Suara Keadilan's Blog, page 367
March 10, 2014
PSM janji bantu kemenangan KEADILAN di PRK Kajang
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Mahkamah Rayuan yang telah menjatuhkan hukuman keatas DS Anwar Ibrahim(DSAI), ianya merupakan suatu tindakan ‘desperate’ pihak UMNO Barisan Nasional untuk memastikan DSAI tidak dapat bertanding dalam PRK Kajang yang akan datang ini.
Berikutan dengan kenyataan media PSM pada 12hb.Februari yang lalu menyatakan bahawa PSM tidak akan bertanding dalam PRK Kajang ini , PSM ingin menegaskan semula bahawa kami teruskan berkerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk menumpaskan UMNO-Barisan Nasional.
Justeru itu, Jawatankuasa Pusat PSM telah membuat keputusan untuk membantu Pakatan Rakyat dan PKR untuk memastikan kemenangan Datin Sri Wan Azizah (calon PKR) dalam PRK Kajang.
Keputusan ini diambil sebagai tanda solidariti dan protes PSM terhadap rejim UMNO-BN atas cara bacul mereka menggunakan Institusi Kehakiman untuk memenjarakan DSAI.
PSM bertekad untuk sama-sama berjuang untuk menukar rejim korup UMNO-BN dan akan mengerakkan anggota parti untuk bekerja untuk kemenangan bukan sahaja dalam PRK tetapi juga kemenangan yang lebih besar untuk menukar rejim UMNO-BN.
Hidup Rakyat ! Bangkit rakyat !
Dr. Nasir Hashim
Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM)
“Pengundi Kajang istimewa, wakili rakyat Malaysia”
KAJANG 10 MAC: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan pengundi Kajang adalah simbolik, penentu yang membawa suara dan referendum kepada dasar yang dijalankan kerajaan Pusat.
“Penduduk Kajang, undian kamu adalah istimewa. Kamu adalah pengundi yang akan mewakili rakyat” kata Dr Wan Azizah dalam ceramah sulungnya di Taman Cheras Mas, semalam.
Dalam pada itu Wan Azizah turut mengingatkan kepada semua penyokong Pakatan Rakyat khusus kepada pengundi Kajang untuk menunjukkan sokongan sepanjang tempoh berkempen dan hari mengundi pada 23 Mac nanti.
Kata Wan Azizah, kerosakan yang berlaku sepanjang pentadbiran hampir 60 tahun Umno-BN di negara ini perlu diperbetulkan, justeru memerlukan komitmen penyokong menyebar
“Ayuh kita sama sama lawan penindasan ini. Kita kena tunjukan keberanian ini untuk anak cucu kita. Keberanian ini adalah untuk masa depan negara kita,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 11 Mac (esok) sebagai hari penamaan calon, manakala hari mengundi bagi PRK N 25 Kajang adalah pada 23 Mac 2014.
Anwar umum tanding jawatan Presiden KEADILAN
PETALING JAYA 10 MAC: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Presiden Parti KEADILAN Rakyat pada pemilihan parti Mei tahun ini.
Beliau membuat pengumuman tersebut dalam satu program taklimat bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri selain pemimpin KEADILAN peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan Cabang dari seluruh negara.
Majis taklimat tersebut diadakan di Dewan Serbaguna, Bandar Utama bermula jam 2 petang tadi.
Perkara tersebut turut disahkan beberapa pegawai di pejabat Ketua Umum KEADILAN kepada Keadilandaily sebentar tadi.
Berita lanjut menyusul.
BN silap jika mahu patahkan semangat saya – Dr Wan Azizah
KAJANG 10 MAC: Umno-BN salah congakan sekiranya menganggap mengenakan tindakan undang-undang ke atas Anwar Ibrahim dapat mematahkan kemaraan Pakatan Rakyat khususnya dalam Langkah Kajang ini.
