Suara Keadilan's Blog

December 30, 2019

Perutusan Tahun Baru 2020 Timbalan Perdana Menteri

2019 merupakan tahun yang penuh cabaran bagi kerajaan Pakatan Harapan melalui fasa baru pentadbiran.


Untuk tahun 2020 marilah kita menumpukan kepada usaha-usaha yang positif kepada rakyat.


Tahun 2020, pasangan yang tidak memiliki cahaya mata boleh mengeluarkan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk rawatan kesuburan in-vitro (IVF) sehingga RM10,000.


Tahun 2020 juga, seorang suami yang penyayang dapat menunjukkan penghargaan kepada isteri dengan menyumbang caruman dua peratus KWSP daripada akaun suami ke akaun isteri.


RM10 juta juga diperuntukkan untuk pembangunan atlet wanita pada tahun 2020.


Tahun 2020 kerajaan akan memperkenal strategi keselamatan siber kebangsaan untuk pengurusan keselamatan siber dan jenayah siber demi perlindungan rakyat.


Wanita berusia di antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih dan yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama 2 dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan dalam tempoh yang sama.


Ini adalah antara langkah-langkah kerajaan yang dapat dinikmati rakyat Malaysia pada tahun 2020.


Kita berjanji untuk terus menentang rasuah pada tahun 2020.


Tahun 2020, kita berjanji untuk meneruskan perjuangan ke arah pembentukan Malaysia Baharu yang kita idamkan.


Selamat Tahun Baru Malaysia!


YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr Wan Ismail

TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

PUTRAJAYA

31 DISEMBER 2019

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 30, 2019 20:10

Identiti rakyat Malaysia ditahan di Iran sedang dikenal pasti

Identiti kapal dan 16 orang anak kapal yang dipercayai warganegara Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Iran berhampiran pintu masuk ke Selat Hormuz semalam, sedang dikenal pasti.


Menteri Luar, Saifuddin Abdullah berkata Malawakil (Pejabat Perwakilan Malaysia) di Iran, sedang mendapatkan maklumat terperinci berhubung perkara itu.


“Setakat ini, kami sudah mendapat beberapa maklumat baru, tetapi masih perlu pengesahan. Identiti rakyat Malaysia belum dapat dikenal pasti.


“Kenyataan rasmi berhubung perkara ini akan dikeluarkan Wisma Putra nanti,” katanya memetik laporan Bernama.


Semalam, media antarabangsa melaporkan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), merampas sebuah kapal disyaki menyeludup bahan api dan menahan 16 anak kapal warga Malaysia.


Menurut laporan itu, pihak berkuasa merampas 1.3 juta liter bahan api yang diseludup, daripada kapal tidak dinamakan, yang berada 15 batu nautika dari pulau Abu Musa.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 30, 2019 19:30

Selangor agih RM4.5 juta kepada 401 sekolah

Selangor mengagihkan peruntukan sebanyak RM4.5 juta kepada 401 buah sekolah di seluruh Selangor melalui fasa kedua Program Agihan Bantuan Infrastruktur tahun ini.


Penolong Setiausaha Pendidikan (Bahagian Pengurusan Sumber Manusia) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Siti Syazwani Ab Latib berkata peruntukan tu diagihkan untuk menyelesaikan masalah infrastruktur sekolah-sekolah tersebut.


Katanya, pemilihan sekolah yang menerima peruntukan itu dibuat mengikut keperluan sekolah dengan mengambil kira jumlah pelajar dan keadaan terkini sekolah.


“Antara sekolah yang dipilih ialah Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina dan Tamil serta sekolah mubaligh membabitkan semua Dewan Undangan Negeri di Selangor.


“Secara purata, setiap sekolah akan menerima bantuan berbeza antara RM10,000 hingga RM20,000 mengikut keperluan kerosakan yang perlu dinyatakan di borang permohonan sebelum diputuskan Pejabat Dato’ Menteri Besar.


“Kita mahu supaya semua fasiliti sekolah berada dalam keadaan selamat dan kondusif kerana paling penting bagi kami adalah keselamatan serta keselesaan di sesebuah sekolah,” katanya lapor Selangorkini.


Beliau berkata demikian pada Program Ramah Mesra (Networking) Bersama Penerima Bantuan Sekolah Negeri Selangor Fasa Dua 2019 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam, semalam.


Oktober lalu, sebanyak 665 buah sekolah seluruh Selangor menerima peruntukan bernilai RM19.2 juta menerusi fasa pertama program yang sama.


