Suara Keadilan's Blog, page 357
April 8, 2014
Lesen percuma jalur lebar, negara hilang sumber RM4.9 bilion
(Oleh Azuan Ab Rahman)
KUALA LUMPUR 9 APRIL: Penganugerahan lesen pengendalian jalur lebar oleh kerajaan secara percuma menyebabkan negara kehilangan sumber pendapatan sebanyak RM4.9 bilion.
Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali berkata, penganugerahan tersebut tidak melibatkan bidaan sebagaimana diamalkan seperti di Jerman, Sweden dan United Kingdom, yang membuat proses bidaan bagi memastikan hanya syarikat yang komited mengambil bahagian dan dapat meningkatkan hasil pendapatan negara.
Beliau mempersoal tindakan kerajaan berbuat demikian sambil mengambil contoh syarikat Telekom Malaysia (TM) yang baru-baru ini menurutnya membeli 57% kepentingan ekuiti dalam Packet One dengan harga RM350.
Menurut Azmin, jika TM membeli 100% kepentingan itu, maka bolehlah dianggarkan kos bagi satu lesen perkhidmatan penyediaan perkhidmatan tersebut bernilai RM614 juta.
“Terdapat 8 lesen dan sekiranya kita beranggapan dijual dengan harga yang sama, maka jumlah kosnya adalah RM4.9 bilion,” katanya pada teks perbahasan Rang Undang-Undang berkaitan GST, Isnin lalu.
Beliau juga kesal kerana kerajaan seakan-akan tidak mengambil pengajaran daripada kegagalan beberapa syarikat yang sebelum ini diberikan penganugerahan bagi melaksanakan perkhidmatan untuk spektrum 3G dan Wimax yang akhirnya bertindak menjual lesen mereka bagi mendapatkan keuntungan mudah.
“Oleh kerana kerajaan menganugerahkannya secara percuma, sekali lagi kerajaan telah kehilangan potensi sumber pendapatan negara bernilai RM4.9 bilion,” jelas Azmin lagi sambil menegaskan sikap kerajaan itu menyebabkan kerugian kepada pendapatan negara.
Demo gergasi 1 Mei bantah pelaksanaan GST
(Oleh Amirul Azhan)
KUALA LUMPUR 9 APRIL: Demonstrasi besar-besaran bakal menggegar negara 1 Mei ini jika kerajaan Barisan Nasional (BN) enggan menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat.
Amaran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu susulan Dewan Rakyat pada Isnin lalu meluluskan Rang Undang-Undang GST.
Penyelaras Kebangsaan Sekretariat GST SAMM, Mohd Faizal Ab Rahman menegaskan, ketika ini Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan GST.
Menurut beliau, pertemuan pihaknya dengan banyak pihak untuk melihat sejauh mana keperluan pelaksanaan cukai berkenaan terbukti mereka menolak percukaian itu.
“Ketirisan dalam pentadbiran negara harus diatasi terlebih dahulu dengan laporan audit yang merugikan negara selain pendedahan pelbagai skandal rasuah.
“Pelaksanaan GST secara tergesa-gesa tanpa memikirkan aspek pendapatan rakyat yang masih lagi tidak meningkat akan membebankan ditambah pula peningkatan harga barang dan kos sara hidup,” kata Faizal dalam kenyataan.
Katanya, kelulusan pelaksanaan GST yang mendapat sokongan Ahli Parlimen BN dilihat untuk kepentingan tertentu dan bukan atas kepentingan rakyat.
Faizal berkata, pelaksanaan GST yang bakal dimulakan dengan 6% pada April 2015, dikhuatiri akan melonjak pada kadar 8% pada 2016.
“Ekoran itu, SAMM gesa Kerajaan Malaysia untuk umum penangguhan pelaksanaan GST atau memilih jalan raya untuk meluahkan protes bantahan dalam satu demonstrasi gergasi pada 1 Mei nanti,” tegas beliau.
