Suara Keadilan's Blog, page 374
February 26, 2014
Kepentingan Nasional atau kepentingan Barisan Nasional?
Menurut Blog Rasmi Jabatan Peguam Negara, Kepentingan Nasional bermaksud:
“kepentingan negara secara khusus…perkataan Nasional adalah merujuk kepada negara dan kebangsaan. Kepentingan nasional ialah keutamaan yang perlu wujud dalam sesebuah negara bagi menjamin kestabilan dan kemantapan proses berorganisasi. Prinsip asas kepentingan nasional ialah menjadikan negara dan bangsa sebagai fokus terpenting serta lebih mementingkan hak asasi sejagat bagi setiap warganegara seperti pendidikan, pembangunan, keselamatan, ekonomi dan hak-hak sosial serta perpaduan masyarakat berbilang kaum..”
Tema ini sering digunapakai oleh kerajaan persekutuan yang sedia ada – dan terbaru, dalam menjawab persoalan kelewatan pembinaan serta operasi Lapangan Terbang KLIA2; termasuklah peningkatan kos yang bermula dengan RM 1.8 bilion, kini RM 4 bilion.
Bak kata Pemangku Menteri:
“Pihak yang terlibat dalam pembinaan dan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) diminta meletakkan kepentingan nasional bagi menjayakan permulaan operasinya pada 2 Mei ini.”
Walau dari pembacaan kasar tentunya saya suka dengan usaha mengutamakan kestabilan negara; namun tanpa pemimpin yang seiring meletakkan kepentingan nasional sebagai prasyarat pelaksanaan kerja dan tanggungjawab, maka terma kepentingan nasional tidak akan bermakna.
Pertama, dalam menyamakan kepentingan negara dengan kepentingan wakil Barisan Nasional, prasyarat utamanya adalah pemulihan demokrasi negara. Ketika ini, Suruhanjaya Pilihanraya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Kepentingan pilihanraya itu seolah-olah milik dan kepentingan Perdana Menteri; hakikat ini merupakan sebuah konflik kepentingan yang begitu besar.
Justeru, dapatlah Memanda Perdana Menteri menggunakan kuasa untuk menentukan arah tuju dan keputusan suruhanjaya ini mengikut kepentingan partinya. Keputusan Pilihanraya Umum ke-13 yang berlangsung telah menjurus kepada senario sebegini; di mana Barisan Nasional telah berjaya menubuhkan kerajaan dengan cuma 47 peratus undi popular.
Suruhanjaya Pilihanraya, institusi yang melindungi sistem pilihan rakyat; pimpinan dan hierarkinya, perlu dirombak.
Kedua, institusi pilihanraya yang independen perlu diganding dengan media yang bebas, adil dan sihat mengkritik pimpinan politik demi kepentingan rakyat.
Di negara jiran, Indonesia, sering disebut bahawa pers (media) memiliki kemampuan untuk mempengaruhi masyarakat luas – kemampuan yang memberi kesan kepada kestabilan ekonomi politik yang berkait dengan kepentingan nasional.
Telah acap kali saya nyatakan sebelum ini, media yang bebas dan adil adalah aspek yang amat mustahak untuk sebuah demokrasi yang sihat. Media yang bebas dan adil menggalakkan pertukaran pendapat secara sihat, dan memberikan peluang kepada semua parti untuk menerangkan dengan terperinci idea-idea serta apakah polisi yang akan diterapkan sekiranya terpilih untuk memimpin negara, untuk membawa negara ke paras yang lebih tinggi dari pelbagai segi, termasuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat jelata.
Penerangan juga perlu dalam mengelak keruntuhan Stadium Sultan Mizan, kerugian hampir RM12 bilion projek PKFZ, kelewatan operasi KLIA2 dan kegagalan penternakan NFC secara keseluruhan bernilai RM 250 juta.
Demi kepentingan nasional, undang-undang yang menyekat kebebasan media termasuk Akta Mesin Cetak dan Percetakan (PPPA 1984) harus dimansuh. Akta ini secara langsung memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menyekat mana-mana pihak daripada menerbitkan akhbar mereka sendiri. Sudah tentu kuasa ini akan digunakan untuk menyekat mereka yang dilihat sebagai mengkritik kerajaan.
