Suara Keadilan's Blog, page 7
December 4, 2019
Kongres persediaan Anwar jadi PM kelapan
Kongres KEADILAN Nasional pada 7 dan 8 Disember ini di MITC, Ayer Keroh, Melaka harus jadi landasan bagi parti mempersiapkan Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas ini.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasir berkata perjumpaan tahunan itu merupakan platform tertinggi di mana ahli-ahli berkumpul untuk merangka perjalanan parti seterusnya.
“Harapan saya supaya perwakilan dan pemerhati hadir ke kongres kerana ia jadi tempat tertinggi parti merangka perjalanan seterusnya.”
“Saya juga harap ini peluang kita bersama-sama presiden bagi membuat persiapan dalam langkah beliau selepas ini menjadi perdana menteri,” katanya ketika dihubungi.
Jelas anggota Parlimen Johor Bahru itu, agenda mengangkat Anwar sebagai perdana menteri hanya sebahagian daripada usaha untuk mengangkat negara ini ke arah yang lebih baik.
Oleh itu katanya, mana-mana pihak yang mungkin mempunyai pandangan tersendiri harus meletak kepentingan peribadi ke tepi dan memfokuskan kepada perjuangan reformasi.
“Bagi saya ini peluang terbaik di mana Datuk Seri (Anwar) amat terbuka untuk menerima semua pimpinan dan perwakilan dalam kongres.”
“Peluang itu ada, jadi gunakanlah sebaik-baiknya supaya perwakilan dan pemerhati dapat lihat kita sebagai pemimpin bersama-sama Datuk Seri (Anwar),” katanya lagi.
Kongres Nasional KEADILAN yang ke-14 dengan tema Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi akan berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC) pada 5 hingga 8 Disember 2019.
Azmin rasmi pembukaan Kongres AMK, Wanita
Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali bakal merasmikan kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita KEADILAN di Melaka esok, manakala Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menutup kedua-dua kongres itu.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, hal itu diputuskan dalam mesyuarat khas biro politik parti itu dengan Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim petang tadi.
“Kami telah bincangkan antara lain persiapan berkenaan kongres dan saya boleh maklum di sini bahawa Kongres AMK dan Wanita kedua-duanya akan dirasmikan oleh Azmin pada Khamis 5 Disember.
“Manakala kedua-dua Kongres AMK dan Wanita akan ditutup oleh TPM pada Jumaat sebelah petang,” katanya kepada media di bangunan Parlimen petang tadi.
Sebelum ini Wan Azizah dijadualkan merasmikan kongres AMK manakala Azmin merasmikan kongres sayap wanita.
Mengikut kelaziman kedua-dua sayap parti akan dirasmikan oleh timbalan presiden.
Kata Fahmi kongres kali ini akan menampakkan kekuatan dan keutuhan KEADILAN.
“Insya-Allah kita akan dapat mendengar pandangan daripada semua pimpinan dan akan dapat melihat hala tuju parti,” katanya.
December 3, 2019
Anwar: Kongres jadi saksi KEADILAN yang bersatu
Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim yakin bahwa Kongres Nasional KEADILAN yang ke-14 akan menjadi medan untuk membuktikan kepada rakyat bahawa parti itu kekal bersatu.
Justeru, Anwar menjemput pekerja media untuk melihat sendiri dan melaporkan tentang perpaduan dalam KEADILAN itu memandangkan selama ini parti idgambarkan sebagai berpecah.
“Jadi sibuk media kata ada perpecahan, perpecahan apa? Kita ada satu million (juta) ahli, tiga hingga empat orang complaint (merungut), biasalah,” katanya.
Beliau berjanji akan menunjukkan kekuatan KEADILAN sebagai sebuah parti menerusi kongres yang dijadual di Melaka.
“Sebab kawan-kawan kita termasuk (Naib Presiden KEADILAN) Xavier (Jeyakumar), mereka pesan mari kita tunjuk kekuatan kita. Tak apa orang nak cakap soal negatif, saya tahu saya presiden bukan satu kelompok, saya presiden bagi satu parti
“Dan saya amat mudah memaafkan, telanjang pun maaf, masuk penjara pun maaf, tapi cukup, sekarang ni kita kena bawa mesej yang baru.
“Media dengar baik-baik, apa pun orang cakap, apa jua telahan dilakukan, saudara datang 7 hari bulan, saudara akan lihat kongres parti yang bersatu dan jauh lebih kuat daripada dulu,” katanya.
Kongres Nasional KEADILAN yang ke-14 dengan tema Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi akan berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC) pada 5 hingga 8 Disember 2019.
Tinjau mangsa banjir pada hari jadi
Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail tetap turun padang untuk meninjau sendiri keadaan mangsa banjir di Kelantan walaupun 3 Disember hari ini adalah ulang tahun kelahirannya yang ke-67.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tiba pada 10 pagi di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang untuk mengagihkan kit makanan.
Beliau disambut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) Senator Husam Musa.
