Suara Keadilan's Blog, page 576

February 21, 2013

Sokongan muda meningkat, Rafizi yakin peluang Pakatan cerah di Pandan

Sokongan muda meningkat, Rafizi yakin peluang Pakatan cerah di Pandan

(Oleh Aisha Geoffrey)


KUALA LUMPUR 21 FEB: Calon KEADILAN untuk Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yakin Pakatan Rakyat berpeluang cerah menang kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) atas beberapa faktor.


Rafizi“Peluang kita lebih cerah kali ini berbanding 2008, kerana masa itu kita kurang bersedia.  Saya yakin tidak mudah untuk BN mengekalkan kedudukannya nanti,” kata Rafizi kepada Keadilan Daily.


Menurut Pengarah Strategi KEADILAN itu, sokongan positif penduduk Pandan dilihat melalui beberapa faktor, antaranya kesediaan belia setempat untuk tampil mendaftar sebagai sukarelawan bagi membantunya memantau ejen tempat mengundi (Paca).


“Kehadiran sukarelawan kira-kira 50 hingga 70 anak muda di Pandan untuk jadi Paca satu perkembangan baik kerana di tempat lain tidak mudah untuk mendapat sambutan begitu,” kata Rafizi.


“Sejak dibuka pendaftaran dua minggu lalu, sehingga kini sudah ada lebih kurang 170 Paca, dan saya yakin menjelang PRU 13, kita akan peroleh lebih 300 sukarelawan,” jelasnya.


KEADILAN Pandan turut membuka kaunter sekitar Parlimen itu untuk membolehkan orang ramai menyemak dan menyaman Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berhubung masalah bekalan air yang sering berlaku ekoran sabotaj BN.


“Setakat ini kita sudah kumpul kira-kira 1,300 saman dari penduduk Pandan terhadap Syabas. Dalam tempoh dua minggu ini juga, kita bertemu hampir 3,000 pengundi dari rumah ke rumah,” sambung Rafizi.


“Satu lagi faktor kekuatan Pakatan di Pandan adalah ketiga-tiga parti cukup kuat bekerjasama, semua program yang dijalankan secara bersama. Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Bukit Teratai, YB Janice (Lee) dari DAP juga bertungkus lumus membawa saya berjumpa pengundi,” kata Rafizi lagi.


Bagaimanapun, beliau tidak menafikan Pandan merupakan ‘kerusi panas’ kerana pengaruh Ong Tee Kiat yang sudah dikenali lama oleh penduduk.


“Orang muda memang cenderung dan lebih mengenali saya, tetapi kita tidak menolak undi orang lama yang mungkin masih berpihak kepada pengaruh Tee Kiat. Apapun, kita bersedia dan BN akan menghadapi kesukaran untuk bertahan di sini,” kata Rafizi.


PandanDalam perkembangan hari ini, MCA menggugurkan Tee Keat daripada bertanding di kerusi Pandan, dan mencalonkan muka baru Gary Lim, 39, seorang peguam.


Dipercayai ini strategi baru BN dengan memperkenalkan calon muda bagi menentang Rafizi, 36, yang kini didapati mendapat ramai sokongan muda di kawasan tersebut.


Tee Keat mewakili Pandan selama lima penggal dan adalah antara 15 Ahli Parlimen MCA yang terselamat dalam tsunami politik pada 2008 yang menyaksikan wakil rakyat MCA di Parlimen hanya tinggal separuh.


Beliau juga merupakan calon MCA tunggal yang memenangi kerusi Parlimen di Selangor.


Selepas PRU 2008, beliau dipilih sebagai Presiden MCA, tetapi tewas kepada Chua Soi Lek 16 bulan kemudiannya ekoran persengketaan sengit dalam parti itu.


Pada 2008, Syed Shahir Syed Mohamad mewakili KEADILAN tewas menentang Tee Keat dengan majoriti 2,961 undi.


