Suara Keadilan's Blog, page 582
February 14, 2013
Insurans kenderaan naik: Umno untung juta-juta, rakyat terbeban
Insurans kenderaan naik: Umno untung juta-juta, rakyat terbeban
(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 15 FEB: Kenaikan kadar insurans bagi semua jenis kenderaan mulai hari ini bukti kerajaan Umno pentingkan keuntungan berlipat ganda berbanding kesulitan ditanggung rakyat, kata Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Sim Tze Tzin.
“Kerajaan lebih tunduk kepada syarikat besar yang mahu mengaut untung lebih besar. Ini semua memberi faedah kepada mereka. Ia memberi ruang kepada bank dan syarikat insurans untuk naikkan tarif,” katanya ketika dihubungi.
Maklumat berhubung kenaikan kadar insurans itu diperolehi melalui surat edaran yang dihantar kepada pengendali dan agen-agen insuran bertarikh 7 Februari lalu.
Bagi pemilik kenderaan, mereka akan mulai membayar dengan tarif harga yang baru mulai hari ini apabila ia dikuatkuasakan sepenuhnya.
Perlindungan pihak ketiga motosikal 100cc dan ke bawah, cadangan kenaikan adalah antara RM1 hingga RM3.50 setahun dan RM1 hingga RM2 untuk perlindungan komprehensif.
Untuk perlindungan pihak ketiga kereta persendirian 1,400cc, kenaikan adalah antara RM6 hingga RM34 setahun untuk empat tahun dan RM7 hingga RM19 untuk perlindungan komprehensif.
Surat pekeliling itu turut memberitahu kelulusan kenaikan premium itu diluluskan Bank Negara sebelum ini.
“Ini hanya permulaan, bayangkan jika Barisan Nasional terus mentadbir, banyak lagi kadar akan dinaikkan termasuk harga barang keperluan, elektrik dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST),” kata Sim mengulas kenaikan itu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak itu, rakyat Malaysia membelanjakan 40 peratus dari pendapatan secara purata hanya untuk kenderaan iaitu bagi tujuan membeli kenderaan, minyak dan penyelenggaraan.
“Perbelanjaan untuk kenderaan adalah yang kedua tertinggi selepas perbelanjaan isi keluarga sebanyak 140 peratus dari pendapatan. Hutang isi keluarga rakyat Malaysia juga merupakan yang tertinggi di Asia,” jelas Sim.
“Tidakkah pemimpin kerajaan nampak bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat? Mereka ingat pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) cukup untuk menampung keperluan ketika harga barang melambung?” tegas Sim.
“Syarikat besar dapat untung berjuta-juta, berbilion-bilion. Adakah mereka tidak mampu untuk menampung harga kadar insurans yang lama sampai perlu naikkan? Jelas, mereka dan kerajaan hanya mahu kaut keuntungan lebih besar,” kata beliau.
Arahan bunuh Altantuya: Polis, SPRM patut siasat akuan bersumpah ke-3
Arahan bunuh Altantuya: Polis, SPRM patut siasat akuan bersumpah ke-3
(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 15 FEB: Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Peguam Negara perlu menyiasat kewujudan akuan bersumpah ketiga (SD 3) berkaitan pembunuhan Altantuya Shaariibuu seperti didakwa ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.
“Kita pernah buat laporan polis berhubung pendedahan Deepak, tetapi sampai sekarang, langsung tiada siasatan. Jika benar SD 3 ini wujud, pihak berkuasa hendaklah serius dan telus menjalankan siasatan,” kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz Musa ketika dihubungi.
Deepak semalam mendedahkan, kewujudan SD 3 yang mengandungi pengakuan individu yang menerima arahan Datuk Seri Najib Razak supaya Altantuya Shaariibuu dibunuh.
“Ada arahan kepada seseorang oleh orang atasan Najib yang mahu supaya beliau membunuh Altantuya. Dan orang itu mengaku dia menerima arahan tersebut dalam akuan bersumpahnya,” kata Deepak kepada Keadilan Daily.
