Suara Keadilan's Blog, page 358

April 5, 2014

IPP zaman Mahathir hanya untuk kayakan kroni

(Basyar Ab Kadir & Azuan Ab Rahman)


KUALA LUMPUR 6 APRIL: Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar, Azan Ismail berkata, penubuhan Penjana Tenaga Bebas (IPP) di zaman Tun Mahathir Mohammad hanya bertujuan mengkayakan segelintir kroni Umno BN.


Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini yang menyatakan pemberian subsidi RM136.5 bilion kepada IPP antara 1997 hingga 2011, adalah “berdosa dan tidak dapat dimaafkan”.


“Ini  bermula daripada dasar penswastaan dan prinsip mengkayakan kroni. Jelas berlaku kepincangan daripada dasar yang dicadangkan Mahathir. (Sedangkan) rakyat semakin terbeban dengan berlaku peningkatan kos, dan kroni terus mengaut keuntungan,” ujar Azan.


Ku Li dalam satu majlis pelancaran buku baru-baru ini menimbulkan isu pemberian subsidi RM136.5 bilion kepada IPP antara 1997 hingga 2011, sewaktu sebahagian subsidi barangan pengguna dihentikan.


Ahli Parlimen Gua Musang itu dilapor berkata, RM3.5 bilion wang Petronas diguna untuk menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan iaitu Bank Bumiputra sebanyak dua kali pada tahun 1985 dan 1991.


Pada masa sama, veteren Umno itu juga turut mempersoal wang Petronas yang digunakan untuk menjamin pembinaan Menara Berkembar Petronas sebanyak RM6 bilion dan membina Putrajaya sebanyak RM22 bilion.


Mengulas lanjut, Azan menyifatkan Tengku Razali bertindak betul kerana mengkritik tindakan kerajaan memberi subsidi kepada IPP, dalam keadaan sebahagian subsidi kepada rakyat dihentikan.


Jelasnya, kenyataan itu membayangkan pemimpin Veteran Umno itu tidak lagi sanggup menyembunyikan kecurangan pentadbiran yang dilakukan kerajaan terhadap rakyat Malaysia.


“Tengku Razali terkenal dengan sifat negarawannya. Memang susah seorang pemimpin umno untuk keluar kenyataan begitu, tapi mungkin kerana beliau tidak lagi mahu bersengkongkol dengan apa yang dilakukan kerajaan, beliau bertindak membuat kritikan itu.


“Saya juga berpendapat kenyataan beliau bertujuan untuk sama-sama mengajak rakyat negara ini untuk bangkit dan sedar terhadap hak rakyat yang telah pun dinafikan oleh kerajaan di bawah pimpinan Umno,” jelas Azan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 05, 2014 22:22

Persempadanan SPR khianati Melayu untuk menangkan Umno

(Oleh: Fiza Halim)


KUALA LUMPUR 5 APRIL: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah mengkhianati orang Melayu dengan niat jahat untuk memenangkan Umno dalam Pilihan raya.


Katanya, cadangan undi mengikut kaum seperti disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim adalah bukti jelas ia dilakukan untuk memastikan kemenangan Umno.


Fuziah-Salleh“Ini cara Umno untuk menang dan mereka menggunakan orang Melayu,”


“Mereka kekalkan kuasa, besarkan kuasa Umno untuk mendapat banyak undi. Mereka gunakan Melayu, tapi bila senang mereka akan tinggalkan Melayu dalam kemiskinan, biarkan Melayu merana.


“Bila pilihan raya mereka ambil Melayu balik, bagi BR1M, bagi macam-macam supaya Melayu terhutang budi dengan Umno,” jelasnya menambah  cadangan itu memarakkan isu perkauman.


Sementara itu, beliau turut membidas Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang menyokong konsep undi berasaskan kaum walaupun ia dianggap menyamai ‘dasar aparteid’.


Katanya, Isma mempunyai haluan pemikiran ekstrem yang bahaya dan ia boleh memesongkan pemikiran orang lain terhadap ajaran Islam itu sendiri.


“Ini lebih bahaya dari Perkasa kerana mereka melabelkan nama Islam dan Islam menolak yang bertentangan dengan ajaran Islam. Islam tak pernah dominasi kaum , Isma adalah rasis dan hanya berselindung di sebalik Islam,” kata Fuziah ketika dihubungi.


Sebelum ini, bekas pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Rahman mengakui amalan gerimander selama lapan tahun pentadbirannya dalam badan itu adalah untuk mengukuhkan kuasa Melayu.


