Suara Keadilan's Blog, page 366
March 12, 2014
Khairy Jamaluddin boneka penindas, kenapa tak bersuara isu rakyat?
AMK Pulau Pinang mengecam keras kenyataan Ketua Pemuda UMNO YB Khairy Jamaluddin yang menggelarkan Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail ‘boneka’ kepada YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan yang tidak matang dan bersifat seksis adalah tidak sesuai dengan status beliau sebagai antara menteri yang paling muda di dalam barisan kabinet selepas PRU13.
Khairy Jamaluddin (KJ) hanya gemar menangguk di air keruh atas apa-apa isu pun. Beliau adalah boneka kepada golongan atasan yang hanya berdiam diri bila isu seperti NFC dan PKFZ mencengkam golongan bawahan. Projek ini adalah menggunakan dana awam dan menindas rakyat terbanyak.
KJ juga hanya diam apabila kebebasan bersuara disekat dengan penarikan lesen akhbar The Heat. Beliau juga sekali lagi diam bila institusi kehakiman diperalatkan untuk keuntungan pemerintah. Beliau harus malu dan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Asrul Sani
Timbalan Ketua AMK Pulau Pinang
Penyelaras DUN Bertam
Ceramah Perdana Dr Wan Azizah di Stadiium Kajang malam ini
KAJANG 12 MAC: Calon KEADILAN bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah akan menghadiri ceramah perdana di Stadium Kajang malam ini.
Terdahulu, Dr Wan Azizah akan turut menyampaikan penerangan dan bertemu pengundi Kajang di tiga lokasi lain malam ini.
Difahamkan, Presiden KEADILAN itu akan memulakan penerangan empat teras utama manifesto KEADILAN bagi pilihan raya kecil N25 Kajang yang dilancarkan hari ini.
Para pengundi DUN Kajang, orang ramai dan penyokong Pakatan Rakyat dialu-alukan hadir.
Berikut adalah lokasi program dan masa:
1) 9.30 malam – DM Taman Mesra, Depan Bilik Gerakan Taman Mesra (depan Restoran Maulana)
2) 10.00 malam – DM Kajang – Jalan Jelok 9, Kajang (depan KFC @ Metro Point Kajang)
3) 10.15 malam – DM Batu 10 – Depan Bilik Gerakan Batu 10 Jalan Cheras
4) 11.00 malam – DM Bandar Kajang – Stadium Kajang
*Nota: DM ialah Daerah Mengundi
“Shahidan masalah matematik, salah kira belanja penerbangan Rosmah”
KUALA LUMPUR 12 MAC: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim disifatkan sebagai Menteri yang mempunyai masalah matametik, kata ahli parlimen Seremban, Anthony Loke.
Katanya, Shahdan memberikan jumlah salah berhubung kos penerbangan yang diguna isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor bagi menghadiri satu persidangan di Qatar.
Loke menjelaskan, jawapan tersebut iaitu RM196,614.31 untuk kos bahan api dan RM229,875.15 bagi kos navigasi dan terbang lintas seharusnya berjumlah RM 426,489.46, bukannya RM349.489.46 seperti terkandung dalam jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.
“Jumlah sebenar yang budak sekolah boleh kira menggunakan kalkulator ini pun salah.
“Jawapan yang diberikan Menteri sangat tidak professional dan memalukan.
“Dia mungkin tidak pandai matematik,” kata Loke pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Loke menjelaskan bahawa pelepasan khas dan istimewa yang diberikan kerajaan kepada Rosmah jelas merupakan pembaziran wang rakyat.
Kata Loke, perbelanjaan itu dapat dikurangkan jika Rosmah menggunakan pesawat biasa untuk penerbangan keluar negara yang menurutnya hanya menelan belanja sebanyak RM15,000 untuk seorang penumpang bagi perjalanan pergi balik.
Shahidan pagi ini dalam jawapan kepada Loke menjelaskan kos penerbangan Rosmah ke ’4th Qatar International business Women Forum’ pada November 2013 berjumlah RM426,489.46.
“Penggunaan pesawat mewah seharusnya dihadkan bagi kegunaan Yang Dipertuan Agong serta Perdana Menteri sahaja untuk mengelakkan pembaziran ketika negara berhadapan masalah kewangan teruk,” katanya.
