Suara Keadilan's Blog, page 364
March 19, 2014
76% yakin Wan Azizah menang PRK Kajang – Kajian Unisel
(Oleh Amirul Azhan)
KUALA LUMPUR 20 MAC: Calon KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bakal memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 Kajang, pada Ahad ini, mengikut kajian penyelidik Universiti Selangor (Unisel).
Ketua Penyelidik dalam Kajian Soal Selidik Pola Pengundian dan Isu Semasa, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis berkata, 75.9 peratus daripada 394 responden menyatakan keyakinan mereka terhadap calon KEADILAN itu dalam satu kajian soal selidik yang dijalankan, antara 12 hingga 16 Mac lalu.
Hasil kajian itu mendapati, cuma 24.1 peratus responden menyatakan calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun akan menenangi PRK tersebut.
Dr Muhammad Shamsinor sangat yakin terhadap keputusan penyelidikan ini dan bertegas ia sesekali tidak akan berubah.
“Ini merupakan kajian akademik yang dilakukan oleh kami dan kami tidak akan sesekali menyebelahi mana-mana parti yang bertanding.
“Kajian ini juga dilakukan oleh para ilmuan secara telus dan akademik,” kata Dr Muhammad Shamshinor kepada media di kampus Unisel, Shah Alam, semalam.
Beliau berkata, kajian berkenaan juga mendapati, 61.4 peratus responden menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Wan Azizah dengan menyifatkan beliau mempunyai kepimpinan yang baik.
Sementara itu, Mei Fun pula hanya memperoleh 34.2 peratus menyatakan beliau mempunyai kepimpinan yang baik.
Ini jelas menunjukkan persepsi penduduk Kajang terhadap pencalonan Wan Azizah diterima baik.
Penglibatan sekumpulan 10 orang penyelidik di kalangan ahli akademik daripada lima IPTA yang melakukan kajian dan penyelidikan tersebut bertujuan bagi mendapatkan pola pengundian dan isu semasa menjelang PRK Kajang.
Kajian itu meliputi responden Melayu 65.4 peratus, Cina (18.8 peratus) dan India (14 peratus).
Menurut Dr Muhammad Shamsinor, kajian seumpama ini telah dilakukan pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu dan peratusan yang diperolehi adalah sangat tepat dan harus dihormati oleh semua pihak.
March 17, 2014
Mati akibat dadah: Tindakan tegas kepada penganjur konsert
KUALA LUMPUR 17 MAC: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan, Nazree Yunus berkata, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap penganjur Konsert Future Music Festival Asia 2014, ekoran berlaku kematian akibat salahguna dadah.
“Sesiapapun pihak penganjur yang mengadakan konsert tersebut, ia perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana telah menganjurkan konsert yang tidak selamat dan terlalu bebas,”
“Saya minta semua agensi yang terlibat agar melakukan siasatan penuh dengan kadar segera terutamanya dengan membekukan lesen pihak penganjur,” tegas Nazree yang juga Naib Ketua AMK.
Pada 14 Mac lalu, 6 maut dan 14 lagi dirawat disyaki mengambil dadah secara berlebihan pada konsert berkenaan yang dianjurkan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Difahamkan, konsert yang berlangsung 13 hingga 15 Mac itu dianjurkan Syarikat Livescape Sdn Bhd yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Konsert ini turut mendapat kebenaran dan sokongan sepenuhnya daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sedangkan promosi begitu tertutup dan tersembunyi daripada pengetahuan awam.
Sementara itu, Polis dilapor menahan 29 individu pelbagai warga yang disyaki terlibat dalam kegiatan dadah di konsert berkenaan.
Tambah Nazree, konsert bebas seperti ini mendorong kepada aktiviti kurang sihat golongan remaja dan berharap perkara seperti ini menjadi iktibar pelbagai pihak.
Mejar Zaidi terharu dapat sokongan rakyat, NGO
KUALA LUMPUR 17 MAC: Kapten Mejar Zaidi Ahmad yang didakwa kerana membuat laporan polis mengenai dakwat kekal, menyatakan rasa terharu atas sokongan rakyat dan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Katanya, sokongan orang ramai itu ditunjukkan melalui media sosial dan rombongan ke rumah beliau sendiri.
