Suara Keadilan's Blog, page 581
February 15, 2013
Ketua Umno Bandar Baru Sentul isytihar sertai KEADILAN
Ketua Umno Bandar Baru Sentul isytihar sertai KEADILAN
(Aisha Geoffrey)
BATU 16 FEB: Ketua Cawangan Umno Bandar Baru Sentul, Badaruddin Ismail mengisytihar penyertaannya ke KEADILAN pada program ceramah Pakatan Rakyat, malam tadi.
Badaruddin Ismail berbuat demikian depan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
“Saya masih lagi Ketua Cawangan. Selepas ini saya tunggu apa tindakan Umno terhadap saya,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Umno Batu.
Sementara itu, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Batu, Rozan Azen Mat Rasip pula berkata, penyertaan Badaruddin berikutan muak dengan penipuan dan sikap pura-pura pemimpin Umno.
Katanya, pelbagai tekanan dan sabotaj dilakukan Umno menjelang hari ceramah bagi memberi tekanan kepada Badaruddin dari meneruskan niatnya untuk menyertai KEADILAN.
“Dua kali kami terpaksa pindah lokasi. Walaupun pengerusi persatuan di tapak ceramah sudah terima deposit dan kita sudah maklumkan polis, tiba-tiba kata tiada kebenaran untuk ceramah,” katanya.
Ceramah dijadual di Dataran Menara Orkid terpaksa dipindah ke tanah lapang berdekatan Dewan Desa 8/9 Bandar Baru Sentul ekoran bantahan wakil Menara Orkid, yang kononnya menurut mereka tiada permit.
“Mereka sudah terima deposit. Kenapa timbulkan soal permit yang patutnya urusan kami dan polis? Polis pun sudah beri kebenaran berceramah dan tiada bantahan.
“Kita yakin, sabotaj itu sebenarnya bertujuan menekan Badaruddin berikutan pemimpin Umno bahagian goyah dengan penyertaan beliau ke KEADILAN,” kata Rozan.
Kumpulan bersenjata Filipina helah Umno takutkan rakyat – Tian
Kumpulan bersenjata Filipina helah Umno takutkan rakyat – Tian
(Aisha Geofrey)
BATU 16 April: Berita kemasukan 100 ahli kumpulan bersenjata di pesisir pantai Lahad Datu Sabah adalah cerita sama yang diulang untuk menimbulkan suasana panik di kalangan rakyat, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.
“Setiap kali pilihan raya, tiba-tiba kumpulan pengganas seperti ini muncul.
“Dulu Al-Maunah, lepas tu ada pula kumpulan militan Malaysia yang ditangkap bersama reformis. Kemudian kata kita (Pakatan Rakyat) guna keganasan untuk rampas kuasa,” katanya dalam ceramah Pakatan Rakyat di Bandar Baru Sentul, semalam.
Ahli Parlimen Batu itu mengulas isu kumpulan bersenjata di Lahad Datu sejak 14 Februari lalu yang didakwa pewaris ‘Sultan Sulu’ dari selatan Filipina dan mahu ‘merampas’ semula Sabah.
“Kita rasa cerita ini pelik, 100 lelaki datang mahu mengambil Sabah? Umno macam-macam boleh reka, yang peliknya, bukan Jeneral tentera yang mengarahkan tentera mengepung lelaki-lelaki itu, tetapi Menteri Pertahanan,” kata Tian.
“Kita tidak hairan jika isu itu digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat kononnya negara sedang huru-hara,” katanya.
Menurutnya lagi, isu ‘serangan’ itu juga diguna untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah yang didalangi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.
“Suruhanjaya Diraja sedang menyiasat isu ini, yang seperti kita tahu didalangi pemimpin yang paling lama memerintah, Mahathir,” kata Tian disambut tepukan 500 penyokong.
100 samseng Umno kepung, sepak mahasiswa di Pekan
100 samseng Umno kepung, sepak mahasiswa di Pekan
(Oleh Norutul Ilham)
PEKAN 15 FEB: Lepas diserang ketika mengedar risalah Selasa lalu, diikuti serangan dengan parang pada Rabu, kumpulan Gerakan Mahasiwa PRU-13 di Pekan, Pahang petang ini dikepung pula kira-kira 100 samseng Umno untuk menghalau mereka pulang.
