Bikash Nur Idris's Blog, page 11

May 19, 2013

.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 19] :.

Salmiha kemam-kemam bibir tak sudah. Tak puas hati, diluah sebegitu. Keliru rasa, dihampar sebegitu. Dia betul-betul tidak faham rasa apa yang menjengah-jengah dia waktu ini. Ada marah, ada geram dan ada rasa-rasa yang dia tak dapat tafsirkan apa pun perkataan untuknya. Dia sangat tidak faham apakah rasa itu! Rasa nak lempang diri tak?“Baik-baik mulut tu, Cik Salmiha…” ujar Ukasyah yang tenang memandu Kia Forte biru miliknya. “Nak pakai lama tu. Nak mengata I, nak mengutuk I. Jangan lupa dua benda penting tu…” Selamba dan meleret sambungan cakap Ukasyah.Salmiha terus alih batang leher ke sebelah. Melihat muka cantik Ukasyah yang macam tak ada hal saja. Macamlah Ukasyah tidak mengata dan mengutuknya secara langsung sekejap tadi. Macamlah apa yang Ukasyah cakap tadi tak timbulkan geram dan sakit hati dalam jiwa Salmiha. Sudahlah sebelum dia labuh punggung ke tempat duduk sebelah pemandu ini mereka sempat gaduh bukan main. Ni diajaknya bergaduh lagi! Kut aku mulakan adegan bertumbuk kang baru tahu! Hari tu junam masuk kolam, hari ni junam masuk stereng kang! Sakan Salmiha mencerun pandang kepada Ukasyah yang sudah pandai-pandai mula bersiul gembira ria. Lagu Sudah Cukup Sudah pula tu. Tuhan… jagakan aku, sabarkan hati. Waktu ini Salmiha betul-betul rasa nak buka pintu dan terjun dari kereta. Rasa lebih selamat daripada tercedera begitu banding duduk beku di dalam kereta ini. Bukan kereta ini yang jadi masalah. Tidak juga penghawa dingin yang sungguh menyejukkan luar tubuhnya. Sebaliknya pemiliknya, yang sedang memandu kereta ini. Ukasyah si lelaki cantik ini!
Sepanjang berada di dalam Butik Femina tadi, Salmiha cukup senang dan selesa bersama Azaim berdua, memilih-milih gaun yang sesuai untuk malam majlis apresiasi yang bakal diadakan pada 1 Julai nanti. Bukan kali pertama Salmiha menghadiri majlis itu, yang diadakan setiap tahun di Fatih Sdn Bhd. Sudah dua tahun dia mengikutnya, bersama papa, mama dan Badlee. Namun yang istimewanya tahun ini, Azaim sendiri mempelawanya ke Butik Femina, hendak sama-sama memilih gaun malam untuk majlis yang bertemakan merah untuk tahun ini. Sesuatu yang Salmiha tidak menyangka. Ketika Azaim menelefon memberitahu dan sampailah kereta Azaim berhenti di hadapan pintu rumahnya, dia masih tidak dapat percaya hakikat itu.Azaim bukan sahaja mengenepikan masa pejabat deminya, malah Azaim hendak menghabiskan masa berdua dengannya! Ala-ala datinglah pula!Sesungguhnya Salmiha sangat tak percaya ia berlaku. Dan sesungguhnya papa sangat percaya ia bakal berlaku. Lalu papalah yang paling suka dan ria dengan peringkat baru itu. Sangka papa hubungan Azaim dengannya sudah ke tingkat yang baru, lebih daripada yang selalu. Sebab itu tak agak-agak papa suruh dia bersiap dengan pakaian-pakaian baru yang papa sendiri belikan untuknya sebelum ini. Bukan lagi baju-baju yang dia suka dan biasa pakai, sebaliknya koleksi baju sebagaimana papa hendak dia pakai. Singkat sana, senteng sini. Seorang ayah menghadiahkan pakaian sebegitu untuk anak perempuannya sendiri. Sungguh!Namun Salmiha sudah ajar diri menelan pahit takkan manis akhirnya itu. Salmiha sudah dapat terima hakikat bahawa papanya itu tak akan berubah, tak mungkin berubah. Dengan apa cara sekalipun, papa akan pastikan apa papa hendak menjadi nyata. Dan dialah yang jadi galang gantinya!Kerana itu Salmiha pakai saja baju sendat bersama legging jeans yang jadi antara hadiah papa untuknya dalam lebih menawan hati Azaim yang sebelumnya sejuk beku. Papa percaya sangat sebab baju-baju papalah Azaim sudah ke peringkat baru tindak-tanduknya. Sudah buka mata luas lagi terang untuk pandang anak daranya.Sampai saja di Butik Femina, sejujurnya ada gembira mewarnai hati Salmiha. Azaim memberi perhatian bulat kepadanya. Dan perhatian itu jadi lebih bulat apabila Syamsul tiba bersama Sirin. Walaupun Salmiha tidak menyangka langsung mereka berdua akan ke situ, Salmiha masih buat biasa lagi. Terus dia melayan Azaim yang tunak saja melayannya. Sabar saja melihat dia mencuba dress itu, dress ini. Siap letak kerusi di depan bilik persalinan, tengok tanpa jemu. Macamlah dia model yang sedang buat pertunjukan pandanglah-lihatlah-tiru-macam-saya.Walaupun Salmiha agak keliru dengan sikap Azaim yang berubah 190 darjah itu, dilayan sahaja. Seronok pula rasanya apabila dapat bergaya satu baju, satu baju begitu. Maklumlah, hendak jadi model tak cukup tinggi, maka jadi model bilik persalinan pun okeylah.Salmiha cukup gembira dengan setiap perhatian serta pujian tak putus Azaim apabila dia mencuba satu demi satu baju, sampailah tibanya lelaki itu. Lelaki itu yakni lelaki cantik di sebelahnya ini. Satu yang pelik, sebelum dia nampak batang hidung mancung Ukasyah, inikan pula Ukasyah sendiri, Salmiha boleh tahu Ukasyah sudah ada di situ. Hampir, dekat.Begitulah juga di Butik Femina tadi. Di dalam bilik persalinan, yang tirainya tertutup rapat, Salmiha tiba-tiba kedang. Tegak berdiri dengan dress merah daripada lace, berkolar bulat, lengan panjang, mengikut bentuk tubuh sampai ke pinggang kemudian sedikit kembang dan labuhnya sampai ke betis. Dan sebaik dia tarik tirai, matanya terus ke mata berlainan warna itu. Bukan mata kecil hitam Azaim yang masih duduk di atas kerusi di hadapan bilik persalinan. Bukan juga mata hitam Syamsul mahupun mata coklat cair Sirin.Elok angkat wajah, sebaik tinggikan pandang, mata Salmiha terus menyerbu mata kebiruan dan kehijauan itu. Berdirinya Ukasyah di belakang kerusi Azaim. Lalu sekali lagi Salmiha kedang berdiri. Begitu saja bolehnya, membiar Ukasyah menilik dan memerhatinya dari atas ke bawah. Dengan pandangan biasa, tidak punya makna. Namun getar hati Salmiha masa itu tiada biasa atau tidak punya makna. Lalu, tak sempat fikir atau tebak apakah yang mungkin difahami Azaim, Syamsul atau Sirin dengan aksinya, bingkas Salmiha tarik tirai lalu kembali ke dalam bilik persalinan separuh bulat itu. Lama dia berdiri kejung di dalam itu, sampailah terdengar suara Azaim memanggil.“Kenapa ek you nak muncung-muncung macam ni? Bukan ke you patut happy sebab akhirnya Im bagi perhatian kat you...” cakap Ukasyah sesudah terlalu lama rasanya perut kereta itu dihurung bisu.Pecah langsung imbas semula Salmiha.“I memang happy. Sangat happy sebenarnya. Sampailah I nampak muka cantik you tu. Terus happy I kena sedut, jadi moppy. You kan... Siapa suruh you datang butik, hah? Yang you pun sama nak menyendeh kat sana kenapa?” Penuh perasaan Salmiha meluah rasa. Geram yang dia rasa dan tak boleh tebak puncanya dilepas sekali gus. Biar Ukasyah jadi sebab dan punca yang dia tak jumpa.Ukasyah gelak-gelak saja. Muka ada-aku-kisah.Salmiha gigit bibir. Geram hati ditahan saja. Kenapa ya… apabila yang berdepan dengan Ukasyah, dia mudah saja lupa diri, ikut hati? Salmiha diam memeluk tubuh, lihat ke hadapan sahaja.“Ada bagusnya jugak I ke butik tu. Dapat jugak I tengok pilihan baju you tu. Sungguh seksi. Tapi…”“Tapi apa?” Cepat Salmiha menyoal apabila Ukasyah diam memandu, saja berhenti begitu. Walaupun tahu Ukasyah sengaja, walaupun tahu apa yang bakal keluar dari bibir lelaki itu hanya akan sakitkan jiwa dan raganya.