Suara Keadilan's Blog, page 365
March 14, 2014
Jerebu berulang saban tahun, kerajaan tidak serius tangani
(Azuan Ab Rahman)
KUALA LUMPUR 14 MAC: Masalah jerebu yang teruk melanda negara bukan satu fenomena baru dan berulang saban tahun hingga menyebabkan kesihatan rakyat terancam.
Pengerusi Biro Alam Sekitar KEADILAN, Lee Chean Chung berkata, kerajaan dilihat gagal dan tidak serius menangani masalah itu yang berlarutan sehingga kini.
“Sangat menyedihkan apabila kerajaan bersikap sambil lewa dalam menyelesaikan masalah ini, sedangkan kita tahu masalah jerebu ini satu ancaman kesihatan serius kepada rakyat.
“Ini masalah berulang yang setiap tahun, namun kerajaan seolah-olah tiada pelan nasional bagi mengatasi masalah ini. Dalam keadaan sekarang sesuatu patut dilakukan bagi menjamin kesihatan rakyat,” jelas Lee.
Lee yang juga ADUN Semambu, Pahang berkata, kerajaan seharusnya bersikap lebih proaktif menangani kemelut itu.
“Setiap tahun kita hadapi masalah ini, kerajaan seperti tiada kesungguhan politik membendungnya, penguatkuasaan lemah, keselamatan dan kesihatan rakyat juga seolah-olah tidak diambil berat.
“Ini sangat malang untuk rakyat negara ini. Kerajaan tiada pilihan lain selain segera cari jalan penyelesaian kepada masalah ini kerana rakyat sudah muak dengan kelemahan kerajaan,” tegas Lee.
Jerebu yang melanda negara kini semakin serius dan memuncak tambah lagi tiada langkah-langkah efektif lebih diambil kerajaan dalam menghadapi masalah tersebut.
Bacaan IPU di Pelabuhan Klang di dalam daerah Klang ialah 233 (sangat tidak sihat) pada 6 petang semalam, tetapi meningkat kepada paras berbahaya 352 setakat 7 pagi tadi.
Manakala IPU di Banting di daerah Kuala Langat ialah 189 (sangat tidak sihat) semalam dan meningkat kepada 316 (berbahaya) hari ini. Pada Jun tahun lalu masalah jerebu berulang menyebabkan Singapura dan Malaysia terjejas teruk.
Risalah fitnah Wan Azizah, Pakatan dijumpai di Bilik Gerakan BN
(Oleh Lyn Nasir)
KAJANG 14 MAC: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Kajang masuk hari keempat hari ini digemparkan dengan penemuan risalah fitnah terhadap calon KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN).
Perkara itu didedahkan Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafie pada sidang media di Bilik Gerakan Utama, Kajang, pagi tadi.
Menurut Shuhaimi, risalah fitnah tersebut antaranya bertajuk ’10 sebab pengundi Kajang perlu tolak Wan Azizah’, ‘Sate Town’ Kajang dan ‘Wadah PRU 13′ dijumpai oleh ejen pilihan raya KEADILAN.
“Risalah yang kita anggap sebagai propaganda kotor BN itu dijumpai oleh ejen kita semalam.
“Setakat ini risalah tersebut telah diedarkan di beberapa Daerah Mengundi antaranya Saujana Impian, Sungai Chua, Sungai Sekamat dan Sungai Kantan.
“Kita akan buat laporan polis selepas solat Jumaat di Balai Polis Kajang mengenai penyebaran fitnah ini,” jelas Shuhaimi yakin risalah tersebut diedarkan oleh BN.
Selain itu, menurut laporan media, turut diedarkan risalah fitnah bertajuk ‘Selangor Hari Ini’ mengandungi 16 muka surat.
Difahamkan, semua risalah berkenaan tidak mempunyai nama penerbit dan pencetak.
Risalah fitnah ‘Selangor Hari Ini’ antara lain di muka hadapannya memuatkan tulisan ‘ghairah jadi MB’ dan ‘Pakatan berpecah’, menampilkan gambar Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Wan Azizah pula turut dibandingkan dengan calon BN, Chew Mei Fun menerusi risalah ‘Sate Town’, pada versi yang berbeza.
Risalah empat muka surat itu antara lain memburuk-burukkan strategi ‘Langkah Kajang’ Pakatan Rakyat.
Ekoran itu, Shuhaimi yang juga Adun Sri Muda menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan segera berikutan penyebaran fitnah itu selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 Seksyen 11 (1) (C).
Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Pengarah PRK Kajang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Khalid Jaafar dan Adun Dusun Tua, Razali Hassan.
