Suara Keadilan's Blog, page 8
November 28, 2019
Keluarga ramai anak dapat kelonggaran pasang CRS
Keluarga yang mempunyai ramai anak akan mendapat kelonggaran dalam pelaksanaan peraturan yang mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamarudin Jaffar.
Menurutnya, Putrajaya sedia maklum bahawa pemasangan kerusi itu membabitkan kos yang tinggi.
“Berkaitan isu anak ramai dan tempat duduk yang mungkin tidak boleh memuatkan empat hingga lima kerusi keselamatan kanak-kanak, khususnya untuk keluarga yang besar, saya boleh katakan bahawa mereka diberikan pengecualian sekiranya di dalam sebuah kenderaan tersebut tidak membolehkan CRS dipasang.
“Jadi kelonggaran diberikan dalam pelaksanaan ini,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada 28 November sewaktu menjawab soalan Cha Kee Chin (PH- Rasah).
Cha dalam soalan tambahannya mahu tahu tentang pendirian kerajaan berkenaan peraturan tersebut terhadap keluarga yang memiliki ramai anak.
Dengan mengambil contoh dirinya sebagai seorang bapa yang mempunyai anak ramai, walaupun bergelar wakil rakyat Cha berkata beliau tidak mampu untuk memiliki kereta mewah.
“Saya menghadapi masalah ini. Saya kena akui saya memohon satu pendekatan, kalau boleh anak-anak yang ketinggi 120cm hingga 135cm diberi kelonggaran.
“Saya setuju bawa 120 cm ke bawah (diwajibkan), bayangkan kalau keluarga itu ada empat anak bawah kategori itu, kereta apa mereka hendak guna?
“Takkan keluarga semua hendak guna Toyota Alphard, saya sebagai wakil rakyat tiada Alphard, kalau kereta biasa empat orang anak penuh,” katanya.
Menurut Kamarudin, kerajaan mengecualikan duti import bagi kerusi tersebut dan ia hanya dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekitar lima peratus saja.
“Kerajaan serius untuk menjadikannya sebagai satu kewajiban memandangkan 14 ke 15 peratus kanak-kanak meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya,” katanya.
November 27, 2019
Dr Lee: Pantau corak pertumbuhan anak-anak
Ibu bapa dan penjaga perlu mengenali perubahan corak pertumbuhan anak mereka kerana pertumbuhan merupakan petunjuk penting kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.
Beliau berkata, mereka perlu bekerjasama dengan para profesional penjagaan kesihatan untuk memastikan kanak-kanak yang terjejas akibat gangguan pertumbuhan akan diberi peluang terbaik untuk meningkatkan tahap kesihatan.
“Pertumbuhan yang terbantut dalam kalangan kanak-kanak kerap berlaku di Malaysia. Kadar kebantutan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia di bawah umur lima tahun adalah 20.7 peratus mengikut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) 2016.
“Angka ini lebih tinggi daripada keseluruhan 6.4 peratus kebarangkalian (terkini 2017) di negara berpendapatan menengah atas, yang mana Malaysia diklasifikasikan,” katanya ketika melancarkan Aplikasi Mudah Alih Novo Nordisk, hari ini.
Aplikasi ini membolehkan ibu bapa menjejaki corak pertumbuhan anak-anak mereka melalui telefon bimbit. Data yang dikumpulkan dan disimpan boleh dikongsi dengan pakar jika diperlukan.
Dr Lee berkata, kadar pertumbuhan yang terbantut di Malaysia sebenarnya lebih tinggi daripada beberapa negara berpendapatan rendah seperti Ghana dan Senegal berdasarkan laporan Bank Dunia 2019.
“Pertumbuhan yang terbantut boleh menjejaskan kesihatan, pendidikan dan hasil produktiviti kanak-kanak. Ia mempunyai kos sosial dan ekonomi yang serius untuk pembangunan keseluruhan negara,” katanya.
Menyentuh mengenai aplikasi itu, Dr Lee berkata, ia akan memudahkan ibu bapa untuk mengukur, merakam, dan menjejaki ketinggian dan pembangunan fizikal anak-anak mereka secara berterusan di rumah.
