Suara Keadilan's Blog, page 6

December 6, 2019

KEADILAN perlu bela Sabah, Sarawak

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diharapkan dapat membela kebajikan rakyat Sabah dengan membangunkan negeri di Malaysia Timur itu melalui projek-projek pembangunan ekonomi.


Perwakilan Sabah, Adam Fistival berkata, pembangunan Sabah dan Sarawak adalah termasuk dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.


“Rakyat Sabah masih dahagakan perubahan dan pembangunan.”


“Saya sendiri sebagai anak muda Sabah, menyoal apakah tindakan KEADILAN bagi merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963), dan soal pemberian royalti minyak seperti yang dijanjikan dalam manifesto,” katanya.


Jelasnya, pengembalian autonomi kepada Sabah dan Sarawak adalah langkah penting dalam membangunkan ekonomi negeri itu yang sering dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.


Adam yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Penampang berucap demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden dalam Kongres Nasional KEADILAN di MITC, Ayer Keroh, Melaka hari ini.


Kongres kali ke-14 ini berlangsung dengan tema Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi di Melaka International Trade Centre (MITC).


Kongres ini menarik kehadiran 1,905 orang perwakilan dan lebih 1,500 orang pemerhati.


Ia akan berakhir esok, 8 Disember 2019.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 06, 2019 23:32

Ugut ‘merajuk’ tapi bersemangat mahu tawan Perlis

Perwakilan Perlis yang membahaskan ucapan dasar presiden KEADILAN, BB Shahinaz Ghulam Hyder ‘mengugut’ pimpinan parti agar memberikan lebih perhatian kepada golongan wanita.


Menurutnya, golongan wanitalah sebenarnya yang bekerja keras merayu undi dari rumah ke rumah pada mana-mana pilihan raya.


“Wanita ini perlu diberikan perhatian.


“Kalau Wanita ‘merajuk’, siapa yang hendak merayu undi.


“Siapa lagi yang hendak merayu undi kalau bukan Wanita?” kata BB Shahinaz.


Walaupun begitu, BB Shahinaz berkata, KEADILAN Perlis bertekad untuk menawan negeri itu yang kini ditadbir pembangkang.


Menurutnya, hasrat tersebut membara walaupun KEADILAN hanya mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen di Perlis.


“Di masa pilihan raya akan datang, kita akan pastikan dapat mandat perintah negeri Perlis,” katanya.


Kongres Nasional KEADILAN 2019 sedang berlangsung dengan tema Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi di Melaka International Trade Centre (MITC).


Kongres ini menarik kehadiran 1,905 orang perwakilan dan lebih 1,500 orang pemerhati.


Ia akan berakhir esok, 8 Disember 2019.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 06, 2019 23:28

‘PM kelapan tak boleh dari parti lain’

Tiada wakil dari parti dalam Pakatan Harapan yang boleh mengisi jawatan Perdana Menteri kelapan, selain daripada KEADILAN, kata perwakilan dari Pulau Pinang, Gooi Hsiao Leong.


Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah itu menyatakan tokoh tersebut hanyalah Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim seperti yang dipersetujui kepimpinan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.


“Tiada perdana menteri daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Tiada perdana menteri daripada Amanah. Yang ada hanyalah perdana menteri daripada KEADILAN.


“Inilah yang telah diputuskan oleh parti-parti komponen dan inilah yang kita kempenkan kepada rakyat sebelum PRU-14 lalu,” katanya.


Katanya, selain daripada ahli parti, rakyat dari seluruh negara juga sedang menunggu Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.


Sementara itu, Gooi berkata kekalahan besar Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai lalu seharusnya menjadi peringatan kepada parti agar jangan bertelingkah sesama sendiri.