Kini tsunami politik bakal berulang tidak lama lagi ketika Pakatan bersedia dengan calonnya di Pandan, sedangkan BN masih tercari-cari calon yang sesuai menandingi kehebatan Rafizi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 21, 2013 00:18

February 20, 2013

Bekas Menteri & Timbalan Menteri dari Sabah sertai KEADILAN

Bekas Menteri & Timbalan Menteri dari Sabah sertai KEADILAN

SABAH 21 FEB: Dua lagi personaliti BN Sabah – bekas Menteri muda, Yapin Gimpoton dan bekas Timbalan Menteri Pusat, Datuk Ahmad Shah Tambakau menyertai KEADILAN.


AnwarKedua-duanya – bekas ahli Berjaya, secara rasmi menyertai KEADILAN sewaktu lawatan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah pada hari pertama Tahun Baru Cina 10 Februari.


Dalam satu kenyataan akhbar semalam, Setiausaha KEADILAN Negeri, Roland Chia berkata, perkembangan terbaru itu merupakan rangsangan untuk Pakatan Rakyat Sabah.


“Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang menerima agenda perubahan yang lebih baik untuk Sabah dan Malaysia melalui platform Pakatan,” katanya dipetik Malaysiakini.


Menurut Chia, Gimpoton pernah menyokong calon KEADILAN yang bertanding di Kadamaian – kerusi yang pernah diwakilinya pada tahun 2008.


Bagi Ahmadshah pula, Chia berkata, beliau kembali aktif dalam politik dengan memberi tumpuan kepada kerusi Parlimen Keningau.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 20, 2013 23:31

Warga Sulu di Sabah: Bukti BN gagal selesai persempadanan negara

Warga Sulu di Sabah: Bukti BN gagal selesai persempadanan negara

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Sabah memandang serius kejadian yang berlaku di Lahad Datu apabila sekumpulan bersenjata dari Filipina telah menceroboh kedaulatan negara dan berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu. Ia sangat kritikal dan SAMM menyifatkan ia berpunca dari kegagalan kerajaan Malaysia menyelesaikan isu antarabangsa dan persempadanan dengan serius.


sammFilipina sememangnya menuntut sabah sebagai tanah kedaulatanya. Antara asasnya ialah kesultanan sulu yang menguasai sebahagian besar sabah dan pusat kesultanan di tanah kedaulatan Filipna. Isu tuntutan Filipina ini sebenarnya masih tidak selesai di mana rakyat ditipu sehingga kini Malaysia masih membayar sejumlah kira-kira USD5000 setahun kepada Filipina yang dianggap oleh kebanyakan warga Filipina sebagai bayaran sewaan terhadap negeri Sabah.


Isu ini menjadi lebih parah apabila terlalu banyak rakyat Filipina khususnya keturunan sulu dihadiahkan kewarganegaraan segera kerana mahu mengekalkan kemenangan BN di sabah. Pada tahun 90an, ramai antara mereka dialu-alukan masuk ke Sabah malah diberi kad pengenalan dan hak mengundi demi memastikan kemenangan BN. Di atas pengkhianatan BN ini menjadikan lebih ramai warga sulu di merata pelusuk sabah bermastautin malah ada yang sudah berkampung.


Kehadiran 500 sentinal sulu ini adalah detik penyatuan kaum sulu dalam usaha mendapatkan Sabah menyebabkan kerajaan Malaysia tertekan hingga tidak mampu berbuat apa-apa menyedari kaum sulu sudah menduduki Sabah bukan sekadar berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu semata-mata. Atas sebab ini SAMM Sabah merasakan negara berada dalam kedudukan yang kritikal jika ia tidak diselesaikan segera, dan dengan bijaksana.


Lebih lama kaum sulu berkampung di Sabah, maka akan memberi lebih kesediaan untuk mereka terus menetap di Sabah dengan jumlah yang semakin ramai. Malah, sebarang langkah yang silap akan menyebabkan Malaysia, warga Sabah khususnya berdepan dengan kemungkinan perang gerila yang diperkuat ‘anasir luar’. Akan lahir ‘puak pemisah’ yang merebut peluang memandangkan kerajaan Malaysia lemah berdepan isu ini dan faktor kedudukan warga sulu yang telah lama di Sabah memberikan kelebihan buat mereka.