MH370: Status sebenar keupayaan Scorpene menjadi persoalan
Misi pencarian dan penyelamat bagi penerbangan MH370 masih lagi menemui jalan buntu walaupun telah memasuki hari yang kelima. Namun sehingga hari ini hasrat rakyat untuk melihat armada laut terbaik negara iaitu sepasang kapal selam scorpene beraksi dalam misi ini masih tidak kesampaian.
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) turut bersimpati dengan kejadian yang berlaku. Namun SAMM tetap bertegas bahawa mencari sesuatu yang ‘tidak kena’ itu bukan bermaksud tidak menghormati sensitiviti.
Ketika negara lain berlumba-lumba mengerah kepakaran dalam misi mencari dan menyelamat, termasuklah menghantar kapal kelas perang, kerajaan Malaysia melalui kementerian bertanggungjawab mengelak dari menggunakan kapal selam Scorpene.
Berikut adalah jawapan dari Dato’ Seri Hishamuddin dalam sebuah twit yang berbunyi;
“Our (Msian) Submarines are not designed for this operation. Its not the role for a submarines for Search & Resque #MH370″
Jawapan menteri ini telah menimbulkan lebih banyak polemik malah mencetus kemarahan orang ramai. Umumnya, tidak perlu belajar hingga ke Oxford untuk mengetahui sistem kelengkapan sonar yang terdapat dalam mana-mana kapal selam mampu mengesan dan menjejak objek di permukaan dan dasar laut.
Malah, satu laporan berita AFP bertarikh 3 September 2009 dengan jelas menyebut antara kemampuan kapal selam Scorpene yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia sedia untuk beroperasi dalam misi ‘Search & Rescue’.
Antara keratannya berbunyi;
“Naval officials said the submarine would be based in Sabah state, on Borneo island, where it will undergo fine-tuning before it is deployed in SEARCH and RESCUE”
Justeru, apakah Hishamuddin Hussin sebagai seorang menteri telah menipu rakyat Malaysia? Atau apakah kapal selam bernilai RM 7 bilion itu mempunyai masalah untuk beroperasi?
SAMM bukan sahaja menggesa persoalan ini dijawab segera oleh menteri, malah turut menuntut supaya dua kapal selam negara yang meragut wang rakyat hampir RM1bilion setahun untuk penyelenggaraan itu memulakan misi pencarian khususnya di dasar laut.
Segalanya masih belum terlambat kerana jika diimbas kembali, penerbangan Air France yang terhempas di lautan atlantik pada tahun 2009 hanya ditemui 5 hari selepas dilaporkan hilang. Maka Malaysia harus segera menghantar Scorpene, atau benarlah seperti yang dikhabarkan – Malaysia telah membeli kapal selam yang tidak boleh menyelam.
Sekian, SAMM mendoakan agar MH370 ditemui dalam keadaan selamat, inshaAllah.
EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda SAMM
March 11, 2014
LFL: Mansuh Akta Hasutan omong kosong Najib Razak
KUALA LUMPUR 12 MAC: Penggunaan Akta Hasutan secara berterusan menggambarkan kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya ‘omong kosong’ sedangkan pemansuhannya diumum beliau sendiri pada 11 Julai 2012.
Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Azman Abdullah menyabitkan Karpal Singh di bawah Akta Hasutan dan didenda RM4,000 serta bakal kehilangan kerusi Parlimen Bukit Gelugor yang disandangnya.
“Kami menegaskan bahawa dengan membuat komen berkaitan politik atau secara kritikal adalah tidak menjadi satu jenayah terutama sekali dalam kes Karpal.
“Ini kerana beliau hanya memberikan pendapat undang-undang mengenai krisis perlembagaan di Perak pada tahun 2009,” kata jurucakap Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen.
Katanya, hukuman berterusan terhadap Karpal, Anwar Ibrahim dikenakan lima tahun penjara dalam kes Fitnah II dan satu bulan penjara kepada Tian Chua menunjukkan kerajaan memulakan penganiayaan politik dan taktik kotor sebagai strategi.
Di bawah pentadbiran Najib Razak, salah guna Akta Hasutan semakin kritikal berikutan tuduhan yang belum selesai terhadap Tian Chua, Tamrin Ghafar, Haris Ibrahim, Safwan Anang , Adam Adli, Hishamuddin Rais, Suhaimi Shafie manakala Uthayakumar kini di penjara.
Eric turut mengkritik tindakan pejabat Peguam Negara dan polis yang turut terlibat dalam tuduhan palsu atau bermotifkan politik terhadap pembangkang.
