Bikash Nur Idris's Blog, page 13
February 25, 2013
.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 7] :.

Ketawa yang sekali lagi menghambur menerjah pelupuk telinga Sirin, lebih kuat daripada sebelumnya, membuatkan Sirin dibakar rasa marah. Grr sakan! Terus dirempuh bilik bacaan itu tanpa mengetuk pintu. Itulah cara yang dipilihnya untuk memberitahu kedatangannya kepada Azaim dan Syamsul yang santai duduk di atas sofa bersama gelas di tangan. Selain itu, mahu memuntahkan perasaan sebenarnya. Hangin satu badan tahu!
Ketawa Azaim dan Syamsul termati. Serentak. Dan serentak juga sama melongo melihat muka pintu. Tengah bagus punya bantai gelak, tiba-tiba pintu bilik dirempuh. Mahu tak terkejut sesumpah. Namun sekejap saja, kerana apa yang menyapa mata mereka membuatkan ketawa kembali mengisi ruang bilik bacaan itu. Memang jelas di mata mereka, Sirin yang nampak tegang dengan dada turun naik. Menunjuk perasaan sebenarnya.
Tapi yang kelakarnya…
Gelak Syamsul tambah galak dan lanjut.
Namun Azaim tak mampu berlagak hilang akal bak temannya itu kerana dia yakin jika dia tidak berhati-hati sekarang, dia bakal terima pelangkung wanita. Renungan maha tajam ke muka Syamsul sudah menunjukkan keinginan hati Sirin, namun kerana hormat, gadis itu masih menahan diri. Tapi kalau dialah yang hentam gelak begitu, Azaim yakin Sirin tak akan teragak. Segala kungfu panda dan pelbagai seni pertahan diri akan jadi bahan praktis ke atas tubuhnya. Jadi, Azaim sudah buat keputusan, tidak mahu mengundang peluang dan sebab untuk Sirin merealisasikan impian hatinya itu.
Namun, hati… kala ini… aduh! Sirin sudah pulang ke sampingnya…
“Assalamualaikum, Sirin.” Azaim bangkit daripada duduknya. Mengukir senyuman nipis kepada gadis yang masih berada di muka pintu. Gadis yang lima tahun dia rindu bagai nak gila dan bagai nak gila pula gadis itu bencikan dia.
Wajah Azaim serius, tanpa rasa. Sedang dalam hati berkocak macam-macam rasa. Paling tinggi dalam carta, nak jadikan Sirin bahan peluk sampai puas. Tapi… hmm…
Bibir Sirin sedikit memuncung sebagai tanda geram dan tidak puas hati. Sikap Sirin yang sudah dihafal Azaim semenjak dulu lagi. Ah, segalanya mengenai Sirin sudah dia khatam. Termasuklah bahagian degil serta keras kepala si gadis. Kerana itulah untuk lima tahun itu dia menjauh saja, sebagaimana mahunya Sirin.
“Waalaikumussalam. Saya nak cakap sikit.” Sirin mencerlangkan mata kepada Syamsul yang masih ketawa. Tak agak-agak.
Namun, apabila mata mereka bertentangan—matanya tajam menikam, mata Syamsul galak dengan rasa lucu—pemuda itu menutup mulut dengan tangan kiri manakala tangan kanan diangkat bak polis trafik pencen. Namun raut muka Syamsul jelas menunjukkan dia mahu ketawa lagi, selantang mungkin kalau diizin.
“Cakaplah, Abang Im dengar, Sirin. Tapi… seluar tu untuk Abang Im ke?” tanya Azaim menyembunyikan senyuman.
“Seluar?” Sirin pelik. Dan panggilan Sirin daripada Azaim buat ada rasa bernada dalam hati. Kupu-kupu pandai pula berterbangan tiba-tiba. Dalam hati ada taman ke?
“Ya, Sirin. Seluar-seluar kat tangan Sirin tu.”

Di mata Azaim dan Syamsul kini, dia bukanlah seorang gadis yang sedang marah, sebaliknya seorang gadis yang sedang mencuba bakat semula jadinya untuk menjadi seorang badut. Uh, malu, malu!
Wajah Sirin yang merona, bersama kedua-dua pipi seperti disapu pemerah pipi merah jambu membuatkan kulit perang keemasan seperti pelakon Hindi kesukaan Syamsul, Priyanka Chopra, milik si gadis jadi lebih menggoda di mata Azaim. Paling mahal pada Sirin adalah kulit yang nampak keemasan itu, yang sepertinya ditabur serpihan gold-dust, membuatkan Sirin nampak bersinar sentiasa. Malahan warna kulit yang sebegitu dengan paras yang jauh daripada muka Melayu, buat ramai menyangka Sirin bukan Islam. Hakikatnya, Sirin Islam dan separuh Melayu.
Senyum Azaim tersimpul. Yakin kali ini merah pada pipi gadis itu bukan kerana perasaan marah atau geram kepadanya, sebaliknya kerana malu. Dan dia suka lihat Sirin yang malu-malu ini. Tertunduk dan nampak serba tidak kena. Seperti sekarang. Ah, betapa rindunya dia kepada Sirin ini. Pendek kata, segalanya mengenai Sirin dirindui selama ini. Namun perasaan benci Sirin kepadanya menghalang dia daripada menunjukkan perasaan itu. Tapi kali ini, Azaim sudah tekad. Dia tak akan sembunyi, sebaliknya akan tunjukkan segala macam perasaannya.
Mata Azaim terus menatap setiap inci paras Sirin. Jelas kacukan Inggeris-Thai pada wajah itu, diwarisi daripada bapanya. Dan darah Melayu, tak mengena sedikit pun pada Sirin, kecuali mata kecil biji badam ibunya.
Azaim masih ingat kepada arwah Hassan dan Saidah, yang menjadi staf arwah ayahnya. Sepasang mata Sirin memang sejernih renungan arwah Saidah, walaupun warna anak matanya tidak seperti Saidah. Mata kecil bak biji badam dengan bulu mata pendek, melentik. Bezanya, bulu mata Sirin perang keemasan dan tidak hitam. Kening Sirin pula sedikit tebal namun elok terbentuk, perang keemasan. Rambut berombak-ombak, gabungan sedikit keriting sedikit lurus, perang keemasan. Ini memang sah-sah menurun daripada arwah Hassan, sebagaimana yang lain-lainnya. Seperti hidung mancung kecil dan bibir tipis comel itu.
Alahai, sangat kissable. Tapi, hanya untuk dia saja ya. Sekian, terima kasih!
Renungan Azaim mula buat Sirin hilang selesa. Memalukan! bentaknya memarahi diri sendiri. Akhirnya dia sembunyikan seluar-seluar di tangan ke belakang tubuh. Tak apalah jika Azaim tahu, asal Azaim tidak nampak.
Sirin merengus kuat apabila tawa Syamsul yang mula teratur kembali tercetus. Menggemparkan suasana bilik bacaan yang senyap sekejap tadinya.
“Saya nak cakap!” Sirin memulakan bicara. Sengaja menekankan setiap patah katanya. Mahu Azaim tahu yang dia tidak main-main, walaupun baru seketika tadi tanpa sedar dia telah menghiburkan Azaim dan Syamsul, yang masih gagal menahan tawanya.
“Hmm, cakap. I’m listening.” Azaim berpeluk tubuh seraya menjongket sebelah kening. Seperti Sirin, dia cuba memekakkan telinga dengan gelak pelbagai nada dan gaya daripada Syamsul. Dah macam nak terlungkup ke bawah sofa pun ada lelaki itu.
“Almari baju saya! Apa dah jadi?!” Sirin meniru aksi Azaim. Tapi taklah berpeluk tubuh. Nanti Azaim nampaklah seluar-seluarnya. Angkat kening sajalah.
“Sirin perlukan baju-baju tu. Jadi, Abang Im sediakanlah. Tu aje.”
“Tu aje?” Sirin separuh menjerit. Terlupa akan seluarnya, bingkas dia mencekak pinggang rampingnya. Mahu Azaim tahu apa kesan ‘Tu aje’ Azaim tadi.
“Sirin, Abang Im tak nak Sirin terus pakai macam ni.” Azaim menunjuk jari-jari yang kembang ke tubuh Sirin, dari atas ke bawah. “Dah tak boleh. No more black, please. Abang takut kalau ada tetamu yang datang akan ingat Sirin salah seorang maid. Abang tak nak tu terjadi. Sebab tulah baju-baju tu… Tu aje.”
Tu aje lagi! Grr!!!
“Saya suka warna hitam, jadi saya akan pakai warna hitam. Saya tak kisah apa yang orang lain fikir. Saya akan pakai apa saya nak. Dan kalau saya nak hitam, hitam!” tegas Sirin besarkan mata badamnya. “Jadi, kalau tak nak rugikan baju-baju dalam almari tu, sila ambil dan sedekah kat sesiapa. Kalau tak, biar aje semua terperam kat situ, tumbuh lumut. Saya tak nak!”
“Sirin…” Azaim tidak sempat meneruskan perbualan mulut yang baru bermula itu. Semuanya kerana ketukan pintu kedengaran. Namun, Azaim tak kalih mata, terus kepada Sirin.
Raut muka Azi terjengul di balik muka pintu. “Tuan Azaim, Cik Salmiha dan Encik Burhan nak jumpa.”
Belum sempat Azaim arahkan Azi memberi keizinan, agar membenarkan kedua-duanya masuk, tubuh Burhan lebih dulu bersatu dengan bilik tersebut. Selamba menolak pintu yang terbuka sedikit, meluaskan ia. Dari belakang pula mengekor Salmiha, sama-sama terus atur langkah, seolah-olah Sirin tidak langsung berdiri sedikit ke hadapan dari pintu. Selamba dua beranak itu melepasi Sirin begitu saja.
Eh, dah jadi badut cendana ke aku kat sini? Sirin terkebil-kebil.
“Im?” panggil Salmiha lembut dan manja, menghampiri Azaim bersama senyuman tipis yang menggula-gula manisnya lalu meraih lengan pemuda itu tanpa teragak. Atau silu.
Mata Sirin yang terkebil-kebil jadi macam nak tergolek jatuh ke atas lantai. Terperanjat dengan adegan di hadapan mata. Hendak tahu sangat siapa gadis yang kini sudah memeluk lengan Azaim. Walaupun Sirin belum kenal gadis itu, dia sudah buat keputusan untuk membenci. Kerana apa, jangan tanya. Tak ada jawapan kerana belum kenal. Alasan pun tiada. Tapi, dah dia nak tak nak suka, tak suka hatilah kan!
“Hai, Sal.” Azaim tersenyum manis kepada Salmiha yang masih bertenggek di lengannya. Kemudian mengalih pandang ke muka Burhan, ayah kepada Salmiha.
“Encik Burhan,” sapa Azaim mengangguk kecil.