“Kita alu-alukan jika benar wujud akuan bersumpah seperti dakwaan Deepak itu. Melihat kepada perjalanan SD1 dan 2 dan akan datang yang ketiga ini, keyakinan skandal dalam pembunuhan Altantuya semakin kukuh,” kata Fariz mengulas pendedahan Deepak tersebut.

Gambar Hiasan
Fariz mempersoal Najib yang sehingga kini tidak menjawab dakwaan Deepak tanpa mengambil tindakan undang-undang terhadap rakan baik isterinya itu.
“Najib cuma pernah kata Deepak tak boleh dipercayai. Kalau betul, kenapa Najib tak ambil tindakan undang-undang untuk menutup mulut Deepak?” kata Fariz yang juga Koordinator Jingga 13.
Deepak pada 12 Februari lalu sekali lagi mengulangi penglibatan Datin Seri Rosmah Mansor dalam proses membuat SD kedua yang dilakukan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala).
Dedah Deepak, beliau diarah mengeluarkan ‘fakta tertentu dan butiran panas’ urusan antara Najib dan Altantuya.
Beliau bagaimanapun enggan memberi butiran lanjut mengenai individu yang terlibat dalam SD 3 tetapi sedia membongkar secara berperingkat pada masa akan datang.
Najib tak cerdik ulang ‘Are you ready for BN?’ setelah dimalukan
Najib tak cerdik ulang ‘Are you ready for BN?’ setelah dimalukan
(Oleh Arif Juhani)
KUALA LUMPUR 15 FEB: Najib Razak tidak cerdik mengulangi tiga kali ‘Are you ready for BN?’ setelah dijawab ‘No’ ketika soalan itu ditanya kali pertama kepada rakyat Pulau Pinang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Najib patut malu dengan respon negatif oleh rakyat. Beliau sepatutnya berundur dari pentas.
“Tapi tidak, dia terus bertanya soalan sama tiga kali, punyalah tak cerdik,” kata Anwar disambut gelak lebih 1,000 penduduk tempatan pada Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Kampung Gapis, Padang Rengas, Perak, malam Rabu lalu.
Beliau menyindir Najib yang tanpa segan silu ditolak rakyat terang-terangan pada sambutan Tahun Baru Cina anjuran BN Pulau Pinang di Kolej Han Chiang, George Town, Isnin lalu.
Dalam insiden memalukan itu, Najib yang berperanan sebagai pengacara pentas, bertanya hadirin berhubung penerimaan mereka terhadap BN dengan mempertaruh populariti Psy yang dibawa dengan kos RM2 juta untuk lapan minit.
Sebaliknya, penonton ketika menjawab soalan Najib sebanyak tiga kali itu, mahu penampilan Psy tetapi terang-terangan menolak BN.
Najib: ‘Are you ready For Psy? (Adakah anda sedia untuk Psy)
Penonton: Yes (Ya)
Najib: ‘Are you ready for BN’ (Adakah anda sedia untuk BN?)
Penonton: ‘No’ (Tidak)
Perdana Menteri itu kemudian mengubah topik dengan menyatakan Psy sudah tiba di Malaysia sejak jam 6 pagi dan membuat pengumuman bahawa penyanyi sudah bersedia untuk beraksi di pentas.
Malah, ramai di kalangan penonton memakai baju kuning, hijau dan merah seperti saranan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebelum ini.
Ada antara mereka turut makai baju ‘Bersih’ pada majlis itu.
Selepas konsert Psy, Najib sekali lagi dimalukan dan terpaksa meninggalkan pentas selepas Psy tidak keluar apabila dijemput untuk menyertai ‘Yee Sang’ dengan pemimpin BN.
Semalam, BN mereka cerita kononnya Psy tidak turut serta naik ke pentas ketika upacara ‘Yee Sang’ kerana penyanyi Korea itu menerima ancaman nyawa.
Sebelum itu, pemimpin BN terpaksa menyelamatkan maruah Perdana Menteri dengan menuduh penolakan rakyat di majlis itu berpunca dari sabotaj Pakatan Rakyat.
Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Selangor bersama MB, Anwar 17 Februari
Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Selangor bersama MB, Anwar 17 Februari
Sempena sambutan Tahun Baru Cina peringkat Selangor yang bakal diadakan di One Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya pada 17 Februari ini akan dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis yang akan berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 2 petang itu akan menampilkan persembahan drum “Hand Percussion Malaysia” dan tarian singa.