Ayam RM1: Najib persenda rakyat, jadi pak lawak
(Azuan Ab Rahman)
KUALA LUMPUR 14 MAC: Selepas isu kangkung, Perdana Menteri sekali lagi memperbodohkan rakyat yang sedang terhimpit dengan masalah peningkatan kos hidup dengan isu ayam berharga RM1 seekor.
Pengerusi Biro kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri ketika dihubungi menyelar sikap najib tersebut yang menurutnya sengaja mencari publisiti dengan cara memperbodohkan rakyat.
“Najib tak perlulah cari publisiti dengan menjadi pak lawak, kita perlukan seorang Perdana Menteri yang serius dan bertindak tegas dalam mencari penyelesaian terhadap masalah rakyat.
“Tak perlulah main-main dan memberi harapan palsu kepada rakyat, sedangkan semua rakyat tahu ayam yang dijual pada harga pasaran biasa tiada satu pun yang dijual dengan harga RM1,” jelas Yahya.
Tindakan itu jelasnya ialah petunjuk besar kepada kegagalan Najib mencari jalan penyelesaian atau idea bagi menyelesaikan masalah peningkatan kos kehidupan yang menekan hidup rakyat.
Najib pada Isnin lalu menasihatkan orang ramai supaya membeli belah secara bijak sebelum mengadu berhubung kenaikan harga barangan.
Beliau yang juga menteri kewangan berkata demikian selepas mendakwa telah berjaya membeli seekor ayam berharga RM1.
March 13, 2014
Teks perbahasan Anwar: Usul menjunjung kasih titah Agong
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Assalamu’alaikum warahmatullahir wabarukatuh.
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Al-Maidah 5:8
Mukaddimah
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Terlebih dahulu, saya melafazkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan inayahNya saya berpeluang mengambil bahagian membahaskan Usul Menjunjung Kasih di atas Titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung.
Dalam dewan yang mulia ini, saya ingin mempertegaskan pendirian Pakatan Rakyat bahawa kami menyatakan ikrar kesetiaan dan kasih tak berbelah bahagi kepada DYMM SPB Agong Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Pertama sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan simpati dan keprihatinan saya selaku Ketua Pembangkang Parlimen yang mewakili kesemua Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat terhadap insiden yang berlaku ke atas pesawat MH370 Penerbangan Malaysia ke Beijing pada hari Sabtu, 8hb Mac 2014.
Penjelasan Boikot
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Seterusnya saya ingin mengambil kesempatan dalam dewan yang mulia ini bagi menjelaskan tindakan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat memulau beberapa acara tertentu pada hari pembukaan Parlimen pada hari Isnin, 10hb Mac 2014.
Pada hari tersebut, Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah bersepakat untuk bertindak:
i. Tidak memakai pakaian rasmi Parlimen (Dress Code No. 1)
iii. Tidak menyertai perbarisan istiadat pembukaan Parlimen
iii. Memulau Majlis Minum Petang DiRaja.
Sebagai kesinambungan protes, kami juga mengambil keputusan memulau sesi pembukaan perbahasan usul yang dibentangkan oleh pencadang Ahli Barisan Nasional dan penyokongnya pada hari Selasa, 11hb Mac 2014.
Alasan Boikot
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Kami mempunyai alasan yang kukuh mengapa tindakan tersebut diambil. Pemulauan ini adalah suatu pernyataan protes yang telah dimaklumkan terlebih awal kepada SPB Yang Di-Pertuan Agung melalui surat saya kepada baginda pada awal pagi 10hb Mac 2014.
Dalam surat itu, saya selaku Ketua Pembangkang dan mewakili pimpinan Pakatan Rakyat telah menyatakan kepada Tuanku bahawa:
i. Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan hadir acara Majlis Perasmian Sesi Titah Diraja pada hari Isnin, 10hb Mac 2014 sebagai menghormati takhta SPB Agong.
ii. Pakatan Rakyat telah merafakkan maaf kepada SPB Agong kerana tidak hadir ke Majlis Jamuan DiRaja selepas Majlis Perasmian Parlimen. Ini adalah kerana Pakatan Rakyat membantah cara pemerintah dan proses kehakiman yang dilihat amat tergesa-gesa dan bersungguh-sungguh untuk menghukum saya di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada hari Jumaat, 7hb Mac 2014.
iii. Pakatan Rakyat menyelar tindakan kerajaan yang dilihat merestui proses kehakiman yang pincang yang gopoh lagi melampau menghukum saya. Ini hanyalah bertujuan untuk menghalang saya daripada bertanding dalam PRK DUN Kajang dan ini merupakan pengkhianatan terhadap aspirasi rakyat yang mahukan perubahan yang lebih baik.