“Azaim.” Burhan sama mengangguk. Membetulkan sutnya seraya berdeham kecil. “Mmm, tak sihat ke? I ke pejabat tadi, tapi sekretari you kata you tak masuk…”
“I sihat, Encik Burhan. Saja ambil cuti. Sebenarnya… nak sambut kepulangan seseorang.”
“Oh, ia ke? Kenapa tak bagi tahu papa dulu, Im? Kesian papa. Risaukan you. Mujurlah tak ada benda buruk…” Salmiha pamerkan muka lega sangat.
“You tak risau ke?” Azaim mengerdip mata nakal.
Membuatkan Salmiha tersipu malu.
Syamsul pula elok duduk di atas tangan sofa, tengok dinding. Macam ada benda baru melekat di situ.
Burhan nampak macam nak lompat suka, kalahkan katak.
Sirin… Yaks, I nak termuntah tahu!
“I penatlah, Im. Dahaga.” Salmiha angkat muka, mengadu manja. Tangannya masih setia memeluk lengan kekar pemuda itu.
“Alahai… I suruh maid I ambilkan minuman untuk you. You nak minum apa, Sal? Encik Burhan?” Dari paras anggun Salmiha, Azaim menoleh kepada Burhan pula.
“Hmm…” Salmiha diam memikir seketika. Akhirnya melontarkan mata ke muka Sirin. Bersama senyum kecil dia bersuara, “I nak Milo ais, boleh?”
Sirin terlongo. Tanpa sedar seluar-seluar di tangan kelepuk ke atas lantai berhias karpet mewah itu.
Syamsul sudah bangun dan makin galak menilik dinding, hampir bertemu hidung, bibir main jongkang-jongket spontan.
Azaim berdeham kecil.
Burhan pula berkata, “Saya nak Nescafe ais.”
Published on February 25, 2013 22:47
February 22, 2013
.: Zara Zara [Bab 1*2]

Hari ini, tanggal 12 Mei 2012, studen-studen tingkatan enam dulunya dan kini diangkat sebagai Pra-U, diterima masuk ke sekolah ini. Satu-satunya sekolah dalam kawasan ini yang menerima pelajar tingkatan enam. Sekolah Menengah Jalan Bawah memang taklah. Sekolah Menengah Jalan Kiri dan Sekolah Menegah Jalan Kanan, pun tak ada. Jalan lain, lagilah tak ada. Jalan Atas saja satu-satunya jalan untuk pelajar-pelajar yang hendak ambil STPM.
Disebabkan itulah aku dipaksa dengan cara agak senonoh oleh umi, agar melanjutkan pelajaran ke sini walaupun aku dah hentak kaki gaya kanggaru tak hendak tak hingin!
Muka yang aku kepit bagai burger paling ramping isinya, antara dua pintu, aku arahkan ke barisan-barisan panjang yang diletakkan di ruang tengah dewan. Tiga bahagian hadapan diisi tubuh-tubuh pelajar lelaki yang berbaju kuning lembut dengan seluar slek hitam, berserta tali leher hitam. Manakala empat barisan di belakangnya pula diisi pelajar-pelajar perempuan yang berpakaian seperti aku. Ada juga yang tidak bertudung antara mereka, pelajar bukan Islam. Namun anggun berbaju kurung.
Dan di barisan keempat, barisan pertama pelajar perempuan, aku mulakan adegan pengimbasan. Aku yakin sahabat baik boleh tahan sejati tak Search aku ada di barisan itu. Hazma binti Abdullah tu memanglah kaki tempat paling depan. Sebabnya senang hendak nampak apa yang patut nampak--lelaki kacak, handsome, tampan dan yang sama waktu dengannya. Antena bergerak aje kalau bab jantan jambu air! Menganga sakan...
Macam sekarang!
Dari sudut yang begini pun aku boleh tahu mana satu Hazma dalam barisan keempat itu. Makhluk yang paling luas ngangaan mulutnya tengok depan. Sebab di depan tu sekarang ini tidak berdiri Cikgu Besar Sekolah Menengah Jalan Atas yang memang besar, sebaliknya berdirinya seorang pelajar lelaki yang jadi wakil pelajar baru untuk berucap. Sekalipun muka mamat tu suci bercahaya-cahaya dari atas pentas sana, aku sikit pun tak ada rasa tertarik memang da'bomb hendak pandang. Bukan dalam antena aku!
Yang dalan antena aku, Hazma binti Abdullah yang nganga gaya nak bagi semua lalat satu Malaya tumpang berteduh barang seketika. Tinggal tak ada air liur menitik-nitik aje. Aku pandang kerusi di kanan dan kiri Hazma.
Yes!
Sebab inilah aku kata Hazma memang sahabat baik lagi sejati! Hazma sentiasa kosongkan kerusi untuk aku dalam apa keadaan pun. Tak pernah sibuk tanya kenapa aku lambat. Tapi, asal sedar aku akan lambat, Hazma dengan baik hatinya akan cop tempat untuk aku!
Itu Hazma binti Abdullah yang aku kenal sejak tingkatan tiga.
Masih memegang tombol pintu dengan kedua-dua tangan, aku tolak penuh perasaan pintu yang berat. Entah kayu jenis manalah dibuat pintu! Sambil tolak pintu, badan aku kekal dalam keadaan separuh tunduk. Elok saja lepas pintu dan berjaya diam-diamkan pintu ke tempatnya, aku terus buat gaya penguin miang. Kaki di atas lantai, badan merendah sehabis daya, aku jalan gaya penguin. Kiri, kanan, kiri, kanan. Ni kalau umi tengok... sah umi kahwinkan jugak aku! Tanpa belas kasihan dah.
Dengan gaya jalan penguin begitu, aku hati-hati bergerak ke barisan ketujuh di ruang tengah dewan itu. Mujur berjaya dengan cemerlang. Bila aku dah sampai ke barisan ketujuh baru ada yang perasan dan kebanyakan yang perasan adalah budak-budak satu sekolah lama dengan aku. Budak-budak yang dah hafal sangat dengan masalah rumah tangga aku--datang lambat!
Mereka berbisik-bisik “Lambat lagi?” kepada aku gaya menyakat dan aku membalas bagai sekolah lama dulu. Buat iklan ubat gigi!
Sambil itu aku terus ke baris keempat, untuk ambil tempat.
Elok saja sampai ke barisan itu, dengan peluh memercik pada dahi balik ruang dewan yang kipas-kipasnya ligat berpusing, aku dengan selambanya stunt di antara ruang yang ada. Tak ada maknanya aku nak berdiri tunjuk tak malu lalu masuk. Aku ini sungguh pemalu!
Makanya aku stunt gaya kucing merangkak sampaikan pelajar-pelajar barisan itu terangkat-angkat kaki, badan dan mula menceceh terganggu. Tak kurang pula yang ketawa semput. Di balik semua ini, bunyi latar masih ada. Bunyi suara memberi ucap yang terhenti sekejap, terteran seketika.
Tapi, tu bukan hal aku!
Hal aku adalah sampai dengan selamat dan berjaya duduk di sebelah Hazma--yang masih menganga gaya terngiur habis tengok depan. Rupanya bukan Hazma seorang kena sampuk gaya begitu. Ramai lagi minah-minah baju kuning yqng bagainya nak jadi geng I will follow you. Pakai Digi beramai-ramai gamaknya!
Ah, tu bukan masalah aku!
Masa dan waktu ini, aku hendak sampai ke kerusi kosong di sebelah Hazma, yang masih menganga sakan tak perasankan aku. Perasankan mamat yang tengah berucap di podium itu lagi! Yalah, aku ni kan tak handsome, kacak atau sewaktu dengannya. Aku ni… jelita! Cis, sungguh masuk bakul sendiri angkat! Habis, dah Hazma tak mahu tolong angkatkan…
Aku meneruskan ‘perjalanan’ ke destinasi sambil merangkak-rangkak terus. Pedulilah pada bunyi-bunyi kecil serta desas-desus yang sepertinya semakin berleluasa di dalam ruang dewan itu. Asal sahaja tak ada yang perasan akan aku. Malangnya, ingin aku tak jadi. Gagal. Digagalkan dek suara melengking satu macam dengan jeritan nyaring habis.
“Aaa!!! Tikus!!!”
Aku yang terkejut terus berhenti merangkak, tengok kiri kanan. Yalah, tikus kut. Bukan sugarglider ke apa. Tikus! Tahap comel tikus tu… aku tak pernah nampak langsung! Tikus tu… tak comel!
“Kenapa tu? Kenapa tu?” Suara dari atas pentas. Perempuan.
Bukan tikus!
“Tikus, tikus, tikus! Aaa… Gelilah!” Suara dari barisan ketiga, hampir dengan tempat aku terberhenti dengan kedua-dua lutut dan telapak tangan di atas lantai. Lela… Lelaki ke?
Terus aku angkat muka sikit untuk pastikan jantina tukang jerit yang masih menjerit itu. Mak aih, dah di atas kerusi dengan gaya geli tak ingat dan tak sanggup. Siap kepit-kepit kaki dengan sebelah tangan pada dada dan sebelah lagi pada pipi. Ini Usop Wilcha pun kalah! Gemalai sei! Patutlah aku ragu-ragu nak habiskan ayat lelaki tadi. Ghazal Untuk Ghazali rupanya!
Bukan tikus!
Jadi, mana pulak tikus? Terkebil sekejap aku, sampailah aku boleh faham. Lalu, terkelip-kelip menggayakan mata gedik masuk habuk filem Hindustan dulu-dulu, buat muka tikus paling comel dalam alam semesta, aku pun perlahan-lahan bangun, berdiri dengan memegang telinga, di atas tudung. Terus aku terkam mata ke pentas sana. Berdiri cikgu besar, tiga guru kelas Pra-U bersama guru kelas aku. Cikgu Widelia bam-bam yang comel walau tembam!
“Cikgu… saya, cikgu. Tikus kepala kuning cair. Teehee…”
Cikgu Widelia sentuh dahi dan dengan gaya ratu drama sengetkan tubuh ke kiri sedikit lalu berkata dramatik, “Oh, anak muridku…”
Ngam sungguh dengan tempat berdirinya Cikgu Fauzi, cikgu kelas Pra-U yang jadi bahan Cikgu Widelia main mata semenjak enam bulan sebelumnya, wanita bagai salinan Adibah Noor itu corner baring. Cikgu Fauzi pula seperti kena seru paut saja bahu Adibah, eh… Cikgu Widelia. Cikgu Widelia masih pegang dahi, tapi mata dah menggedik-gedik suka. Amboi, cikgu aku kan…
Cikgu-cikgu lain nampak lega dan tergeleng-geleng. Cikgu besar yang sebelumnya panjat naik ke atas kerusinya baru sedar dan perasan cikgu-cikgu lain tak perasan aksinya, perlahan-lahan turun dari kerusi, buat selamba dan lihat ke depan, menggeleng sakan. Aku perasan sangat ya aksi tu!
