Suara Keadilan's Blog, page 371
March 3, 2014
MCA ketandusan isu, guna taktik kotor
KAJANG 3 MAC : MCA ketandusan isu dan meniru parti rakannya Umno apabila menggunakan taktik kotor untuk menyerang KEADILAN dan Pakatan Rakyat.
Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berkata, tindakan terdesak itu dilakukan MCA yang tergugat dengan jangkaan kemenangan majoriti berpihak kepada calon pilihan raya kecil (PRK) N25 Kajang yang juga Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim
“MCA cuba melaga-lagakan dengan isu yang dimainkan dengan menyatakan terdapat dua kelompok dalam KEADILAN,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN PRK DUN Kajang, hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tion Lai dan calon Chew Mei Fun sebelum ini menuduh kononnya terdapat perpecahan antara Menteri Besar Selangor, Tan Seri Khalid Ibrahim dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Reaksi MCA itu kata Elizabeth berikutan kempen sekitar Kajang yang mendapat sambutan positif pengundi, lebih-lebih lagi dengan kehadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
“Itu taktik yang dimainkan MCA dan Umno. Mereka tergugat apabila Datuk Seri Anwar dijangka menang di DUN Kajang,” kata Elizabeth.
Saksi polis setuju himpunan Black 505 aman
(Azuan Ab Rahman)
KUALA LUMPUR 3 MAC: Saksi pihak pendakwaan, Koperal Kahar bin Sharif mengakui bahawa himpunan Black 505 pada 22 Jun 2013 berlangsung aman tanpa timbul sebarang kekecohan.
Kahar membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah ketika disoal peguam Eric Paulsen, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Kahar menjawab ‘tidak’ apabila ditanya Eric sama ada beliau melihat keadaan huru hara dalam perhimpunan itu.
Kahar juga menjawab ‘ya’ apabila ditanya sama ada beliau setuju perhimpunan itu berlangsung aman.
Kahar, anggota polis yang bertugas di Jasin, Melaka menjadi saksi bagi pihak pendakwaan dalam perbicaraan terhadap ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Anthony Loke (MP Seremban) Adun Batu Burok, Terengganu, Syed Azman Syed Ahmad dan Muhammad Adib Ishar
Kahar ditugaskan membuat rakaman suasana semasa himpunan di Padang Merbok, Kuala Lumpur dalam himpunan yang mendesak pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan.
Anggota polis itu turut mengakui sepanjang beliau bertugas untuk membuat rakaman didalam himpunan tersebut, tiada arahan bersurai dikeluarkan polis.
Dalam perbicaraan itu, video hampir dua jam yang dirakamkan Kahar turut ditayangkan di mahkamah.
Kumpulan Ali Tinju cari makan dengan ‘tarian punggung’
Akibat terlalu kuatnya mengampu, ‘Ali Tinju’ bekas anggota tentera yang tidak berpencen itu memberi amaran kepada Malaysiakini untuk mempersembahkan lagi “tarian punggung” sekiranya Malaysiakini tidak menyiarkan ‘kehebatan’ Rosmah.
Ali Tinju pun mengungkit semula betapa baiknya Rosmah membantu mangsa kebakaran dan banjir namun tidak diwar-warkan oleh Malaysiakini. Mungkin bagi Ali Tinju tidak cukup lagi media pencacai yang ada untuk mempromosikan “kemuliaan” insan bernama Rosmah Mansor ini. Sampai ke peringkat mengugut Malaysiakini, punyalah hebatnya ‘kipas’ si Ali Tinju ini.
Kali ini katanya, beliau akan membawa sekitar 20-30 orang sahaja untuk membuat ‘persembahan’ kerana kononnya tidak mahu mengganggu orang ramai. Melucukan juga apabila beliau menyebut tidak mahu membawa seramai seribu ke dua ribu orang pengikutnya kerana kita pun tahu berapa kerat sahaja pengikut Ali Tinju. Jika beliau boleh bawa sekitar 20 orang itu pun sudah kira hebat.
