Suara Keadilan's Blog, page 9
November 21, 2019
Warga S’gor dapat RM300 jika hadir kursus kahwin negeri
Selangor memperkenalkan satu inisiatif dikenali sebagai Program Insentif Generasi Muda Selangor (iGems) untuk memperkukuhkan institusi perkahwinan.
Kursus itu bagaimana pun hanya boleh disertai pasangan yang mengikat tali perkahwinan buat pertama kali dan berusia bawah 40 tahun.
Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata RM550,603 diperuntukkan untuk program tersebut yang mensasarkan belia di bawah umur 40 tahun.
Kursus itu katanya akan memberi fokus kepada topik seperti pengurusan kewangan, keperluan emosi dan keibu-bapaan.
“Untuk layak menyertai program ini, salah seorang pasangan mestilah dari Selangor.
“Jika kedua-dua suami dan isteri dari Selangor, setiap orang akan menerima RM300 untuk menyertai sesi ini.
“Jika hanya seorang dari Selangor, maka warga Selangor itu akan terima RM300.
“Matlamat kami adalah untuk memperkukuhkan institusi perkahwinan,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Menurut Khairuddin, statistik perceraian menunjukkan pasangan bercerai di antara umur 30 hingga 40 tahun.
“Kebanyakan pasangan bercerai dalam masa lima tahun pertama perkahwinan,” katanya sambil menambah kadar perceraian di negeri itu adalah yang paling tinggi di seluruh negara sebanyak 12,203 pada 2017.
Menurutnya, program itu terbuka untuk pasangan yang berkahwin di antara 1 September 2018 dan 31 Disember 2019.
Mereka yang merancang untuk berkahwin pada 1 Januari 2020 boleh memohon menyertai program itu selepas enam bulan melangsungkan perkahwinan.
“Program ini terbuka kepada semua kaum dan agama di Selangor,” katanya.
Maklumat lanjut boleh diperolehi di www.yawas.my
Peralihan kuasa Mahathir-Anwar ikut janji Pakatan Harapan
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad setuju bahawa peralihan kuasa sebagai perdana menteri kepada Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim akan berlaku seperti dipersetujui Pakatan Harapan.
Perkara tersebut diumumkan Anwar selepas bertemu Dr Mahathir selama 30 minit di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
“Pendirian Tun Dr Mahathir dan saya berhubung isu peralihan kuasa sama sekali tidak pernah berubah seperti yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan dan dijanjikan berulang kali oleh perdana menteri.
“Saya memaklumkan isu peralihan kuasa ini perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persefahaman bersama,” kata Anwar dalam kenyataan.
Menurutnya lagi, Dr Mahathir juga setuju
untuk menumpukan perhatian pada pertumbuhan ekonomi dan penyediaan ke arah penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Sementara itu, tanpa memberikan sebarang perincian, Anwar berkata Dr Mahathir turut maklum akan dakwaan salah guna di kalangan menteri.
“Perdana Menteri turut mengambil perhatian mengenai dakwaan terhadap kalangan anggota jemaah menteri yang menyalahgunakan kuasa atau meraih dukungan politik menerusi pemberian projek,” katanya.
Sejuta Rumah Mampu Milik untuk rakyat dalam 10 tahun
Nasib rakyat Malaysia yang dikategori sebagai miskin dan miskin bandar khususnya golongan B40 dan M40 yang tidak memiliki rumah pertama diperjuangkan melalui pelbagai inisiatif perumahan baharu yang diperkenal kerajaan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata kerajaan melaksanakan tujuh inisiatif untuk membantu pemilikan rumah rakyat Malaysia di kalangan warga B40 dan M40.
Inisiatif yang paling besar di antara semua inisiatif ini Penyediaan 1 Juta Rumah Mampu Milik (RMM) dalam tempoh 10 tahun di seluruh negara dan Skim pembiayaan Dana RM1 Bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
“Pemanjangan tempoh pembiayaan perumahan sektor awam di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Jaminan Cagamas SRP Berhad untuk membantu golongan muda yang berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah.
“Diskaun Plus oleh pemaju perumahan dengan sifar deposit, FundMyhome dan juga pengecualian duti setem dan pelepasan cukai,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Zuraida menjawab soalan Dr Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong-BN) yang meminta KPKT menyatakan inisiatif yang diambil untuk membantu nasib rakyat miskin dan miskin bandar yang tidak memiliki rumah pertama.
