.: dalam satu rasa [prolog] :.

1999PADA usia sebegini, dia seharusnya bergelak ketawa bersama teman sebaya. Sama-sama melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi dalam bidang yang dia sukai. Mungkin saja sama-sama berbisik mengenai kekacakan jejaka itu, ketampanan jejaka ini. Namun, semua peluang itu tidak dia rasai. Dan jauh di sudut hati, dia tahu ia tidak mungkin dinikmati kerana keputusan ayah adalah muktamad. Sekalipun keputusan peperiksaan yang diperolehnya petang kelmarin menunjukkan dia layak untuk memohon ke mana-mana pusat pengajian tinggi, namun ia tidak mungkin menjadi kenyataan. Walaupun itulah yang didambakan sekeping hati kecil miliknya.Nur Zafifah Asma, itulah nama yang menjadi pilihan ibu untuknya. Ibu sendiri yang memilih nama itu untuknya. Zafifah, nama yang punya makna tersendiri buat ibu. Zafifah, kerana ibu mahu dia jadi pengantin kepada seorang lelaki, suri hati seorang suami yang boleh menyayangi, sebagaimana dia bakal menjadi isteri yang penyayang. Tentu sahaja dia mahu menjadi isteri yang penyayang, namun sebelum itu Zafifah mahu mencapai cita-citanya terlebih dahulu. Zafifah mahu melanjutkan pelajaran ke universiti. Mendapat tempat antara anak-anak bangsa yang ada. Tambah pula ibu sendiri mahu lihat dia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan anak Melayu yang lain. Tapi sayang… semua itu tidak mungkin terlaksana. Pemergian ibu membantutkan semua angannya itu kerana ayah tidak mungkin mengizinkan dia berbuat demikian. Ayah tak akan mengizinkan dia mencapai impian dan cita-citanya. Ia hanya bakal terkubur.Mungkinkah kerana ayah bukan bapa kandungnya? keluh Zafifah sendiri. Dan kalau bapa kandungnya masih ada, akan beginikah nasibnya? Ah!Ibu, kalau ibu masih ada mesti along tak perlu hadapi semua ni. Ibu pasti akan cuba sedaya upaya demi lihat along masuk universiti, mengatur langkah pertama demi capai cita-cita serta impian along. Sebab cita-cita along adalah impian ibu juga. Tapi sekarang… semua tu hancur, ibu. Hanya jadi angan-angan. Yang takkan tercapai. Along dah tak ada peluang tu, ibu…Hati Zafifah merintih hiba. Pilu mengenangkan nasib diri. Namun dia tidak boleh terlalu mengikut perasaan. Dia harus yakin, ada hikmah yang tersembunyi di balik semua ini. Ya, Allah sudah menjanjikan sesuatu yang baik untuknya di masa depan. Mungkin keinginan hatinya ini bukan terbaik buatnya kini. Bukankan ibu pernah menasihatinya berulang kali dahulu? Kadang-kadang Allah halangkan sekejap matahari, kemudian Dia datangkan pula guruh dan kilat. Puas kita menangis, mencari di mana matahari, rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi yang indah. Hatinya dipujuk lagi dengan nasihat-nasihat ibu. Perasaannya dipapah lagi. Agar dia tega dengan keputusan ayah.Lagipun, jika Zafifah meneruskan kehendak hati untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, siapa pula yang bakal menjaga adik-adiknya? Siapa yang akan mengambil berat kebajikan Zahirah dan Mahirah? Mahu harapkan ayah? Heh, lebih baik tak usah. Selama ini ibu sahajalah yang menjaga mereka adik-beradik. Semenjak kecil ibulah segalanya untuk mereka. Ayah? Hanya pada hujung nama. Selain itu tiada apa yang ayah berikan kepada mereka, apatah pula ibu sendiri. Selain kesakitan, tiada apa pun yang pernah ayah berikan untuk ibu. Walaupun ada ketika hati Zafifah amat dambakan kehadiran ibu semula dalam hidup mereka, namun sering kalinya dia amat bersyukur dengan pemergian ibu. Paling tidak, ibu tidak perlu bersusah payah lagi. Tidak perlu merasa sakit-sakit yang dihadiahkan oleh suaminya sendiri! Ayah tidak punya hati dan perut. Sanggup menyakiti tubuh ibu tanpa belas. Sudahlah