Berikut adalah aturacara majlis:
Atucara
10.00 AM Ketibaan Orang Awam
11.00 AM Ketibaan Tetamu Jemputan
Persembahan Nyanyian Lagu Tahun Baru Cina
11.30 AM Ketibaan dif-dif kehormat
Persembahan Tarian Kebudayaan Oleh MBPJ
Persembahan Harmonika
12.00 PM Ketibaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar Selangor.
Ketibaan Datuk Seri Anwar Ibrahim
Penasihat Ekonomi Negeri Selangor
Persembahan Tarian Singa
12.15 PM Ucapan Elizabeth Wong
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan
Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar
Negeri Selangor
Ucapan Perasmian oleh Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar Selangor
Ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim
Penasihat Ekonomi Negeri Selangor
1.00 PM Persembahan Drum -
“Hands Percussion Malaysia”
Persembahan Nyanyian Lagu Tahun Baru Cina
1:30 PM Pemberian Ang Pau oleh God of Prosperity
2.00 PM Tamat
Debat Ketua AMK Perlis & Ketua Pemuda Umno Perlis 15 Feb (Jumaat)
Debat Ketua AMK Perlis & Ketua Pemuda Umno Perlis 15 Feb (Jumaat)
Rakyat Perlis berpeluang menyaksikan debat antara wakil KEADILAN dan Umno yang jarang sekali berlaku melalui pertembungan antara Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Perlis, Ammar Gazali dan Ketua Pemuda Umno Perlis, Mohsin Yusoff.
Program yang bertajuk ‘Wacana Anak Muda: Masa Depan Perlis’ itu akan berlangsung pada 15 Februari 2013, jam 8.30 malam di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad dan merupakan anjuran Sekolah Pemikir Jalanan.
Semua rakyat Perlis dijemput hadir.
Serang siswa di Pekan, Najib suburkan budaya samseng
Serang siswa di Pekan, Najib suburkan budaya samseng
(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 14 FEB: Serangan samseng Umno ke atas mahasiswa di Pekan, Pahang simbol Datuk Seri Najib Razak suburkan budaya samseng, kata Presiden Mahasiswa KEADILAN, Haziq Abdul Aziz.
“Kalau Najib di kawasan sendiripun tak boleh cegah budaya samseng, bagaimana pula di tempat lain?” tempelak Haziq kepada Ketua Umno Bahagian Pekan itu.
Tambahnya, insiden ganas itu bukti slogan transformasi laungan Perdana Menteri hanya propaganda.
“Transformasi langsung tidak menjadi realiti, hanya propaganda yang tidak mencerminkan demokrasi sebenar,” kata mahasiswa Undang-undang Universiti Malaya itu ketika dihubungi.
Hingga hari ini, dua insiden kumpulan mahasiswa dibelasah dan turut diserang menggunakan parang.
Pelajar Universiti Selangor (Unisel), Ekhsan Bukhari dan dua lagi mahasiswa diserang samseng Umno kelmarin di Kampung Datuk Keramat, Ganchong ketika mengedarkan risalah kepada pengundi di kampung berkenaan.
Kumpulan siswa itu mendakwa ditumbuk dan disepak di kepala dan badan oleh lelaki tidak dikenali dalam kejadian pada kira-kira jam 1 petang itu.
Manakala, kira-kira jam 11 pagi semalam, dua siswa dan dua siswi pula diserang dengan parang oleh samseng Umno di Felda Chini 4.
“Mahasiswa datang membawa hujah dan idea. Kita harapkan Najib dan penyokongnya lakukan perkara sama, jangan biarkan budaya samseng menjadi asas hujah,” kata Haziq.
AMK cabar Deepak buat akuan bersumpah pendedahan
AMK cabar Deepak buat akuan bersumpah pendedahan
(Oleh Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR 14 FEB: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) cabar usahawan permaidani, Deepak Jaikishan membuat akuan bersumpah (SD) berhubung pendedahannya mengenai penglibatan pegawai isteri Perdana Menteri dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
“Kalau dia (Deepak) yakin dengan kebenaran itu, lebih baik buat akuan bersumpah, supaya kenyatannya diikat dengan Akta Perakuan Berkanun (1960),” kata Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika dihubungi.