Aku tunjuk muka bersalah sambil pegang telinga terus. Apabila bertembung pandangan dengan Hazma, yang membulatkan mata kepada aku, aku sengih dan jelir lidah. Buat muka I-tak-sengaja-you. Pandangan aku terarah semula ke pentas dan di luar boleh, pandangan bertembung dengan mamat yang berucap di podium tadinya. Wakil pelajar Pra-U. Dan aku hampir tercekik ayat sendiri apabila nampak renungan makhluk Tuhan boleh tahan seksi itu. Padanlan kan Hazma tenung macam nak makan. Cumanya, waktu ini dia tengah renung aku macam hendak makan hidup-hidup. Tak ada barbeku, goring, stim atau sewaktu denganya. Makan hidup-hidup!
Terus hilang senyuman aku.
Published on February 22, 2013 04:13
February 16, 2013
.: Zara Zara [Bab 1] :.

Aku kan tomboi sepanjang zaman!Walaupun kepala ada tudung setiap kali ke sekolah. Sekalipun rambut panjang kalah iklan syampu pada hari biasa.
Aku bertudung ke sekolah saja. Cukup syarat sekolah letak. Kalau tak, memang aku gaya bebaslah-ikat ekor kuda tinggi. Bukan nak bangga aku tak bertudung, cumanya… aku belum ikhlas nak bertudung. Walaupun sebetulnya bertudung tak payah tunggu ikhlas kan. Tapi… hati ni…
Bila bicara pasal hati, kan sulit. Jadi, bab aku akan bertudung, kita letak titiklah dulu ya. Sekarang kita cerita bab aku tengah bawa basikal dengan lajunya, sampai punggung ada lenggok kiri, kanan, kiri, kanan. Terangkat habis dari tempat duduk. Tinggi-tinggi punggung, tinggi lagi kain baju kurung. Tapi, tak ada adegan seksi-meksi sedang berlaku. Sebab aku jenisnya kalau ke sekolah mesti ada seluar trek dalam kain baju kurung. Makanya, tak pernah aku kisah setinggi mana kain baju kurung aku terangkat.
Aku manusia mengejar masa, tak ada masa nak fikir hal macam ini. Sebab itu awal-awal aku dah guna perisai sebelum tengah jalan nak gusar diri. Cuba macam sekarang, kalut-kalut kayuh basikal laju-laju pun, aku tak payah nak fikir soal adegan seksi daripada aku si cikeding tak ada isi! Aku hanya kena fikir sampai ke sekolah ngam-ngam waktunya dan tak terlewat daripada waktunya!
7.20 pagi!
Aku kerling jam tangan yang paut pergelangan tangan kiri. 7.15 pagi.
Aku mendesis geram dan terus melajukan kayuhan basikal. Gaya melelong penuh dedikasi dah basikal mini warna hijau dengan bakul dan tempat duduk di depan. Bakul depan aku isi beg silang aku manakala kerusi belakang isinya aku dah campak ke tempat yang patut tadi. Campak? Sungguh tak. Penuh kasih sayang, sarat cinta hati, aku turunkan dia. Dan sekarang masa untuk aku kejar waktu tiba ke sekolah sendiri. Aku, aku sanggup campak!
Aku melajukan kayuhan terus apabila di depan ada lampu isyarat. Aku perlu lepasi lampu isyarat untuk sampai ke Sekolah Menengah Jalan Atas tepat jam 7.19 pagi!
Dengan semangat waja itulah aku melajukan kayuhan dengan gaya separuh badan ke depan dan punggung terangkat habis kiri, kanan, kiri, kanan.
Lampu isyarat hijau dengan gaya orang berjalan di depan sana tiba-tiba berkelip-kelip.
Aku kayuh laju-laju lagi. Masuk upacara basikal pecut, sah Malaysia menang. Berani gigit basikal!
Lampu isyarat hijau gaya orang berjalan tiba-tiba jadi merah gaya orang berdiri tegak.
"Tsst!!!" Aku mendesis kuat, penuh rasa.
Aku lihat jalan raya, cuba hendak agak dan kira kalau aku teruskan usaha jadi pengayuh basikal pecut Malaysia, mungkinkah akan berjaya. Ya, berjaya. Berjaya untuk mati katak pakai seluar trek dalam baju kurung!
Nak tak nak, sudi tak sudi, aku brek mengejut. Dan basikal itu tersenget di atas jalan raya, saat kereta-kereta mula bergerak kerana lampu isyarat bahagian mereka sudah hijau. Bunyi tayar bergeser dengan jalan tar jelas kedengaran. Gaya stunt dah lama hidup daripada aku membuatkan beberapa pejalan kaki yang menengok menjerit kecil dengan pelbagai gaya. Satu mak cik yang tengah pimpin anak kecil siap tutup kedua-dua mata si kecil itu. Ada seorang pak cik dengan selambanya, bila habis terkejut, hulur kad perniagaan kepada aku.
Aku yang sedang sibuk tengok kiri kanan, hendak cari jalan lain tanpa perlu tunggu lampu isyarat ini berubah kepada orang hijau berjalan, terkejut sesaat. Spontan, aku capai kad perniagaan yang pak cik itu hulur. Dan menganga tiga saat aku tengok apa dicetak ringkas di atasnya.
TEMPAHAN NISAN HAJI RASID
Lepas nganga tiga saat, aku tengok depan. Tapi pak cik yang aku yakin bernama Haji Rasid itu sudah tiada di depan aku. Aku tengok kanan. Haji Rasid sudah berjalan sambil lihat ke arah aku seketika dengan isyarat tangan, unjuk ke telinga. Telefon jangan tak telefon punya gaya. Siap digoyang gedik telefon imaginasinya kemudian lambai tangan dan berjalan terus.
Terkebil-kebil aku dengan aksi Haji Rasid yang kalau orang tak tahu apa isi cetak pada kad nama di tangan aku, akan sangka lelaki tua selayak atuk itu sedang cuba mengurat aku. Kenyataan dan hakikatnya, tak. Haji Rasid sedang memberi nasihat dengan cari lembut. Subtle. Hati-hati di jalan raya atau…
Aku tenung kad perniagaan Haji Rasid, sempat telan liur kesat sebelum sedar diri aku dah lambat!
Aku tengok tangan kanan sambil masukkan kad perniagaan Haji Rasid ke dalam poket baju kurung kuning cair. 7.17 pagi! Aku imbas kawasan sekitar dan ternampak sebuah taman yang selalu jadi port aku melepak dengan Zahmin bila rasa nak berkasih sayang. Dari situ, ada jalan untuk ke Sekolah Menengah Jalan Atas. Kalau Sekolah Menengah Jalan Bawah tak ada. Itu dah atas peta lain.
Aku meneruskan kayuhan, laju sambil ingat kad perniagaan Haji Rasid. Maknanya, laju gaya pengayuh basikal pecut Malaysia yang boleh berjaya hidup lama! Insya-Allah, amin.
Aku mengayuh basikal ikut jalan taman kemudiannya keluar ke jalan utama dan beberapa saat selepas itu aku nampak jelas bangunan utama Sekolah Menengah Jalan Atas terbentang di depan sana. Sebagaimana terbentang gahnya kain rentang bertulis SELAMAT DATANG PELAJAR-PELAJAR PRA-U 2012.
Aku menyengih suka. Tambah lebar sengih aku apabila jenguk jam tangan dan angka yang tertera adalah 7.19. Yeay!
Basikal terus laju aku kayuh ke arah pintu pagar utama sekolah yang masih terbuka. Pintu pagar yang lebih tinggi daripada dan sah-sahlah sungguh berat. Dan tiba-tiba aku nampak pintu pagar besar gabak lagi berat sungguh itu perlahan-lahan bergerak, mengecilkan ruang luas terbuka tadinya.
Memicing mata aku tengok. Kepala pun register. Pintu pagar itu hendak ditutup!
Mata aku alih ke kiri. Sebab pintu itu bergerak dari sebelah itu. Sah-sahlah ada orang tolak kan. Takkanlah pintu bergerak sendiri. Ni kan Sekolah Menengah Jalan Atas, bukan jalan sendiri. Di kiri, aku nampak seorang lelaki 40-an, sedang menolak pagar sekolah. Daripada pakaian pada tubuhnya, aku yakin lelaki itu pak cik pengawal Sekolah Menengah Jalan Atas dan bukan jalan sendiri.
Penuh semangat kayuh, aku jerit kepada pak cik pengawal, "Pak cik!"
Kali ketiga laung "Pak cik" bagai anak tekak lari nak ketuk telinga pak cik, barulah lelaki itu perasankan aku yang bersemangat kayuh basikal ni. Aku lambai-lambai tangan, isyarat agar dia tak tutup pintu pagar utama. Aku sangka pak cik tu nak baik hatilah kan bagi can aku yang bersemangat waja terus berusaha ni. Hampeh, haram!
Pak cik pengawal buat gaya tunjuk jam di tangannya kemudian selamba silangkan tangan kanan dengan tangan kiri, tunjuk X besar punya. No! Kemudian pak cik pengawal sambung tolak pagar dengan gaya pekerja berhemah.
"Kurang asam pedas punya, pak cik!" Aku kejap kuat handle basikal dan bertindak berani mati. Walaupun ada terfikir kad nama Haji Rasid barang sedetik. Namun, aku nekad.
Pintu makin mengecil, aku makin melaju. Dan, ngam-ngam basikal mini itu, dengan kedua-dua kaki aku letak pada badan basikal di tengah, aku berjaya lolos masuk ke Sekolah Menengah Jalan Atas tepat jam 7.20 pagi!
Aku angkat kedua-dua tangan sambil jerit, "Yeay!"
Published on February 16, 2013 09:38
Primadona Orang Muda | Bab 8

Published on February 16, 2013 07:36
.: Primadona Orang Muda [Bab 8] :.

Kemudian ditepuk-tepuk belakang bahu Sanaa yang terkaku dengan muka ikut beku, dengan lima jari tangan kanan Abang Kama, beberapa kali. Memperkenalkan dia hari itu. Begitulah bermulanya kehidupan dan jadual baru Sanaa. Kalau dulu hidupnya sudah ada aturan, sudah boleh dijangka apa akan berlaku dan sudah dapat diagak apa bakal terjadi, sekarang tak lagi. Jadual Sanaa kini ubahnya ikut suka.Ada waktu dia perlu ikuti latihan yang sudah ditetapkan sewaktu kelas Pro-Ba, jam 10.00 pagi hingga 1.00 petang. Ada rehat antaranya, ada cakap-cakap antaranya. Rehat yang bukan hilangkan penat. Cakap-cakap yang bukan omongnya kosong. Tak cukup dengan itu, ada pula latihan lebih masa. Masanya pula selalu lewat waktu. Waktu dia sudah di rumah biasanya. Waktu dia sedang mengulit buku untuk siapkan kerja kursus atau ulang kaji selalunya.
