruang tamu yang agak luas itu.“Adik nak ke tandas…” Sambil menggosok mata, Mahirah menjawab. Jalan pun melelong semacam.Zafifah mengukir senyum kecil dengan gelagat adiknya. Dia mengelus rambut Mahirah yang keriting halus dan hitam. Tak ubah bak rambutnya. Malah Zahirah pun sama. Mereka bertiga punya rambut keriting halus dan hitam, bak ibu. Wajah mereka juga saling tak tumpah, diwarisi daripada ibu. Bezanya Zahirah dan Mahirah berkulit sawo matang sedang Zafifah, bak ibu, berkulit hitam manis.“Nak along temankan?”Mahirah menggeleng. “Along tu, kenapa tak tidur?”“Kejap lagi along tidur. Dah… pergi tandas cepat dan tidur. Esok sekolah kan...”Mahirah angguk kepala seraya terus mendapatkan tangga yang membawa dia ke bahagian dapur. Zafifah pula berdiri sahaja di tempatnya sehinggalah Mahirah kembali. Dahi adiknya dikucup lalu diarah tidur semula. Mahirah menurut dengan mata kuyu yang memang sudah tidak sabar mahu meletak kepala ke atas bantal semula.Mahirah, adik bongsunya itu baru berusia 13 tahun. Masih dalam tingkatan satu. Manakala Zahirah pula dalam tingkatan tiga. Kini, dialah yang menjaga kedua-dua adik-adiknya itu. Boleh dikatakan semenjak ibu terlantar sakit, dia yang menjadi ibu kedua untuk adik-adiknya dan dia lakukan tanggungjawab itu dengan hati yang ikhlas. Demi kasih sayangnya kepada Zahirah dan Mahirah, apa sahaja sanggup dikorbankan. Tambahan pula ayah tidak pernah menjadi ayah yang layak. Sesudah kematian ibu, belum sampai satu bulan, ayah sudah mencari pengganti ibu. Hati Zafifah amat sakit kerana ayah tidak sedikit pun menghormati ibu, sekalipun selepas ibu tiada. Heh, saat ibu masih ada pun ayah tidak pernah hormati ibu… apatah lagi kala ibu tiada. Apa yang dia harapkan daripada ayah? Setia kepada ibu? Sesuatu yang tidak mungkin!Ayah kini sudah punya isteri baru. Seorang janda yang kematian suami tanpa anak. Emak tirinya itu masih muda. Baru berusia 30 tahun. Walaupun dia jengkel dengan wanita itu, namun sedaya mungkin dia cuba hormati wanita tersebut. Malah rasa belas turut tercalit di hati, kerana dia tahu emak tirinya itu turut menanggung apa yang pernah ditanggung oleh ibu dahulu. Kesan lebam dan luka yang kelihatan pada wajah dan tubuh wanita itu menjawab segala.Ketukan pintu yang bertalu, mengejutkan Zafifah. Tersentak apabila keheningan malam dihambat oleh talu-talu ketukan daun pintu. Bagai mahu diroboh orang.“Mesti ayah…” ucap Zafifah perlahan.Hmm, entah di mana ayah menghabiskan masanya sedang jam sudah hampir 2.00 pagi. Mujur juga ayah pulang. Ada ketikanya lelaki itu tidak menjenguk rumah langsung. Tapi Zafifah bahagia jika begitu. Sekurang-kurangnya rumah itu aman dan damai. Tanpa jerit pekik ayah yang pulang mabuk, hilang waras.“Buka pintu nilah! Aku dah balik ni. Pekak ke?!” Jeritan lantang dan melangsing ayah buat Zafifah lekas-lekas mendapatkan pintu. Pasti ibu tirinya sudah nyenyak di bilik tidur sana. Langsung pintu kayu itu dibukanya. Tak hendak pekik lolong ayah atau hentak tangan ayah mengejutkan Zahirah dan Mahirah yang bersekolah pagi nanti. “Kau buat apa, hah? Lama sungguh nak buka pintu!” tengking ayah seraya menolaknya kasar dan berlalu. Zafifah mengerutkan hidung apabila bau arak menjengah lubang hidung. Namun semua itu tidak menghalang bau busuk itu menerobos masuk. Terlalu