Pada sidang media di ibu pejabat PAS 6 Februari lalu, Deepak menyatakan dia 90 peratus yakin pegawai Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor ada di lokasi Altantuya dibunuh.
“Deepak kena nyatakan nama pegawai tersebut. Adakah pegawai itu orang selain daripada polis pengiring Najib, Azilah Hadri dan Sirul Azhar?” soal Shamsul.
Beliau berkata, tidak salah untuk Deepak mendedahkan pada media, namun melalui SD, pihak atau individu yang terlibat dengan pembunuhan dapat diheret ke muka pengadilan.
“Kalau ada bukti baru dalam kes ini, ia boleh dijadikan innuendo (sandaran) penglibatan Rosmah,” katanya.
19 Disember lalu, AMK diketuai Shamsul membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya menuntut siasatan pendedahan Deepak berhubung penyediaan SD kedua penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala).
“Kita kesal pihak polis tidak teruskan siasatan. Azilah dan Sirul kekal didapati bersalah sementara menunggu rayuan,” kata Shamsul menyifatkan ‘ada orang’ lain selain Razak Baginda dalam motif pembunuhan.
Azilah dan Sirul ditahan dan dijatuhi hukuman mati manakala rakan akrab Najib, Razak Baginda terlepas dari hukuman apabila dibebas tanpa dipanggil membela diri.
Kos bina sekolah: Pakatan Rakyat RM4.9 juta, Umno BN RM12 juta
Kos bina sekolah: Pakatan Rakyat RM4.9 juta, Umno BN RM12 juta
(Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 14 Feb: Kerajaan Selangor hanya berbelanja RM4.9 juta bagi membina Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midlands berbanding RM12 juta kos yang digunakan kerajaan Umno bagi pembinaan sebuah sekolah di Shah Alam.
Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, berkata ia berikutan sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Selangor, semua kontrak pembinaan sekolah diberi secara tender terbuka supaya kos tidak melambung.
“Kita lantik kontraktor melalui tender terbuka, jadi kos pun kurang. Berbeza dengan Umno yang beri kontrak kepada kroni. Bazir wang tetapi kualiti kerja tak memuaskan,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semalam mendedahkan kerajaan Umno akan membina sekolah rendah dengan 12 bilik darjah di U-10 Shah Alam dengan kos dianggar RM12 juta.
“Bermakna setiap bilik darjah itu kosnya adalah RM1 juta,” katanya dipetik TV Selangor.
Sekolah Midlands yang dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 15 April 2012 dianggap terbaik dan termoden di negara ini dengan dewan besar dan makmal canggih.
Malah, sekolah yang mampu menempatkan kira-kira 2,000 murid itu tidak sesen pun menggunakan peruntukan kerajaan pusat. Sebelum ini, murid terpaksa belajar dalam bilik darjah berdinding papan dan lantai simen retak, selama 50 tahun.
Manikavasagam berkata, banyak sekolah di Selangor yang dibina ketika pentadbiran Umno BN, menelan belanja yang tinggi tetapi tiada berkualiti.
“Sekolah Tamil Methodist, misalnya, hadapi masalah tandas tersumbat dan paip bocor hinggakan PIBG sekolah terpaksa cari dana untuk perbaiki kerosakan,” katanya yang mendedahkan Perdana Menteri ada melawat sekolah itu tahun lalu dan menjanjikan dana membaiki sekolah tetapi ia tidak ditunaikan.
“Sebuah sekolah di Bukit Raja pun hadapi perkara sama. Baru empat tahun dibina tetapi macam-macam rosak. Itulah hasil kerja Umno BN. Kos melambung, kualiti teruk,” katanya.
Support4AzrulAzwar diiklan dalam akhbar arus perdana
Support4AzrulAzwar diiklan dalam akhbar arus perdana
KUALA LUMPUR 14 FEB: Gerakan untuk membela Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, Support4AzrulAzwar, naik satu tangga lagi melalui iklan yang mereka siarkan dalam akhbar hari ini.