“You rasa baju gitu padan dengan you ke, Cik Salmiha?” Sinis Ukasyah soal sambil kerling Salmiha.Salmiha tak fikir jauh. Apa yang terasa hendak dibuat terus dibuat. Laju tangan kirinya hendak ke muka Ukasyah yang sedang memandu itu. Lantaklah kalau kereta Kia Forte itu corner baring. Hatinya yang bagai dipijak-pijak itu sudah terlalu pedih untuk dibujuk. Lelaki jenis mulut lancang begini patutnya ditampar saja mulutnya. Biar lebam sampai tak boleh cakap.Namun, belum sempat tangan Salmiha sampai ke mulut itu, tangannya terhenti. Dua inci dari mulut tak berinsurans itu. Bukan Salmiha saja-saja nak berhenti tanpa lampu isyarat merah, sebaliknya dihentikan. Pergelangan tangannya dipaut kejap sampaikan walau dia sengaja ke depan, ke depankan jari-jari tangannya, hendak juga cuit mulut Ukasyah (tak dapat tampar, mana tahu dapat jentik), jari-jemarinya tetap tidak sampai.“Stop it, my sourheart. I’m driving. You tak payah nak pukul tampar I. You boleh marah dan kata-kata I macam selalu. Sebab tu I kata hati-hati dengan mulut tu… Nak pakai lama kan…” usik Ukasyah tak agak-agak. Tangan kiri kejap pada pergelangan tangan kecil Salmiha yang masih cuba-cuba hendak ke depan dan ke depan juga. Manakala tangan kanan Ukasyah utuh pada stereng kereta. Walau buat biasa, walau cuba selamba, bimbang juga dia kalau-kalau dia gagal mengawal kereta.“You… buat apa pun, buat macam mana pun, I tetap akan kata baju tu tak sesuai untuk you. Dan kalau you rasa dengan berbaju gitu you boleh tawan perasaan bos I, you sangat salah. Dua tahun dah kan you kenal Im… you sepatutnya tau. Im tak nilai orang daripada cara dia berpakaian. Dan hati Im tak pernah lekat pada yang pakai macam tu. You dah kenal, you dah tau… tapi you cuba jugak? Dengan cara gitu?” Ukasyah senyum sinis.Salmiha rentap sakan pergelangan tangannya. Tak sanggup menerima sentuhan Ukasyah yang macamnya bara api cuba menjilat kulit tangannya. Dan ucap bibir itu… marak api yang cuba menghancurkan tubuhnya yang lebih awal dicampak petrol oleh senyum sinis lelaki itu. “Mulut you tu kalau bukak sebab nak sakitkan I… baik you tutup aje!” jerit Salmiha hilang sabar.“Sebabnya senang. Kalau you tutup pakaian you kat tempat sepatutnya dan tak dedah-dedah macam baju you pilih tu… I pun tak akan buka mulut nak kata-kata you. Sebab you sekarang ni… menjatuhkan maruah you sendiri untuk tagih perhatian seorang lelaki. You redeem yourself to that…” Ukasyah bersuara serius kali ini. Tidak main-main, tiada gurau-gurau. Malah sinis juga tiada dan tidak. “Suka I nak pakai apa pun. You apa peduli!” Salmiha menjerit lagi, lantang sangat.Ukasyah diam, mengarah stereng ke tepi jalan lalu berhenti. Namun dia tahu Salmiha tidak sedar atau perasan. Lebih taksub dengan marak perasaannya ketika ini. “Jadi, you ingat Im suka you sekarang?” tanya Ukasyah jongket bibir sedikit, mengiring sedikit badan supaya nampak muka merah menyala Salmiha yang memegang tali beg tangannya dengan kedua-dua tangan. Sebab hendak paksa tangan itu tidak naik lagi ke arahnya kut.“Kalau ya pun, apa masalahnya dengan you? Im bagi perhatian pada I dan you nak sakit hati? Apasal? You suka I? You sayang I? Dan you tak sanggup I jadi milik Im? Gitu?” Tak agak-agak Salmiha sengat Ukasyah yang masih senyum.“Apa ada pada you yang I nak suka, I nak sayang, Cik Salmiha? Badan pun tak reti nak tutup… sua kat orang… You boleh terfikir I akan suka, sayang… you?” Ukasyah mendengus. “You tak ada apa pun untuk I suka atau sayang, Cik Salmiha. Harap maaf!” tekan Ukasyah tanpa pedulikan perasaan atau penerimaan Salmiha.“You… you…” Menjerit geram jadinya Salmiha. “You ni memang melampau! Habis, you ingat you tu bagus sangat! Lelaki tak macam lelaki. Lahir sebagai Ukasyah tapi berlagak macam perempuan. Kenapa? Nak tukar jantina? Tak tahu nak syukur dengan apa Tuhan bagi? Orientation diri sendiri tak tahu, ada hati nak cakap I macam-macam. Cermin diri dulu… sebelum nak sua I kat cermin. Sekurang-kurangnya I tahu I perempuan dan I goda pun seorang lelaki… Lelaki yang lahir sebagai lelaki dan tahu orientasinya apa. Perfect man! Unlike you, perfect un-man!”Ukasyah lama perhati Salmiha yang beliak mata lepas perasaan dan kesat kata kepadanya. Tulang pipinya naik turun.“Tak payah nak pandang-pandang I macam tu. Turunkan I! I boleh balik sendiri!” ucap Salmiha dengan muka bongkak buat berani. Sebetulnya ada terkesan juga dengan tunak dan tak larinya mata Ukasyah ke parasnya. Muka Ukasyah kini semacam dengan muka garang marahkannya pada malam dia hampir-hampir Ukasyah Selamatkan lelaki itu!Tegang yang melukisi dan mewarnai paras Ukasyah mula mengendur. Perlahan-lahan ada perubahan di situ. Ada senyum. Namun masih dalam kategori sinis. “I may be a perfect un-man… Sebab I pun tak nak you dalam kereta I lagi. Sebab tu I dah lama berhenti. You aje yang tak perasan sebab you ingat I nak berlama-lama dengan you, tengok you. You mungkin perasan Im bagi perhatian pada you, Cik Salmiha. Tapi percaya satu benda… Jangan sesekali perasan I bagi perhatian pada you!”Lebih sinis senyumnya, tangan kiri Ukasyah mengarah pada pintu Salmiha. “Syuh, syuh… Out!”Mencerun kepada Ukasyah sekejap, Salmiha betul-betul lihat depan dan kiri. Tadi dia tengok juga, tapi dia tak lihat. Pandang kosong saja. Tapi kali ini, apabila perhati betul-betul, ia… kereta itu sudah pun berhenti. Bukan berhenti di tepi mana-mana jalan sebaliknya terhenti di hadapan rumah teres. Deretan rumah teres yang dihuninya. Jenguk kepala ke hadapan sedikit, terus dia nampak kereta Toyota Altis putih diparkir di hadapan rumah keluarganya.“You tunggu apa? I bukakan pintu untuk you…?”Sindiran itu membuatkan Salmiha tersedar. Dia bukannya duduk di dalam kereta ini sambil lihat pemandangan sekitar untuk suka-suka, tapi dia duduk di dalam kereta ini dengan rasa tidak sabar-sabar hendak keluar. Keluar apanya kalau duk melamun lupa diri begini! Baru Salmiha hendak bawa tangan untuk buka pintu, tiba-tiba ada tangan berbalut kemeja putih lengan panjang, memanjang mendapatkan pintu tersebut. Membuatkan tubuh Salmiha keras kedang, bersandar pada kerusi, tegak.“Silakan...” ujar Ukasyah masih senget badan sambil menolak pintu kereta yang sudah pun ditolak dan menganga, menanti orangnya keluar.“I tahulah nak keluar. Tapi kalau you terus senget macam ni, macam mana I nak keluar? Nak ambil peluang raba I ke? Macamlah bernafsu!” tukas Salmiha buat muka. Ukasyah tidak mengalih tubuh sengetnya. Hanya tangan yang dipanjangkan tadinya saja beralih ke dashboard, menampung tubuh sendiri. Ukasyah pandang ke kiri, lihat terus paras merah Salmiha yang kerut-kerut sakan tunjuk rasa. Sekejap saja Salmiha boleh begitu. Gamam dengan renungan Ukasyah mengendurkan tidak enak pada wajah cantik itu.Salmiha mengelip-ngelipkan mata pandang Ukasyah yang asyik melihatnya. Dan mata biru dan hijau itu, sangat tunak dan tidak lepas menyapa matanya. Tiada bicara sinis di situ, tiada cakap menyengat pada dasar itu. Apa saja bentuk yang selalunya keluar dari bibir merah itu tidak langsung terlihat. Tuhan... makhluk jenis manakah lelaki ini? Renungannya makna lain, bibirnya mengungkap yang lain. Dan renungan ini boleh menjatuhkan seluruh sistemnya!