Lalu dia, Sanaa Abdul Rahim, jadi hilang kaki dan tangan. Serba tak betul dalam mengatur kehidupan baru. Tambah pula apabila hidup itu sudah tunjuk ada kesan sampingan. Kesan sampingan yang bakal buat hati berulat teruk kalau tidak dijaga dari awal. Malangnya, Sanaa tidak pasti sama ada akan bertemu antidote pada hal yang ini. Tapi dia sengaja tidak runsingkan hal ini kerana kepalanya rasa cukup berat dan terbeban dalam menambah satu hal lagi untuk dihenyakkan ke situ. Bimbang henyakan yang satu itu adalah yang terakhir untuk akal warasnya.
Kesimpulan. Dia, Sanaa sebagai pelajar Penulisan adalah lebih buat dia nampak orang daripada dia Sanaa sebagai primadona kelas Pro-Ba. Sekarang, dia sungguh-sungguh rasa macam makhluk asing bertauliah. Makhluk asing yang sangat menyesal menerima paksa rela Abang Kama dan Rose.
Baru tiga minggu. Ya, baru tiga minggu menjadi primadona Pro-Ba, dia sudah rasa tertekan begini. Kalau sampai hujung semester, agaknya mahu dia jumpa pakar psikologi. Malahan, sah boleh tempah satu bilik khas untuknya. Agak-agaknya waktu itu ada tak Abang Kama dan Rose jadi penjamin khas untuk tempahan biliknya itu? Makhluk yang bertanggungjawab ke atas semua masalah yang menekan pundak dan perasaannya kini!
Tak cukup dengan itu, ada pula beban lebihan yang dia mula rasa sejak tiga minggu ini.
Beban yang dulunya sedap dia tanggung, kini menghenyak tubuh dan perasaan. Sakit sangat rasanya. Sebab beban ini ada nama. Nama yang dia suka dan gilakan dulunya. Sekarang juga sama, sebenarnya. Tapi… suka hati itu sudah ada bahagian sakit hati sama. Yang dia tak boleh hendak tahan terus semenjak dia nampak bahagian hitam Falah. Masa itu, memang dia nampak bahagian devil Mike Henya sebagaimana dalam Devil Beside You. Kan masa devil muncul, tertekan sama perasaan heroinnya.
Tapinya, dia heroinkah? Ceh, agak-agaklah punya perasan!
Dan selain itu, dia sudah tidak boleh fikir Falah sebagai Mike He lagi, walaupun Falah selalu juga tayang senyum sinis ala Mike He dalam Devil Beside You. Sebabnya mudah. Dulu dia tak kenal sangat Falah. Sekarang dia dah kenal sangat. Semuanya sebab Pro-Ba. Semuanya sebab hubungan orang muda-primadona mereka. Sampaikan kalau tak kata Falah itu Falah, sebaliknya Mike He, dia rasa pelik yang sangat. Macam dah tak boleh dah fikir yang begitu lagi.
Minggu pertama dia sebagai primadona (masa dia jadi heroin kepada orang muda), walaupun ada perasaan takut dan gerun dengan penerimaan ramai, ada juga bahagian senang hati kerana kawan-kawannya di bawah kostum dan mekap memang seratus peratus memberi sokongan. Kata semangat serta cakap sokongan mereka membuatkan Sanaa perlahan-lahan cuba untuk buang bahagian tak yakin dan kurang pasti yang mengikut dia sepanjang permulaan awal kelas mereka. Tapi sekejap saja.
Setengah jam kemudian, dia rasa nak berdiri di depan Abang Kama dan Rose, meluahkan perasaan sebenar. Bahawasanya dia tak layak untuk jadi primadona dan dia nak tarik diri sangat. Tapi dia tak lakukannya. Dia masih ada sedikit harga diri yang perlu dia jaga walaupun setengah jam awal itu dia dimalukan.
Oleh Emie. Oleh budak-budak extra-turn (tak semualah). Oleh Abang Kama. Oleh Rose. Dan oleh Falah.
Oleh yang lain itu Sanaa boleh terima lagi. Pekakkan yang tak perlu dan terima baik nasihat yang elok dalam membaiki diri. Tapi, apabila oleh itu adalah daripada Falah, Sanaa memang rasa hendak menangis sakan di situ juga. Nak hamburkan air mata biar berambu-rambu. Kerana Falah terlalu tinggi di matanya, di hatinya. Dan apabila Falah marah dia hanya selepas lima minit script-reading dengannya, manalah dia rasa tak kucar-kacir dua macam.
Orang lain pun kata dia keras dalam lakonan. Contohnya Emie dan Abang Kama. Orang lain pun cakap suaranya tak cukup bulat dilantun. Contohnya budak extra-turn dan Rose. Tapi, apabila orang lain bernama Falah yang cakap… hati Sanaa macam kena tikam dengan pisau Rambo, bertubi-tubi oleh tangan Falah sendiri.
Kata Asnidar, dia emo sangat sebab dia kan minat Falah. Sebab dia minati Falah yang sangat, dia hendak Falah nampak dia bagus dan baik saja. Hendak Falah puji-puji selalu, bukan mengutuk secara langsung dan rasmi begitu. Dengan suara radang meninggi di hadapan hampir 50 pelajar yang masih menghuni Dewan C.
Bila fikir semula, Sanaa memang setuju. Sebab itulah dia terus dan terus cuba baiki diri. Kerana itulah untuk satu minggu itu dia ikut saja semua latihan lebih masa yang dicadangkan pelakon-pelakon produksi. Kerana dia tahu dia perlukan ia. Malang sekali dia saja yang menyambut baik peluang itu sedang teman-teman pelakon lain tidak sambut elok dia menjadi sebahagian daripada latihan tersebut. Dia dipulaukan. Tak ada yang hendak berlatih bersamanya.
Hanya dua kali Falah memberikan kerjasama, namun ia hilang terus sesudah itu. Falah menjauhi dia macamlah bakat lakonan tak menjadinya boleh menjangkiti lakonan Falah nanti.
Dan dua kali Falah menghampiri dia, dua kali yang sama juga kepalanya pening kerana terhentak dinding. Bukan terhentak sebenarnya, sebaliknya dihentak orang yang menolak bahu kanan dan kirinya supaya terlekap ke dinding. Dan seorang lagi menolak kuat kepalanya dengan tunjalan pada dahi. Gedegush, gedegush, kena dinding. Kedua-duanya sewaktu mereka tamat latihan lebih masa yang disetujui bersama.
Selepas minggu pertama sebagai primadona, untuk minggu kedua dan ketiga, dia bukan sahaja terima layanan dingin dan beku daripada Falah, malahan dia sudah mula terima marah dan radang Falah kepadanya. Di dalam kelas, tak usah cerita. Pantang dia silap sikit, sakan Falah memarahinya. Waktu latihan malam pula, Falah siap menyindir supaya dia berhenti saja jadi primadona kalau tidak mahu berusaha sungguh-sungguh dan hanya hendak menyusahkan orang lain.
Masuk minggu ketiga, Falah punya hangat hati kepadanya macam kena simbah petrol apabila Abang Kama dan Rose mencadangkan Falah berikan latihan khas untuk Sanaa di dalam kelas. Berdua saja. Belum Emie atau ahli Kelab Peminat Falah melenting, Falah dah bingitkan Dewan C dengan kata tak setuju. Sampailah Abang Kama dan Rose mengugut dalam dapatkan kerjasama Falah. Siap tekankan kuas veto pensyarah lagi. Kesannya, Falah marah lagi. Tapi dalam marah begitu, tiba-tiba Falah beri setuju. Namun buat Sanaa, baiklah tak setuju terus. Sebab nampak sangat tak ikhlas. Semua boleh nampak ketidakikhlasan Falah dalam cakap setuju.
“Okey!” Falah sebenarnya bermaksud “Tak okey!” Berlawanan!
Sejak itu banyak kali Sanaa rasa nak unlike Falah, namun setiap kali itu jugalah dia tidak pasti dan terus tidak melakukannya. Tak sanggup kerana dia terasa akan hilang sesuatu kalau dia buat begitu. Tambah pula buat begitu ketika hati sedang marah, perasaan asyik marak. Kan ayah dah bilang, kalau tengah marah sangat, jangan bertindak dalam membuat keputusan. Buruk padahnya nanti.
Lalu, dia tahan saja hati dengan setiap cakap-cakap dan kata-kata Falah yang selalu meninggi kepadanya dan sering saja dalam nada tak suka. Dia cuba untuk tidak peduli dengan apa pun cakap Falah atau kata-kata orang lain. Dia berlatih sendiri bersama Asnidar dengan bantuan Sukma. Kadang pula Abang Ijad turun padang. Dia perbaiki diri dan bakat yang dilihat dan diyakini Abang Kama, Rose dan Abang Ijad.
Kalaupun hatinya hampa dengan sikap Falah yang dia tidak sangka atau jangka boleh berubah sampai begitu, seolah-olah membencinya, tapi dia cuba untuk tak hampakan geng kostum dan mekap, teman-teman yang percaya dia boleh. Juga tidak hendak hampakan pensyarah-pensyarahnya, yang memilih dia, Sanaa Abdul Rahim, dengan menolak Emie Marlina yang diyakini semua mampu dan boleh berlakon. Dia tetap mencuba walaupun onak dan duri menikam dan menekan rasa. Paling-paling sekali demi Asnidar yang sangat percaya dan memberi sokongan kepadanya, lebih daripada seratus peratus.
Ah, persetanlah semua yang tidak menyokong atau tidak meyakini dia! Persetan sama dingin dan marah Falah kepadanya hanya kerana dia budak baru belajar!
Mengeluh dalam keruhan, kepala yang sejak sepuluh minit tadi, sejak masuk ke perpustakaan, dengan dagu menongkat meja dan sebuah buku di hadapan muka, akhirnya menghentak meja. Bukanlah pakai dagu. Agak-agaklah. Dia kan nak lepas perasaan yang terkurung dengan menghentak sakan. Tapi, takkanlah guna dagu sendiri.
Ketawa kecil yang kedengaran buat Sanaa sentak terlalu. Sampaikan buku yang diletak di depan muka, mengaburi pandangan orang ke mukanya terjatuh apabila kedua-dua tangan melepas ia. Terkejut sakan punya pasal. Sebab itu gelak seorang lelaki. Lelaki yang dia hendak elak sampai ke hujung semester sebelumnya sebab tak nak kewujudan dia jadi perasan. Tapi selepas kena herdik dan tengking lebih satu minggu ini, sahlah Falah lebih perasan akannya.
Buku yang tadi menutup wajah jatuh elok di atas meja. Sebagaimana mulut Sanaa ternganga, jatuh ke atas meja apabila dagu terus menongkat atas meja. Wajah itu sudah hilang ketawa. Hanya ada senyum sinis menyentuh sepasang bibir merah dengan kumis halus dan bulu halus pada dagu—mula dibela atas permintaan Abang Kama dan Rose untuk memantapkan lagi watak orang muda untuk produksi mereka.
