Suara Keadilan's Blog, page 361
March 28, 2014
Pemilihan KEADILAN: Rodziah umum tanding Ketua Wanita Pusat
Saya ingin mengumumkan bahawa saya akan bertanding jawatan Ketua Wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam pemilihan parti 2014 ini.
Ia adalah di atas keyakinan bahawa Wanita KEADILAN akan dipimpin untuk melaksanakan Agenda Reformasi dengan santunan, gerak kerja, perancangan dan pelaksanaan yang sudah sedia diperolehi model-modelnya dari pengalaman saya dalam barisan pimpinan KEADILAN dan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor.
Keyakinan dari anggota kepimpinan wanita dan akar umbi juga menggesa agar adanya suatu perubahan dalam Sayap Wanita yang membolehkan kepimpinan baru menerajui Sayap Wanita KEADILAN.
“Pembaharuan itu diyakini akan memberikan kesegaran dalam pengolahan agenda masa depan Wanita KEADILAN.”
Ia merupakan suatu gesaan yang tidak boleh diketepikan dan saya tampil menyahutnya dengan segala i’tikad dan semangat supaya segera dapat dikotakan kepimpinan yang dikehendaki oleh anggota wanita KEADILAN: penerapan dan pengaktualan pembuatan keputusan secara kolektif, ketelusan dalam pengoperasian aktiviti wanita dan keakuran berlandaskan panduan dan perlembagaan parti.
Gesaan dari akar umbi itu adalah amanah bagi saya, yang akan saya genggam erat dan memohon agar sering diperingatkan kepada saya secara jujur dan tulus.
Saya yakin wanita-wanita anggota parti yang berkebolehan wajar juga menawarkan diri mereka untuk bertanding bersama-sama dalam barisan kepimpinan wanita KEADILAN.
Ia bertujuan agar barisan kepimpinan wanita KEADILAN lebih mantap dalam usaha ke arah membentuk masyarakat dengan rasa kasih dan empati, bersulamkan amalan saling memberdaya dan melengkapi.
Dengan penuh kesediaan dan rasa kesedaran akan amanah itu, saya telah mengambil keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Pusat dalam Pemilihan KEADILAN 2014 nanti.
Rodziah Ismail
Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pusat
March 27, 2014
Sekat pemimpin KEADILAN masuk Sarawak bermotif politik, jahat
(Oleh: Rusnizam Mahat)
KUALA LUMPUR 28 MAC: Tindakan kerajaan negeri Sarawak menghalang pemimpin KEADILAN memasuki negeri itu adalah bermotif politik dan berniat jahat, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
“Sebagai parti politik berdaftar, KEADILAN sepatutnya dibenarkan bergerak bebas ke seluruh negara termasuk di Sarawak.
“Kenyataan ketua menteri Sarawak bahawa larangan masuk seperti itu dengan alasan akan menimbulkan huru-hara, atau kacau ganggu dan memberi kesan buruk kepada hubungan kaum, jelas bermotif politik dan berniat jahat serta tidak pernah dibuktikan pun,” ujarnya ketika dihubungi.
Saifuddin disekat memasuki Sarawak ketika tiba di Sibu pada jam 11 pagi, 25 Mac lalu dan dimaklumkan bahawa satu arahan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak untuk menyekat beliau daripada memasuki negeri itu.
Turut menerima nasib sama ialah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan terbaru Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin.
Menurut Saifuddin, tidak pernah berlaku tindakan menghalang pemimpin pembangkang dari semenanjung untuk menyertai mana-mana kempen pilihan raya kecil di bumi kenyalang.
“Tak pernah ada masalah selama ini untuk masuk ke negeri Sarawak sejak KEADILAN ditubuhkan pada tahun 1999.
“Saya percaya ia sekadar mengesahkan BN Sarawak semakin gentar terhadap pengaruh parti KEADILAN, dan kesedaran rakyat negeri Sarawak yang menerima baik parti KEADILAN,” ujarnya menambah ini adalah kali pertama beliau dilarang memasuki negeri berkenaan.