Dr Wan Azizah kemudiannya mendengar taklimat berkaitan banjir yang melanda Pasir Mas selama kira-kira 30 minit daripada Ketua Jajahan Pasir Mas, Nik Mohamed Noor Nik Ishak.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Dr Wan Azizah berkata keadaan banjir yang berlaku di Kelantan ketika ini tidaklah seteruk yang berlaku pada 2014.
“Banjir kali ini berkemungkinan bersamaan dengan banjir 2016. Tidaklah seteruk banjir 2014 yang kita panggil banjir kuning tetapi (banjir) 2016 pun ramai juga mangsa, dan kita belum lagi habis Monsun Timur Laut yang akan berakhir Februari ini.
“Kalau kita lihat trend itu kita harap tahap kesiapsiagaannya dipertingkatkan,” katanya memetik Bernama.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga akan melihat langkah penyelesaian lebih holistik bagi mengatasi bencana banjir yang berlaku secara tahunan di beberapa tempat di seluruh negara.
“Kita kena fikirkan bagaimana (untuk membina) tebatan banjir, lepas itu tindakan yang holistik dan dapat kita tangani bukan sahaja di Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat tetapi lain-lain (kawasan juga),” katanya.
Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 10,207 orang melibatkan 3,480 keluarga setakat 8 pagi semalam berbanding 10,078 mangsa (3,437 keluarga) pada 1 Disember.
Ibu menteri KPDNHEP meninggal dunia
Ibu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar petang tadi.
Setiausaha Akhbar kepada Saifuddin, Hisommudin Bakar berkata Che Gayah Hassan, 74, meninggal dunia pada pukul 6.05 petang kerana sakit tua selepas seminggu dirawat di hospital berkenaan.
“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Durian, Pokok Sena (dekat Alor Setar) pada pukul 11 malam ini,” katanya dalam kenyataan ringkas malam ini.
December 2, 2019
Tambang percuma untuk OKU Sabtu, Ahad ini
Orang Kurang Upaya (OKU) dan seorang pengiring akan menikmati tambang percuma bagi kemudahan perkhidmatan pengangkutan kendalian Prasarana Malaysia Bhd pada Sabtu (7 Disember) dan Ahad (8 Disember) ini sempena sambutan Hari OKU Kebangsaan 2019.
Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tambang percuma itu akan melibatkan perkhidmatan MRT, monorel dan LRT.
Beliau mengumumkan perkara itu pada program Santai Bersama OKU sempena sambutan Hari OKU Kebangsaan 2019 hari ini.
“Pengguna OKU hanya perlu menunjukkan kad OKU mereka untuk pengesahan bagi menikmati kemudahan ini,” kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalannya, Hannah Yeoh yang mewakili beliau merasmikan program itu.
Dr Wan Azizah mengadakan lawatan kerja ke negeri di Pantai Timur hari ini bagi melawat mangsa dan pusat pemindahan banjir.
Menurut Dr Wan Azizah, Prasarana telah menyediakan insentif untuk pengguna OKU di mana OKU berdaftar dan mempunyai kad konsesi mendapat potongan tambang 50 peratus apabila menggunakan mana-mana kemudahan pengangkutan yang disediakan Prasarana.
Menurut Dr Wan Azizah lagi, data sehingga Jun 2019 menunjukkan terdapat 549,554 OKU telah berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita mengharapkan lebih ramai OKU berdaftar dengan JKM dan seterusnya mengambil bahagian dalam inisiatif atau program yang bersesuaian,” katanya.
Yeoh, yang ditemui pemberita selepas majlis itu, berkata golongan OKU sempena sambutan Hari OKU Kebangsaan 2019 boleh memasuki Muzium Negara dan Balai Seni Negara secara percuma dan menikmati diskaun 20 peratus untuk penginapan di Hotel Seri Malaysia mulai hari ini hingga 8 Disember.
“Golongan OKU juga boleh masuk secara percuma ke Pusat Sains Negara tanpa had masa,” katanya memetik laporan Bernama.
Yeoh berkata pada tahun hadapan, kad OKU dijangka dapat dikeluarkan dalam masa yang lebih singkat iaitu 30 hari apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima peruntukan untuk menambah satu mesin pencetak kad berkenaan di setiap negeri.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, KPWKM telah menubuhkan Special Project Team (SPT) untuk meneliti, menggubal dan menyediakan draf bagi pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 bagi memperkasa golongan itu.
Beliau berkata, SPT dengan 25 anggota itu mewakili pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan, badan profesional, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang berpengetahuan dan berpengalaman berkenaan OKU.
Dr Wan Azizah berkata, SPT itu akan mula bersidang pada Januari 2020 selama enam bulan untuk menghasilkan draf Pindaan Akta OKU yang komprehensif, dengan sasaran untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat adalah pada Disember 2020.
December 1, 2019
Anwar: Soal abu tak harus jadi terlalu hangat
Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim berpemdapat isu abu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng tidak perlu diperbesar-besarkan.
Menurutnya, jika disorot sejarah negara juga, Malaysia sendiri sudah menandatangani perjanjian damai dengan PKM.
“Saya ini ambil pendirian yang lebih lunak maknanya tahu sejarah, tahu masalah kekejaman, tahu perlawanan, tahu sensitiviti dan perasaan tentera dan polis tetapi juga tahu kita dah capai perdamaian.
