Nurul Izzah hantar jemputan rasmi ajak Nong Chik debat 24 Feb
Nurul Izzah hantar jemputan rasmi ajak Nong Chik debat 24 Feb
(Oleh Aisha Geoffrey)
PUTRAJAYA 13 FEB: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini menyerahkan jemputan rasmi debat kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, dijadual pada 24 Februari ini.
Beliau diwakili Setiausaha Politik, Fahmi Fadzil dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Lembah Pantai, Izhar Yusof.
Mereka tiba di Menara Sri Wilayah, di sini kira-kira jam 11 pagi tadi. Surat jemputan tersebut diserah kepada Pegawai Khas Menteri, Khalilurrahman Kamaruzzaman pada 11.30.
“Kami wakil Ahli Parlimen Lembah Pantai datang untuk menyerahkan jemputan rasmi debat kepada Nong Chik ekoran tohmahan beliau kepada Nurul Izzah berhubung gerak kerja kawasan,” kata Izhar.
“Kita tahu beliau (Nong Chik) menolak sebelum ini. Demi kebaikan penduduk Lembah Pantai, tindakan terbaik adalah kehadiran Nong Chik pada 24 Februari nanti,” katanya.
Nurul Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN dalam jemputan itu berkata, debat tersebut ruang untuk kedua-dua pemimpin menjawab segala persoalan serta tuduhan yang dibuat Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai.
Beliau juga ingin membahaskan haknya sebagai wakil rakyat yang sering dinafi termasuk kekangan untuk menggunakan prasarana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti dewan serbaguna untuk menjalankan program kemasyarakatan.
“Saya turut dinafikan peruntukan Unit Koordinasi Pelaksanaan (ICU-JPM) berjumlah antara RM1.5 juta hingga RM2 juta setahun, sebaliknya disalur kepada Umno Lembah Pantai,” katanya.
Umum mengetahui, Nurul Izzah seperti juga pemimpin Pakatan Rakyat lain turut dinafi liputan media arus perdana untuk menjawab serangan serta tuduhan Nong Chik dan pemimpin Umno lain.
“Kita akan teruskan program (debat) tersebut, walaupun jika Nong Chik tak mahu hadir. Kita mahu wakil atau pegawai beliau untuk turun berdebat,” kata Fahmi ditanya media adakah program akan diteruskan jika Nong Chik berdegil untuk terus menolak.
Debat tersebut seperti terkandung dalam jemputan itu dijadual berlangsung di perkarangan Apartmen Pantai Permai pada jam 9 malam.
Nong Chik pada 9 Februari lalu menolak cabaran berdebat dengan Nurul Izzah atas alasan tiada keperluan untuk berbuat demikian.
“Saya berharap Nong Chik akan terima jemputan ini demi menghidupkan ‘demokrasi terbaik di dunia’, bak kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” sinis Izzah.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