Katanya lagi, larangan itu juga menunjukkan Ketua Menteri Sarawak yang baru, Tan Sri Adenan Satem bimbang dengan kemaraan KEADILAN, menjelang Pilihan Raya Kecil negeri itu yang akan diadakan dalam tempoh dua tahun lagi.
“Satu cara digunakan oleh Adenan Satem untuk menyekat kemaraan parti KEADILAN adalah dengan cara mengenakan sekatan masuk terhadap pemimpin KEADILAN ke Sarawak.
“Adenan Satem terlepas peluang untuk keluar dari kepompong Taib Mahmud dan hanya menjadi penerus kepada pengaruh dan polisi Taib Mahmud. Anehnya kita tak pernah hadapi masalah sebelum ini,” katanya.
Taib meletak jawatan sebagai ketua menteri bulan lalu dan digantikan oleh Adenan Satem sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
PRK DUN Balingian diadakan selepas Taib mengosongkan kerusi berkenaan yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Yussibnosh Balo dan calon KEADILAN, Abdul Jalil Bujang
Halang pemimpin KEADILAN, BN Sarawak terdesak – Zuraida
PETALING JAYA 28 MAC: Tindakan kerajaan negeri Sarawak menghalang beberapa pimpinan KEADILAN memasuki negeri itu merupakan tindakan terdesak menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Balingian, kata ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.
“Ini satu tindakan terdesak BN di Sarawak kerana mereka takut kepada pemimpin PKR untuk berkempen dan mengekang rakyat bergerak secara bebas dalam negara demokrasi.
“Ini hak kita. Mengapa mereka menafikan hak ini? Mereka menggunakan kuasa negeri yang tidak bertempat. Perbuatan ini memberi kesan kepada keputusan pilihan raya nanti,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya hari ini.
Semalam, Zuraida dihalang memasuki Sarawak sebaik tiba di Lapangan Terbang Sibu pada jam 2.30 petang dan diminta meninggalkan negeri itu pada petang hari yang sama.
Beliau merupakan pemimpin keempat dikenakan tindakan berkenaan selepas Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan Naib Presiden, Tian Chua.
Sementara itu, bercakap dengan Suara Keadilan, Zuraida bimbang keadaan itu akan berterusan pada kempen Pilihan Raya Negeri di Sarawak dan menjejaskan kempen Pakatan.
“Saya khuatir jika perkara ini berterusan, ia akan menjejaskan pergerakan untuk masa akan datang seperti untuk pilihan raya negeri yang akan diadakan pada tahun 2015,” katanya.
Wan Azizah: Bas pengantara projek khas elak kesesakan trafik Kajang
(Oleh Basyar Abd Kadir)
KAJANG 27 MAC: Kerajaan Selangor merancang untuk menyediakan bas pengantara (feeder bus) sebagai alternatif menaik taraf sistem pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan trafik di Kajang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, projek khas itu sebagai penyelesaian masalah trafik yang dijangka akan meningkat ekoran pembinaan stesyen Aliran Transit Massa (MRT) di Kajang.
“Antara masalah apabila MRT ini siap nanti, tiada penghubung khas untuk penduduk ke stesyen itu.
“Untuk mengelakkan kesesakan bertambah teruk, terutama pada waktu pagi dan petang, kita buat satu sistem pengangkutan awam iaitu sistem pengangkutan baru (feeder system). Sistem ini ke arah menyelesaikan masalah trafik,” katanya kepada media, hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hassan Nawawi berkata, sistem baru ini akan menghadkan penggunaan kereta untuk mengelakkan kesesakan.
Katanya, sistem ini juga akan lebih menumpukan dari aspek keberkesanan pengangkutan awam itu sendiri selain memudahkan pengguna.
“Orang ramai akan menaiki bas, tidak perlu guna kenderaan sendiri untuk ke stesyen tersebut.