Sekali lagi saya ingin mengulangi pendirian Pakatan Rakyat bahawa kami menjunjung kasih dan taat setia kepada SPB Agong.
Saya memberi amaran kepada Barisan Nasional agar tidak memutarbelitkan pendirian kami ini.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Pada hari semalam, media portal Malaysiakini melaporkan Timbalan Perdana Menteri mendakwa bahawa keputusan kehakiman ke atas saya tidak ada kena mengena dengan Barisan Nasional mahupun Kerajaan Persekutuan.
Ini adalah suatu kenyataan yang dangkal, yang cuba memutihkan tangan-tangan kotor yang berkonspirasi untuk mengaibkan saya dan menafikan keadilan terhadap diri saya serta menyekat agenda perubahan Pakatan Rakyat.
Tangan-tangan kotor ini telah sekian lama merencanakan konspirasi jahat lagi rakus dan zalim. Oleh yang demikian, saya tidak terkejut apabila pada hari Jumaat yang lalu Mahkamah Rayuan membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi yang telah membebaskan saya daripada tuduhan yang diatur sekian lama untuk mengaibkan peribadi saya.
Saya sedar dengan penuh yakin bahawa konspirasi politik peringkat tertinggi yang menghukum saya pada tahun 1998 dahulu kini berulang kembali dengan skrip yang usang.
Maka dengan itu, Pakatan Rakyat mengambil keputusan membantah sekeras-kerasnya cara pemerintah dan proses kehakiman yang menafikan keadilan dan proses kehakiman baru-baru ini.
Kami yakin wujud konspirasi politik dan persekongkolan aparat pemerintah untuk menghukum saya.
Konspirasi Politik
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Kami tidak syak lagi bahawa wujud konspirasi politik peringkat tertinggi sejak dari awal yang bertujuan memfitnahkan saya. Konspirasi ini telah bermula lebih awal daripada dakwaan palsu yang berupa fitnah yang terancang.
Pada 24 Jun 2008, YAB Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri sendiri mengaku bahawa beliau bertemu Saiful Bukhari Azlan.
Pertemuan itu diadakan di kediaman rasmi Najib Razak pada 26 Jun 2008, iaitu dua hari sebelum dakwaan fitnah Saiful terhadap saya. Ia turut dihadiri Rosmah Mansur isteri Perdana Menteri dan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Kemudiannya, barulah disusuli dengan aduan polis yang dibuat oleh Saiful pada 28hb Jun 2008.
Menurut laporan Malaysiakini bertarikh 3 Julai 2008, (TPM) Najib Razak mengaku bahawa Saiful datang menemuinya beberapa hari sebelum membuat aduan polis terhadap saya. Menurutnya lagi, Saiful menemuinya beberapa hari sebelum membuat aduan polis (28hb Jun 2008), bercerita mendakwa telah diliwat oleh saya yang didakwa Saiful berlaku pada 26 Jun 2008.
Pendek kata, ia begini Tan Sri Yang Di-Pertua; “Hari ini jumpa Najib, kemudian esok lusa buat cerita diliwat lagi dua hari.”
Ini cukup menghairankan dan merupakan lawak lucu politik.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Apakah tujuan dan motif pertemuan itu? Apakah ianya suatu kebetulan? Saya tidak dapat menerima sama sekali bahawa ianya adalah pertemuan yang disebutkan oleh Najib sebagai permohonan Saiful untuk mendapatkan biasiswa.
Ia tidak lain hanyalah suatu permulaan konspirasi terancang yang diatur dari awal untuk mengaibkan saya.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adalah antara individu yang turut hadir ketika Saiful bertemu Najib Razak di kediamannya pada 24hb Jun 2008.
Shafee kemudiannya telah dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya mewakili Jabatan Peguam Negara.
Bagaimana, dan mengapa, Jabatan Peguam Negara yang bertanggungjawab secara langsung kepada Perdana Menteri boleh menerima dan melantik Tan Sri Shafee Abdullah sebagai Timbalan Pendakwaraya dalam kes saya? Sedangkan beliau jelas mempunyai kepentingan peribadi memfitnahkan saya.
Beliau juga mempunyai kaitan peribadi dengan beberapa individu pimpinan tertinggi Umno.
Shafee pernah bertindak sebagai penasihat kepada Tun Dr Mahathir sewaktu pemecatan saya pada 1998.
Beliau adalah seorang peguam yang mempunyai hubungan rapat dengan Umno, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan YAB Najib Razak berkenaan pelbagai isu termasuklah, yang paling mengejutkan berhubung dengan perlantikan hakim.
Peguam Shafee juga pernah bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada Dr Mahathir di dalam pelbagai kes, termasuklah kes terhadap saya yang jelas meletakkan beliau dalam kedudukan konflik.