Ketiga, demi kepentingan nasional jua, prinsip federalisme yang sebenar harus terlaksana. Pemusatan kuasa oleh kerajaan perlu dipecahkan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan lebih pesat dan lebih meluas kesannya. Demi kepentingan nasional, kekayaan negara ini perlu dikongsi dengan lebih adil, dengan nisbah 60:40 yang mana 40 peratus daripada cukai yang dikumpulkan oleh kerajaan pusat harus dikembalikan kepada kerajaan negeri untuk perancangan pembangunan di peringkat kerajaan negeri. Kerajaan negeri perlu diberikan kuasa untuk menentukan arah tuju pembangunan di negeri mereka sendiri.
Keempat, demi kepentingan nasional, yang memulangkan hak berpendidikan kepada rakyat, Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan beberapa tahun dahulu seharusnya diteliti dahulu sebelum dilaksana.
PBS mengakibatkan guru-guru yang sepatutnya bertumpu kepada silibus yang perlu diajar; sebaliknya melakukan kerja-kerja pengkeranian. Apa sudah terjadi dengan Jawatankuasa Khas Kaji Beban Guru – hanya bernyawa ikan dengan rangka yang rapuh?
Demi kepentingan nasional, reformasi pendidikan perlu dijalankan sekarang. Saya pernah mencadangkan satu Majlis Perundingan Pendidikan Kebangsaan yang melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk ibubapa, ahli politik, badan-badan bukan kerajaan dan pakar-pakar antarabangsa ditubuhkan untuk menggariskan halatuju pendidikan yang terbaik secara adil dan telus.
Ini juga termasuk memberikan semua laporan-laporan pakar dunia pendidikan yang disimpan kerajaan ketika merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 untuk penelitian rakyat.
Kepentingan nasional amat penting, dan janganlah cuma bermain di bibir pemimpin.
WS Rendra pernah berkata: Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.
Apabila kepentingan nasional digerakkan oleh pemimpin, maka kepentingan nasional dan bukannya kepentingan Barisan Nasional diutamakan. Menteri akan diadili dengan kemampuan menyelamatkan wang rakyat, meluluskan bangunan serta bumbung yang tidak runtuh; hospital yang tidak retak, lantas menyediakan prasarana yang selamat, stabil dan mensejahterakan rakyat.
Sebagai tanda bukti kepada kesungguhan ini, satu usul dwipartisan di persidangan parlimen pada bulan Mac akan datang boleh dibuat untuk menubuhkan sistem Jawatankuasa Tetap Parlimen di dalam dasar fiskal, pertahanan, keselamatan dalam negeri, pengangkutan, dan kesihatan, antara lain.
Bukankah hak-hak asasi ini sekiranya dipertahan akan membawa kepada kestabilan dan kesejahteraan rakyat, atau dalam kata lain, kepentingan nasional? Demi kepentingan nasional, telitilah kata-kata dalam laman web Peguam Negara wahai Memanda Perdana Menteri!
February 25, 2014
Meet Anwar Negeri Sembilan di Seremban, Ahad ini
KUALA LUMPUR 26 FEB: Anwar Ibrahim Club (AIC) akan mengadakan program ‘Meet Anwar Negeri Sembilan’ pada hari Ahad, 2 Mac ini bertempat di Seremban.
Program yang akan diadakan di Plum Hall, The Royale Bintang Hotel, Seremban terhad kepada 200 peserta dan bermula pada jam 3 petang.
Mereka yang berminat boleh berdaftar di www.anwaribrahimclub.com atau emel ke aic.msia@gmail.com.
Sebarang maklumat lanjut berhubung program digalakkan menghubungi sekretariat program di talian 012-2294064
GERAMM: Organisasi media jangan tunduk sebarang serangan atau ancaman
Gerakan Media Marah (GERAMM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab melempar cat merah pada bangunan portal berita bebas Malaysiakini serta mengikat kaki seekor itik yang dimasukkan ke dalam sebuah kotak di luar pejabat itu di Bangsar Utama, Kuala Lumpur.
Kejadian yang berlaku pada awal pagi hari ini dipercayai merupakan satu ancaman kepada Malaysiakini susulan beberapa laporan berkaitan kejadian seumpamanya, melibatkan cat merah dan bangkai ayam, yang berlaku di pejabat Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Terdapat sekeping gambar Teresa Kok turut dilekatkan pada kotak yang mengandungi seekor itik, pada awalnya disangka bangkai tetapi kemudian disahkan masih hidup.