Beliau kata, beliau tidak mahu bawa ramai sangat pengikut kerana itu adalah budaya songsang yang menyusahkan orang ramai. Budaya ‘tonggeng punggung dan goyang” depan orang ramai itu adalah budaya mulia dan bersopan pada pandangan bekas tentera yang berhenti tentera tidak sampai 10 tahunperkhidmatan ini.
Beruntunglah bekas-bekas tentera yang tidak terlibat dengan kumpulan Ali Tinju ini. Jika tidak, di manakah mahu diletakkan muka kita sebagai bekas perajurit yang hanya tahu ‘goyang punggung”?
Sikap membodek dan mengampu Ali Tinju ini mungkin diwarisi semenjak beliau di dalam perkhidmatan lagi maka sebab itulah amat sukar buat beliau meninggalkannya. Apatah lagi itulah satu-satunya cara beliau cari makan untuk anak bininya. Kami dari bekas tentera merasa amat simpati dan kesihan dengan kumpulan Ali Tinju ini yang berterusan menjadi balaci kepada pemimpin dan isteri pemimpin.
WAN FAUZULDIN WAN SAMAD (WFAUZDIN NS)
Penyelaras Kor Bekas Angkatan Tentera (KOBAT)
March 2, 2014
Mahathir anggap BR1M ‘sogokan’ kerajaan Najib
KUALA LUMPUR 3 MAC: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai sogokan kepada rakyat di negara ini.
“Sebenarnya, ramai juga yang memberitahu saya bahawa BR1M adalah sogokan, terutama apabila diberi sebelum pilihan raya.
“Ini samalah seperti memberi plakad untuk dipamerkan apabila anda lalu. Ia tidak mencerminkan perasaan atau sentimen sebenar.
“Perasaan itu lebih baik dinyatakan melalui undi mereka. Undian mereka menunjukkan kematangan masing-masing,” katanya dalam tulisan di blognya, Chedet.cc semalam.
Katanya, kegagalan kerajaan untuk memahami sentimen rakyat, memberi akibat buruk kepada ahli politik.
“Menipu diri sendiri adalah lebih buruk,” tulisnya yang menjadi perdana menteri paling lama di Malaysia.
Menurut Mahathir, kerajaan berdepan defisit dan hutang yang besar sekiranya pemberian BR1M yang berjumlah RM8.4 bilion diteruskan.
“Pemberian RM500 seorang kepada 7 juta rakyat melibatkan kos RM3.5 bilion. Apabila jumlah ini ditambah kepada RM1,200 (setiap orang) kos akan menjadi RM8.4 bilion.
“Itu adalah satu jumlah yang banyak, namun masih ramai orang miskin di negara ini. Adakah kita (kerajaan) memerlukan BR1M (untuk mendapat sokongan) walaupun tanpanya, kita masih mendapat sokongan yang baik daripada masyarakat,” katanya.
“Jika rakyat tidak memberi sokongan, bermakna mereka tidak berpuas hati dengan sesuatu walaupun mendapat BR1M. Jadi, cari sebab mengapa rakyat tidak berpuas hati dan anda (kerajaan) akan tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Najib satu ucapan di perhimpunan Jabatan Perdana Menteri hari ini bagaimanapun mempertahankan langkah berkenaan, yang disifatkannya sebagai subsidi khusus kepada golongan sasaran dan untuk membantu memacu ekonomi dalam negara.
Laporan laman The Malaysian Insider yang memetik ucapan Najib itu menyebut, dengan mengurangkan jumlah keseluruhan subsidi melalui bantuan kepada golongan sasaran adalah lebih baik.
“Melalui BR1M dan BR1M 3.0, lebih 7 juta isi rumah (menerima BR1M) berjumlah RM4.6 bilion. Pada hari pertama, ramai yang pergi (membeli-belah) ke Sogo, ramai yang pergi ke pasar minggu,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Program Anwar ‘Sepetang Bersama Media’ di Kajang hari ini
KAJANG 3 MAC: Program ‘Sepetang Bersama Media’ bersama bakal calon KEADILAN DUN Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan jam 5 petang ini di Bilik Gerakan Utama KEADILAN PRK DUN Kajang di Bangunan Mat Saman, Lot 4711, Batu 12 1/2, Jalan Cheras, 43000 Kajang.
