Tindakan mahasiswa cabar Najib PRU-13 tepat- Mantan Presiden SMM
Tindakan mahasiswa cabar Najib PRU-13 tepat- Mantan Presiden SMM
Saya sekadar menjadi penonton kepada Gerakan Mahasiswa PRU-13, oleh itu agak malu alah untuk saya memberi komen yang keterlaluan terhadap inisiatif yang mereka lakukan. Cuma, jika dikatakan Gerakan Mahasiswa hilang arah, saya rasa kenyataan itu salah. Gerakan Mahasiswa masih berada pada arah yang tepat dan konsisten dengan matlamat yang diperjuangkan.
Apakah matlamatnya? Sudah tentu menegakkan keadilan dan meruntuhkan kezaliman. ‘Non Partisan’, dan semak imbang tidak pernah menjadi matlamat gerakan mahasiswa. Itu hanyalah langkah yang digunakan oleh Gerakan Mahasiswa untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.
Kali ini, dalam matlamat yang sama iaitu untuk menegakkan keadilan dan menumbangkan kezaliman, mahasiswa memilih langkah yang berbeza tetapi bukanlah perkara asing dan baru. Iaitu mencabar Perdana Menteri di dalam Pilihanraya Umum ke 13.
Ini langkah terberani yang boleh saya simpulkan dalam episod Gerakan Mahasiswa dalam kerangka 3 tahun kebelakang. Bendera Najib pernah diturunkan, dan kini mahasiswa sedang berada dalam fasa yang lebih realistik iaitu ingin menurun Najib daripada kekuasaan yang telah disalah guna.
Oleh itu saya tidak Nampak di mana plot yang dikatakan sebagai Gerakan Mahasiswa hilang arah. Apakah Gerakan Mahasiswa sudah beralih kepada kumpulan ‘pro establishment’? Atau apakah Gerakan Mahasiswa sudah kembali menganuti fahaman perjuangan bilik kuliah? Atau apakah Gerakan Mahasiswa sudah menjadi balaci parti pembangkang?
Saya kira tidak ada kayu ukur yang jelas untuk mengatakan Gerakan Mahasiswa hilang arah hanya kerana menghantar calon untuk mencabar Najib dalam PRU-13. Jika peristiwa manifesto mahasiswa 1969 dijadikan hujah untuk mengatakan Gerakan Mahasiswa kini hilang arah, saya kira matlamatnya tetap sama.
Jika dulu ada elemen mendidik rakyat, hari ini juga ada elemen mendidik rakyat. Jika dulu ada elemen mengetengahkan idea, hari ini juga ada idea yang dibawa. Jika dulu ada elemen menentang regim, hari ini juga garang menentang regim.
Bahkan jika hendak dibandingkan, suasana politik dahulu jauh lebih kondusif berbanding hari ini apabila media utama masih tidak tertutup seperti hari ini. Wartawan pada waktu itu menjadi aktivis yang digeruni pemerintah. Penipuan pilihanraya juga masih tidak parah dan ruang berkempen masih luas. Oleh itu peluang untuk mengajar regim lebih mudah kerana lapangan pertarungan tampak masih adil.
Namun situasi hari ini sangat berbeza. Lapangan politik terlalu berat sebelah. Kita tidak boleh melihat metod pendidikan politik rakyat dari kaca mata 1969. Langkah-langkah berani atau radikal dilihat perlu dilakukan untuk terus membuka ruang pendidikan politik kepada rakyat.
Jika persoalan persedian menghadapi PRU-13 yang dijadikan hujah untuk mengatakan Gerakan Mahasiswa hilang arah, saya kira itu lebih tidak tepat. Kerana soal persediaan tergolong dalam masalah teknikal yang boleh diselesaikan secara strategik tanpa merencatkan matlamat.
Samada Najib atau BN akan tertawa dengan hasrat mahasiswa ingin bertanding di Pekan, itu hak mereka untuk ketawa atau menangis. Namun tindakan menghantar samseng untuk mengekang kemaraan mahasiswa memberi mesej terang kepada kita mengenai siapa yang ketawa dan siapa yang gelisah.
Dalam sedar atau tidak, sejak tahun 2010 sehingga 2012, sudah lebih 50 orang mahasiswa menjadi mangsa regim Barisan Nasional. Ada yang ditahan dalam lokap polis dan ada yang dipecat daripada universiti. Tahun 2011 mencatat tangkapan Polis paling ramai iaitu mencecah 40 orang.
Saya kira regim BN juga sudah banyak belajar daripada sejarah. Jika kita buat bakti siswa, mereka lebih hebat dengan bakti siswanya. Jika kita buat roadshow kesedaran, mereka lebih hebat dengan roadshow keamanan.
Jika kita beri bantuan beras dan risalah pada orang kampung, mereka beri wang dan astro pada orang kampung. Dalam kerangka politik yang sebegini, saya kira tindakan yang Gerakan Mahasiswa Pru 13 adalah tepat pada waktunya.
Akhirnya, Sejarah untuk dipelajari, bukan untuk diulangi
Sekian.
Syukri Razab
Mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