Dua keping gambar hitam putih Teresa Kok turut ditampal di dinding luar pejabat Malaysiakini. Gambar-gambar ini diletakkan dalam plastik bersama sejumlah kecil beras dan jarum berwarna merah.
Tindakan semberono sebegini bukan saja melibatkan kerosakan harta benda tetapi juga menyeksa seekor binatang yang dijadikan mangsa dalam serangan cat merah ini.
Lebih khusus dan membimbangkan lagi, ia berbaur ancaman kepada kebebasan sebuah organisasi media yang terkenal itu.
GERAMM ingin menegaskan adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak cuba mengancam pengamal media atau menggambarkan laporan seperti Malaysiakini hasilkan sebagai satu bentuk sokongan terhadap sesuatu pihak atau ahli politik secara individu.
Malaysiakini, malah, dalam isu video kontroversi Teresa Kok memberi liputan kepada semua pihak, bukan sahaja pihak DAP tetapi penentang-penentang tindakan ahli parlimen DAP itu.
GERAMM menggesa semua organisasi media supaya tidak tunduk kepada sebarang bentuk serangan atau ancaman dari mana-mana pihak, selaras dengan lapan tuntutan kami sebelum ini.
GERAMM berharap pihak berwajib akan segera menyiasat dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Bukan sahaja siasat serangan di Malaysiakini hari tetapi juga keganasan-keganasan lain terhadap pengamal media.
Pada 29 Januari lalu, tiga lelaki bersenjatakan parang dan batang besi telah memecah pejabat sebuah akhbar harian Tamil, Tamil Malar, di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Dalam serangan itu, mereka memecah pintu kaca, meja kaca dan lima buah komputer di tingkat bahagian pengurusan pejabat berkenaan
GERAMM juga terus mendesak, sekali lagi, siasatan rapi terhadap serangan ke atas pengamal-pengamal media sewaktu liputan perhimpunan Bersih 3.0 pada April 2012
Kenyataan Media Gerakan Media Marah (GERAMM)
25 Februari 2014
MB, PM meterai MoU, penstrukturan air di S’ngor akhirnya tercapai
KUALA LUMPUR 26 FEB: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Pusat bagi membolehkan Selangor mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri itu dengan suntikan dana RM2 bilion bagi pengambilalihan saham-saham syarikat konsesi.
MOU berhubung penstrukturan semula industri bekalan air Selangor itu ditandatangani di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya.
Memorandum tersebut ditandatangani Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mewakili Kerajaan Persekutuan, manakala Kerajaan Selangor diwakili Khalid.
Turut menyaksikan detik bersejarah itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Antara isi kandungan perjanjian tersebut termasuklah kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat akan membenarkan Putrajaya meneruskan pembinaan projek Loji Rawatan Air Langat 2.
“Alhamdullillah, penstrukturan air Selangor akhirnya tercapai. Ucapan terima kasih kepada Menteri KETTHA atas kerjasama yang diberikan,” kata Abdul Khalid, lapor SelangorKini.
Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberikan pampasan bernilai RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi di Selangor.
Ekoran daripada pengambil alihan tersebut, satu konsortium air untuk menguruskan industri air di Selangor akan dibentuk di bawah seliaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
Kerajaan Selangor menjangkakan pengambil alihan syarikat konsesi tersebut akan selesai dalam tempoh tiga bulan.
Syabas gagal bentang empat kali pelan penjadualan bekalan air
SHAH ALAM 26 FEB : Dakwaan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kononnya pelan penjadualan semula bekalan air sudah dibentangkan adalah tidak benar sama sekali, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Katanya, Syabas gagal membentangkannya dalam empat mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor yang diadakan berasingan.
Kata Khalid, perbincangan mengenai persediaan terhadap cadangan pelaksanaan penjadualan pengagihan air dilakukan bersama pihak Syabas sejak 18 Februari.
“Jawatankuasa berkenaan meminta supaya Syabas membentangkan pelan tersebut dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 20 Februari 2014.