Selain itu, KPKT turut mengkaji untuk melaksanakan satu lagi skim perumahan terus di bawah KPKT sendiri iaitu skim Rumah Malaysia.
November 20, 2019
Penulis blog dan personaliti media sosial dijemput promosi Malaysia
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui kerjasama Tourism Malaysia (TM) menjemput penulis blog dan pengguna media sosial berpengaruh untuk mempromosikan budaya Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).
Timbalan Menteri, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata peluang ini diberikan kepada penulis, wartawan serta wakil media sosial antarabangsa untuk membuat lawatan di seluruh negara dan mempelajari setiap budaya dan etnik termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Bagi meningkatkan lagi promosi budaya pelbagai kaum dan etnik di peringkat antarabangsa, TM juga menjemput penulis, wartawan serta wakil media sosial antarabangsa untuk menyertai lawatan suai-kenal ke inap desa.
“Penulis, wartawan serta penulis blog akan mengalami sendiri pengalaman unik tinggal bersama masyarakat tempatan serta mempelajari sedikit sebanyak budaya tempatan termasuklah budaya etnik Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Hasan Baharom (PH-Tampin) yang meminta penjelasan tentang usaha mempromosikan budaya masyarakat Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai fokus utama di peringkat antarabangsa.
Di samping itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) turut mempromosikan budaya pelbagai kaum melalui Festival Seni Hidup @ Living Arts Culture Festival.
Jelas beliau, ia bertujuan mengangkat dan memartabatkan keunikan warisan seni budaya dalam menyemarakkan seni budaya yang kurang diketengahkan dan hampir pupus bagi menjadi pencetus kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan.
TPM: Ibu bapa perlu lebih proaktif pantau kanak-kanak
Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan proaktif dalam memantau dan memberi kesedaran kepada anak-anak dalam menghadapi cabaran masa kini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurutnya, Revolusi Perindustrian ke-empat (IR 4.0), ekonomi digital, capaian internet tanpa batasan dan Internet of Things (IoT) memberikan cabaran berbeza dalam mendidik anak-anak.
“Selain daripada gejala buli, isu penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak juga sangat membimbangkan lebih-lebih lagi dalam era dunia tanpa sempadan dengan kemudahan gajet dan internet yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja.
“Kita perlu tanamkan kesedaran mengenai wujudnya “Cyber Sex Grooming” melalui pelbagai medium di media sosial dan kita mahu kanak-kanak dilengkapkan dengan maklumat dan panduan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.
“Selain itu, dapatan terkini turut menunjukkan kejelikkan yang terdapat di dalam “Dark Web” mengenai bahan-bahan lucah kanak-kanak yang dimuat turun oleh pengguna internet di Malaysia,” katanya dalam ucapan sempena penganjuran Program ‘#kidstakeover:Parliamen Kita Peduli’ di Dewan Rakyat, semalam.
Sehubungan itu, timbalan perdana menteri itu berkata, pelbagai program yang sesuai seiring dengan cabaran semasa akan dirangka dan dilaksanakan KPWKM seperti program Sekeluarga Tolak Pornografi (STOP) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan berkaitan bagi menangani isu berkenaan.
Selain itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara turut melaksanakan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang merupakan komponen utama bagi Program Pendidikan Seksualiti Dan Kesihatan Reproduktif.
Terdahulu, Dr Wan Azizah menghadiri Program #kidstakeover: Parlimen: Kita Peduli bersempena dengan sambutan 30 tahun Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC@30) yang telah dimeterai pada tahun 1989.
Terdapat 36 ahli Majlis Perwakilan Kanak-Kanak yang terdiri daripada wakil setiap negeri dan Orang Kurang Upaya serta Orang Asli bersidang bagi membincangkan isu-isu berkaitan kanak-kanak.
November 19, 2019
Dua MP Umno nyaris bertumbuk di Parlimen
Suasana lobi Parlimen bertukar kecoh hari ini apabila dua orang anggota Parlimen Umno nyaris bertumbuk di lobi Parlimen.
