Suara Keadilan's Blog, page 3

December 16, 2019

SD Azilah jawab motif, spekulasi kematian Altantuya

Akuan bersumpah (SD) bekas polis, Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh model Mongolia. Altantuya Shaaribuu mewajarkan siasatan polis dibuka semula kerana ia menjawab motif pembunuhan tersebut.


Pandangan itu dilontarkan Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim yang berpendapat langkah tersebut juga akan membersihkan nama Malaysia di mata dunia.


Menurutnya, siasatan baharu juga akan menjadi susulan kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang membuat laporan polis pada Oktober 2018 menggesa polis menyiasat dirinya sendiri berkaitan kes itu.


“Pembukaan semula siasatan kes ini akan memberi peluang keadilan kepada Azilah dan Najib seperti yang mereka berdua minta, serta menamatkan pertanyaan yang sekian lama membelenggu minda orang awam.


“Sudah terlalu banyak kita habiskan masa dan tumpuan untuk kes ini, noktah yang muktamad perlu dititik segera untuk membolehkan kita bergerak ke depan dengan lebih lancar,” katanya dalam kenyataan.


Azilah, yang kini menunggu hukuman mati bersama seorang lagi anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis, Sirul Azhar Umar disabitkan dengan pembunuhan Altantuya.


Bagaimanapun, Azilah semalam membuat pengakuan bersumpah mendakwa mereka melakukan pembunuhan itu atas arahan Najib Razak yang merupakan timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan sewaktu kes itu berlaku, lapor Malaysiakini.


“Menggunakan kedua-dua sisi desakan Azilah dan Najib ini, saya berpandangan pihak polis memiliki alasan yang munasabah untuk membuka semula siasatan terhadap kes yang mencalar nama baik Malaysia di mata dunia ini.


“Selain membuka peluang untuk memberi ruang keadilan kepada Azilah seperti yang beliau dakwa itu serta membersih nama Najib seperti yang beliau pinta, siasatan tersebut juga berpotensi menamatkan tanda tanya dan spekulasi awam terhadap kes yang seperti tiada kesudahan ini,” kata Yusri.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 16, 2019 20:50

Muslim Eropah rayu Anwar perangi Islamofobia di KL Summit 2019

Pemimpin-pemimpin masyarakat Muslim Eropah merayu Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim untuk bersuara tentang Islamofobia pada sidang kemuncak KL Summit 2019.


Menurut Anwar, beliau baru sahaja bertemu Presiden Forum Muslim Eropah yang menyuarakan hasrat itu kepadanya, 14 Disember lalu.


“Saya sedang mengetengahkan isu-isu terkait Islamofobia dan sedang menggembeleng dukungan dari rakan-rakan dalam rencana ini.


“Kami akan mengutus surat dukungan dari pemimpin-pemimpin Muslim dan surat itu akan ditonjolkan pada sidang kemuncak di KL pada 19 Disember 2019 ini.


“Pemimpin-pemimpin Muslim Eropah melalui Presiden European Muslim Forum Abdul Vakhed Niyazov telah mengajukan kepada saya atas kapasiti sebagai mentor kepada Honorary Board European Muslim Forum untuk mengutuskan surat dukungan kepada kepala-kepala negara Malaysia, Pakistan dan Turki.


“Ketiga-tiga negara tersebut telah bersetuju untuk berpadu di dalam satu kesatuan bagi memerangi gejala Islamophobia di #UNGA (Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) tiga bulan yang lalu,” katanya.


Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 adalah satu wadah menghimpun pemimpin, cendekiawan, ulama dan pemimpin Islam untuk berkongsi idea dan mencari penyelesaian kepada masalah umat Islam.


Tiga orang pemimpin Islam mengesahkan kehadiran mereka iaitu Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 16, 2019 18:47

Selawat, nyanyian Ernie Zakri iringi tahun baru di Selangor

Sambutan ambang tahun baru 2020 peringkat  Selangor yang akan berlangsung di Dataran Kemerdekaan pada 31 Disember mengetengahkan hiburan untuk pelbagai peringkat masyarakat.


Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, sambutan kali ini bermula seawal jam 10 pagi lagi.


“Bermula jam 10 pagi kita adakan pertandingan e-sukan seperti ‘PubG’, ‘Call of Duty’, Fifa20 dan ‘Tekken 7’ pertandingan dron serta ‘food truck’ yang berterusan hingga malam.


“Selain itu juga diadakan acara Penalti Ambang 2020, ‘Netball Shootout Ambang 2020′, Beyblade yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan,” katanya memetik SelangorKini.


Mohd Khairuddin berkata, sambutan di sebelah malam akan dimeriahkan dengan program Selangor Berselawat dan solat berjemaah sebelum diikuti dengan persembahan perarakan pancaragam.


Katanya, pengunjung kemudian akan dihiburkan dengan persembahan penyanyi popular Black, Syamel dan Ernie Zakri.


Mohd Khairuddin berkata, kemuncak sambutan yang akan dihadiri Menteri Besar, Amirudin Shari itu adalah kiraan detik jam 12 malam dan diikuti pertunjukan bunga api.


“Sambutan kali ini adalah yang julung kali sepertinya diadakan dan ia cukup meriah.


“Saya menyeru warga Selangor datang beramai-ramai untuk sertai pelbagai acara yang akan diadakan di samping menunggu kedatangan tahun baru 2020”, katanya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 16, 2019 00:09

December 15, 2019

Selangor selesai isu kampung tradisi India

Selangor berjaya menyelesaikan isu 27 lot tanah melibatkan penduduk kampung tradisi India, Kampung Indian Settlement di Batu Caves, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.


Beliau berkata, mereka terdiri daripada penduduk menetap di tepi sungai dan akan dipindahkan ke penempatan baharu yang telah disiapkan.


“Isu berkaitan Kampung Indian Settlement ini sebenarnya adalah perkara lama sejak saya menggalas tanggungjawab sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves dan selesai pada 2009.


“Namun, ia tidak dapat mengikut pelan asal memandangkan terdapat sebahagian penduduk yang tinggal di tepi sungai.


“Kerajaan negeri berusaha membantu penduduk kerana sebelum ini mereka menghadapi kecelaruan tanah lot yang bercampur serta tidak disusun dengan baik.


“Alhamdulillah, sekarang masalah ini sudah diatasi dan saya jangkakan ia akan selesai dalam tempoh setahun lagi.


“Setelah itu, kita akan memulakan pembinaan jalan utama untuk kemudahan penduduk,” katanya memetik SelangorKini.


Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua berkata demikian selepas Program Kembali Ke Sekolah anjuran Persatuan Penduduk Indian Settlement Batu Caves dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri beliau, semalam.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 15, 2019 18:40

December 12, 2019

Rafizi kekal bebas daripada kes BAFIA

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli kekal bebas daripada pertuduhan mendedahkan butiran sulit perbankan berkaitan skandal National Feedlot Corporation (NFC) selepas pendakwa raya menarik balik rayuan terhadap pembebasannya.


Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar memaklumkan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai hakim Yaacob Md Sam bahawa pihak pendakwaan juga menarik balik rayuan terhadap pembebasan bekas kerani bank, Johari Mohamad daripada pertuduhan bersubahat dengan Rafizi.


“Oleh itu pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua rayuan,” katanya dan mahkamah membatalkan rayuan tersebut.


“Perintah lepas dan bebas yang diputuskan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Yaacob yang bersidang bersama-sama hakim P Ravinthran dan Abu Bakar Jais.


Peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Rafizi mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan.


Rafizi dibebaskan pada 15 November lalu daripada hukuman penjara 30 bulan berhubung pendedahan skandal NFC.


Ia selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam pada tahun lalu memutuskan Rafizi dan kerani bank, Johari Mohamad bersalah di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan kepada media maklumat perbankan berkaitan NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan pengerusi NFC Mohd Salleh.