“Kerajaan Selangor sekali lagi mengarahkan Syabas menyediakan pelan penjadualan pengagihan air untuk dibentangkan pada 21 Februari tetapi Syabas masih gagal dan pada 24 Februari sekali lagi Syabas gagal berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Selangorkini melaporkan, semalam Syabas pada satu sidang media mendakwa pelan penjadualan semula bekalan air disediakan sebaik sahaja Khalid mengeluarkanarahan tindakan kecemasan bagi kawasan yang terjejas Jumaat lalu.
Pengarah Eksekutif Teknikal Konsesi Air Syabas, V Subramaniam juga mendakwa pelan yang disediakan hanya diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri (SPAN)
Abdul Khalid bagaimanapun dalam kenyataan sama menyelar tindakan Syabas menggunakan SPAN sebagai alasan dan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal, mengarut dan tidak boleh diterima kerana melibatkan kepentingan awam.
Kerajaan Negeri terpaksa melaksanakan pengurangan pelepasan air daripada empangan untuk pastikan pengguna tetap menerima bekalan air walaupun berselang seli sehingga akhir Mac ini.
“Penurunan paras air empangan kerana perubahan monsun yang menyebabkan cuaca panas berlanjutan dan keadaan ini turut dialami di negeri-negeri lain,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa Syabas menjalankan tanggungajawab sebagai syarikat konsesi dengan segera menyediakan pelan penjadualan pengagihan bekalan air tanpa sebarang alasan lagi.
“Kerajaan Negeri ingin tegaskan bahawa keaadan pada ketika ini berbeza dengan apa yang berlaku pada 15 Julai 2012 apabila Syabas mengumumkan catuan air di Lembah Klang tanpa mendapat persetujuan Kerajaan Negeri dan Ahli Lembaga Pengarah Syabas pada ketika itu,” katanya.
Teater Bilik Sulit malam ini di KLSCAH, kempan lawan Akta Drakonian
Setelah menjelajah hampir ke seluruh semenanjung Malaysia, SUARAM dengan kerjasama Radio Bangsar Utama (RABU) akan menganjurkan pementasan Teater Bilik Sulit yang akan dipentaskan di Dewan Theatrette Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) selama 3 hari iaitu pada 26,27 dan 28 Febuari 2014 bermula 8.30 malam.
Ini merupakan kali kedua teater ini dipentaskan di Kuala Lumpur setelah pementasan pertama pada September tahun lalu. Pementasan kali ini juga diadakan sebagai salah satu program yang dirancang di bawah Kempen RAKYAT BANTAH TAHAN TANPA BICARA yang akan dilancarkan pada malam pertama pementasan teater berkenaan.
SUARAM percaya pementasan teater ini akan memberi mesej secara langsung kepada Kerajaan Malaysia agar memansuhkan semua akta drakonian seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)(SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) (POCA) dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (DDA).
Akta-akta ini mencabuli hak untuk dibicarakan seperti yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa (UDHR 1948). Selain itu, akta-akta ini juga bercanggah dengan prinsip asas keadilan atau Natural Justice yang menetapkan seseorang itu perlu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah melalui perbicaraan yang adil dan terbuka.
Selain menjadi medium pendesak untuk Kerajaan memansuhkan undang-undang zalim, teater ini juga menjadi satu inisiatif untuk mempromosikan hak untuk dibicarakan sebagai hak yang perlu difahami dan diperjuangkan oleh rakyat Malaysia.
Setiap rakyat memiliki hak-hak eksklusif yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 5 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan setiap individu yang dituduh bagi suatu kesalahan berhak mendapat pembelaan dan diwakili oleh peguam di mahkamah. SUARAM percaya rakyat yang memahami hak ini akan mampu menangkis sebarang alasan yang diberikan oleh Kerajaan untuk merasionalkan penggubalan akta-akta drakonian.
Selain dapat menyaksikan teater Bilik Sulit, orang ramai yang hadir juga boleh menyaksikan pameran Wall of Death iaitu sebuah pameran yang memaparkan wajah-wajah mangsa yang mati dalam tahanan pihak berkuasa.
Penonton yang hadir juga boleh menyokong kempen RAKYAT BANTAH TAHAN TANPA BICARA dengan menandatangani petisyen Rakyat Bantah Undang-Undang Tahan Tanpa Bicara yang akan disediakan sepanjang tiga malam berkenaan. SUARAM mensasarkan untuk mengutip sebanyak 100,000 tandatangan masyarakat Malaysia dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri Malaysia.