“Tun Razak (perdana menteri kedua Malaysia) telah berunding dengan Zhou Enlai (bekas pemimpin komunis China) dan Dato’ Seri Najib ada hubungan baik dengan Parti Komunis dan kerajaan China, Tun Mahathir teruskan dan saya pun jumpa parti komunis China.
“Jadi saya tak fikir soal abu itu harus jadi terlalu hangat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas wacana nasional tentang tindakan sekumpulan rakan-rakan Chin Peng yang membawa balik abu beliau dan menaburnya ke gunung dan laut berhampiran tempat kelahirannya di Sitiawan.
Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua lahir di Sitiawan, Perak pada 1924.
Pada 2 Disember 1989, kerajaan menandatangani Perjanjian Damai Hat Yai bersama saki baki anggota PKM yang hidup dalam buangan di selatan Thailand.
Majlis itu menamatkan pemberontakan komunis selama 21 tahun di Malaysia dan membawa kepada pembubaran PKM.
KKM kaji kemungkinan haramkan vape
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji kemungkinan pengharaman rokok elektronik yang dikenali sebagai vape.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata penggunaan vape masih berbahaya seperti rokok tembakau kerana 90 peratus kandungannya adalah nikotin.
“Oleh itu kita perlu juga menjaga golongan tidak merokok yang tidak mahu terdedah kepada asap rokok sekunder,” katanya memetik laporan Bernama.
Sementara itu merujuk kepada kes seorang remaja lelaki dimasukkan ke Hospital Nukleus Labuan pada 8 November lepas bagi menerima rawatan untuk kerosakan bahagian dalaman paru-paru disyaki akibat menghisap vape, Dr Lee berkata pihaknya masih menyiasat punca kes itu.
“Kami masih belum mengenal pasti sama ada dia dijangkiti penyakit Evali ataupun tidak, namun siasatan masih dijalankan,” katanya.
Penyakit misteri paru-paru itu diberi kod nama Evali iaitu gabungan e-rokok, vape atau produk berkaitan kecederaan paru-paru telah menyebabkan 47 kematian melibatkan pengguna vape di Amerika Syarikat setakat ini.
November 28, 2019
Putrajaya tumpu pemodenan bekalan makanan
Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan untuk mempercepatkan proses pemodenan bekalan makanan negara menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Menurutnya, langkah itu akan dilaksanakan menerusi Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) dari 2021 hingga 2030.
“DAN 2.0 akan melaksanakan pelbagai inisiatif dan hala tuju baharu dalam tempoh 10 tahun seperti membangunkan input pertanian dalam semua subsektor agro makanan, menjadikan negara sebagai pengeluar utama buah tropika di peringkat dunia dan memantapkan perkhidmatan pengembangan seiring dengan perkembangan teknologi terkini.
“DAN 2.0 juga akan menambah baik aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan kepelbagaian baharu yang tahan perubahan iklim dan mampu mengeluarkan hasil yang tinggi.
“Selain daripada memperkukuhkan sistem kawalan, pemantauan dan pengawasan (MCS) dalam subsektor perikanan, penekanan khusus turut diberikan dalam subsektor industri asas tani dan keusahawanan agro seperti agro-kulinari dan agro-pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019 (HPPNK 2019) di Johor Bahru pada 28 November.
Turut hadir adalah Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.
Dr Wan Azizah berkata, pembangunan bekalan makanan negara akan dibuat selaras dengan tema Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 iaitu ‘Leaving No One Behind’.
HPPNK 2019 dengan tema Makanan Kita Masa Depan Kita berlangsung selama empat hari bermula 28 November sehingga 1 Disember.
Ia menampilkan 350 usahawan terdiri daripada peladang, penternak dan nelayan dari seluruh negara.
Kongres KEADILAN ke-14 hujung minggu depan
Kongres Nasional KEADILAN yang ke-14 dengan tema Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi akan berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC) pada 5 hingga 8 Disember 2019 depan.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil mengumumkan perkara tersebut pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN pagi ini.
Menurutnya, kongres itu akan bermula dengan perasmian Kongres Wanita KEADILAN pada 9 malam 5 Disember 2019.
Perasmian Kongres Angkatan Muda KEADILAN (AMK) pula akan berlangsung pada 2.15 petang 6 Disember 2019.
Kedua-dua kongres Wanita dan AMK akan ditangguhkan pada 6 atau 7 petang 6 Disember.
Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan dasarnya kepada peserta Kongres Nasional KEADILAN pada 9 pagi 7 Disember 2019.
Sesi perbahasan menyokong ucapan beliau pula dijangka bermula pada 2.30 petang pada hari yang sama.
Ucapan penggulungan kongres akan berlangsung pada 8 atau 9 pagi 8 Disember dan kongres dijangka akan ditangguhkan pada 1 petang hari yang sama.
Kongres sempena 20 tahun KEADILAN ini bakal berlangsung selepas selesai siri konvensyen KEADILAN peringkat negeri di seluruh negara dari 13 Oktober hingga 30 November 2019.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