Shafee juga turut didorong untuk memastikan bahawa saya disabitkan dengan pertuduhan liwat kerana beliau terlibat secara langsung sebagai peguamcara bagi beberapa personaliti berprofail tinggi yang telah disaman fitnah oleh saya dan bergantung kepada pembelaan justifikasi bahawa saya adalah homoseksual.
Beliau pernah mewakili Abdul Razak Baginda (kawan karib Najib Razak) dalam kes pembunuhan Altantuya.
Perilaku Shafee serius dipertikaikan apabila beliau gagal melaporkan salahlaku Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail berhubung kes Pulau Batu Putih dan kes mata lebam saya seperti yang disebutkan dalam Akuan Bersumpah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim.
Persekongkolan Aparat Pemerintah (SPR & Badan Kehakiman)
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Selain daripada konspirasi politik peringkat tertinggi, saya amat yakin juga wujud persekongkolan aparat pemerintah secara terancang untuk menyekat saya daripada bertanding di Kajang.
Kerusi Kajang diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Selangor pada 27hb Januari 2014. Susulan daripada itu, SPR mengadakan mesyuarat pada 5hb Februari bagi menetapkan hari penamaan calon pada 11hb Mac 2014 (semalam). Penamaan calon itu ditetapkan 34 hari kemudian daripada tarikh mesyuarat SPR.
Bandingkan Kajang dan Balingian. Balingian diisytiharkan kosong pada 27hb Februari 2014. SPR bermesyuarat pada 6hb Mac 2014 dan memutuskan tarikh penamaan calon DUN Balingian pada 17hb Mac 2014, iaitu 11 hari kemudian.
Kajang, penamaan calonnya 34 hari selepas SPR bermesyuarat. Balingian cuma 11 hari. Bukankah SPR boleh menetapkan hari penamaan calon PRK Kajang yang lebih awal?
Balingian, sebaliknya membuktikan SPR boleh menetapkan lebih awal. Mengapa Kajang ditetapkan begitu lewat sehingga 34 hari, satu jadual yang panjang yang luarbiasa.
Apakah motif dan muslihatnya, jika tidak kerana ianya bertujuan untuk memberi masa kepada pihak tertentu mengatur konspirasi menghalang saya daripada bertanding di Kajang.
Apa yang dilihat kemudiannya, kes saya ditetapkan di Mahkamah Rayuan pada 6hb dan 7hb Mac 2014, iaitu empat hari sebelum penamaan calon PRK Kajang.
Ada beberapa persoalan yang ingin saya bangkitkan:
a) Mengapa SPR lewatkan tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi PRK Kajang?
b) Apakah ianya suatu kebetulan Mahkamah Rayuan Putrajaya menetapkan tarikh prosiding empat hari (7 Mac 2014) sebelum penamaan calon pada 11 Mac 2014?
Saya dihukum sebelum hari penamaan calon yang sekaligus menjadi alasan hilang kelayakan saya di Kajang.
Segala yang berlaku menjelaskan konspirasi politik dan persekongkolan aparat pemerintah yang diperalatkan untuk menafikan harapan rakyat daripada perubahan dengan cara memusnahkan karier politik saya.
Amat nyata aparat kerajaan – SPR dan badan kehakiman – diperguna dan diperalatkan oleh konspirator politik bagi mengatur langkah kotor, jijik dan zalim terhadap saya. Dan caranya terlalu bobrok, jelek, rakus dan hina.
Hukuman Terhadap Karpal
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Rakan saya, Ahli YB Bukit Gelugor semalam dihukum denda RM4,000 di bawah Akta Hasutan 1948. Beliau dihukum semata-mata kerana memberi pandangan terbuka mengenai krisis Perlembagaan Negeri Perak, yang berentetan daripada kerakusan Barisan Nasional merampas kuasa dari Pakatan Rakyat di negeri Perak pada tahun 2008 dahulu.
Beliau didakwa dan dihukum di bawah satu undang-undang yang lapok yang diwarisi dari zaman penjajahan Inggeris. Ia bertujuan untuk menyekat, menghalang dan mencengkam kebebasan bersuara.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
“Free speech when suppressed renders democracy to be meaningless.”
“Demokrasi hilang pengertiannya apabila kebebasan bersuara ditindas.”
Tindakan ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk membenamkan kebebasan bersuara dalam sistem demokrasi negara ini yang semakin pudar. Hukuman yang dijatuhkan pasti mengakibatkan YB Ahli Bukit Gelugor akan terlucut keanggotaannya dalam Parlimen ini. Jika rayuan yang bakal dikemukakannya ditolak.