Mulut melongo, mata membulat, Sanaa terus kaku melihat tubuh yang duduk di meja yang sama dengannya. Bertentangan dengannya. Muhammad Falah!
Apabila sedar diri, perkara pertama yang Sanaa buat adalah lihat sekeliling ruang perpustakaan tingkat paling atas itu. Tingkat tiga perpustakaan AKAK yang dikhaskan sebagai ruang studi untuk kumpulan atau perseorangan. Malahan ada pula bilik khas yang disediakan kalau diperlukan pelajar untuk sebarang perbincangan. Cuma pelajar perlu menempah lima daripada bilik khas di situ lebih awal jika hendak menggunakannya. Malahan ada sama bilik audio/video yang dikhaskan untuk tontonan. Selalunya digunakan oleh pensyarah kelas yang hendak mengadakan tayangan video atau pelajar-pelajar sendiri. Bilik ini pula perlu ditempah dua minggu lebih awal kerana hanya ada dua bilik sahaja.
Bahagian studi perseorangan pula adalah di sudut kiri kanan bangunan yang disusun oleh meja-meja yang hanya boleh memuatkan satu orang, terlindung daripada pandangan orang atau isi perpustakaan. Untuk tujuan privasi tentunya. Di tengah-tengah, di bahagian kiri ada sebuah ruang legar yang menempatkan sofa untuk tiga orang duduk, saling berhadapan, serta akhbar-akhbar harian. Di sudut kanan ruang tengah, ruangnya lebih luas banding sudut kiri, tersusun meja yang boleh memuatkan enam orang, sebanyak yang boleh. Tak laratlah nak kira untuk makluman. Hehehe…
Sesudah kepala terarah 180 darjah ke kiri, kemudian ke 180 darjah ke kanan, Sanaa sudah ada soalan. Mengapa pula Falah duduk di meja yang sama dengannya, berhadapan dengannya sekarang? Bukankah ada banyak lagi meja kosong yang boleh diisi lelaki itu? Jadi, mengapa di sini? Falah ni hendak bagi dia masalah lagi ke? Nak panaskan bara yang nak tak nak menyala sejak beberapa hari ini setiap kali Falah dekat dengannya? Bukan bara hati Sanaa, tapi hati Falah ya!
Apabila Falah mula mengamuk, pasti akan ada amukan seterusnya. Daripada Emie Marlina, peminat nombor satu Muhammad Falah dan pengerusi tak diangkat Kelab Peminat Falah. Amukan lembut penuh sinis.
Tak cukup dengan cakap-cakap orang perihal Diva P vs Ugly Duckling, Falah hendak tambah bilangan pengundi lagi? Pengundi yang terang-terang pangkah Diva P sebagai calon yang layak selaku primadona Pro-Ba!
Geram memikirkan tindakan membuta tuli Falah yang suka-suka marahkan dia selama ini, melepas lenting dan tengking tanpa fikir perasaannya selama ini, akhirnya Sanaa lepas pandangan geram sekejap, tegak ke depan. Tunjuk protes tanpa rusuhan nyata. Tapi, dia tahu Falah boleh faham sebab Mike He dia ini kan bijak walaupun suka garang macam singa terhadapnya.
Seterusnya, Sanaa angkat buku berkulit tebal mengenai bangsawan yang terjatuh gedebuk tadinya. Tegak dia letak di depan muka lalu kembali sembunyi muka. Tak nak kawan!
Sekali lagi, ada gelak perlahan kedengaran.
Sanaa kemam bibir balik buku kulit tebal depan muka. Geram sebab Falah ketawa. Yalah, sebab dia rasa diketawakan. Sudahlah Falah ini lelaki yang dia minati. Boleh pula Falah hendak gelakkan dia serupa dia tak ada perasaan. Hancur luluh perasaan romantis serta berbunga tanpa pohon yang dia khaskan untuk Falah. Huhuhu… Kuncup setaman.
“Kalau awak tertanya-tanya kenapa saya duduk sini, walaupun ada banyak lagi meja dan kerusi kosong, jawapannya mudah. Saya nak awak…”
Ayat henti seolah-olah mati itu buat Sanaa jadi kejun. Jemari tangan yang merapat pada kulit buku, kiri dan kanan, melonggar sendiri. Lalu buku kulit tebal itu hilang imbangan dan menggelongsor jatuh. Bum! Buku jatuh ke atas meja. Bum! Sanaa jatuh ditimpa perasan. Semuanya sebab ayat sentut mati Falah. Dia rasa hendak ke awan tanpa turun ke tanah.
Tapi rasa itu tidak lama. Gedebuk! Falah terus hantar dia ke tanah dengan ayat seterusnya. Ayat sambungan tanda ayat tadi hanya henti, bukan mati.
“Punya buku.” Lalu disambung lagi, “Saya nak pinjam buku tu, tapi tak jumpa di rak. Saya ternampak kat tangan awak. Sebab tu saya duduk sini. Saya nak awak… punya buku…” Falah senyum sinis lalu menunjuk jari telunjuk ke arah buku yang sembam ke meja.
Sanaa rasa nak ramas geram muka sendiri apabila dengar ulangan “Saya nak awak…” yang sengaja Falah panjangkan dan ada bunyi nakal dua macam, seolah-olahnya ada dua makna (tersirat dan tersurat), sebelum Falah tambah dua ayat belakang. Sekali gus menghancurlumatkan pemahaman tersiratnya.
Salah faham yang tak sengaja atau salah faham yang memang Falah sengajakan?
Terketap sekejap mulut Sanaa sebelum dia katup buku kulit tebal yang Falah nak sangat. Ditolak terus kepada lelaki bertentangan dengannya itu.
Buku itu terletak kemas di hadapan Falah. Namun, tidak pula Falah sambut. Kalau tadi Falah duduk tegak pada kerusi memandang dengan senyum sinis, kali ini Falah bersandar santai pada kerusi sambil memeluk tubuh, merenung dengan senyum manis. Relaks saja lagak Falah sambil menyisir rambut berombaknya yang sedikit panjang.
Mujur Sanaa sempat imbang tubuh kemudiannya kerusi. Kalau tidak, sah Sanaa terjun terus ke belakang. Bukan jatuh ke atas lantai. Mahunya kepala hantuk kerusi di belakang atau terus junam sampai ke meja belakang. Dah sudah. Kang cedera parah, mana nak cekau primadona baru. Kalaupun dia tak jadi primadona, naklah dengan cara bermaruah sikit. Bukan tercedera sebab dikejutkan dek senyum manis Falah ini. Satu AKAK tahu perasaan dia nanti! Sudah!
Tergagau sekejap, terkebil sekejap, Sanaa pastikan sebelah tangan memegang kejap hujung meja didudukinya. Tak nak sekali lagi jadi mangsa betapa manisnya senyumanmu daripada Falah. Sebab dia yakin yang kali ini, dia memang akan sembam ikut sudut, terus ke lantai. Terus mata Sanaa tunak ke mata Falah yang terbelalak dengan aksi selamatkan diri daripadanya. Kemudian, Falah senyum segarit.
“You’re a danger to yourself. Macam mana awak boleh membesar sampai macam ni…” Menggeleng-geleng, Falah tarik buku kulit tebal dia atas meja agar lebih dekat dengannya. Diselak-selak sambil membawa tubuhnya ke depan lagi, merapatkan kerusi dekat dengan meja, kedua-dua tangan di atas meja, menyelak-nyelak buku di hadapan. Tapi matanya tidak pula pada buku yang dia hendak sangat sejak tadi itu, sebaliknya ke paras gadis di hadapannya.
Wajah itu menghangat. Entahkan malu, entahkan marah.
Marah. Itulah perasaan Sanaa. Mana tak marah kalau pandai bijak Falah saja hendak memberi komen. Dia bahaya untuk dirinya sendiri? Membesar sampai macam ni…? Ayat apa tu? Ayat mengata depan-depan? Tahulah dia kurang tinggi tapi lebih isi. Agak-agaklah nak menegur pun. Besar? Dia lagi rela terima ayat gemuk daripada besar tau!
Mengecilkan mata tunjuk muka samseng, Sanaa hala jari telunjuk ke meja, mengetuk-ngetuk. “Meja saya!” Keras Sanaa berkata.
Entah dari mana ada kuasa, dapat mampu. Mungkin sebab geram yang terlalu makanya pada yang susah hendak buka mulut, jadi mudah. Mungkin lima minit lagi dia akan menggeletar tak percaya dan mula menyesal tak sudah. Mana janji dia hendak pastikan dia selalu low-profile di mata Falah? Kalaupun dia depan mata, Falah tak nampak atau perasan dia? Tapi… tak ke macam sia-sia sedang dia primadona dan lelaki ini orang muda. Dan mereka sudah tiga minggu boleh pandang-pandang, paksa pegang-pegang dek Abang Kama dan Rose!
Aksi menjenguk ke segala bahagian meja, sampaikan menunduk sedikit kepala pandang bawah meja daripada Falah membuatkan Sanaa berkerut dahi. Geram tadi terus tata bye-bye macam itu saja. Dia hendak tahu sangat apa dicari Falah dengan muka serius. Seolah-olahnya kalau tak jumpa apa dicari bakal tidak kenalah nantinya.
“Cari apa?” Laju sahaja soalan itu meniti bibir Sanaa.
“Nama awak. Tak ada pun Sanaa atau Sanaa punya.” Duduk tegak, Falah jongket sebelah kening. Kemudiannya menyambung, “Perkataan yang ada cuma Akademi Kreatif. Awak punya nama ke tu? Dah tukar?”
Falah senyum, sebelah bibir saja menjongket.
Menggeleng kepala tak percaya dengan sikap Falah yang lebih-lebih menyakitkan jiwa dan raga, terus Sanaa susun bekas pensel di atas meja serta nota-nota bersama skrip bangsawannya. Lalu dia bangkit sebab tak sanggup hati geram terus dengan soalan Falah. Makin dia dekat dengan Falah, dia mula nampak bahagian lain yang dia tak nampak. Dan bahagian itu selalu buat dia rasa macam-macam. Falah macamnya sengaja nak cari pasal dengan dia pun ada. Mungkin tak puas hati sebab dia yang diangkat selaku primadona dan bukan Emie. Yalah, dengan dia kan susah Falah nak bekerjasama, sebagaimana yang berlaku.
Kata Falah, dia keras. Kata Falah, dia kaku. Kata Falah terus, dia tak layak jadi primadona! Patahnya hati Sanaa masa itu, serupa cintanya ditolak tanpa timbang-tara! Ada besar punya huruf N dan O serentak hentak kepala dan penyekkan dia terus ke lantai macam dalam kartun. Walaupun dia bukannya cinta Falah.