Dalam sidang media sebelum ini, penganjur himpunan itu yang dikenali sebagai Jawatankuasa 1 Mei mensasarkan demo besar-besaran di Kuala Lumpur sebagai referendum rakyat bagi mendesak kerajaan membatalkan pelaksanaan cukai berkenaan.
Menurut jurucakapnya, Dr Hatta Ramli, perhimpunan tersebut dijangka disertai ramai sama seperti perhimpunan menuntut pemansuhan Akta Dalam Negeri (ISA), beberapa tahun lalu.
Selain SAMM, NGO lain yang menganggotai jawatankuasa itu termasuk, Gabungan Mansuh ISA, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun).
Teliti semula cukai korporat, elak pendapatan negara hilang RM3.1b
(Oleh Azuan Ab Rahman)
KUALA LUMPUR 9 APRIL: Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali mencadangkan pelaksanaan reformasi terhadap sistem percukaian negara digubal segera, ekoran hanya 10 peratus daripada golongan pekerja membayar cukai dan menyebabkan asas cukai yang dilaksanakan di Malaysia agak sempit.
Katanya, reformasi tersebut yang lebih bersifat luas, komprehensif dan efisien perlu bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menyumbang hanya kira-kira tujuh peratus daripada pendapatan negara.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan meneliti semula perlaksanaan cukai korporat termasuk kelulusan kerajaan untuk pengecualian cukai kepada syarikat–syarikat berstatus seperti Tun Razak Exchange (TRX).
“Keputusan kerajaan untuk memberikan pengecualian 100% cukai pendapatan kepada bank-bank yang berpindah ke TRX, pengecualian duti setem berstatus TRX Marquee serta pengecualian cukai bagi pemaju hartanah adalah suatu keputusan yang tidak rasional dan tidak mementingkan kepentingan rakyat,” kata Azmin pada teks perbahasan Rang Undang-Undang berhubung Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang dibentangkan 7 April lalu.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN itu lagi, keputusan kerajaan memberikan pengecualian tersebut mengakibatkan negara kehilangan sumber pendapatan kira–kira RM 3.1 bilion sekiranya tiga bank tempatan yang besar iaitu CIMB, Maybank, RHB berpindah ke TRX.
“Anggaran kehilangan pendapatan negara kira-kira RM3.1 bilion setahun daripada pengecualian cukai adalah anggaran minimum.
“Nilai kehilangan ini berpotensi menjadi lebih tinggi memandangkan bank-bank boleh membayar lebih cukai pendapatan dan ini bermakna pendapatan Kerajaan Pusat adalah berpotensi untuk susut,” ujar Azmin.
Tambahnya, jumlah tersebut tidak termasuk kehilangan sumber dari bank–bank lain yang lebih kecil dan institusi kewangan lain yang mungkin memenuhi syarat untuk pengecualian dari membayar cukai.
April 7, 2014
LKAN 2013: Projek empangan lewat, kementerian bayar lebih
KUALA LUMPUR 7 APRIL: Laporan Ketua Audit Negara 2013 (LKAN) mendedahkan projek Empangan Paya Peda di Besut Terengganu yang tidak memuaskan dan hanya siap 65.2 peratus berbanding jadual asal.
Audit mendapati, projek yang bermula 1 Jun 2010 hingga 30 November 2013 itu memakan masa terlalu lama disebabkan kontraktor gagal menepati terma kontrak ditetapkan.
Laporan itu juga mendedahkan projek di bawah Kementerian Pertanian dan Sumber Asas Tani itu mungkin diserahkan kepada kontraktor tidak berpengalaman.
Kementerian itu melantik syarikat JAKS Resources Berhad dan Pembinaan Sujaman Sdn Bhd secara usaha sama melalui surat kelulusan bertarikh 12 September 2008. Manakala Jurutera Perunding Zaaba Sdn. Bhd dilantik sebagai perunding projek
Kelewatan didapati berpunca daripada tindakan kontraktor mengurangkan bilangan jentera dan pelantikan subkontraktor tanpa kebenaran.
Dalam laporan itu, ketua audit negara turut menegur kementerian kerana membuat bayaran berlebihan sebanyak lebih RM500,000 kepada sebuah syarikat juruukur tanah.