Bagaimanapun, Pengerusi Bersih, S Ambiga ketika itu mengatakan persempadanan semula oleh SPR sebenarnya hanya untuk memastikan survival politik Umno.


Febuari  lalu, ahli akademik, Bridget Welsh berkata, cara persempadanan semula kawasan pilihan raya di Malaysia berunsur diskriminasi dan memecahbelahkan, dan akhirnya boleh menjejaskan legitimasi kerajaan sendiri.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 05, 2014 05:05

April 4, 2014

Empat Adun minta kerajaan kaji pembinaan KIDEX

(Oleh: Azuan Ab Rahman)


 


PETALING JAYA 5 APRIL: Pembinaan Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) tidak wajar dilakukan secara tergesa-gesa dan perlukan kajian mendalam, kata empat Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor.


Menurut mereka, kerajaan perlu membuat kajian perbandingan terlebih dahulu bagi mengenal pasti  jenis capaian pengangkutan yang diperlukan penduduk setempat.


“Kajian mendalam perlu dilakukan. Apakah pembinaan lebuhraya itu akan beri manfaat kepada penduduk atau penduduk lebih memerlukan sistem perhubungan awam yang lebih efisyen,” jelas Adun kampung Tunku, Lau Weng San ketika membaca kenyataan media berhampiran stesyen Aliran Transit Ringan (LRT) di Asia Jaya

hari ini.


Turut hadir dalam sidang media itu ADUN Damansara Utama Yep Bee Yin, ADUN Kinrara, Ng Size Han dan ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakatan.


Sambil mengalu-alukan pembinaan lebuhraya bagi mengatasi masalah aliran trafik di kawasan Petaling Jaya dan Lembah Kelang, mereka mahu satu laporan kesan trafik yang lebih meyakinkan dikeluarkan terlebih dahulu bagi menyokong pembinaan lebuhraya itu.


Namun mereka menegaskan jajaran di mana lebuhraya itu akan dibina perlu mempunyai hubungan lebih baik dengan jaringan pengangkutan awam sedia ada.


Ia katanya memberi manfaat lebih besar berbanding pembinaan lebuhraya tersebut yang akhirnya bakal menafikan pautan pengangkutan awam kepada penduduk setempat.


KIDEX adalah projek lebuhraya bertingkat yang bakal merentasi kawasan perumahan berpenduduk padat dalam kawasan Petaling Jaya dan Puchong di mana ia memerlukan pengambilalihan 300 plot tanah.


Penduduk Sekyen 19 Petaling Jaya pada September lalu mengadakan protes kecil menuntut Putrajaya memberikan maklumat lengkap berhubung pembinaan lebuhraya sepanjang 14.9 km dan menelan belanja RM2.2 billion itu.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 04, 2014 22:34

Isu Mesir: MP Eropah bersuara tapi Umno terus membisu

 


KUALA LUMPUR 4 APRIL: Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN (BIPPA) kesal dengan tindakan kerajaan Umno BN yang masih berdiam diri daripada menyatakan pendirian mengenai hukuman mati yang dijatuhkan kerajaan kudeta Mesir terhadap 529 anggota Ikhwanul Muslimin.


Pengerusinya, Ahmad Kassim berkata, Umno sehingga kini masih membisu berhubung perkara itu bahkan usul untuk membahaskan perkara itu di parlimen ditolak oleh speaker dewan.


Menurut Ahmad, Malaysia sebagai sebuah negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sepatutnya merasa malu kerana hingga kini tidak menyatakan sebarang pendirian.


Ia katanya, berbeza dengan tindakan ahli-ahli parlimen Eropah yang tampil mengkritik tindakan regim kudeta Mesir dalam isu berkenaan.


“Umno tak keluarkan apa-apa kenyataan untuk mengkritik malah dalam Parlimen isu ini ditolak oleh Speaker. Kita negara OIC, negara Islam tapi takut untuk kritik, malu pada negara luar,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Pada Selasa lalu, Ahli-ahli parlimen Eropah tampil mengkritik tindakan regim kudeta Mesir yang menjatuhkan hukuman mati terhadap 529 rakyat sendiri yang majoritinya penyokong Presiden Mesir yang sah, Dr Muhammad Morsi.


Kritikan itu dikemukakan secara berdepan kepada Menteri Luar Mesir Nabil Fahmy ketika beliau hadir berucap kepada Suruhanjaya Hubungan Antarabangsa Parlimen Eropah, di sini pada Selasa.