kuat! Astaghfirullah. Entah bilalah ayah akan sedar. Ibu pernah nasihatkan ayah dulu, namun lempangan diterima. Konon ibu cuba mengajar ayah sedang ayah lebih tahu apa yang baik dan buruk untuknya.Zafifah hanya melihat ayah terhuyung-hayang melangkah, mendapatkan bilik tidurnya yang agak ke belakang. Dengan gelengan kepala, Zafifah kembali mengunci daun pintu. Entah sampai bilalah ayah akan begini. Ya Allah, Kau bukalah pintu hati ayah yang terlalu kejap tertutup itu. Berilah peluang kepadanya, ya Rabbi. Tunjukkanlah dia jalan kembali kepada-Mu, wahai yang Maha Perkasa. Walaupun dia hanya ayah tiri, dia tetap ayah dan tetap aku ini anaknya.Akhirnya Zafifah mengorak kaki ke dapur. Mahu ke tandas. Menghilangkan mual-mual yang terasa semenjak ayah masuk ke rumah itu. Sesudah keluar dari tandas, dia bingkas mendapatkan biliknya. Matanya sudah mula memberat pula. Letih badannya kerana seharian mengurus rumah menambah rasa kantuk yang tiba-tiba menyerang. Letak sahaja kepala ke bantal, Zafifah akhirnya terlena. Bau arak yang tiba-tiba menangkap hidung membuatkan Zafifah tersedar daripada tidur. Dia masih berbaring di atas katilnya, namun mata sudah terbuka luas, cuba melawan kegelapan bilik itu. Dia senang tidur dalam gelap, namun kini menyesal pula kerana memadamkan lampu biliknya. Susuk tubuh seseorang yang memasuki biliknya buat Zafifah berjaga-jaga. Rasa bimbang menerpa, rasa gusar menghambat. Bunyi selak pintu ditutup buat dia kian gelabah.“Siapa?” Zafifah bingkas melompat turun dari katil. Mahu cepat-cepat mencapai apa sahaja yang sempat. Sebagai langkah keselamatan. Namun, belum sempat Zafifah lakukannya, tubuhnya lebih dulu disambar. Dia kembali terlontar ke atas katil dan tubuh itu, yang sarat dengan bau arak, menghimpitnya. Tangan kasar itu berada di mana-mana, setiap inci tubuhnya.“Subhanallah!” Zafifah tahu siapa lelaki itu. Ayahnya sendiri! Sekuat mungkin, Zafifah cuba menolak tubuh ayah. Tapi ayah bak dirasuk. Cuba mengucupnya. Dia tingkatkan usaha, namun ayah nyata lebih kuat. Dikawal oleh nafsu. Dibelenggu syaitan durjana. Dayanya tiada, usahanya tiada. Ya Allah…
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 19, 2012 00:27

April 17, 2012

.: akan datang ~ e-karya DALAM SATU RASA :.

Dalam Satu Rasa. Okey tak tajuk ni? Ke macam ala-ala sangat dengan tajuk Secukup Rasa? Sebenarnya memang rasa macam nak ala-ala, tapi mengenangkan tajuk Dalam Satu Rasa ni macam kena dan sesuai dengan e-karya ni, jadi saya akan gunakannya sebagai working title untuk kisah tiga beradik di bawah ni.
Along atau nama sebenar NUR ZAFIFAH ASMA.
Angah atau nama sebenar NUR ZAHIRAH ALYA.
Adik atau nama sebenar NUR MAHIRAH AISY.
Untuk makluman semua, e-karya Dalam Satu Rasa (working title) bukan hanya tumpu pada satu watak sahaja sebaliknya saya akan cuba sebaik mungkin balancekan DSR untuk along, angah dan adik serta rasa-rasa mereka. Sebab itulah saya pilih tajuk Dalam Satu Rasa. Setakat saya bayangkan sekarang, ini bukan cerita cinta sahaja, tapi ini kisah kasih sayang tiga adik-beradik yang saling memerlukan, saling jadi penguat. Satu jatuh, dua akan bangunkan. Mereka bergaduh, mereka berlawan, tapi mereka adik-beradik yang ada dalam satu rasa. Rasa yang mengikat mereka sebagai keluarga dan kawan baik antara satu dengan lain.