Apakah akhirnya Malaysia akan kehilangan sebahagian dari Sabah di atas lewatnya kerajaan Malaysia bertindak? Jangan sesiapa lupa kegagalan pimpinan BN menangani isu sebelum ini menyebabkan kita kehilangan Batu Putih dan Tanjung Pagar.


Penangkapan tiga orang wartawan Al-Jazira memburukkan lagi keadaan, memperlihat kedudukan kerajaan malaysia yang panik. Sudah menjadi resam dalam mana-mana konflik dunia pasti akan dikerumuni wartawan tetapi di Malaysia, wartawan tidak diberi ruang seolah-olah takut rahsia sebenar terbongkar.


Dalam masa yang sama, SAMM berpendapat tekanan lebih keras harus diberi kepada kerajaan Filipina agar tegas menyatakan pendiriannya dalam isu kependudukan warganya di Lahad Datu. SAMM akan berkunjung ke Kedutaan Filipina dan juga menghantar nota kepada seketeriat ASEAN berikutan perkembangan ini yang bukan sahaja mampu membawa Malaysia, tetapi zon ASEAN yang aman ini ke kancah konflik yang berpanjangan.


Kegagalan menangani isu kependudukkan Sulu bukan sahaja akan menyebabkan kedaulatan negara tercemar, malah akan terus dicemar menjadi ‘precedent case’ kerana mungkin satu ketika nanti beberapa kawasan di Klang atau Banting atau Sabak Bernam, akan dituntut pula oleh Indonesia kerana kependudukan warga mereka yang ramai di sana (Selangor).


Sekian


Boby Lewat @ Ewat

Penyelaras SAMM Sabah

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 20, 2013 23:05

Suara Keadilan memerlukan jurugambar untuk persediaan PRU 13

Suara Keadilan memerlukan jurugambar untuk persediaan PRU 13

KDAkhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Suara Keadilan memerlukan jurugambar bagi memantapkan operasi sedia ada menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13.


Mereka yang berminat diminta mengirim resume beserta butiran lengkap kepada skjebatsari@gmail.com seberapa segera untuk sesi temu bual.


Suara Keadilan terbit secara mingguan mencatat tempahan melebihi 100,000 naskhah manakala Keadilan Daily – laman web berita rasmi KEADILAN antara portal berita alternatif yang digemari ramai. – Editor.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 20, 2013 17:00

Projek keretapi KL-Singapura: K’jaan baru bakal warisi hutang BN

Projek keretapi KL-Singapura: K’jaan baru bakal warisi hutang BN

(Oleh Sidiqin Omar)


PETALING JAYA 20 FEB: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membina sistem keretapi laju antara Kuala Lumpur dengan Singapura tak ubah seperti tindakan Tun Abdullah Badawi menandatangani perjanjian penyerahan Blok L dan M yang bernilai berbilion ringgit.


“Sebagai sebuah kerajaan yang hampir tamat mandatnya, Najib tidak boleh menandatangani perjanjian yang melibatkan komitmen kewangan jangka panjang yang besar dan membebankan rakyat.


Rafizi 1“Projek itu bakal mewariskan kerajaan baru kelak dengan pelbagai implikasi kewangan yang merugikan rakyat dan negara,” kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.


Kata Rafizi, projek yang dicadangkan YTL, konglomerat yang rapat degan Barisan Nasional mencecah RM8 bilion, namun dijangkakan meningkat kepada RM13 bilion.


“Seperti mana konsep penswastaan, akhirnya kos projek ditampung oleh rakyat melalui pinjaman yang dibuat Kerajaan Persekutuan. Pelbagai konsesi dan kontrak dianugerahkan dikhuatiri menguntungkan kroni,” kata Rafizi.


Semalam, Najib dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bersetuju dengan cadangan pembinaan keretapi laju dan menyifatkannya sebagai ‘pembangunan strategik’.


Kemungkinan satu jalan alternatif ketiga menghubungkan kedua-dua negara dibina dan antara pilihan tersebut ialah pembinaan jambatan atau terowong bawah tanah.


Pada 12 Februari lalu, Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Chua Jui Meng mendedahkan, Najib pada 2009 bertemu Lee Hsien Loong mengenai pembinaan jambatan ketiga menghubungkan Johor dengan Singapura.