Beliau berkata, menerusi pengesanan ketinggian yang tidak wajar, diagnosis terhadap kanak-kanak yang mengalami masalah pertumbuhan ini dapat dilakukan lebih awal dan ditangani secara lebih berkesan, lapor Bernama.
Dua ADUN mohon maaf tiada semasa usul lantikan senator
Dua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) memohon maaf berhubung ketiadaan mereka semasa usul untuk melantik pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka sebagai senator diajukan pada sidang DUN.
Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan pertemuan antara Pengerusi MPN Melaka, Halim Bachik dengan dua exco negeri, Ginie Lim dan Jailani Khamis, di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.
Anwar berkata beliau menerima penjelasan dan permohonan maaf mereka dalam insiden itu.
“Mereka mahu ikut proses yang betul dan sokongan mereka kepada kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri Adly Zahari tidak berbelah bahagi.
“Mengenai isu senator, yang pada mulanya dicadangkan Halim (dilantik), ia ditangguh mengikut jadual (sidang DUN).
“Perkara itu akan ikut proses perbincangan dalam parti, dan tak perlu disegerakan kerana sidang DUN (seterusnya) hanya akan berlangsung Mac depan,” kata Anwar.
Malaysia tambah eksport nanas ke China
China menjadi pasaran antarabangsa baru Malaysia untuk pelbagai nanas premium, MD2, berikutan kejayaan durian menembusi negara itu pada Mei lepas.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin yakin kementeriannya dapat mencapai eksport sebanyak RM350 juta tahun ini berbanding RM343 juta pada 2018.
“Industri nanas negara dijangka mempunyai kadar pertumbuhan tahunan sebanyak lima peratus setahun berdasarkan trend yang semakin meningkat dan penerimaan terhadap nanas Malaysia.
“Pengeluaran nanas kebangsaan pada 2019 dijangka bernilai RM530 juta berbanding RM502 juta pada 2018,” katanya kepada media selepas pelancaran penerbangan sewa khas Malaysia yang pertama untuk membawa nanas dari Malaysia ke Zhengzhou, China, di Sepang pada 26 November lalu.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd, Raja Azmi Raja Nazuddin dan Duta Khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai.
Sim berkata produk nanas Malaysia telah menembusi 20 negara, dengan negara-negara pengimport utama termasuk dari Singapura, Jepun, Hong Kong, China, Timur Tengah dan Eropah.
Beliau berkata pada masa ini terdapat kira-kira 16,500 hektar ladang nanas, dan 2,500 hektar ditanam dengan pelbagai MD2.
Sim berkata langkah Linghang International (M) Sdn Bhd (LHM) untuk mengeksport nanas MD2 ke China akan membuka peluang kepada petani dan usahawan untuk memasarkan produk mereka melalui syarikat pengeksport.
“Usaha LHM pasti akan meningkatkan jumlah eksport nanas dari Malaysia terutamanya ke China.
“Saya difahamkan bahawa LHM akan mengeksport nanas melalui tiga penerbangan kargo setiap minggu, sekurang-kurangnya 2,000 tan nanas setahun – anggaran jumlah eksport bernilai RM12 juta,” katanya.
Beliau berkata penerbangan sewa khas berjadual ke Zhengzhou akan meningkatkan dan mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China.
Sementara itu, Sim berkata selepas durian dan nanas, kementerian merancang untuk mengeksport nangka, cempedak, belimbing dan rambutan.
November 26, 2019
Selangor lancar dokumen halatuju negeri pintar
Selangor menerusi entiti pelaburan strategiknya, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor) melancarkan dokumen ‘Selangor Regional Powerhouse Roadmap’ baru-baru ini sebagai panduan kepada negeri termaju di Malaysia itu untuk menjadi kuasa ekonomi serantau.
Dokumen yang mengandungi 11 bidang fokus pintar dan 10 inisiatif serta menyediakan garis panduan untuk Selangor memacu ke hadapan selepas berjaya memperoleh status negeri pintar pada 2025 kelak, dilancarkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pada Kongres Sedunia Ekspo Bandar Pintar (SCEWC) di Barcelona, Sepanyol, yang berlangsung pada 19 hingga 22 November.
Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Raja Shahreen Raja Othman berkata, pelancaran berkenaan dibuat di SCEWC bagi mendapatkan maklum balas dan kritikan terus daripada pakar perbandaran dan pembangunan masa hadapan.
“Kita sudahpun mendapat beberapa maklum balas daripada beberapa negara lain, termasuk daripada pihak kerajaan luar yang sudahpun melihat potensi dan ruang kerjasama yang boleh dijalin menerusi pelan hala tuju ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sebelum ini, pelbagai forum dan perbincangan diadakan dengan pemegang kepentingan di Malaysia untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mereka.
Raja Shahreen berkata, cabarannya kini adalah untuk berfikir di luar kotak dalam menyediakan penyelesaian bagi mendepani cabaran kini dan masa hadapan di negeri Selangor.
Justeru itu, katanya, Selangor perlu terus memberi fokus kepada usaha untuk membangunkan bakat dan tumpuan khusus kepada usaha membina keupayaan belia di Selangor, lapor Bernama.
Anwar: Ahli dipecat boleh merayu
Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim berkata dua orang ahli KEADILAN yang dipecat semalam boleh merayu keputusan tersebut.
Menurutnya, masih ada ruang untuk kedua-dua individu itu memohon mempertimbangkan kes mereka walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam suratnya mencadangkan agar tindakan diambil terhadap mereka.
“Dia boleh buat rayuan tetapi kandungan surat itu serius – tidak membawa kepada pendakwaan tetapi memperaku supaya kita mengambil tindakan.
“Kandungan surat itu tidak dipertikai dengan bukti-bukti sekali tentang kesalahan penyalahgunaan kuasa dan sogokan.
“Dan benda ini serius dan kalau kita ambil sambil lewa kerana isu teknikal itu susah.
“Jadi bagaimana pun perkara ini perlu bagi ruang untuk dia merayu dan bagi Lembaga Disiplin untuk melihat semula,” katanya.
Bercakap lanjut, Anwar berkata walaupun SPRM mengaku khilaf dalam mengutus surat kepada KEADILAN, isi kandungan surat tersebut tiada mengandungi sebarang kesilapan.
“Dia (SPRM) silap hantar tapi kandungan surat dia tak pertikai dan kandungan surat itu agak serius.
“Sebagai parti, kita mesti tegas membanteras penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
“Sama ada silap teknikal atau tidak itu soal lain. Jadi saya akan rujuk perkara ini untuk dipertimbangkan oleh pengerusi Lembaga Disiplin,” katanya lagi sewaktu bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, KEADILAN memecat dua orang anggota parti susulan cadangan SPRM agar dua individu tersebut dikenakan tindakan.
Cadangan tersebut dibuat SPRM selepas menerima laporan dakwaan salah laku pada pemilihan parti yang lalu dan satu siasatan yang menyeluruh melibatkan semua pihak dilakukan.
Islam, Confucianism galak hidup bermasyarakat – Anwar
Seperti agama Islam yang mengajar nilai-nilai mulia, ajaran Confucianism turut punya galakan serupa – antaranya mengajak manusia menjadi kurang mementingkan diri sendiri sebaliknya hidup bermasyarakat.
Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim dalam majlis pelancaran buku Islam and Confucianism: A Civilizational Dialogue di ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur berkata, kedua-dua sistem ini mahukan pembentukan masyarakat bertimbang-rasa.
“Islam dan Confucianism menggalakkan manusia hidup bersama-sama secara aman dalam masyarakat berbilang kaum.
“Pada hari ini, kita bukannya membentuk persefahaman, tapi perseteruan.
“Penerbitan buku ini amat tepat pada masanya bersempena persidangan minggu ini di Pulau Pinang bagi menggalakkan persefahaman dan sifat saling hormat-menghormati,” katanya.
Buku Islam and Confucianism edisi baru merupakan kumpulan esei dari beberapa sarjana, disunting Syaikh Kulliyyah ISTAC, Profesor Dr Osman Bakar.
Anwar menulis prakata panjang dalam buku tersebut, sehingga disifatkan Dr Osman sebagai satu bab sendiri dalam buku itu.
Anwar juga menyentuh kepentingan buku tersebut dalam masyarakat negara ini yang dibentuk majoritinya oleh penganut agama Islam dan ajaran falsafah Confucianism.