“Untuk pengetahuan you, Cik Salmiha... I memang tak bernafsu tengok you. Sikit pun tak! Muka talam dua muka atau cakap lain buat lain macam you, bukan selera I. Langsung!” ucap Ukasyah keras, tegas. Terus tubuh dialih dan dia duduk selesa di tempatnya.Salmiha yang baru sekejap tadi dalam dunia buai-buai di balik sepasang mata unik itu terus bai-bai. Sedar diri sungguh! Cepat-cepat Salmiha hendak keluar dari perut Kia Forte itu. Tapi lupa pada tali pinggang keledar yang masih melingkar tubuh. Nak pantas sangat, lagi pantas tali pinggang keledar itu menariknya. Tarik sampai dia hampir terparkir ke tempat duduk Ukasyah.Ukasyah selamba tahan bahu Salmiha, memastikan si genit itu tidak cedera terkena brek tangan atau stereng kereta. Tubuh itu ditolak lalu ditegakkan sedikit. Salmiha yang masih terkejut dan termalu, cepat-cepat pula hendak lari ke kerusi sebelah dan mula kalut-kalut buka tali pinggang keledar yang masih memaut tubuhnya. Tergesa-gesa, tak sempat-sempat, Salmiha berusaha membuka tali pinggang keledarnya. Namun tak berhasil. Sambil-sambil itu dia lihat pula Ukasyah. Lelaki itu menyandar pada kerusi, tubuh menyenget lihatnya, terus pandang dia. Ada sentuhan senyum pada seulas bibir itu. Tapi bukan senyum sinis menyindir yang selalu Ukasyah hamparkan khas untuknya. Tidak juga senyum yang sering-sering saja menyakitkan hatinya. Senyum ini lembut, senyum ini ceria dan senyum ini cukup menyentuh sukma dara.Ukasyah sentuh pergelangan tangan kanan dan kiri Salmiha, yang masih berusaha tangkas membuka tali pinggang keledar. Diraih, dialih ke paha gadis itu. Sepanjang itu mata kebiruan dan kehijauannya tidak lepaskan pautan mata hitam Salmiha. Tali pinggang keledar dibuka tanpa melepaskan pautan mata hitam itu. Apabila dia menghampirkan sedikit tubuh, membuang lilitan tali pinggang keldar pada tubuh itu, Salmiha perlahan-lahan menggerak tubuh ke belakang. Namun mata saling meningkah terus.Tali pinggang keledar sudah tidak menjerut tubuh, menghalang. Pintu yang masih menganga juga menanti dia untuk keluar. Namun Salmiha tidak juga keluar. Terlalu dipaku mata Ukasyah yang tiba-tiba pandai membelai seluruh jiwa, memanaskan seketul daging hati dengan satu perasaan yang tiada nama.“Stop it, Sal. Your target is Im, not me. Remember?”Ucapan perlahan itu menyedarkan Salmiha. Kelip-kelip mata, akhirnya dia sedar diri. Perlahan bicara itu, ya. Namun maknanya terlalu dalam. Sarat makna, ada sinis. Dan Salmiha tidak bodoh untuk mendapat ia. Salmiha terus tolak tubuh kurus Ukasyah dan cepat-cepat berlari keluar dari perut kereta. Namun langkah Salmiha mati di hadapan pintu pagar rumahnya. Terkedu, menunduk muka, berdiri saja dia di depan lelaki itu.Burhan berdiri tegak di hadapan pintu pagar yang menganga separuh. Berpeluk tubuh, bermuka garang, dia pandang marah anak gadisnya yang tegak di hadapan. Kemudian dia lihat pula lelaki di dalam kereta Kia Forte biru itu. Lelaki itu dengan selamba saja melentik-lentikkan kelima-lima jari ke arahnya, melambai kalah kanak-kanak Ribena. Kemudian Kia Forte itu berlalu dari situ.Burhan pandang Salmiha semula. “Apa lelaki lembut tu buat kat sini?”Lelaki lembut... Ya, Sal! Dia lelaki yang tak lelaki. Jadi, jangan nak macam-macam dan entah apa-apa dengan dia. Apa saja rasa tak betul yang nak singgah jiwa, sila masukkan ke dalam raga!“Tak ada apa-apa, papa. Im yang suruh dia hantar Sal sebab... Im ada kerja,” ujar Salmiha berani-berani tak berani.Muka tegang Burhan hilang. “Oh, Im suruh. Okey.” Begitu saja, Burhan terus masuk ke dalam rumah.Salmiha pula mula bernafas dengan lega, melihat arah kereta berlalu kemudian rumah teres yang didudukinya bersama keluarganya semenjak empat tahun sudah.“Stop it, Sal. Your target is Im, not me. Remember?”Salmiha menutup mata, menelan hakikat. Papa mahukan sesuatu daripadanya dan dia kena dapatkannya untuk papa dan Badlee. Dia harus jadi korban!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 19, 2013 06:10

.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 18] :.

Sirin mula tidak senang duduk. Kepalanya terpusing ke kiri dan kanan. Memerhati arah jalan raya yang dibanjiri batang-batang tubuh manusia di mana sahaja. Sarat dan padat. Sudahnya, apabila disapa rasa bosan, dia menoleh batang leher ke kanannya. Melihat Syamsul yang tenang memandu di balik keriuhan lagu Bryan Adams, Please Forgive Me, yang kedengaran di corong stesen radio pilihan pemuda itu.“Abang Syam?” Sirin mengeraskan suaranya. Walau lagu pilihan anak muda itu boleh dikatakan daripada kategori slow romance, tapi volumenya… peh, orang yang lalu-lalang di luar kereta atau empat buah kereta ke depan, kanan, belakang dan kiri kereta itu mampu mendengarnya. Gegendang telinga mamat ni daripada keluarga besi gamaknya.“Yeah?” Syamsul menggerakkan kepala, tanda dengar.“Nak ke mana ni? Buat apa pulak Abang Im ajak saya ke shopping complex? Saya tak perlukan apa-apa pun.”Syamsul tidak menjawab. Sebaliknya tangan kirinya beralih dari stereng kereta lalu menyentuh salah satu butang radio. Suara Bryan Adams yang tadinya terpekik macam nak putus anak tekak beransur-ansur perlahan. Sehinggalah ke tahap boleh diterima oleh telinga setiap manusia biasa. Dalam diam, Sirin mengeluh lega. Terselamat telinganya daripada ancaman pekak.“Im rasa Rin perlukan pakaian baru. Sebab tulah dia suruh Abang Syam bawa Rin ke sana.”“Pakaian baru?” Dahi Sirin berlapis. “Saya tak perlukan pakaian baru. I have everything I need,” sambung Sirin apabila Syamsul mengangguk kepala.“Tapi bukan tu pendapat Im. Rin, this coming first July… Seminggu daripada hari ni, ada majlis yang akan diadakan kat Fatih. Appreciation’s day. Diadakan oleh Fatih semenjak bawah teraju arwah Tuan Azamuddin lagi. Rin tahu kan… setiap pertengahan tahun gitu majlis appreciation’s day ni akan diadakan, sebagai tanda penghargaan kepada staf-staf atas ketekunan serta kesungguhan dia orang, juga kerana kesetiaan dia orang yang tidak pernah berpaling tadah daripada Fatih walau apa pun kesusahan dan kesukaran yang perlu didepani,” terang Syamsul lalu menarik nafas seketika. “Sebabkan majlis tulah Im nak Rin ikut Abang Syam ke shopping complex untuk cari baju untuk Rin. Im dah hadiahkan baju, tapi tak berganjak pun dari almari pakaian Rin…” Sambungan Syamsul henti apabila dipotong.“Not anymore!” ujar Sirin, perlahan. Namun, apabila ucapan Syamsul terhenti lalu merenungnya, dia tahu volume perlahannya sama dengan volume radio tadi.“Not anymore?” Syamsul mengangkat kening seraya kembali tumpukan perhatian pada pemanduannya. Kang jadi apa-apa kepada Sirin, tak larat dia hendak bersoal jawab dengan Azaim.“Saya dah pindahkannya…” Sirin tayang muka pintu.Syamsul menyeringai. Tidak menyoal lagi atau panjangkan topik itu. Tak perlu. Biar Azaim sendiri beritahunya nanti.“Jadi, sebabkan appreciation’s day yang akan diadakan tulah ya dia nak belikan saya baju baru tu?” Sirin kembali pada topik asal mereka.Syamsul mengangguk.“Tapi kan ke saya boleh pakai baju-baju yang saya ada. I don’t need anything new!”Syamsul mengeluh kecil. Kedengaran sarat dengan satu perasaan yang tidak mampu Sirin tafsirkan.“Kenapa?”Agak lama mendiamkan diri, barulah Syamsul menjawab. “Rin, Abang Syam tak minta Rin lupakan apa yang berlaku dulu. Sebagai manusia, antara sejarah manis dan sejarah pahit, yang pahitlah akan lebih mudah melekat dalam kepala kita. Terpulang pada Rin nak lekatkan yang mana satu, Abang Syam tak kisah. Tapi… lepas Im sendiri cakap sanggup tolak segalanya dan jadi abang Rin, macam yang Rin nak sangat, kenapa nak berdegil lagi? Im dah mulakan langkah pertama, Rin. Turutlah. Biar perhubungan ni kembali jernih. Walau tak mungkin jadi macam tujuh tahun lebih yang dulu, paling tak pun boleh lebih baik daripada selama masa ni. Rin, Abang Syam mintak sangat Rin fikir…”Ungkapan penuh perasaan daripada Syamsul, yang jelas lahir daripada sekeping hati seorang teman yang nyata menyayangi sahabatnya dan tidak mahu lihat kekecewaan dalam diri temannya, buat Sirin terkesima. Ah, bertuahnya Azaim kerana memiliki kawan sebaik ini. Tanpa mahu, rasa cemburu hadir. Bukan kerana tidak mendapat Syamsul sebagai teman, sebaliknya kerana Azaim tidak mengasihinya sebagaimana sayangnya Azaim kepada Syamsul, sehinggakan begitu tinggi sekali rasa sayang Syamsul pada hubungan persahabatan antara mereka. Dia tidak mungkin miliki semua itu daripada Azaim. Tapi bukankah Azaim sudah berjanji kepadanya dua malam--lebih tepat tengah malam--lalu yang dia akan kabulkan keinginannya? Azaim berjanji akan melayannya seperti seorang adik, seperti yang dia mahukan sejak dulu. Malah semenjak malam itu, panggilan Sirin yang sering meniti bibir Azaim buatnya telah pun berubah menjadi adik. Tapi… bolehkah dia mempercayai setiap kata Azaim? Suatu ketika dahulu Azaim pernah menabur janji namun belum cukup 24 jam, terbukti Azaim hanya pandai menanam tebu di tepi bibir. Dan kini, Azaim mengharapkan kepercayaan yang sama atas janji barunya? Mampukah dia memperjudi rasa percaya itu semula?