E-karya Dalam Satu Rasa akan boleh mula dibaca insya-Allah pada setiap Khamis di Layanz@Santai dan lewat sikit di blog saya. Kemungkinan besar saya tak akan masukkan setiap Khamis satu e-karya ni saja, sebaliknya ada satu lagi. Tajuknya Persona Sukma. Working title novel, confirm akan adaptasi menjadi drama. Cerita lanjut akan saya ceritakan nanti ya. Tunggu...
Dan harapnya ada yang sudi nak ikut. Sudi-sudikan... ≧◡≦
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 17, 2012 03:28

April 16, 2012

Primadona Orang Muda | Bab 7

Kamaruzaman melihat-lihat semula skrip bangsawan yang bakal dipentaskan hujung semester itu nanti. Walaupun sudah berkali-kali melihat, malahan sudah dapat menghafal baik beberapa dialog di dalamnya, dia tetap membelek terus. Seketika begitu, akhirnya dia meletak skrip tersebut di atas meja semula, lalu memandang Rose yang duduk di hadapannya, dipisahkan meja kerjanya, di dalam bilik kecil yang disediakan AKAK untuk pensyarah separuh masa sepertinya. Bilik yang hanya digunakan apabila perlu atau mahu. Sebab itulah lebih kosong daripada berisi bilik itu.[ POM versi cetak ]Pesan untuk: novelka81@gmail.com
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 16, 2012 09:01

.: primadona orang muda [7] :.

KAMARUZAMAN melihat-lihat semula skrip bangsawan yang bakal dipentaskan hujung semester itu nanti. Walaupun sudah berkali-kali melihat, malahan sudah dapat menghafal baik beberapa dialog di dalamnya, dia tetap membelek terus. Seketika begitu, akhirnya dia meletak skrip tersebut di atas meja semula, lalu memandang Rose yang duduk di hadapannya, dipisahkan meja kerjanya, di dalam bilik kecil yang disediakan AKAK untuk pensyarah separuh masa sepertinya. Bilik yang hanya digunakan apabila perlu atau mahu. Sebab itulah lebih kosong daripada berisi bilik itu. Hanya ada bahan bacaan serta susunan skrip di atas mejanya bersama komputer riba. Kabinet buku yang memang disediakan pihak AKAK di sebelah kanan bilik itu pula kosong saja dari dulu sampai kini. Habuk saja sudi menjengah. Mujur saja ada cleaner ditugaskan untuk membersihkan bilik itu dua minggu sekali. Kalau tak, mungkin ada lumut berumah tangga di mana ruang yang sempat. Rose di hadapan Kamaruzaman, mengisi salah satu daripada dua buah kerusi di hadapan meja, sibuk terus mengipas-ngipas wajahnya. Sambil itu mata memandang-mandang ke penjuru bilik itu. Herot sana sini bibir lelaki yang muda tiga tahun daripadanya. Dia tahu mengapa.Rose adalah juniornya ketika mereka sama-sama menuntut di AKAK. Sebaik menamatkan pengajian di sini, masing-masing membawa haluan ke universiti berbeza, menyambung ijazah sesudah berjaya mendapat diploma di AKAK. Namun, dalam pada itu, pertemuan tetap ada antara mereka kerana mereka selalu terlibat dengan pementasan dalam atau luar universiti. Lalu perhubungan mereka berterusan, sampailah sama-sama tamat pengajian dan mula mengajar di AKAK. Rose adalah pensyarah sepenuh masa bagi jabatan Teater. Cuma Kamaruzaman saja tidak menerima jawatan tetap itu kerana di samping mengajar di AKAK, dia terlibat sama dengan sebuah produksi teater, membuatkan dia ada komitmen lain. Tak cukup dengan itu, sejak satu tahun lalu dia menyambung pelajaran dalam ijazah sarjana kedua pula, membuatkan masanya lebih terhad dan banyak terisi. Atas sebab itu jugalah Kamaruzaman menolak sekali lagi tawaran pensyarah tetap yang ditawarkan AKAK. Bagi Kamaruzaman, menerima jawatan itu bermakna menerima tanggungjawab yang lebih. Dan dia tidak ada masa untuk satu lagi tanggungjawab di atas pundak. Dia tidak mahu tamak. Lalu dia menolak. Namun dia yakin AKAK akan cuba menyuntingnya lagi nanti. Dia hargai perasaan dihargai itu. Dan dia akan terima apabila dia tamat ijazah sarjana yang ini nanti. Itulah janjinya kepada diri.