Menurut Jui Meng, pembinaan jambatan tersebut dimanipulasi Najib sebagai taktik merampas tanah penduduk kampung termasuk di Pengerang dengan harga murah bertujuan mewujudkan bank tanah.


Pada 19 Jun 2009, Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Ismail tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan jambatan ketiga menghubungkan Malaysia dan Singapura.


Pendirian Baginda disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail pada pembukaan Persidangan Dewan Negeri Johor ke-12, di Kota Iskandar.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 20, 2013 03:19

Ribuan kaum India ke ceramah Pakatan tanda sokongan meningkat

Ribuan kaum India ke ceramah Pakatan tanda sokongan meningkat

(Oleh Aisha Geoffrey)


BANTING 20 FEB: Kesedaran masyarakat India yang semakin meningkat terhadap kelemahan pentadbiran Umno begitu membanggakan, sekaligus menafikan dakwaan kononnya sokongan kaum itu terhadap Pakatan Rakyat menurun, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ketua Umum KEADILAN berucap pada sambutan Pesta Ponggal di Dewan Sri Jugra, Banting malam tadi dipenuhi ribuan masyarakat India yang berpusu-pusu mahu melihat pemimpin berjiwa rakyat itu.


Banting“Terima banyak, begitu ramai yang hadir, menunjukkan kesedaran masyarakat India yang semakin tinggi. Ada orang kata sokongan orang India sudah berkurangan, tapi saya tak percaya sebab saya turun dan lihat sendiri,” kata Anwar.


Beliau turut disambut kalungan bunga serta turban dan selendang sebagai tanda menghormati bakal Perdana Menteri itu.


“Ini mesti ada yang cakap saya ikut budaya India pula. Saya tak takut, cakaplah saya apa pun, yang penting saya tahu saya pakai ini sebagai tanda menghormati budaya masyarakat India,” kata Anwar disambut sorakan penyokong.


Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan kaum India agar menuntut hak mereka yang dinafikan kerajaan sejak merdeka tetapi dengan syarat tuntutan itu tidak bersifat perkauman.


ponggal 1“Saya selalu turun dan dengar tuntutan orang India. Tapi saya nak ingatkan, kita boleh tuntut, asalkan jangan buat tuntutan macam Perkasa. Bila saya kata pendidikan percuma, maksudnya ia terpakai untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.


“Begitu juga bila saya kata hormat agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan, saya kata hormat hak orang lain untuk beragama. Kalau kita main sentimen perkauman samalah kita macam Perkasa,” katanya lagi.


“Sebab itu saya cakap, kami Pakatan Rakyat bersedia untuk mentadbir dengan adil kepada semua rakyat, tak kira dari segi hak, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan,” kata Anwar  disambut tepukan gemuruh hadirin.


Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 20, 2013 02:49

Rafizi tunggu saman Zahid untuk heret penyelewengan dana LTAT

Rafizi tunggu saman Zahid untuk heret penyelewengan dana LTAT

(Oleh Sidiqin Omar)


PETALING JAYA 20 FEB: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli sehingga hari ini masih menunggu surat saman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung pendedahannya mengenai penyelewengan wang pesara tentera dalam Boustead Holdings Berhad.


“Saya sampai hari ini masih menunggu saman beliau yang belum dihantar kepada saya agar perkara ini boleh didedahkan juga di mahkamah. Saya hanya terima surat tuntutan (demand), bukan surat saman,” kata Rafizi.


Zahid dilaporkan memfailkan writ saman menerusi Tetuan Majid Krishna Menon & Lee di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 25 Januari lalu.


“Selepas saya mendapat maklumat (dokumen perjanjian Boustead), saya lebih dari bersedia untuk ke mahkamah. Saya ingin menegaskan Datuk Seri Zahid gagal dalam menjaga kebajikan angkatan tentera,” katanya.


Dalam pada itu, Rafizi berpandangan ada ‘orang lain’ yang mendapat keuntungan dari semua urusniaga, transaksi dan pindah milik tanah antara Boustead Holdings dengan Awan Megah dan Asta Canggih Sdn Bhd.


