Suara Keadilan's Blog, page 584
February 13, 2013
Kerajaan dicabar beri segera permit teksi individu
Kerajaan dicabar beri segera permit teksi individu
(Oleh Norutul Ilham)
KUALA LUMPUR 13 FEB: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin mencabar kerajaan segera selesaikan tuntutan permit individu kepada pemandu teksi dan tidak lagi bergantung kepada syarikat teksi yang kebanyakannya dimiliki kroni Umno.
Zuraida berkata, kebisuan kerajaan berhubung tuntutan tersebut yang disifat sebagai sistem perhambaan bagi mencekik darah rakyat memberi kesan kepada Umno BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.
“Kita cabar kerajaan tangani masalah permit pemandu teksi. Keluarkan mereka daripada perhambaan dan tekanan sebegini. Mereka hanya mahu cari rezeki.
“Hari ini kita bersama kumpulan pemandu teksi menuntut supaya mereka dapat permit,” katanya pada sidang media di pintu masuk Stesen Kuala Lumpur Sentral, di sini hari ini.
Terdahulu, Zuraida bersama Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid mengedarkan pelekat kereta Kempen Tuntut Permit Teksi di depan pintu utama Hotel Hilton Kuala Lumpur.
Ia lokasi pertama kempen tersebut dengan cetakan sebanyak 5,000 pelekat untuk diedarkan sepanjang minggu ini.
Sementara itu, Abdullah Sani membidas kerajaan yang sanggup mendahulukan kroni tetapi mengabai sengsara rakyat.
“Kenapa kerajaan tak bagi permit? Sebabnya mereka bela kroni di belakang mereka. Sekiranya Pakatan Rakyat menang kelak, kita akan bagi pemandu teksi permit individu supaya mereka boleh mencari rezeki dengan selesa tanpa ada pihak yang ambil kesempatan atas kesusahan mereka.
“Sampai hari ini kerajaan masih diam. Pemandu teksi minta permit diberinya tayar, sampai bila pun tak selesai. Umno BN tak pernah faham apa derita rakyat,” kata Abdullah.
Pengerusi Gerakan Tuntutan Permit Teksi Malaysia, Mohamad Ridzwan Mohamad Daud yang hadir sama turut mendesak kerajaan menyegerakan tuntutan pemberian permit teksi kerana mereka cukup terbeban caj sewaan harian teksi.
“Orang tengah yang menyewa permit teksi kepada pemandu yang layak mengenakan caj sewa harian teksi tidak munasabah dan membebankan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu prihatin kebajikan pemandu teksi sebagai isu pokok yang menjadi sasaran utama mereka.
“Sistem pengurusan pemandu teksi perlu dirombak dan kebajikan mereka merangkumi aspek menyeluruh termasuk kesihatan dan keselamatan kerjaya seperti KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) harus diberi perhatian.
“Lebih 80,000 pemandu teksi di Malaysia menghadapi pelbagai masalah dari segi pengurusan sehingga kebajikan mereka terabai,” kata Ridzwan.
Tindakan mahasiswa cabar Najib PRU-13 tepat- Mantan Presiden SMM
Tindakan mahasiswa cabar Najib PRU-13 tepat- Mantan Presiden SMM
Saya sekadar menjadi penonton kepada Gerakan Mahasiswa PRU-13, oleh itu agak malu alah untuk saya memberi komen yang keterlaluan terhadap inisiatif yang mereka lakukan. Cuma, jika dikatakan Gerakan Mahasiswa hilang arah, saya rasa kenyataan itu salah. Gerakan Mahasiswa masih berada pada arah yang tepat dan konsisten dengan matlamat yang diperjuangkan.
Apakah matlamatnya? Sudah tentu menegakkan keadilan dan meruntuhkan kezaliman. ‘Non Partisan’, dan semak imbang tidak pernah menjadi matlamat gerakan mahasiswa. Itu hanyalah langkah yang digunakan oleh Gerakan Mahasiswa untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.
Kali ini, dalam matlamat yang sama iaitu untuk menegakkan keadilan dan menumbangkan kezaliman, mahasiswa memilih langkah yang berbeza tetapi bukanlah perkara asing dan baru. Iaitu mencabar Perdana Menteri di dalam Pilihanraya Umum ke 13.