“Tak habis lagi tak puas hati?” soal Kamaruzaman sudahnya, apabila dilihat Rose masih dengan aksi herot-herot mulut sambil kipas tangan berkibar di depan muka. Aksi Rose itu mencuit hati Kamaruzaman untuk ketawa. Sebab Rose nampak sangat kelakar dan terlebih comel. Sudahlah badan tembam, muka tembam. Bila duk juih mulut begitu, hah…bibir pun sama tembam.“Yalah, you. Setiap kali I masuk bilik you ni, sesaklah I. Nafas asyik sentut aje. Bilik you ni…kalaupun mood I paling ceria, boleh jatuh merudum bila masuk sini. Temperature kasik sedut mood happy-happy, suka-suki orang tau!” Terus Rose herot-herotkan mulut dengan kipas berkibar.Kamaruzaman ketawa saja. Ini bukan kali pertama dia dengar itu. Sudah selalu sangat. Tiap kali Rose menjenguk biliknya ini, itulah komen si teman. Bilik sedut mood ceria bilang Rose. Ada Ijad, lagi sakanlah mereka mengutuk biliknya yang memang dia tahu dan sedar muram lagi suram. Bukan macam bilik Rose yang luas banding bilik ini, ceria dengan wallpaper serta tampalan-tampalan ceria. Siap ada sudut foto khas, malah ada juga bingkai poster teater-teater penglibatannya. Memang berbeza daripada bilik sedut mood ceria ini.Itu belum berkisah perihal bilik Ijad. Ceria dan penuh warna. Lebih gah dan hebat banding bilik Rose. Mana tidaknya, bilik Ijad di dalam bilik kostum yang memang selalu ceria dengan susunan kostum-kostum untuk sebarang produksi. Siap ada aksesori hiasan pelbagai yang berkilat-kilat silaukan mata kala masuk ke dalamnya. Ada pula patung-patung berhias cantik dan tampan.Di dalam AKAK, memang takkan adalah siapa pun boleh kalahkan Ijad kalau bercerita pasal bilik tercantik. Kalau tak kerana Ijad dikecualikan daripada terlibat dengan pertandingan bilik tercantik di kalangan pensyarah (selepas menang empat tahun berturut, sejak tahun pertama sampai tahun keempat pertandingan tersebut diperkenal puan rektor mereka), memang sahlah sampai tahun keenam ini kemenangan masih jitu milik Ijad. Jadi, tak payah komen lebihlah kan. Jadi artis sudahlah. No comment.“Engkau, kalau datang bilik aku semata-mata nak cakap pasal bilik aku… baik tak payah! Dah tau bilik ni spesies sedut ceria, kau masuk jugak buat apa? Aku nak balik, tak kasik. Ajak lepak sini. Lepas tu, banyak cakap pulak!” marah Kamaruzaman geram. Awal tadi lagi, sebaik sudah kelas Pro-Ba, dia hendak pulang. Dah sampai ke kawasan parkir pun, tapi tiba-tiba Rose main tarik saja tangannya tanpa salam. Ajak ke bilik ini. Sudahnya, hendak membebel-bebel pula. Ingat dia banyak masa nak habiskan begini ke? Baik balik rumah siapkan tugasan yang diperlukan daripada berhabis masa begini.“Hei, you ingat I ni ada 28 jam satu hari ke?! I pun macam you tau, 24 jam satu hari jugak!” marah Rose manja sayang. Berhenti sekejap kibaran kipas tangannya. Kemudian berkibar terus. “Sekejap lagi you akan taulah kenapa I ajak you datang sini, sanggup duduk kat bilik sedut ceria ni…”Kamaruzaman merenung. Agak hairan lihat roman senyum kemenangan penuh riak milik Rose. Sudahlah dia tidak faham mengapa dia ‘dijemput’ ke bilik sendiri oleh Rose, sekarang Rose buat muka serba tahu lagi riak pula dengannya. Ada rahsia peribadi serupanya. Kamaruzaman hendak buka mulut, menyoal lanjut. Dan, ketika itulah dia mendengar. Pintu biliknya diketuk orang. “Sekarang, you boleh tahu…” Rose senyum dengan muka lebih-lebih riak, berkipas gemalai membawa angin ke muka sendiri.Ketukan kedengaran lagi, diiring suara dari luar sana. “Abang Kama, saya Sanaa. Saya nak jumpa pasal…” Diam. Dan Kamaruzaman merenung Rose bersama senyuman. Faham mengapa Rose menariknya sakan dari parkir tadi, masuk ke bilik sedut ceria ini!