Program itu dilaksanakan sejak 2017 dengan peruntukan sebanyak RM16 juta dan ditingkatkan kepada RM22 juta sebelum menjadi RM24 juta tahun lalu serta tahun ini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 30, 2019 18:33

Kabinet tangguh program subsidi petrol

Kabinet hari ini mengumumkan penangguhan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang sepatutnya bermula pada 1 Januari 2020.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan PSP tidak diteruskan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.


“Hal ini bagi memberi ruang untuk sesi penerangan dan penjelasan diteruskan dengan tujuan memberi kefahaman dan mempersiapkan rakyat menerima pelaksanaan program PSP ini.


“(Ia juga bagi) proses pendaftaran penerima daripada kelompok M40 yang akan dikendalikan oleh kementerian kewangan.


“Sementara menunggu pengesahan pelaksanaan PSP diumumkan, rakyat akan terus menikmati harga petrol berdasarkan sistem sedia ada,” katanya.


Putrajaya pada 7 Oktober lalu mengumumkan pelaksanaan PSP dengan peruntukan RM2.4 bilion dalam Belanjawan 2020 akan dilaksanakan berkuat kuasa bulan depan.


Ia selaras manifesto Pakatan Harapan dengan jumlah penerima akan manfaatkan lapan juta orang daripada kelompok B40 dan M40.


Mereka yang layak akan menerima subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal.


Ia disalurkan menerusi pemindahan tunai dan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.


Berikutan pelaksanaan PSP itu, harga petrol RON95 akan diapungkan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 30, 2019 00:55

December 29, 2019

KPDNHEP pantau jualan kerusi CSR kanak-kanak

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau dengan teliti jualan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang meluas secara dalam talian ketika ini, bagi memastikan ia mematuhi ciri-ciri piawaian yang ditetapkan.


Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail berkata pihak kementerian mempunyai tanggungjawab bagi memastikan supaya tidak timbul isu atau aduan mengenai barangan tiruan atau palsu dan tidak selamat, dijual kepada orang ramai.


“Garis panduan mengenai ciri-ciri kerusi keselamatan kanak-kanak itu telah pun dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) tahun ini, dan apabila penggunaan kerusi CRS itu berkuatkuasa tahun depan, pihak kementerian akan terus melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan yang berkaitan dengan pematuhan ciri-ciri yang ditetapkan MIROS, standard keselamatan produk, cap dagangan sama ada palsu atau tulen dan sebagainya.


“Jika peniaga itu membuat pengiklanan, kita akan pastikan apa yang diiklan dan dijual itu betul-betul ada pada produk itu,” katanya kepada pemberita ketika mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu yang melaporkan kerusi berkenaan boleh didapati pada harga serendah RM18 hingga RM39.90 tiap satu, menerusi pembelian secara dalam talian.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis Penyampaian Sumbangan Peralatan Dan Pakaian Sekolah Kepada 150 Murid-murid dari keluarga B40 dari Kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu di pasaraya Econsave, semalam, lapor Bernama.


Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kementerian mempunyai peruntukan-peruntukan di bawah akta seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Perihal Dagangan 2011, bagi membendung penularan penjualan CRS yang tidak menepati piawaian ditetapkan.


Pada 23 Oktober lepas, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan bahawa penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan persendirian akan diwajibkan mulai 1 Januari ini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 29, 2019 21:07

December 28, 2019

Elaun menteri: Tidak beretika guna fakta lama serang PH

Analisis Berita: Tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp berkenaan gaji dan elaun kononnya dinikmati oleh para menteri Pakatan Harapan (PH).


Isu elaun menteri ini sengaja ditimbulkan apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bakal memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi doktor dan jururawat baharu mulai tahun lantikan Januari 2020. Pembangkang membayangkan betapa zalimnya menteri PH, mereka menikmati pelbagai elaun tetapi elaun kepada jururawat dimansuhkan.


Penyokong pembangkang merujuk sepotong keratan akhbar membariskan kemewahan gaji dan elaun menteri yang disembunyikan tarikh terbitannya. Ada pihak mendakwa artikel tersebut disiarkan pada 2016, iaitu semasa era BN. Seorang warganet menggunakan nama Liyana Marzuki pula dalam akaun Facebooknya mendakwa beliau pernah bekerja di bawah beberapa menteri sejak era BN dan menegaskan sebahagian elaun yang disiarkan itu tidak wujud.


Beliau berkata menteri PH mematuhi peruntukan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 dan menjelaskan menteri PH hanya mengambil elaun yang dibenarkan.