Bercakap kepada Keadilan Daily, wakil mahasiswa terlibat, Ekhsan Bukhari berkata, serangan tersebut bermula semasa sekumpulan 30 mahasiswa mengedar risalah ‘Harapan mahasiswa untuk rakyat Pekan’ di sekitar kawasan itu.
“Kami sedang edar risalah, tiba-tiba kumpulan 100 samseng di kalangan ahli-ahli Umno Bahagian Pekan mengepung kami. Ada yang kena sepak, tampar, terajang. Mahasiswi pula kena tarik tudung. Polis hanya tengok serangan berlaku.
“Daripada situ, kami terus balik ke tempat penginapan, di Madrasah Husna yang tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya dihubungi ketika beliau dalam madrasah berbincang untuk mencari jalan penyelesaian.
Menurut Ekhsan, kumpulan samseng itu kemudian mengepung madrasah tersebut memberi amaran supaya mereka beredar.
Jika ingkar, kumpulan itu mengugut untuk melakukan ancaman, kata Ekhsan lagi.
“Samseng-samseng itu masih di luar madrasah. Mungkin mereka bimbang dengan kehadiran kami di sini kerana Datuk Seri Najib (Razak) akan ke pekan Chini esok,” kata Ekhsan.
Sebelum ini, pelajar Universiti Selangor (Unisel) itu dan dua lagi mahasiswa diserang samseng Umno di Kampung Datuk Keramat, Ganchong ketika mengedarkan risalah kepada pengundi di kampung berkenaan.
Kumpulan siswa itu mendakwa ditumbuk dan disepak di kepala dan badan oleh lelaki tidak dikenali dalam kejadian pada kira-kira jam 1 petang itu.
Manakala, kira-kira jam 11 pagi kelmarin, dua siswa dan dua siswi pula diserang dengan parang oleh samseng Umno di Felda Chini 4.
Gerakan Mahasiwa PRU-13 menggerakkan anggotanya untuk mengedarkan risalah berkenaan selepas mengumumkan untuk meletakkan calon di kawasan yang diwakili Perdana Menteri itu.
Bukti rakaman Adun Pulau Manis maki hamun mahasiswa
Bukti rakaman Adun Pulau Manis maki hamun mahasiswa
PEKAN 15 FEB: Kisah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis, Pekan, Khairudin Mahmud mengamuk dan memaki mahasiswa yang masuk bertemu penduduk di kawasannya tanpa kebenaran beliau kini menjadi video top di youtube.
Video (lihat sini) yang dirakam secara rahsia oleh salah seorang mahasiswa yang dimaki itu kini menjadi kegilaan ramai di youtube.
Video itu menggambarkan YB Khairudin yang lebih dikenali Cikgu Din itu menemui para mahasiswa yang masuk ke Pekan melalui Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) untuk menyampaikan agenda mereka.
Cikgu Din kelihatan dengan kasar memarahi para mahasiswa itu termasuk membangkitkan soal cincin yang dipakai oleh Rosmah.
Selain insiden serangan oleh wakil rakyat Umno ini, mahasiswa yang turun ke Pekan juga ada yang dibelasah dan ada siswa yang dikejar dengan parang oleh mereka yang tidak dikenali.
Pengerusi GM13, Syis Abd Kadir berkata, mahasiswa tidak sesekali mahu bermusuh dengan rakyat sebaliknya ingin menyampaikan harapan mereka kepada rakyat khususnya di Pekan yang merupakan kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Pendirian GM13 jelas iaitu tidak mahu bermusuh dengan rakyat dan kami akan meneruskan program seperti yang dijadualkan.
“Kami akan cuba pergi ke tempat-tempat di Dun di Pekan dan kalau dihalang, kami berundur. Kami bukan pergi untuk bergaduh,” kata beliau dipetik Harakah Daily.