Sekurang-kurang sebuah iklan tiga suku muka disiarkan dalam akhbar TheSun hari ini.

Iklan tiga suku muka surat dalam TheSun hari ini.
Iklan bertajuk ‘Solidariti bersama Saudara Azrul Azwar Ahmad Tajudin Ketua Ekonomi Bank Islam’ itu disiarkan di muka 11 akhbar berkenaan hari ini.
Iklan itu memaparkan 59 organisasi yang menyokong penyataan itu di samping 135 individu yang menyokongnya.
Di antara organisasi yang menyokong kenyataan iklan ini adalah Aliran, Ikram, Bersih, Mafrel, Gerak, Permas dan sebagainya.
Individu yang terlibat menyokong iklan ini adalah 16 orang profesor dan profesor madya, 29 orang doktor, lima datuk dan sebagainya.
Azrul Azwar digantung tugasnya oleh Bank Islam berikutan laporan berita yang melaporkan beliau menjangkakan Pakatan Rakyat akan menang tipis dalam pilihan raya umum akan datang.
Kenyataan itu dibuat Azrul ketika membentangkan satu kertas kerja dalam satu seminar yang diadakan di Singapura.
Ekoran kenyataan itu, Azrul sekali lagi menegaskan beliau bertegas dengan kenyataannya itu berdasarkan analisa yang beliau buat.
Azrul berkata, beliau membuat tiga andaian iaitu BN menang besar, BN menang tipis dan Pakatan menang tipis.
Iklan yang disiarkan TheSun hari ini memaparkan gambar Azrul dengan kata-kata ‘Berani kerana benar, Takut kerana salah’.
Iklan ini juga turut memaparkan laman Facebook mereka iaitu ‘Support4Azrul Azwar’. – Harakah Daily
Malu punca pengampu Najib sunting video Gangnam Style
Malu punca pengampu Najib sunting video Gangnam Style
(Norutul Ilham)
KUALA LUMPUR 14 FEB: Pengampu Datuk Seri Najib Razak dipercayai menyunting rakaman video yang memapar adegan Perdana Menteri berkomunikasi dengan penonton konsert Gangnam Style bagi menangkis penolakan secara terbuka rakyat negeri itu terhadap BN.
Rakaman itu dikesan dimuat naik dua hari menjadi kejadian itu menjadi hangat dan jenaka segenap lapisan rakyat, malah menjadi muka depan Suara Keadilan edisi 104, sebelum video yang disunting itu disebar melalui facebook khususnya fan page Sayangi Selangor yang didalangi Umno BN.
Suntingan itu melibatkan adegan Najib bertanya ‘Are You ready For BN?’ dan penonton menjawab ‘Yes’ sedangkan rakaman asli menunjukkan rakyat menyebut ‘No’ sebanyak tiga kali.
Paparan gambar ketika sebutan ‘Yes’ juga beralih-alih akibat suntingan berkenaan, menyebabkan ramai pengguna internet tidak menyakini kesahihannya sedangkan kedudukan kamera rakaman asli, statik dan tidak berubah-ubah.
Mengulas perbuatan itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Lee Khai Loon, berkata suntingan itu sama sekali tidak akan mengembalikan maruah Najib yang dimalukan rakyat.
“Ia hanya menambahkan malu Najib. Tiada gunanya lagi. Semua sudah berlaku, semua rakyat sudah tahu apa yang berlaku.
“Video asal jelas menunjukkan betapa beraninya rakyat menolak BN. Untuk apa ada video yang diedit. Banyak media sosial sudah memuat naik rakaman dan ramai orang sudah menyaksikan rakaman asal,” katanya kepada Keadilan Daily.
Beliau menyifatkan, perbuatan itu menunjukkan Umno BN yang takut dan terdesak untuk meraih undi anak muda menyebabkan mereka terpaksa melakukan perkara tidak masuk akal.
“Yang edit video ini tak ubah macam perangai TV3 dan media kawalan Umno suka putar belit fakta. Kesudahannya buat malu diri sendiri kerana rakyat tahu permainan mereka,” katanya.
Video yang disunting pengampu Umno, KLIK INI.
Video asal tanpa sebarang suntingan, KLIK INI.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