Turut dijangka hadir, Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengarah Pilihanraya KEADILAN PRK DUN Kajang, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim bersama jentera KEADILAN bagi PRK DUN Kajang.
Wartawan dan jurugambar dijemput hadir, manakala pengesahan kehadiran atau maklumat lanjut, sila menghubungi sekretariat program di talian 012-6300338 (Azura).
Berikut adalah program Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kajang, hari ini Isnin, 3 Mac 2014
1) 5.30 ptg – Sepetang Bersama Petugas Media
- Bilik Gerakan Utama
Batu 13, Jalan Cheras, Kajang
2) 7.30 mlm – Solat & Tazkirah maghrib
- Surau Al Muqaddis , Jln 4, Taman Sri Kantan, Sg Kantan.
3) 8.45 mlm – Bsama Pimpinan & NGO India
- Prescot Hotel Kajang, Wisma MKH, Jalan Semenyih,
4) 9.45 mlm – Ceramah 1
- Jalan Puncak Saujana 1/2, Taman Puncak Saujana, Kajang
5) 10.30 mlm – Ceramah
- Padang Taman Muhibah, Kg Jambu, Kajang
Tun Daim paling korup, banyak bank di luar negara
(Basyar Abkadir)
KAJANG 3 MAC: Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin antara Menteri kabinet paling rasuah apabila menggunakan proksi di luar negara untuk membina empayar perniagaan, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tun Daim menteri kewangan sebelum saya, manusia yang paling korup rasuah dalam sejarah Malaysia, saya ambil (jawatan menteri kewangan) selepas dia.
“Lepas jadi Menteri Mewangan (ada) puluh bilion ringgit. Bank di Afrika, bank di Eropah Timur untuk simpan duit dengan menggunakan proksi, ” katanya.
“Kalau kamu buat ‘open study’ (kajian terbuka) boleh tahu macam mana dia punggah kekayaan negara ini,” kata Anwar dalam ceramah di Taman Saga Emas di Kajang sempena perasmian bilik gerakan jentera dDaerah Mengundi Bandar Kajang.
Kata Anwar pada amalan korupsi yang dilakukan Tun Daim wajar didedahkan untuk mengelakkan rakyat daripada terus diperbodohkan.
“Jika Najib punya integriti, dia perlu bertanggung jawab dengan apa yang dilakukan dan apa yang dicuri oleh Tun Daim Zainuddin dan bagi balik kepada rakyat, ” kata Anwar.
“Kalau tidak bercakap, mereka ingat macam orang (rakyat Malaysia) tidak tahu, ” katanya.
Hadir sama Cdalam program ceramah tersebut ialah ahli parlimen Kepong, Tan Seng Giaw, Adun Taman Templer, Tuan Zaidi Abdul Talib pimpinan KEADILAN Selangor.
Dakwa Anwar mahu lepas diri, Zaid terdesak raih undi Kajang
(Oleh: Lyn Nasir)
KUALA LUMPUR 2 MAC : Naib Presiden KEADILAN, N Surendran membidas kenyataan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusahakan ‘langkah Kajang ‘ bagi menyelamatkan diri daripada kes Fitnah II.
Menurut Surendran, kenyataan Zaid itu bukan sahaja tidak menunjukkan kematangan, malah dilihat terdesak untuk meraih undi.
“Daripada PRU 13 lagi, pertuduhan kes liwat ini ditimbulkan, kenapa seorang pemimpin harus ada sikap yang tidak matang dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal.
“Isu ni dah dimainkan lama, tapi Anwar dah terlepas dan masih bertahan sampai hari ini, kenapa timbul lagi isu sebegini?,” soalnya ketika dihubungi.
Terdahulu, Zaid yang bercakap dalam majlis makan malam bersama pengundi Kajang malam tadi turut berkata Anwar mahu menjadi menteri besar bagi memperoleh pengaruh, jika terlepas dari dakwaan itu.