MENGETAP bibir, Sanaa perlahan-lahan terduduk di atas kerusi di kafe AKAK itu. Dewan yang boleh memuatkan hampir 200 orang itu dijadikan kafe semenjak dua tahun yang lalu sesudah kafe sementara mereka ditutup. Kalau ikut suka pelajar-pelajar AKAK, memang kafe sementara dululah pilihan mereka. Yalah, kafe terbuka. Ada penghawa dingin semula jadi lagi. Kafe sekarang tertutup dan bergantung kepada kipas-kipas yang tergantung saja kerana setiap jendela yang ada memang dibuka pintu kiri kanannya.Namun, kafe terbuka itu atau kafe tertutup ini, satu yang Sanaa yakin dan pasti, kedua-duanya takkan mungkin selesakan perasaan atau hatinya yang sedang bergelombang ketika ini. Tertekannya rasa ketika ini takkan luput, walau di kafe terbuka atau kafe tertutup!Seketika tangan memegang kepala, Sanaa melepaskan keluhan akhirnya. Sekali lagi. Entah untuk kali yang ke berapa. Sepanjang perjalanan dari bilik Abang Kama sampailah dia melabuh punggung di sini, entah berapa kali dia mengeluh. Sebetulnya dia hendak marah. Diri sendiri. Sehendaknya dia hendak mencarut. Kepada diri. Geram yang terlalu punya pasal.Namun, dia tak reti hendak mencarut begitu, walaupun hati nak sangat. Semuanya sebab ajaran ayah. Marah yang macam mana pun ayah suruh bersabar, minta bertenang. Sebab ayah cakap, hati yang marah memang takkan boleh berfungsi dengan sempurna. Tambah pula kalau hati dah rasa nak mencarut yang sangat. Haramlah hendak berfungsi. Dan dia, anak yang selalu hendak mengikut cakap ayah. Jadinya, dia tahan saja rasa nak marah dan carut itu. Sebab itulah dia gantikan dengan mengeluh, mengeluh dan mengeluh. Mengenang itu, dia mengeluh lagi.“Tak dapat yek?”Sanaa sedikit kejut, namun cepat saja dia paling muka ke samping. Duduk Asnidar di sebelahnya dengan muka faham apa sudah jadi. Memang Asnidar sudah mengagak. Siang-siang sudah jadi nujum mak belalang. Menjangka Sanaa tak akan berjaya dalam memujuk Abang Kama atau Rose, mengubah hati mereka. Kerana itulah juga Asnidar tidak meneman Sanaa sekejap tadi. Tak nak tolong teman buat hal sia-sia.Asnidar ketawa perlahan melihat muka gerun yang cuba ditaja oleh temannya itu. Lucu. Tapi dia tahu Sanaa memang ada rasa macam-macam. Marah, geram. Namun, lebih daripada itu Sanaa rasa tertekan yang terlalu. Tertekan itu akan buat Sanaa bersedih. Lalu Asnidar panjangkan tangan, menyentuh tangan Sanaa yang sudah saling bercantum dan memicit-micit tangan sendiri. Dia mengelus kura tangan teman baiknya itu.“Hei…” ujar Asnidar menepuk-nepuk pula kura tangan itu. Walaupun dia tak boleh faham penuh perasaan Sanaa, namun dia boleh agak. Sanaa memang tak hendak dan tak suka dengan apa yang sedang berlaku. Sanaa rasa terkurung dengan perasaan sendiri.“I hate this, Asni…” cakap Sanaa membalas sentuhan Asnidar. Jemari tangan kanannya menyentuh dan menggenggam jemari runcing milik Asnidar. “Macam mana ni, Asni? Aku tak bolehlah…tak boleh.”Asnidar senyum. Tipis. “Kau boleh, Sanaa…” Lembut suaranya. “Cuma… kau tak nak, kan?”Sanaa mengetap bibir. Terkemam-kemam bibir atas dan bibir bawah. Akhirnya dia mengangguk-angguk.