Sebaik bangun dan peluk barang-barang di atas meja tadinya, terus Sanaa laju-laju hendak melangkah ke kiri sebab tak sabar nak jauh dan terus tinggalkan Falah. Tapi dia lupa satu hal. Dia duduk di kerusi kanan. Di kirinya ada sebuah kerusi yang tak diduduk orang. Jadi, kalut punya pasal, dia lupa hal penting itu. Sampailah bucu penyandar kerusi menghentak perutnya. Buat dia jadi senak. Adoilah!
Terus Sanaa terduduk semula di atas kerusi yang tadinya tak sabar dia nak tinggal. Tertunduk tubuhnya, sembunyi dari mata Falah, dengan sebelah tangan memeluk nota dan skrip bangsawan berserta kotak pensel ke dada manakala sebelah lagi memegang bahagian perut yang senak kena hentak. Bibirnya terketap. Teran suara daripada keluar.
Sampailah tiba-tiba terjengul muka Falah di depan mukanya!
Bukan suara teran sakit saja yang kedengaran, sebaliknya suara terperanjat gaban pun ikut keluar sama. Bergema sekejaplah ruang perpustakaan itu sampaikan beberapa kerat tubuh yang ada memerhati mereka dengan dua pandangan; hendak tahu serta tolong diam, ini perpustakaan!
“Well, if you could shout that loud… then you’re definitely okay.”
Falah bangun dan Sanaa mengangkat kepala mengikut tegaknya tubuh itu. Tubuh Sanaa ikut menegak di atas kerusi, tangan masih menggosok bahagian perut.
“Saya rasa awak patut cek mata. Something is wrong with it, I think…” Kali ini Falah senyum betul. Ikhlas. Memukau jiwa.
Menggosok lembut ubun kepala Sanaa dengan tangan kiri, memegang erat buku dengan tangan kanan, Falah berlalu.
Dan Sanaa hanya boleh tengok sambil nganga. Tak ada kemampuan nak buat lebih daripada itu apabila gosokan lembut seperti hendak pujuk pada kepalanya sampai terus ke bahagian sakit pada perut. Macamnya Falah menggosok perutnya. Hilangkan sakit kena bucu penyandar kerusi sekejap tadi. Sanaa terbuai.
Punya terbuai sampai lupa tiga minggu ini dia merana kerana Falah, Abang Kama, Rose dan Pro-Ba. Lebih merana sebab adanya parti Diva P yang berleluasa di AKAK. Sanaa dikurung bahagia yang amat sampai lupa pada nota, skrip bangsawan dan kotak pensel yang sudah sembah lantai perpustakaan. Tayang muka I terbuai you, Sanaa terus lihat arah Falah menghilang dengan mulut menganga.
Sampailah mejanya dihentak kuat!
Di depannya berdiri orang kuat parti Diva P yang nama mereka bermula dengan D dan I—Diana, Dinah dan Dimni!
Published on February 16, 2013 07:36
February 13, 2013
.: Suka-Suki :.

Hari sekolah, terlewat. Bukan benda baru. Hari pertama sekolah, terlewat. Lagilah bukan benda baru. Kalau sekolah lama dulu, nampak muka aku awal seminit sebelum loceng sekolah berbunyi saja, satu kelas tunjuk muka kagum. Yang perempuan siap tepuk bahu aku, bangga dengan pencapaian aku. Yang laki tunjuk bangga guna mulut sajalah. Sebab kalau dia orang tangankan aku, sahlah aku pun naik tangan. Dush, dush, dush, aku kasi. Walaupun kepala ada tudung setiap kali ke sekolah. Sekalipun rambut panjang kalah iklan syampu pada hari biasa.
Aku bertudung ke sekolah saja. Cukup syarat sekolah letak. Kalau tak, memang aku gaya bebaslah—ikat ekor kuda tinggi. Bukan nak bangga aku tak bertudung, cumanya… aku belum ikhlas nak bertudung. Walaupun sebetulnya bertudung tak payah tunggu ikhlas kan. Tapi… hati ni…
Bila bicara pasal hati, kan sulit. Jadi, bab aku akan bertudung, kita letak titiklah dulu ya. Sekarang kita cerita bab aku tengah bawa basikal dengan lajunya, sampai punggung ada lenggok kiri, kanan, kiri, kanan. Terangkat habis dari tempat duduk. Tinggi-tinggi punggung, tinggi lagi kain baju kurung. Tapi, tak ada adegan seksi-meksi sedang berlaku. Sebab aku jenisnya kalau ke sekolah mesti ada seluar trek dalam kain baju kurung. Makanya, tak pernah aku kisah setinggi mana kain baju kurung aku terangkat.
Aku manusia mengejar masa, tak ada masa nak fikir hal macam ini. Sebab itu awal-awal aku dah guna perisai sebelum tengah jalan nak gusar diri. Cuba macam sekarang, kalut-kalut kayuh basikal laju-laju pun, aku tak payah nak fikir soal adegan seksi daripada aku si cikeding tak ada isi! Aku hanya kena fikir sampai ke sekolah ngam-ngam waktunya dan tak terlewat daripada waktunya!7.20 pagi!
Aku kerling jam tangan yang paut pergelangan tangan kiri. 7.15 pagi.
Aku mendesis geram dan terus melajukan kayuhan basikal. Gaya melelong penuh dedikasi dah basikal mini warna hijau dengan bakul dan tempat duduk di depan. Bakul depan aku isi beg silang aku manakala kerusi belakang isinya aku dah campak ke tempat yang patut tadi. Campak? Sungguh tak. Penuh kasih sayang, sarat cinta hati, aku turunkan dia. Dan sekarang masa untuk aku kejar waktu tiba ke sekolah sendiri. Aku, aku sanggup campak!
Aku melajukan kayuhan terus apabila di depan ada lampu isyarat. Aku perlu lepasi lampu isyarat untuk sampai ke Sekolah Menengah Jalan Atas tepat jam 7.19 pagi!
Dengan semangat waja itulah aku melajukan kayuhan dengan gaya separuh badan ke depan dan punggung terangkat habis kiri, kanan, kiri, kanan.
Lampu isyarat hijau dengan gaya orang berjalan di depan sana tiba-tiba berkelip-kelip.
Aku kayuh laju-laju lagi. Masuk upacara basikal pecut, sah Malaysia menang. Berani gigit basikal!
Lampu isyarat hijau gaya orang berjalan tiba-tiba jadi merah gaya orang berdiri tegak.
“Tsst!!!” Aku mendesis kuat, penuh rasa.
Aku lihat jalan raya, cuba hendak agak dan kira kalau aku teruskan usaha jadi pengayuh basikal pecut Malaysia, mungkinkah akan berjaya. Ya, berjaya. Berjaya untuk mati katak pakai seluar trek dalam baju kurung!
Nak tak nak, sudi tak sudi, aku brek mengejut. Dan basikal itu tersenget di atas jalan raya, saat kereta-kereta mula bergerak kerana lampu isyarat bahagian mereka sudah hijau. Bunyi tayar bergeser dengan jalan tar jelas kedengaran. Gaya stunt dah lama hidup daripada aku membuatkan beberapa pejalan kaki yang menengok menjerit kecil dengan pelbagai gaya. Satu mak cik yang tengah pimpin anak kecil siap tutup kedua-dua mata si kecil itu. Ada seorang pak cik dengan selambanya, bila habis terkejut, hulur kad perniagaan kepada aku.
Aku yang sedang sibuk tengok kiri kanan, hendak cari jalan lain tanpa perlu tunggu lampu isyarat ini berubah kepada orang hijau berjalan, terkejut sesaat. Spontan, aku capai kad perniagaan yang pak cik itu hulur. Dan menganga tiga saat aku tengok apa dicetak ringkas di atasnya.
TEMPAHAN NISAN HAJI RASID
Lepas nganga tiga saat, aku tengok depan. Tapi pak cik yang aku yakin bernama Haji Rasid itu sudah tiada di depan aku. Aku tengok kanan. Haji Rasid sudah berjalan sambil lihat ke arah aku seketika dengan isyarat tangan, unjuk ke telinga. Telefon jangan tak telefon punya gaya. Siap digoyang gedik telefon imaginasinya kemudian lambai tangan dan berjalan terus.
Terkebil-kebil aku dengan aksi Haji Rasid yang kalau orang tak tahu apa isi cetak pada kad nama di tangan aku, akan sangka lelaki tua selayak atuk itu sedang cuba mengurat aku. Kenyataan dan hakikatnya, tak. Haji Rasid sedang memberi nasihat dengan cari lembut. Subtle. Hati-hati di jalan raya atau…
Published on February 13, 2013 01:47
February 10, 2013
.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 6] :.

Namun, semenjak mendapat tempat di universiti, dia sering mencari alasan untuk tidak pulang tiap kali cuti menjelma. Pelbagai alasan diberikan semata-mata kerana tidak mahu menghabiskan waktunya di sini. Mujur, jarak waktu yang jauh antara UK dengan Malaysia membuatkan Azaim sering mengalah apabila dia bertegas tidak mahu pulang kala cuti. Pilihannya, menghabiskan masa di Oxford sahaja, dengan melakukan kerja sambilan, mencari bahan untuk tesis atau melancong ke mana-mana tempat menarik bersama teman-teman baiknya.Robert, Jacob, Marie-Elena dan Alena adalah teman yang paling akrab dengannya selama dia menghabiskan pengajian di Oxford. Dari tahun pertama, sampailah ke tahun akhir dan sehingga kini. Dia menyewa sebuah apartmen yang berhampiran dengan universitinya bersama Robert dan Alena. Sama-sama berkongsi segala kos. Manakala Jacob dan Marie-Elena, pasangan kekasih yang sentiasa melekat ke mana pun, menyewa tiga pintu jauh daripada mereka.
Walaupun Azaim tak benarkan Sirin menyewa di luar, namun dia tetap berdegil dengan keputusannya. Apabila dia bekerja sambilan, Azaim orang pertama yang menentang. Namun Sirin terus dengan degilnya, yang memang Azaim selalu rasa. Sirin tahu Azaim lebih daripada sedia dengan kos dan tanggungannya selama di UK, namun Sirin tetap cuba untuk pastikan dia tidak terlalu banyak makan budi pemuda itu. Bukan takut tergadai body. Sebaliknya Sirin tahu, walaupun Azaim ada benci untuk dia, Azaim ikhlas dengan semua itu. Malah Sirin juga tahu, itu amanat kedua-dua orang tua lelaki itu sejak awal dulu.
Sebetulnya, Sirin mahu belajar berdikari. Juga sengaja sakitkan hati Azaim dengan melakukan apa yang Azaim tidak benarkan. Caranya sendiri untuk protes bagi proses berdikari. Selepas daripada itu, Azaim tidak lagi membantah apa pun hendaknya. Azaim mula belajar, lagi dia ditentang Azaim, lagi degillah dia dengan mahunya.