“Ini melemahkan institusi undang-undang dan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran yang adil.
“Malaysia pasti mempunyai rekod buruk yang menggunakan undang-undang hasutan yang paling banyak di dunia.
“Hasutan merupakan satu kesalahan kuno dan tidak demokratik direka penjajah British, sudah tentu tidak diperlukan lagi oleh Malaysia,” katanya.
Polis ‘dirasuah’ syarikat balak, orang Asal teraniaya – Suaram
KUALA LUMPUR 12 MAC: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis menahan tiga penduduk kampung orang Asal di Lojing, Kelantan.
Ini berikutan tindakan polis menangkap dan mengancam orang Asal atas tindakan mereka membuat aduan salahlaku pegawai polis.
Menurut penyelaras Suaram R Thevarajan, orang Asal tersebut membuat laporan disiplin di Bahagian Tatatertib ibu pejabat polis Bukit Aman berikutan tiada tindakan polis Gua Musang terhadap warga asing yang menyerang penduduk kampung.
Malah, rasuah RM500 ditawarkan kepada polis oleh majikan pekerja asing itu untuk menyelesaikan kes tersebut.
“Suaram menyeru polis Gua Musang untuk membebaskan segera tiga penduduk kampung Orang Asli di Lojing , Kelantan yang telah ditangkap kerana cubaan mereka untuk menghentikan pencerobohan ke atas tanah adat mereka.
“Ketiga-tiga penduduk kampung itu, Anjang Itam , Rahman Uda dan Anis Akai sedang ditahan reman sehingga Rabu dan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana dikatakan memiliki senjata dalam rusuhan,” kata Thevarajan dalam kenyataan media.
Pada 26 Februari lepas, ketiga mereka membuat laporan polis berikutan serangan kira-kira 100 pekerja asing Myanmar semasa dalam perjalanan ke mesyuarat kampung.
Serangan yang mengakibatkan kecederaan itu dipercayai berikutan tindakan orang Asal suku Temiar itu menghentikan pencerobohan ke atas tanah mereka untuk projek pembalakan dan pertanian.
“Pasukan polis perlu menguatkuasa undang-undang secara profesional dan saksama dalam mengendalikan konflik dalam projek pembangunan dan tidak bersekongkol dengan majikan.
“Tan Sri Khalid Abu Bakar mesti memerintahkan Polis Daerah Gua Musang untuk melepaskan ketiga mereka serta-merta,” tegas Thevarajan.
AMK: Khairy Jamaluddin tak payah berlagak hero
Angkatan Muda Keadilan (AMK) ingin mengingatkan Ketua Pemuda UMNO agar jangan meludah ke langit kerana nanti akan jatuh ke muka beliau sendiri.
Amatlah aneh apabila Ketua Pemuda UMNO cuba berlagak hero kononnya pilihan raya Kajang sengaja dibuat kerana kita tahu pilihan raya kecil Balingian, Sarawak juga akan turut diadakan tidak lama lagi.
AMK ingin menegaskan bahawa boneka sebenar dalam pilihan raya kecil N25 Kajang ialah Chew Mei Fun yang diletakkan oleh UMNO-BN sebagai calon bagi menjustifikasikan amalan perkauman, kelemahan pentadbiran dan kezaliman UMNO selama ini.
Ini berbeza dengan Pakatan Rakyat, khususnya Keadilan yang jelas merupakan parti pelbagai kaum, diasaskan dan terus berjuang untuk menambah kecekapan pentadbiran serta tidak tunduk kepada sebarang tekanan daripada kezaliman UMNO-BN selama ini.
Sebagai tanda keseriusan dalam pilihan raya kali ini, Keadilan menawarkan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, iaitu Presiden parti sebagai calon. Beliau berpengalaman menjadi ahli parlimen, seorang yang mempunyai kelayakan pendidikan dan teruji dalam menggalas perjuangan rakyat.
Malah, dengan usaha untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Keadilan sebelum ini, jelas Keadilan mengambil risiko besar dan ini dibuat demi memastikan mesej reformasi bukan sahaja hanya disuarakan tetapi dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan cekap.
Bagaimanapun, umum maklum betapa kecutnya UMNO-BN apabila usaha meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon telah secara tergesa-gesa digagalkan melalui satu keputusan mahkamah yang sangat janggal sehingga nama negara tercalar apabila Bangsa Bersatu dan badan bersabit undang-undang dan keadilan dunia membuat kenyataan keperihatinan mereka.