Pertikaman lidah di antara Anggota Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman dan Anggota Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said mencuri tumpuan media apabila kedua-dua mereka saling meninggikan suara di antara satu sama lain sewaktu berjalan menuju ke bangunan utama Parlimen.
Keadaan bertambah panas apabila Ismail dan Tajuddin dihalang daripada menghampiri satu sama lain oleh mereka yang berada berdekatan tempat kejadian.
“Bodoh! Bangang! Apa ni ahli BN lama,” jerit Ismail kepada Tajuddin sambil mengatakan Tajuddin sebagai ‘orang tua yang bodoh’.
Kata makian itu disambut dengan herdikan Tajuddin.
“You-lah bodoh!”
Semasa pergaduhan Ismail ada menyebutkan tentang sekeping gambar tersebar didakwa ditularkan anggota Parlimen Pasir Salak itu.
“Gambar kawan-kawan saya ziarah anak saya sakit dijadikan isu kata saya buat pakatan menyokong seorang pemimpin yang lain, mana boleh tak betul,” kata Ismail.
Dakwaan Anwar mengadap Agong tidak benar – Fahmi
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil menafikan mesej tular mendakwa Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim berada di Istana Negara bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pagi tadi.
“Pagi tadi sekitar pukul 10:30 pagi saya dapat makluman daripada rakan media bahawa ada satu mesej yang telah disebar luas mengatakan saya mengesahkan kehadiran Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Negara.
“Saya mengesahkan bahawa tidak ada mengeluarkan sebarang mesej sebegitu rupa. Ini adalah satu taktik yang begitu jelek, kotor dan saya akan membuat laporan polis kerana nama saya telah digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan satu keadaan yang tidak benar, palsu, fitnah dan bermotif politik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari
Pada masa sama, beliau turut mengesahkan kehadiran Anwar di Parlimen, sejak awal pagi tadi.
Awal pagi tadi, pihak media menerima satu mesej tular kira-kira jam 9.40 pagi mendakwa Fahmi mengesahkan kehadiran Ahli Parlimen Port Dickson itu berada di Istana Negara untuk bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong.
Inisiatif MM2H rancakkan ekonomi negara
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata cadangan penjualan rumah mewah kepada warga asing menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) mampu merancakkan ekonomi Malaysia.
Katanya, cadangan penjualan rumah kepada ekspatriat yang layak itu juga dijangka berupaya menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual sekaligus memulihkan ekonomi negara.
“Bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang positif, KPKT mencadangkan agar tindakan segera diambil bagi memastikan lambakan rumah mewah ini terjual dan sekali gus membantu merancakkan kembali ekonomi negara.
“KPKT mencadangkan agar rumah-rumah mewah yang tidak terjual ini boleh dijual kepada ekspatriat yang berkelayakan mengikut mekanisme sedia ada Kerajaan melalui program MM2H dan bukanlah melalui Kempen Pemilikan Rumah (HOC) seperti yang telah dijelaskan dalam kenyataan media pada 12 September 2019,” jelasnya di Dewan Rakyat, hari ini.
Zuraida menjawab soalan Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong-BN) yang meminta Kementerian menyatakan sejauh manakah penganjuran HOC kepada pembeli warga asing berupaya menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual serta berupaya untuk memulihkan ekonomi negara.
Berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi suku Kedua 2019, terdapat 4,213 (12.8 peratus) rumah mewah berharga RM1 juta ke atas dengan nilai RM8.3 bilion tidak terjual di negara ini.
Selain itu, berdasarkan transaksi jual beli hartanah kediaman yang dikeluarkan oleh NAPIC, sehingga kini (Jan – Jun 2019), jumlah pemilikan rumah oleh warga asing adalah amat rendah iaitu sebanyak 398 orang iaitu 0.4 peratus, berbanding pemilikan oleh warga Malaysia iaitu 99,524 orang (99.6 peratus).
Secara keseluruhannya kata Zuraida, transaksi ini menunjukkan pasaran hartanah kediaman bagi warga asing masih terkawal.
TPM: Kerajaan giat banteras rasuah
Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa kerajaan kini giat membanteras gejala rasuah dalam masyarakat.
Beliau berkata rasuah bagai barah yang merosakkan tubuh badan jika tidak dibendung atau disekat.