Menurut Ahmad Kassim, berbanding Malaysia yang dianggap sebagai negara Islam, negara-negara Eropah dilihat lebih terbuka menyatakan pendirian mereka dan mempertahankan hak asasi manusia yang berlaku di Mesir.


“Umno harus mempertahankan agama Islam dan undang-undang yang betul dan bukan tunduk dan diam diri seperti ini,” tegasnya lagi


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 04, 2014 01:09

Selamat Menyambut Ulang tahun ke 15 KEADILAN

(Oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad)


 


15 tahun yang lalu pada hari ini, KEADILAN  ditubuhkan sebagai Parti Keadilan Nasional. 15 tahun yang lepas, rakyat Malaysia jijik dengan pemecatan dan hukuman penjara terhadap Anwar Ibrahim telah menyahut seruan reformasi.


15 tahun yang lepas, rakyat Malaysia menghantar mesej jelas menolak rasuah, penyalahgunaan kuasa dan perkauman yang menghancurkan negara kita.


KEADILAN telah berkembang maju sejak itu dan Malaysia juga sudah berubah. Daripada sebuah parti yang telah diremehkan dengan pelbagai cara sebagai perjuangan untuk seorang individu semata-mata, KEADILAN telah membuktikan bahawa parti ini dapat bertahan.


Menerusi penggabungan 2003 dengan Parti Rakyat Malaysia, perjuangan parti menjadi sebahagian daripada sejarah lama gerakan progresif di tanah air kita.


Dengan adanya wakil-wakil rakyat di setiap negeri di Malaysia – KEADILAN telah muncul sebagai gerakan politik nasional yang tulen.


Menerusi wakil-wakil rakyat dan reformis yang ramai KEADILAN terus menjadi arus tengah politik Malaysia menerusi usaha kita di Parlimen, Kerajaan-Kerajaan Negeri, Dewan-Dewan Undangan Negeri dan jentera parti.


Kita terus mempertahankan mereka yang ditindas di dalam masyarakat Malaysia. Kita terus berusaha untuk mencapai aspirasi anak muda Malaysia untuk masa depan yang lebih baik bagi seluruh rakyat negara.


Kerjasama kita dengan rakan-rakan kongsi di dalam Pakatan Rakyat –DAP dan PAS – terus utuh meskipun berkali-kali diramalkan akan berkecai.


CABARAN DIHADAPI


Bagaimanapun, masih terdapat banyak cabaran dan kita akan tersilap sekiranya mengandaikan bahawa kita boleh menggoyangkan kaki begitu sahaja.


Sabitan bersalah ke atas Anwar Ibrahim baru-baru ini telah menunjukkan bahawa kerajaan “transformasi” ini masih lagi menyalahgunakan sistem perundangan untuk tujuan politik mereka.


Tambahan pula, penyalahgunaan isu kaum dan agama dalam berhadapan pihak pembangkang negara ini tidak terhenti malah telah bertambah.


KEADILAN telah merevolusikan lanskap politik Malaysia kerana mengadakan pemilihan parti secara langsung. Ini merupakan acara yang meriah dan tahun 2014 tidak akan berbeza.


Saya pasti bahawa setiap calon yang telah mengambil bahagian di dalam pemilihan bulan April ini mencintai negara dan parti.


Saya juga pasti bahawa mereka akan membuat yang terbaik untuk kedua-duanya tidak kira keputusan pemilihan.


Tetapi pengundi Malaysia menghendaki KEADILAN dan parti-parti politik yang lain berada pada tahap yang lebih tinggi. Sama ada kita suka atau tidak, rakyat merupakan tuan dan semua ahli politik perlu menerimanya atau ambil risiko untuk diundi keluar.


Rakyat Malaysia berhak untuk mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada para pemimpinnya.


RAKYAT INGIN PERUBAHAN


KEADILAN yang boleh berbangga sebagai suatu gerakan yang besar, di mana di dalamnya semua rakyat yang inginkan perubahan boleh bersatu, perlu mengambil berat tentang perkara ini.


Kita mesti meningkatkan usaha kita untuk berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia. Ini menjadi lebih penting kerana kegagalan berterusan pentadbiran Najib Razak untuk mengawal kos kehidupan, menghentikan kemerosotan sistem pendidikan dan memerangi jenayah serta rasuah.


Pada masa yang sama, KEADILAN bekerja lebih kuat untuk mengembangkan sokongan Pakatan di kawasan luar bandar – termasuk di Sabah dan Sarawak. Kedua-dua negeri tersebut dipinggirkan tetapi BN terus mendominasinya.