“Bas akan bergerak sentiasa dalam jarak satu hingga dua kilometer. Jadi pengguna tidak perlu bawa kenderaan untuk ke stesyen tersebut.
“Tetapi jika yang bawa kereta daripada jauh, seperti Kuala Lumpur, tempat parkir akan disediakan.
“Kita jangkakan pengguna akan jalan kaki dalam jarak 400 meter untuk ke stesyen tersebut,” kata Hassan menambah pengurusan projek ini bakal mendapat kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Majlis Pengangkutan Awam Selangor.
Kajang yang sering berdepan masalah kesesakan, dijangka akan bertambah sesak apabila projek MRT siap dijangka antara 2016-2018.
Pendekatan bas pengantara dirancang untuk memastikan kesesakan dapat dikurangkan, termasuk memudahkan penduduk mendapat akses perhubungan ke stesyen terdekat.
Ini merupakan inisiatif awal Wan Azizah untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas sebagai pelaksanaan ‘Manifesto Kajang’ oleh calon KEADILAN itu sempena Pilihan Raya Kecil DUN tersebut.
Manifesto anak muda tumpuan pertama Wan Azizah di Kajang
(Oleh Basyar Abd Kadir)
KAJANG 27 MAC: Setelah memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tanpa berlengah terus memfokuskan mengenai pembangunan belia bagi melaksanakan manifesto untuk anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Menurutnya, perkara itu sedia digerakkan dalam waktu terdekat memandangkan peruntukan untuk pelaksanaannya sudah tersedia.
“Peruntukan sememangnya sudah disediakan oleh PeBT (Penggerak Belia Tempatan) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
“Berkenaan pembangunan anak muda, PeBT sudah ada peruntukan setiap zon, jadi perkara tersebut boleh digerakkan sekarang secepat mungkin,” kata Adun Kajang itu pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Majlis dan Yang Dipertua (YDP) MPKj, di Menara MPKj, di sini hari ini.
Sementara itu, YDP MPKj, Datuk Hassan Nawawi menjelaskan, pihaknya sedia menyalurkan sumbangan kepada setiap zon untuk tujuan pembangunan belia.
“Di bawah PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) ada 24 zon, setiapnya diberi RM5,000 setahun.
“Kalau hendak memohon kena buat kertas kerja dahulu, peruntukan memang ada,” katanya.
Pertemuan kali pertama ini selepas Wan Azizah menjadi Adun kawasan itu pada Ahad lalu bertujuan bagi membincang dan mengutarakan beberapa idea penambahbaikan di Kajang.
Antara hasil perbincangan tersebut adalah mengenai pemantauan bagi memastikan keberkesanan komunikasi antara penduduk dengan wakil rakyat dan beberapa isu tempatan yang lain.
Sebelum ini, Wan Azizah dalam manifesto PRK Kajang menyentuh empat teras utama meliputi pembangunan anak muda dan usahawan kecil, banteras jenayah dan tingkatkan keselamatan, pembangunan penyelenggaraan perbandaran dan kesesakan lalu lintas.
March 25, 2014
KM baru Sarawak sombong, langgar akta imigresen dan perlembagaan
(FIZA HALIM)
KUALA LUMPUR 26 Mac: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata Ketua Menteri Sarawak yang baru, Tan Sri Adenan Satem seorang yang sombong kerana sekat pemimpin KEADILAN masuk ke negeri itu dan secara terang-terangan melanggar Akta Imigresen dan Perlembagaan.
Ia berikutan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua disekat dari masuk ke Sarawak pada 25 Mac lalu.
“BN jelas menggunakan Akta Imigresen bagi menahan pemimpin Pakatan Rakyat dari berkempen di Balingian dan tidak menghormati proses pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata Surendran, ketiga-tiga mereka adalah pemimpin KEADILAN yang meletakkan calon Abdul Jalil Bujang dalam pilihan raya kecil di Balingian, mereka mempunyai hak mutlak di bawah undang-undang untuk memasuki Sarawak dan mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya.