“Aku tau kau, Sanaa. Aku kenal Sanaa aku. Sanaa aku tak suka jadi perhatian. Kalau dalam sebuah bilik, dia suka orang tak nampak dia. Being invisible is her favorite. Mata orang jangan singgah dia. Selalu nak macam tu. Sampai bila, Sanaa? Zaman sekolah, dapatlah kut. Masuk kolej ni…cukuplah setahun setengah tu. Dah ada yang perasan kau. Apa yang Abang Kama dengan Rose buat bukan nak susahkan kau. Kau kena bangga. They recognized you. To be exact, your talent. Kau budak Penulisan pertama dapat watak primadona, Sanaa. Be proud of it!” Asnidar menggenggam lagi tangan Sanaa, menggoncang-goncangnya. Hendak Sanaa ikut rasa betapa dia bangga dengan pemilihan Sanaa sebagai primadona baru.“Aku tak sukalah semua ni. Aku budak Penulisan tau. Aku masuk sini nak belajar penulisan, bukan lain daripada penulisan!” marah Sanaa buat muka. Mengeruh-ngeruh, merengus-rengus tunjuk perasaan.“Habis, kenapa masuk AKAK? Akademi Kreatif, sayang, bukan Akademi Penulisan. You’re in the wrong side of academy, sayang.” Sinis Asnidar menyindir. Siap buat muka sinikal.Geram Sanaa memuncak macam ada serangan darah tinggi. Ditolak tangan Asnidar yang dipautnya sekejap tadi. Nak lepas perasaan sebab nada sarkastik gadis itu. Melampau tau Asni ni! Bukan nak pujuk orang, dia simbah asid dalam hati pulak! Terkemam lagi bibir atas dan bawah Sanaa.Asnidar ketawa lagi. Bukan perlahan seperti awal tadi, sebaliknya bergelak sakan. Gelak yang mengundang beberapa mata ke meja yang didudukinya. Dia sedikit pun tidak kisah. Sebab dia tak pedulikan perhatian yang diterima. Berlainan pula dengan Sanaa. Sakan terus mencapai semula tangan Asnidar yang tadinya ditolak ke tepi. Digenggam kuat isyarat tanda hendak Asnidar matikan tawa sakannya itu.Sebelah tangan Asnidar menutup mulut sendiri, mematikan ketawanya. Nak jaga hati Sanaa yang tidak suka jadi perhatian mata orang punya pasal. Sambil itu dia mengangguk-angguk tanda mendengar cakap Sanaa. Beberapa kali menarik nafas, dia tenung Sanaa semula.“Sanaa, kita masuk AKAK. Sejak awal sem lagi kan kita dah tau… kat sini kena amek makyung, bangsawan, randai. Kau tau, kan? Hari pertama masuk masa dapat buku panduan subjek… terang-terang dah tulis kat situ, terang-terang mata tu dah baca, kan?” tembak Asnidar luruskan jari telunjuk dan jari hantu ke mata Sanaa ketika sebut mata tu.Sanaa mengangguk perlahan-lahan. Sudah boleh faham dan tangkap arah perbualan ini akan berterusan. Kalaupun hendak mengelak, dia tak rasa dia mampu. Sebab ini kenyataan. Kenyataan yang dia tahu sejak awal-awal jejak kaki di AKAK. Malahan, sebelum memasuki AKAK lagi dia sudah tahu akan subjek wajib akademi ini. Subjek yang diwajibkan ke atas apa saja kos yang diambil di AKAK. Kerana AKAK bukan dikhaskan untuk belajar kos yang berkaitan dengan kreatif sahaja, sebaliknya pelajar-pelajarnya harus mengenali hal-hal kreatif lain yang menjadi pengetahuan perlu. Bidang yang harus diketahui sebagai pelajar dan orang Malaysia kerana sebelum apa yang mereka pelajari, hakikatnya makyung, bangsawan dan randai yang diangkat keluar sampai ke negara lain.