“Dulu saya memang tidak terfikir untuk bertanding. Kalau BN fikirkan (dengan tindakan) mereka hendak patahkan semangat saya,
“Tetapi sekarang kamu (Umno-BN) have woken up the dragon (telah mengejutkan seekor naga),” kata Dr Wan Azizah dalam ceramah pertama di Taman Cheras Mas di Kajang semalam selepas diumumkan calon KEADILAN N 25 Kajang,
Azizah merendah diri menyatakan tidak sehebat Anwar berpidato dan berceramah.
Namun beliau tegas menjelaskan tujuannya bertanding kali adalah untuk mewakili rakyat menumbangkan kezaliman Umno-BN.
“Dulu susah. Memang tidak pandai hendak bercakap. Saya bukanlah seorang yang boleh memberi pengucapan umum dengan baik,” kata Wan Azizah.
Wan Azizah, yang merupakan Presiden KEADILAN dipilih menjadi ahli parlimen Permatang Pauh sebanyak tiga kali iaitu pada 1999, 2004 dan 2008
“Tetapi saya punya hati, saya punya semangat masih ada lagi kekuatan dan kesihatan. Alhamdulillah Allah berikan kepada kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyelar ketidakadilan yang berlaku ke atas Anwar melalui keputusan kes Fitnah II 7 Mac lalu.
“Anwar diberi satu jam untuk mitigasi (meringankan hukuman) Kemudian dijatuhkan lima tahun penjara. Untuk apa ?, katanya.
Katanya, kredibiliti Shafee rapuh kerana peguam Umno itu antara individu yang hadir ketika Saiful Bukhari Azlan bertemu Datuk Seri Najib Razak di kediaman Perdana Menteri itu.
Malah Shafee pernah bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada Tun Dr Mahathir sewaktu pemecatan Anwar pada 1998.
Tindakan itu adalah pelanggaran etika profesional kepeguaman seperti terkandung dalam peraturan Profesion Guaman (Amalan dan Etika) 1978.
“Shafee (peguam pendakwaraya) pada malam Saiful pergi ke rumah Datuk Seri Najib, dia ada dalam rumah tersebut, tetapi berdalih yang dia berada di dapur (tempat lain).
“Shafee ada disitu, itu menunjukkan konspirasi,” kata Wan Azizah.
Dewan Muslimat Pas: Dr Wan Azizah manifestasi kepimpinan Pakatan
Ucapan Tahniah kepada Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan barisan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semua peringkat.
Selaku Mantan Calon PRK DUN Tenang,yang pernah melalui pengalaman siri pilihan raya kecil kali ke 11 pada tahun 2011,saya ingin merakamkan rasa gembira dan ingin mengucapkan setinggi – tinggi ucapan syabas dan tahniah atas keputusan yang memuktamadkan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menggalas cabaran sebagai calon wanita pakatan Rakyat dalam PRK Kajang.
Juga selaku satu- satunya calon wanita pertama di Malaysia yang diamanahkan dalam Pilihanraya Kecil di Dun Tenang (siri PRK ke 11),saya juga ingin menyeru dan memohon kerjasama daripada semua pihak untuk menyokong PKR yang mewakili Pakatan Rakyat untuk kita sama-sama merealisasikan hasrat membawa perubahan kepada nasib rakyat khususnya di DUN Kajang agar benar-benar terbela di bumi tercinta ini.
Memuktamadkan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ,sebagai calon PRK Kajang mewakili calon Pakatan Rakyat ,adalah adalah satu manifestasi kepimpinan Pakatan Rakyat yang mengiktiraf sumbangan semua pihak,baik lelaki mahupun perempuan.Ianya adalah penghargaan bermakna kepada wanita seluruh Malaysia, wanita Selangor dan khususnya bagi para pengundi di DUN Kajang.
Ini juga adalah kemuncak kepada keadilan perjuangan waimma pembelaan tanpa mengira jantina selari dengan tuntutan Islam terhadap wanita serta keluarga selaku rakan kongsi kaum lelaki dalam politik serta pentadbiran negara.
