Suara Keadilan's Blog, page 370
March 4, 2014
FAM atau Ultras Malaya yang tak bertamadun?
Tindakan kumpulan Ultras Malaya membakar suar dan membaling bom asap ketika aksi persahabatan antara pasukan Malaysia menentang Filipina di Stadium Selayang Sabtu lalu mengundang pelbagai komentar dari banyak pihak.
Antara yang mencuri perhatian ialah kenyataan pengurus pasukan kebangsaan sendiri, Datuk Seri Subahan Kamal yang menyifatkan perbuatan Ultras Malaya sebagai samseng dan tidak bertamadun.
Sebagai kumpulan anak muda yang mencintai sukan bolasepak tanahair, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menganggap Subahan tidak peka dengan metafora kejadian yang berlaku. Apakah FAM itu cukup bertamadun mengekalkan Presiden FAM selama 30 tahun yang menyaksikan prestasi bolasepak kebangsaan menjunam sejak itu?
Setia hadir dalam setiap perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kumpulan Ultras Malaya untuk menarik perhatian betapa sesuatu perlu diperbetulkan. Perkara paling jelas dituntut ialah Presiden FAM harus melepaskan jawatan.
Mengambil pasukan Filipina sebagai contoh terbaik, sebuah pasukan yang berguru dengan Malaysia suatu ketika dulu. Malaysia pernah mengejutkan dunia dengan kemenangan 15-1 menentang Filipina di Sukan Asia 1962. Dalam kejohanan yang sama, Malaysia dinobatkan pasukan nombor 3 asia setelah menggenggam pingat gangsa.
Kini pasukan Filipina telah jauh meninggalkan kita di tangga 127 dunia, dan pasukan kebangsaan masih terkial-kial untuk mencapai kedudukan 150 terbaik ranking FIFA.
Di atas fakta ini, apakah tindakan Ultras Malaya itu keterlaluan? Setiap rakyat Malaysia harus bersyukur dengan kewujudan sekumpulan anak muda yang memperjuangkan nasib sukan nombor satu negara. SAMM tanpa berselindung berbangga dengan keterampilan dan keberanian Ultras Malaya.
SAMM yakin tindakan Ultras Malaya bukan ditujukan kepada pasukan kebangsaan bimbingan Ong Kim Swee. Ia menifestasi dari ‘kesamsengan’ FAM yang tidak berganjak dari kepimpinan sedia ada khususnya jawatan utama. SAMM juga menasihatkan Datuk Seri Subahan agar lebih berpandangan terbuka dan mengkaji secara menyeluruh di atas kejadian yang telah berlaku.
SAMM sentiasa berada di belakang Ultras Malaya dan menyokong sebarang usaha untuk menukar-ganti Presiden FAM kepada sosok yang lebih berkaliber demi sukan bolasepak tanahair. Cukup-cukuplah 30 tahun berada di tahta.
Percayalah bahawa tiada lagi suar dan bom asap yang akan dilontarkan oleh Ultras Malaya ke dalam padang sekiranya presiden FAM benar-benar meletakkan jawatan.
EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
SAMM: Surat terbuka buat Astro
Dewasa ini kita mengalami bermacam cabaran hidup terutamanya dalam menghadapi segala kenaikan harga barangan yang kian mencengkam majoriti rakyat. Hampir kebanyakkan kita menghabiskan masa demi mencari sesuap nasi terutama warga kotaraya.
Seringkali masa dihabiskan untuk mengharungi kesesakan lalulintas, bebanan tugasan di pejabat dan sebagainya. Waktu yang terluang realitinya amat sedikit untuk dihabiskan bersama ahli keluarga tercinta. Itupun jika kita tidak membuat kerja sambilan bagi menampung segala kos meninggi kini.
Masa yang sedikit amat berharga itu adakalanya kita menefaatkan bersama ahli keluarga di rumah. Bersama ahli keluarga ramai diantara kita mencelahkan masa itu dengan sedikit hiburan bersama-sama dihadapan peti televisyen di rumah. Melalui peti yang mengeluarkan suara dan visual itulah rakyat berhibur sedikit melepaskan lelah dan mengambil kira apa yang berlaku di dalam dan luar negara.