Tindakan UMNO-BN ini bukan sahaja jijik tetapi menunjukkan dengan jelas bahawa mereka tidak pernah dan tidak akan berubah daripada mengamalkan cara politik kuno dan bankrap moral. Dan inilah yang cuba ditutup melalui pencalonan Chew Mei Fun. Daripada seluruh kenyataan ini, jelaslah Ketua Pemuda UMNO meludah ke langit.
Maka, AMK menyeru para pengundi di N25 Dewan Undangan Negeri Kajang untuk memilih Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai satu sokongan untuk reformasi dan penolakan terhadap politik jijik UMNO-BN.
SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Angkatan Muda Keadilan
Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka
11 Mac 2014
Empat teras manifesto KEADILAN bagi PRK Kajang
KAJANG 12 MAC: Calon pilihan raya kecil (PRK) KEADILAN N 25 Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini melancarkan ‘Manifesto Kajang’ yang mengandungi empat teras utama.
Empat teras tersebut adalah membanteras jenayah, meningkatkan keselamatan, menangani masalah kesesakan lalulintas, pembangunan anak muda dan usahawan kecil dan pembangunan serta penyenggaraan perbandaran.
Manifesto tersebut dicetak dalam bentuk poskad dengan gambar yang menarik dan ditandatangan sendiri oleh Wan Azizah.
Manifesto kali ini dicetak dalam bentuk poskad, tidak seperti buku dalam pilihan raya sebelum ini.
Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, poskad yang akan dicetak sebanyak 20,000 setiap teras itu akan diedarkan dari rumah ke rumah.
“Kita sudah ada analisis pengundi mengikut kawasan jadi poskad ini akan diedarkan mengikut situasi pengundi.
“Contohnya di kawasan yang mengalami masalah kesesakan kita akan edarkan poskad mengenai lalulintas.
“Di kawasan anak muda kita edarkan poskad mengenai anak muda,” kata beliau pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PRK N.25, dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai lalu lintas, Rafizi berkata, Wan Azizah akan melantik jururunding trafik bebas untuk menilai dan mengkaji penyelesaian kepada kesesakan lalu lintas di Bandar Kajang.
March 10, 2014
Penamaan calon: Penyokong Pakatan himpun di Pusat Latihan LHDN
KAJANG 10 MAC: Penyokong Pakatan Rakyat yang ingin hadir ke penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang digalakkan berkumpul di tempat letak kereta Pusat Latihan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke arah Pintu B (dari perumahan seksyen 15)
Penyokong digalakkan datang lebih awal, sebaik-baiknya sebelum jam 7.30 pagi bagi mengelakkan kesesakan.
Penyokong Pakatan Rakyat kemudiannya bersama pimpinan akan bergerak menuju ke Pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.
Bagi mereka yang menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) boleh mengambil jalan keluar di (exit) Bangi, menghala ke Universiti Kebangsaan Malaysia dan mengambil simpang kanan selepas bertemu bulatan.

Peta ke pusat penamaan calon PRK Kajang
Tempat berkumpul penyokong Pakatan Rakyat terletak di tempat letak kereta Pusat Latihan LHDN satu kilometer dari bulatan tersebut (Rujuk peta)
Seramai 39,278 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 38,055 pengundi biasa akan mengundi dalam PRK Kajang melibatkan 19,612 pengundi lelaki dan 19,666 pengundi wanita.
Tarikh PRK DUN Kajang adalah pada Ahad 23 Mac 2014, manakala pengundian awal akan dijalankan pada hari Rabu, 19 Mac 2014 membabitkan 1,977 pengundi.
Ceramah Perdana bersama Dr Wan Azizah di Kajang 9 malam ini
KAJANG 10 MAC: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail akan hadir ke program Ceramah Perdana di Tapak Karnival Usahawan, Jalan Jerlok 9, Pekan Kajang (depan KFC @ Metro Point Kajang).
Program Ceramah Perdana yang turut dihadiri pimpinan Pakatan Rakyat akan bermula jam 9 malam ini.
Manakala bermula jam 5 petang ini, Dr Wan Azizah akan bersama dalam program ‘Sepetang Bersama Anak Muda Sri Jenaris’ di Bilik Gerakan Daerah Mengundi Taman Kantan Permai, Kajang.
Penduduk Kajang dan orang ramai yang tinggal dikawasan berhampiran dialu-alukan hadir.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
