Suara Keadilan's Blog, page 4

December 10, 2019

Almarhum bapa TPM berkhidmat bawah empat PM

Jenazah bapa kepada Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah selamat dikebumikan pada jam 11.15 pagi tadi di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang. 


Almarhum Wan Ismail Wan Mahmood ,93 tahun meninggal dunia pada jam lebih kurang 2.30 pagi akibat sakit tua di kediamannya di Taman Ampang Utama dan disembahyangkan di Masjid Al Mustakim, Ampang. 


Almarhum yang merupakan pesara Jabatan Penerangan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara meninggalkan balu Mariah Khamis, 85 tahun. 


Terdahulu upacara solat jenazah itu turut dihadiri sendiri timbalan perdana menteri bersama suaminya Anwar Ibrahim serta Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan isteri Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. 


Antara pemimpin pemimpin lain yang turut dilihat hadir di masjid sebelum itu termasuklah menteri Dr Mujahid Yusof Rawa, Salehuddin Ayub, Mohamad Sabu serta Sivarasa Rasiah, Lim Guan Eng dan Xavier Jayakumar. 


Upacara pengebumian yang berlangsung dalam keadaan cuaca baik itu selesai kira kira jam 11.40 pagi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 10, 2019 01:17

December 9, 2019

Bapa TPM meninggal dunia

Dr Wan Ismail Wan Mahmood, bapa kepada Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninggal dunia pagi ini di rumahnya di Ampang.


Menurut maklumat dari laman Facebook Dr Wan Azizah, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid al Mustaqim di Taman Nirwana, Ampang pada 9 pagi sebelum di kebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 09, 2019 18:40

Keperluan, makanan, pengangkutan dominasi perbelanjaan rakyat

Rakyat Malaysia membelanjakan 70 peratus pendapatan mereka untuk barangan keperluan, perumahan dan pengangkutan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail.


Memetik laporan Kumpulan Bank Dunia, Saifuddin berkata tiga komponen berkenaan turut menyumbang kepada bebanan kos sara hidup rakyat.


“Laporan itu turut menyebut semakin rendah pendapatan rakyat, semakin banyak mereka berbelanja untuk makanan, manakala semakin tinggi pendapatan rakyat (golongan kaya), semakin banyak mereka habiskan untuk masa lapang untuk berjalan dan ke kelab-kelab rekreasi dan sebagainya.


“Jadi kita boleh tengok di situ apabila berlaku kenaikan harga kos barang dan sebagainya, golongan berpendapatan bawah yang paling terkesan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Edisi Ke-21 Malaysia Economic Monitor- “Making Ends Meet” di Kuala Lumpur hari ini.


Selain itu, laporan berkenaan turut menyentuh tentang pendapatan rakyat Malaysia yang statik ketika kos sara hidup meningkat, katanya.


Justeru, beliau berkata kementerianya selaku sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengatasi masalah berkenaan.


“Saya dapat beberapa idea untuk melakukan beberapa anjakan terhadap fokus dan keutamaan bagaimana NACCOL harus bergerak memasuki tahun 2020…kita tidak boleh puas hati dengan tahap sekarang, kita mesti lakukan lebih pada itu,” katanya memetik Bernama.


Sementara itu, Saifuddin dalam ucapannya berkata NACCOL sedang melihat bagaimana untuk mengurangkan harga barangan makanan dan meningkatkan pendapatan pengeluar makanan dengan menghapuskan lapisan-lapisan orang tengah dalam rantaian bekalan makanan.


“Baru-baru ini saya melawat jeti nelayan di Sekinchan serta Sungai Besar dan saya bercakap dengan nelayan, harga ikan kembung hanya RM5 ke RM6 sekilogram (kg) dan harganya di pasar basah 1.5km dari jeti ialah RM13 sekg.


”Saya telah mengeluarkan arahan kepada Ketua Setiausaha (Datuk Muez Abdul Aziz) untuk benar-benar melihat perkara itu dan kami komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenai perkara ini. Untuk tahun-tahun mendatang, ini akan menjadi salah satu keutamaan saya dalam usaha kami mengurangkan kos sara hidup,” katanya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 09, 2019 04:39

December 8, 2019

Peguam: Moga penarikan rayuan terhadap Rafizi jadi penutup

Peguam kepada Rafizi Ramli berharap jaminan peguam negara yang akan menarik balik rayuan terhadap pembebasan Naib Presiden KEADILAN itu berkaitan kes Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) akan menjadi satu penutup yang muktamad.


Ahmad Nizam Hamid meluahkan pandangan itu susulan jaminan Tommy Thomas untuk berbuat demikian pada minggu lepas.


”Isnin (hari ini) dia akan tarik notis rayuan. KEADILAN menyambut baik dan menghargai peguam negara.


”Harapan kami, kenyataan peguam negara ini biarlah menjadi satu penutup,” kata bekas timbalan pengerusi KEADILAN Pahang itu kepada Suara Keadilan.