Ini langkah terberani yang boleh saya simpulkan dalam episod Gerakan Mahasiswa dalam kerangka 3 tahun kebelakang. Bendera Najib pernah diturunkan, dan kini mahasiswa sedang berada dalam fasa yang lebih realistik iaitu ingin menurun Najib daripada kekuasaan yang telah disalah guna.
Oleh itu saya tidak Nampak di mana plot yang dikatakan sebagai Gerakan Mahasiswa hilang arah. Apakah Gerakan Mahasiswa sudah beralih kepada kumpulan ‘pro establishment’? Atau apakah Gerakan Mahasiswa sudah kembali menganuti fahaman perjuangan bilik kuliah? Atau apakah Gerakan Mahasiswa sudah menjadi balaci parti pembangkang?
Saya kira tidak ada kayu ukur yang jelas untuk mengatakan Gerakan Mahasiswa hilang arah hanya kerana menghantar calon untuk mencabar Najib dalam PRU-13. Jika peristiwa manifesto mahasiswa 1969 dijadikan hujah untuk mengatakan Gerakan Mahasiswa kini hilang arah, saya kira matlamatnya tetap sama.
Jika dulu ada elemen mendidik rakyat, hari ini juga ada elemen mendidik rakyat. Jika dulu ada elemen mengetengahkan idea, hari ini juga ada idea yang dibawa. Jika dulu ada elemen menentang regim, hari ini juga garang menentang regim.
Bahkan jika hendak dibandingkan, suasana politik dahulu jauh lebih kondusif berbanding hari ini apabila media utama masih tidak tertutup seperti hari ini. Wartawan pada waktu itu menjadi aktivis yang digeruni pemerintah. Penipuan pilihanraya juga masih tidak parah dan ruang berkempen masih luas. Oleh itu peluang untuk mengajar regim lebih mudah kerana lapangan pertarungan tampak masih adil.
Namun situasi hari ini sangat berbeza. Lapangan politik terlalu berat sebelah. Kita tidak boleh melihat metod pendidikan politik rakyat dari kaca mata 1969. Langkah-langkah berani atau radikal dilihat perlu dilakukan untuk terus membuka ruang pendidikan politik kepada rakyat.
Jika persoalan persedian menghadapi PRU-13 yang dijadikan hujah untuk mengatakan Gerakan Mahasiswa hilang arah, saya kira itu lebih tidak tepat. Kerana soal persediaan tergolong dalam masalah teknikal yang boleh diselesaikan secara strategik tanpa merencatkan matlamat.
Samada Najib atau BN akan tertawa dengan hasrat mahasiswa ingin bertanding di Pekan, itu hak mereka untuk ketawa atau menangis. Namun tindakan menghantar samseng untuk mengekang kemaraan mahasiswa memberi mesej terang kepada kita mengenai siapa yang ketawa dan siapa yang gelisah.
Dalam sedar atau tidak, sejak tahun 2010 sehingga 2012, sudah lebih 50 orang mahasiswa menjadi mangsa regim Barisan Nasional. Ada yang ditahan dalam lokap polis dan ada yang dipecat daripada universiti. Tahun 2011 mencatat tangkapan Polis paling ramai iaitu mencecah 40 orang.
Saya kira regim BN juga sudah banyak belajar daripada sejarah. Jika kita buat bakti siswa, mereka lebih hebat dengan bakti siswanya. Jika kita buat roadshow kesedaran, mereka lebih hebat dengan roadshow keamanan.
Jika kita beri bantuan beras dan risalah pada orang kampung, mereka beri wang dan astro pada orang kampung. Dalam kerangka politik yang sebegini, saya kira tindakan yang Gerakan Mahasiswa Pru 13 adalah tepat pada waktunya.
Akhirnya, Sejarah untuk dipelajari, bukan untuk diulangi
Sekian.
Syukri Razab
Mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
Selangor anjur Forum Air untuk Rakyat 18 hingga 28 Februari
Selangor anjur Forum Air untuk Rakyat 18 hingga 28 Februari
Tempoh 14 hari untuk Kerajaan Persekutuan umemberi maklum balas kepada hasrat Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih perkhidmatan air akan tamat minggu hadapan.
Oleh itu kita menyeru Kerajaan Persekutuan untuk bertindak secepat mungkin memandangkan isu penyusunan semula industri air ini melibatkan kepentingan rakyat.