Bagaimanapun keputusan itu diketepikan Mahkamah Tinggi Shah Alam bulan lalu, atas dasar pihak pendakwaan gagal menunjukkan dokumen asal yang diperlukan, seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 61 Akta Keterangan 1950.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 12, 2019 22:37

Anwar: Hentikan kenyataan perbalahan dalaman

Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim menggesa pimpinan dan anggota parti agar berhenti mengeluarkan kenyataan berkaitan perbalahan dalaman dengan serta merta.


Menurut Anwar, KEADILAN mempunyai saluran parti khususnya Lembaga Disiplin untuk mengendalikan sebarang bantahan dan pandangan.


“Parti harus tegak atas asas dan khittah perjuangan memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa, membela nasib rakyat semua kaum terutama yang miskin dan terpinggir dari arus pembangunan.


“Rakyat yang pernah meletakkan kepercayaan kepada kita ternyata bosan dengan kenyataan-kenyataan yang merujuk kepada percaturan politik dalaman.


“Kita berkewajiban untuk meningkatkan usaha dan kinerja untuk kepentingan rakyat dan negara,” kata anggota Parlimen Port Dickson itu dalam kenyataan ringkas.


Kenyataan itu dibuat Anwar selepas sekumpulan aktivis parti hari ini menggesa pemecatan beberapa pimpinan utama KEADILAN.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 12, 2019 04:18

Penarikan rayuan kes Rafizi didengar esok

Mahkamah Rayuan menetapkan esok untuk sebutan kes bagi penarikan balik rayuan terhadap pembebasan Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli kerana mendedahkan maklumat perbankan berkaitan skandal National Feedlot Corporation (NFC).


Perkara itu dinyatakan dalam surat daripada timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan kepada Rafizi bertarikh 10 Disember, lapor Malaysiakini.


Sebutan kes itu sebelum ini dijadual pada 9 Mac 2020.


Rafizi dibebaskan pada 15 November lalu daripada hukuman penjara 30 bulan berhubung pendedahan data perbankan dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC).


Namun, kes itu dirayu pendakwaan dan ia mengundang bidasan daripada Rafizi.


Beliau mencabar Peguam Negara, Tommy Thomas untuk melakukan perkara sama dengan mengheret ahli keluarga bekas menteri, Shahrizat Abdul Jalil yang terbabit dalam skandal NFC ke muka pengadilan.


Thomas dalam maklum balas pada hari sama berikrar mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawainya yang memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Rafizi.


Tahun lalu Mahkamah Sesyen Shah Alam memutuskan Rafizi dan kerani bank, Johari Mohamad bersalah kerana mendedahkan kepada media maklumat perbankan berkaitan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan pengerusi NFC Mohd Salleh.


Bagaimanapun keputusan itu diketepikan Mahkamah Tinggi Shah Alam bulan lalu, atas dasar pihak pendakwaan gagal menunjukkan dokumen asal yang diperlukan, seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 61 Akta Keterangan 1950.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 12, 2019 00:09

December 11, 2019

Amiruddin ikrar junjung kedaulatan Raja, bahasa Melayu

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berikrar untuk mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sejajar dengan hasrat Perlembagaan Persekutuan.


Dalam ucapan sembah taat setianya, beliau berkata, peranan Islam sebagai tonggak peradaban Melayu tidak dapat sudah lama diiktiraf ilmuan negara.


“Barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.


“Ahli falsafah terkenal, Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam sebuah syarahannya menegaskan peranan besar Islam di alam Melayu dan di rantau ini dan mengakui hakikat kepelbagaian kebudayaan mahupun keyakinan wujud ratusan tahun sebelum kedatangan agama Islam.


“Syahadan, Islam sebagai agama rahmat, hadir mencetuskan anjakan keilmuan dan pengetahuan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam Ucapan Sembah Taat Setia Dato’ Menteri Besar sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-74 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Shah Alam, semalam.


Katanya, sejarah turut membuktikan perkembangan kesusasteraan alam Melayu bermula dengan pengaruh penulisan dan keilmuan Islam.