Katanya, kelewatan boleh dielak jika kontraktor berpengalaman dan berpengetahuan dilantik bagi melaksanakan projek seperti dirancang.
Empangan Paya Peda mula dicadangkan pada 1995 dan dilaksana bawah Rancangan Malaysia Kesembilan untuk membekal 1,120 juta liter air sehari kegunaan isi rumah, pertanian dan pembangunan di daerah itu.
Projek untuk Skim Pengairan Besut di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara itu juga dirancang sebagai struktur kawalan risiko banjir di hilir Sungai Besut.
Jelaskan kenapa 1MDB diberi tender solar secara terus – Izzah
KUALA LUMPUR 7 APRIL: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mempersoalkan tindakan kerajaan menganugerahkan tender secara langsung kepada 1Malaysia Development Fund (1MDB) bagi projek loji tenaga solar.
Katanya, projek loji solar 50MW melibatkan 500 ekar tanah di Kedah itu, dianugerah melalui tender langsung meskipun rekod dan kepakaran 1MDB diragui.
“Kerajaan perlu jelaskan mengapa buat tender secara terus kepada 1MDB walhal Sustainable Energy Development Authority (SEDA) juga telah buat bidaan untuk kuota tenaga tetap antara 1MW dan 5MW pada tahun 2012,”
“Projek solar 1MDB akan ceroboh kawasan TNB, selain itu kemasukan 1MDB akan meminggirkan syarikat kuasa solar yang lebih kecil,” kata Nurul Izzah.
1MDB dilihat memonopoli projek kuasa solar bermula dengan pembelian aset lebih RM10 bilion termasuk aset kuasa Tanjong, Jimah dan Genting, 2000MW projek arang batu dan 50MW untuk projek panel solar.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan rekod dan kepakaran 1MDB untuk menguruskan projek solar dan satu kajian perlu dilakukan untuk mengenalpasti kesan kepada penduduk setempat.
Tambah Izzah, kos projek untuk loji solar 50MW dianggarkan sehingga RM900 juta walaupun harga sel solar dilihat menurun dan ini merupakan satu strategi kerajaan sebagai sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi.
“Kerajaan perlu segera jelaskan jenis bantuan yang diberikan kepada projek itu untuk menampung selera kuasa 1MDB,” ujarnya.
Laporan Audit: Ketirisan terus berlaku
(Oleh: Lyn Nasir)
KUALA LUMPUR 7 APRIL: Pendedahan ketirisan dalam Laporan Ketua Audit Negara saban tahun tidak mendatangkan sebarang kesan positif berikutan tiada kesungguhan daripada kerajaan untuk mengatasi masalah itu, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.
Ahli Parlimen Batu itu berkata, ketirisan kali ini melibatkan lima kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri hanya pendedahan maklumat semata-mata.
“Mereka (kerajaan) tidak ada kesungguhan untuk mengurangkan masalah yang berlaku walaupun laporan audit kali ini mencatatkan pengurangan permasalahan daripada tahun lepas, tapi kita tak nampak semua tu (ketirisan diselesaikan),
“Yang kita tahu, ketirisan terus berlaku dengan sengaja seperti pembinaan empangan bernilai RM343.55 juta diberikan kepada pengusaha yang tidak mempunyai pengalaman, tapi sampai sekarang kita tak nampak pun hasil,” ujarnya merujuk pembangunan Empangan Paya Peda di Besut, Terengganu yang lewat 18.49 peratus berbanding jadual asal.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini berkata, lima kementerian tersebut akan dipanggil selepas Laporan Ketua Audit Negara 2013 (LKAN) dibentangkan hari ini.
Menurut Nur Jazlan, sebanyak 71 peratus audit berkenaan menyentuh penambahbaikan manakala 29 peratus lagi membabitkan penyelewengan, salah guna kuasa, salah laku dan kecuaian di kementerian berkenaan.
Sementara 121 kes dibawa untuk diambil tindakan, 92 kes diselesaikan manakala 29 kes lagi belum selesai di peringkat PAC.