“Saya rasa terharu, mereka datang daripada jauh, berikan sokongan, ada juga yang menyokong melalui media sosial, saya hargai itu,” tulisnya di laman Twitter.
Kapten Mejar Zaidi Ahmad sebelum ini dituduh melanggar arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam pengundian awal pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
Beliau dihadapkan ke Mahkamah, di mana sebutan kes dibuat pada 7 Februari lalu dan akan dibicarakan pada 8 hingga 10 April 2014 di Mahkamah Tentera Tentera Udara Malaysia (TUDM), Kuala Lumpur.
“Sekarang ini (saya) masih bertugas sebagai tentera, tetapi hanya di pejabat, tidak bekerja luar di bahagian penerbangan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan kepada tindakan berani Mejar Zaidi.
Antaranya dengan mengambil gambar mereka bersama kad yang mengandungi mesej seperti “Gugur pertuduhan Mejar Zaidi” atau “Hukum SPR, bukan Mejar Zaidi”.
Beliau juga meminta pengguna laman sosial menyiarkan gambar tersebut dalam Facebook atau Twitter masing-masing dengan hashtag ‘#sokongzaidi’ sebelum perbicaraan bermula April nanti.
Sehingga kini, orang ramai menyatakan sokongan dalam laman Facebook ‘Sokong Mejar Zaidi TUDM’ yang menerima 20,000 tanda suka.
Selain itu, satu rombongan Bersih 2.0 yang terdiri daripada Maria, Naib Pengerusi Bersih (Semenanjung Utara), Datuk Dr Toh Kin Woon, ahli Sekretariat Mandeep Singh dan Adam Adli, serta bendahari Ikram Mustafa Basri telah melawat pegawai itu di rumahnya di Bertam, Kepala Batas pada 24 Februari lalu.
MAS perlu keluar kenyataan, pulihkan imej juruterbang – Bekas jeneral
(Azuan Ab Rahman)
KUALA LUMPUR 17 MAC: Pengurusan MAS perlu tampil mempertahankan juruterbang mereka ekoran pelbagai spekulasi liar bagi memburuk-burukkan kewibawaan juruterbang pesawat MH370.
Bekas pesara kanan Tentera Udara di Raja Malaysia (TUDM), Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab berkata, MAS seharusnya tidak bersikap lepas tangan dalam menghadapi spekulasi melibatkan kakitangannya.
“Saya merasa sangat pelik apabila pelbagai tohmahan disebarkan, MAS tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan mempertahankan Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang, Farid Abdul Hamid.
“MAS perlu mengembalikan kepercayaan penumpang kepada syarikat penerbangan itu dengan segera, bila tiada kenyataan dikeluarkan MAS bagi memulihkan reputasi kakitangan mereka, ini tindakan pelik,” jelas Abdul Hadi.
Mahu spekulasi liar tanpa bukti itu dihentikan segera, Abdul Hadi juga menggesa kerajaan serius menangani kehilangan pesawat yang hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.
“Berhentilah memburuk-burukkan juruterbang itu, setakat bermain teka teki dan menuduh tanpa bukti semua orang boleh buat.
“Sepatutnya kerajaan harus berusaha lebih keras bagi mengesan di mana sebenarnya pesawat itu berada sekarang, bukannya memberikan jawapan demi jawapan yang tidak konsisten sehingga timbul lebih banyak kekeliruan,” tegas Hadi yang pernah berkhidmat lebih lebih 30 tahun dalam TUDM.
March 16, 2014
Anwar selar kaitkan kehilangan MH370 dengan KEADILAN
KUALA LUMPUR 17 MAC: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai pihak yang cuba mengaitkan kehilangan pesawat Malaysia Airline System, MH 370 dengan parti itu.
Anwar menyelar laporan media asing mengenai juruterbang pesawat itu Kapten Zaharie Ahmad Shah yang didakwa kecewa selepas menghadiri keputusan rayuan kes fitnah terhadap beliau, Jumaat 7 Mac lalu.