Kempen bantah Astro di Johor
Umum kita sedia mengetahui bahawa Malaysia mempunyai sendiri siaran samada daripada pihak kerajaan mahupun swasta. Siaran swasta berbayar yang kita keluarkan wang poket kita untuk sedikit hiburan harian bersama keluarga pula menyediakan perkhidmatan yang amat-amat mengecewakan.
Kita sedia maklum dengan perkhidmatan pihak yang menyediakan siaran berbayar ini iaitu ASTRO sangat mendukacitakan kita kerna siaran yang kita harapkan mutu perkhidmatan mempunyai bermacam masalah dan karenah.
Pihak kami daripada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dalam kerangka membawa suara rakyat yang merasakan ditindas oleh sistem penyiaran ini bersama-sama 57,000 suara pelanggan ASTRO akan turun bersama dalam satu aksi dalam memenuhi tuntutan kami bersama. SAMM juga telah mengumpul tandatangan pelanggan Astro di hampir seluruh negara, selain mendapat sokongan besar dari laman sosial Facebook.

Kempen bantah Astro di Teluk Cempedak, Pahang
Namun sebelum tindakkan yang lebih agresif, kami SAMM ingin mengadakan pertemuan empat mata bersama pihak ASTRO bagi membincangkan bersama untuk mencapai situasi menang-menang untuk pihak ASTRO dan rakyat yang ditindas itu sendiri. Surat rasmi juga akan dimajukan kepada pihak Astro.
Justeru itu, Sekretariat #BantahASTRO yang telah dilancarkan sejak tahun lalu berharap dapat bertemu dan menyampaikan suara rakyat yang merasa ditipu dan tertindas. Jika tiada apa-apa tindakan atau maklum balas pihak ASTRO, kami berjanji satu aksi besar akan dirancang untuk menunjukkan bahawa rakyat adalah pengguna yang bijak dan tidak berdiam apabila dipijak.
Khairooll Annuar Al-Megat
Sekretariat #BantahASTRO,
Penyelaras Kebangsaan,
Solidariti Anak muda Malaysia.
Kos perubatan swasta naik, hospital awam kualiti rendah
KUALA LUMPUR 4 MAC: Ahli parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, kos perubatan berkualiti hanya terdapat di institusi perubatan swasta, bukti kerajaan tiada inisiatif membantu rakyat miskin kerana kos yang tinggi dan membebakan.
“Caj dikenakan adalah mahal dan tak mampu dibayar oleh rakyat miskin kerana melibatkan perkhidmatan doktor pakar.
“Kos yang tinggi ini sebenarnya (berpunca) dari pihak kementerian sendiri, kerana mereka mahu mengikut standard seperti negara Amerika,” katanya kepada Keadilandaily.
Dr Azman mengulas Pindaan ke atas Jadual 13 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 diterbitkan dalam warta persekutuan pada 16 Disember 2013, yang memberi kenaikan kadar bayaran melibatkan kesemua kategori untuk rundingan dan prosedur perubatan.
Kenaikan itu melibatkan prosedur perubatan antara 14 peratus hingga 18 peratus.
Contohnya, kadar yuran pakar bedah bagi kecederaan lumbar dinaikkan dari RM650 kepada RM745, rawatan pundi kencing dari RM1,875 kepada RM2,145 dan pemindahan buah pinggang dari RM4,150 kepada RM4,750.
Sekiranya prosedur tersebut memerlukan khidmat pakar bius, kos untuk perkhidmatan itu juga dinaikkan.
Kenaikan kos itu juga meliputi perkhidmatan pergigian, contohnya bagi kos bagi prosedur mencabut gigi yang tidak melibatkan pembedahan sebelum ini antara RM40 hingga RM250, tetapi kini ditetapkan antara RM45 hingga RM285.
Tambah Dr Azman, kerajaan perlu memberi penekanan untuk mengurangkan alatan yang mahal supaya rakyat yang miskin dapat menggunakan kemudahan perubatan mengikut kemampuan mereka.
“Perubatan tak dapat dielakkan. Penyakit yang datang tidak diduga. Contohnya penyakit yang di hospital kerajaan tak ada kelengkapan terpaksa dibawa ke hospital swasta walaupun kosnya mahal,” jelasnya.
“Kos yang tinggi ini sebenarnya tidak ada perbincangan dari menteri. Tahu-tahu kos dah naik.