Kata Surendran, tuduhan Zaid merupakan modal politik BN dan menunjukkan bekas menteri itu kehabisan idea dalam kempen pilihan raya kecil itu.
“Mereka seolah-olah tiada modal untuk berkempen, tapi gunakan isu yang sudah lapuk untuk meraih undi daripada masyarakat, terutama penduduk Kajang,”
“Tolong rasional dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan, walaupun nak raih undi penduduk Kajang, jangan dilihat seperti terdesak,” ujarnya.
March 1, 2014
Siasat kes kematian dalam lokap di Bayan Baru
KUALA LUMPUR 2 MAC: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim TZe Zin menggesa siasatan dilakukan terhadap kematian seorang tahanan di Lokap Berpusat Bayan Baru, Pulau Pinang baru-baru ini.
Menurutnya, pihak polis harus bertanggungjawab sepenuhnya dan siasatan menyeluruh dibuat sebelum dibentangkan kepada keluarga mangsa.
“Isu ini amat serius. Saya minta adakan siasatan yang telus. Pegawai polis perlu jawab dan bentangkan siasatan kepada keluarga si mati dan orang awam,” katanya ketika dihubungi.
Media semalam melaporkan, mangsa yang berumur berumur 50 tahun ditemui mati di Lokap berkenaan, selepas direman atas kesalahan dadah.
Sim berkata, polis tidak seharusnya cuai dan segera menghantar suspek ke hospital sekiranya mangsa mempunyai masalah kesihatan.
“Difahamkan mangsa mempunyai penyakit asma, dan (punca) mungkin juga berkaitan peredaran udara. Kalau orang yang ditahan memerlukan khidmat perubatan mereka perlu beri serta merta dan ambil perhatian.
“Polis tidak boleh cuai,” katanya menambah hospital Bayan Baru terletak tidak jauh dari lokap balai polis terbabit.
Katanya, kes kematian dalam lokap bukan kali pertama berlaku di negara ini hingga menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap institusi itu semakin terhakis.
“Di Pulau Pinang, saya amat ambil perhatian tentang isu ini. Sepatutnya balai polis tempat yang paling selamat, tetapi ada tahanan mati di Balai Polis.
“Saya akan terus mengikuti perkembangan kes ini, dan akan membantu (keluarga mangsa) termasuk berjumpa dengan pegawai polis terbabit dan khidmat lain jika perlu,” katanya.
Polis, sindiket jenayah mungkin dalang ancaman- Sanjeevan
(Oleh: Lyn Nasir)
KUALA LUMPUR 2 MAC: Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) R Sri Sanjeevan percaya ancaman yang berlaku kepadanya baru-baru ini ada kena mengena dengan pendedahan mengenai sindiket jenayah yang didalangi pegawai polis.

Sanjeevan ketika ditembak oleh penjenayah tahun lalu
“Saya tak mahu mengesyaki siapa punya angkara semua ini, tapi saya tahu kerja saya ini adalah untuk mendedahkan polis yang terlibat dengan salahguna kuasa, aktiviti jenayah, kes dadah, pelacuran dan banyak lagi.
“Mungkin yang terlibat dalam kes ini adalah polis ataupun sindiket jenayah. Saya tak nak syak sesiapa, itu kerja polis dan mereka perlu siasat,” ujarnya ketika dihubungi.
Terdahulu, Sanjeevan dalam laman Twitternya kelmarin mendakwa beliau nyaris dilanggar dan diserang dua lelaki yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil dengan nombor pendaftaran WJH 2664.
Malaysiakini melaporkan, Sanjeevan mengadu diekori kereta berkenaan selepas memeriksa sebuah pusat maksiat di Negeri Sembilan. Bagaimanapun, beliau berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian yang berlaku jam 5.30 petang itu.
Susulan itu, Sanjeevan membuat laporan polis jam 5 pagi tadi di Balai Polis Bahau selepas pulang dari menghadiri sebuah program KEADILAN di Batu Pahat, malam tadi.
“Terserah kepada pihak polis untuk membuat siasatan dalam kes ini.