Kerajaan Negeri menegaskan ini bukanlah pengambilalihan biasa syarikat komersil. Ini adalah kerana perjanjian konsesi air melibatkan tiga pihak iaitu Syabas, Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang pemegang sahamnya adalah rakyat. Urusniaga sepatutnya tidak boleh berpaksikan keuntungan semata-mata sebaliknya kebajikan rakyat juga perlu diberi keutamaan.
Justeru kita menyeru kerajaan Pusat yang memiliki Golden Share atau saham emas dalam Syabas menggunakan kuasanya bagi memastikan Syabas menerima tawaran kerajaan Selangor.
Kita sudah menyediakan surat tawaran kepada syarikat konsesi dan kita berharap mereka tidak menjadikan faktor harga sebagai alasan untuk menolak tawaran ini. Kita berulang kali menyatakan bahawa syarikat konsesi boleh membawa perkara ini kepada Timbangtara Antarabangsa bagi mendapatkan pampasan yang sewajarnya.
Kita akan memberi penerangan kepada rakyat mengenai pelan dan langkah-langkah yang akan dilakukan kerajaan negeri selepas mengambilalih perkhidmatan air ini pada Forum Air Untuk Rakyat yang akan diadakan selama 10 hari bermula 18 Febuari sehingga 28 Februari di seluruh negeri.
Antara speaker yang terlibat ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar,;Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin.
Kita akan mengiklankan tarikh dan tempat forum air ini akan diadakan di beberapa akhbar utama untuk memudahkan rakyat merancang dan membuat persediaan awal. Kita berharap rakyat dapat menggunakan forum air ini sebagai platform untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini berhubung isu air di Selangor dan Lembah Klang.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR
Deepak harap bantuan k’jaan baru jika AG gagal beri imuniti
Deepak harap bantuan k’jaan baru jika AG gagal beri imuniti
(Oleh Ruqayya Rahman)
PUTRAJAYA 13 FEB: Usahawan permaidani, Deepak Jaikishan berharap permohonannya untuk mendapat perlindungan sebagai saksi dari Peguam Negara (AG), diterima kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13), jika ditolak Tan Sri Abdul Gani Patail dalam sebulan.
Deepak menyerahkan permohonan tersebut hari ini di pejabat AG, di sini.
Beliau ditemani Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Peguam PAS, Asmuni Awi.
Permohonan itu untuk membolehkan Deepak mendedahkan segala maklumat diketahui beliau berkaitan akuan bersumpah kedua oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala) berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Menurut Deepak, segala dokumen dan bukti hanya akan diserah kepada Peguam Negara selepas beliau diberikan sijil imuniti oleh kerajaan Malaysia, merangkumi semua undang-undang negara.
“Kita bagi tempoh sebulan kepada Jabatan Peguam Negara untuk respon. Jika tiada sebarang respon, saya harap waktu itu sudah berlaku pertukaran kerajaan baru…Biar mereka pula yang bertindak,” kata Deepak pada sidang media selepas penyerahan surat tersebut.
Surat itu hanya dapat diserahkan kepada pegawai Abdul Gani memandangkan beliau sedang bermesyuarat.
Berharap PRU 13 akan bertukar kerajaan baru, Deepak hari ini turut menyerahkan salinan surat terbuka beliau kepada Tun Dr Mahathir Mohamad meminta mantan Perdana Menteri itu mencadangkan supaya Najib meletakkan jawatan dan menjalankan pilihan raya dalam masa 60 hari.
“Jika sistem perundangan negara tidak mampu berlaku adil, perubahan kerajaan adalah jalan seterusnya,” kata Deepak yang dipercayai kerajaan baru dimaksudkannya adalah Pakatan Rakyat.
Beliau juga sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi penguatkuasaan untuk memberi maklumat lanjut berikutan penglibatan Perdana Menteri dalam kes itu.
Dalam surat tersebut, Deepak berkata, beliau langsung tidak terlibat di dalam perbuatan kedua-dua SD yang bertarikh 1 Julai 2008 dan 3 Julai 2008.
Kata Deepak, penglibatannya hanya bermula selepas SD1 muncul apabila beliau dihubungi Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, bagi membantu membersihkan nama Perdana Menteri apabila Datuk Seri Najib Razak dilibatkan secara langsung dalam SD1.