Menurut Ahmad Nizam, beliau sebelum ini terkejut dengan rayuan terhadap pembebasan Rafizi pada 6 Disember lalu.


Malah katanya, mereka tidak menerima notis rayuan tersebut daripada pihak pendakwaan sehinggalah mendapat makluman daripada mahkamah sendiri.


Rafizi dibebaskan pada 15 November lalu daripada hukuman penjara 30 bulan berhubung pendedahan data perbankan dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC).


Namun, kes itu dirayu pendakwaan dan ia mengundang bidasan daripada Rafizi yang mencabar Thomas untuk melakukan perkara sama dengan mengheret ahli keluarga bekas menteri, Shahrizat Abdul Jalil yang terbabit dalam kes National Feedlot Corporation (NFC) ke muka pengadilan.


Thomas dalam maklum balas pada hari sama berikrar mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawainya yang memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Rafizi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 08, 2019 17:35

December 7, 2019

Anwar: Beri perhatian kepada PRN Sarawak

Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim menyeru anggota dan pimpinan parti memberi tumpuan kepada Sarawak yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.


“Kita tumpu pembangunan dan nasib rakyat di negeri berkenaan, jangan diheret isu-isu tidak penting.


“Bawa Sarawak ke hadapan, bersama kita dalam menjayakan PRN negeri itu,” katanya dalam ucapan penangguhan Kongres Nasional KEADILAN 2019 di MITC, Melaka hari ini.


Dalam pada itu Anwar menzahirkan penghargaan kepada teman-teman dari negeri berkenaan yang kekal bersama dalam membawa agenda pembangunan rakyat.


“Sebab itu saya hargai kawan-kawan Sarawak tumpu pembangunan dan nasib rakyat,” katanya.


Pilihan Raya Negeri Sarawak perlu diadakan selewat-lewatnya sebelum 7 September 2021.


Kali terakhir Sarawak mengadakan Pilihan Raya Negeri adalah pada 7 Mei 2016.


Ketika ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang memerintah negeri Sarawak mempunyai 72 kerusi DUN daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 07, 2019 21:43

Anwar dengar perwakilan desak lebih tegas soal disiplin parti

Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim menyifatkan hasrat kebanyakan perwakilan dan pemerhati yang jelas dalam Kongres Nasional KEADILAN kali ini tidak boleh diabaikan sama sekali.


Beliau merujuk kepada suara-suara “garang dan berang” yang melatari kongres yang mahu tindakan tegas diambil kepada pihak-pihak yang didakwa menjejaskan imej parti.


“Shamsul Iskandar (Ketua Penerangan) kata kesabaran saya tahap dewa.


“Tapi kena ingat, ada masa dewa juga boleh keluarkan panah sakti,” kata anggota Parlimen Port Dickson itu dalam ucapan penangguhan Kongres Nasional KEADILAN 2019 hari ini.


Anwar menjelaskan para pembahas dipilih oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan beliau berpendapat bahawa teguran dan singgungan para perwakilan di kongres terhadap pimpinan parti perlu dijawab dalam kongres.


Sementara itu, Anwar melahirkan rasa penghargaan dan hormat kepada teguran Naib Presiden, Tian Chua yang mahu mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu yang wujud.


Beliau menyifatkan parti boleh bertolak ansur kepada apa jua tindakan termasuk tidak hadir mesyuarat atau keluar dewan, tapi tidak ada maaf jika ada dakwaan melibatkan rasuah.


“Jangan wujud persepsi kita bertolak ansur dengan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya, merujuk kes pemecatan bekas Ketua Cabang Bera, Zakaria Abdul Hamid yang tidak dipersetujui beberapa pimpinan baru-baru ini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 07, 2019 21:40

Saifuddin: Anwar obses dengan agenda Reformasi

Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim obses dengan agenda Reformasi untuk kepentingan rakyat, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail.


“Anwar obses dengan dengan agenda Reformasi. Anwar obses dengan orang miskin.


“Anwar seorang yang sangat obses dengan perjuangan rakyat dan bukan ketagih atau lahap hendak jadi perdana menteri,” kata Saifuddin dalam penggulungan ucapan dasar presiden KEADILAN hari ini.


Menurut Saifuddin, pengalaman Anwar yang terpejara kerana siri fitnah politik terhadapnya menjadikan Anwar seorang yang pemaaf terhadap seteru politiknya.


Ia kata Saifuddin, satu ‘kelemahan’ Anwar dalam berpolitik.


“Jasad yang lama terpenjara menjadikan Anwar manusia yang sangat sangat sangat pemaaf.


“Saya marah dengan Anwar dalam politik dia tak ada ‘naluri pembunuh’.