“Dah sudah tu?” tanya Asnidar terus. Sengaja pula mengangkat sebelah kening. “Kenapa kita kena amek subjek tu semua, Sanaa?” Sekali lagi sengaja Asnidar menyoal begitu. Sebab jawapannya dia dan Sanaa sudah hafal. Mana taknya, satu minggu, sepanjang orientasi telinga diasak dengan ayat yang itu berulang-ulang.“Sebab kita bakal jadi pelapis yang akan bawa nama Malaysia ke luar, mengangkat tradisi kita. Makyung, bangsawan dan randai yang jadi subjek wajib akademi adalah sebahagian daripadanya…” Menggguman-gumam serupa orang tak ikhlas Sanaa menjawab. Itu pun selepas Asnidar menggoyang-goyang jemari tangannya yang tergenggam, menggesa sakan.“Jadi?” Asnidar tayang muka bangga. Yalah, sebab dia di lorong yang betul. Sanaa saja yang salah tengok tanda arah. Entah ke mana melalutnya.“Aku nak buat macam tu dengan penulisan, bukan berlakon!” tegas Sanaa masih tidak suka. Tidak boleh menelan kenyataan yang disua ke depan mukanya. Dah batu yang dibagi, takkanlah dia nak telan. Hilang akal ke apa! Kut ais batu, boleh fikir semula jugak!Asnidar melepas keluhan. “Kau betul tak nak?”Sanaa mengangguk. “Apa kata Abang Kama masa kau pergi bilik dia tadi?”“Heh! Bukan Abang Kama aje kata, Rose pun siap kata lagi!” Mencebir sakan mulut Sanaa.Asnidar tahan senyum. Juih bibir Sanaa dah beritahu tak suka Sanaa pada apa dikata Abang Kama dan Rose. “Yalah… Apanya?”Duduk tubuh Sanaa yang macam orang mati laki sejak tadi berubah. Bersandar pada kerusi, sedikit mendabik dada, membawa tangan ke dada—dah boleh agak siapa—dia berkata dalam lenggok dan gemalai yang sempurna. “Hai… tadi sakan you berlakon macam Rose, takkanlah nak berlakon sebagai primadona pun tak boleh? You kan terror…”Asnidar kulum gelak yang dah mula goncang perut. Kemudian posisi tubuh Sanaa jadi santai dan relaks—sekali lagi dah boleh agak siapa—lalu berkata dalam nada tegas seorang pensyarah. “Sama ada awak terima watak ni atau awak ulang sem. Tapi percayalah, kalaupun awak ulang sem, awak akan terima watak ni jugak. Tetap primadona. Sanaa Abdul Rahim, saya ingat nama awak sebab nama ayah saya pun Abdul Rahim.” Senyum. Sinis. Abang Kama versi Sanaa.Asnidar tak mampu tahan perut yang menggoncang. Maka, sakanlah dia lepas ketawa. Lalu sekali lagi meja yang diduduki mereka berdua itu menjadi sasaran beberapa mata yang masih melepak di ruang kafe yang cantik berhias laksana sebuah restoran itu. Dan salah satu daripada pasang mata itu adalah Falah, yang duduk di meja tidak jauh. Bukan Asnidar yang sedang ketawa jadi pandangan mata, sebaliknya Sanaa yang sudah sembam muka di atas meja, sembunyi wajah. Seterusnya dia larikan mata. Mengangkat botol minuman Coke ke mulut, dia sembunyikan senyum sinis yang sentuh bibir dengan meneguk air itu. Entah mengapa, mata Falah terlalu cepat ke sudut yang ada Sanaa. Hal yang baru berlaku, baru bermula. Semenjak Sanaa jadikan tubuhnya tempat parkir tak terhormat, dengan tubuh itu sendiri. Lalu dia mula ingat hal lain. Dia kenal Sanaa sebelum itu lagi!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 16, 2012 09:01

Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.