Susulan pelancaran buku ini, satu dialog bertajuk Islam-Confucianism Civilizational Dialogue akan diadakan di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 30 November dan 1 Disember ini.
November 25, 2019
Anwar serah pada polis siasat insiden cat merah di JB
Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat insiden simbahan cat merah di pusat khidmat Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasir di Johor Bahru.
“Semua tindakan terhadap mana-mana warganegara, baik dia wakil rakyat kerajaan atau pembangkang itu harus guna batas yang sivil dan tidak boleh tindakan jenayah.
“Saya harap pihak polis akan siasat dan hentikan tindakan jahat ini,” katanya sewaktu mengulas insiden itu di lobi Parlimen hari ini.
Pusat khidmat Akmal yang merupakan anggota Parlimen Johor Bahru disimbah dengan cat merah pagi ini.
Selain itu seekor bangkai ayam beserta mesej ugutan turut diletakkan di depan pintu.
Dalam satu kenyataan ringkas, Akmal berkata beliau dimaklumkan tentang perkara itu oleh kakitangannya pada pukul 7.20 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais mengesahkan telah menerima laporan berkenaan insiden itu.
November 24, 2019
KEADILAN pecat dua anggota parti
KEADILAN semalam mengumumkan pemecatan dua orang anggota parti susulan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar dua individu tersebut dikenakan tindakan.
Cadangan tersebut dibuat SPRM selepas menerima laporan dakwaan salah laku pada pemilihan parti yang lalu dan satu siasatan yang menyeluruh melibatkan semua pihak dilakukan, kata Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil.
“KEADILAN hari ini (semalam) telah mengumumkan pemecatan dua anggota, iaitu Zakaria bin Abdul Hamid dan Ismail bin Dulhadi, sebagai langkah susulan daripada siasatan penuh SPRM terhadap satu dakwaan salah laku rasuah yang dipercayai berlaku sewaktu proses pemilihan parti pada 2018.
“Siasatan SPRM ini adalah berdasarkan satu laporan yang dibuat anggota parti, Syukri Razab, pada 25 September 2018 yang lalu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Fahmi lagi, Lembaga Disiplin kini akan memaklumkan kepada SPRM akan tindakan yang dikenakan terhadap dua individu tersebut.
“Maka berdasarkan siasatan SPRM yang menyeluruh ini, Majlis Pimpinan Pusat telah mengambil pendirian bahawa siasatan SPRM itu lengkap, menyeluruh dan mendalam.
“Oleh sebab itu, tiada keperluan untuk parti membuat siasatan tambahan.
“MPP juga telah menerima cadangan Lembaga Disiplin agar dua individu tersebut dipecat.
“Majlis Pimpinan Pusat juga berpendirian bahawa terserah kepada pihak SPRM sama ada untuk meneruskan pendakwaan atau tidak,” katanya.
November 22, 2019
KPDNHEP-AEON kerjasama promosi barangan Malaysia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pasaraya AEON bekerjasama untuk mempromosikan barangan buatan Malaysia menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia.
Menteri KPDNHEP, Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan perkara tersebut menerusi pewujudan rak ‘Produk Buatan Malaysia’ di pasaraya AEON seluruh negara.
“Lebih kurang 400-600 jenis produk tempatan oleh usahawan kecil dan sederhana dipamerkan secara menonjol.
“Alhamdulillah, usaha ini berjaya bantu usahawan perniagaankecil dan sederhana tempatan menjana jualan RM1.8 juta pada tahun lepas,” katanya menerusi Twitter.
Tambahnya, kementerian kini mempertimbangkan untuk meluaskan kempen tersebut ke platform e-dagang syarikat penerbangan dan lapangan terbang.
“KPDNHEP akan bergerak dengan lebih agresif lagi bagi memperkasakan Kempen Beli Barangan Malaysia sebagai strategi paling tepat bagi membantu usahawan tempatan, meningkatkan pendpatan rakyat dan mencipta peluang pekerjaan,” katanya.
Kempen Beli Barangan Malaysia dilaksanakan sejak 35 tahun lalu dan pada tahun ini ia dilancarkan semula dengan nama Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2019.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
