Pukul mahasiswa berkempen bukti kelemahan pentadbiran Najib

Pukul mahasiswa berkempen bukti kelemahan pentadbiran Najib

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor hari ini membidas tindakan pengecut ahli Umno di Kampung Datuk Keramat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau ManiS dalam Parlimen Pekan yang bertindak ganas dengan memukul mahasiswa Ekhsan Bukhari, bekas Timbalan Presiden Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) ketika selesai mengedarkan risalah ‘Harapan Malaysia’ semalam.


ehsanAMK Selangor melihat insiden keganasan terbaru ini sebagai satu lagi siri kegagalan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, dan juga Ketua Umno Bahagian Pekan yang tidak mampu melakukan transformasi terhadap ahli parti di bahagian sendiri. Kegagalan Najib Razak ini juga dilihat sebagai satu simbol kelemahan pentadbiran beliau yang semakin ditolak oleh rakyat Malaysia.


AMK Selangor mempersoalkan sekiranya benar Najib Razak diterima oleh majoriti mahasiswa seperti yang didakwa dalam satu kajian, mustahil Perdana Menteri itu goyang apabila berhadapan dengan kempen demokrasi yang dilakukan oleh lima orang mahasiswa sahaja?


Jelas ada kegusaran sebenar yang disembunyikan Najib Razak selaku orang nombor satu Umno yang bukan sahaja goyah di peringkat Nasional, tetapi juga mungkin merasa bahang dibenci di bahagian sendiri.


Najib perlu minta maaf & bertanggungjawab  


Najib Razak seharusnya bersikap positif dalam isu ini dan meminta maaf secara terbuka kepada kumpulan mahasiswa ini khasnya dan rakyat Malaysia umumnya atas insiden yang tercetus dalam kawasan Parlimen beliau.


AzmizamAMK Selangor menuntut Perdana Menteri itu bertanggungjawab sebagai Ketua Bahagian dan Perdana Menteri untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berulang lagi.


AMK Selangor percaya sekiranya kawasan Parlimen yang diwakili Perdana Menteri sendiri tidak selamat untuk satu kempen demokrasi yang bebas, apakah nasib individu atau kumpulan lain yang cuba menjual idea dan hujah terutama ketika bahang PRU 13 semakin hampir.


Atau menurut pemikiran AMK Selangor, adakah ini isyarat penolakan dan sabotaj ahli Umno Bahagian Pekan sendiri terhadap Najib Razak, kerana mustahil mereka yang melakukannya tidak sedar akan impak negatif yang akan terpalit pada imej Najib Razak berikutan insiden ini. Najib Razak harus segera menyiasat apakah wujud ‘gunting dalam lipatan’ di bahagian Umno Pekan sendiri.


Namun yang jelas, AMK Selangor bertegas kejadian ganas terbaru ini sama sekali tidak seharusnya berlaku ketika Umno Barisan Nasional mencanang mereka berada pada tahap terbaik untuk menang 2/3 majoriti kerusi di Parlimen dan berada di tahap paling kuat sejak 2008.


AMK Selangor memberikan sokongan padu kepada mana-mana inidvidu dan kumpulan yang ingin terus melibatkan diri dalam proses demokrasi demi masa depan negara yang lebih baik.


AMK Selangor juga memberi jaminan tidak akan wujud kekasaran dan provokasi terhadap mana-mana kumpulan pembangkang dan Umno di Selangor yang turun berkempen, sama seperti kebebasan yang mereka kecapi sejak 2008 kerana Keadilan wujud atas citra anak muda bebas dan cintakan keamanan.


Azmizam Zaman Huri

Ketua AMK Selangor

Naib Ketua AMK Malaysia

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 12, 2013 21:23
No comments have been added yet.


Suara Keadilan's Blog

Suara Keadilan
Suara Keadilan isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Suara Keadilan's blog with rss.