“Hari ini macam-macam laporan media antarabangsa tulis, katanya kapten (juruterbang) curi kapal terbang sebab sedih dengan keputusan mahkamah yang nak penjarakan saya selama lima tahun.
“Laporan apa ni? Kalau nak sedih ramai lagi sedih,” kata beliau sewaktu berceramah di Kampung Baru Sungai Chua, Kajang pada 16 Mac lalu., lapor Malaysiakini.
Terdahulu sebelum itu, Anwar membidas sikap kerajaan yang tidak telus dan gagal mengendali isu kehilangan pesawatMH370 sehingga mendapat kritikan antarabangsa.
Jelas Anwar, kelemahan itu dapat dilihat apabila kerajaan memberikan jawapan yang bercelaru dan tidak konsisten kepada media antarabangsa yang tampil membuat liputan kehilangan misteri pesawat tersebut.
“Selama ini dia (kerajaan) jaga utusan, TV3, RTM dan surat khabar Umno, itu dia boleh kawal.
“Dia tak biasa dengan media antarabangsa, bila media antarabangsa serang, dia jadi panik,” jelas Anwar dalam satu lagi ceramah di Kajang pada 14 mac lalu.
Katanya, tambah memalukan apabila ketidakmampuan kerajaan mengendali isu berkenaan turut diselar media antarabangsa.
” New York time kata, tak layak menteri-menteri ini jaga dan kendali, satu dunia kata tak layak, ini kenyataannya,” tegas Anwar.
Bagaimana dadah dibawa masuk ke konsert?
KUALA LUMPUR 16 MAC: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin mendesak pihak berkuasa menyiasat bagaimana dadah dibawa masuk pada konsert ‘Future Music Festival Asia 2014′ yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ini berikutan kes kematian membabitkan enam remaja kerana mengambil dadah sintetik (methamphetamine) ketika menghadiri konsert berkenaan.
“Saya minta Menteri Dalam Negeri berikan penjelasan dan tidak boleh berdiam diri dalam perkara ini. Perlu arahkan segera siasatan menyeluruh membabitkan semua agensi,” kata Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil.
Dalam kejadian itu, 6 maut dan 3 lagi kritikal kerana didaapti mengambil dadah berlebihan. Manakala Bernama hari ini melaporkan, 16 masih dirawat di hospital.
Mereka yang meningggal dunia terdiri daripada empat Melayu termasuk tiga wanita, seorang Cina dan seorang India.
Konsert anjuran Livescape Asia ini dihadiri 85, 000 peminat dan dijadual berlangsung pada 13 hingga 15 Mac. Penganjur bagaimanapun membatalkan konsert pada hari terakhir.
Shamsul pada masa yang sama menggesa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk mengambil tindakan segera kerana isu penyalahgunaan dadah ini membabitkan golongan muda.
Tambahnya lagi, Kementerian terlibat perlu mengeluarkan panduan rasmi kepada mana-mana penganjur agar tragedi sama tidak berulang.
“KBS perlu lebih agresif dalam menganjurkan program-program yang berbentuk hiburan supaya lebih terarah dan sopan agar mesej-mesej yang murni dan beretika dapat disampaikan dengan lebih efektif,” tegas beliau.
Kaitkan Anwar, spekulasi media tak bertanggungjawab- Tian
KUALA LUMPUR 16 MAC: Laporan media mengaitkan kehilangan pesawat MH370 dengan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak bertanggungjawab, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.
“Tuduhan baru-baru ini dalam media tertentu yang juruterbang mempunyai peranan dalam kehilangan pesawat MH370 adalah betul-betul spekulatif dan ia adalah tidak bertanggungjawab untuk membuat sindiran tanpa maklumat yang disahkan,” katanya.
Beliau merujuk laporan akhbar Britain, Daily Mail hari ini yang membuat spekulasi bahawa Zaharie seorang “aktivis politik vokal” dan juga sebagai “penyokong kuat Anwar’.
Menurut laporan itu, Zaharie, seorang ahli KEADILAN seumur hidup, hadir di mahkamah pada 7 Mac untuk perbicaraan Anwar dalam kes fitnah terhadapnya.