Mahathir kayakan kroni punca rizab negara terhakis, hutang bertimbun
Mahathir kayakan kroni punca rizab negara terhakis, hutang bertimbun
(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 15 FEB: Dasar penswastaan dan polisi Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengkayakan kroni melalui projek mega, punca rizab negara rendah dan hutang negara makin menimbun, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
“Polisi Mahathir yang menswastakan projek-projek besar seperti kilang besi waja, Malaysia Airlines (MAS), keretapi dan banyak lagi menyebabkan kroni semakin kaya, kos meningkat, rakyat terbeban dan ekonomi mundur,” katanya ketika dihubungi.
Pengerusi KEADILAN Terengganu itu mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri kononnya nisbah kadar hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada tahap 53 peratus masih dianggap baik.
Beliau malah membandingkan keadaan ekonomi Malaysia dengan Greece.
Mahathir berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) kini mempunyai simpanan kira-kira US$140 bilion (US$1=RM3.08) berbanding semasa pentadbirannya hanya sekitar US$30 bilion.
“Itu hanya kenyataan Mahathir untuk bela diri. Dengan hasil kekayaan negara yang begitu banyak seperti minyak, kelapa sawit, hutan berkualiti, negara kita patut mencapai rizab US$1 trilion, dan tidak perlu berhutang,” kata Azan mengulas kenyataan itu.
Menurut beliau, sepanjang 22 tahun pentadbiran Mahathir, rizab matawang, rizab antarabangsa dan rizab emas negara yang sepatutnya tertinggi di dunia mulai terhakis.
“Ia berdasarkan anggaran belanjawan negara selama 20 tahun dan semua orang boleh rujuk. Kerajaan mengakui aliran wang keluar yang terlalu banyak tidak dapat dicegah. Bahkan Bank Negara sedang menyiasat perkara ini,” katanya.
“Kadar SDR (Hak Pengeluaran Khas) bertujuan untuk mengawal kadar pengeluaran matawang juga menurun kerana diguna pakai untuk pembangunan dan pelaburan, ekoran keadaan ekonomi negara yang mengalami defisit selama 15 tahun. Dengan hasil negara yang banyak, rizab sepatutnya tak perlu digunakan,” jelas Azan.
Kata Azan lagi, idea penggunaan rizab negara untuk pembangunan dan pelaburan juga diilhamkan oleh Mahathir, dan ditentang Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Tanyalah Anwar, Tengku Razaleigh (Hamzah) atau mana-mana menteri kewangan di rantau ini, pastinya jawapan mereka bahawa rizab simpanan negara patut lebih tinggi dari sekarang,” katanya.
“Mahathir juga merendahkan ekonomi negara dengan menyamakan dengan Greece. Kenapa tidak bandingkan dengan negara setaraf seperti Singapura yang kini ada rizab sekurang-kurangnya dua kali ganda lebih tinggi dari Malaysia,” soal Azan.
Samseng Umno conteng lambang salib pada bendera KEADILAN, PAS
Samseng Umno conteng lambang salib pada bendera KEADILAN, PAS
MUAR 15 FEB: Satu lagi perbuatan khianat samseng Umno berlaku apabila bendera KEADILAN dan PAS di Muar dicalitkan dengan lambang salib, dipercayai malam tadi selepas kejadian sama juga berlaku di Johor 25 Januari lalu.
Setiausaha Cabang Muar, Hazli A Rahman berkata, kejadian itu disedari pagi tadi oleh aktivis parti apabila mendapati dua bendera yang digantung di tepi jalan Parit Sakai, Jalan Temenggong Ahmad, di sini diconteng lambang salib.
Dipercayai tindakan ini ekoran kemarahan Umno yang tidak boleh menerima sambutan rakyat terhadap kemaraan Pakatan Rakyat di daerah tersebut.
“Ini menunjukkan ketakutan dan betapa terdesaknya Umno BN Muar terhadap asakan bertali arus Pakatan Muar dan juga kebimbangan mereka menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
“Setelah gagal meyakinkan rakyat Muar dengan idea dan tawaran politik segar serta melihat sokongan rakyat terhadap Pakatan semakin kukuh, Umno BN terpaksa menekan ‘butang panik’ melakukan tindakan desperado membuat provokasi hina sebegini,” katanya pada kenyataan.