Cuma mahu yang akhir ini, protes yang akhir ini, Azaim seolah-olah benak. Lagi Sirin protes, lebih Azaim degil. Berpuluh kali ganda Azaim bantah dan tentang. Sampai ke tahap ugut! Kalau dia tak pulang, tak kembali ke Malaysia sebagaimana Azaim hendak kerana dia sudah pun lama tamat belajar, Azaim sendiri akan ke rumah sewanya di UK dan heret Sirin pulang. Personally.
Sirin nak terus protes dan keras kepala, tapi bila fikir Azaim adalah lelaki yang akan lakukannya, tambah pula apabila Mak Tua sendiri memberitahu lelaki itu sudah tempah tiket kapal terbang, Sirin mengalah.
Mengalah! Bukan mengaku kalah! Sebuah beg pakaian buktinya!
Dan dia mendapat sokongan protes penuh teman-teman baiknya-Jacob dan Marie-Elena sama-sama dari Bath serta Alena dari Myanmar. Kecuali Robert. Pemuda yang berasal dari Singapura itu menentang protesnya. Sirin tak faham mengapa sedang Robertlah penyokong tegarnya selama ini. Malah lelaki itu yang paling rapat dengannya berbanding Alena, Jacob dan Marie-Elena.
“Eh, Rin, kenapa berdiri kat sini aje? Masuklah…”
Sapaan lembut Mak Tua membuatkan Sirin kembali ke Malaysia. Tidak lagi kepada rakan-rakannya yang masih berada di Oxford, dengan agenda seterusnya.
Kehadiran Mak Tua membuatkan mata Sirin kembali terpaku ke bilik di hadapannya semula. Bilik yang diduduki semenjak usianya 13 tahun, ketika dia mula-mula berada di hadapan pintu rumah Vila Fatih, sesudah saudaranya sendiri mencampak dia dari pintu ke pintu, seorang demi seorang. Masing-masing tidak mampu menerima dia sehinggalah akhirnya Sirin berdiri di hadapan pintu Vila Fatih, menagih belas ihsan Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih.
Tuan Azamuddin tidak pernah lupa kepada arwah orang tua Sirin, yang merupakan staf Tuan Azamuddin sendiri. Arwah Hassan dan Saidah bertemu dan jatuh cinta ketika Fatih Sdn Bhd baru-baru hendak membangun. Malahan, di hadapan Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih jugalah mereka bersatu. Kelahiran puteri sulung Hassan dan Saidah, Sirin, turut disambut dengan penuh kegembiraan oleh pasangan suami isteri yang berhati mulia itu. Sesudah pemergian kedua-dua orang tua Sirin, setelah Sirin dicampak oleh sanak saudara sendiri, Sirin diambil oleh Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih.
“Kenapa, Rin?” soal Mak Tua lembut, menyentuh bahu Sirin, prihatin.
Gadis itu memang seorang yang tinggi. Mak Tua sendiri hanya paras bahu Sirin. Malahan, apabila berdiri dengan Azaim, yang membuatkan Mak Tua nampak hampir kerdil, Sirin masih kelihatan lampai. Diwarisi daripada abah Sirin pastinya.
“Hmm, tak ada apa-apa, MT. Tiba-tiba teringat masa Rin mula-mula ke sini. Waktu Rin mula-mula sampai Vila Fatih, lepas dibuang saudara sendiri.” Hambar senyum yang terlukis.
“Tak ada yang sanggup terima Rin. Tapi arwah uncle dengan aunty terima Sirin dengan hati terbuka. Tak langsung macam saudara Rin, yang sanggup campak darah daging sendiri. Rin diterima dengan baik oleh arwah uncle, arwah aunty. Malahan PT dan MT sendiri…” Sirin meraih tangan Mak Tua di bahunya. Digenggam erat.
“Arwah tuan dengan puan sayang sangat kat Rin, macam anak perempuan dia orang sendiri. Mak Tua dan Pak Tua pun macam tu. Kami semua sayangkan Rin, terima Rin sebagai ahli keluarga Vila Fatih,” ujar Mak Tua balas genggaman jari runcing Sirin. Walaupun gadis itu memanggilnya MT semenjak awal-awal di sini, dia masih membahasakan diri sebagai Mak Tua. Hanya suaminya saja suka jadi PT apabila berbahasa dengan Sirin serta memanggilnya MT sejak itu sampai kini.
Alasan Sirin memanggilnya MT, gelaran Mak Tua tidak ngam dengan muka comelnya yang tak tunjuk usia. Lalu, semenjak Sirin pandai senyum ketawa di dalam Vila Fatih, selepas berbulan juga di situ, gelaran MT dan PT jadi kebiasaan sangat untuk penghuninya.

“Rin…” Mak Tua mengekori langkah Sirin apabila gadis itu berlalu masuk ke dalam bilik tidur itu. Dia tengok saja Sirin meletak beg pakaian yang hanya sebuah dan tak sebesar mana ke atas katil bujang di dalam bilik itu.
“Rin tak apa-apa, MT.” Sirin angkat tangan, bak polis trafik. Tanda ia okey dan tak mengharap topik itu dipanjangkan oleh wanita yang menurutnya masuk ke bilik.
Mujur Mak Tua faham dengan kemahuan Sirin dan mengikut rentak Sirin. Akhirnya, Sirin melontar pandangan ke sekitar biliknya. Manakala Mak Tua menghantar pandangan ke raut Sirin. Walaupun Sirin sedar, namun dia pura-pura tak perasan. Itu lebih baik. Dia tak mahu bercerita mengenai Azaim. Topik taboo. Selama ini puas Sirin menghalang diri daripada menjadikan nama itu satu topik perbincangan. Jadi, dia tak mahu memulakannya. Sekalipun seketika tadi dia tersasar. Gatal mulut menyebut nama Azaim. Uh!
“Mmm, bilik ni masih serupa, MT. Tak ada perubahan.” Mata Sirin masih meliar.
Mak Tua duduk di atas katil bujang yang terletak di bilik Sirin. Sudahnya dia sama melontar mata ke sekitar ruang bilik yang sederhana besar itu. Bilik inilah yang dihuni oleh Sirin sejak kali pertama gadis itu berada di Vila Fatih.
Sebuah katil bujang di sebelah kanan bilik, meja studi yang digunakan oleh Sirin untuk menelaah ketika kecil dahulu di sebelah kiri dinding serta sebuah alamari pakaian dua pintu. Rak tuala yang menempatkan tuala serta kain telekung dulunya kini kosong. Ada juga sebuah cermin berdiri yang lebih kurang tinggi Sirin di satu sudut. Betul-betul di sebelah cermin tinggi itu adalah pintu sebuah bilik closet—yang bukannya berisi pakaian. Itu sahaja di dalam bilik itu. Semuanya serba hitam.
Sirin tidak suka barang yang terlalu banyak di dalam biliknya. Tidak mahu sesak-sesak dengan perabot sebaliknya selesa dengan ruang luas yang berbaki tanpa apa-apa perabot di situ. Walaupun awal dulu arwah Puan Nurfatih hendak letakkan sofa di ruang kosong itu sebab Sirin suka baring-baring di atas lantai berkarpet di situ, membaca novel. Semuanya sebab kalau Sirin sudah baring-baring baca novel yang selalunya dihadiahkan Tuan Azamuddin atau Puan Nurfatih dan banyak kalinya adalah Azaim, selepas itu mesti Sirin tertidur di situ juga.
Dah tertidur, kecil-kecil dulu Azaimlah tukang angkat. Tapi selepas usia Sirin masuk 14 tahun, pada bulan November dan ‘cukup umur’, Azaim dilarang sama sekali berbuat begitu. Biasanya Puan Nurfatih atau Mak Tua kejut Sirin bangun, arah tidur di atas katil. Sebab mereka takkan laratlah angkat Sirin yang sudah memanjang itu. Meninggi sakan kata Puan Nurfatih dan Mak Tua. Dan Sirin terus meninggi sampai usianya 17 tahun, kemudian tak tinggi-tinggi. Tetap pada 177 sentimeter sampai kini.
Sirin mengorak kaki dekati pintu bilik closet. Bilik closet di situ awalnya Puan Nurfatih hendak jadikan closet terbuka pakaian Sirin. Tapi sebabkan Sirin terlalu gilakan novel, sudahnya bilik closet itu jadi perpustakaan mini. Dan semua buku selama tiga tahun tinggal dalam keluarga itu, masih tersusun rapi di situ. Semuanya masih kemas dan elok terjaga. Senyum tipis sentuh kelopak bibir Sirin.
Kemudian Sirin sentuh wallpaper biru lembut di situ. Pilihannya sendiri. Sebab, bila tutup lampu biliknya, akan terlihatlah bintang-bintang yang sembunyi apabila lampu dibuka. Dan selalunya, apabila dia tidur di atas katil, bintang-bintang itulah peneman tidurnya, yang dia suka-suka nak kira, tapi tak pernah habis kira, sampailah terlelap.
Ah! Bilik ini masih bilik anak kecil 13 tahun, walaupun dia bakal 23 tahun November ini. Memikirkannya, tawa halus Sirin terlontar, membuatkan kening Mak Tua terjongket. Mahu tahu.
Sirin geleng sekejap. “Tak ada apa. Cuma… dah besar macam ni, Rin masih dalam bilik anak kecil yang sama. Itu yang rasa kelakar.”
“Kenapa? Rin rasa bilik ni perlu diubah ke? Im tak benarkan. Sebab dia tahu betapa bermaknanya bilik ni untuk Rin dan dia tak mahu apa-apa pun diubah tanpa kemahuan atau kehendak Rin.”
Sirin senyum, pandang sekitar bilik itu terus. Ya, bilik ini amat bermakna untuknya. Ini biliknya sendiri. Tidak perlu kongsi dengan sesiapa. Itulah kata arwah aunty kepadanya ketika dia mula-mula ditempatkan di sini.
Dia yang biasanya perlu berkongsi bilik ketika berada di rumah saudara-saudaranya sebelum itu, malah ada ketikanya perlu tidur beralas tikar di dalam bilik stor yang sempit, tiba-tiba mendapat bilik sendiri. Yang sangat luas dan sungguh selesa. Hanya untuk dia. Semua itu buat Sirin teruja lalu bilik ini jadi begitu bermakna untuk seorang anak kecil berusia 13 tahun. Malah jauh di sudut hati, Sirin akui sehingga kini pun bilik ini punya makna sentimental untuknya. Sangat-sangat ada makna.
Masih senyum, Sirin berkata, “Rin suka semua macam ni, MT. Macam dulu…”
Sirin menghampiri katil lalu mencapai beg pakaiannya. Dibuka zip.
Mak Tua yang masih duduk di birai katil, kembali lihat paras muka gadis itu. Gadis yang sudah lima tahun dia tidak jumpa. Dan Sirin ini sudah kembali jadi anak gadis yang mula-mula menjejak kaki ke Vila Fatih lewat sepuluh tahun yang lalu. Sirin yang amat menjaga diri dan hati kerana yakin ia bakal disakiti dan dilukai lagi. Bimbang akan dicampak keluar sekali lagi.