Laporan itu juga memetik sumber polis sebagai berkata mereka tidak menolak kemungkinan Zaharie kecewa dengan keputusan mahkamah.
Tian berkata tidak ada bukti menunjukkan Zaharie berada di mahkamah itu, sambil menambah kecenderungan politiknya tiada kaitan dengan kes terbabit.
Beliau juga menegaskan tidak adil menyalahkan Anwar atas ‘semua’ isu, termasuk membabitkan beliau dalam kejadian Lahad Datu, Operasi Lalang dan 13 Mei.
“KEADILAN menggesa kerajaan pusat Malaysia tidak menggunakan ini sebagai alasan atau peluang untuk mengaitkan atau bingkai parti komponen Pakatan Rakyat atau pemimpin mereka,” katanya.
“Ia sudah bermula, saya tidak mengatakan pemimpin tetapi kita lihat media Umno sudah pergi ke arah itu,” tambahnya.
March 15, 2014
4 bekas tokoh Umno berkongsi pentas, seru pengundi tolak BN
(Oleh: Basyar Ab Kadir)
KAJANG 16 MAC: Empat bekas tokoh Umno semalam berkongsi pentas yang sama dan menyeru pengundi menolak Barisan Nasional khususnya dalam Pilihanraya Kecil N 25 Dun Kajang.
Mereka yang menyampaikan ceramah terdiri daripada Datuk Tamrin Abdul Ghafar, yang menyertai Pas sejak 2012, bekas Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dr Zayadi Awang Noh, Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin, dan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas tani, Datuk Sharif Omar, yang baru mengumumkan sebagai ahli KEADILAN pada 14 Mac lalu.
Kesemua bekas pimpinan Umno itu berucap dalam satu ceramah bertemakan “Tiada Esok Bagi Umno BN” di Tapak Karnival Usahawan, Jalan Jerlok 9, Kajang.
Dalam ucapannya, Tan Sri Sharif Omar yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang mengakui bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempergunakan seluruh jentera Umno untuk menzalimi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
“Semasa saya jadi Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, disuruh buat mesyuarat panggil ketua cabang, untuk sokong tindakan pemecatan yang dikenakan ke atas Anwar Ibrahim,” ujarnya.
Mohd Shariff menyerahkan borang keahlian menyertai KEADILAN ketika ceramah di Kajang, pada Jumaat malam lalu.
Beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen Tasek Gelugor secara automatik dipecat daripada Umno selepas bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya Umum lalu.
Sementara itu, Datuk Tamrin dalam ucapannya berkata, sudah tiba masanya rakyat Kajang melalui PRK ini menolak pembaziran dilakukan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Anak kepada tokoh Umno, Tun Ghafar Baba ini berkata, Najib boros berbelanja termasuk menggunakan pesawat persendirian ke luar negara, sedangkan rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
“Kita (rakyat Malaysia) dapat apa?, Umno BN menang dulu sebab tipu orang kampung, jadi apa yang ditunggu lagi?
“Saya minta tuan puan, kita tunjukkan. Ajar BN cakap dengan pimpinan Najib, kepimpinan Najib tidak boleh dihormati lagi,” katanya.
Dr Zayadi Awanag Noh pula menjelaskan kepentingan memilih kepimpinan yang baik untuk kesejahteraan rakyat, dengan menjadikan kerajaan Kelantan dan Selangor sebagai contoh.
“Mereka (pemimpin Umno) hidup di luar batasan kemampuan, tapi rakyat kena makan kangkung.
“Kita mahu kepimpinan yang baik. Kenapa Kelantan boleh bertahan 23 tahun? Kerana kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kenapa Pakatan Rakyat Selangor boleh bertahan, boleh menang lebih daripada dua pertiga majoriti? Kerana kepimpinan Tan Sri Khalid. Kita mesti laksakan perubahan ini,” ujarnya.