“Abang Syam tau, Rin tak pasti… sama ada boleh percayai kata-kata Im ataupun tak. Tapi, tanpa memberi peluang, Rin tak mungkin dapat jawapan. Peluang, tulah yang Abang Syam minta daripada Rin. Im sedang mencuba, Rin. Cuba jadi abang yang Rin nak sangat sejak dulu, jadi bagilah dia peluang tu,” ujar Syamsul setelah mampu menyelami gelodak perasaan Sirin ketika ini.“Abang Syam jugak tau apa yang jadi dulu, Rin. Masa Im berkeras bagi tau keputusan hantar Rin ke asrama, Abang Syam ada kat situ jugak. Ada masa bukan semua keputusan dibuat sebab hati nak. Tapi dibuat sebab hati terpaksa. Rin tak tau kenyataan tu. Jadi… bagi peluang untuk faham kenapa Im buat gitu dulu. Lagipun, Rin nak seorang abang… Rin dah dapat kan sekarang? Seorang abang boleh belikan baju baru untuk adik dia tanpa kisahkan untuk apa ia dibeli. Sebab tu… apa yang seorang abang nak buat untuk adik dia. Kan…?” Syamsul mengerling Sirin yang menunduk diam, pandang jemari runcing sendiri.“Hati yang sakit… perlu dijaga, Abang Syam. Sebab kadang tak ada ubat yang boleh pulihkan hati tu daripada sakit kembali.”“Jadi, Rin takut Im mungkir janji. Tak jadi abang yang Rin nak?” Sirin diam. Memberi ruang sepi menjadi ‘orang ketiga’ antara mereka. “Rin…” ujar Syamsul memecah bisu yang bakal menghurung kalau dia ikut diam. “Dua hari ni, bukan ke Im jadi abang yang Rin nak? Rin jadi adik dia? Dia siap panggil adik lagi kut. Abang Syam sendiri tak panggil adik-adik Abang Syam adik. Kali ni… Im berusaha untuk jadi abang yang Rin nak. Dan Rin sendiri patut berusaha jadi adik kepada abang yang Rin nak. Hubungan satu hala tak boleh dalam hubungan abang-adik tau…” Nasihat Syamsul yang lembut itu menjunam terus ke benak Sirin. Mengajar dia untuk memikir. Kenyataannya, betul apa yang Syamsul kata. Hubungan satu hala takkan membolehkan Azaim jadi abang yang dia mahu, apabila dia sendiri tidak menjadi adik kepada abang itu. Akhirnya Sirin menarik nafas dalam. Dihela. “Baju apa pulak yang Abang Im nak belikan? Harap-harap bukan yang macam hari tu…”Senyuman lega meniti bibir Syamsul. Turut menaikkan seri wajahnya yang seketika tadi agak suram. Kata-kata Sirin menyampaikan jawapannya. Sirin sanggup memberi peluang itu buat Azaim. Azaim sahajalah yang kena pandai gunakannya, sebaik mungkin. Segalanya di tangan kawannya itu kini.“Sebab tulah Im suruh Abang Syam jemput Rin. Harap benda yang sama tak berulang. Hak memilih sekarang ni kat tangan Rin.”Bersama senyuman yang masih terpasang, Syamsul menambah kelajuan Toyota Rush putih miliknya. Mahu lekas tiba ke destinasi. Tidak mahu Azaim terus menunggu.
Sirin menarik muka masam. Berpeluk tubuh, dia mengalih kepala ke kiri, melihat jalan raya. Saling tidak tumpah ketika dia berada di dalam Toyota Rush putih dua jam tadi, saat bersama Syamsul. Namun kenyataannya--yang harus ditelan walaupun pahit, masam, masin dan yang sewaktu dengannya--saat ini dia berada di dalam X-Trail kelabu milik Azaim. Malahan yang berada di sampingnya ketika ini pun adalah Azaim, yang tenang memandu tanpa sebarang perasaan. Selambak aje!Menyakitkan hati sungguh. Kalau aku tau apa yang bakal jadi, tak adanya aku nak merajinkan diri ikut kemahuan mamat ni. Konon nak bawak aku shopping-shipping, tapi yang dilayannya minah tu jugak. Macam magnet yang ada cas bertentangan, asyik melekat. Dengan aku pulak macam magnet yang ada cas yang serupa. Tak boleh dekat langsung. Konon nak layan aku macam adik! Macam tu ke caranya?“Rin sendiri nak Im layan Rin macam adik. Ginilah. Seorang abang tak mungkin tumpukan sepenuh perhatian kepada adik perempuan dia bila perempuan lain, yang layak menjadi isteri, ada kat depan mata. Kalau Abang Syam sendiri pun gitu. Rin akan Abang Syam perhatikan, atas tanggungjawab seorang abang yang terpikul di bahu. Tapi dengan gadis yang layak menjadi isteri, tentulah Abang Syam tatang hati dan perasaan dia. He’s doing the right thing.”Kata-kata Syamsul menyapa cuping telinga Sirin. Seolah-olah membidas apa yang menyerbu perasaan Sirin yang jelas masih tidak puas hati dengan sikap Azaim sepanjang lebih satu setengah jam tadi. Sirin tidak pasti bagaimana seketika tadi Syamsul mampu membaca apa yang ada dalam hatinya--yang dah meletup berulang kali bak bom atom. Mungkin kerana terlalu asyik meladeni hati, segala perasaan geram dan meluatnya tersua pada raut muka. Namun, untuk kali pertamanya tadi, Sirin tidak menyumpah dirinya kerana tidak berjaya menyekolahkan muka. Sebaliknya memang itu yang dia harap. Mahu menjelaskan apa yang dirasainya secara terang-terangan. Namun bukan Azaim yang sedar, sebaliknya Syamsul. Alah, kalau Azaim perasan pun mesti makhluk Allah tu buat dek aje. Maklumlah, sepenuh perhatiannya hanya buat Salmiha.Sangka Sirin hanya dia, Syamsul dan Azaim yang akan bersama untuk membeli pakaian untuk majlis malam apresiasi syarikat yang akan diadakan satu minggu lagi itu. Namun Sirin salah.Satu, bila dia sampai sahaja ke tempat yang dijanjikan oleh Azaim, bukan batang tubuh Azaim sahaja yang menerpa tubir matanya. Sebetulnya, sebelum melihat Azaim, Sirin lebih dulu sedar akan kewujudan Salmiha di samping jejaka itu, yang langsung tidak melepaskan tangan Azaim. Kemas sekali si dia paut lengan Azaim, bagai tak rela lepas.Dua, sangkanya mereka akan membeli-belah di butik yang sesuai untuknya. Tapi Sirin silap. Butik Femina tidak menyediakan sebarang pakaian yang jadi seleranya namun seratus peratus adalah kegemaran serta pilihan Salmiha. Sungguh sesuai untuk yang bertubuh genit dan sedap itu. Macam dibuat ngam-ngam saiz Salmiha.Sudahnya Sirin menghabiskan masa selama lebih satu setengah jam--kalau dia sambung baca novel Takut Kahwin pun bagus!—dengan melihat adegan mesra antara Azaim dan Salmiha yang menghangatkan lagi hatinya yang sedia panas. Bila tengok mereka berbisik manja, yang pedih adalah sepasang telinganya. Bila tengok mereka melirik mesra, yang hampir juling adalah sepasang matanya. Belum tengok adegan 18SX antara mereka lagi, macam-macam perasaan yang tak dapat digambarkan apatah lagi diperkata menerjah Sirin.Malahan senyuman kecil yang sering mencuri tempat pada bibir Syamsul sepanjang pedih hati dan juling mata dia, buat jiwa Sirin jadi tambah terbakar. Marak menyala. Apabila Syamsul menegurnya dengan kata-kata tadi--alah, yang panjang lebar tadi tulah--dia tidak diam membisu sahaja, sebaliknya membalas dengan penuh perasaan. Mahu Syamsul tahu akan apa yang dia rasa kala itu.