“Yang pakai BMW dan Mercedez mampulah bayar, tapi bagaimana dengan orang miskin?
“Sudahlah harga barang naik, kos sara hidup pun tinggi. Mereka terbeban dengan apa yang tidak sepatutnya dilakukan oleh kerajaan,” jelasnya.
Kerajaan ‘tumbang’ jika punca kerugian MAS dibongkar
(Lyn Nasir)
KUALA LUMPUR 4 MAC : Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail yakin kerajaan akan tumbang sekiranya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membuat siasatan terhadap kerugian RM 1.17 bilion Malaysia Airlines Bhd (MAS)
Katanya, beliau mengesyaki Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed tahu kepincangan yang berlaku lalu mengambil langkah selamat untuk tidak menyiasat kes tersebut dengan alasan bukan di bawah bidang kuasa badan itu.
“Saya mengesyaki Jazlan tahu apa yang akan berlaku sekiranya disiasat, (maka) akan nampak segala kepincangan yang berlaku.
“Sebab perkara ini hanya akan terbongkar melalui siasatan PAC sahaja.
“Kalau tak ada masalah, kenapa nak larikan diri daripada disiasat?
“Sebabnya dia tidak mahu dilihat sebagai orang yang membongkar isu ini. Kalau benda ni dibawa ke dalam Parlimen, saya yakin parlimen akan kecoh dan kucar-kacir.
“Kalau terbongkar, kerajaan memang akan ‘tumbang’, katanya ketika dihubungi Keadilandaily.
Jazlan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini mengatakan tidak akan menyiasat kerugian MAS kerana ia bukan di bawah bidang kuasa badan itu.
Jelasnya lagi, antara punca kerugian tersebut kerana ketidakcekapan dalam mengurus perbelanjaan dan pelaburan yang dibuat seperti pelaburan hartanah.
“Saya simpati dengan Jazlan sebenarnya sebab dia seorang yang mempunyai kelulusan yang tepat dan mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang kerugian MAS,” kata Azan yang juga Adun Bandar.
“Dia mesti tahu kepincangan yang akan berlaku itu berpunca daripada ketidakcekapan, pembaziran serta perkara yang berkaitan dengan rasuah.
“Sebab itu dia bertindak untuk tidak menyiasat.
“Dalam erti kata lain, (Jazlan) menjaga kepentingan kerajaan sebab dia ahli parlimen BN,” ujarnya.
“Jika Mejar Zaidi didapati bersalah, beliau mungkin hilang pencen”
KUALA LUMPUR 4 MAC: Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, sekiranya Mejar Zaidi Ahmad didapati bersalah oleh mahkamah TUDM, dia mungkin kehilangan pencen dan faedah lain sebagai anggota tentera dan kakitangan kerajaan.
“Jika Mejar Zaidi didapati bersalah, beliau mungkin kehilangan pencen dan faedah lain.
“Ini merupakan ketidakadilan yang tidak boleh diterima oleh rakyat,” kata Maria dalam kenyataan.
Mejar Zaidi dituduh melanggar arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam pengundian awal di Pilihan Raya ke 13.
Kata Maria pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Majlis Angkatan Tentera hari ini untuk menyeru supaya pertuduhan Mejar Zaidi Ahmad digugurkan.
Maria mengingatkan bahawa Perkara 114 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa SPR harus mendapat keyakinan dan kepercayaan umum.
Namun belum ada sebarang tindakan dikenakan terhadap SPR terhadap kegagalan mereka yang nyata sekali dalam pengendalian dakwat kekal.
“Mejar Zaidi ialah wira negara yang sebenarnya. Jika kesemua rakyat seperti Mejar Zaidi berani bersuara mengenai (hal) yang benar dan adil, pastinya kurang kepincangan dalam sistem pentadbiran negara.
“Sebaliknya, seorang rakyat Malaysia yang berprinsip dan berani pula yang dihadapkan ke mahkamah,” kata Maria.
“Tunjukkan kepada Mejar bahawa beliau bukan keseorangan. Sampaikan pesanan kepada semua bahawa tindakan yang patut dibanggakan dan dipuji ini tidak patut dihukum,” kata Maria.