Kaitkan rampasan MH370 dengan Anwar, Umno BN kehabisan modal
KUALA LUMPUR 16 MAC: KEADILAN membidas teori mendakwa juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah merampas pesawat Malaysia kerana kecewa dengan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes fitnah II.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata walaupun Zaharie merupakan ahli seumur hidup parti itu, perkara ini mustahil berlaku kerana ia melibatkan nyawa ramai manusia dan merupakan satu teori konspirasi politik yang tidak masuk akal.
“Semua dikaitkan dengan Anwar sangat unik dalam politik Malaysia. Namun mengenali Umno dan BN, kalau mereka kehabisan modal, sesuatu yang bersifat khayalan boleh menjadi nyata,” kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider.
Saifuddin berkata, isu sebenarnya kerajaan Malaysia tidak kompeten dalam menguruskan kes pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu dengan 239 penumpang termasuk anak kapal.
Akhbar Britain, Daily Mail hari ini melaporkan kemungkinan teori pesawat tersebut dirampas sebagai protes terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan Anwar bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Akhbar Britian itu mendedahkan, beberapa jam sebelum berlepas dengan pesawat Boeing 777-200ER (9M-MRO) untuk ke Beijing, Zaharie pergi ke mahkamah pada 7 Mac untuk menyatakan sokongan terhadap Anwar.
Apabila ditanya apakah KEADILAN akan mengambil tindakan terhadap akhbar tabloid Britian itu, Saifuddin berkata:
“Tidak ada sebarang tindakan daripada PKR buat masa ini. Fokus kami adalah untuk menyeru rakyat Malaysia doa agar pesawat MH370 ditemui,”
Akhbar tersebut turut memetik sumber polis yang mengesahkan Zaharie, 53, merupakan aktivis yang lantang dan berkemungkinan kecewa dengan keputusan mahkamah.
Semalam, polis menyerbu rumah juruterbang berpengalaman itu di Laman Seri, Shah Alam yang mempunyai simulator penerbangan di rumah selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib razak mengumumkan fasa kedua pencarian pesawat MH370 pada satu sidang akhbar khas.
Daily Mail berkata, terlalu banyak masa dihabiskan menyiasat dua komputer riba yang diambil dari rumah Zaharie, yang dipercayai mengandungi data simulasi penerbangan, minggu lalu.
Akhbar tabloid itu melaporkan, meskipun pihak berkuasa Malaysia menafikan serbuan dilakukan di rumah Zaharie, dua komputer riba itu diambil semasa lawatan pihak polis awal minggu lalu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa gagal mengesan komputer riba peribadi Zaharie dan dipercayai dibawa bersama dalam kokpit pesawat dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, lapor Daily Mail.
March 14, 2014
Telefon Nurul Izzah, Tian Chua digodam, cubaan gugat jentera PR
KUALA LUMPUR 14 MAC: Nombor talian yang digunakan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab, dipercayai bagi menimbulkan kecelaruan terhadap jentera Pakatan Rakyat sempena Pilihan Raya Kecil Kajang.
Menurut makluman dari pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, identiti pihak berkenaan masih belum diketahui.
“Talian beliau telah digunakan oleh penggodam untuk menghantar SMS yang tidak diketahui kandungannya.
“Kami percaya, perbuatan ini dilakukan untuk mewujudkan kecelaruan di dalam barisan jentera parti-parti pembangkang,” tulis kenyataan itu.
Ekoran itu, mereka meminta siasatan pantas dibuat ke atas pihak yang terlibat.
“Kami berharap tindakan segera dan tegas sedang diambil syarikat telekomunikasi khususnya Maxis atas perbuatan khianat ini,” kata kenyataan itu.
Seorang lagi Naib Presiden parti yang berhadapan tindakan serupa adalah Tian Chua.
“Ramai terima SMS kononnya amaran dari saya yang dakwa PAS sabotaj PRK Kajang, nombor hand phone saya kena hack (godam) atau klon dan edarkan SMS atas nama saya,” tulis Ahli Parlimen Batu itu di twitter petang ini.
“Waspada, ada SMS kononnya arahan daripada saya yang cuba menanam syak-wasangka antara jentera KEADILAN dan PAS – ini taktik kotor BN!,” tegasnya.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
