Suara Keadilan's Blog, page 579
February 18, 2013
Media alternatif lebih telus dan dipercayai rakyat
Media alternatif lebih telus dan dipercayai rakyat
(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 18 FEB: Ketelusan media alternatif melaporkan berita jauh lebih baik berbanding media kawalan kerajaan yang terbukti menyiarkan fitnah dan pembohongan, kata Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Sim Tze Tzin.
“Kebebasan media alternatif adalah sebab mengapa rakyat lebih memilih saluran itu sekarang, berbeza dengan media arus perdana yang sudah hilang tanggungjawab, malah menjadi alat Umno,” kata Sim.
Beliau mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kebebasan media alternatif menerusi internet punca beberapa situasi yang menyaksikan pembohongan boleh dilihat sebagai kebenaran dan sebaliknya.
Mahathir berkata demikian merujuk klip video yang menunjukkan Datuk Seri Najib Razak dimalukan rakyat Pulau Pinang secara terang-terangan menolak BN apabila ditanya Perdana Menteri itu.
“Video itu bukti sentimen penolakan penduduk Pulau Pinang terhadap BN. Tak payah ‘spin’, video itu benar, media perdana yang edit jadi sebaliknya,” kata Sim kepada Keadilan Daily.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak itu, media alternatif menjadi kepentingan di era ini untuk rakyat merujuk atau mencari kebenaran setelah dipapar berita pembohongan di media perdana setiap hari.
“Media alternatif cukup penting untuk sebarkan info sebenar. Kalau tengok berita di televisyen yang ada hanya fitnah dan serangan dari satu pihak, itu yang buat rakyat jelek,” katanya.
Mahathir dalam kenyataannya turut berkata, kebebasan media alternatif menjadi punca bahasa kesat dan berbaur perkauman meningkat.
“Jangan hanya menuding kepada media alternatif. Media arus perdana yang menyiarkan berita negatif berkaitan pembangkang, video, kata-kata kesat dan maki hamun setiap kali siaran,” kata Sim.
Ceramah Pakatan Rakyat menjelang PRU-13 18 Feb (Isnin)
Ceramah Pakatan Rakyat menjelang PRU-13 18 Feb (Isnin)
Ceramah Pakatan Rakyat menjelang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) akan berlangsung pada 18 Februari (Isnin) jam 8.30 malam bertempat di Padang SS5D, Kelana Jaya.
Penceramah dibarisi Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman; Naib Presiden KEADILAN, N. Surendran; Ketua Cabang Kelana Jaya, Senator Syed Shahir Syed Mohamud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Semua dijemput hadir.
Penahanan Hilmi di bawah Sosma: Peguam fail ‘habeas corpus’
Penahanan Hilmi di bawah Sosma: Peguam fail ‘habeas corpus’
(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 18 FEB: Permohonan habeas corpus difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi mencabar penahanan Muhammad Hilmi Hasim di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), 7 Februari lalu.
Peguam mewakili Hilmi, Fadiah Nadwa Fikri berkata, ia dibuat kerana Sosma bertentangan dengan perlembagaan.
“Penahanan Hilmi tidak patut di bawah Sosma. Tangkapan bersifat ‘mala fide’ atau berniat jahat, dan tahanan itu bukan bertujuan untuk siasatan.
“Hilmi ditangkap bersama majikannya, Yazid Sufaat. Saya dan peguam Murni Hidayah kebetulan ada ketika itu. Saya saksikan bagaimana tangkapan itu dibuat tanpa memberitahu Hilmi apa sebab beliau ditahan, walaupun Hilmi ada bertanya pegawai polis tentang penahanannya,” kata Fadiah kepada media.
“Kami kemudian bertanya pegawai sebab penahanan. Ini kerana ia termaktub dalam undang-undang dan Sosma sendiri bahawa sebab penahanan perlu dijelaskan kepada orang ditahan,” jelasnya lagi.
Hilmi dibawa ke Pusat Tahanan Reman Jinjang dan dinafikan akses kepada peguam melebihi 48 jam seperti yang diperuntukkan dalam Sosma.
“Beberapa hari melepasi tempoh 48 jam, kami masih belum dapat bertemu Hilmi, walaupun temu janji dibuat. Kami juga membawa ibu Hilmi, Rahamah Abdul Majid kerana menurut polis hanya ibunya dibenar berjumpa Hilmi,” jelas Fadiah.