“Najib, Adenan Satem dan BN perlu menghentikan taktik kotor dan tidak sah, pilihan raya ini perlu bebas dan adil,” seru Surendran.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak sengaja melanggar seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63 dan ia tidak boleh menafikan kemasukan sesiapa sahaja yang ingin memasuki negeri untuk melibatkan diri dalam aktiviti politik yang sah.
“Kerajaan Sarawak dan BN tidak tahu secara jelas Akta Imigresen dan bertindak tanpa mengambil kira undang-undang yang sah.
“Ia juga melanggar Perkara 9 (2 ) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bergerak.
“Kuasa ini mesti dijalankan dalam Persekutuan Perlembagaan yang ditetapkan dalam Perkara 9 ( 3) Akta Imigresen dan Perlembagaan,” tegas Surendran.
Tribunal Rakyat : BN kalah PRU13 jika tiada undi awal
(LYN NASIR)
SUBANG 26 MAC : BN akan kalah jika tiada undi awal, kata Yash Phal Ghai dalam Pembentangan LaporanTribunal Rakyat berhubung Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 lalu di Subang, semalam.
Pengerusi Tribunal Rakyat itu memetik laporan Merdeka Centre, BN akan kalah dalam Pilihanraya Umum ke 13 sekiranya tiada undi awal.
Jelasnya lagi, kemenangan BN dalam PRU lalu yang dipengaruhi undi awal memberi implikasi besar kerana majoriti rakyat tidak mengiktiraf kemenangan tersebut.
“Seseorang calon yang tidak menang dapat membuktikan tentang kehilangan 1605 undi di kawasannya, sedangkan lawannya hanya menang dengan majoriti yang kecil.
“Dia kalah dengan 460 undi, sudah tentu jika peti undi tidak hilang, perbezaan keputusan sudah pasti besar,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut menegaskan agar suruhanjaya yang mengendalikan pilihanraya untuk bertindak bebas dan tudak menyebelahi mana-mana parti dalam setiap pilihanraya.
“Undang-undang perlu diubah untuk memastikan suruhanjaya Pilihanraya benar-benar bebas dari pengaruh kerajaan.
“Suruhanjaya juga perlu melaksanakan sesuatu pilihanraya bukan mengikut arahan kerajaan, sebaliknya pilihanraya harus dijalankan berdasarkan perlembagaan dan undang-undang,” ujarnya lagi.
MH370 : Pakatan Rakyat ucap takziah
(AMIRUL AZHAN)
KUALA LUMPUR 26 Mac : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Ser Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengucapkan takziah di atas malapetaka yang menimpa kesemua 239 penumpang dan anak kapal MH370.
Satu sidang media khas bersama Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Anwar selaku Ketua Pembangkang melahirkan rasa simpati kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat.
“Takziah diucapkan kepada semua keluarga mangsa dan ucapan tahniah serta penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha dan khidmat yang digembleng untuk usaha mencari dan menyelamat,” kata Anwar.
Walaubagaimanapun, terdapat banyak persoalan yang timbul seperti kerajaan cuba menutup maklumat mengenai insiden yang berlaku.
“Terdapat kemusykilan pelbagai teori dalam maklumat yang disampaikan dan tidak memuaskan semua pihak, saya mohon parlimen bincang dan siasat secara terperinci,” katanya.
Penerbangan pesawat MH370 dipercayai berpatah balik dan terhempas di Lautan Hindi seperti yang diberitahu kepada umum setelah satelit China, Perancis dan Australia mengesannya.
“Kerajaan perlu jelaskan semua dan tidak perlu gopoh untuk buat keputusan memandangkan kajian sedang dilakukan,” jelasnya lagi.
Pada kenyataan media sama, Anwar juga mempersoalkan tindakan kerajaan yang lewat untuk umumkan dan seterusnya telah menimbulkan persoalan dan keresahan lebih rumit yang menyebabkan keyakinan negara luar mengenai kreadibiliti negara.