Ternyata isu perbezaan gender tidak timbul kerana pengiktirafan yang diberi dalam persada politik negara selama ini telah terbukti dan menghargai keterlibatan Kaum Hawa untuk bersama – sama mewarnai persada politik negara.
Sudah pasti cabaran dalam mengharungi ujian fitnah, adu domba dan serangan peribadi negatif yang direkacipta dari blogger upahan dan pihak yang tidak bertanggungjawab akan berlaku ,sepanjang siri berkempen bermula 12 Mac selepas penamaan calon dan sebelum 23 Mac tapi kami kepimpinan Dewan Muslimat Pas Malaysia penuh percaya, ianya dapat diharungi dan dihadapi oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berdasarkan pengalaman,ketabahan dan kesabaran beliau selama ini dalam menongkah arus perjuangan untuk masa depan generasi yang lebih bermakna dalam mewarnai landskap politik negara.
Saya optimis dan percaya bahawa pemilihan ini adalah aset terpenting untuk kita memahami seterusnya membela nasib pengundi di seluruh DUN Kajang ini.Justeru itu, saya mengambil kesempatan ini untuk merayu sokongan para pengundi semua kaum di Dun Kajang agar merebut peluang berharga ini untuk bersama-sama Pakatan Rakyat, bagi memastikan keperluan pengundi DUN Kajang dapat dipenuhi mengikut keadilan rakyat yang sebenarnya melalui proses demokrasi.
Selamat bertugas kepada semua petugas dan jentera Pakatan Rakyat dari PAS, Keadilan, DAP dari seluruh negara. Keyakinan dan doa saya agar segala perancangan, kerja keras semua pihak dalam kempen kali ini akan diberkati Allah swt dan akan
MEMENANGKAN Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Dun Kajang pada 23 Mac ini.
Normala Sudirman
Dewan Muslimat Pas Malaysia
“Kini bukan masa berlembut dengan Umno-BN”
(Nazar Hashim)
SEBERANG JAYA 10 MAC: Melihat perancangan Umno-BN bagi menyerang Pakatan Rakyat, tidak ada lagi ruang untuk bertolak ansur dengan mereka, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mereka (BN) menggunakan pelbagai penipuan dan fitnah untuk mengekalkan kuasa.
“Kini bukan lagi masa untuk berlembut dengan kerajaan Umno-BN yang semakin zalim dan pembohong.
“Rakyat mesti sokong Pakatan Rakyat untuk menentang kezaliman Umno-BN dengan membalas serangan mereka,” kata Anwar ketika berucap di hadapan lebih lima ribu hadirin yang membanjiri tapak ceramah Jalan Tenggiri, Seberang Jaya, semalam
Kata Anwar, rakyat tidak boleh lagi membiarkan kezaliman, gelagat jahat dan zalim pimpinan Umno-BN.
Tambahnya, Umno-BN kini ‘bermain kasar’ apabila menggunakan mahkamah untuk menghalangnya bertanding di pilihan raya DUN Kajang.
Anwar turut mengulas perbicaraan tuduhan hasutan keatas Pengerusi DAP, Karpal Singh yang akan diputuskan esok.
“Mereka menyalahgunakan kuasa dengan menjadikan mahkamah sebagai alat untuk mengekang kemaraan Pakatan Rakyat.

Lebih 5,000 hadir mendengar ceramah Anwar di Seberang Jaya, Pulau Pinang
“Selepas penamaan calon PRK Kajang, Pakatan akan berarak ke Mahkamah Tinggi bagi menunjukkan sokongan moral kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana penyalahgunaan kuasa Umno-BN.
“Kita sudah tidak ada masa lagi untuk berlembut dengan mereka. Umno-BN mesti ditentang habis-habisan, ” ujar beliau lagi.