Perlembagaan Persekutuan Perkara 48 (1) (e), memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Dewan Rakyat hilang kelayakannya jika disabitkan suatu kesalahan dalam mahkamah dengan hukuman penjara tidak kurang setahun atau didenda tidak kurang RM2,000 dan tanpa mendapat pengampunan.
Ini merupakan tindakan terbaru Barisan Nasional untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat dengan cara memperalatkan undang-undang zalim dan aparat badan kehakiman yang gagal mempertahankan hak-hak asasi manusia dan nilai-nilai demokrasi.
Konsensus Nasional
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Pakatan Rakyat sudah berkali-kali mengusulkan diadakan dialog di antara pihak Pakatan Rakyat dan Kerajaan supaya membincangkan dan mencari jalan keluar daripada masalah-masalah utama yang merasuk negara seperti isu perkauman, jenayah dan kenaikan kos kehidupan rakyat.
Isu perkauman dan agama yang diapi-apikan oleh pihak-pihak tertentu semakin agresif dan mencabar kewarasan.
Ini perlu ditangani dengan serius. Oleh kerana itu, Pakatan Rakyat telah menawarkan dialog melalui gagasan “Konsensus Nasional” kepada Kerajaan.
Pada hari ini, saya ingin pertegaskan bahawa tawaran tersebut ditarik balik.
Keputusan ini diambil berikutan reaksi hambar dan kelesuan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak mempertahankan keadilan dan seterusnya menjerumuskan kepincangan ketara badan kehakiman.
Kesimpulan
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Ini mungkin ucapan perbahasan saya yang terakhir bagi Parlimen Ke-13. Kepada para konspirator, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak gentar dengan permainan politik kotor, jijik dan amat terkutuk.
Saya yakin dan percaya rakyat tidak akan mudah terpedaya dengan politik murahan yang dicanangkan selama ini untuk memusnahkan karier politik saya dan menghalang kemaraan Pakatan Rakyat membebaskan Putrajaya daripada kebobrokan, kebejatan, kegelojohan dan kerakusan kuasa Barisan Nasional.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Saya boleh dipenjarakan untuk lima tahun lagi. Saya sudah melalui dua tahun tahanan ISA. Saya sudah melalui ujian fitnah sehingga merengkok di dalam penjara selama enam tahun.
Jika tindakan Barisan Nasional ini bertujuan untuk melemahkan dokongan rakyat terhadap agenda reformasi, saya pertegaskan pada hari ini, dalam dewan yang mulia ini, kebangkitan rakyat adalah suatu yang pasti mampu merobohkan tembok kepalsuan, fitnah, kezaliman dan rasuah Kerajaan Barisan Nasional.
Saya dan mungkin ramai lagi rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat akan terhukum. Namun, saya yakin dan percaya kerakusan kuasa Barisan Nasional ini tidak mungkin berupaya memadamkan bara, api dan obor perjuangan rakyat.
Sekian, saya menyokong.
* Anwar Ibrahim adalah Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum KEADILAN
Siasat siapa bagi lampu hijau kepada bomoh ’1Malaysia’ – Anwar
(Oleh Lyn Nasir)
KUALA LUMPUR 13 MAC: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa siasatan segera terhadap bomoh yang melakukan upacara di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kononnya bagi membantu menjejak kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
“Saya nak tahu siapa yang suruh, siapa yang membayar mereka, siapa yang membenarkan? Apakah ini bomoh ’1Malaysia’?
“Mana pergi Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)? Mana pergi menteri yang membiarkan perkara itu berlaku?
“Bila bomoh buat sebegitu, panggil pula media antarabangsa (buat liputan), tak malukah kita? Ini (perbuatan) syirik,” tegasnya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut mempertikai kenyataan salah seorang menteri yang dilapor Utusan Malaysia Selasa lalu sebagai berkata, bahawa tidak salah menggunakan bomoh untuk membantu siasatan.
“Yang melaporkan itu adalah Utusan, media Umno, kita semua tahu. Biasalah media Umno dikawal oleh kerajaan, bila datang media bebas antarabangsa, semuanya kelam kabut,” kata Anwar.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, untuk mengelak sebarang kecelaruan, seharusnya lebih baik hanya seorang sahaja yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan insiden tersebut.
“Kenyataan mesti disahkan, bila ada satu-satu kenyataan, mesti ada siasatan penuh, sebab kalau tidak, ia memalukan negara.
“Ini tidak, seorang cakap macam itu, seorang (lagi) cakap macam ini, polis pula kata lain. Ini akan menampakkan kelemahan kita dalam mengurus isu sebegini.
“Jangan pula kata kita (Pakatan Rakyat) sengaja politikkan (isu), sebab ini melibatkan nyawa awam,” ujarnya.