Namun, akhirnya keyakinan yang Sirin terima di Vila Fatih mula bersama Sirin. Sirin bukan lagi anak kecil yang mudah ragu kepada penghuni Vila Fatih. Sirin mula mempercayai Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih. Yakin dia diterima oleh kedua-dua mereka. Sirin mula berubah, daripada anak kecil yang pendiam menjadi anak kecil yang girang. Tidak menyembunyikan apa-apa perasaan hatinya. Namun, tiga tahun kemudian semua itu direnggut daripada Sirin. Sirin berubah lagi, menjadi anak kecil berusia 13 tahun itu semula. Sirin mula hilang kepercayaan kepada mana-mana penghuni Vila Fatih semenjak berusia 16 tahun.
Mak Tua menghempas keluhan kecil. Harapan hatinya cuma satu, Azaim mampu kembalikan kepercayaan dan keyakinan hati Sirin yang telah hilang. Kembalikan Sirin yang hilang daripada mereka semenjak lebih tujuh tahun yang lalu.
“Nak Mak Tua tolong?” tanya Mak Tua sudahnya apabila Sirin kelihatan sibuk mengeluarkan isi-isi dari dalam beg pakaiannya.
Sirin menggeleng kepala. Menjawab begitu.
Mak Tua terus lihat Sirin sibuk-sibuk dengan beg pakaian. Hanya sebuah beg pakaian yang dibawa bersama oleh gadis itu. Sedangkan melalui apa yang diketahuinya daripada Azaim, Sirin sudah tamat belajar dan akan pulang ke Vila Fatih untuk selama-lamanya. Namun apa yang dilihatnya menunjukkan pemikiran Sirin dan Azaim adalah berbeza. Sama sekali tidak sama. Bertentangan.
Mungkin Azaim menginginkan kehadiran Sirin di Vila Fatih, namun Sirin tidak mahu berada di sini. Sirin tidak mahu punya apa-apa hubungan dengan penghuni Vila Fatih. Lebih tepat, Sirin tidak mahu punya sebarang hubungan dengan Azaim. Apa yang telah dilakukan oleh Azaim membuatkan Sirin nekad memutuskan hubungan dengan ahli keluarga Tuan Azamuddin. Jika suatu ketika dahulu Sirin pernah memuja keluarga Tuan Azamuddin, terutama sekali Azaim, kini diyakini hanya ada perasaan benci sahaja kepada lelaki itu.
Sirin mengerling Mak Tua yang hanya melihat dia. Mak Tua, wanita yang sudah pun berusia lebih 65 tahun itu sudah lama berada di Vila Fatih. Semenjak dia mula-mula jejakkan kaki ke vila ini, yang ketika itu tidak berubah sampai begini, wanita itu terus meraih tubuhnya dalam pelukan. Cuba memberitahu kedatangannya ke sini amat dialu-alukan.
Seerat dan sehangat pelukan tuan rumahnya, Puan Nurfatih.
Namun semua itu adalah kisah silam, yang tidak mungkin berulang kerana kini dia jelas kedatangannya mungkin dialukan oleh bekas tuannya dan penghuni Vila Fatih yang lain, tapi bukan Azaim Haji Azamuddin, yang kini menjadi pemilik penuh Vila Fatih serta Fatih Sdn Bhd dan beberapa syarikat kecil yang menjadi anak syarikat Fatih Sdn Bhd sesudah dibeli oleh syarikat itu. Fatih Sdn Bhd kini sudah berkembang pesat di negeri-negeri sebelah utara. Sudah masyhur banding dulu.
“Sikit aje barang yang Rin bawak. Kan Rin dah habis belajar kat sana? Im kata Rin akan tinggal kat sini. Tinggal kat Vila Fatih semula.” Mak Tua akhirnya meluahkan apa yang ada dalam benaknya semenjak tadi.
“Memang Rin dah habis belajar, tapi Rin tak akan tinggal kat sini. Rin cuma balik sekejap. Itu pun sebab nak jumpa MT dengan PT untuk kali terakhir. Rin tak akan lama. Rin kena balik UK semula.” Sirin mula mengasingkan pakaiannya, antara baju dan seluar lalu beg pakaian yang ternganga luas dikatup kemas. Sudahnya dia mengangkat muka, menentang Mak Tua, yang jelas peranjat dengan penjelasannya.
Maafkan Rin, MT. Rin tak boleh diam lagi sebab sampai waktu, MT perlu tahu jugak. Pada Sirin, masa inilah yang terbaik. Daripada memberi harapan kosong, baik dia berterus terang sebab Rin tahu apa rasanya menelan harapan kosong, MT…
“Tapi, Im kata…”
Sirin lekas memotong, “Biar apa pun yang dia kata, Rin akan balik ke sana semula. Itu keputusan Rin. Dan… ni bukan tempat Rin, MT.” Merendah suara pada ayat akhirnya.
“Tapi… Rin membesar kat sini. Malah arwah tuan sendiri nak Rin terus kat sini kalau apa-apa menimpa dia dan dia tak mampu jaga Rin lagi. Rin adalah sebahagian daripada keluarga arwah. Rin adalah anak perempuan arwah yang tak pernah lahir. Sanggup Rin hampakan arwah tuan?”
Mak Tua tahu mengapa Sirin tidak selesa di sini. Malah dia boleh mengagak Sirin tak akan berlama-lama di sini. Namun dia tak pernah sangka Sirin akan memilih untuk terus tinggal di luar negara. Sangkanya jika tidak tinggal di Vila Fatih pun, Sirin akan memilih untuk tinggal tidak jauh daripada mereka. Tapi kini, dia sudah tahu apakah keputusan Sirin. Sirin bukan sahaja mahu tinggalkan Vila Fatih tapi juga Malaysia. Memikirkan itu, hati Mak Tua jadi rusuh.
“Cukuplah selama mana Rin ada kat sini dulu. Rin dah tak harapkan apa-apa lagi. Tambahan pulak uncle dah lama tak ada. Maknanya Rin dah tak ada tempat kat sini lagi. Ni bukan rumah uncle lagi, MT. Rumah yang terima kedatangan Rin. Tempat Rin bukan kat sini lagi. Ni rumah Abang Im…”
“Rumah Im kan rumah Rin jugak? Im adalah sebahagian daripada keluarga ni. Im anak uncle dan aunty Rin, yang anggap Rin macam anak sendiri. Maksudnya Rin keluarga Im jugak.”
“Tak! Abang Im bukan keluarga Rin!” ucap Sirin tegas. Wajahnya tegang. Namun dia cuba untuk tenangkan hatinya yang mula berang. Tidak mahu melenting kepada wanita di hadapannya ini. Yang tak ubah bak seorang ibu untuknya.
Bukan salah Mak Tua semua ini berlaku, jadi dia tidak mahu melepaskan kemarahan di hati kepada Mak Tua. Dia menarik nafas panjang lalu bersuara lagi.
“MT, tolonglah faham. Ni bukan rumah Rin lagi sejak Abang Im hantar Rin ke asrama penuh waktu tu. Bagi Rin, semenjak tu tak ada apa-apa antara Rin dan Vila Fatih. Rin sayang arwah uncle dengan aunty macam keluarga sendiri, tapi darah daging uncle dengan aunty tak inginkan Rin. Ni bukan tempat yang sesuai untuk Rin, MT. Rin datang pun sebab nak jelaskan kat dia dan semua, yang Rin balik sekejap aje. Rin akan ke UK semula, selama-lamanya.” Sirin tekad. Dia sudah buat keputusan dan tidak akan berganjak daripada keputusan itu. Tidak mahu terus-menerus makan budi.
Mak Tua terkaku di tempatnya. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan atau dilakukan. Sirin sudah membuat keputusan dan dia yakin walau apa pun yang dikatanya, keputusan gadis ini tak akan berubah. Sirin akan kotakan katanya.
Kini, hanya satu harapan Mak Tua—Azaim.
Sirin capai beberapa helai seluar yang terlipat kemas di atas katil lalu mendapatkan almari pakaian. Sebelah tangan memegang kemas seluarnya manakala sebelah lagi mencapai tombol, dibuka daun pintu.
“What the…!” Sirin terlongo melihat almari pakaiannya yang kini luas ternganga. Beberapa helaian pakaian tergantung di dalamnya.
Kalau pakaiannya sendiri, dia tak mungkin terkejut beruk begini. Namun bukan satu pun antara pakaian-pakaian di dalam itu adalah miliknya. Tentulah bukan miliknya. Mana pernah dia pakai baju kurung atau kebaya sebegini. Kebaya pendek pula tu! Tak cukup dengan itu, ada pula skirt labuh serta beberapa helai blaus perempuan—diulangi, perempuan—pun ada.
Seumur hidupnya, hanya sekali Sirin berbaju kurung. Itu pun tahun terakhir dia menyambut Aidilfitri bersama arwah uncle dan aunty. Kerana kehendak aunty yang begitu teringin melihatnya memakai pakaian sebegitu, bukan jean atau tee yang sering jadi pilihannya sejak dulu. Malah, hingga saat ini. Kecuali masa… ehem!
“MT, kerja siapa…?” Sirin tidak mampu teruskan kata. Rasa tercekik. Tangannya masih terawang di hadapan almari pakaiannya, yang nyata bukan miliknya lagi.
“Sebenarnya…” Mak Tua nampak tidak kena. Sekejap garu telinga, sekejap garu tudung kepala hitam yang menutup kepala.
“MT?” Sirin mendesak lembut. Walau hatinya sudah terlebih dahulu memberikan jawapan, dia cuba menidakkannya.
“Im…”
“Kat mana dia sekarang, MT? Rin yakin dia tak ada di pejabat. Dia bukan pengecut untuk menyorok.”
“Bilik bacaan, tapi…”
Mak Tua tidak sempat menyudahkan kata apabila Sirin, bersama omelan dan kata-kata yang tidak enak didengar oleh mana-mana telinga di bawah 18 tahun, melangkah keluar dari bilik itu. Bersama helaian seluar yang masih berada di tangan.
Mak Tua tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Melihatkan Sirin dengan seluar di tangan, dia rasa mahu gelak kuat. Namun apabila kenangkan perbalahan mulut yang bakal berlaku antara Azaim dengan Sirin sekejap lagi, dia jadi risau. Tapi sekarang…
Mak Tua akhirnya tergelak sakan apabila pandai bijak membayangkan Sirin memarahi Azaim dengan seluar di tangan. Uhahaha!
Published on February 10, 2013 08:24
February 7, 2013
.: Aini + Joel [Bab 2] :.

Published on February 07, 2013 08:52
February 6, 2013
.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 5] :.

Published on February 06, 2013 13:42
.: Aini + Joel [Bab 1] :.

Published on February 06, 2013 07:43
Bikash Nur Idris's Blog
- Bikash Nur Idris's profile
- 78 followers
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