Rahamah kemudian diarah ke Balai Polis Sungai Buloh untuk bertemu Hilmi tetapi sekali lagi hak itu dinafikan apabila pegawai polis, Inspektor Azawan mahu menemuduga Rahamah terlebih dahulu.
“Tiba-tiba mereka bawa ibu Hilmi untuk ditemuduga. Peguam bertanya apa tujuan temuduga kerana tiada peruntukan dalam prosedur melainkan di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah,” kata Fadiah.
“Kata pegawai polis itu, beliau hanya ingin menemuduga dan percakapan itu bukan dibuat di bawah Seksyen 112, malah peguam dihalang untuk menemani ibu Hilmi,” katanya.
Menurut laporan permohonan habeas corpus tersebut, polis melanggar Seksyen 4 (2) Sosma kerana enggan memberitahu alasan tangkapan, dan pencabulan Fasal 5 (3) Perlembagaan Persekutuan kerana Hilmi dihalang bertemu peguam.
Tambah Fadiah, Seksyen 4(5) Sosma bertentangan Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan setiap orang patut mendapat perlindungan undang-undang.
“Kita tak diberitahu sebab penahanan. Tahanan juga dinafikan hak bertemu peguam, itu menjadikan semua orang boleh ditahan di bawah Sosma,” kata Fadiah.
Yazid dan kenalannya, Halimah Hussein yang turut ditahan di bawah Sosma akan dibicara bermula Khamis ini, atas tuduhan melakukan kesalahan menjalankan pelakukan perbuatan keganasan dengan niat untuk memajukan suatu tujuan ideologi, manakala Hilmi sehingga kini masih ditahan tanpa sebarang pertuduhan.
Habeas corpus adalah perintah mahkamah supaya seseorang dilepaskan daripada penahanan yang tidak mengikut undang-undang.
February 17, 2013
Serangan samseng Umno tak gugat mahasiswa lawan Najib di Pekan
Serangan samseng Umno tak gugat mahasiswa lawan Najib di Pekan
(Oleh Norutul Ilham)
KUALA LUMPUR 18 FEB: Siri serangan samseng Umno terhadap kumpulan Gerakan Mahasiswa (GM13) ketika mengedarkan risalah di Pekan minggu lalu sama sekali tidak melenturkan hasrat mahasiswa untuk menentang Perdana Menteri pada pilihan raya nanti.
Tanpa mempedulikan bentuk serangan, Pengerusi GM13, Syis Abdul Kadir berkata, keputusan mahasiswa untuk bertanding bagi menyahut seruan kerajaan membenarkan mahasiswa terlibat dengan pilihan raya umum.
“Segala halangan ini langsung tidak patahkan keazaman kami meneruskan hasrat bertanding satu lawan satu dengan Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Pekan. Mahasiswa tetap berpendirian untuk menghantar calon bersemuka dengan PM,” katanya pada sidang media di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
“Kawasan Parlimen Perdana Menteri seharusnya paling selamat untuk kami kunjungi serta paling demokratik dan matang dalam pengalaman politik,” kesalnya dengan insiden yang berlaku.
Syis berkata, ekoran serangan itu, mereka akan membuat sekali lagi laporan polis berdasarkan bukti rakaman gambar dan video.
“Kita berharap pihak berkuasa bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan telus dan adil.
“Kami juga akan membuat sebaran berhubung apa yang berlaku kepada masyarakat. Kami akan menggunakan pentas ceramah (untuk menceritakan perkara ini),” katanya.
Terdahulu, kumpulan GM13 berkumpul di depan Dewan Tuanku Canselor, UM untuk menyambut kedatangan Perdana Menteri yang dijadualkan hadir ke lokasi berkenaan, tetapi dibatalkan di saat-saat akhir.
Pada 14 Februari lalu, kumpulan mahasiswa mengedar risalah dipukul samseng Umno sehingga menyebabkan seorang daripada mereka luka di lengan dan terkoyak baju akibat ditendang dan dipijak kumpulan tersebut.
Dua hari kemudian, kumpulan itu dikepung 100 samseng Umno untuk menghalau mereka daripada kampung Datuk Keramat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis, Pekan.