Hazli berkata, sikap tidak matang Umno BN itu amat memalukan sekaligus pamer politik murahan bertujuan untuk memainkan sentimen agama.
“KEADILAN Cabang Muar tegas mengutuk tindakan politik sebegini. Kami desak Umno BN Muar hentikan politik tidak matang. Berlawanlah di atas pentas hujah,” katanya.
Beliau juga menggesa rakyat tidak termakan ideologi ‘longkang’ yang cuba diserap Umno BN.
“Kita tidak perlu terperangkap dengan propaganda picisan ini. Banyak lagi isu rakyat yang perlu difokus.
“Hentikan segala taktik kotor. Hormati hak demokrasi dan partisipasi dalam berpolitik. Rakyat Muar makin bijak menilai tindak tanduk Umno BN yang curang dalam menjalankan amanah,” katanya.
Sebelum ini, insiden khianat tersebut berlaku di Batu Pahat apabila bendera KEADILAN dan PAS turut dicalitkan dengan lambang salib.
Bendera tersebut juga ditulis dengan perkataan-perkataan buruk menghina kedua-dua parti.
Bantuan penuh untuk sekolah Tamil – Anwar
Bantuan penuh untuk sekolah Tamil – Anwar
(Oleh Norutul Ilham)
KUALA LUMPUR 15 FEB: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk mengangkat kembali taraf hidup masyarakat India melalui tawaran pendidikan seperti kaum lain apabila berjaya membentuk kerajaan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar, jaminan itu kata Anwar akan memberi peluang kepada masyarakat India untuk memperbaiki taraf hidup mereka.
“Beliau (Anwar) beri jaminan sekolah-sekolah Tamil akan menerima bantuan penuh daripada kerajaan seperti sekolah-sekolah lain.
“Melalui pendidikan percuma seperti yang ditawarkan Pakatan Rakyat, orang India masih berpeluang menyambung pelajaran walaupun miskin. Ia tidak akan berlaku seperti sekarang kerana mereka masih di dalam taraf kemiskinan,” kata Xavier ketika dihubungi.
Terdahulu, Anwar berucap pada sesi dialog dan soal jawab bersama editor-editor akhbar bahasa Tamil di Midlands Tamil School Convention Centre, Seksyen 7, Shah Alam, malam tadi.
Dalam sesi dialog “If I Become the Prime Minister – Q & A – Addressing Policy Issues Affecting Tamils” tersebut, Anwar memberi penerangan dan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan editor.
Kata Xavier yang juga Exco Kerajaan Selangor, keprihatinan Penasihat Ekonomi Selangor itu membuka peluang masyarakat India mendapatkan semula hak mereka yang dinafi BN, malah dilayan sama rata seperti kaum lain.
“Soal pendidikan memang menjadi keutamaan masyarakat India. Apabila mendapat hak sama rata seperti kaum lain, persaingan sihat akan berlaku dan kita dapat membangunkan negara bersama-sama,” kata Xavier.
Dalam majlis itu, Anwar juga menjawab soalan berkenaan penyerapan kaum India ke agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang akan dibincangkan kelak.
Hadir sama antaranya, Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa; Ahli Parlimen Teluk Intan, M Manoharan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Port Dickson, M Ravi.
February 14, 2013
42 NGO terus desak kerajaan cepat tubuh IPCMC
42 NGO terus desak kerajaan cepat tubuh IPCMC
(Oleh Aliff Fikri)
KUALA LUMPUR 15 FEB: Sekumpulan 42 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dinamakan Gerakan Hentikan Keganasan Negeri terus mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Gabungan NGO itu mahu penubuhan IPCMC ekoran beberapa insiden keganasan dan pencabulan kuasa polis secara meluas hingga menyebabkan kematian orang awam.
Menurut mereka, IPCMC penting untuk memastikan tiada lagi keganasan dan tuduhan palsu untuk mewujudkan persekitaran selamat.
Pengarah Tenaganita, Irene Fernandez berkata, penubuhan IPCMC wajib disegerakan supaya keganasan dan penyalahgunaan kuasa polis dapat dihentikan.