hati ibu dicarik dengan sikap kaki perempuannya, tubuh ibu turut dilukai. Ibu tidak pernah bahagia dengan ayah. Zafifah nampak semua itu semenjak dia kecil. Namun, senyum ibu tak pernah tersasar. Tetap lembut dan manis. Seolah-olah hidupnya cukup bahagia, amat gembira. Ibu tetap sembunyikan kenyataan yang dilihat dan didengar oleh mereka. Itulah ibu, pemimpin dalam keluarga mereka yang empat orang itu, sebagaimana namanya Saiyidah. Hanya mereka berempat, tanpa ayah yang ada bagai tak ada. Dan kini, sudah hampir empat bulan Saiyidah kembali ke rahmatullah. Spontan bibir Zafifah terkumat-kamit menghadiahkan al-Fatihah buat ibu, mengharapkan ketenangan ibu di sana. Menginginkan ibu dicucuri rahmat-Nya jauh di sana. Ibu seorang isteri yang taat dan patuh kepada ayah, sekalipun ayah melayan ibu bak hamba. Ibu juga seorang ibu yang penyayang dan pengasih. Sering mengajar dia serta adik-adiknya agar bersabar dengan ketentuan dan dugaan-Nya. Kata-kata yang sering ibu ungkapkan meniti ruang telinganya. Serasa ibu sendiri memetik kata-kata itu. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.Ibu, jasa ibu terlalu banyak untuk along dan adik-adik. Ibu mendidik kami agar menjadi anak solehah. Ibu takkan kami lupakan sampai bila-bila dan kami akan sentiasa mendoakan ibu. Tenanglah di sana, ibu…“Along tak tidur lagi?”Suara halus dan serak itu membuatkan Zafifah menoleh kepala. Tubir matanya menerpa batang tubuh adik bongsunya, Mahirah, yang lebih selesa dengan panggilan adik dalam kalangan mereka tiga beradik. Dia sendiri sebagai along, Zahirah pula angah.“Adik? Along ingatkan adik dah tidur…” Zafifah bangkit dari sofa yang menjadi habuan punggungnya semenjak tadi. Matanya yang segar membuatkan dia keluar dari bilik, memilih untuk duduk berangan tak sudah di ruang tamu yang agak luas itu.“Adik nak ke tandas…” Sambil menggosok mata, Mahirah menjawab. Jalan pun melelong semacam.Zafifah mengukir senyum kecil dengan gelagat adiknya. Dia mengelus rambut Mahirah yang keriting halus dan hitam. Tak ubah bak rambutnya. Malah Zahirah pun sama. Mereka bertiga punya rambut keriting halus dan hitam, bak ibu. Wajah mereka juga saling tak tumpah, diwarisi daripada ibu. Bezanya Zahirah dan Mahirah berkulit sawo matang sedang Zafifah, bak ibu, berkulit hitam manis.“Nak along temankan?”Mahirah menggeleng. “Along tu, kenapa tak tidur?”“Kejap lagi along tidur. Dah… pergi tandas cepat dan tidur. Esok sekolah kan...”Mahirah angguk kepala seraya terus mendapatkan tangga yang membawa dia ke bahagian dapur. Zafifah pula berdiri sahaja di tempatnya sehinggalah Mahirah kembali. Dahi adiknya dikucup lalu diarah tidur semula. Mahirah menurut dengan mata kuyu yang memang sudah tidak sabar mahu meletak kepala ke atas bantal semula.Mahirah, adik bongsunya itu baru berusia 13 tahun. Masih dalam tingkatan satu. Manakala Zahirah pula dalam tingkatan tiga. Kini, dialah yang menjaga kedua-dua adik-adiknya itu. Boleh dikatakan semenjak ibu terlantar sakit, dia yang menjadi ibu kedua untuk adik-adiknya dan dia lakukan tanggungjawab itu dengan hati yang ikhlas. Demi kasih sayangnya kepada Zahirah dan Mahirah, apa sahaja sanggup dikorbankan. Tambahan pula ayah tidak pernah menjadi ayah yang layak. Sesudah kematian ibu, belum sampai satu bulan, ayah sudah mencari pengganti ibu. Hati Zafifah amat sakit kerana ayah tidak sedikit pun menghormati ibu, sekalipun selepas ibu tiada. Heh, saat ibu masih ada pun ayah tidak pernah hormati ibu… apatah lagi kala ibu tiada. Apa yang dia harapkan daripada ayah? Setia kepada ibu? Sesuatu yang tidak mungkin!Ayah kini sudah punya isteri baru. Seorang janda yang kematian suami tanpa anak. Emak tirinya itu masih muda. Baru berusia 30 tahun. Walaupun dia jengkel dengan wanita itu, namun sedaya mungkin dia cuba hormati wanita tersebut. Malah rasa belas turut tercalit di hati, kerana dia tahu emak tirinya itu turut menanggung apa yang pernah ditanggung oleh ibu dahulu. Kesan lebam dan luka yang kelihatan pada wajah dan tubuh wanita itu menjawab segala.Ketukan pintu yang bertalu, mengejutkan Zafifah. Tersentak apabila keheningan malam dihambat oleh talu-talu ketukan daun pintu. Bagai mahu diroboh orang.