Laporan media sebelum ini menyatakan, KLIA gempar dengan kehadiran bomoh berkenaan yang melakukan ritual seperti menaiki tikar terbang dan menggunakan teropong buluh untuk mengesan pesawat MAS yang hilang.
Pesawat Boeing 777-200 itu berlepas dari Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lalu dan dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.
Pesawat dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi.
Penerbangan itu membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal hilang dari imbasan radar pada 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.
Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia.
Sehingga kini, usaha pencarian enam hari berturut-turut masih belum menemui kehilangan pesawat tersebut.
March 12, 2014
Pusat diminta tangguh rasmi KLIA 2 selagi kerja selenggara belum siap
(Oleh Lyn Nasir)
KUALA LUMPUR 13 MAC: Kerajaan Pusat diminta menangguhkan perasmian terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) berikutan kerja penyelenggaraan dan kerosakan yang perlu diperbaiki dan diragui dapat disiapkan sebelum dirasmi.
Ini ekoran pengumuman Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kerajaan tetap akan meneruskan pembukaan KLIA 2 pada 2 Mei ini.
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, KLIA 2 yang kini masih menjalani proses penyelengaraan antaranya akibat retakan yang berlaku pada paip dan sistem perparitan tidak boleh dibuka selagi kerja-kerja berkaitan belum siap sepenuhnya.
“Kenapa tak tunggu sampai semuanya siap, kemudian baru rasmi?
“Kenapa perlu tergesa-gesa sampai pendekkan tempoh ujian yang sepatutnya dibuat selepas pembaikan selesai?” kata Lip Eng pada sidang media di Parlimen hari ini.
Menurutnya, jika perasmian diteruskan pada tarikh tersebut, sudah pasti wang rakyat dibazirkan untuk itu.
Lebih buruk kata Lip Eng, sehingga kini pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih gagal menerima Sijil Penyiapan dan
Pematuhan (CCC), walaupun ia bakal dibuka dalam waktu terdekat.
“Kalau betul mereka mahu rasmikan juga pada Mei ini, jelas mereka akan membazirkan wang rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam sidang media sama berkata, penyelenggaraan tersebut memerlukan 9 bulan untuk MAHB menjalani latihan Operasi Kesediaan dan Pemindahan (ORAT) sebelum dilaksanakan dengan lebih komprehensif.
“Satu pemeriksaan susulan telah dijalankan dan mendapati kerja-kerja perparitan masih dilakukan dan dijangka siap pada April 2014.
“Tapi selepas selesai pembaikan tersebut, latihan ORAT selama 9 bulan perlu dijalankan, sampai sekarang, CCC masih belum diperolehi.
“Sebab itulah perasmian tersebut perlu ditangguhkan,” kata Tony.
Sehingga kini, tiada sebarang penjelasan daripada Hishammuddin mengenai rekahan di permukaan jalan rayap dan di landasan sepanjang 3.96 kilometer, selain keretakan di kawasan apron dan tempat parkir pesawat.
Penjelasan itu dituntut Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar merujuk laporan media yang mendedahkan beberapa gambar rekahan tersebut.
Walkabout antara program seharian Wan Azizah di Kajang hari ini
KAJANG 13 MAC: Jadual Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada hari ketiga kempennya sebagai calon KEADILAN N25 Kajang padat, dipenuhi program sana sini seharian bersama penduduk, antaranya walkabout di Pasar Malam Sungai Sekamat, pada 5.30 petang ini.
Sebelum itu, seawal jam 8 pagi tadi, beliau ke Pasar Kajang bertemu dan bermesra bersama para peniaga termasuk membeli sedikit barang keperluan dapur.
Program diteruskan dengan sesi bermesra dengan wanita yang menyertai kuliah di Surau Saujana Impian pada jam 9.30 pagi.
Selang beberapa jam, Wan Azizah kemudian meneruskan gerak kerja beramah mesra dengan wanita di rumah Imam Raslan di Jalan Punai Batu 10, Jalan Cheras pada 4 petang.
Selesai program walkabout, beliau dijadualkan bergegas pula ke Tayangan Wayang Rakyat di Pasar Malam Sungai Chua, selepas maghrib.
Wan Azizah kemudiannya akan menunaikan solat Isya’ dan interaksi bersama jemaah di Surau Saujana Impian kira-kira jam 8.45 malam.
Selepas itu, waktu yang dinanti-nantikan rakyat, sesi ceramah yang dimulakan di Daerah Mengundi (DM) Sungai Chua bertempat di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Baru Sungai Chua.
Selanjutnya pada jam 9.30, beliau meneruskan ceramah di DM Bandar Kajang iaitu di Jalan Avenue, Kajang (sebelah Sekolah Yu Hua/Hailam Kopitiam).