“Hampir setiap hari ada saja berita penyalahgunaan kuasa seperti kematian dalam tahanan, tembakan polis terhadap orang awam, salah guna kuasa terhadap suspek, penahanan tanpa mengikut undang-undang dan banyak lagi. Ia hendaklah dihentikan.
“Kami desak Datuk Seri Najib (Razak) dan pentadbirannya prihatin ke atas mangsa yang teraniaya agar segera melaksanakan IPCMC,” katanya pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), pagi tadi.
Gerakan Hentikan Keganasan Negeri ditubuhkan pada Oktober lalu, bertujuan menamatkan tragedi tembakan polis terhadap orang awam dan kematian dalam tahanan.
Penyelaras Suaram, Wong Kar Fai berkata, siri kematian dalam tahanan seperti terbaru menimpa C Sugumar menuntut supaya penubuhan IPCMC dipercepat.
“Kerajaan perlu bertindak tegas kerana saban hari rakyat makin hilang kepercayaan terhadap polis. IPCMC tidak boleh dilengah-lengahkan. Dikhuatiri ramai lagi rakyat akan menimpa nasib sama,” katanya.
“Apa yang terjadi kepada Sugumar, Cheah Chin Lee, Aminulrasyid (Hamzah) dan lain-lain mangsa mungkin bakal terjadi kepada sesiapa sahaja.
“Pembunuhan dan salah guna kuasa polis adalah serius tanpa kesudahan. Jika berterusan ia mengancam kesejahteraan negara dan kedaulatan undang-undang,” kata Wong.
Turut sama mewakili NGO itu, Lawyers For Liberty (LFL).
Penubuhan IPCMC dicadangkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri kelima) pada 29 Disember 2004 ketika merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander Briged Pasukan Gerakan Am dan Komandan di Putrajaya.
Bagaimanapun, ketika majoriti pendapat menyokong cadangan penubuhan IPCMC oleh suruhanjaya itu, polis dan ahli-ahli Parlimen Umno menentang penubuhan IPCMC.
Polis menuduh IPCMC menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, bertentangan dengan undang-undang, bercanggah dengan perlembagaan, mencabul keadilan semulajadi, boleh mengakibatkan anarki, bersifat diskriminasi, menafikan keadilan dan mengkompromikan perintah Ketua Polis Negara.
Mahathir dicabar lawan Anwar di Permatang Pauh
Mahathir dicabar lawan Anwar di Permatang Pauh
KUALA LUMPUR 15 FEB: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar menentang Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13).
Cabaran itu dibuat bekas Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Nordin Mahmood, hari ini.

Sakit kepala Mahathir memikirkan ketakutan menentang Anwar.
Ia bagi membolehkan rakyat menjadi hakim untuk memilih siapa pemimpin pilihan mereka.
“Anwar sekian lama menjadi mangsa fitnah, dan orang yang paling ke depan dalam soal ini adalah Mahathir.
“Ia bermula sejak 1998, selepas Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, dan semakin hebat apabila beliau dilihat bakal menjadi Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pagi tadi.
Nordin berkata, Mahathir sepatutnya mencontohi pemimpin negara lain, yang memilih sikap berkecuali selepas meletak jawatan dan menjadi negarawan.
Namun, katanya, Mahathir gagal berbuat demikian menyebabkan sebahagian rakyat hilang hormat.
“Takdirnya Mahathir kalah, tidaklah beliau rasa rendah diri kerana kawasan itu kubu kuat Anwar,” kata Nordin tetapi tidak menolak jika Mahathir memilih kawasan Parlimennya dahulu, Kubang Pasu atau lain-lain.
“Saya tanya Anwar tiga hari lalu, dan dia tiada masalah dengan cadangan saya,” jelas bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu lagi.
Kata Nordin, jika Mahathir gagal menyahut cabaran ini, beliau perlu berhenti membuat kenyataan politik, terutama serangan peribadi ke atas Anwar.
“Ia juga menunjukkan kenyataan beliau selama ini tidak bertanggungjawab,” tambahnya.
Turut hadir sidang media itu, Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri dan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN, Rozan Azen Mat Rasip.