Menurut Deepak lagi, beliau juga tidak kenal rapat dengan Bala.
Deepak sebelum ini mendakwa, beliau terlibat dalam pembikinan SD 2 selepas diminta oleh rakan rapatnya, Rosmah.
Beliau diminta oleh Rosmah yang dianggap sebagai ‘kakak’ itu berbuat demikian selepas PI Bala membuat sidang media
mendedahkan pengakuan bersumpahnya yang pertama.
Dalam akuan itu, Bala mendakwa Najib terlibat dalam kematian Altantuya yang dibunuh secara kejam di hutan simpan dekat Puncak Alam pada 2006.
Melalui SD 2 yang dibuatnya, Bala menarik balik segala pengakuan beliau dalam SD 1.
Deepak berkata, beliau membawa Bala menemui adik Najib, Nazim Razak di sebuah pusat membeli belah di Mutiara Damansara.
Dalam pertemuan itu, Deepak berkata, pelbagai janji dibuat oleh Nazim bagi pihak Najib kepada Bala.
Ekoran itu, Bala membuat SD 2 yang bercanggah sama sekali dengan SD 1.
Deepak memohon Peguam Negara memberi perlindungan kepadanya sebagai saksi dalam kes ini berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Negara yang memberikan kuasa kepada AG untuk membuat pendakwaan.
“Kita datang bagi sokongan moral kepada Deepak, bukan atas kapasiti politik tapi sebagai rakyat yang sama-sama mahu lihat kebenaran,” kata Mahfuz.
February 12, 2013
Samseng Umno serang siswa dengan parang, Najib dituntut minta maaf
Samseng Umno serang siswa dengan parang, Najib dituntut minta maaf
PEKAN 13 FEB: Dua siswa dan dua siswi dari kumpulan Gerakan Mahasiwa PRU-13 diserang dengan parang oleh samseng Umno di Felda Chini 4, dalam Parlimen Pekan, pagi tadi.
Kumpulan itu diserang ketika mengedar risalah dan surat ‘Harapan mahasiswa untuk rakyat Pekan’ dari rumah ke rumah di kawasan Felda berkenaan pada jam 11 pagi.
Seorang siswa terlibat, Safwan Shamsudin berkata, kumpulan lima individu bermotosikal itu mengepung dan mengacukan parang ke arah mereka.
Menurut Safwan, kumpulan tersebut turut mengeluarkan kata-kata kesat serta mengarahkan beliau dan tiga lagi rakannya supaya keluar dari tempat kejadian.
“Bila nampak parang, kami pun beritahu (kepada pemuda bermotosikal), kami akan beredar. Salah seorang mereka merampas risalah (surat) yang kami bawa,” kata siswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya itu lagi.
“Kami beredar balik ke rumah penunjukkan arah yang terletak kira-kira 500 meter daripada tempat insiden berlaku,” katanya dipetik.
Ekoran itu, Safwan membuat laporan di Balai Polis Chini tengahari tadi.
Ini serangan kedua selepas mahasiswa turun berkempen di kawasan Parlimen Datuk Seri Najib Razak itu.
Bukti Najib takut mahasiswa
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, insiden ini bukti Najib goyah dan takut keputusan mahasiswa untuk melawan beliau pada pilihan raya umum (PRU).
“Jelas ada kegusaran sebenar yang disembunyikan Najib selaku orang nombor satu Umno yang bukan sahaja goyah di peringkat nasional, tetapi juga mungkin merasa bahang dibenci di kawasan sendiri,” kata Azmizam dalam kenyataannya.
Menurut Azmizam, insiden serangan ke atas mahasiswa itu juga simbol kelemahan pentadbiran Najib yang semakin ditolak rakyat.
“Najib sebagai Ketua Umno Bahagian Pekan juga gagal melakukan transformasi terhadap ahli parti di tempat sendiri. Ini jelas menunjukkan kelemahan pentadbiran beliau,” katanya.
“AMK Selangor percaya jika kawasan Parlimen yang diwakili Perdana Menteri sendiri tidak selamat untuk satu kempen demokrasi yang bebas, apakah nasib individu atau kumpulan lain yang cuba menjual idea dan hujah terutama ketika bahang PRU 13 semakin hampir,” kata beliau.
Ekoran itu, beliau menuntut Perdana Menteri mohon maaf dan bertanggungjawab atas keganasan tersebut.