Roadshow SAMM ‘Amaran PRU’ ke utara bermula hari ini
Roadshow SAMM ‘Amaran PRU’ ke utara bermula hari ini
Roadshow ‘Amaran : Tipu PRU, Rakyat Bangkit Humban Kamu’ kini menjangkau ke empat negeri terakhir iaitu Perlis, Kedah, P.Pinang dan Perak bermula hari ini. Program jelajah yang terdiri dari ceramah kecil dan besar, pertemuan anak–anak muda diperbagai peringkat bagi menyedarkan betapa kemenangan itu terlalu hampir.
Juga aksi yang disendatkan dalam Roadshow kali ini ialah operasi membanjirkan rakyat dengan maklumat. SAMM dengan kerjasama ABU dan beberapa organisasi lain telah dan sedang menghasilkan perbagai bahan edaran.
Sistem edaran yang SAMM inisiatifkan ini terus ke pintu rumah, kami mengurangkan edaran di tempat awam untuk mengurangkan ‘counter attack’ dan memberikan penerima maklumat waktu dan suasana yang selesa untuk ‘menghadam’ maklumat yang dihantar.
Semua risalah dan bahan yang dihantar tidak berimej parti politik tetapi punya masej jelas dan tajam. Ia sesuai untuk sasaran seperti Umno tegar dan seumpamanya. Operasi ini dinamakan ‘Smoke Operation’.
Anak muda seharusnya berani tampil kedepan berjuang bersama parti politik. Untuk menjatuhkan Bn tidak ada pilihan lain selain dari mendokong PR buat masa ini. Namun dalam keghairahan tersebut strategi jahat penipuan regim seharusnya diberikan tumpuan dan di dedahkan.
Rakyat dipersiapkan minda masuk PRU bersungguh – sunggguh tetapi jika penipuan diteruskan rakyat perlu turun ke jalantanpa arahan. Rangka teliti juga di susun 48 jam dari penipuan rakyat akan ke jalan.
Maka turut menjadi tumpuan pecutan akhir Roadshow kali ini juga mempunyai objektif yang konkrit iaitu menyusun sukarelawan SAMM setiap program kecil dan besar menyeru semua orang khususnya anak muda. Masa untuk anak muda duduk di balik facebook dan menekan butang ‘like’ sahaja sudah berlalu.
Ini masa praktis, turun secara fizikal tampil membuat kerja sesuai dengan cita – cita merubah negara.Pertemuandan latihan sukarelawan menjadi tumpuan.
Setelah selesai jelajah di region tengah, selatan, pantai timur semenangjung dan juga Sabah, kini Roadshow #AmaranPRU terus bergerak tanpa melengah masa, sekembalinya dari Sabah SAMM utara tanahair menjadi sasaran seterusnya bermula 18 Februari hingga 21 Februari.
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM
‘Huru hara’: Kenyataan Pengurus Felda boleh gugat keselamatan
‘Huru hara’: Kenyataan Pengurus Felda boleh gugat keselamatan
(Oleh Arif Juhani)
KUALA LUMPUR 18 FEB: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menyifatkan kenyataan Pengurus Felda Sungai Tengi, Alias Hussein untuk membuat ‘huru-hara’ ketika ceramah Anak pada 4 Februari lalu sangat berbahaya dalam konteks keselamatan.
Katanya, kenyataan itu lebih bahaya jika benar wujud perbincangan antara Felda dan polis seperti yang dipaparkan oleh Alias dalam video you tube yang tersebar luas di internet sejak beberapa minggu lalu.
“Siasatan mesti dibuat kerana kenyataan itu mencerminkan sikap sebenar polis, jika terbukti kenyataan itu palsu, Alias mesti didakwa kerana berbohong atas nama polis.
“Tetapi jika benar kenyataan itu, jelas ini satu konspirasi antara Felda dan polis dan kita tidak boleh menerima situasi ini.
“Ungkapan “huru-hara” itu hanya mengundang satu keadaan yang mana elemen-elemen luar mendapat lesen untuk melakukan provokasi,” kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu.
Beliau berkata dalam sidang media selepas pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang diwakili Datuk Awaludin Jadid, Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial dan beberapa pegawai kanan polis.
Dalam pertemuan itu, Mazlan turut menyerahkan memorandum bantahan berhubung insiden di Felda Sungai Tengi pada 4 Februari lalu.
Mazlan turut mempersoalkan kehadiran Perkasa dalam mesyuarat berkenaan kerana pertubuhan ultra Melayu itu langsung tiada kaitan dengan Felda.