“Saya rasa Raja Ropiah (Abdullah) adalah proksi kepada pihak tertentu. Raja Ropiah tak penting untuk segala terma perjanjian yang berjumlah ratusan juta ringgit.


“Kontrak dianugerah selepas Awan Megah gagal melaksanakan projek Puspahanas (Pusat Latihan Pertahanan Nasional), selepas anugerah (kontrak) Kementerian Pertahanan menjadi kontroversi,” kata Rafizi.


Rafizi sebelum ini membeli 100 unit saham Boustead dengan harga RM4.86 setiap satu, sebagai tindakan membolehkannya menjadi pemegang kepentingan Boustead dan akses kepada dokumen unit pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 20, 2013 02:18

Urusniaga Boustead beri durian runtuh kepada Raja Ropiah

Urusniaga Boustead beri durian runtuh kepada Raja Ropiah

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kakitangan ibu pejabat di Menara Boustead yang memberikan sepenuh kerjasama kepada saya sebagai pemegang saham minoriti Boustead Holdings Berhad.Rafizi


Saya berkesempatan meneliti dua perjanjian yang telah ditandatangani di antara Bakti Wira Sdn Bhd (BWSB), sebuah anak syarikat Boustead Holdings Berhad dan secara langsung dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan dua syarikat berikut:


1. Astacanggih Sdn Bhd (ACSB) yang dimiliki dan dikuasai oleh Deepak Jaikishan


2. Awan Megah Sdn Bhd (AMSB) yang dimiliki dan dikuasai oleh Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor


Dua perjanjian yang dipaparkan untuk semakan pemegang saham adalah:


1. Perjanjian Membangunkan 3 Bidang Tanah di antara BWSB, ACSB dan AMSB (Perjanjian Pertama)


2. Perjanjian Membeli Saham yang melibatkan BWSB dan pemegang saham ACSB (Perjanjian Kedua)


Saya menumpukan perhatian kepada bahagian-bahagian perjanjian yang memberi maklumat mengenai kepentingan kesemua individu yang terbabit serta peruntukan-peruntukan yang membolehkan perjanjian ini terbatal.


Ada beberapa klausa utama yang pada pandangan saya, telah membatalkan Perjanjian Pertama secara automatik kerana ketidakpatuhan syarat-syarat di pihak AMSB. Perkara ini akan dibawa ke perbincangan Biro Politik KEADILAN petang ini untuk mendapat pandangan pakar guaman parti dan Kerajaan Negeri Selangor. Dalam masa terdekat, saya akan mengumumkan tindakan selanjutnya sama ada dari segi undang-undang atau di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri yang akan membatalkan Perjanjian Pertama serta-merta.


deepak najib rosmahIni matlamat utama KEADILAN agar urusniaga melibatkan RM130 juta dapat dihentikan dan menyelamatkan wang pencen angkatan tentera.


Namun, saya benar-benar terkejut dengan beberapa urusniaga yang sebelum ini disembunyikan dari pengetahuan umum dan pemegang saham yang lain kerana tidak difailkan kepada Bursa Malaysia. Urusniaga-urusniaga ini dirancang dan dimeterai dengan satu tujuan iaitu memberikan durian runtuh kepada Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor.


Saya boleh mendedahkan klausa-klausa berikut dalam Perjanjian Pertama yang memberi keuntungan beratus juta ringgit kepada Raja Ropiaah (selain dari pembayaran RM130 juta yang telah diumumkan sebelum ini):


a) Kementerian Pertahanan telah menganugerahkan kontrak tambahan sebanyak RM15,054,408.31 kepada AMSB melalui satu surat lantikan bertarikh 26 Jun 2012. Kontrak ini tidak diumumkan sebelum ini.


b) Walaupun sudah dibayar RM130 juta atas alasan mengembalikan tanah-tanah kepada anak syarikat LTAT, sebenarnya hanya 200 ekar dari keseluruhan 223.2 ekar yang akan dipindahkan kepada BWSB. Perjanjian Pertama secara jelas menegaskan bahawa sebanyak 23.2 ekar kekal dalam tangan Raja Ropiah, yang nilaiannya boleh mencecah puluhan juta ringgit.