Sehari selepas itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersetuju berkongsi dengan portal Malaysiakini elaun yang diterimanya sebagai menteri.


Beliau berkata selain elaun ahli parlimen, menteri juga boleh menuntut elaun berikut secara bulanan:



Elaun keraian: RM12,000
Elaun menteri Kabinet: RM4,000
Elaun perumahan: RM4,000 (tidak boleh dituntut jika tinggal di kediaman rasmi)
Elaun pembantu rumah: RM2,500
Elaun pemandu: RM2,500
Elaun tetap ini berjumlah RM25,000 sebulan

Serangan guna fakta lama


Namun moral ceritanya ialah pembangkang menggunakan keratan akhbar era BN, 3 tahun sebelum ini untuk menyerang kerajaan PH.


Dalam strategi pemberitaan media memang dibolehkan wartawan menulis artikel berbentuk persoalan sebagaimana tertera dalam artikel dipertikaikan. Tujuannya untuk memancing pentadbiran Najib ketika itu, sama ada menafikan atau mengaku mengenai perbelanjaan yang dibutirkan.


Malangnya sepanjang 2016, pentadbiran Najib tidak menjawab artikel itu. Mungkin pada pandangan mereka persoalan tersebut sekiranya dijawab akan ada pendedahan lebih besar di belakangnya.


Hal itu tidak sukar untuk dijangka. Sekiranya pembaca rajin mencari fakta maka mereka boleh bertemu dengan keterangan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd, di mana pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin misalnya memberitahu mahkamah bahawa pendapatan bulanannya mencecah RM55,000 kerana berkhidmat di bawah Khazanah Nasional Berhad.


Itu baharu pegawai khas yang dibayar oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC). PM Najib sebagaimana didedahkan dalam perbicaraan 1MDB dan SRC mempunyai pendapatan rasmi, elaun, pendapatan tidak rasmi dan duit poket sampingan yang luar biasa lumayan serta tidak terbayangkan oleh majoriti rakyat Malaysia.


Maka mungkin ada benarnya artikel ‘elaun menteri’ pada 2016 itu bagi menggambarkan kemewahan menteri-menteri era BN. Mereka akan ‘claim’ banyak perkara yang sukar dibayangkan. Mereka juga terbiasa melantik para kroni untuk memegang jawatan pegawai khas melebihi kuota di bawah JPA tetapi dibayar menggunakan dana GLC.


Tidak beretika


Cuma, masalahnya pembangkang ketika ini tidak beretika. Menggunakan fakta era BN untuk mencaci menteri PH. Ketika PH adalah pembangkang fakta-fakta yang digunakan jarang sekali kabur kerana BN menubuhkan pasukan menjawab ‘fitnah pembangkang’ waktu itu. Sebarang propaganda yang salah fakta akan dimalukan di media sosial.


Kesimpulannya dalam isu gaji dan elaun menteri ini, kelemahan tentera siber PH amat terserlah kerana terpedaya menyebarkan peluru menyerang BN pada 2016. Tentera siber PH lemah kerana majoriti yang berpengalaman telah merajuk kerana perjuangan mereka seolah-olah tidak dihargai.


PH pula tidak berhasrat menubuhkan pasukan tentera siber rasmi sebagaimana pembangkang yang mendanai pasukan siber. Akibatnya serang balas PH menggunakan khidmat tentera siber sukarela kadang-kala bercelaru, menembak menggunakan peluru penabur malah tertembak rakan sendiri.


Ironinya, PH cukup ampuh ketika bergerak sebagai pembangkang. Namun kini senjata yang mereka gunakan terhadap BN dahulu digunakan kembali ke atas kerajaan PH. Hal ini amat perlu difikirkan oleh pemimpin dan para menteri, terutama dalam memperkasakan media dan tentera siber PH yang semakin lesu.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 28, 2019 18:27

December 27, 2019

TPM bersedih dengan taufan melanda Filipina

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa sedih dengan kematian dan kemusnahan akibat taufan yang membadai Filipina semasa perayaan Krismas.


Beliau berkata rakyat Malaysia bersimpati dengan kesusahan yang dihadapi warga Filipina pada waktu sukar ini.


“Saya sangat sedih dengan kemusnahan akibat Taufan Phanfone yang melanda Filipina sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan dan kerosakan harta benda,” katanya dalam catatan di Twitter dan Facebook hari ini.


“Doa saya bersama keluarga mereka yang terkorban dan juga mereka terjejas dan cedera,” katanya.