“Sebagai anak peneroka, biasanya dalam mesyuarat pentadbiran, Felda hanya menjemput Jawatankuasa Kampung (JKK), ketua blok bagi setiap segmen masyarakat, kumpulan belia, Gerakan Persatuan Wanita (GPW), imam dan polis.
“Kita melihat kewujudan Perkasa tidak lain hanyalah untuk menimbulkan suasana tegang dalam program Anak.
“Kita turut minta polis siasat Perkasa kerana mereka elemen luar paling aktif membuat provokasi pada malam 4 Februari lalu dengan membuat bising dan menyekat jalan walhal hanya polis boleh menyekat laluan,” katanya.
Selain itu, Anak turut mempersoalkan sikap berdiam diri polis ketika berlaku insiden di Felda Bukit Rokan Utara apabila aktivis Kembara Oren dicederakan.
“Jadi, selain menyiasat dakwaan, Anak juga desak KPN beri kenyataan berkenaan bidang kuasa polis dan hak penganjur berlandaskan prinsip keluhuran perlembagaan,” katanya.
Turut hadir peguam Anak, Harris Abdullah; YDP PAS Hulu Selangor, Muhamad Idris Ahmad; Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob dan aktivis Anak.
AMK lancar Dokumen Merah, isytihar penyanyi Yasin sebagai duta
AMK lancar Dokumen Merah, isytihar penyanyi Yasin sebagai duta
(Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR 17 FEB: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) hari ini melancarkan Gagasan Anak Muda Malaysia atau ‘Dokumen Merah’ yang mengandungi lima tawaran kepada anak muda Malaysia sempena pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

“Pelancaran rasmi akan dibuat di Melaka oleh Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin,” kata Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip sambil memaklumkan arikh tersebut akan dimaklumkan kemudian.
AMK turut melancarkan video klip lagu ‘Reformasi’ di ibu pejabat KEADILAN hari ini, nyanyian artis Yasin yang menjadi lagu rasmi kempen AMK di seluruh negara.

Beliau menjangka, selepas berita penyanyi Yasin sebagai ‘duta rasmi’ AMK dan ‘Dokumen Merah’ dilancarkan, undangan persembahan dan jemputan kempen program akan meningkat.
Justeru sebarang komunikasi melibatkan jemputan termasuk kempen pelancaran ;Dokumen Merah’ AMK boleh dibuat melalui Setiausaha AMK, Julailey Jemadi atau Setiausaha Kerja AMK, Syed Badli Shah Syed Osman.
Tonton lagu Reformasi nyanyian, Yasin, KLIK INI.
BN halau Senator Australia tapi lindungi penjenayah Filipina
BN halau Senator Australia tapi lindungi penjenayah Filipina
(Aedi Asri)
PETALING JAYA 17 FEB: Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal kerana Kerajaan Umno BN mengusir Ahli Parlimen Australia, Senator Nick Xenophon dari Malaysia tetapi pada masa sama, melindungi penjenayah dikehendaki Filipina, Manuel Karingal Amalilio.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata, kedatangan Xenophon hanya untuk bertemu beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.
“Tetapi semalam beliau diusir balik ke Australia. Sebabnya Umno BN takut Xenophon kesan penipuan daftar pemilih SPR.
“Umno kata kerajaan United Kingdom pun hantar keluar pendatang (haram). Apa persamaan pendatang haram dengan Senator Xenophon?” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Selangor di Kompleks One Utama di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Anwar berkata, kerajaan Umno BN pada masa sama melindungi Amalilio yang dikehendaki di Filipina ekoran terlibat dalam penipuan melibatkan RM900juta di negara berkenaan.
“Presiden Filipina, Benignio Aquino buat kenyataan, desak pihak berkuasa Malaysia serahkan Amalilio agar beliau dapat disiasat dan didakwa.
“Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail) cepat-cepat suruh tangkap. Dalam tempoh dua hari, terus dipenjara. Ini perbicaraan paling cepat di dunia,” katanya, sinis.
“Jadi, seorang senator tidak boleh masuk (Malaysia), penjenayah curi RM900 juta pula diberi perlindungan di Sabah?” katanya disambut sorakan hampir 5,000 hadirin.
Xenophon dihantar pulang ke Australia pada jam 10.30 malam 16 Februari lalu, selepas ditahan 15 jam di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang.