“Usaha yang sangat gigih sedang dijalankan untuk membanteras rasuah yang pada masa lalu telah berakar umbi dalam berbagai-bagai lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku Hikayat Raja Pasai di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, katanya semua pihak boleh memanfaatkan pembelajaran sejarah menerusi naskhah klasik Hikayat Raja Pasai.
Hikayat itu menekankan akhlak ‘sang penguasa’ sebagai penentu kesejahteraan bagi sesebuah kerajaan dan juga Islam yang sangat mementingkan akhlak pemimpin.
“Dalam naratif Hikayat Raja Pasai, pengarang cuba menunjukkan bahawa akibat kezaliman dan keserakahan tingkah laku seorang rajanya, Pasai telah ditakluki oleh tentera Majapahit,” katanya.
Selain itu, katanya kerajaan Samudera-Pasai menjadi makmur kerana sifat kemajmukan masyarakatnya sebagai kota pelabuhan yang dikunjungi pelbagai bangsa yang berdagang.
Katanya, ciri kemajmukan itu juga sama seperti ciri Malaysia.
Dr Wan Azizah berkata Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah menyatakan Islam adalah agama Persekutuan, namun perlembagaan juga mensyaratkan supaya keharmonian pemeluk agama berlainan dijaga.
“Perlembagaan negara sama sekali menolak sikap melampau atau yang menampilkan extremisme daripada mana-mana golongan dalam hal ehwal beragama,” katanya memetik Bernama.
Hikayat Raja Pasai merupakan salah satu karya ulung dan menjadi warisan turun temurun Melayu yang disunting oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmat Adam.
Kajian awal mengenai naskhah ini telah dibuat oleh beberapa pihak seperti J.P Mead (1914), Dr A.H. Hill (1960), Teuku Ibrahim Alfiah (1973) dan Russel Jones (1987).
November 18, 2019
KPWKM rangka pelan tangani kahwin bawah umur
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam peringkat akhir menyiapkan Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani gejala perkahwinan bawah umur.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KPWKM, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata langkah itu memerlukan pindaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 [Akta 303] dengan menetapkan umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.
Katanya, pelan tersebut mengandungi program tindakan melibatkan 61 agensi di peringkat Persekutuan serta negeri dan dijangka dibentangkan dalam memorandum jemaah menteri hujung tahun ini.
“Kerajaan telah mengambil beberapa langkah dalam usaha untuk mengekang perkahwinan bawah umur iaitu melalui perundangan dan mengenal pasti punca-punca berlakunya perkahwinan bawah umur.
“Undang-undang keluarga Islam, termasuk hukum syarak, perkahwinan dan adat negeri, adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri dalam jadual Kesembilan, Bahagian Dua – Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Justeru, menurut beliau, Putrajaya masih memerlukan persetujuan kerajaan negeri sebelum boleh melaksanakannya.
“Draf pindaan sedang dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Manakala Enakmen/Ordinan Undang-undang dan had umur minimum perkahwinan hanya boleh dipinda sekiranya negeri-negeri bersetuju dengan cadangan pindaan tersebut,” katanya.
Wan Azizah berkata demikian semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sewaktu menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) tentang usaha kerajaan menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.
Menurutnya, undang-undang keluarga Islam, termasuk hukum syarak, perkahwinan dan adat negeri, adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri dalam Jadual Kesembilan, Bahagian Dua – Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, sehingga kini hanya negeri Selangor yang telah meminda enakmen berkenaan sementara Wilayah Persekutuan dalam proses pindaan.
“Lima negeri lain yang telah bersetuju untuk meminda adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak.
“Masih terdapat tujuh negeri yang tidak bersetuju untuk meminda perundangan berkaitan iaitu di Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.
“Manakala, bagi bukan Islam pula, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk meminda peruntukan berkaitan had umur pendaftaran perkahwinan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].
Katanya, ini adalah kerana undang-undang sedia ada telah diperuntukkan dengan jelas had umur minimum pendaftaran perkahwinan bagi lelaki dan perempuan adalah 18 tahun.
“Pengecualian hanya diberikan kepada perempuan berumur 16 dan 17 tahun yang perlu mendapat kebenaran daripada ketua menteri atau menteri besar,” katanya.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