“Sebaliknya kita perlu lihat semula perjuangan kita selama 20 tahun ini, seperti disebutkan presiden pagi tadi tentang perlunya menghayati pengisytiharan Deklarasi Permatang Pauh,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden dalam Kongres Nasional KEADILAN di MITC, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 06, 2019 23:13

Mahasiswa ingatkan Umno jangan cetus isu perkauman

Wakil Mahasiswa KEADILAN, Mohammad Shahrul Nizam Mohd Sofian mengingatkan Mahasiswa Umno agar jangan cuba mencetuskan bara perkauman di kampus-kampus universiti.


Tegasnya, jika ia berlaku, Mahasiswa KEADILAN tidak akan teragak-agak menentang mereka bagi menjamin keharmonian dalam kampus.


“Mahasiswa Umno jika cuba cetuskan kekacauan; perpecahan antara kaum, kami akan lawan mereka,” tegasnya.


Dalam pada itu, Shahrul mengucapkan terima kasih kepada Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim kerana menjadi sumber inspirasi kepada penubuhan Mahasiswa KEADILAN di kampus-kampus universiti seluruh negara.


Jelasnya, setakat ini Mahasiswa KEADILAN sudah ditubuhkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknikal Melaka (UTEM).


Katanya, di UiTM Shah Alam, walaupun baru ditubuhkan, Mahasiswa KEADILAN memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan pelajar di sana.


Shahrol Nizam berucap demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden dalam Kongres Nasional KEADILAN di MITC, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 06, 2019 21:40

Anggota terlibat kekecohan berdepan pemecatan

Mana-mana anggota KEADILAN yang didapati terlibat dalam kekecohan sewaktu Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini bakal berdepan pemecatan.


Demikian mesej tegas Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim dalam kenyataan ringkas beliau selepas dimaklumkan tentang insiden itu.


“Ingin saya maklumkan perlakuan biadab ini tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas.


“Justeru saya telah meminta Lembaga Disiplin Parti untuk mengambil tindakan memecat pelaku yang bertanggungjawab.


“Saya juga memohon kerjasama pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” kata Anwar.


Kongres Nasional Tahunan Pemuda AMK hari ini mengaksikan pergaduhan antara perwakilan parti yang hadir dengan pemuda berbaju hitam yang dikatakan hadir sebagai “pemerhati”.


Situasi tegang timbul sejak pukul lapan pagi lagi di hadapan pintu masuk dewan apabila beberapa orang perwakilan mendakwa tidak dibenarkan masuk sedangkan pemuda berbaju hitam yang tidak memiliki pas dikatakan dibenarkan masuk.


Sekitar tengah hari, pergaduhan tercetus sekali lagi di dalam bangunan MITC, tempat kongres berlangsung, sebelum melarat ke luar dewan.


Seorang anggota KEADILAN berbaju seragam parti berwarna biru muda dilihat berdarah di hidung. Ada yang mendakwa kecederaan itu akibat ditumbuk, sementara dakwaan lain berkata ia akibat batu yang dilempar.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 06, 2019 00:00

December 5, 2019

AMK gesa Putrajaya kurangkan tenaga kerja asing

Putrajaya perlu mengurangkan bilangan pekerja asing sebanyak setengah juta orang atau lima peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.


Hasrat itu disuarakan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mahu ia dilaksanakan bagi meningkatkan peluang pekerjaan untuk warganegara.


“Dasar pentadbiran sebelum ini menghadkan penggajian pekerja asing di Malaysia tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja dan jumlah pekerja asing yang dibenarkan adalah sekitar 2.3 juta hingga 2.4 juta orang.


“Berdasarkan takrifan ini, jumlah pekerja asing masih terkawal. Malah kita boleh ambil 300,000 hingga 400,000 lagi pekerja asing sedangkan masih ramai rakyat tempatan tidak ada kerja.


“Sebab itu, saya berpandangan, had penggajian pekerja asing wajib dikurangkan daripada 15 peratus berbanding jumlah tenaga kerja kepada 10 peratus dalam tempoh lima tahun,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 dengan tema Reformasi Dua Dekad, Mengisi Kemenangan Rakyat’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.


Akmal Nasrullah berkata, jumlah tenaga kerja di Malaysia kini seramai 15.7 juta orang.