Dilaporkan sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh akibat bencana itu.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 27, 2019 02:52

December 26, 2019

Ekonomi terbuka Malaysia manfaatkan 600 juta penduduk ASEAN

Malaysia akan terus mengamalkan dasar pelaburan dan perdagangan terbuka, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.


Beliau berkata dasar tersebut berperanan penting dalam usaha negara ke arah penyepaduan lebih kukuh dengan ASEAN selain memanfaatkan saiz penduduk di rantau ini yang berjumlah lebih 600 juta orang.


“Dalam konteks ekonomi global yang semakin terhubung, Malaysia juga akan terus memanfaatkan budaya pembiayaan untuk melonjakkan lagi kelebihan daya saing kita.


“Dalam aspek ini, Malaysia telah berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, yang menyaksikan 18 perjanjian berjaya dimeterai, manakala pemimpin dari dunia Islam bersetuju menyalurkan lebih banyak pelaburan langsung untuk tujuan pembangunan ekonomi mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.


Azmin berkata kerjasama yang ditempa semasa sidang kemuncak itu adalah dalam bidang media, pusat kecemerlangan, pertukaran belia, pertahanan dan keselamatan, serta jaminan makanan.


“Antara lain, satu perjanjian telah ditandatangani antara Felcra Bhd dengan satu daripada pemilik ladang ternakan dan tenusu terbesar Qatar, Baladna Food Industries, untuk usaha sama tenusu berskala besar bagi meningkatkan lagi jaminan makanan negara,” katanya.


Beliau berkata pertukaran dokumen melibatkan pembuat komponen aeroangkasa Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) dan Turkish Aerospace Industries (TAI) turut diadakan di luar acara sidang kemuncak tersebut.


“Semua inisiatif ini dilaksanakan kerajaan untuk membangunkan daya tahan dan memajukan sumber pertumbuhan endogen, seiring dengan harga komoditi lebih baik dan ringgit yang lebih stabil, akan mengorak laluan ke arah peningkatan prospek ekonomi Malaysia,” katanya.


Azmin berkata penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Tahun Melawat Malaysia pada 2020 akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan, khususnya bagi industri pelancongan.


“Justeru, inisiatif dasar yang berterusan akan memperkukuh lagi asas ekonomi Malaysia selain terus menyokong ringgit,” katanya.


Beliau berkata kerajaan akan sentiasa memastikan usaha bersepadu dijalankan untuk mendorong Malaysia ke arah mencapai pertumbuhan lebih mampan dan saksama sejajar agenda kemakmuran bersama, lapor Bernama.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 26, 2019 20:26

Anwar: Bincang semula penamatan insentif pekerjaan kritikal

Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim menyeru agar pemansuhan bayaran insentif kritikal kepada penjawat awam yang akan memasuki perkhidmatan awam pada tahun depan dikaji semula.


Menurutnya, langkah itu wajar kerana suara rakyat yang khuatir dengan langkah tersebut wajar dicermati kerajaan.


“Saya mengikuti dan mengambil maklum keputusan kerajaan menamatkan pemberian bayaran insentif perkhidmatan kritikal kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan.


“Saya berpendapat perkara ini perlu dibincang semula oleh kerajaan dalam sidang kabinet pertama pada tahun 2020.


“Kerajaan harus mengambil kira keresahan dan kebimbangan yang disuarakan rakyat,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.


Putrajaya dilaporkan menamatkan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK) kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan.


Mereka yang sudah menerima elaun akan terus mendapat bayaran tersebut, termasuk pekerja kontrak yang disambung kontraknya.


Menerusi pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 20 Disember, BIPK merupakan satu daripada sembilan elaun yang dihentikan kerajaan, termasuk elaun hiburan kepada setiausaha sulit, dan insentif kecekapan berbahasa Inggeris.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 26, 2019 01:58

Bekalan air di Selangor kembali pulih sepenuhnya

Bekalan air di Selangor akibat pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih pulih sepenuhnya sejak malam tadi.


Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, Air Selangor menghargai kesabaran pengguna sepanjang krisis itu berlaku.


“Kerjasama pengguna sepanjang krisis gangguan bekalan air tidak berjadual ini amatlah dihargai dan kami mohon maaf atas segala kesulitan,” katanya dalam kenyataan.


Sabtu lalu operasi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihentikan selepas didapati tercemar.


Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih 1.5 juta pengguna di sebahagian kawasan Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 26, 2019 01:14

Suara Keadilan's Blog

Suara Keadilan
Suara Keadilan isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Suara Keadilan's blog with rss.