“Kata nak belikan baju untuk saya, tapi tak satu pun antara pakaian-pakaian yang ada kat sini sesuai untuk saya. Untuk Sal dia tu bolehlah!”Dengan kata-kata itu Sirin akhirnya meninggalkan Butik Femina sesudah membuang masanya begitu saja. Nak cari sehelai baju, terbuang waktu tanpa faedah. Malah kerana tindakannya itu jugalah Azaim akhirnya meninggalkan butik tersebut diiringi Syamsul dan Ukasyah—tak ada salam, tak ada hai, tiba-tiba menyertai mereka. Dan Salmiha, mestilah masih menempek kemas di sebelah Azaim. Macam kena lekat guna gam gajah!Berkepit saja kerjanya. Mujur tak ajak kepit masa masuk ke bilik persalinan.Dari situlah mereka, dia dan Azaim, sama-sama menaiki Nissan X-Trail ini. Syamsul pulang sendirian. Salmiha? Sungguh dia tidak menyangka Salmiha tak turut mereka sama. Sebaliknya Ukasyah yang tiba-tiba muncul itu ditugaskan untuk menghantar Salmiha kerana menurut Azaim, Azaim ada tugasan yang memerlukan perhatiannya. Lalu Salmiha, dengan muka cemberut maintain jelita, diam saja turut Ukasyah yang maintain kacak cantik. Hubungan Salmiha-Ukasyah adalah satu bentuk hubungan yang Sirin masih tak dapat tebak. Lagipun, dia bukannya ada masa lebih hendak tebak hal orang apabila hal sendiri pun gagal dikupas sebab-musababnya. Dia hanya ada 24 jam dan 24 jam itu selalunya pusing-pusing kembali kepada dia dan abang barunya--Azaim Haji Azamuddin.Memikir abang barunya itu, Sirin mengerling sekilas lelaki yang sedang memandu itu. Wajah kecinaan itu jadi bahan pandang sekejap. Sekarang, mereka dalam perjalanan entah ke mana. Sirin sendiri tidak tahu. Malas sudah hendak ambil tahu. Nanti buat bernanah hati saja kalau jawapannya adalah, “Nak ke rumah Salmiha” atau “Nak jumpa Salmiha”. Makanya, baik jadi orang bisu.“Adik ni, kenapa? Dari tadi diam aje? Hmm?”Aik, baru perasan ke? Tak sedar ke aku jadi bisu semenjak kau usung si Salmiha, gadis kesayangan kau tu masuk ke dalam butik tu?“Adik… abang tanya ni,” ucap Azaim memujuk, menjeling Sirin yang paling muka daripadanya.Sirin terus menyepi. Malahan rasa geram turut menerpa mendengar perkataan adik yang keluar dari mulut Azaim. Tambah menyakitkan hatinya. Kalau benar dia adik Azaim, sebagaimana yang digelarnya, mengapa layan dia sebegitu tadi?Azaim mengeluh kecil. “Adik nak apa lagi? Adik nak abang layan adik macam adik, abang dah buat. Tapi adik masih tak puas hati lagi. Apa lagi yang adik nak abang buat? Cuba bagi tau abang terang-terang…”Sirin senyum menyindir. Namun tidak mampu dilihat oleh Azaim kerana dia masih belum menoleh kepala ke arah pemuda itu. Lebih tega membelakangkan Azaim daripada menentang Azaim. Perasaannya masih kacau. Jiwanya masih celaru. Ungkapan yang baru diucapkan oleh Azaim serta bicara Syamsul kepadanya tadi, mengenai layanan seorang abang kepada adiknya, membuatkan dia terfikir sendiri. Bila seorang abang berdepan dengan seorang adik serta seorang kekasih, siapakah yang akan didahulukannya?“Adik, terimalah kenyataan. Bila seorang lelaki berdepan dengan adik dan gadis yang layak jadi isteri, yang didahulukan adalah gadis kedua itu, yang layak jadi isteri. Think logically, my dear. One day, when there’s someone very special in your life… Adik sendiri akan letakkan dia lebih atas daripada siapa saja. Dah lumrah!”Benarkah begitu? Hati Sirin menyoal diri.“Itu hakikatnya, adik. Adik nak jadi adik abang, gitulah layanan abang. Sekejap tadi, adik bukan yang terdahulu. Tapi sekarang, sebagai abang, sebab adik abang dah merajuk, abang pun kenalah pujuk. Abang tahu adik geram sebab kat butik tu tak ada satu pun baju yang jadi taste adik. Jadi sekarang kita pergi cari baju yang jadi pilihan adik. Berapa pasang pun boleh, berapa lama pun boleh. Now, I’m all yours, my sweet baby sister.”Pujukan Azaim tidak dibalas oleh Sirin. Tidak mengangguk setuju atau menggeleng tak mahu. Matanya terus ke arah jalan. Berpeluk tubuh, menyandar pada kusyen, dia beku di tempatnya. Tidak mampu menggerakkan tubuhnya sekalipun itulah yang mahu dilakukan. Dia baru sedar, di mana tempatnya. Jika menjadi adik Azaim pun, pemuda itu tetap bukan miliknya. Miliknya? Sejak bila pula dia mahukan itu? Semenjak bila dia hendak Azaim jadi miliknya?Lalu Sirin hanya diam sepanjang perjalanan itu…
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 19, 2013 06:07

April 10, 2013

.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 17] :.

BILIK bacaan ketika ini hanya disurami cahaya daripada lampu bacaan yang terletak di atas meja. Suasana sepi, menunjukkan malam sudah lama berlabuh. Malahan masa sudah lama beranjak. Namun, mata yang masih segar serta minda yang terus-terusan berbolak-balik membuatkan Azaim memilih untuk berada di sini dan bukan di biliknya. Walau kebisuan yang serupa bakal menghambat suasana, sama ada di bilik bacaan atau bilik tidurnya, namun di sini dia rasa lebih tenteram. Lebih mampu mengasak akalnya untuk terus bergerak, mencari ruang serta peluang sebelum segalanya terlambat. Sekali lagi.Tiga jam tadi, ketika berada di taman bunga mini, Azaim tidak pernah menjangka pengakhiran perbualan antaranya dengan Sirin sedemikian. Malah bukan itu yang Azaim harap. Dia mahu segala kisah silam berlalu daripada mereka. Namun nyata, keadaan bukan pada pihaknya kerana masa lalu itu masih mengejar hingga kini. Sehinggakan tembok yang sedia ada antaranya dan Sirin jadi lebih utuh.
Semuanya salah dia. Dia terlalu terkejut dengan kata-kata serta setiap bidasan Sirin seketika tadi sehinggakan beku di tempatnya. Apabila dia punya kekuatan untuk mengutip semula kesedaran diri, Sirin sudah pun jauh. Dan dia sedar, sudah terlewat untuk dia memujuk hati Sirin. Malah kiranya dia meluahkan perasaan sebenarnya, yang bersamanya semenjak 10 tahun dulu, tentu sahaja Sirin tidak akan percaya. Sirin akan menolak kata-katanya mentah-mentah. Malah mungkin sahaja akan menuduhnya menipu.
Tapi Sirin tidak tahu dan tidak pernah sedar betapa dalamnya perasaan dia untuk gadis itu. Perasaan ini bukannya baru tumbuh dalam jiwanya sebaliknya sudah sekian lama ada di situ.
Saat pertama Sirin tiba ke Vila Fatih lagi hatinya sudah jatuh sayang kepada anak kecil berusia 13 tahun itu. Sangkanya sayang itu wujud atas rasa simpati kerana kasihan melihat Sirin yang kematian orang tua dalam usia yang begitu muda dan menjadi mangsa sanak saudaranya sendiri. Tapi dia salah. Lahirnya perasaan sayang itu bukan atas dasar simpati malahan bukan juga kasih seorang abang buat seorang adik. Sebaliknya perasaan itu lebih dalam dan lebih istimewa.
Dia jatuh cinta kepada anak kecil yang muda lapan tahun daripadanya?
Namun dalam usia yang begitu muda, apalah yang Sirin tahu? Sudahlah saudara sendiri buat dia hilang kepercayaan kepada setiap orang, terutama sekali orang luar sepertinya. Tapi semua itu tidak lama kerana akhirnya Sirin memberanikan diri, meletak kepercayaan kepada penghuni Vila Fatih. Malah Sirin mula rapat dengannya. Amat rapat. Tapi sayang, dia hancurkan hubungan akrab itu. Semuanya kerana dia tidak mampu menjadi apa yang Sirin harapkan.
Tidak mampu menjadi seorang abang untuk Sirin. Mana mungkin dia mampu realisasikan impian Sirin dan campakkan impian hatinya? Mana mungkin dia dapat anggap Sirin seperti adik bilamana perasaannya buat Sirin lebih daripada itu?
Sungguh, Azaim tidak boleh bayangkan Sirin sebagai adiknya kerana dalam dirinya ada bahasa rindu yang sudah lama tersusun indah untuk Sirin. Hanya buat si dia bernama Sirin Hassan. Tapi untuk meluahkan semua itu, Azaim tahu belum sampai waktunya.
Namun kini, Azaim tahu saat itu sudah tiba.
Azaim tidak perlu lagi menanti Sirin menjadi seorang gadis sunti seperti yang dikehendaki arwah ibu yang memang jelas dengan perasaannya untuk Sirin. Malahan ayah juga tahu akan isi hatinya yang tidak pernah terkata itu. Syamsul sendiri sudah lama menangkapnya. Begitu juga dengan Ukasyah, yang tidak pernah terlepas daripada mendengar cerita-cerita tentang Sirin.