Surat terbuka Deepak kepada Tun Mahathir
Surat terbuka Deepak kepada Tun Mahathir
Tun,
Saya merujuk kepada kenyataan Tun yang juga merupakan nasihat kepada DS Najib & DS Rosmah iaitu “Abaikan Deepak”, dan juga saya tertarik dengan nasihat Tun agar
saya tidak menggunakan saluran politik sebaliknya terus ke mahkamah untuk menuntut hak saya.
Tun,

Deepak
Untuk makluman Tun, semenjak 2 tahun lepas iaitu dari tahun 2010, itulah yang telah saya lakukan di mana keputusan mahkamah telahpun memihak kepada saya. Walaubagaimanapun, pentadbiran Najib telah menidakkan keputusan mahkamah ini dan segala bukti yang dikemukakan di mahkamah yang mempunyai perkaitan dengan DS Rosmah telah dinafikan kewujudannya atau sememangnya jabatan kerajaan tidak bercadang untuk menjawab pertuduhan mahkamah, yang dengan ini, saya memerlukan nasihat daripada Tun.
Apakah tindakan Tun sendiri akan lakukan jika Tun berada di tempat saya? Berlatarbelakangkan kami berdua juga pernah dituduh sebagai ”orang pakistan” namun kami sama sama ”anak malaysia” yang berhati nasionalis, saya pasti apa yang saya tulis di dalam surat ini tidak banyak berbeza dengan apa yang Tun akan lakukan jika Tun berada di tempat yang sama atau berdasarkan pada apa yang pernah berlaku, Tun sendiri pernah menulis ”Surat Sejarah 17 Jun 1969” yang juga merupakan surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman.
Tun,
Saya telah diserbu oleh pihak Bank Negara Malaysia pada tahun 2010 kerana pertukaran matawang asing melalui pengurup wang dengan jumlah yang tinggi di dalam Dollar Singapura dan US. Siasatan telah berlangsung selama enam minggu dan saya telah dedahkan bahawa kesemua wang tersebut telah diserahkan kepada DS Najib dan DS Rosmah sebagai bayaran untuk berbagai tawaran di mana saya bertindak sebagai saluran mereka untuk bayaran Bangunan Angkasa Raya, Tanah Bukit Raja dan Glomac Tower (kini dikenali sebagai Wisma Prestige). Perkara ini walaubagaimanapun terhenti begitu sahaja.
Saya juga diminta oleh pihak SPRM untuk membantu siasatan bagi jualan sebuah bangunan di KLCC kepada syarikat perbankan Islam antarabangsa, di mana kami telah mengemukakan bukti bayaran melalui slip, kenyataan video dan testimonial bertulis di mana saya telah bertindak sebagai saluran bagi DS Najib dan DS Rosmah, dan wang telah diserahkan ke tangan mereka dalam berbagai bentuk dan suasana dalam tempoh dua (2) tahun, Pengarah Kanan SPRM yang mengetuai penyiasatan itu ialah Datuk Jamidan, yang juga terlibat dalam kes Sime Darby.
Mengapa setelah begitu banyak bukti yang dikemukakan secara terang-terangan dan mengikut saluran, sehingga kini masih tiada siasatan yang dibuat terhadap DS Rosmah, DS Najib atau Datuk Nazim? Adakah keadaan ini melibatkan “dakwaan untuk individu terpilih” atau siasatan di peringkat yang berbeza untuk orang yang berlainan taraf? Macam mana lagi Tun hendak saya buat untuk mendapatkan keadilan? Kini mari kita berbicara tentang pengalaman saya di mahkamah pula.
Tun,
Saya telah membeli 200 ekar bidang tanah daripada Raja Ropiah pada tahun 2007, kini beliau adalah Ketua Wanita Umno Selangor dan Ketua Wanita BN. Kami telah membayarnya secara tunai sebanyak RM13,000,000.00 dan bond tanah (Waranti Bank) sebanyak RM72,500,000.00 telah dikeluarkan bagi tujuan bayaran. Selepas menerima wang tersebut, Raja Ropiah secara sengaja telah melewatkan pengeluaran geran tanah buat kami dengan cara mengabaikan tanggungjawabnya untuk menyerahkan geran itu dan sebaliknya telah membuat janji dengan CBT untuk menjual tanah tersebut kepada syarikat lain dengan harga yang lebih tinggi dan juga telah mengumpul sejumlah wang tunai hampir kepada RM90,000,000.00 dan Waranti Bank daripada mereka.