Tambahnya lagi, Jabatan Kerja Raya dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan turut dipanggil apabila semua kementerian yang terlibat selesai berdepan dengan PAC.
April 6, 2014
Dr Wan Azizah angkat sumpah ADUN Kajang
(Oleh: Fiza Halim)
SHAH ALAM 7 APRIL: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai ADUN Kajang di hadapan Speaker Hannah Yeoh dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor yang ke-13, hari ini.
Majlis berlangsung pada pukul 10 pagi di bangunan Dewan Negeri Selangor, disaksikan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Turut hadir dalam persidangan itu, setiausaha kerajaan negeri (SUK) Datuk Mohamed Khusin Munawi, ahli exco negeri dan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat serta Barisan Nasional.
Wan Azizah diangkat sebagai Adun Kajang menggantikan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihalang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil berkenaan selepas dijatuhi hukuman penjara 5 tahun oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu.
Pada 23 Mac lalu, Wan Azizah menang dalam PRK tersebut apabila menewaskan calon daripada BN iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi.
Kerajaan minta rakyat jimat, tapi bayar untuk panda RM25 juta
(Oleh: Basyar Ab Kadir)
KUALA LUMPUR 7 APRIL: Tindakan kerajaan membawa dua ekor panda dari negara China dengan kos RM25 juta adalah tidak masuk akal dan merupakan pembaziran berulang, kata Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Shari.
Yahya berkata, pembaziran tersebut jelas bertentangan dengan seruan kerajaan yang menggesa rakyat supaya berjimat cermat ketika kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
“Memang tidak masuk akal, belanja untuk dua ekor panda sampai RM25 Juta.
“Kerajaan kononnya nasihati rakyat supaya bejimat cermat, tetapi dalam masa sama membawa panda dengan harga RM 25 juta. Itu menunjukkan satu contoh bahawa kerajaan ini tidak berjimat langsung, ” katanya.
Kata Yahya, tindakan itu jelas merupakan keputusan kurang bijak apabila melibatkan kos terlalu tinggi, sedangkan pulangannya belum tentu berhasil.
“Saya tidak nampak perbelanjaan RM25 juta ini akan memberikan pulangan kerana hanya melibatkan 2 ekor panda dan tidak semua orang akan menyumbang dan berbelanja untuk ini.
“Ini satu contoh pembaziran yang diulang-ulang dan tidak sepatutnya dilakukan oleh kerajaan,” katanya ketika dihubungi.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel sebelum ini berkata Malaysia menerima kehadiran dua panda gergasi berkenaan dari Chengdu, China pertengahan bulan ini.
Pasangan panda yang dinamakan Fu Wa dan Feng Yi itu akan dipinjam selama 10 tahun dan diletakkan di Kompleks Giant Panda di Zoo negara.
Manakala kos pembinaan eksibit dianggar RM25 juta. Daripada jumlah itu, RM15 juta ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bakinya oleh kerajaan.
Sementara itu, Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Nazree Yunus berkata, kerajaan perlu menyemak semula dana yang dikeluarkan untuk pasangan panda berkenaan.
Menurutnya, keutamaan harus diberi kepada rakyat di kala mereka dihambat dengan bebanan pelbagai kos sara hidup akibat penarikan balik subsidi minyak dan kenaikan harga barangan.
“Perbelanjaan ini harus disemak semula. RM25 Juta boleh dilakasanakan bagi membantu anak muda dengan bantuan yang munasabah.
“Bagi saya ia satu pembaziran, banyak perkara lain yang boleh dilakukan dengan hambatan kenaikan harga minyak dan kos sara hidup,” ujarn
Himpunan singkap nostalgia demo petani Baling ’74
(Oleh: Nazar Hashim)
BALING 6 APRIL: Himpunan Derita Rakyat di Baling Kedah malam tadi menghimpunkan ribuan rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi mendesak kerajaan membela nasib penoreh dan petani yang kini menderita ekoran penurunan harga getah.