c) Boustead Holdings Berhad juga mendahulukan wang sebanyak RM4 juta kepada Raja Ropiaah melalui proksinya yang bernama Putra Nazrain Abdul Jalil untuk membeli dan menguasai 20% pegangan di dalam ACSB. Melalui Perjanjian Pertama, ACSB akan menguasai tanah seluas 200 ekar yang akan dibangunkan menjadi projek berbilion ringgit. Secara langsung, urusniaga ini memberi pegangan 20% dari projek bernilai berbilion ringgit kepada Raja Ropiaah.


d) Perjanjian Pertama mensyaratkan agar BWSB menguruskan segala komitmen kewangan Raja Ropiaah dengan GuppyUnip Sdn Bhd, termasuk menjelaskan apa-apa hutang agar perjanjian usahasama di antara Raja Ropiaah dan GuppyUnip dapat dibatalkan. Komitmen kewangan sedia ada tidak dinyatakan dan akan diuruskan oleh BWSB.


e) Perjanjian Kedua secara jelas mensyaratkan agar Deepak Jaikishen tidak membuat sebarang kenyataan tanpa kebenaran Boustead Holdings Berhad, mengesahkan dakwaan saya sebelum ini bahawa perjanjian bertujuan menutup mulut Deepak.


Ini hanyalah sebahagian dari pelbagai perkara yang saya temui dari semakan perjanjian.


Saya akan berbincang dengan pakar guaman parti dan selepas mendapat pandangan profesional, akan mengambil tindakan selanjutnya untuk mendedahkan pelbagai urusniaga lain yang merugikan rakyat.


Buat masa sekarang, saya ingin menegaskan kembali bahawa Dato’ Seri Zahid Hamidi telah gagal dalam menjaga kepentingan dan kebajikan angkatan tentera. Saya juga masih menunggu saman beliau yang belum lagi dihantar kepada saya, agar perkara ini boleh didedahkan juga di mahkamah.


Rafizi Ramli

Pengarah Strategi

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 20, 2013 02:06

Umum bina keretapi laju KL-Singapura, Najib ketepi keperluan rakyat terbanyak

Umum bina keretapi laju KL-Singapura, Najib ketepi keperluan rakyat terbanyak

Sementara saya mengalu-alukan kerjasama dua hala yang lebih harmoni di antara Malaysia dan Singapura, pengumuman Datuk Seri Najib Razak untuk membina sistem keretapi laju menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura membuktikan sekali lagi pentadbiran beliau membelakangkan kebajikan dan keperluan rakyat terbanyakRafizi Ramli


Lebih dari itu, beliau sewajarnya diingatkan bahawa sebagai sebuah kerajaan yang hampir tamat mandatnya, pentadbiran beliau tidak boleh menandatangani apa-apa perjanjian yang melibatkan komitmen kewangan jangka panjang yang besar dan membebankan rakyat.


Kebelakangan ini, saya khuatir dengan pengumuman projek dan pembelian yang mungkin akan mewariskan kerajaan baru kelak dengan pelbagai implikasi kewangan yang merugikan negara dan rakyat.


Fenomena ini tidak ubah seperti tindakan Tun Abdullah Badawi yang menandatangani beberapa perjanjian dan komitmen dengan Brunei di penghujung pentadbiran beliau dalam keadaan yang tergesa-gesa, termasuk menyerahkan Blok L dan M yang pulangan hasil minyaknya mencecah berbilion ringgit.


Kecenderongan sama yang dipamerkan oleh Dato’ Seri Najib akan menguatkan persepsi rakyat bahawa Barisan Nasional tidak yakin dapat bertahan sebagai Kerajaan Persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke-13, maka pelbagai konsesi dan kontrak dianugerahkan yang dikhuatiri hanya menguntungkan kroni.najib-pening


Pengumuman sistem keretapi laju KL–Singapura ini juga wajar dilihat dalam konteks yang sama. Projek ini dicadangkan oleh YTL, konglomerat yang cukup rapat dengan Barisan Nasional. Seperti mana konsep penswastaan MRT yang pada mulanya dikatakan hanya melibatkan wang swasta, akhirnya keseluruhan kos projek ditampung oleh rakyat melalui pinjaman yang dibuat Kerajaan Persekutuan.


