Suara Keadilan's Blog, page 368
March 8, 2014
Anwar tulis kepada YDPA, tak hadir jamuan diraja
SHAH ALAM 8 MAC : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menulis surat kepada Yang Dipertuan Agong bagi menyatakan pendiriannya untuk tidak menghadiri majlis jamuan diraja selepas pembukaan parlimen Isnin depan.
Keputusan tidak menghadiri majlis tersebut sebagai tanda bantahan terhadap keputusan mahkamah rayuan, yang mensabitkan beliau bersalah dalam kes Fitnah II, semalam.
Ini kerana jamuan berkenaan akan turut dihadiri ketua hakim negara, selain perdana menteri dan barisan menteri kabinet yang dilihat campurtangan dalam keputusan mahkamah.
“Buat apa nak senyum hipokrit dengan orang yang zalim dan takbur? Buat apa nak hormat ketua hakim negara yang tak hormat perlembagaan dan undang-undang yang menjadi alat perkakas pemimpin?” soalnya dalam ucapan penggulungannya di konvensyen Pakatan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun katanya lagi, beliau hanya akan menghadirkan diri dalam ucapan Yang Dipertuan Agung, sebaliknya beliau dan pimpinan Pakatan rakyat tidak akan bersama dengan ahli parlimen BN dalam upacara perbarisan 10 Mac ini.
“Saya dan pimpinan bersedia dan setia akan menghadap Yang Dipertuan Agung bila-bila masa walaupun tanpa jamuan,” katanya.
MAS usaha kesan pesawat, ahli keluarga di Beijing berang
KUALA LUMPUR 8 MAC: Malaysia Airlines (MAS) berusaha sedaya upaya mengesan pesawatnya yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing berdasarkan kedudukan terakhir sebelum ia terputus hubungan radar.
Eksekutif Perhubungan Media dan Komunikasi Strategik MAS, Malini Saudranrajan dipetik sebagai berkata, kedudukan terakhir pesawat yang diketahui ialah 065515 Utara (longitud) dan 1033443 Timur (latitud).
“Malaysia Airlines masih tidak dapat menghubungi atau menentukan kedudukan pesawat penerbangan MH370,” katanya dalam satu kenyataan disiar Bernama.
Beliau berkata MAS sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan memberi jaminan semua sumber telah digunakan untuk membantu dalam gerakan mencari dan menyelamat.
Sementara itu, media melaporkan waris penumpang pesawat MH370, diberitahu supaya bersedia untuk diterbang ke lokasi yang tidak dinyatakan pada pukul 6 petang hari ini.
Dalam pada itu, Malaysiakini melaporkan, ahli keluarga penumpang pesawat MH370 berang kerana mengadu tidak mendapat maklumat perkembangan terkini.
AFP melaporkan keluarga penumpang rakyat China dalam pesawat yang hilang itu, berkumpul di sebuah hotel di Beijing dan ada yang berang kerana tidak dikemaskini maklumat mengenainya.
“Mereka sepatutnya memberitahu kita sesuatu sebelum ini,” kata seorang lelaki dari bandar di utama China, Tianjin yang dipetik oleh AFP.
“Kami tidak diberitahu apa-apa tentang perkara ini. Saya tidak tahu mengapa mereka tidak mengeluarkan apa-apa maklumat,” kata seorang lelaki yang lain.
Terdahulu, ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyeru rakyat Malaysia mendoakan untuk keselamatan semua penumpang pesawat.
“Marilah kita sama-sama mendoakan untuk keselamatan pesawat Malaysia Airlines MH 370 serta semua penumpang dan anak kapal Malaysia Airlines yang terputus hubungan dengan kawalan trafik,” tulisnya di Twitter hari ini.
Penerbangan MH370, sebuah pesawat Boeing 777-200 dalam perjalanan ke Beijing dari KLIA, hilang di ruang udara Vietnam. Tentera laut Vietnam mendakwa pesawat itu terhempas di perairan mereka, tetapi kerajaan Malaysia masih berusaha mengesahkan ini.
Pesawat itu membawa 239 penumpang, termasuk 12 anak kapal. Terdapat 152 warga China dan 38 rakyat Malaysia dalam pesawat itu. Setakat ini, pihak berkuasa Vietnam, Malaysia dan China sedang melancarkan misi bersama mencari dan menyelamat.