Program diteruskan dengan satu lagi ceramah di DM Sungai Kantan yang diadakan di Pusat Komuniti Sungai Kantan kira-kira jam 10.15.
Manakala dua program terakhir adalah Ceramah Karnival dijadual berlangsung serentak di Stadium Kajang, dan lagi satu di Jalan Jelok 9 (depan KFC@Metro Point Kajang) pada jam 10 malam.
Mana ada harga ayam RM1 seekor, kata peniaga kepada Wan Azizah
KAJANG 13 MAC: Tiada ayam yang dijual RM1 seekor sepertimana yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata calon KEADILAN N25 Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau menyatakan perkara itu berdasarkan pemerhatiannya di Pasar Kajang pada sesi bertemu peniaga jam 8 pagi tadi.
Wan Azizah turut bertanya beberapa peniaga ayam sama ada mereka ada menjual ayam dengan harga RM1 seekor.
“Saya tanya peniaga ayam, ayam seringgit ada? Mereka cakap tak ada. Mereka terus tunjuk tanda harga yang ditulis ayam sekilo RM8.40,” jelasnya kepada pemberita.
Menurutnya, Pasar Kajang perlu diberi perhatian khususnya dari segi infrastruktur yang perlu diperbaiki dan paling penting adalah kebersihan.
“Hari ini kita hanya bertemu peniaga di sini, sebagai memperkenalkan calon dan kita akan adakan pertemuan selanjutnya dengan peniaga.
“Kita akan senaraikan keutamaan dan perkara yang pertama kita perlu buat,” katanya, lapor Harakah Daily.
Pada kesempatan itu, Wan Azizah turut membeli petai dan diberi sejambak bunga ros oleh peniaga di situ.
“Semalam saya pergi pasar malam, saya dapat nangka madu dan daging. Saya dapat petai dan saya akan masak sambal petai,” ujarnya mengakui petai adalah ulam kegemarannya.
Pasar Kajang merupakan satu-satunya pasar di Kajang, menyebabkan ia menjadi tumpuan utama penduduk.
Pelbagai barangan yang boleh diperoleh di Pasar Kajang dari barangan basah, kering, serta pakaian juga terdapat beberapa kedai borong yang turut menjadi tumpuan para peniaga kecil-kecilan.
Lim Guan Eng: Dr Wan Azizah pilihan untuk Kajang, Selangor & Malaysia
Setelah gagal mengalahkan Pakatan Rakyat melalui peti undi pada PRU ke 13, apabila BN kalah undi popular dengan Pakatan Rakyat yang berjaya meraih 51% sokongan majoriti, kerajaan BN kini memilih jalan penindasan politik untuk mengalahkan pimpinan Pakatan Rakyat dengan cara yang kotor.
Dalam minggu lalu sahaja, kita telah menyaksikan dua sabitan terhadap kepimpinan utama Pakatan Rakyat, yang telah sentiasa mengalahkan BN di peti undi. Ketua Pembangkang merangkap ketua Pakatan Rakyat telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan liwat, manakala Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh, yang kebetulan merupakan peguambela utama Datuk Seri Anwar, turut disabitkan dengan kesalahan menghasut dan dihukum denda RM4,000 oleh Mahkamah.
Kedua-dua penyabitan tersebut sekaligus menyebabkan Anwar dan Karpal hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Pun begitu, meskipun penyingkiran keduanya sebagai Ahli Parlimen akan ditangguh sementara menanti rayuan, kedua-dua Anwar dan karpal hilang kelayakan untuk bertanding sebagai calon dalam pilihanraya, justeru menimbulkan keperluan untuk meletakkan isteri Datuk Seri Anwar, Datin Seri Wan Azizah sebagai calon dalam pilihanraya kecil Kajang.
DAP secara keras mengecam tanpa syarat salahguna kuasa dan pemangsaan politik oleh Jabatan Peguam Negara. Hakikatnya, dalam mana-mana negara yang bebas dan demokratik, kes Anwar dan Karpal tidak langsung akan dibawa ke mahkamah, berikutan kurangnya bukti di pihak pendakwaan. Malah, Anwar dan Karpal kedua-duanya telah dibebaskan dalam kedua-dua kes, sebelum rayuan Jabatan Peguam Negara.
Tambahan pula, aturan masa untuk penyabitan dan penghukuman juga turut menimbulkan syak, memandangkan ia telah diawalkan dan disegerakan demi mengganggu rencana Anwar untuk bertanding dalam PRK Kajang. Ini menguatkan dakwaan intimidasi politik dan telah mengundang kecaman serta hinaan dari dalam dan luar negara.