Oleh itu SUARAM ingin mengundang rakyat Malaysia yang berkelapangan untuk hadir dan memberi sokongan terhadap kempen ini. Sokongan orang ramai akan menjadi pemangkin untuk SUARAM terus memperjuangkan pemansuhan SOSMA, POCA dan DDA sekaligus membebaskan Malaysia daripada undang-undang drakonian.
Syukri Razab
Penyelaras
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
February 24, 2014
Pembalakan haram punca banjir kritikal di Sabah
(Lyn Nasir)
KOTA KINABALU 24 FEB : Pembalakan haram di Sabah antara punca berlakunya banjir kritikal di Sabah melibatkan kawasan pedalaman seperti Tenom, Keningau dan Beaufort, kata ahli parlimen Penampang, Ignatius Darell Leiking.
“Antara punca berlaku banjir kritikal adalah kerana aktiviti pembalakan yang meluas.
“Bila pembalakan berlaku, ia akan menyebabkan hakisan tanah dan kemudian banjir berlaku.
“Ini yang terjadi di Sabah sekarang, tapi kerajaan cuba nafikan adanya pembalakan secara haram di Sabah,” kata Darrel yang Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN.
20 Februari lalu, Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan menolak pendedahan bahaawa banjir yang berlaku di Tenom disebabkan pembalakan haram.
Justeru kata Darrel, keadaan itu membuktikan kerajaan tidak perihatin dengan keadaan di Sabah dan sehingga kini kerajaan masih menafikan perkara sebenar daripada rakyat.
“Sepatutnya Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri turun ke sini untuk buat ihat sendiri kawasan banjir di Sabah.
“Tapi saya lihat sumbangan yang diberi tu tak seperti yang mereka berikan di Kuantan.
“Kita kena ingat yang ketiga-tiga kawasan ini lebih luas daripada Kuantan dan Perlis. Sepatutnya PM atau TPM turun sendiri ke sini.
“Kita mendesak kerajaan mencari jalan bagaimana cara untuk mengurangkan kemungkinan banjir.
“Kerajaan perlu beri perhatian lebih kepada mangsa banjir sebab mangsa ni kebanyakannya tinggal di kawasan luar bandar.
“Walaupun kawasan yang terlibat ni kawasan diwakili pembangkang, tapi kerajaan perlu perihatin dan jangan pentingkan soal kawasan itu dibawah (perwakilan) siapa,” kata Darrel.
Dalam perkembangan lain, banjir di ketiga-tiga kawasan tersebut mulai surut dan pimpinan Pakatan Rakyat turut memberi sumbangan seperti tempat perlindungan, makanan, sejumlah wang dan lain-lain.
Siasat akaun pegawai kanan polis ada RM20 juta
(Basyar Abkadir)
KUALA LUMPUR 24 FEB: Pengarah Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya berkata, satu pendakwaan harus dibuat ke atas pegawai kanan polis yang mempunyai akaun sebanyak RM20 juta, seperti pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kalau betul terdapat dalam pegawai kanan polis mempunyai RM20 juta dalam akaun, perlu ada penyiasatan profesional secepat mungkin.
“Kita desak satu pendakwaan dibuat, bukan sahaja siasatan dilakukan terhadap pegawai polis terbabit,” katanya kepada Keadilandaily.
Kata Latheefa jumlah itu terlalu besar dan tidak setaraf dengan pendapatan pegawai kanan polis.
“Sebab kalau polis mempunyai akaun sebanyak itu, tidak akan sama dengan gaji atau pendapatan mereka,” tegas Latheefa.
“Jadi kita minta Kementerian Dalam Negeri, dimana PDRM berada di bawah kementerian ini menjawab apa yang sedang berlaku,” kata Latheefa mendesak Kementerian Dalam Negeri menjawab kes berprofil tinggi ini kerana menjejaskan kredibilti penjaga keselamatan negara.
Semalam, Malaysia Insider melaporkan pendedahan pegawai SPRM bahawa seorang dari 60 pegawai kanan polis yang disiasat mempunyai RM20 juta dalam beberapa akaun banknya.