Kadar pengangguran pula sekitar 3.3 peratus, iaitu lebih setengah juta rakyat Malaysia yang menganggur atau masih aktif mencari pekerjaan manakala pengangguran dalam kalangan belia sebanyak 10.9 peratus.


Statistik Jabatan Imigresen Malaysia pula menunjukkan bahawa seramai 1.994 juta orang telah diberikan Pas Lawatan Kerja Sementara sehingga 31 Ogos 2019.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 05, 2019 20:34

AMK dapat pengerusi tetap, timbalan baharu

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengumumkan pemilihan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap yang baru bagi menggantikan Mizan Adli Mohd Noor dan Mohd Ramly Ahmad yang dilucutkan jawatan sebelum ini.


Perkara itu diumumkan Ketua Penerangan KEADILAN Shamsul Iskandar Md Akin di Kongres AMK di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.


Menurutnya, jawatan pengerusi tetap kini disandang Setiausaha AMK Melaka Rashid Abu Bakar, manakala timbalannya Setiausaha AMK Kedah Wan Mohamad Syahezral Wan Shahidan.


Dua nama dicalonkan untuk pengerusi tetap iaitu Rashid dan Ketua AMK Pokok Sena Mohd Shafiq Mohd Altab.


Bagaimanapaun Shafiq tidak hadir hari ini difahamkan kerana tidak sihat.


Manakala hanya Wan Mohamad Syahezral dicalonkan bagi jawatan timbalan pengerusi tetap.


Shamsul berkata lagi, Mizan dan Adly telah merujuk status mereka selaku pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum ini.


“Justeru keputusan atau surat yang diserahkan kepada Mizan (dan Adly) menjelaskan bahawa ROS bersetuju dan setuju dan memperakui keputusan Majlis Pimpinan AMK seperti yang diputuskan pada 24 November,” katanya lagi.


Mizan dan Ramly dilucutkan jawatan pada 28 November lalu, menerusi surat yang ditandatanganu Setiausaha AMK Ahmad Syukri Che Ab Razab.


Ketika dilantik, Mizan berumur 35 tahun dua bulan manakala Ramly 38 tahun tujuh bulan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 05, 2019 20:16

Azmin: Tolak perkauman, keagamaan sempit dalam Malaysia Baharu

Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali menyeru anggota parti agar menjauhi sikap perkauman dan keagamaan sempit dalam proses membina semula negara.


Menurutnya, kerangka Malaysia Baharu yang menjadi jalan cerita baharu negara ini adalah asas kepada kerjasama antara rakyat dalam memupuk kemakmuran bersama.


“Malaysia Baharu tidak boleh terjebak dalam wacana fahaman perkauman dan agama yang sempit sebaliknya Malaysia Baharu menuntut kita untuk berpegang kepada prinsip-prinsip yang luhur, sederhana serta merai dan mendakap kepelbagaian.


“Kita perlu bekerja berganding bahu untuk membingkai perpaduan, mencapai kesejahteraan, memperkukuh ekonomi bandar dan desa, wilayah dan negara demi kemakmuran bersama,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya pada Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda (AMK) dan Wanita KEADILAN 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.


Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi turut merakamkan rasa syukur sempena ulang tahun ke-20 pada yang disambut pada kongres ke-14 KEADILAN di Melaka sehingga 8 Disember.


“Tahun ini genaplah 20 tahun KEADILAN. Saya bersyukur kerana setelah 20 tahun kita berjuang dan bertempur, saya kekal teguh bersama-sama saudara-saudari, teman-teman seperjuangan.


“Tahniah dan syabas kepada semua yang kekal setia dan sentiasa tenang dalam perjuangan.


“Saya bangga bersama Angkatan Muda, Wanita dan Srikandi yang dinamik, bertenaga dan bersemangat waja untuk terus membawa obor perjuangan peduli rakyat.