Bersih lancar ‘Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi’
KUALA LUMPUR 4 MAC: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) melancarkan ‘Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi’ untuk menggesa Majlis Angkatan Tentera Malaysia menggugurkan kesemua tujuh tuduhan terhadap Mejar Zaidi Ahmad yang membuat laporan polis mengenai dakwat kekal.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah mengaku dalam laporan media mengenai kegagalan dakwat kekal, yang turut dilaporkan oleh ratusan pengundi.
“Jadi kenapa pula tindakan ini diambil terhadap Mejar Zaidi yang berkata apa yang benar demi kepentingan awam?” kata Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah.
Katanya, BERSIH 2.0 menganjurkan Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi melalui media sosial supaya ribuan rakyat bersatu menyuarakan ketidakpuasan mereka mengenai tindakan mahkamah terhadap Mejar Zaid.
“BERSIH 2.0 percaya bahawa ramai rakyat Malaysia merasakan Mejar Zaidi tidak seharusnya dihukum tetapi disanjungi kerana kejujuran dan keberaniannya untuk menegakkan kebenaran,” kata Maria dalam kenyataan.
Jelasnya, semua penyokong diminta mengambil gambar mereka bersama kad yang menyatakan ‘Gugur pertuduhan Mejar Zaidi’ dan ‘Hukum SPR, bukan Mejar Zaidi’.
Penyokong diminta menerbitkan gambar tersebut dalam Facebook dan Twitter masing-masing dengan hashtag #sokongzaidi sebelum perbicaraan Mejar bermula pada bulan April ini.
Maria turut menyeru orang awam yang prihatin mengenai isu pilihan raya yang bebas dan adil menunjukkan sokongan kepada Mejar Zaidi dengan menghadiri perbicaraan pada 8 April hingga 10 April 2014 di Mahkamah Tentera TUDM Sg Besi, Kuala Lumpur.
Suaram: Kematian dalam tahanan Polis meningkat
(Azuan Ab Rahman)
KUALA LUMPUR 4 MAC: Suara Rakyat malaysia (Suaram) menyeru kerajaan menggubal undang-undang anti penderaan untuk mengharam dan menghentikan amalan menyeksa tahanan oleh agensi penguatkuasaan di negara ini.
Pemantauan yang dilakukan SUARAM mendapati berlaku penambahan bilangan mangsa yang mati dalam tahanan pihak berkuasa.
Ini berikutan kematian Ramasamy Nagu baru-baru ini, ketika ditahan di lokap berpusat polis di Bayan Baru, Pulau Pinang, 1 Mac lalu.
“Kematian Ramasamy, yang menjadi mangsa ketiga selepas J Kulanthangam dan A Punniyanathan yang turut mati ketika berada dalam tahanan pada Februari lalu.
“Ini membuktikan pusat tahanan berpusat yang dibina dengan kos tinggi dilengkapi sistem pengawasan terkini tidak mampu untuk mengurangkan kejadian kematian dalam tahanan,” kenyataan Suaram dipetik.
Suaram turut menyelar tindakan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt. Lai Fa Hin yang memilih untuk tidak menyiasat punca berlakunya kegagalan untuk memastikan dan menjamin keselamatan individu yang ditahan di dalam lokap berpusat tersebut.
“Suaram menegaskan bahawa Peraturan Lokap 1958, mengehendaki pegawai polis yang bertugas tanggungjawab bagi memastikan kesihatan tahanan dan syarat-syarat lokap.
“Pegawai tersebut juga dikehendaki untuk merekodkan butir-butir setiap tindakan dan tugas-tugas yang dilakukan setiap hari,” kata kenyataan Suaram.
Sehubungan itu, Suaram mengulangi desakan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menubuhkan mahkamah koroner bagi meneliti semua kes-kes kematian ketika dalam tahanan seperti yang telah dijanjikan Zahid pada Jun 2013.
“Sebarang siasatan berhubung salahlaku melibatkan polis harus dilakukan oleh sebuah badan luar yang bebas
“Suaram menuntut supaya inkues segera diadakan keatas kematian Ramasamy Nagu,” tegas kenyataan tersebut.
Anwar: “Saya nak bantu rakyat, bukan rompak duit rakyat”
KAJANG 4 MAC: Ada beza besar seseorang yang menjadi calon pilihan raya bertujuan membantu rakyat, dengan seseorang yang bertujuan menjadi wakil rakyat bagi kepentingan diri, kroni dan keluarga.