Beberapa tahun lalu, YTL menganggarkan kos projek keretapi laju ini mencecah RM8 bilion. Saya yakin kos itu telah meningkat berlipat kali ganda menjelang 2013 dan dianggarkan mencecah RM13 bilion. Saya percaya akhirnya kos ini akan ditanggung oleh rakyat, seperti mana yang berlaku dalam kesemua projek penswastaan sebelum ini.


Sebab itu, rakyat perlu menilai pengumuman projek keretapi laju ini dalam konteks komitmen RM13 bilion yang bakal ditanggung oleh rakyat.


Saya yakin pelaburan sebegitu besar lebih diperlukan untuk menaiktaraf sistem pengangkutan awam antara bandar (inter city public transportation system) bertujuan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian. Oleh yang demikian, keutamaan negara sepatutnya membina sistem keretapi laju antara bandar yang menghubungkan bandar-bandar utama dari Perlis ke Johor Bahru, serta menghubungkan Pantai Timur dari Kelantan ke Pantai Barat.


Kos RM13 bilion ini sudah tentu mempunyai lebih makna kepada rakyat apabila keretapi laju dapat mengurangkan masa perjalanan antara bandar-bandar besar negara. Kurangnya pergantungan kepada kenderaan persendirian bermakna kurangnya kesesakan lalu lintas dan penurunan kos subsidi bahan api negara.


Manifesto Pakatan Rakyat membuat komitmen khusus untuk membina sistem keretapi laju antara bandar dalam tempoh jangka panjang secara berperingkat. Pendekatan mendahulukan rakyat ini terus menjadi perbezaan utama di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.


Rafizi Ramli

Pengarah Strategi KEADILAN


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 20, 2013 01:58

Urusniaga tersembunyi Boustead bolehkan Ropiah dapat RM15 juta

Urusniaga tersembunyi Boustead bolehkan Ropiah dapat RM15 juta

(Oleh Sidiqin Omar)


PETALING JAYA 20 FEB: Kementerian Pertahanan menganugerahkan kontrak tambahan kepada Awan Megah Sdn Bhd (AMSB), milik Ketua Wanita Umno Selangor, Raja Ropiah Abdullah melalui satu surat lantikan bertarikh 26 Jun 2012.


Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mendedahkan, urusniaga tersebut disembunyikan dari pengetahuan umum dan pemegang saham lain kerana tidak difailkan kepada Bursa Malaysia.


Rafizi“Kementerian Pertahanan menganugerahkan kontrak tambahan sebanyak RM15,054,408 kepada AMSB, selain dari pembayaran RM130 juta yang pernah diumumkan sebelum ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, petang ini.


Justeru menurut Rafizi, tindakan tersebut bercanggah dengan syarat peruntukan dalam perjanjian yang secara automatik menyebabkannya terbatal.


“Urusniaga ini drancang dan dimeterai dengan satu tujuan, iaitu memberi durian runtuh kepada Raja Ropiah,” jelas Rafizi memaklumkan, sebagai pemegang saham minoriti, beliau akan berbincang dengan peguam untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.


“Walaupun sudah dibayar RM130 juta atas alasan mengembalikan tanah-tanah kepada anak syarikat LTAT, sebenarnya hanya 200 ekar dari keseluruhan 223.3 ekar yang akan dipindahkan kepada Bakti Wira Sdn Bhd,” dedah Rafizi lagi.


Tambahnya, perjanjian secara jelas menegaskan, 23.2 ekar tanah kekal dalam tangan Raja Ropiah, yang dijangka mencecah RM400 juta dan sekiranya pembangunan bercampur dilakukan, ia bakal mencecah nilaian RM1.5 bilion.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 20, 2013 01:26

Suara Keadilan's Blog

Suara Keadilan
Suara Keadilan isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Suara Keadilan's blog with rss.