Kongres Nasional KEADILAN yang ke-14 dengan tema Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC) dari 5 hingga 8 Disember 2019.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 05, 2019 13:32

December 4, 2019

Kongres KEADILAN medan perkukuh organisasi

Anggota KEADILAN diseru untuk bersama-sama menjadikan kongres kali ini sebagai platform terpenting menggilap idealisme, memperkukuh organisasi dan membentuk halatuju yang lebih jitu.


 


Ketua Penerangannya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, parti telah melalui sebuah perjalanan yang getir dan penuh dengan ujian, maka wajarlalah semua anggota kembali bersatu padu agar agenda memperkukuh parti dapat dilaksanakan secara bersama.


“Tidak usahlah kita memperbesar-besarkan pengorbanan sebahagian dari kita tetapi menafikan kepayahan dan ujian yang lebih besar yang terpaksa dilalui presiden kita.


“Pertelingkahan politik dan peribadi antara kita jangan sampai menghilangkan rasa hormat dan penghargaan kita kepada sosok yang telah membolehkan kita menikmati sedikit kejayaan ini,” katanya dalam kenyataan.


Katanya, kemenangan di Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, bukanlah kemenangan hakiki bagi perjuangan KEADILAN.


“Agenda kita adalah agenda yang lebih besar dan berterusan bagi memastikan negara yang lebih adil, masyarakat yang lebih terbela dan kedudukan insan yang lebih mulia.


“Perjuangan kita memerlukan pemimpin dan anggota yang berjiwa besar, yang mampu memahami kerangka dan gagasan besar perjuangan yang kita cintai ini dan tidak terpedaya dengan sengketa di tepian yang akan menjauhkan kita dari prinsip asal perjuangan,” katanya.


Tambahnya, perjuangan ini tidak terhenti di titik kemenangan pilihanraya sahaja.


“Mengisi kemenangan berkenaan adalah lebih penting dalam perjuangan KEADILAN.


 


“Atas dasar ini, saya mengajak rakan-rakan dari semua peringkat untuk merapatkan saf dan bersama-sama hadir menjayakan Kongres KEADILAN pada 7 dan 8 Disember ini di Melaka Bandaraya Bersejarah,” katanya.


Kongres KEADILAN kali ini adalah kongres yang pertama yang akan dihadiri dan dirasmikan Anwar Ibrahim sebagai Presiden KEADILAN.


Kongres Nasional KEADILAN yang ke-14 dengan tema Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi akan berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC) pada 5 hingga 8 Disember 2019.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 04, 2019 22:19

Anwar: Ia fitnah menjelang kongres

Presiden KEADILAN Anwar Ibrahim menafikan dakwaan yang dibuat oleh seorang individu, Muhammed Yusoff Rawther yang memfitnah beliau berkelakuan sumbang.


Anwar dalam kenyataan hari ini berkata, ia adalah satu fitnah yang cuba ditabur oleh individu berkenaan bertujuan untuk menjatuhkan imejnya menjelang Kongres Nasional Keadilan ke-14 dan proses peralihan kuasa pimpinan negara.


“Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tanpa asas tersebut,” katanya.


Jelas Anwar, pada tarikh yang didakwa, beliau giat berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen.


“Keluarga Muhammed Yusoff Rawther melalui Mohideen Abdul Kader turut mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan yang dilakukan olehnya selepas lebih setahun kejadian yang didakwa,” katanya.


Untuk tindakan susulan, Anwar berkata Setiausaha Sulitnya, Shukri Saad akan membuat laporan polis.


“Laporan dibuat pagi ini berhubung isu yang dibangkitkan dan peguam saya, Ramkarpal Singh juga akan mengutuskan surat tuntutan daripada Muhammed Yusoff Rawther,” katanya.


Terdahulu, individu berkenaan menerusi Facebook memfitnah Anwar  berkelakuan sumbang pada 2 Oktober 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 04, 2019 21:24

Suara Keadilan's Blog

Suara Keadilan
Suara Keadilan isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Suara Keadilan's blog with rss.