“Kalau saya masuk ke Putrajaya, saya tak akan abaikan nasib rakyat miskin di negara ini.
“Saya akan pertahankan semua kaum. Bukan tolong Melayu sahaja seperti yang diucapkan oleh orang Umno,” kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah di Taman Muhibbah, Kajang, semalam.
Justeru kata Anwar, peranannya kini adalah membangkitkan isu rakyat di seluruh negara, dengan menjadikan PRK DUN Kajang sebagai pemangkin.
“Jangan pandang saya sebagai bekas Timbalan Menteri atau Menteri, pandanglah saya sebagai Anwar Ibrahim.
“Saya sebagai Anwar Ibrahim calon Kajang untuk bantu rakyat. Kita bukan mak merompak undi rakyat.
“Saya serta pimpinan yang lain akan ikhtiar untuk bantu rakyat Kajang,” kata Anwar disambut tepukan hadirin.
Kata Anwar tujuh keutamaan Kajang yang diberikan fokus oleh beliau antaranya isu infrastruktur, kos perumahan yang tinggi dan keselamatan.
“Isu utama ialah jaminan keselamatan kepada rakyat,” katanya.
March 3, 2014
“Jelas Shafee Abdullah peguam peribadi Najib & Rosmah”
(Basyar Abkadir)
KUALA LUMPUUR 4 MAC: Peguam N Surendran menyiftakan keputusan mahkamah yang menolak rayuan Anwar untuk menghalang Tan Sri Shafee Abdullah adalah sesuatu yang tidak wajar.
Katanya, kedudukan Shafee Abdullah ada percanggahan kepentingan dalam perbicaraan Anwar Ibrahim kerana sebelum ini dia adalah peguam peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
“Ketika Saiful Bukhari berada di rumah (Datuk Seri) Najib, Shafee berada di situ. Ini menimbulkan percanggahan kepentingan.
“Shafee merupakan peguam peribadi bagi Najib dan Rosmah. Sesuatu yang aneh jika fakta yang jelas sebegini ditolak oleh para hakim, ” katanya kepada Keadilandaily.
Surendran pada masa sama menyatakan kecewa terhadap pengadilan dalam kes fitnah Anwar, walaupun rayuan menghalang Shafee telah dilakukan sebanyak tiga kali.
Beliau turut menyelar tindakan mahkamah yang mengkritik Anwar kononnya sengaja melewat-lewatkan perbicaraan.
“Tidak patut mahkamah mengkritik Anwar bahawa beliau cuba melambatkan rayuan.
“Komen tersebut tidak patut dikeluarkan mahkamah, ” katanya.
Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam menolak rayuan Anwar Ibrahim untuk menghalang Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai pendakwa utama dalam perbicaraan kes liwat II.
Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan, Shafee sebelum ini peguam Datuk Seri Najib Razak akan mengetuai pasukan pendakwaan apabila rayuan untuk mengenepikan pembebasan Anwar didengar.
Anwar di pelancaran jentera PRK Pas, malam ini
KAJANG 4 MAC: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir ke pelancaran jentera Pas pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri N25 Kajang malam ini.
Beliau akan turut menyampaikan ceramah program pelancaran tersebut bertempat di Desa Jenaris, Sungai Kantan, Kajang jam 11 malam ini.
Terdahulu, Anwar turut melancarkan Pelancaran Bilik Gerakan Utama KEADILAN di Sungai Sekamat, Batu 13, Jalan Cheras, Kajang pada jam 10 malam.
Berikut adalah program Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kajang, hari ini Selasa, 4 Mac 2014
1) 5.30 ptg – Sepetang Bersama Ahli Persatuan Kereta Sewa Kajang
- Hentian Teksi Kajang
2) 7.30 mlm – Solat & Tazkirah Maghrib
- Surau Al Furqan, Tmn Sekamat, Sg Sekamat
3) 9.30 mlm -Ceramah 1
- Padang Taman Kajang Baru, Kajang
4) 10.15 mlm – Ceramah & Pelancaran Bilik Gerakan Utama
- Batu 13, Jln Cheras, Kajang
5) 11.00 mlm – Ceramah Perdana & Pelancaran Jentera PAS
- No 45, Jln 4C, Desa Sri Jenaris, Sg Kantan, Kajang
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