Semalam, tiga mahasiswa diserang samseng Umno di Kampung Datuk Keramat, Ganchong, Pekan.
Salah seorang siswa itu, Ekhsan Bukhari, bekas Timbalan Presiden Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi).
Kumpulan siswa berkenaan mendakwa ditumbuk dan disepak di kepala dan badan oleh lelaki tidak dikenali dalam kejadian pada kira-kira jam 1 petang itu.
Mereka dihalang ketika mengedarkan surat yang sama kepada pengundi di kampung berkenaan.
Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pekan berhubung serangan itu.
Dalam kejadian itu, mereka mendakwa kereta yang mereka naiki disekat, kemudian diminta kad pengenalan.
Selepas itu, mereka ditarik dari kereta dan ditumbuk serta dibelasah oleh samseng berkenaan.
Gerakan Mahasiwa PRU-13 menggerakkan anggotanya untuk mengedarkan risalah berkenaan selepas mengumumkan untuk meletakkan calon di kawasan yang diwakili Perdana Menteri itu.
Buku kedua saya dedah tabiat Rosmah guna bomoh – Deepak
Buku kedua saya dedah tabiat Rosmah guna bomoh – Deepak
(Oleh Ruqayya Rahman)
KUALA LUMPUR 13 FEB: Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan bomoh untuk menguasai pentadbiran kerajaaan termasuk mengawal kontrak Kementerian Kewangan, kata ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.

Rosmah guna ilmu sihir untuk menundukkan suaminya, Najib, kata Deepak.
“Rosmah juga menggunakan ilmu sihir terhadap musuh politik, malah menggunakan bagi ‘menundukkan’ suaminya, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Bercakap kepada Keadilan Daily, Deepak juga mengakui bertanggungjawab membayar dan membawa bomoh berkenaan untuk bertemu Rosmah apabila diminta berbuat demikian.
“Saya yang bawa bomoh itu ke rumah Rosmah di Kuala Lumpur, menyediakan hotel penginapan, tiket perjalanan, malah nombor akaun bomoh itu pun saya ada,” katanya.
Beliau berkata, Rosmah juga menggunakan bomoh berkenaan untuk ‘menundukkan’ sebahagian pemimpin Umno BN yang dirasakannya perlu bagi kepentingan sendiri.
“Bomoh itu digunakan untuk orang akur atau perlu diakurkan. Saya sendiri saksikan upacara perbomohan,” katanya tetapi enggan menjelaskan butiran lanjut.
Deepak juga mengakui memiliki bukti berbentuk gambar, nama, alamat, bayaran berkaitan penggunaan khidmat bomoh yang bakal dimuat dalam buku keduanya.
Beliau yang diketahui umum rapat dengan Rosmah sebelum ini hingga menganggap isteri Perdana Menteri itu sebagai ‘kakak’ bercadang mendedahkan butiran lengkap melalui buku berjudul ‘Black Rose 2.0: Black Magic Women.’
Katanya, buku setebal 47 halaman itu yang dijadual dimuat naik ke internet mulai 16 Februari ini, bakal memapar kecenderungan Rosmah terhadap amalan ilmu hitam.
“Gambar upacara ilmu hitam itu juga dimuatkan dalam buku berkenaan,” kata Deepak.
Mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang meminta supaya Najib tidak melayan pendedahannya, Deepak berkata:
“Mereka boleh tak pedulikan saya tapi mereka tidak boleh nafikan kebenaran dan hukuman tuhan. Saya simpati pada Najib sebab ada isteri sejahat itu,” kata Deepak.
Nurul Izzah hantar jemputan rasmi ajak Nong Chik debat 24 Feb
Nurul Izzah hantar jemputan rasmi ajak Nong Chik debat 24 Feb
(Oleh Aisha Geoffrey)
PUTRAJAYA 13 FEB: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini menyerahkan jemputan rasmi debat kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, dijadual pada 24 Februari ini.
Beliau diwakili Setiausaha Politik, Fahmi Fadzil dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Lembah Pantai, Izhar Yusof.
Mereka tiba di Menara Sri Wilayah, di sini kira-kira jam 11 pagi tadi. Surat jemputan tersebut diserah kepada Pegawai Khas Menteri, Khalilurrahman Kamaruzzaman pada 11.30.