Pakatan tak goyah, PRK Kajang jadi mahkamah rakyat- Anthony loke
(Oleh: Azuan Ab Rahman)
SHAH ALAM 8 MAC: Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, cubaan Umno Barisan Nasional untuk memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan sama sekali melemahkan Pakatan Rakyat.
Katanya, tindakan mahkamah rayuan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar jelas bertujuan untuk menyekat ketua umum KEADILAN itu daripada bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang.
Bagaimanapun katanya, usaha itu tidak akan menggoyahkan Pakatan Rakyat, sebaliknya akan mengukuhkan lagi perpaduan antara parti dalam gabungan itu.
” Jangan BN ingat penjarakan Anwar dapat lemahkan pakatan, kita tidak akan berkubur, tetapi akan jadi semakin kuat.
” Lihat sahaja hikmah dari peristiwa tahun 98, Kezaliman yang berlaku terhadap Anwar telah berjaya membawa PAS dan DAP duduk semeja bersama PKR,” tegas Anthony dalam konvenysen Pakatan Rakyat kali ke lima yang diadakan di Shah Alam hari ini.
Justeru, beliau menyeru rakyat bangkit menolak kerajaan Barisan Nasional dengan menjadikan PRK Kajang ini sebagai referendum dan hukuman daripada rakyat ke atas mereka.
“Jadikan PRK Kajang sebagai Mahkamah Rakyat untuk kita jatuhkan hukuman kepala Barisan Nasional,” tegasnya.
Bantah salahguna mahkamah, Pakatan boikot sidang parlimen 11 Mac
SHAH ALAM 8 MAC: Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini membuat ketetapan bahawa ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak akan hadir pada sidang parlimen 11 Mac ini.
Ia ekoran tindakan mahkamah mengenakan hukuman penjara lima tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keputusan yang bakal dikenakan terhadap Karpal Singh di bawah Akta Hasutan.
Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, serta Setiausaha organisasi DAP, Loke Siew Fook.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Pakatan akan menghadiri majlis perasmian sidang Parlimen dan Titah Yang di-Pertuan Agong yang akan berlangsung sehari sebelum itu.
Selain itu, keputusan itu juga diambil sebagai persediaan untuk bersama calon Pakatan Rakyat pada hari penamaan calon pada Pilihan raya Kecil DUN Kajang yang ditetapkan 11 Mac.
“Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak akan hadir di Parlimen sebagai tanda bantahan terhadap salah guna badan kehakiman, solidariti untuk Karpal Singh, dan untuk bersama calon Pakatan Rakyat pada penamaan calon Pilihan raya Kecil DUN Kajang,” jelas kenyataan itu lagi.
Menurut mereka, keputusan mahkamah memenjarakan Anwar dan tindakan terhadap Karpal merupakan bukti terang bagaimana Umno-Barisan Nasional terus menyalahguna institusi kehakiman.
“Umno BN tidak pernah belajar daripada hukuman rakyat bermula sejak peristiwa 1998, justeru mereka mengulangi kesilapan tersebut ke atas kedua-dua pemimpin Pakatan Rakyat ini,” tegasnya.
Sebaliknya, katanya mereka, Umno BN terus menunjukkan keangkuhan, apabila enggan melakukan reformasi tulen ke atas institusi-institusi penting negara termasuklah institusi kehakiman.
“Hal ini kerana ia satu-satunya jalan yang menjamin kelangsungan Umno-Barisan Nasional untuk kekal berkuasa,” kata kenyataan tersebut.
Umno cari jalan untuk penjarakan Anwar – Rafizi
(Oleh: Lyn Nasir)
SHAH ALAM 8 MAC : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata sistem kehakiman negara tidak boleh dipercayai kerana mudah dipengaruhi kerajaan minoriti, Umno BN.
Jelasnya lagi, campur tangan kerajaan dalam sistem kehakiman jelas apabila kerajaan mengulangi apa yang dilakukan pada 1998 di mana kerajaan mempengaruhi mahkamah bagi menjatuhkan musuh politik mereka.