Contohnya, timbalan pengarah Human Rights Watch di Asia, Phil Robertson, telah berkata bahawa perbicaraan Anwar adalah demi menamatkan kerjaya politik beliau dan kerajaan bersedia melakukan apa sahaja untuk memastikan itu terjadi.
Sementara itu, International Commission of Jurists (ICJ) mengutuk pensabitan Anwar sebagai kegagalan dalam melaksanakan keadilan, sambil mengatakan bahawa ia menimbulkan syak-wasangka terhadap kebebasan dan kesaksamaan badan kehakiman Malaysia serta mencemarkan reputasi sistem undang-undang negara. ICJ juga mengulas pensabitan Karpal dengan berkata bahawa keputusan tersebut menunjukkan kurangnya hormat kerajaan terhadap kebebasan bersuara dan ia tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa.
Di dalam negara, kes-kes ini telah mengundang kutukan hebat daripada oraganisasi seperti Majlis Peguam, Suaram dan Lawyers for Liberty, yang mengatakan bahawa pensabitan tersebut menguatkan kembalinya pentadbiran otoritarian dan kuku besi serta mendedahkan kelayakan palsu Najib Razak sebagai seorang reformis. Ramai yang turut menyebut tentang ketidaksekataan kerajaan dalam menggunakan Akta Hasutan yang sudah lapuk, yang Perdana Menteri Dato’ Sri Najib sendiri telah berjanji untuk mansuhkan.
Kegagalan Perdana Menteri untuk menepati janji memansuhkan Akta Hasutan beserta eksploitasi berterusan undang-undang lapuk demi menewaskan lawan politik sedang membawa kepada era baru penindasan. Dengan ramai lagi aktivis rakyat dan pemimpin Pakatan Rakyat menanti giliran untuk berdepan dengan mahkamah atas dakwaan hasutan dan lain-lain lagi, wujud kebarangkalian bahawa ramai lagi pimpinan Pakatan Rakyat yang akan disabitkan kesalahan dengan cara yang serupa.
Oleh yang demikian, adalah sangat mustahak bagi rakyat Malaysia untuk bangkit dan mempertahankan hak asasi yang dijamin Perlembagaan untuk kedaulatan undang-undang, keadilan buat semua dan kesaksamaan tanpa mengira batas. Ini menjadikan PRK Kajang satu ujian penting untuk memutuskan sama ada keadilan menjadi mangsa kekuasaan ataupun menjaga kepentingan rakyat biasa.
Ia sudah bukan lagi sekadar satu pilihanraya kecil untuk satu kerusi DUN di Selangor, malah satu pertarungan hebat demi kuasa rakyat, kemakmuran, kestabilan dan maruah nurani menentang kezaliman, intimidasi dan penindasan oleh kerajaan BN.
Oleh itu, DAP menyeru semua pengundi Kajang serta seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong Kak Wan sebagai pilihan moral, bukan sahaja demi pengundi Kajang bahkan demi Selangor dan Malaysia.
Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan
12 Mac 2014.
Kerajaan mungkir janji bina SJKT, pengundi Kajang adu MP KEADILAN
(Azuan Ab Rahman)
KUALA LUMPUR 12 MAC: Ahli Parlimen Subang, Sivarasah Rasiah menerima satu memorandum disampaikan sekumpulan pengundi masyarakat India Kajang bagi diserahkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan
Menurut Sivarasa, pengundi Kajang menuntut janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan sendiri kelulusan permohonan masyarakat India untuk membina enam Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT).
“Kita merasa sangat sedih dan kecewa, Ini hanya janji kosong. Tidak ada satu pun sekolah yang dijanjikan itu dibina termasuk di Bandar Mahkota Cheras Kajang setelah dua tahun diumumkan,” kata Sivarasa ketika ditemui Keadilandaily di Parlimen hari ini.
Tambah Sivarasa, pengumuman Najib pada Januari 2012 Itu hanya satu janji kosong bagi menarik sokongan masyarakat India.
“Kerajaan seharusnya membina segera sekolah yang dijanjikan. Ia sangat pening bagi menampung pelajar yang semakin bertambah sekarang,” katanya.
Meragui kesungguhan menunaikan janji, Sivarasa turut menggesa kerajaan Pusat memulangkan kawasan yang dijanjikan bagi pembinaan SJKT di Kajang supaya boleh dibina sendiri oleh kerajaan Pakatan Rakyat.
” Kalau kerajaan Barisan Nasional tak sanggup bina sekolah yang telah dijanjikan itu, pulangkan semula tapak Itu kepada kerajaan negeri Selangor.
“Biar kami kerajaan Pakatan Rakyat yang bins sekolah tersebut,” ujarnya.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