“Kami wakil Ahli Parlimen Lembah Pantai datang untuk menyerahkan jemputan rasmi debat kepada Nong Chik ekoran tohmahan beliau kepada Nurul Izzah berhubung gerak kerja kawasan,” kata Izhar.
“Kita tahu beliau (Nong Chik) menolak sebelum ini. Demi kebaikan penduduk Lembah Pantai, tindakan terbaik adalah kehadiran Nong Chik pada 24 Februari nanti,” katanya.
Nurul Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN dalam jemputan itu berkata, debat tersebut ruang untuk kedua-dua pemimpin menjawab segala persoalan serta tuduhan yang dibuat Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai.
Beliau juga ingin membahaskan haknya sebagai wakil rakyat yang sering dinafi termasuk kekangan untuk menggunakan prasarana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti dewan serbaguna untuk menjalankan program kemasyarakatan.
“Saya turut dinafikan peruntukan Unit Koordinasi Pelaksanaan (ICU-JPM) berjumlah antara RM1.5 juta hingga RM2 juta setahun, sebaliknya disalur kepada Umno Lembah Pantai,” katanya.
Umum mengetahui, Nurul Izzah seperti juga pemimpin Pakatan Rakyat lain turut dinafi liputan media arus perdana untuk menjawab serangan serta tuduhan Nong Chik dan pemimpin Umno lain.
“Kita akan teruskan program (debat) tersebut, walaupun jika Nong Chik tak mahu hadir. Kita mahu wakil atau pegawai beliau untuk turun berdebat,” kata Fahmi ditanya media adakah program akan diteruskan jika Nong Chik berdegil untuk terus menolak.
Debat tersebut seperti terkandung dalam jemputan itu dijadual berlangsung di perkarangan Apartmen Pantai Permai pada jam 9 malam.
Nong Chik pada 9 Februari lalu menolak cabaran berdebat dengan Nurul Izzah atas alasan tiada keperluan untuk berbuat demikian.
“Saya berharap Nong Chik akan terima jemputan ini demi menghidupkan ‘demokrasi terbaik di dunia’, bak kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” sinis Izzah.
Pukul mahasiswa berkempen bukti kelemahan pentadbiran Najib
Pukul mahasiswa berkempen bukti kelemahan pentadbiran Najib
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor hari ini membidas tindakan pengecut ahli Umno di Kampung Datuk Keramat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau ManiS dalam Parlimen Pekan yang bertindak ganas dengan memukul mahasiswa Ekhsan Bukhari, bekas Timbalan Presiden Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) ketika selesai mengedarkan risalah ‘Harapan Malaysia’ semalam.
AMK Selangor melihat insiden keganasan terbaru ini sebagai satu lagi siri kegagalan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, dan juga Ketua Umno Bahagian Pekan yang tidak mampu melakukan transformasi terhadap ahli parti di bahagian sendiri. Kegagalan Najib Razak ini juga dilihat sebagai satu simbol kelemahan pentadbiran beliau yang semakin ditolak oleh rakyat Malaysia.
AMK Selangor mempersoalkan sekiranya benar Najib Razak diterima oleh majoriti mahasiswa seperti yang didakwa dalam satu kajian, mustahil Perdana Menteri itu goyang apabila berhadapan dengan kempen demokrasi yang dilakukan oleh lima orang mahasiswa sahaja?
Jelas ada kegusaran sebenar yang disembunyikan Najib Razak selaku orang nombor satu Umno yang bukan sahaja goyah di peringkat Nasional, tetapi juga mungkin merasa bahang dibenci di bahagian sendiri.
Najib perlu minta maaf & bertanggungjawab
Najib Razak seharusnya bersikap positif dalam isu ini dan meminta maaf secara terbuka kepada kumpulan mahasiswa ini khasnya dan rakyat Malaysia umumnya atas insiden yang tercetus dalam kawasan Parlimen beliau.
AMK Selangor menuntut Perdana Menteri itu bertanggungjawab sebagai Ketua Bahagian dan Perdana Menteri untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berulang lagi.
AMK Selangor percaya sekiranya kawasan Parlimen yang diwakili Perdana Menteri sendiri tidak selamat untuk satu kempen demokrasi yang bebas, apakah nasib individu atau kumpulan lain yang cuba menjual idea dan hujah terutama ketika bahang PRU 13 semakin hampir.