Sebetulnya Azaim lebih daripada bersedia untuk ungkapkan setiap bahasa perasaannya, yang diatur khas untuk Sirin. Namun, jauh di sudut hati terselit rasa ragu bila memikirkan penerimaan Sirin.
Sirin tidak percayakan dia sejak dulu dan kini, sesudah apa yang berlaku di taman bunga mini tadi, tentu sahaja rasa tak percaya gadis itu kepadanya kian memuncak. Dia tidak langsung menghalang langkah Sirin sebaliknya hanya membiarkan. Dan jika saat ini, dia tiba-tiba muncul di hadapan Sirin dengan kata sayangnya, mana mungkin Sirin menerima. Kena hempuk adalah kut!
“Aku kena tukar strategi!” ucap Azaim perlahan. Mukanya berubah tenang, memikirkan apakah tindakan yang harus diambil sesudah sejauh ini dia biarkan segalanya mengikut arus masa. Sudah sampai waktu dia bertindak pula.
Keputusan lalunya nyata silap. Perubahan Sirin sudah menjelaskan. Kini sekali lagi dia perlu membuat keputusan dan harus pastikan dia tidak tersasar lagi. Keputusan kali ini harus mengembalikan Sirin kepadanya, bukan menjarakkan lagi mereka.
Tapi, bagaimana? Fikir, fikir, fikir!
Muka Azaim menjadi tambah tenang. Tanda mindanya sedang bergelodak. Mencari jalan yang entahkan akan ditemui ataupun tidak.
Hampir sepuluh minit berkeadaan sedemikian, akhirnya bibir pemuda itu perlahan-lahan disentuh senyuman, yang kian memekar tanpa mampu dihalang. Dia sudah nampak jalannya!
Sirin kesat pipinya yang basah. Sudah puas berendam air mata mengenangkan peristiwa itu. Nyata, masa yang menganjak tidak mengaburkan segalanya, apatah lagi hilang daripada dirinya. Semua itu adalah satu memori, yang akan bersamanya walau ke mana dia pergi. Sekalipun melarikan diri ke UK semula, ia tak mungkin padam kerana ia sudah jadi sebahagian daripada dia.
“Sirin bukan adik Abang Im! Sampai bila-bila pun tak akan jadi adik Abang Im! Sirin bukan anak kandung Tuan Azamuddin, jadi tak mungkin jadi adik Abang Im! Ingat tu sampai bila-bila!”
Ya, Sirin akan ingat segala kata Azaim itu hingga akhir hayatnya, demi mengajar diri agar tidak terlalu mengikut perasaan.
Vila Fatih mungkin mengundang keinginan silam dalam hatinya--diterima bak keluarga sendiri--namun Sirin harus sedarkan hati nan satu ini bahawa Vila Fatih bukan lagi milik Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih, yang menerimanya dengan hati terbuka. Sebaliknya Vila Fatih sudah jadi hak rasmi dan tunggal Azaim, yang tidak mungkin mengabulkan satu-satunya kehendak hati Sirin kerana pemuda itu tidak pernah mengharapkan seorang adik perempuan. Tidak inginkan dia di dalam Vila Fatih atau hidupnya. Sirin harus terima kebenaran itu.
Ketukan pintu bilik tidurnya mengejutkan Sirin. Terjongket kedua-dua bahunya, terlalu peranjat. Dia mengurut dada sambil mata melirik ke arah jam loceng di atas meja studi. Sudah lebih 1.00 pagi. Siapa pula tu? Dahi Sirin berkerut.
Ketukan masih kedengaran. Walau sebetulnya perlahan, namun suasana sunyi malam itu membuatkan ia kedengaran begitu kuat untuk kuping Sirin.
Tangan Sirin lekas-lekas ke parasnya, menyapu sisa air mata yang masih ada. Tidak mahu sesiapa pun yang berada di luar sana sedar yang dia baru lepas menangis. Kemudian dia bingkas dari katil lalu mendapatkan tombol pintu. Demi membukanya, Sirin terkaku seketika. Kejung lihat batang tubuh di depannya.
Azaim, tanpa mengalih pandangan daripada Sirin, berdiri di muka pintu. Masih dengan baju-T warna kuning dengan padanan kasual kot putih pilihannya untuk majlis tadi, dipadankan dengan khakis. Azaim nampak berbeza dengan semalam dan pagi tadi, ketika kali terakhir dia bersua pemuda itu sebelum Azaim ke Mesra Sdn Bhd dan hanya pulang waktu majlis hampir tiba.
Sebelum-sebelum ini yang dilihat Sirin, tubuh lampai itu disalut dengan sut tiga lapis atau kemeja gaya official. Tidak pernah Sirin lihat Azaim nampak santai begini. Malah jelas Azaim selesa dengan pemilihan pakaiannya malam ini. Masakan tidak, hampir sedondon dengan Salmiha yang datang tidak lama kemudiannya. Entah-entah memang dah berjanji.
“Sirin?”
Panggilan Azaim mengembalikan Sirin ke situ semula. Matanya kembali ke muka Azaim. Tajam menujah mata Azaim untuk mengelakkan rasa malu yang cuba mengawalnya kerana sempat berangan tika Azaim berdiri di sini, merenungnya. Juga untuk sampaikan rasa tidak senang dengan kehadiran pemuda itu pada waktu begini.
“Buat apa kat sini waktu-waktu ni?” Sirin tak melapik kata. Terus tengok serupa nak makan Azaim yang rambutnya tidak lagi berikat separuh sebaliknya dilepas biasa. Panjang menyentuh bahu.
“I need to talk to you.”
“Saya tak ada apa-apa nak cakap dengan Abang Im. Kalau Abang Im rasa ada yang perlu Abang Im cakap pada saya, esok aje. Selamat malam!” Sirin cuba menutup daun pintu, namun tidak berjaya apabila tangan utuh Azaim lebih dulu menghalang niatnya.
Tidak mengizinkan daun pintu dikatup apabila Azaim masih di situ.
“Abang Im nak cakap dengan Sirin. Sekarang!” ucap Azaim tegas. Mahu Sirin tahu dia tak akan berganjak daripada keputusannya.
Sirin menarik muka masam. Sudahnya tangan beralih dari pintu. Berpeluk tubuh, dengan paras mencuka, dia menentang Azaim. Mahu nyatakan kepada Azaim dia tak sedikit pun terkesan dengan suara keras mahupun muka serius pemuda itu.
“Saya mengantuk, nak tidur! Dah pukul 1.00 lebih, tak reti tengok jam? Jam tangan dah mati ke?” Sinis Sirin menjongket sebelah kening.
“Abang Im tak pakai jam tangan. Kalau dah mengantuk sangat, tak payah nak panjangkan semua ini. Dengar aje apa Abang Im nak cakap, lepas tu boleh tidur dengan cepat, dengan aman.”
Sirin mendengus. Sedar, walau apa pun yang dia kata, Azaim tak akan berganjak. Kali ini Azaim tak mungkin bertolak ansur. Siapalah dia untuk Azaim dengar setiap katanya? Dia bukan adik kandung Azaim malah bukan juga saudara Azaim. Cuma orang luar yang menumpang kasih dengan penghuni Vila Fatih dahulu dan bila tiba masanya, dia perlu tinggalkan semua ini.
“Sirin menangis ke?” tanya Azaim lembut. Selembut sepasang matanya yang terus merenung muka Sirin.
Azaim mampu kesan kesakitan yang terhimpun di balik mata itu, yang mencurahkan segalanya dengan jelas. Tambahan pula dia sudah lama belajar membaca sepasang mata coklat cair itu, semenjak roman muka Sirin tidak meluahkan apa yang tersirat dalam sekeping hati.
Senyuman mengejek terukir. Sirin masih berpeluk tubuh. “Saya tak bodoh nak bazirkan air mata untuk perkara tak ada kepentingan!”
Azaim tenung sedalamnya mata Sirin, yang terus melawan pandangannya. Akhirnya, tanpa ditahan, bibir Azaim direkahi senyum kecil.
“Apa?! Kenapa senyum? Saya ni nampak macam tengah melawak ke?” Sirin disambar amarah.
Walau cuba ditutup perasaan, tapi apabila berdepan dengan Azaim, semuanya hancur berkecai. Punah. Apa yang ada dalam hati Sirin terpamer dengan ucapan dan kata, tanpa mampu dikawal. Apabila Azaim mendera perasaannya, Sirin sudah tidak mampu bekukan hati dan kakukan diri daripada apa-apa perasaan.
“No, my dear.”
“Habis tu? Senyum tu untuk apa?”
“Saja. Rasa nak senyum,” jawab Azaim menjongket bahu. Selamba, walau tahu ia bakal memarakkan api amarah Sirin.
Sirin merengus kasar. Mahu Azaim tahu betapa terbakar hatinya.
“Tadi kata nak cakap! Cakaplah!” Sirin membeliakkan mata.
“Okey. Abang Im dah buat keputusan. Sirin nak Abang Im treat Sirin macam adik, kan? Fine. I’ll do it.”
“What?” Sirin tertegun.
Azaim tertawa perlahan.