“Mesti ayah…” ucap Zafifah perlahan.Hmm, entah di mana ayah menghabiskan masanya sedang jam sudah hampir 2.00 pagi. Mujur juga ayah pulang. Ada ketikanya lelaki itu tidak menjenguk rumah langsung. Tapi Zafifah bahagia jika begitu. Sekurang-kurangnya rumah itu aman dan damai. Tanpa jerit pekik ayah yang pulang mabuk, hilang waras.“Buka pintu nilah! Aku dah balik ni. Pekak ke?!” Jeritan lantang dan melangsing ayah buat Zafifah lekas-lekas mendapatkan pintu. Pasti ibu tirinya sudah nyenyak di bilik tidur sana. Langsung pintu kayu itu dibukanya. Tak hendak pekik lolong ayah atau hentak tangan ayah mengejutkan Zahirah dan Mahirah yang bersekolah pagi nanti. “Kau buat apa, hah? Lama sungguh nak buka pintu!” tengking ayah seraya menolaknya kasar dan berlalu. Zafifah mengerutkan hidung apabila bau arak menjengah lubang hidung. Namun semua itu tidak menghalang bau busuk itu menerobos masuk. Terlalu kuat! Astaghfirullah. Entah bilalah ayah akan sedar. Ibu pernah nasihatkan ayah dulu, namun lempangan diterima. Konon ibu cuba mengajar ayah sedang ayah lebih tahu apa yang baik dan buruk untuknya.Zafifah hanya melihat ayah terhuyung-hayang melangkah, mendapatkan bilik tidurnya yang agak ke belakang. Dengan gelengan kepala, Zafifah kembali mengunci daun pintu. Entah sampai bilalah ayah akan begini. Ya Allah, Kau bukalah pintu hati ayah yang terlalu kejap tertutup itu. Berilah peluang kepadanya, ya Rabbi. Tunjukkanlah dia jalan kembali kepada-Mu, wahai yang Maha Perkasa. Walaupun dia hanya ayah tiri, dia tetap ayah dan tetap aku ini anaknya.Akhirnya Zafifah mengorak kaki ke dapur. Mahu ke tandas. Menghilangkan mual-mual yang terasa semenjak ayah masuk ke rumah itu. Sesudah keluar dari tandas, dia bingkas mendapatkan biliknya. Matanya sudah mula memberat pula. Letih badannya kerana seharian mengurus rumah menambah rasa kantuk yang tiba-tiba menyerang. Letak sahaja kepala ke bantal, Zafifah akhirnya terlena. Bau arak yang tiba-tiba menangkap hidung membuatkan Zafifah tersedar daripada tidur. Dia masih berbaring di atas katilnya, namun mata sudah terbuka luas, cuba melawan kegelapan bilik itu. Dia senang tidur dalam gelap, namun kini menyesal pula kerana memadamkan lampu biliknya. Susuk tubuh seseorang yang memasuki biliknya buat Zafifah berjaga-jaga. Rasa bimbang menerpa, rasa gusar menghambat. Bunyi selak pintu ditutup buat dia kian gelabah.“Siapa?” Zafifah bingkas melompat turun dari katil. Mahu cepat-cepat mencapai apa sahaja yang sempat. Sebagai langkah keselamatan. Namun, belum sempat Zafifah lakukannya, tubuhnya lebih dulu disambar. Dia kembali terlontar ke atas katil dan tubuh itu, yang sarat dengan bau arak, menghimpitnya. Tangan kasar itu berada di mana-mana, setiap inci tubuhnya.“Subhanallah!” Zafifah tahu siapa lelaki itu. Ayahnya sendiri! Sekuat mungkin, Zafifah cuba menolak tubuh ayah. Tapi ayah bak dirasuk. Cuba mengucupnya. Dia tingkatkan usaha, namun ayah nyata lebih kuat. Dikawal oleh nafsu. Dibelenggu syaitan durjana. Dayanya tiada, usahanya tiada. Ya Allah…
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 19, 2012 00:27
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.