Tambahan lagi, kita perlu menggiatkan usaha untuk membela rakyat yang ditakut-takutkan dan ditekan oleh elemen-elemen konservatif yang berusaha menghancurkan keharmonian negara yang dicapai selama ini.


KEADILAN MESTI BERSATU


Namun, perkara yang paling penting ialah KEADILAN mestilah bersatu. Kita mesti kembali bersama.


Perselisihan faham adalah perkara biasa di dalam mana-mana parti atau organisasi.


Pokoknya, kita tidak boleh melupakan sasaran utama kita iaitu untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih baik dan menjamin keadilan untuk semua.


Anggota parti mestilah membuktikan kepada semua rakyat bahawa kita boleh dipercayai untuk mentadbir dan agenda utama kita adalah mempertahankan kemaslahatan ramai semata-mata.


Pemimpin-pemimpin yang kita pilih menghantar isyarat kepada orang ramai jenis kepimpinan yang kita tawarkan kepada negara secara keseluruhan.


Kita perlukan individu yang boleh bekerja dalam pasukan dan bukannya primadonna. Mereka tidak boleh mendakwa mereka bekerja untuk orang ramai jika tidak boleh bekerjasama dengan parti sendiri.


Pemilihan bulan April ini adalah peluang kita untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kita boleh menjadi satu pasukan yang bersepadu, berdisiplin dan inklusif.


15 tahun pertama sejarah KEADILAN sarat dengan cabaran dan kejayaan.


Tiada alasan untuk mengandaikan bahawa 15 tahun yang akan datang akan berbeza.


Tetapi dengan kebijaksanaan, kesabaran dan keberanian – KEADILAN boleh dan akan mendepani politik negara.


** Nik Nazmi Nik Ahmad merupakan Timbalan Speaker DUN Selangor dan ADUN Seri Setia.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 04, 2014 00:18

Selepas 15 tahun, KEADILAN kini bertambah kuat

(Oleh: Lyn Nasir)


KUALA LUMPUR 4 APRIL: Tanggal 4 April 1999 merupakan tarikh keramat bagi KEADILAN apabila ia mula diasaskan dan sekaligus mencipta lembaran baru bagi politik tanah air.


Penubuhan parti politik pelbagai kaum itu lahir dari gelombang reformasi yang tercetus selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet dan pemenjaraan terhadapnya atas pelbagai fitnah moral.


Pada awalnya, NGO dan ahli parti politik pembangkang menubuhkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) dan kemudian Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL), sebagai salah satu platform gerakan reformasi dalam menetang kezaliman kerajaan.


Sehinggalah pada 1 April 1999, Parti KEADILAN Nasional ditubuhkan dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail diberi mandat sebagai presiden.


Beliau mencipta sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang menerajui sebuah parti politik pembangkang di Malaysia.


Bangkit menentang kezaliman terhadap suaminya, Wan Azizah kemudian menyertai pilihan raya pertama bagi kerusi parlimen Permatang Pauh pada tahun yang sama dan berjaya memenangi pilihan raya itu dengan majoriti besar.


Parti Keadilan Nasional kemudian bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang dipimpin tokoh politik, Dr Syed Husin Ali pada 2003 dan dinamakan Parti KEADILAN Rakyat atau KEADILAN.


Bermula sejak itu, KEADILAN terus mengorak langkah menjadi sebuah parti politik pembangkang yang kuat dan berjaya menggugat kedudukan Umno Barisan Nasional dalam politik negara.


Pada 2008, KEADILAN bersama rakan gabungannya dalam Pakatan Rakyat iaitu Pas dan DAP mengetepikan majoriti dua pertiga kerusi di parlimen yang menyaksikan lima negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.


 

Sokongan golongan muda


 


Hari ini bersamaan 1 April 2014, maka KEADILAN berusia genap 15 tahun selepas pelancarannya pada 4 April 1999.


Mengulas perkara itu, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, KEADILAN kini memiliki lebih 500,000 ribu anggota, dan mendapat sokongan yang kuat terutama golongan muda.


Saifuddin berkata, ia merupakan pencapaian luar biasa dalam tempoh singkat sekaligus menjadikan KEADILAN antara parti pembangkang yang terkuat di Malaysia.