Keadilandaily sebelum ini melaporkan pegawai kanan polis termasuk yang berpangkat ‘Datuk’ antara yang diminta memberi kenyataan kepada SPRM berkaitan kes pengubahan wang haram bernilai RM6 juta.
Sebelum itu pada November 2013, dilaporkan tiga pegawai berpangkat timbalan penguasa, penolong penguasa dan sarjan ditangkap secara berasingan oleh SPRM. Semasa tangkapan mereka menemui RM500,00 tunai, jam Rolex dan barang kemas.
Susulan itu, dua pegawai yang ditahan dipindahkan ke Johor dan Negeri Sembilan dengan salah seorang daripada mereka terlibat dengan penggubahan wang haram bernilai RM1.7 juta, manakala yang lain RM4.3 juta.
Taib tak campur tangan urusan Sarawak hanya sandiwara
KUCHING 24 FEB: Kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak akan campur tangan dalam pentadbiran negeri selepas persaraannya hanya sandiwara.
Timbalan Ketua AMK Sarawak, Zulhaidah Suboh berkata, kenyataan oleh Abdul Taib yang hanya akan menasihati penggantinya seperti dilakukan ratu England kepada Perdana Menterinya tidak boleh dipercayai.
“Ini sandiwara. Kita tidak patut percaya. Sudah pasti selepas menjadi Yang di-Pertua Negeri dia akan lakukan apa yang dia mahu.
“Jika sebelum ini semasa jadi Ketua Negeri pun banyak salah guna kuasa dilakukannya, kita risau selepas dilantik menjadi Yang di-Pertuan Negeri ia jadi lebih teruk,” kata Zulhaidah kepada Keadilandaily.
Katanya banyak laporan salahguna kuasa Abdul Taib termasuk skandal perniagaan melibatkan keluarganya selain penindasan dilakukan terhadap penduduk pribumi di Sarawak.
“Dia mahu samakan dirinya dengan ratu England, sedangkan Taib terpalit dengan banyak skandal (rasuah), salah guna kuasa.
“Dia sebenarnya tidak layak pun menjadi Ketua Menteri Sarawak.
“Sebab itu kita tegaskan dia tidak seharusnya dilantik menjadi Yang di-Pertuan Negeri Sarawak ” tegas Zulhaidah.
Abdul Taib memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun melepaskan jawatannya pada 28 Februari ini bagi membolehkannya dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri bagi menggantikan Tun Abang Muhammad Sallahuddin Abang Barieng yang tamat tempoh perkhidmatannya hujung bulan ini.
MCA hanya mahu kuasa & kedudukan – MP Gopeng
(Azuan Ab Rahman)
KUALA LUMPUR 24 FEB: MCA tidak konsisten dalam membuat keputusan berikutan tindakan parti itu mengubah sebelum ini yang melarang ahlinya dilantik ke jawatan kerajaan.
Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, keputusan terbaru itu cukup memalukan kerana MCA sendiri harus sedar mereka telah gagal dan ditolak masyarakat Cina pada pilihan raya lalu.
“Ini sangat memalukan. Mereka beri alasan keputusan itu dibuat supaya mereka boleh mewakili suara masyarakat Cina.
“Tapi bagaimana mahu mewakili masyarakat Cina apabila mereka telah ditolak sama sekali?
“Saya anggap ini seperti gila kuasa dan kedudukan dalam kerajaan.
“Jika mereka mahu bawa suara masyarakat Cina, ia boleh dibuat di luar kabinet,” kata Lee kepada Keadilandaily.
Menurutnya jika mahu menyuarakan suara masyarakat Cina, pemimpin MCA seharusnya bertegas dengan kerajaan dalam soal rasuah, salahguna kuasa dan ketirisan.
Kegagalan MCA bertegas dalam hal tersebut kata Lee punca MCA ditolak.
MCA melalui perhimpunan agung parti itu pada 2012 dan EGM yang diadakan pada 20 Oktober 2013 bersetuju resolusi yang menyatakan untuk tidak menerima sebarang jawatan kerajaan jika gagal dalam pilihan raya umum ke-13.
MCA melalui pilihan raya lalu menampilkan prestasi terburuknya selepas hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi negeri daripada 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi negeri yang ditandinginya.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