“Sebelum ini saya buat laporan polis tapi selalu kata dalam siasatan, tapi tidak ada tindakan diambil,” katanya menambah laporan polis dibuat sepanjang tahun lalu bermula Januari sehingga Oktober.
Dalam kejadian Julai tahun lalu itu, Sanjeevan ditembak di dada oleh seorang penunggang motorsikal di sebuah persimpangan lampu isyarat berhampiran rumahnya di Bahau.
Kejadian itu berlaku selepas menerima ancaman bunuh berkaitan usaha-usahanya mencegah jenayah, termasuk dakwaannya tentang sendiket jenayah yang didalangi pegawai polis Negeri Sembilan.
Malaysia perlu gesa PBB, OIC atasi keganasan di CAR
Kenyataan Media MAPIM DAN SHURA
3 Mac 2014
MALAYSIA PERLU AMBIL INISIATIF GESA PBB DAN OIC ATASI KEGANASAN DI CAR.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia ( SHURA ) mengesa kerajaan Malaysia mengambil inisiatif melakukan usaha diplomatik untuk mencari penyelesaiaan kepada konflik yang kini tercetus di Central African Republic (CAR) semenjak Disember 2012 antara tentera kerajaan CAR dan kelompok Seleke Muslim.
Akibat konflik ini rakyat awam Muslim dinegara yang baru 43 tahun merdeka dari penjajahan Perancis itu , berhadapan dengan serangan oleh kelompok Anti-Balaka Kristian .
Pada tahun 2014 ini, Amnesty International melaporkan beberapa insiden pembunuhan beramai-ramai ( massacres ) yang dilancarkan oleh kelompok Kristian Anti-balaka terhadap orang awam Muslim. Ribuan yang terpaksa melarikan diri . Beberapa laporan lain mendedahkan genosid dan pembersihan etnik terhadap Muslimin di CAR kini sedang berterusan .
Konflik dinegara itu kini meragut ribuan nyawa dan ratusan ribu lagi terpaksa melarikan diri menyelamatkan nyawa menjadi pelarian dalam negara ( IDP) dan ribuan lagi cuba melarikan diri ke negara jiran seperti Chad dan Cameroon.
Kami sangat perhatin terhadap rakyat awam di CARA dari kedua penganut agama yang telah hidup harmoni selama lebih 50 tahun kini digugat oleh kelompok estrimis yang mengambil tindakan ganas untuk menguasai kerajaan.
Kami mendapati konflik yang tercetus itu tidak boleh dibiar berterusan memandangkan rakyat awam menjadi mangsa kepada keganasan antara dua puak yang bertelagah iaitu antara kelompok Anti Balaka dan Muslim Seleke.
Malaysia sebagai negara anggota OIC tidak boleh mendiamkan diri tatkala umat Islam miniroti di negara tersebut kini berhadapan dengan ancaman yang amat kritikal. Umat Islam minoriti kini terdedah kepada serangan tanpa belas kasihan oleh tentera Anti Balaka Kristian yang dan keadaan saling menyerang antara dua puak tidak dilihat semakin reda.
Walaupun tentera pengaman dari Perancis dan Liga Afrika sudah dihantar namun sehingga kini keganasan terus berlaku dan dijangka akan ramai lagi yang terbunuh dan menjadi pelarian dalam keadaan di negara itu yang tidak terkawal.
Kami mendesak supaya Malaysia menghantar isyarat yang kuat kepada organisasi antarabangsa iaitu PBB , OIC dan Kesatuan Eropah supaya campur tangan dalam konflik CAR demi menyelamatkan nyawa awam yang tidak berdosa.
Dunia tidak boleh menunggu dan melihat konflik sektarian antara penganut agama Islam dan Kristian di CAR yang didorong oleh pertelingkahan politik melarat sehingga rakyat awam menderita dan satu lagi negara Afrika jatuh dalam keganasan yang merugikan.
Kami percaya Malaysia boleh memulakan usaha untuk menggerakkan badan dunia seperti Majlis Keselamatan PBB mengambil langkah lebih efektif untuk mencari penyelesaian.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM
Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi SHURA
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