“Dari muda sampai rambut saya botak, tapi sistem kehakiman Malaysia masih lagi macam 1998.
“Umno akan mencari jalan untuk memenjarakan Anwar, kalau tak hari ni, esok atau lusa atau sebelum Pilihan raya.
“Sebab mereka takut, kalau tidak, Umno BN pasti akan tumpas dalam pilihanraya akan datang,” Katanya pada sesi pidato ‘Pakatan Membela Rakyat’ dalam Konvensyen Pakatan Rakyat.
Jelasnya lagi, jika kes fitnah 1 melahirkan generasi reformasi, beliau berharap keputusan penghakiman kes finah 2 kini melahirkan lebih ramai pejuang muda yang bangkit untuk menegakkan keadilan.
“Selagi Umno BN tidak ditewaskan, selagi itulah kezaliman akan bermaharajalela di Malaysia. Dan selagi kita tak hancurkan Umno dan BN, maka yang akan hancur adalah kita dan kesatuan antara kita,” ujarnya
March 7, 2014
Umno BN tetap akan kalah di Kajang- Anwar
(Oleh: Lyn Nasir)
SHAH ALAM 8 MAC: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno BN tetap akan tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 DUN Kajang, meskipun beliau tidak dapatbertanding susulan keputusan mahkamah rayuan mensabitkan beliau bersalah dalam kes Fitnah 2.
Katanya, strategi kerajaan untuk mensabitkan beliau bersalah jelas dilihat ekoran keputusan tergesa-gesa mahkamah rayuan. Sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menetapkan tempoh yang lama untuk PRK Kajang selepas kerusi itu dikosongkan.
Manakala peguam beliau, Karpal Singh pula didapati bersalah oleh mahkamah pada Februari lalu atas kesalahan menghasut di bawah Akta Hasutan.
“Jelas kita nampak mereka gunakan mahkamah untuk perkara sebegini, tapi Umno BN tetap akan tewas di kajang.” jelasnya dalam sidang media selepas perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke 5 di Shah Alam, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan tersebut tidak mampu meraih undi penduduk kajang, sebaliknya mengundang kemarahan rakyat seluruhnya.
“Ini bukan soal saya atau Karpal, tapi saya menyeru kepada rakyat semua untuk bangkit menuntut keadilan dan tolak penindasan,” tegasnya.
Pakatan zahir sokongan terhadap Anwar
SHAH ALAM 8 MAC: Pakatan Rakyat menzahirkan sokongan penuh terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan di Setia City Convention Centre, hari ini.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, tanggal 7 Mac yang mensabitkan Anwar dengan hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan dalam keadaan tergesa-gesa itu merupakan satu titik sejarah hitam yang tidak akan melemahkan Pakatan Rakyat.
Sebaliknya, tegas beliau keputusan itu akan memperkuatkan lagi Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Kajang.
“7 Mac, Datuk Seri Anwar dihukum lima tahun penjara, kita lihat kerja yang mereka lakukan termasuk mempercepatkan perbicaraan hingga mahkamah semalam kerja lebih masa dengan harapan kononnya dapat menamatkan karier politik akan memperlahankan kemaraan kita ke Putrajaya.
“Peristwa 8 Mac ini, dengan adanya konvensyen ini akan memperkuatkan lagi PR dan Kajang akan menjadi ukuran yang begitu besar dengan kejayaan pada 23 Mac nanti,” tegas beliau ketika ucapan perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat, pagi ini.
Tambah Mohamad, kerajaan atau Umno boleh mengambil apa sahaja yang mereka inginkan, namun tidak boleh mengambil semangat rakyat yang bangkit bersama perjuangan Pakatan Rakyat.
Sokongan tersebut turut dizahirkan Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai yang menyifatkan keputusan itu sebagai perancangan tersusun bertujuan memusnahkan Pakatan Rakyat dan BN boleh terus merompak harta rakyat.
“Segala penganiayaan, penjara, pendakwaan, dan kezaliman akan kita atasi bersama kerana kebaikan akan menang ke atas kejahatan, kerana cahaya akan mengatasi kegelapan,” katanya, lapor Harakahdaily
Dalam pada itu, beliau menyeru pimpinan dan anggota Pakatan Rakyat bersedia dengan taktik kotor BN dan menguatkan Pakatan agar perjalanan ke Putrajaya berjaya.