“Ya, Sirin, Abang Im akan ikut kemahuan Sirin. Mulai hari ini Abang Im akan layan Sirin macam adik Abang Im sendiri. Mulai hari ini Abang Im akan panggil Sirin... adik.” Azaim mencuit hujung hidung Sirin lalu berlalu. Tinggalkan Sirin yang masih terkaku di tempatnya, masih berpeluk tubuh dengan mulut terlongo. Terkejut sangat.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 10, 2013 06:58

March 30, 2013

.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 16] :.

MATA Sirin yang terus basah tidak berkalih, menatap dalam muka Azaim yang berkerut serius. Tidak mampu menjauhkan matanya. Tidak punya daya, tidak ada kudrat. Mujur, lemah tubuhnya tidak membawa dia tersungkur ke atas lantai biliknya itu. Lembik kakinya tidak buat dia jatuh tersembam. Sedang yang Sirin mahu lakukan kala ini, meraung kuat dan menjerit lantang meluahkan apa yang bergelora dalam hatinya. Ya Allah…“Kenapa…?” Sirin mahu bertempik, namun suara yang keluar hanya suara halus. Terlalu perlahan.
Azaim hanya membisu. Pandangannya tumpah ke muka Sirin. Berbalas dengan mata basah itu. Tapi tidak mampu berlama-lama kerana dia tiba-tiba terasa goyah. Bimbang dia tidak cukup kuat untuk meneruskan apa yang dirancangnya, demi masa depan Sirin sendiri. Azaim akhirnya melontar mata ke sekitar bilik anak gadis yang sudah masuk tingkatan empat itu. Melarikan pandangan daripada terus jadi asakan mata coklat cair Sirin.
“Itu keputusan Abang Im dan Abang Im nak Sirin turut. Jangan melawan!” ucap Azaim penuh ketegasan.
“Tapi…” Sirin tetap bersuara, walau suaranya tidak bersamanya. Sudah hilang kekuatannya.
“Jangan melawan, Sirin. Abang Im tak suka. Abang Im nak Sirin ikut cakap Abang Im. Jangan membantah!”
“Tapi, kenapa? Rin tak nak pergi. Rin tak nak! Rin nak tinggal kat sini. Aunty dengan uncle nak Rin terus kat sini. Nak Rin kat sini selamanya. Rin tak nak pergi!” Sirin menggeleng, berkali-kali. Suaranya juga sudah kembali kepadanya. Walau sedikit bergetar, namun tidak seperti sebelumnya.
“Sirin tak boleh tinggal kat sini!” Lantang suara Azaim mengisi ruang bilik tidur Sirin. Malah turut menarik perhatian Pak Tua dan Mak Tua yang semenjak tadi berada di depan pintu bilik Sirin.
Pasangan suami isteri itu memang sejak Azaim bercadang mahu sampaikan keputusannya kepada Sirin lagi sudah mengikut Azaim. Mahu di samping Sirin saat Azaim menyatakan khabarnya, yang tentu sahaja akan mengecewakan sekeping hati Sirin. Tapi, tidakkah mereka sedar yang hatinya turut kecewa? Hati kecil Azaim merintih sendiri. Dia tidak mahu lakukan semua ini, namun dia terpaksa. Bimbang peristiwa semalam bakal berulang. Gusar apa yang hampir dilakukannya semalam benar-benar terjadi.
Semalam, hari yang tidak pernah dilalui oleh dia atau Sirin. Mereka sama-sama tidak tahu bagaimana harus mendepaninya. Mendepani pemergian dua insan yang amat berharga dan paling mereka sayang. Ayah dan ibu meninggal sesudah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang. Pemandu mereka turut menjadi mangsa. Ketiga-tiganya sama-sama meninggal dunia di tempat kejadian sesudah kereta mereka dirempuh oleh sebuah lori yang membawa muatan berat.
Kematian ayah dan ibu adalah sesuatu yang tidak pernah Azaim jangka. Serasa belum bersedia untuk ditinggalkan sendirian di sini sebagai anak yatim piatu. Walaupun usianya bakal menjangkau 24 tahun beberapa bulan lagi, namun dia belum bersedia untuk kehilangan kedua-dua orang tuanya, yang selama ini membesarkannya dan menjadi pembimbingnya dalam setiap hal dan perkara. Tapi kini, semua itu tiada. Azaim sendirian dalam setiap hal. Tidak ada sesiapa untuk menjadi penunjuk jalan buatnya. Tambah pula selepas apa yang berlaku semalam.
Sesudah menyimpan jenazah, suasana Vila Fatih menjadi terlalu sunyi. Amat sepi. Semua penghuninya seolah-olah lebih tega dengan keadaan begitu. Masing-masing mahu bersendirian. Mencari ketenangan yang hilang sesudah perginya dua insan yang amat bererti dalam hidup mereka semua.
Azaim sendiri ketika itu rela menekur sendirian di dalam biliknya. Menangis bila dia mahu. Merintih bila dia perlu. Di situ tiada siapa yang melihatnya. Tiada yang akan mengganggunya, jadi dia bebas menghamburkan segala perasaan yang merantai jiwa. Tambahan pula saat itu dia perlu menangis, semahunya. Lantaklah jika ada yang kata dia bukan lelaki tulen. Dia perlu menangis!
Ibu sendiri pernah kata, “Menangislah kerana Allah, sama ada kerana gembira atau duka. Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”
Kala itu, itulah yang dia lakukan. Menangis demi mengharapkan ketenangan kurniaan Allah. Dia tiada tempat untuk mengadu, namun dia sedar Allah ada di sisinya. Tambahan pula ini semua ujian daripada-Nya. Dia harus meredakannya, walau payah dan sukar. Insya-Allah, ada hikmahnya jika dia meredai setiap musibah itu dengan hati yang ikhlas.
Saat dia sedang menghamburkan perasaan itulah, pintu biliknya diketuk. Bertalu-talu, seolah-olah orang di sebelah sana terlalu tergesa. Mengharap dia membuka pintu secepat mungkin. Dan Azaim tidak menghampakan. Lekas-lekas mengelap mukanya yang masih basah dengan air mata, sambil mata mengerling ke arah jam dinding yang menunjukkan waktu sebenar.
Hampir mencecah jam 3.00 pagi. Walau Azaim pelik, dia tetap mendapatkan pintu.
Demi sahaja membuka pintu, sekujur tubuh Sirin yang hanya memakai sehelai baju tidur separas paha menerpa ke arahnya. Memeluk erat tubuhnya bersama esak tangis yang menggila. Puas dipujuk, Sirin tidak juga berhenti menangis. Tetap hanyut dengan kesedihannya. Terus lemas dalam ombak yang tidak kelihatan. Namun Azaim faham semua itu kerana dia turut merasainya.
Pelukannya ke tubuh Sirin kian erat. Merelakan sahaja tubuh mereka berkongsi kehangatan agar perasaan masing-masing mula tenteram. Namun dia salah menghitung. Kehangatan yang mereka kongsi itu membuatkan nafasnya mula bergelora. Tambah bergelodak apabila Sirin mengangkat muka dengan kedua-dua tangan kemas di dada bidangnya lalu menuturkan kata, “Abang Im, jangan tinggalkan Rin. Rin dah tak ada sesiapa. Jangan tinggalkan Rin…”
Permintaan Sirin itu membuatkan setiap perasaan Azaim mendesah dalam menebarkan janji dan sumpahnya kepada Sirin, yang akan dikotakan dengan apa cara sekalipun. Malah dia turut lupa bahawa di hadapannya ketika itu adalah seorang anak kecil belum cukup 16 tahun, yang baru menamatkan peperiksaan PMR. Yang dia lihat adalah gadis sunti yang telah menambat hati dan kini pandai pula menambat perasaan lelakinya.
Bersama janjinya, “Abang Im janji abang tak akan tinggalkan Sirin. Sirin akan bersama Abang Im selama-lamanya,” dia mula mengucup dahi Sirin malahan bibirnya mula melarat ke pipi gadis itu.
Mujur, saat itu juga Mak Tua menjerit lantang namanya. Menghalang Azaim daripada terus menurut naluri kelakiannya serta kehendak hati. Pekikan kuat Mak Tua menyedarkannya--Sirin masih anak kecil yang tidak faham apa-apa. Malah pekik Mak Tua turut menyelamatkan masa depan Sirin daripada hancur di tangannya, lelaki yang amat dipercayai anak gadis itu.
Bimbangkan apa yang hampir berlaku semalamlah Azaim akhirnya membuat keputusan drastik sebegini. Nekad mahu Sirin tinggalkan Vila Fatih dan menyambung tingkatan empat dan tingkatan limanya di sekolah berasrama penuh. Gadis itu memang layak. Malah kepintaran Sirin membuatkan dia mendapat tawaran dari Tunku Kursiah ketika memasuki tingkatan satu. Namun kerana arwah ayah dan ibu, juga Azaim sendiri, yang tidak sanggup berjauhan dengan Sirin, sebagaimana Sirin sendiri, tawaran itu akhirnya ditolak.
Namun, kini segalanya sudah berubah. Walau dia tidak sanggup berjauhan daripada Sirin, Azaim sudah tekad dengan keputusannya. Sirin tidak boleh bersamanya lagi di Vila Fatih. Bahaya untuknya, bahaya untuk Sirin sendiri. Yang terbaik adalah menghantar Sirin ke sekolah berasrama penuh.