Ini juga terjadi ketika bon tanah kami masih sah digunakan dan meminta sejumlah RM13,000,000.00 daripada kami dalam bentuk tunai. Kami juga telah membayar secara tertutup di mahkamah terbuka sebanyak RM8,000,000.00 kepada keluarga DS Najib. Saya telah membuat laporan polis dan sehingga kini masih tiada tindakan terhadap Raja Ropiah dan keluarga D. Najib.
Sebaliknya saya perlu melalui pengalaman memeritkan dan menerima notis disita daripada Bank yang bergelar “16 D”, yang tidak lain tidak bukan daripada firma guaman milik adik DS Najib, Datuk Johari Razak, Shearn Delamore, tepat 24 jam selepas sidang media memaklumkan rasuah dan tindakan tidak bermoral pasangan ini. Tun, jika tidak keberatan, harap dapat maklum pada saya, bank manakah yang membuat sitaan tanpa melalui peringkat undang-undang yang betul?
Sitaan mereka berjumlah RM30,000,000.00 dan secara kebetulan Boustead Holding tiba-tiba muncul hendak membeli syarikat kami yang memiliki tanah sejumlah 200 ekar di atas kertas ini, di atas nama Asta Canggih Sdn Bhd dengan jumlah jualan RM30,000,000.00!! Sangat ajaib bukan?? Yang lebih menariknya, syarikat Boustead juga telah membayar pendahuluan sebelum menandatangani perjanjian pembelian, dengan syarat kami menarik-balik kes dari mahkamah serta-merta, memandangkan tarikh untuk kes dibaca dalam mahkamah terbuka adalah dalam minggu yang sama. Sekarang Tun, tolong nasihatkan saya, apakah yang akan Tun sendiri lakukan dalam situasi begini? Apa yang menarik sekali, Raja Ropiah turut dibayar sebanyak
RM29,000,000.00 sebagai ’hukuman’ dia untuk CBT.
Tun,
Kami telah menjual sebuah bangunan kepada sebuah badan bank Islam antarabangsa pada tahun 2008 dan mereka gagal untuk membayar kepada kami pada tahun 2010 apabila pemegang saham yang baru menyertai mereka. Kini kami telah memenangi kes ini di mahkamah melalui pengadilan pada 7 November 2012 dan Mahkamah mendapati
Bank Islam Antarabangsa:-
a) menggunakan tindakan yang melanggar undang-undang untuk membuat konspirasi
terhadap kami secara sengaja
b) melanggar perjanjian Surat Pengambilalihan yang dikeluarkan terhadap kami
c) terlibat dalam pengeluaran dan pelepasan surat salah laku untuk memusnahkan kami
dan perniagaan kami
Bank tersebut juga telah didedahkan di mahkamah terbuka bahawa:
i) telah menipu apabila bertindak sebagai pendeposit dengan membeli asset menggunakan syarikat bersama di mana mereka mengakui mempunyai hak milik sebanyak 19% padahal sebenarnya ia adalah milik mereka 100%, melalui Deklarasi Pengakuan Amanah, di mana mereka kemudiannya dipaksa mengaku di mahkamah terbuka dengan kemunculan Deklarasi
Pengakuan Amanah tersebut.
ii) telah menipu berbagai organisasi seperti Bank Negara Malaysia, SC, FIC dan juga ROC dengan menggunakan nama-nama pemegang saham Malaysia untuk mengelak deklarasi pemilikan asing dalam mendapatkan kelulusan.
iii) menipu Bank Negara Malaysia, dengan menunjukkan pinjaman melebihi modal berbayar pada ketika yang sama sebagai pinjaman pihak ketiga Syarikat di mana pada sebenarnya ia adalah pinjaman untuk anaksyarikatnya sendiri.