Amalilio yang juga anak saudara Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebelum ini ditahan ejen Biro Siasatan Kebangsaan Filipina (NBI) di Ranau.
Bagaimanapun, sebelum sempat menaiki pesawat, polis Malaysia menahan mereka atas alasan Amalilio adalah rakyat Malaysia dan pasport Filipina yang dimilikinya, palsu.
February 16, 2013
Empat bekas jeneral tentera dukung Pakatan Rakyat
Empat bekas jeneral tentera dukung Pakatan Rakyat
KUALA LUMPUR 17 FEB: Tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara apabila bekas- bekas pegawai tinggi tentera kini menyatakan sokongan terbuka terhadap Pakatan Rakyat.
Ia ternyata memberi tamparan hebat kepada Umno Barisan Nasional yang semakin hilang sokongan ketika bahang kempen pilihan raya umum 13 mula dirasai.
Mereka adalah Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid, yang juga bekas Panglima Angkata Tentera Darat Malaysia, Briged Jeneral Datuk Abdul hadi Abdul Khatab dan Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid (Laut) dan Brig Jen (B) Datuk Najmi Ahmad (Kagat).
Keempat-empat mereka semalam memberikan ucapan penuh semangat di hadapan lebih 3,000 rakyat di Ceramah Perdana Jelajah Merdeka Rakyat, Taman Rekreasi, Keramat Wangsa.
Turut hadir dan memberikan pidato, Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara isu yang ditimbulkan bekas-bekas pegawai tinggi tentera terbabit adalah penyelewengan dalam pembelian senjata melalui tender rundingan terus seperti disuarakan Abdul Ghafir Abdul Hamid.
Beliau turut mempersoalkan RM75 bilion peruntukan untuk tentera yang lesap sejak mula berkhidmat dalam pasukan itu sehingga bersara pada 2005.
Abdul Hadi dalam ucapannya pula mengajak 250,000 bekas pesara tentera melakukan perubahan dengan menumbangkan Umno BN pada PRU 13 akan datang.
Beliau turut memetik penyelewengan dalam pembelian kapal selam Scorpene dan mencabar Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan dalang kehilangan enjit pesawat TUDM pada 2007.
Perkara sama turut disuarakan Imran Abd hamid yang mengakui tahu tentang selok belok penyelwengan kewangan yang berlaku dalam tentera laut setelah 37 tahun berkhidmat bersama pasukan itu.
Najib elak bertembung, Anwar disambut plakad ‘I Love (New) PM’
Najib elak bertembung, Anwar disambut plakad ‘I Love (New) PM’
(Sidiqin Omar)
KAJANG 17 FEB: Ketibaan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke majlis Tahun Baru Cina anjuran Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) disambut dengan plakad ‘I Love New PM’ (Saya Sayang Perdana Menteri Baru)
Plakad yang disediakan untuk menyambut Datuk Seri Najib Razak itu diubah suai sebelum dijulang beberapa pengunjung di Kolej New Era hingga menarik perhatian orang ramai.
Pengunjung berkenaan, Jimmy Wong, 34, berkata, rakyat bosan dengan pentadbiran Umno BN dan berharap sempena sambutan tahun baru kali ini, Perdana Menteri bertukar dan bukan lagi dari BN.
“Saya tak takut atau malu untuk bawa plakad ini. Apa salahnya. Sebab yang pilih Perdana Menteri adalah rakyat,” katanya yang memakai t-shirt Bersih.
“Tiga kilang – Lynas (Kuantan), Bukit Koman dan (Rapid) Pengerang, mesti ditutup,” kata Jimmy yang lebih menekankan kepada isu alam sekitar.
Bagaimanapun, Najib Razak datang sejam awal hingga mencetus persoalan sama ada Perdana Menteri itu berbuat demikian kerana tidak berani bertembung atau bertentang mata dengan Ketua Umum KEADILAN itu.
Kira-kira 5,000 hadir ke majlis jamuan Tahun Baru Cina Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di Kolej New Era, Kajang.
Anwar yang tiba bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah diiringi Adun Kajang, Lee Kim Sin dan disambut Pengerusi Dong Zong, Yap Sin Tian, turut dikerumuni rakyat yang mahu bersalaman.
Turut hadir Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli.
Tonton suasana majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dong Zong, KLIK INI.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