KEADILAN lancar Reformasi 2.0, kaji untuk ke jalan raya
KAJANG 8 MAC: Beberapa jam selepas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan atas tuduhan liwat dan dijatuhkan lima tahun penjara, para penyokongnya berhimpun di Kajang menggesa kejatuhan BN.
Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali mengisytiharkan permulaan Reformasi 2.0 di hadapan 500 orang di pusat gerakan pilihan raya parti itu di Kampung Sungai Sekamat, Kajang.
Beliau bertanya kepada hadiran sama ada mahu berjuang melalui pilihan raya atau turun ke jalanan, dan mereka bersorak tanda bersetuju.
“Walaupun kita menang dengan 52 peratus undi, tapi mereka masih berkuasa,” katanya.
Azmin berkata Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan membuat keputusan esok sama ada untuk turun ke jalanan.
“Jika kita umumkan esok jam 9 malam di Dataran Merdeka, adakah anda bersedia? Jika kita umumkan esok jam 3 petang di Jalan Tuanku Abdul Rahman, adakah anda bersedia?” tanya Azmin dengan disambut oleh hadirin seperti dilapor Malaysiakini.
Pas bersama Anwar hingga kezaliman runtuh – Hadi Awang
KUALA LUMPUR 7 MAC: Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu kesal dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang tergesa-tergesa menjatuhkan hukum bersalah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Abdul Hadi berkata Pas dan rakyat bertegas bahawa keadilan mesti ditegakkan dengan telus dan bermaruah serta dilihat ditegakkan dengan teliti, cermat dan adil mengikut prinsip undang-undang yang bebas.
“Apatah lagi sekiranya kita merujuk kepada sistem keadilan perundangan Islam yang menekankan bahawa sedikit sahaja keraguan dalam proses perbicaraan itu sudah cukup untuk membebaskan seseorang yang didakwa.
“Prinsip keadilan sebegini tidak dapat dilihat dalam kes yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini dengan sendirinya akan berterusan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dalam negara kita ini,” katanya dalam satu kenyataan yang disiar Malaysiakini.
Beliau juga berkata Pas berkongsi kekecewaan itu dengan anggota keluarga Anwar terutama isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini.
“Pas akan terus memberikan segala bentuk sokongan kepada beliau dan ahli-ahli KEADILAN, serta seluruh penyokong Pakatan Rakyat dalam meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan sehingga keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman dapat diruntuhkan,” katanya.
BN laksana konspirasi jahat, dendam terhadap Anwar
KUALA LUMPUR 7 MAC: Keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan konspirasi jahat Umno BN untuk mematikan karier politik ketua pembangkang itu.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, keputusan itu dibuat kurang seminggu daripada tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil DUN N25 Kajang yang akan ditandingi Anwar.
“Jelas Umno BN berjaya melaksanakan konspirasi jahat mereka untuk membalas dendam terhadap Anwar Ibrahim dan mematikan karier politik beliau.
“AMK Selangor mengutuk sekeras-kerasnya rancangan penuh tipu muslihat ini kerana keputusan penghakiman dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan singkat.
“Mahkamah juga banyak menolak permohonan pembelaan yang dibuat seolah-olah telah bersedia menjatuhkan hukuman yang zalim ini,” katanya dalam satu kenyataan media
Katanya, keputusan tersebut pastinya akan mendapat kritikan antarabangsa serta mencetuskan kebangkitan baru di kalangan rakyat terutama anak muda.
“Anak muda tidak akan membiarkan mereka ditindas oleh pembodohan seperti ini. Umno Barisan Nasional juga harus bersedia menerima tentangan lebih hebat dari rakyat,” katanya menegaskan jentera AMK Selangor sedang digerakkan untuk menyedarkan rakyat tentang perkembangan kes itu.
“Jika seorang lelaki yang pernah bergelar Timbalan Perdana Menteri boleh dizalimi begini, tidak mustahil rakyat terbanyak akan menerima layanan lebih buruk dari Umno Barisan Nasional semata-mata untuk kekal berkuasa,” ujarnya.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