“KEADILAN kekal memikat hati orang ramai khususnya anak muda kerana mereka ini yang bakal merentasi dan mewarisi kesinambungan parti ini untuk lebih bertahan dalam tempoh yang lama.


“Sehingga kini kita dah mencecah 500 ribu keahlian, ini menjadikan KEADILAN antara parti pembangkang yang terkuat di Malaysia, walaupun umurnya muda tapi mampu bertahan lama sehingga hari ini.


“Selain itu, langkah yang kita ambil untuk bergabung dengan parti komponen lain seperti DAP dan PAS juga menjadikan kita sebuah parti gabungan yang lebih utuh, hebat dan kuat,” katanya ketika dihubungi.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 04, 2014 00:10

April 3, 2014

Memali: Mahathir masih cari 1001 alasan – Mahfuz

(Oleh: Fiza Halim)


 


KUALA LUMPUR 4 APRIL: Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berkata, Tun Dr Mahathir Mohammad masih enggan menjawab sama ada beliau berada di Kuala Lumpur ketika peristiwa berdarah Memali pada 1985.


Katanya, bekas perdana menteri itu masih mencari alasan untuk mengelak daripada disalahkan dengan peristiwa berkenaan yang mengorbankan 18 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.


tragedi_memali“Saya percaya keengganan dia (Mahathir) bagi respon sebab dia nak mencari 1001 alasan untuk menutup kebohongan yang dibuatnya sebelum ini.


“Orang yang berbohong akan tetap menutup segala aibnya selagi termampu walaupun tahu rahsianya dah terbongkar,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, pada 26 Mac lalu mendedahkan bahawa Mahathir berada di Kuala Lumpur ketika peristiwa itu berlaku bahkan selepas kejadian itu masih berada di ibu negara.


Musa Hitam mendedahkan perkara itu dalam sebuah forum anjuran kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu pada 26 Mac lalu. Bagaimanapun, Mahathir dalam reaksinya berkata beliau akan menyemak rekod terlebih dahulu bagi mengesahkan kebenaran dakwaan Musa.


Menurut Mahfuz, kertas putih Memali yang dibentangkan di Parlimen menggambarkan satu konspirasi tersembunyi yang dibuat kerajaan bagi menutup kesalahan Mahathir dalam peristiwa Memali ini.


“Parlimen dipergunakan dalam membentangkan satu kertas putih Memali pada tahun 1986,” tegasnya.


Beliau sebelum ini menggesa kertas putih berkenaan ditarik balik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana hanya kerajaan yang berkuasa untuk berbuat demikian.


Peristiwa Memali hampir 30 tahun lalu mencatat sejarah hitam dalam kepimpinan bekas perdana menteri ke 4 itu apabila polis diarahkan menahan Ustaz Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan mengamalkan ajaran sesat.


Kejadian yang berlaku pada 19 November 1985 itu menyebabkan 14 penduduk kampung dan 4 anggota polis terkorban.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 03, 2014 20:59

Kerajaan sembunyi maklumat kehilangan MH370 – Anwar

 


KUALA LUMPUR 4 APRIL: Tidak mungkin radar canggih yang dimiliki Malaysia tidak boleh mengesan pesawat MH370 dalam kejadian pada 8 Mac lalu, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Dalam temubual dengan akhbar Britain, The Telegraph, Anwar mempersoalkan mengapa radar canggih Marconi itu gagal mengesan dengan segera pesawat yang menukar arah itu.


Anwar berkata, radar itu disifatkan sebagai “salah satu radar paling canggih” di dunia yang berpusat di Laut China Selatan untuk mengawasi seluruh daratan Malaysia dan pantai timur dan baratnya. Malah, beliau sendiri memberikan kebenaran pemasangannya semasa menjadi menteri kewangan pada 1994.


Katanya, ia bukan sekadar “tidak boleh diterima tetapi tidak mungkin dan tidak wajar” pesawat itu tidak boleh dilihat oleh sistem radar itu sebaik sahaja ia bertukar arah.


Anwar berkata, radar itu akan secepat kilat mengesan Boeing 777 kerana ia terbang dari timur ke barat melalui sekurang-kurangnya empat negeri di Malaysia.


Katanya, adalah ‘mencurigakan’ apabila tentera udara negara ini terus diam, kerana “ia hanya perlukan tiga minit di bawah prosedur standard operasi untuk pesawat tentera udara bertindak, tetapi tidak ada tindak balas.”


“Kami tidak ada yang secanggih Amerika Syarikat atau Britain, tetapi kami ada kemampuan untuk menjaga kepentingan sempadan.”