Atau menurut pemikiran AMK Selangor, adakah ini isyarat penolakan dan sabotaj ahli Umno Bahagian Pekan sendiri terhadap Najib Razak, kerana mustahil mereka yang melakukannya tidak sedar akan impak negatif yang akan terpalit pada imej Najib Razak berikutan insiden ini. Najib Razak harus segera menyiasat apakah wujud ‘gunting dalam lipatan’ di bahagian Umno Pekan sendiri.
Namun yang jelas, AMK Selangor bertegas kejadian ganas terbaru ini sama sekali tidak seharusnya berlaku ketika Umno Barisan Nasional mencanang mereka berada pada tahap terbaik untuk menang 2/3 majoriti kerusi di Parlimen dan berada di tahap paling kuat sejak 2008.
AMK Selangor memberikan sokongan padu kepada mana-mana inidvidu dan kumpulan yang ingin terus melibatkan diri dalam proses demokrasi demi masa depan negara yang lebih baik.
AMK Selangor juga memberi jaminan tidak akan wujud kekasaran dan provokasi terhadap mana-mana kumpulan pembangkang dan Umno di Selangor yang turun berkempen, sama seperti kebebasan yang mereka kecapi sejak 2008 kerana Keadilan wujud atas citra anak muda bebas dan cintakan keamanan.
Azmizam Zaman Huri
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Malaysia
Surat Deepak kepada Peguam Negara mohon perlindungan pendedahan isu SD Bala
Surat Deepak kepada Peguam Negara mohon perlindungan pendedahan isu SD Bala
S YBh Tan Sri Abdul Gani Patail
Peguam Negara Malaysia
Jabatan Peguam Negara
No 45, Persiaran Perdana
Prescint 4,
62100 Putrajaya
13hb. Februari 2013
Per: Permohonan Untuk Mendapatkan Perlindungan Daripada Pendakwaan Kenyataan Bersumpah Balasubramaniam a/l Perumal Bertarikh 1Julai 2008 dan 3 Julai 2008
—————————————————————————————————
Adalah dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.
Seperti yang sudah dimaklumi, saya telah membuat beberapa pendedahan kepada beberapa wartawan tidak beberapa lama dahulu mengenai perkara sebenar yang menyebabkan berlakunya pembatalan Akuan Bersumpah bertarikh 1 Julai 2008 (SD 1) oleh Balasubramaniam a/l Perumal melalui Akuan Bersumpahnya yang kedua bertarikh 3 Julai 2008 (SD 2).
Sungguhpun pendedahan saya itu tidak dilaporkan oleh kebanyakan media arus perdana, tetapi ia telah mendapat liputan yang meluas oleh media alternatif yang lain seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan Harakahdaily.
Seperti yang telah saya maklumkan di dalam wawancara tersebut, saya tidak terlibat langsung di dalam pembuatan kedua-dua Akuan Bersumpah tersebut. Saya sendiri tidak kenal rapat dengan En. Balasubramaniam.
Penglibatan hanya bermula selepas munculnya SD 1 apabila saya telah dihubungi oleh isteri YAB Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk membantu YAB Perdana Menteri yang namanya dilibatkan secara langsung di dalam SD 1 tersebut.
Sebenarnya apa yang saya dedahkan di dalam wawancara tersebut hanya merupakan secebis sahaja daripada maklumat sebenar dari maklumat-maklumat lain yang saya miliki mengenai penglibatan YAB Perdana Menteri, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan keluarga mereka di dalam insiden di atas dan kes-kes lain yang berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Di dalam kebanyakan kes tersebut, saya bertindak atas arahan mereka dan terlibat sebagai pemudahcara atau conduit kepada mereka.
Saya bersedia bekerjasama dengan mana-mana agensi penguatkuasaan di dalam negara ini untuk memberikan maklumat selanjutnya mengenai penglibatan YAB Perdana Menteri di dalam perbuatan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan keluarga beliau dengan syarat saya diberikan perlindungan dari sebarang kemungkinan pendakwaan jenayah terhadap penglibatan saya tersebut dengan memberikan kepada saya ‘certificate of immunity’ yang merangkumi semua undang undang negara kita.