Tun,
Kami telah menulis kepada Bank Negara Malaysia untuk mengambil tindakan yang dirasakan patut buat Bank Islam Antarabangsa ini mengikut undang-undang perbankan:-
a) Tukar CEO serta-merta
b) Hadkan atau menahan lessen bank untuk mengelak bank daripada menerima
pendeposit
c) Pihak Bank perlu membuat pengumuman mengenai konspirasi ini dan memberitahu kepada pendeposit dan pemegang sahamnya di Malaysia dan Timur Tengah di mana ia adalah sebuah syarikat yang disenarai di Bursa Saham dan ditadbir oleh Badan Amanah.
Tun,
Saya telah banyak kali menulis surat buat Tan Sri Zeti dan Ahli Lembaga Bank Negara Malaysia sehingga kini tetapi masih belum dibalas, mengapa? Kerana bank Negara maklum bahawa DS Rosmah dan D Nazim terlibat dalam penjualan bangunan itu? Mengapa? Kerana surat dan kenyataan video kami kepada SPRM pada tahun 2011 telah membuktikan bahawa kedua mereka terlibat di dalam transkrip termasuk bukti-bukti bayaran yang telah dibuat?
Oleh itu Tun, mempunyai institusi keadilan yang suci seperti Mahkamah di Malaysia ini tidak mencukupi jika institusi Bank Negara Malaysia turut mendendangkan irama DS Rosmah dan tidak lagi lagu ‘I did it my way’.
Izinkan saya bertanya kepada Tun, adakah Tun mahu melihat Barisan Nasional dan Malaysia ini dirosakkan oleh pasangan rasuah yang tidak bermaruah ini? Saya inginkan pandangan Tun, apakah yang saya dapat jika saya ke mahkamah dan memenangi kes ini? Kesemua institusi di Negara ini adalah di bawah kawalan pasangan Bonnie & Clyde ini. Ke mana kami pergi selepas ini? Ke Mahkamah Antarabangsa? Media? Atau pembangkang? Harap Tun dapat nasihatkan saya dengan kebijaksaan yang Tun miliki itu kerana saya sendiri sudah jijik dengan apa yang berlaku di Malaysia sejak 11 tahun yang lagi di dalam kerajaan ini.
Saya sangat sedih dan kecewa dengan kenyataan media Tun yang meminta agar saya tidak dipedulikan. Bagaimana untuk tidak mempedulikan saya jika sebenarnya saya kini sedang mempertahankan maruah dan integriti Negara? Mungkin Tun telah mendengar di pihak yang salah jika mereka mengatakan saya bekerja dengan pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan. Tun, saya adalah seorang negarawan, saya tidak akan menjatuhkan maruah Negara saya, TIDAK.
Tun,
Tun sendiri pernah berkata, Najib sangat lemah, di mana ia merupakan satu realiti. Kaum Cina tahu rasuah ini tidak akan berakhir dan kaum Melayu juga tahu, hanya mereka yang kaya sahaja akan lebih kaya, manakala yang lain akan sentiasa bergantung kepada biasiswa, KR1M, BR1M dab DR1M, di mana kami semua menjadi seperti pengemis atau hamba, dan menyebabkan jumlah hutang kita mencecah kepada RM1 trillion pada 2014. Semua orang tahu Najib bertindak seperti Perdana Menteri Santa Claus memberi wang tunai kepada setiap orang dan merasuah satu Negara!! Semua orang juga tahu bahawa PM yang sebenar ialah Rosmah dan Najib hanyalah seorang PM Santa Claus yang gembira dengan tugasnya.
Apa yang saya risaukan bukan sahaja Negara ini akan mogok ketika atau selepas pilihanraya tetapi juga pihak tentera yang akan bertindak mengawal semua keributan akibat daripada pilihanraya yang kotor. Dengan mengambil risiko sendiri, saya meminta Tun M mencadangkan kepada Najib agar beliau meletakkan jawatan dan membiarkan timbalannya mengambil alih BN mengetuai pilihan raya akan datang di mana perlu berlaku dalam tempoh 60 hari akan datang.
Tun,
Saya harap surat ini diterima Tun dengan penuh ikhlas tidak kira bagaimana pahitnya kebenaran itu, ia tetap yang benar dan sentiasa mendahului setiap penipuan dan penafian daripada perampas dan pembunuh.
Ikhlas,
DEEPAK J TEKWANI
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