March 23, 2014
Kajang bukti referendum rakyat tolak Umno-BN
(AMIRUL AZHAN)
KAJANG 24 Mac: Keputusan Pilihan Raya Kecil Kajang membuktikan satu suara referendum rakyat untuk menolak Umno- BN, kata pengarah jentera pilihanraya Pas, Dr Hatta Ramli.
Tambahnya, keputusan ini menunjukkan rakyat bangkit dan seterusnya menunjukkan sokongan yang kuat terhadap pimpinan Pakatan Rakyat.
“PRK Kajang menunjukkan pandangan rakyat dan wajib untuk semua menolak Umno-BN atas tindakan zalim seterusnya kita harap dan yakin perasaan ini turut disuarakan di seluruh negara dan bukan hanya di Kajang sahaja,” kata Hatta.
Keputusan PRK Kajang memberikan satu kemenangan yang amat besar bagi Pakatan Rakyat dan ini menunjukkan rakyat sudah mula bangkit menolak kerajaan Umno -BN.
“Ini satu kejayaan yang amat manis dan meyakinkan kita, rakyat Kajang membuat satu pungutan suara referendum atas isu-isu yang kita bangkitkan antaranya kes-kes Anwar Ibrahim dan Karpal Singh,” katanya lagi..
Keputusan PRK Kajang seperti jangkaan menjadi milik Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dengan jumlah undi sebanyak 16,741 yang diumumkan di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi.
“Kita sangat berpuashati terutama apabila kita membuat sedikit kajian, pertambahan undi orang Melayu dan beberapa peti undi yang sebelum ini kita kalah menunjukkan golongan muda semakin menyokong kita,” ujar Hatta.
Tambahnya lagi, keputusan kemenangan ini merupakan ramuan perubahan yang amat penting untuk melakukan perubahan dengan penambahan sokongan kepada PR terutamanya di Selangor.
PRK Kajang: Pembangkang Selangor tewas 16,741 undi
BANGI, 23 MAC: Calon Barisan Nasional, Datin Paduka Chew Mei Fun tewas kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah dalam pilihanraya kecil DUN Kajang.
Calon parti pembangkang Selangor itu hanya mendapat 11, 362 undi manakala Dr Wan Azizah berjaya meraih 16,741 undi dan menang dengan majoriti 5,379 undi.
Chew Mei Fun sebelum ini turut tewas dalam PRU ke-12 ketika menentang Tony Pua di kawasan parlimen Petaling Jaya Utara.
Kemenangan Dr Wan Azizah di Kajang bererti Dewan Undangan Negeri Selangor menambah seorang lagi wakil rakyat wanita, menjadikannya berjumlah 15 orang.
Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh melalui laman sosial Twitternya berkata, Dr Wan Azizah akan mengangkat sumpah sebagai ADUN Kajang pada 7 April.
Ketika dihubungi laman web Roketkini.com, Hannah yang juga ADUN DAP Subang Jaya memberitahu beliau sangat yakin bahawa DUN Selangor akan mendapat manfaat daripada pengalaman Wan Azizah yang pernah menjadi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.
Meski dengan peratusan keluar mengundi sekadar 72%, KEADILAN berjaya mengekalkan kerusi DUN Kajang walaupun diserang bertubi-tubi.
Sementara itu, Chew Mei Fun mengucapkan tahniah kepada Dr Wan Azizah atas kemenangan dalam pilihan raya kecil Kajang hari ini, lapor Malaysiakini.
Beliau juga berharap presiden KEADILAN itu dapat melaksanakan tugas sebagai ADUN Kajang dengan penuh dedikasi dan menunaikan manifesto yang dikemukakan.
Azizah mengambil alih sebagai calon PRK Kajang setelah suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihukum lima tahun penjara oleh mahkamah berhubung Fitnah Liwat 2 yang menghilangkan kelayakan beliau untuk bertanding.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