“Letusan keilmuan ini telah mengkayakan kepustakaan Melayu serta Nusantara. Bahasa Jawi yang kemudiannya dibentuk menjadi roh kepada Bahasa Melayu, bahasa pertuturan kepada Indonesia, Brunei dan juga bahasa kebangsaan.


“Ini adalah antara sumbangan Islam yang tidak boleh sama sekali dinafikan,” katanya.


Menurut Amirudin, beliau kini bertanggungjawab untuk terus menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Kemudiannya, asas-asas ini diabadikan sekali lagi menerusi Rukun Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan agar menjadi pelantar kepada kesatuan serta keharmonian rakyat Malaysia.


“Oleh kerana itu, patik sebagai Dato’ Menteri Besar yang telah menyimpul akad serta menzahirkan taat setia kepada DYMM tidak akan sama sekali mengingkari tanggungjawab patik untuk mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 11, 2019 22:21

December 10, 2019

Anwar sedia bantu polis siasat fitnah terbaru

Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim bersedia memberi keterangan kepada polis berhubung fitnah terbaru yang direkayasa bekas pekerjanya berhubung dakwaan amang seksual.


”Merujuk kepada dakwaan fitnah terbaharu terhadap saya, saya berterima kasih kepada pihak polis kerana telah menyegerakan siasatan mereka.


”Ingin saya tegaskan bahawa saya bersedia memberi keterangan kepada pihak polis dalam kadar segera untuk membantu siasatan,” kata Anwar dalam kenyataan ringkas.


Polis pagi ini mengesahjan akan memanggil Anwar untuk membantu siasatan melibatkan fitnah salah laku seksual yang dibuat oleh bekas pegawai penyelidik beliau.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed mengesahkan Nalini dan berkata suatu kertas siasatan telah dibuka.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 10, 2019 22:22

Tindakan paling tegas kepada pelaku ancaman fizikal

Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat melaungkan amaran tegas kepada anggota parti yang melanggar disiplin terutamanya yang melibatkan ancaman fizikal.


Pengerusinya, Dato’ Ahmad bin Kasim menyebut, Lembaga Disiplin akan menentukan tindakan yang akan diambil kepada anggota-anggota yang terbukti melanggar disiplin parti dengan merujuk siasatan pihak polis dan saranan pucuk pimpinan.


“Lembaga Disiplin ingin memaklumkan bahawa kami akan mengambil tindakan yang paling tegas terhadap mana-mana anggota yang melanggar garis sempadan disiplin parti terutama kepada mereka yang melakukan ancaman fizikal.”


“Lembaga Disiplin akan menggunakan siasatan polis sebagai salah satu rujukan yang utama serta saranan pucuk pimpinan parti yang menyatakan tindakan tegas kepada sebarang bentuk keganasan yang berlaku terutamanya semasa kongres AMK berlangsung,” katanya dalam kenyataan media.


Dalam Kongres Nasional KEADILAN di MITC, Ayer Keroh, Melaka dari 6 hingga 8 Disember lalu, insiden kekecohan berlaku di luar dewan sewaktu kongres Angkatan Muda KEADILAN (AMK) berlangsung.


Presiden KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim dalam responnya kepada insiden tersebut berkata, parti telah meminta pihak polis menjalankan siasatan bagi membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.


Dato’ Ahmad Kasim turut meminta anggota yang mempunyai maklumat serta bukti berkaitan agar membuat aduan rasmi untuk disiasat sebelum menimbang syor tindakan kepada mereka.


“Lembaga Disiplin juga meminta semua anggota yang mempunyai maklumat serta bukti-bukti mengenai salah laku disiplin parti untuk segera membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin bagi pihak kami mulakan siasatan serta menimbang syor-syor tindakan atau hukuman yang wajar dikenakan kepada anggota-anggota yang terbukti melanggar disiplin parti,” katanya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 10, 2019 21:17

Suara Keadilan's Blog

Suara Keadilan
Suara Keadilan isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Suara Keadilan's blog with rss.