“Bagaimanapun cara hal ini dikendalikan dalam beberapa hari pertama sangat mencurigakan. Jelas, maklumat kritikal yang kita perlu untuk memahami hal ini tiada,”


“Saya yakin kerajaan lebih tahu daripada kita. Mereka ada kuasa untuk mengarahkan tentera udara atau Malaysia Airlines. Mereka yang berhak tahu kepada semua maklumat penting ini untuk kita memahami kehilangan MH370,” ujarnya dalam temubual itu yang turut disiarkan The Malaysian Insider.


Sehubungan itu, katanya, adalah wajar bagi 153 keluarga mangsa dari China menuntut penjelasan kerajaan Malaysia, yang membenarkan operasi pelbagai negara menghabiskan masa seminggu untuk mencari di kawasan salah.


“Mengapa kita tidak memberitahu China dan Vietnam operasi mencari di Laut China Selatan perlu dihentikan dan kenapa membenarkan mereka menghabiskan wang jutaan untuk pencarian di kawasan yang diketahui bukan tempat pesawat itu akan berada,” kata Anwar kepada The Telegraph.


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 03, 2014 20:35

Laksanakan GST supaya cepat rakyat tolak BN- Tony Pua

(Oleh: Azuan Ab Rahman)


KUALA LUMPUR 3 APRIL: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua membidas sikap kerajaan yang bertegas melaksanakan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilihat akan terus menekan rakyat.


Menurut Tony Pua, GST secara prinsipnya hanya akan menyusahkan rakyat yang berpendapatan rendah yang terdiri daripada golongan yang tidak layak membayar cukai.


” Kerajaan kata akan kenakan cukai GST Bagi turunkan cukai pendapatan, maknanya kerajaan mahu kenakan cukai kepada golongan rakyat yang berpendapatan rendah yang memang tidak layak dikenakan cukai.


” Pakatan Rakyat tetap dengan pendirian bahawa GST belum boleh dilaksanakan buat masa ini kerana jurang pendapatan rakyat sangat berbeza,” jelasnya dalam sidang parlimen hari ini.


Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu juga secara sinis mengalu-alukan seandainya kerajaan terus berdegil untuk mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan itu kepada rakyat.


“Biarkan saja jika Barisan Nasional nak laksanakan GST pada rakyat, saya bersetuju.


“Biarkan rakyat merasai sendiri kesan GST ini supaya lebih cepat Barisan Nasional ditolak oleh rakyat,” jelas Tony yang mengambil contoh kekalahan Parti Prograsif Konservatif di Canada akibat pelaksanaan GST.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 03, 2014 03:13

GST jalan mudah selesai masalah – Rafizi

(Oleh: Azuan Ab Rahman)

KUALA LUMPUR 3 APRIL: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata tindakan Pakatan Rakyat menentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah demi kepentingan rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah.


Beliau ketika perbahasan bacaan Kali ke 2 Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014 menjelaskan bahawa pelaksanaan cukai tersebut adalah tidak adil kerana ia mengalihkan bebanan cukai kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah.


Beliau menegaskan walau apa juga alasan yang diberikan kerajaan bagi melaksanakan cukai tersebut, kerajaan sebenarnya melaksanakannya kerana masalah defisit yang sedang dihadapi oleh negara.


“Kita kembali kepada asas, sebenarnya alasan kerajaan mahu laksana GST ialah berkaitan dengan masalah defisit yang dihadapi negara, bukan kerana sistem percukaian ini lebih efisyen atau kerana sebab lain.


“Kerajaan telah berbelanja lebih sehingga akhirnya negara terpaksa menanggung hutang yang berpanjangan, di mana akhirnya rakyat dikenakan cukai GST untuk mengatasi masalah itu,” jelas Rafizi.


Malah Rafizi menegaskan  kerajaan sebenarnya mempunyai 2 pilihan bagi mengatasi masalah defisit yang sedang ditanggung negara namun bertindak memilih jalan mudah yang tidak popular.


“Kerajaan ada pilihan samada mengurangkan keborosan dan ketirisan seperti yang didesak oleh pakatan rakyat, tetapi mereka ambil satu lagi jalan penyelesaian mudah dengan terus boros dan mengalihkan beban tersebut untuk ditanggung rakyat dengan mengenakan cukai GST,” tegas Rafizi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 03, 2014 02:46

Suara Keadilan's Blog

Suara Keadilan
Suara Keadilan isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Suara Keadilan's blog with rss.