Tambahnya, Pakatan Rakyat mengambil keputusan tegas apabila membuat keputusan hanya akan hadir pada hari pertama persidangan parlimen sebagai taat setia kepada Yang Dipertuan Agung.
“Jika kita telah lancarkan ‘perang’ terhadap Umno-BN, kita mesti berperang habis-habisan demi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa seperti yang mereka lakukan terhadap pimpinan Pakatan,” kata Anwar disambut laungan reformasi dan takbir hadirin.
March 9, 2014
Sokong dan pastikan kemenangan Pakatan di Kajang – Mat Sabu
(Nazar Hashim)
SEBERANG JAYA 10 MAC: Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyeru jentera Pakatan Rakyat menyokong dan memastikan kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, bakal calon KEADILAN bagi pilihan raya kecil N25 Kajang
“Sokong dan beri kemenangan kepada beliau untuk menjunamkan sokongan Umno-BN di Kajang nanti,” kata Mohamad Sabu di hadapan lebih lima ribu hadirin yang membanjiri tapak ceramah di Jalan Tenggiri, Seberang Jaya semalam.
Kata Mohamad, Umno-BN silap membuat percaturan apabila melupakan sejarah pada 1998 dan 2008.
“Mereka alpa bagaimana kebangkitan rakyat menentang kezaliman Mahathir sehingga Pakatan Rakyat menjadi kuat dan bersatu bersama rakyat menentang kerajaan yang jahat.
“Jika (tahun) 1998 rakyat boleh bangkit dengan laungan reformasi, tidak mustahil kebangkitan tersebut berulang sekali lagi bagi menenggelamkan terus bahtera Umno-BN yang sedang terumbang-ambing.
“Jika Umno-BN dibiarkan, rakyat pasti dizalimi. Yang batil menjadi benar, yang benar menjadi salah seperti mana yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.
Dalam pada itu, Mohamad Sabu turut hairan dengan keputusan dibuat Hakim Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang mensabitkan Anwar.
“Hakim terlalu efisien, canggih dan ekspres sehingga boleh membuat keputusan bersalah dalam masa yang singkat.
“Jika Umno-BN tidak takut pada Anwar kerana hendak percepatkan kes yang sepatutnya dibicara dalam April, tiba-tiba dialih sebelum hari penamaan calon PRK Kajang.
“Inilah bentuk keadilan yang diamalkan oleh pemerintahan Umno-BN bagi menolak pemimpin pembangkang yang mereka takuti,” kata Mohamad.
PR boikot parlimen esok, Anwar perjelas sebab pada YDP Agong
(Lyn Nasir)
KUALA LUMPUR 10 MAC : Keputusan Pakatan Rakyat memboikot sidang Parlimen esok akan tetap diteruskan, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya ia sebagai tanda protes terhadap kerajaan yang menyalahguna kuasa bagi mempengaruhi badan kehakiman.
“Kita protes kerana mereka (BN) menyalahguna kuasa terhadap sistem dan badan kehakiman.
“Tapi kita perlu hadir (hari ini) sebagai tanda hormat kepada Yang Dipertuan Agong,” kata Anwar ketika ditemui pemberita di lobi parlimen hari ini.
Anwar yang dilihat berpakaian suit hitam berkata, beliau serta pimpinan Pakatan Rakyat hadir ke Parlimen hari ini bagi menghormati Yang Dipertuan Agong, namun tetap tidak akan menhadiri majlis jamuan bersama Menteri Kabinet, Speker dan Ketua Hakim, petang ini.

Anwar bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen pagi ini
“Esok kita tidak hadir semuanya, bantah kezaliman BN, rasuah meningkat yang tidak disentuh.” kata Anwar selepas menghadiri pembukaan sesi pertama persidangan Dewan Rakyat oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Anwar dalam pada itu berkata telah menyerahkan surat kepada Yang Dipertuan Agong bagi menberikan penjelasan memulaukan sidang Parlimen esok.
