.: dalam satu rasa [1] :.

2011AGENSI 3SAI kelihatan sibuk. Nampak kelam-kabut pun ada. Ruang pejabat yang memuatkan tiga bilik utama dan satu ruang besar, berhadapan dengan tiga bilik utama. Satu dijadikan bilik bos dan satu lagi bilik pengurus akaun. Manakala bilik akhir yang lebih luas dan besar dijadikan bilik mesyuarat. Di ruang besar yang ada pula, berdiri kubikel-kubikel untuk staf-staf Agensi 3SAI yang hanya seramai sembilan orang. Dan ketika ini, ruang di tengah-tengah itu nyata tidak serupa dengan hari-hari sebelumnya. Entah kekusutan apa yang melanda.Mahirah yang berdiri di hadapan cermin jernih bilik kakaknya, Zahirah, hanya diam memerhati segala gerak laku staf-staf Agensi 3SAI. Sibuk semacam aje dia orang ni. Sempat hati kecilnya mengomen sendiri. Sudahnya dia berlalu dari cermin jernih itu, yang boleh menampakkan keseluruhan ruang tengah pejabat itu. Memang sengaja kakak sulungnya memilih design sebegitu. Malahan boleh dikatakan Agensi 3SAI bermula kerana kakaknya itu. Hasil cadangan alonglah wujudnya Agensi 3SAI.“Apa kesnya kat luar tu? Macam kena serang todak aje!” Mahirah mengorak kaki perlahan-lahan seraya mendapatkan meja Zahirah, menarik salah sebuah daripada dua kerusi yang diletak di situ, bertentangan dengan Zahirah yang nampak khusyuk menatap skrin komputer.“Hmm?” Hanya itu balasan Zahirah. Sebenarnya dia tidak dengar sangat apa yang dikatakan oleh adik bongsunya, yang nyata pelik dengan gelagatnya kini. Masakan tidak, mana Zahirah pernah acuh tak acuh melayan adiknya itu. Lagipun, memang dia bukan jenis yang ambil lewa apabila orang bercakap dengannya. Sepenuh tumpuan akan diberikan. Namun kali ini dia agak tersasar. Semuanya kerana satu e-mel misteri yang diterima hari ini.Misteri ke? Kerutan pada dahi Zahirah kelihatan.“What is wrong with every people around here? Dia orang nampak busy dan angah nampak lost! Yang masih okey, adik dan along. Apa yang tak kena ni?” Mahirah memuntahkan rasa hairan, juga rasa tidak puas hati atas layanan yang diterima daripada Zahirah.Zahirah ketawa kecil. Lucu melihat raut muka Mahirah yang bercampur aduk rasa ketika ini—rasa tidak puas hati dan pelik saling bertingkah.“I’m so sorry, my dear sister. Sebab tak bagi tumpuan pada awak. Sebenarnya angah sendiri tak tahu apa yang sedang berlaku kat luar tu. Sejak tadi, setengah jam tadilah rasanya… kelam-kabut macam tu. Accident pun ada berlaku tau.”“Accident?” Mahirah menyelesakan punggung di kerusi. Tertarik dengan topik yang dibangkitkan oleh Zahirah.“Yup. Tadi, Aprita terlanggar Olinda sebab masing-masing kalut dengan hal masing-masing sampaikan tak perasankan diri masing-masing.” Zahirah terdiam. Nampak berfikir. “BM yang betul ke tu?”“Whatever! Asal adik dapat apa yang angah cuba sampaikan. Adik rasa ada kes barulah yang masuk. Kalau tak, takkanlah macam tu punya ribut. Tapi adik mesti takkan tau semua tu. Sebab adik tak diperlukan oleh syarikat ni atau along dan angah. Adik kena cari kerja. Padahal along ada syarikat sendiri dan boleh ambik adik bekerja.” Mahirah mencemik mulut.Zahirah menutup mulut. Mahu tertawa kuat dan lanjut, bimbang pula hati Mahirah tergores. Adiknya itu memang girang dan happy go lucky. Tapi sekali merajuk… peh! Parah orang yang nak memujuk.“Nak gelak, gelak. Tak payah tahan. Kang terkentut kang…”Kali ini Zahirah tidak terus menahan tawa. Sebaliknya selamba sahaja dia menghamburkannya. Semahunya. Sehinggakan suasana kelam-kelibut di luar sana jadi reda tiba-tiba. Masing-masing terhenti daripada melakukan kerja masing-masing. Yang tengah berjalan pun sama mati langkahnya, terus menghantar pandang ke bilik Zahirah, pengurus bahagian akaun syarikat itu. Sudahnya, masing-masing mengukir senyum kecil lalu meneruskan kerja masing-masing.