“Kadang-kadang beliau mengecewakan sebahagian penyokong parti, melelahkan dan meletihkan tetapi saudara Anwar kita dah pilih sebagai presiden parti,” katanya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 07, 2019 20:51

Jangan tewas diuji pangkat dan jawatan – Wan Azizah

Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan ahli parti agar jangan terpesona dengan pangkat dan jawatan selepas beroleh kemenangan.


Timbalan perdana menteri itu berkata sebaliknya keikhlasan akan mengekalkan disiplin dalam parti.


“Jangan kita tewas apabila diuji dengan kekayaan, pangkat dan jawatan.


“Bukan saya naik ke jawatan ini kerana saya Wan Azizah, tapi kerana (pengorbanan) semua ahli,” katanya.


Beliau yang juga bekas presiden KEADILAN berharap para ahli memberikan teguran dengan berhikmah bukannya bercakaran sesama sendiri.


Ahli Parlimen Pandan itu menyampaikan ucapan penggulungan dalam Kongres Nasional KEADILAN di MITC, Ayer Keroh, Melaka yang akan berakhir hari ini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 07, 2019 20:44

Berkabilah boleh, asalkan berdisiplin

Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang berkata tiada masalah bagi sesebuah organisasi untuk mempunyai kabilah-kabilah asalkan mempunyai disiplin dan tidak melanggar batasan.


Anggota Parlimen Tanjung Malim itu memetik kata-kata pakar strategi, Mao Tze Tung bahawa tidak pelik dalam sesebuah kumpulan untuk mempunyai puak-puak akibat pendekatan dan pandangan yang berbeza.


“Dalam parti ini tak kira senior atau junior, yang penting kena setia kepada 3P iaitu perjuangan, parti, presiden.”


Beliau menggariskan tiga disiplin berkabilah iaitu pertama, jangan terpesong daripada nilai teras iaitu sebagai parti berbilang kaum.


Kedua jelasnya, jangan mengkhianati agenda reformasi.


Seterusnya katanya, jangan menentang aspirasi untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan.


Oleh itu katanya, pihak yang tidak membawa agenda ini adalah pembelot kerana melanggar organisasi parti. Jelasnya, parti tidak dapat beroperasi jika pimpinan tidak hadir mesyuarat dan selalu keluar kenyataan ‘bantai’ parti dalam media.


“Apa lagi yang Anwar Ibrahim boleh buat tapi dia tak buat? Nak damai, dia berdamai.


“Tapi di tengah-tengah liputan luas media, kamu ‘walkout’. Jangan hina parti kita ke tahap ini. Rakyat sudah muak dengan kita,” katanya.


Kongres kali ke-14 ini berlangsung dengan tema Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi.


Kongres ini menarik kehadiran 1,905 orang perwakilan dan lebih 1,500 orang pemerhati.


Kongres yang berlangsung Jumaat lalu akan berakhir tengah hari ini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 07, 2019 20:12

Tian Chua: Reformis tak gentar dengan perbezaan pandangan

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua hari ini menegur sesetengah ahli parti yang taksub memuja pemimpin sehingga tidak mampu menguruskan perbezaan pandangan.


Bercakap dalam penggulungan ucapan dasar presiden KEADILAN pagi ini, Tian Chua merakamkan kekecewaan beliau terhadap golongan pengampu yang tidak berpandangan jauh dalam hala tuju parti.


“Sebagai Reformis, kita tidak takut berhadapan dengan orang yang tak sepandangan dengan kita.


“Di sini biarlah kita jangan berpura-pura biarlah kita menyatakan hasrat hati – orang muda sekarang hendak ampu ampu hendak kipas kipas hendak nyatakan (presiden KEADILAN) Anwar (Ibrahim) perdana menteri kelapan.


“Saya cabar semua ini, sekarang kita boleh buat kerana kita berada dalam dewan yang selesa, dewan yang mudah.


“Bayangkan 20 tahun kita hendak menyokong Anwar, berapa ramai di kalangan kita berani?” katanya.


Menurutnya lagi, perjuangan KEADILAN seharusnya melangkaui cita-cita untuk memartabatkan Anwar sebagai perdana menteri kelapan.


Ini kerana, perkara tersebut sudah pun termaktub dalam muafakat Pakatan Harapan, katanya.


“Kini rakyat meneliti adakah KEADILAN layak menjadi parti pemerintah.


“Kelayakan ini bukan melalui sorakan, kelayakan ini harus kita lihat bagaimana kita membentuk parti yang bersatu, parti yang boleh menjadi inklusif untuk pelbagai pandangan, parti yang boleh Membawa solusi kepada masalah rakyat,” katanya.


Kongres kali ke-14 ini berlangsung dengan tema Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi.


Kongres ini menarik kehadiran 1,905 orang perwakilan dan lebih 1,500 orang pemerhati.


Kongres yang berlangsung Jumaat lalu akan berakhir tengah hari ini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 07, 2019 20:07

Suara Keadilan's Blog

Suara Keadilan
Suara Keadilan isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Suara Keadilan's blog with rss.