Ia mengembalikan semula nostalgia Demontrasi Baling pada tahun 1974 hampir 40 tahun lalu, sekaligus membangkitkan semula perjuangan petani dan penoreh getah.
Bermula seawal jam 2 petang, kesesakan berlaku dari Tawar sehingga ke Kuala Pegang dan membawa ke Taman Perda Kupang, Baling di mana himpunan berlangsung.
Ribuan yang hadir tidak berganjak walaupun hujan turun dengan lebat semasa pimpinan Pakatan Rakyat dan pelbagai NGO menyampaikan ucapan mereka sehingga tengah malam.
Mereka yang datang turut bersama-sama membawa sepanduk dan kain rentang bagi menzahirkan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan yang dianggap menindas penoreh getah dan petani.
Sebanyak 32 pertubuhan termasuk pelbagai NGO turut menyertai himpunan yang dianggap sebagai ‘Demonstrasi Baling 2.0′.
Antara yang berucap ialah presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) Mazlan Aliman yang berkata beliau akan menghantar memorandum kepada perdana menteri berhubung isu penurunan harga getah.
Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, pula berkata kerajaan perlu menjalankan lebih banyak usaha mengawal harga getah dan memperkenal mekanisme bagi mengelakkan penoreh atau peraih ditipu syarikat besar.
Selain itu, pimpinan pelbagai NGO dan mahasiswa juga turut berucap bagi menggesa BN mengubah dasar dalam menentukan harga getah yang banyak merugikan penoreh.
Pada masa ini, harga getah jatuh merudum sehingga RM2.30 sekilogram.
Para hadirin kemudian menyokong deklarasi lapan perkara yang ditandatangani 16 pertubuhan dan dibacakan oleh ketua pembangkang Kedah Amiruddin Hamzah, berhubung usaha meningkatkan taraf hidup penoreh getah dan pekebun kecil.
Ia antara lain menuntut kerajaan menyedia subsidi seperti subsidi harga, baja, racun dan menetapkan harga lantai getah pada kadar RM4 sekilogram.
Hadir sama dalam program itu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar, Timbalan Pengerusi KEADILAN Kedah, Ir Zamri Yusof, Ketua AMK Kedah, Azman Nasruddin, Timbalan Ketua Menteri 1 P.Pinang, Datuk Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim.
April 5, 2014
BN bukan saja fitnah, tapi mahu nyahkan Anwar- Saifuddin
JOHOR 6 APRIL: Selagi batang tubuh Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas di pentas politik negara, selagi itu BN tidak akan senang duduk, kata Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, Anwar bagi BN adalah ancaman paling besar, yang boleh menamatkan kekuasaan parti itu jika karier politik Ketua Pembangkang itu tidak dimatikan.
Sebab itu katanya, pelbagai fitnah cuba dibuat ke atas Anwar, hanya semata-mata mahu Anwar nyah dari politik negara ini, lapor Harakahdaily.
“Sudah 16 tahun, tajuk liwat itu masih berjalan lagi.
“Ini bukan soal fitnah itu, tapi dia nak Anwar nyah dari dunia ini,” katanya sambil menambah ketakutan sebenar BN kepada Anwar adalah kerana beliau sudah ‘mengubah’ jutaan rakyat pada PRU13 lalu.
Saifuddin berkata demikian pada ceramah Karnival 60 tahun PAS Johor di Parit Tarom di sini, malam tadi.
Turut berucap Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan Salahudin Ayub, serta Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Menurut Saifuddin lagi, BN semakin lemas dengan sokongan rakyat terhadap PAS, KEADILAN dan DAP.
Bukan sahaja menang undi popular pada PRU13 tetapi sokongan Melayu yang meningkat pada PRK Kajang lalu turut membuatkan BN hilang punca untuk berdepan PRU14 nanti.
“Kalau Anwar tak ada, barangkali tak ada lagi barang naik, tak ada lagi subsidi dipotong, tak ada lagi kapal terbang hilang sebab tak ada lagi kapten yang kenal Anwar.
“Mereka ni nak kita faham begitu,” kata Saifuddin sinis.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