“Adik… adik…” Akhirnya tawa Zahirah mula surut, cuba mengatur nafas agar dirinya kembali normal. Tidak mahu mengejutkan ruang pejabat itu sekali lagi. Bukan Zahirah tidak nampak apa yang berlaku di luar sana. Ketawanya membuatkan banyak kaki terhenti malah tangan-tangan yang cekap dengan pekerjaan turut sama mati. Power betul gelak dia.Zahirah menarik nafas panjang lalu dihela. Terus menyambung kata apabila Mahirah masih menarik muka. Dia tahu gadis itu tidak marah atau merajuk dengannya, sebaliknya Mahirah sebetulnya masih geram kepada along.“Adik, along tu sayang sangat kat adik. Angah pun sama. Bukan tak nak adik kerja kat sini, tapi kalau boleh… tak payahlah. Staf dah cukup. They could handle all the cases we got. Malahan kebanyakan kes kita, lebih 90% memang sukses. Dia orang tu profesional. Dia orang belajar semua ni.”“Tapi, angah, sebelum dia orang jadi profesional, dia orang belajar dulu. Malah tujuh daripada sembilan staf yang kita ada, tak ada sebarang pengalaman dalam hal-hal macam ni. They learned by making mistakes and eventually they did well. Benda ni perlukan pengalaman. Belajar daripada pengalaman. Dan, adik boleh lakukannya. Tapi adik tak faham kenapa along…” Mahirah tidak meneruskan kata. Bimbang hatinya diamuk perasaan marah lebih-lebih punya.Mahirah amat menghormati along malahan alonglah segala-galanya untuk dia semenjak mereka sama-sama larikan diri daripada segala kekejaman silam. Selain mak su, yang mengambil mereka dan memberikan mereka segala kebahagiaan, along adalah segalanya. Tapi, entah kenapa, kakaknya itu tidak faham akan apa yang dia ingini. Sudah lama dia mengharap malahan sudah lama dia menagih, jawapan along tetap serupa. Tidak, tidak dan tidak.“Along buat semua ni demi masa depan adik. Demi adik. Adik faham kan maksud along? Faham kenapa along nak jaga adik?”“Benda ni takkan lukakan adik. Tak mungkin cederakan adik. Ni apa yang adik sendiri nak. Adik nak tolong orang kat luar sana. Itu yang adik harapkan. Adik tak mau lahirkan seorang ‘ibu’ lagi. Tak jugak seorang ‘mak cik’. Kita dengar semua tu dulu, angah, kita dengar. Mungkin tak nampak, tapi dengar. Tapi kita tak boleh buat apa-apa. Sekarang adik ada peluang, untuk menghalang daripada dengar lagi. Untuk bertindak supaya tak akan dengar lagi. Tapi along... hah, tak bagi. Kenapa? Angah boleh, kenapa tak adik?!” Suara Mahirah sedikit kuat. Mungkin kerana terlalu diikutkan oleh perasaan.Zahirah hanya diam. Merenung sahaja Mahirah yang memang jelas hampa dengan keputusan dan ketegasan along.Mahirah melepas keluhan kesal. Menggeleng kecil sendirian. “Sorry. Adik tak patut tinggikan suara kat angah macam tu. Bukan salah angah pun. Lagipun, adik sedar, angah pun tak boleh buat apa yang adik inginkan. Along bukan saja larang adik, malah angah pun sama. Sorry…”Zahirah senyum tipis. “Tak apalah. Angah tak ambik hati sebab angah dah kenal dengan perangai adik. Adik tu jenis menentang. Kalau nak, nak jugak.”“Angah pulak jenis beralah. Kalau nak, tapi dikata jangan, menurut. Angah tak keras kepala macam adik. Sebab tu angah turut. Kan?”Zahirah tidak memberi jawapan. Hanya melebarkan senyum.“Actually, what were you looking at just now? Sampai tak sedar soalan adik. Angah tak pernah tersasar daripada bagi tumpuan bila orang sedang bercakap. What is it?”“Tak ada apalah. Just an e-mail…” Spontan Zahirah menjeling semula skrin komputer. Masih tertera e-mel yang diterimanya itu. Daripada siapa, dia sendiri tidak pasti.“An interesting one. Sebab tumpuan angah berkalih daripada soalan adik tadi. Boleh tengok tak?” Mahirah tayang gigi. Sesekali mengelip-ngelipkan mata.“Hah, rasa comellah tu!”Sengih Mahirah melebar. Menampakkan batang-batang giginya, termasuklah gigi siungnya yang berlapis, saling tidak tumpah dengan Zahirah sendiri. Mereka ada senyum Ryoko Hirosue kata Mahirah. Sebab itu Mahirah minat pelakon Jepun yang pernah popular satu masa dulu itu.