“Saya dah utus surat kepada Agong, perjelaskan pendirian mengapa kita hadir kerana kasih dan taat setia kepada Tuanku YPD Agong,
“Tapi tidak akan hadir jamuan dan perbarisan kerana kita tak akan bersekongkol dengan puak zalim dan rasuah,” tegas Anwar.
Siasat pasport palsu bolos pemeriksaan imigresen
KUALA LUMPUR 9 MAC: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas atau Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes dua penumpang MH370 yang menggunakan pasport palsu.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak imigresen perlu memberikan penjelasan berhubung kes tersebut kerana menimbulkan persepsi negatif khususnya dalam kalangan masyarakat antarabangsa.
“Jawatankuasa khas atau Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat kes keselamatan ini. Bagaimana mereka boleh bolos dalam keadaan pemeriksaan imigresen dan pihak penerbangan yang ketat.
“Isu pembolosan ini isu besar, jadi imigresen dan KDN perlu memberikan penjelasan supaya tidak timbul spekulasi yang memburukkan lagi keadaan.
“Kita tidak mahu wujudkan spekulasi tetapi mungkin berlaku rampasan pesawat atau sesuatu berlaku dalam pesawat? Ini memerlukan penyiasatan,” katanya ketika ditemui pada persidangan wakil rakyat PAS (Perwira 2014), di sebuah hotel dekat sini hari ini.
Sebelum ini, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan bahawa empat penumpang MH370 yang masih hilang menggunakan pasport palsu. Bagaimanapun, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) semalam mengesahkan hanya dua pasport palsu digunakan penumpang MH370.
Sambil mengucapkan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada keluarga 239 penumpang termasuk 12 anak kapal, Mahfuz menyeru rakyat Malaysia mengadakan solat hajat dan berdoa agar usaha pencarian dipermudahkan.
“Kita tidak tahu apa yang terjadi cuma kita jangan berhenti berdoa agar kesemua penumpang ditemui walau dalam apa jua keadaan dan usaha pihak penyelamat berjalan lancar.
“Kepada orang Islam, mari kita sama-sama lakukan solat hajat agar dipermudahkan segala urusan dalam kes ini,” katanya seperti dilapor Harakahdaily.
MH307 yang berlepas dari KLIA pada jam 12.41 pagi menuju ke Beijing dilaporkan hilang dua jam selepas penerbangan.
March 8, 2014
Dr Wan Azizah calon KEADILAN di Kajang
KAJANG, 9 MAC: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diumum sebagai calon bari bagi pilihan Raya Kecil DUN Kajang.
Beliau akan menggantikan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hilang kelayakan untuk bertanding di kerusi itu selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah rayuan.
Perkara itu dinyatakan Anwar dalam satu sidang media di Kajang, hari ini.
Dalam sidang media yang sama, Wan Azizah mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak terkesan dengan tekanan yang diberikan oleh Umno BN, susulan hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Anwar.
“Saya berterima kasih atas kepercayaan dan amanah yang telah dipertanggungjwab kepada saya,”
“Saya akan membawa suara rakyat kerana saya mewakili rakyat biasa juga yang melihat ketidakadilan ini, saya ajak semua rakyat Malaysia bersama dengan beri satu mesej yang jelas (kepada Umno BN).
“Kita tidak boleh terus ditindas oleh ketidakadilan walaupun mereka nak jatuhkan, menguburkan niat kita untuk bawa malaysia yang lebih baik.
“Mari kita bersama, jangan berundur, kita teruskan perjuangan,” katanya.
Sidang media tersebut turut dihadiri pengarah pilihanraya Pas, Dr Hatta Ramli dan penasihat DAP, Lim kit Siang.
Suruhanjaya Pilihanraya menetapkan tarkh 11 Mac sebagai penamaan calon manakal 23 Mac depan sebagai tarikh pembuangan undi.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