Dengan adanya sijil tersebut dan mana mana surat yang akan diperlukan mengikut undang undang negara untuk menjaminkan saya immunity tersebut maka saya boleh memberikan maklumat sepenuhnya tanpa perlu bimbang dengan bayangan pendakwaan jenayah yang mungkin dikenakan terhadap saya.
Adalah menjadi harapan saya agar permohonan saya ini diberikan pertimbangan yang sewajarnya demi untuk keadilan kepada semua pihak dalam masa terdekat iaitu pada atau sebelum 11.3.2013.
Sekian, terima kasih.
Saya yang benar,
………………………………………
Deepak Jaikishan a/l Jaikishan Rewachand
Dr M pelopor projek IC, Anwar & Pak Lah tak terlibat – Pengurus bank
Dr M pelopor projek IC, Anwar & Pak Lah tak terlibat – Pengurus bank
KUALA LUMPUR 13 FEB: Seorang individu yang mengaku bertindak sebagai dalang Projek IC sekitar lewat 80-an dan awal 90-an berkata, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi tidak pernah terlibat dalam operasi itu.
Mat Swadi Awi yang merupakan pengurus Bank Pertanian Malaysia di cawangan Kota Kinabalu pada tahun 1980-an, menceritakan peranannya dalam projek itu bersama bekas presiden Usno, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun dalam temuramahnya dengan Harakah Daily.
Mat Swadi yang mengakui dirinya ‘Gurkha setia’ Abdullah menjelaskan peranannya dalam operasi itu dan menegaskan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terlibat dalam operasi itu.
Beliau turut mengaku menjadi dalang di sebalik kemasukan Umno ke Sabah di samping menghapuskan Usno dari negeri itu.
“Anwar tidak pernah terlibat langsung dalam projek IC ini sebab semua orang Umno tahu bahawa Anwar bukannya ‘sekutu’ dengan Allahyarham Megat Junid (Megat Ayob) dan juga dengan Pak (Tan Sri Aziz Shamsuddin).
“Malah Allahyarham Tun Mustapa dulu pun ada terguris hati dengan Anwar, jadi macam mana Anwar nak terlibat dalam Projek IC ini. Saya tak salahkan Anwar meminta RCI memanggil Tun Abdullah ke RCI. Itu mungkin jawapan beliau secara spontan atau mungkin beliau sengaja menjolok Tun Abdullah untuk menghentam balik Mahathir.
“Tun Abdullah tidak memerlukan projek macam ini untuk menaikkan nama baik beliau. Semua orang tahu bahawa Tun Abdullah tak pernah buat yang bukan-bukan, beliau keturunan keluarga ulama besar,” katanya.
Mat Swadi yang tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan dalam suruhanjaya menyiasat pemberian kewarganegaraan (RCI) di Sabah berkata penglibatan awalnya pada tahun 1980-an adalah bagi membantu Usno dan Mustapha kembali mendapatkan kuasa daripada PBS, dan beliau merupakan kenalan terdekat Mustapha sewaktu usaha tersebut dijalankan.
Tambahnya, lebih 20,000 pengundi baru didaftar dan diagih-agihkan di kawasan yang menjadi tumpuan Usno, dan beliau juga mendakwa pernah bertemu Megat Junid di kediaman Mustapha di Petaling Jaya.
“Saya juga berurusan dengan tentera dan polis, bekerja erat dengan mereka dan turut diperkenalkan kepada Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (pada masa itu), (Tan Sri) Abdul Rashid Abdul Rahman,” katanya.
Projek IC diteruskan di Semenanjung
Menurut Mat Swadi, Mahathir mahu memastikan PBS tumbang di Sabah selepas mereka mengancam mahu membawa negeri itu keluar dari Persekutuan, dan beliau menyokong Usno untuk melaksanakan tugasan itu.
Bagaimanapun, semua usaha berkenaan sia-sia apabila Mahathir membawa Umno masuk ke Sabah dan melantik timbalan Mustapha dalam Usno, Tan Sri Sakaran Dandai sebagai ketua perhubungan negeri.
Beliau turut mendakwa bahawa projek itu diteruskan di semenanjung dengan memberi kad pengenalan biri kepada orang Indonesai di Johor yang ditugaskan untuk memastikan kemenangan Umno BN.
Dakwanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengesan orang Indonesia yang diberikan kewarganegaraan tetapi tidak mengundi Umno BN dan menarik balik kewarganegaraan mereka.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