“Comellah tu…” Zahirah tersenyum dalam gelengan. “Dah, dah. Tak payah tayang muka comel tu. Kalau nak tengok, tengoklah. Tak ada menariknya pun. Orang salah hantar.”Mahirah menjerit suka seraya bangkit dari kerusi. Terus menerpa ke arah Zahirah lalu mendapatkan komputer kakaknya. Sempat lagi hempuk bahu Zahirah. Mahu gadis itu bangun dari kerusinya dan memberi ruang kepada Mahirah untuk membaca e-mel tak ada menariknya itu dengan penuh selesa. Bersama muka tak puas hati, Zahirah menurut kemudian bergerak ke arah cermin di hadapan, yang memisahkan biliknya dari ruang hadapan yang dipenuhi kubikel. Masih bak dilanggar todak. Apalah yang dah jadi agaknya? Hatinya sempat menyoal diri sendiri. Makin pelik melihat keadaan Agensi 3SAI. Kalau semenjak pagi tadi, tak apalah juga. Tapi, tiba-tiba sahaja jadi begini.“Hmm, this is nice!” ujar Mahirah tiba-tiba.Perhatian Zahirah turut beralih daripada ‘pemandangan’nya. Dilihat paras adik bongsunya yang masih tersengih. Mahirah memang kaki senyum antara mereka tiga beradik. Senyuman itu juga telah berjaya memikat ramai teruna. Malah kecantikan asli milik Mahirah, yang jelas menandingi mereka tiga beradik turut buat gadis itu jadi perhatian. Namun Mahirah bukanlah jenis yang sukakan perhatian. Tak pernah satu pun antara cubaan mengurat jejaka-jejaka yang jatuh sayang kepadanya berjaya mengisi ruang kosong di hati gadis itu. Sebaliknya, mereka hanya menjadi teman Mahirah. Itu paling jelas kerana kawan lelaki Mahirah melebihi kawan perempuannya.Mahirah berdeham beberapa kali lalu bersuara sekuat mungkin. Untuk telinganya dan telinga Zahirah.“Hans. Maksudnya untuk Hans. Ini apa yang kau minta daripada aku. The best I can do to help you. Harap akan puaskan hati kau. And, your beloved wife. Aku akan buat bodoh tentang hal ni. Don’t worry. Hanun. Hmm, Hanun ni nama lelaki ke perempuan yek?”“Tak perlu fikirkan hal tu. Tak penting pun.” Zahirah mencebik mulut. Terus berdiri di hadapan cermin namun membelakangkan ruang tengah pejabat. Memberikan tumpuan kepada Mahirah. Berpeluk tubuh.“Tak perlu fikirkan hal tu. Tak penting pun,” ajuk Mahirah nakal. “Angah, kalau tak penting, kenapa perhatian angah asyik ke skrin ni? Hmm?” sakat Mahirah menjongket-jongket kening.“Stop it, adik!”Mahirah ketawa nakal. “E-mel ni tentu daripada lelaki. This Hanun, must be a man. Adik yakin.”“Hanun… boleh jadi Hanum. Dia salah eja nama dia sebagaimana dia salah eja alamat e-mel tu. Atau…”Mahirah yang mulanya dengar omel Zahirah sambil tekan-tekan punat papan kekunci, bingkas memintas. “Atau nama dia adalah Hanun, yang bermakna kesayangan. Adik baru tanya pak cik Google, nama Islam bawah nama anak lelaki. Makanya, Hanun ni adalah seorang lelaki. Kan?”“Ikut suka hatilah!” Zahirah malas mahu panjangkan topik Hanun lagi. Tak penting langsung. Lebih penting untuknya menyudahkan kerja-kerjanya. Memang syarikat ini milik along, malah dia dan Mahirah sendiri ada syer. Tapi tak bermakna dia boleh sambil lewa bila melibatkan kerjanya. “Angah tak bukak ke apa Hanun attached? Seems interesting. Hmm, Sonata? Rasanya lagu tu.”“Don’t you dare open it. Mungkin itu privasi penghantar dan penerimanya. Jangan nak bukak, okey!” arah Zahirah tegas.“Okay, fine. Why are you so angry about it?”“I’m not angry, sweetheart. Cuma tak suka. Privasi orang tak perlu…”Ketukan pada pintu yang kedengaran membuatkan bicara Zahirah terhenti. Dia menoleh kepala ke muka pintu. Perhatian Mahirah juga turut berkalih ke situ. Tidak lagi pada e-mel yang dihantar oleh Hanun atau pada perang mulut sama ada Hanun adalah seorang lelaki atau perempuan.“Come in,” ucap Zahirah akhirnya apabila ketukan kian rancak. Lupa pulak nak ajak masuk. Kesian, lebam kang jari orang yang mengetuk pintu tu. Siapalah agaknya?Soalan ‘Siapalah agaknya?’ terjawab apabila seorang gadis genit membuka daun pintu. Kelihatan Elya di situ. Sebelah tangan masih pada tombol, sebelah lagi memeluk erat dua buah fail ke dada.“Yes?” soal Zahirah melangkah mendekati Zana. Wajah itu nampak kusut.“Kak Zafifah nak jumpa Zahirah dan Mahirah, di biliknya. Sekarang.”Zahirah dan Mahirah saling menghadiahkan pandangan. Kehairanan. Itu bukan jenis along mereka. Selalunya, hendakkan apa-apa, Zafifah akan datang mencari. Bukan hantar orang mencari laksana mem besar.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 25, 2012 09:30
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.