“Im?”
Panggilan lembut Pak Tua mengembalikan Azaim pada ruang bilik itu semula. Tidak lagi ditelan perasaannya sendiri yang tidak keruan semenjak kejadian semalam. Separuh daripada hatinya mahukan ini. Separuh lagi tidak mengizinkan Sirin pergi dari sini kerana Sirin hanya ada Vila Fatih. Hanya ada dia.
Tapi, sanggupkah dia berjudi dengan nasib? Menunggu dengan penuh keresahan sama ada apa yang hampir-hampir berlaku semalam berulang dan mungkin sahaja sampai kesudahannya? Dia berjaya menghancurkan masa depan gadis yang meletak kepercayaan yang begitu tinggi kepadanya?
“Ya, Pak Tua.” Akhirnya Azaim menyahut. Mahu menjauhkan perasaan tidak kena dalam hatinya. Mahu menghalang mindanya daripada fikirkan kemungkinan yang mungkin berlaku semalam kiranya Mak Tua tidak menjelma.
“Jangan berkasar dengan Sirin. Masih belum hilang rasa terkejut dia terima berita pemergian arwah tuan dan puan. Berita ni pulak buat dia lagi terkejut. Cakaplah baik-baik…” kata Pak Tua perlahan. Buat telinga Azaim sahaja. Dia menepuk kemas bahu Azaim lalu terus berdiri di sebelah pemuda itu, yang kini menggantikan tempat Tuan Azamuddin.
Azaim mengangguk. Kembali talakan mata ke wajah Sirin yang masih basah dan sembap dengan air mata. Maafkan Abang Im, sayang. Sirin terlalu muda dan mentah untuk mengerti perasaan ini. Abang Im tak mahu lakukannya, tapi Abang Im terpaksa demi masa depan Sirin, sayang.
“Sirin kena pergi. Abang Im dah aturkan semuanya. Abang Im nak Sirin ikut cakap Abang Im. Abang Im buat semua ni demi masa depan Sirin. Sekarang mungkin Sirin tak faham, tapi satu hari nanti Sirin akan mengerti.”
“Tapi Rin tak nak pergi!” Sirin menggeleng di balik pelukan Mak Tua ke tubuhnya. “Abang Im dah janji dengan Rin. Dah janji tak akan tinggalkan Rin semalam. Dah janji tak akan biarkan Rin sendirian. Abang Im dah janji, tapi sekarang… Abang Im nak mungkir janji?”
“Abang Im tak mungkir janji, Sirin. Abang Im akan tepatinya. Tapi bukan sekarang.”
“Abang Im tipu Rin! Tipu!” Sirin kembali teresak.
“Sirin…” Azaim akhirnya mengorak kaki. Mendekati Sirin yang masih dipeluk oleh Mak Tua. Dia mengisyaratkan kepada Mak Tua agar melepaskan dakapan pada tubuh lampai Sirin. Mahukan peluang berbicara berdua dengan gadis itu.
Mak Tua menurut. Menjauhkan diri daripada Sirin dan mendapatkan suaminya. Namun dia dan Pak Tua tidak berlalu dari bilik itu. Sebaliknya berdiri sedikit jauh daripada kedua-dua anak muda itu. Memberi ruang kepada mereka.
Azaim mengerling Pak Tua dan Mak Tua. Setelah pasti kedua-dua mereka tidak mampu dengar apa yang bakal dikatanya, dia membuka mulut memulakan bicara. “Abang Im tak tipu Sirin. Kita akan bersama untuk selama-lamanya, tapi bukan sekarang. Sirin ikutlah cakap Abang Im. Abang Im tak buat semua ni sebab suka-suka sebaliknya demi masa depan Sirin. Masa depan Sirin akan lebih terjamin dengan cara ni. Percayalah cakap Abang Im.”
Sirin menggeleng berkali-kali. Jelas tidak mahu menerima kata Azaim.
“Ikut cakap Abang Im, Sirin. Mak Tua akan siapkan semuanya dan Sirin akan bertolak ke sana malam ni.”
“Abang Im bohong Rin! Bohong!” marah Sirin bersama air mata yang terus-terusan menjurai. Mengikut lekuk pipi. Kebencian jelas terpancar pada sepasang matanya. Mahu Azaim menyingkapnya dan faham perasaan sebenarnya akibat ditipu begini oleh Azaim.
“Sirin…”
“Sampai hati Abang Im!” potong Sirin. “Sampai hati campak adik abang sendiri keluar dari rumah ni. Rin adik Abang Im!”
“Sirin bukan adik Abang Im!” Azaim membentak. Wajahnya mencuka. Marah di hatinya tersua pada parasnya saat ini.
Sirin tertegun. Malahan Pak Tua dan Mak Tua turut terkedu.
“Sirin bukan adik Abang Im! Sampai bila-bila pun tak akan jadi adik Abang Im! Sirin bukan anak kandung Tuan Azamuddin, jadi tak mungkin jadi adik Abang Im! Ingat tu sampai bila-bila! Dah, berkemas! Abang Im tak mau dengar apa-apa lagi!” Bersama kata-kata itu Azaim terus berlalu. Tidak langsung memaling muka kepada Sirin, yang terkaku dan terbeku di tempatnya. Kakinya terus diayun, keluar dari bilik itu.
Kelihatan Syamsul di luar bilik Sirin, bersandar malas pada dinding. Apabila melihat dia keluar, Syamsul turut mengatur kaki. Kedua-dua sahabat itu beriringan.
“Kau akan menyesal, Im.”
Kata-kata Syamsul tidak dibalas. Azaim hanya membungkam dan melajukan kaki.
Syamsul mengikut tanpa bersuara lagi.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 30, 2013 08:09

March 28, 2013

.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 15] :.

MEMELUK tubuh, Sirin mengorak kaki perlahan-lahan. Tidak perlu mengejar waktu kerana dia bukannya melarikan diri daripada sesiapa. Sekadar membawa diri jauh daripada hiruk-pikuk yang mengisi halaman luas belakang Vila Fatih ketika ini. Tiba-tiba dia rasa perlu lari daripada semua itu. Mahu menyendiri demi dirinya sendiri. Perlukan waktu untuk melawan arus perasaan yang tiba-tiba dilanda gempa bumi.Aturan kaki Sirin masih seperti tadi. Santai dan bersahaja. Terus menyusuri jalan buatan yang disediakan sepanjang jalan ke taman bunga mini milik arwah Puan Nurfatih.
Nama bunga-bunga di taman mini ini tidak pernah Sirin ingat, walau berulang kali aunty nyatakan kepadanya. Semua ini bukan minatnya. Senang cakap, tak berkenan. Namun di sini, dia sering memperoleh ketenangan. Di sini, jiwanya tidak tahu dihempas badai. Di sini, hatinya selalu lapang.
Kerana itulah Sirin ke sini. Dia perlukan semua itu saat ini. Malah, dengan berada di sini Sirin terasa lebih dekat dan hampir dengan aunty. Walau wanita itu sudah terlalu lama meninggalkannya. Sama seperti mama, yang tinggalkannya empat tahun sebelum itu.
Sirin akhirnya melabuh punggung di sebuah kerusi buatan yang sengaja diletak di tengah-tengah taman bunga mini itu. Sekelilingnya tentulah rimbunan pohon-pohon bunga pilihan aunty sendiri. Malah di sinilah dia selalu menghabiskan waktu petangnya, bersama wanita itu. Sama-sama menikmati minum petang sambil berbual kosong. Namun, setiap ungkapan dari mulut wanita itu adalah amat berharga untuk Sirin. Ia mengiringi setiap langkahnya selama ini.
Ungkap wanita itu penguat jalannya. Bicara suami wanita itu pengukuh langkahnya. Mereka berdua penuh makna dalam hidup Sirin sampai kini.
Sirin masih ingat, ada kalanya uncle serta Azaim akan turut menyertai dia dan aunty di sini. Kala itu akan tambah havoc suasana petang mereka. Usik-mengusik, manja-bermanja. Masa paling ceria kerana itulah waktu biasanya mereka dapat berkumpul bersama.
Senyuman tipis menyentuh bibir Sirin saat mengenangkan zaman penuh kemanisan itu. Namun ia segera terpadam apabila menyedari harga kepahitan yang menyusul.
Sebelumnya, selepas pemergian papa dan mama ketika usianya hanya 12 tahun, dia berada di bawah jagaan saudara mama. Saudara jauh mama. Seorang pak cik yang mama sangat jarang jumpa. Seorang pak cik yang tidak menerima perkahwinan papa dengan mama, menentang sakan. Dan kerana mama mengikut mahu hati dan perasaan, lelaki itu menolak mama jauh daripada kehidupan bersaudara.
Lalu hiduplah mama dan papa, berdua saja tanpa sanak saudara. Kemudiannya bertiga setelah kelahirannya setahun selepas bergelar suami isteri. Atas sebab itulah, selepas mama dan papa tiada, Sirin menurut saja apabila lelaki bergelar pak cik kepada mama itu mengambil dia.
Tapi sekejap saja dia bersama lelaki itu. Dia dihantar ke rumah saudara isteri pak ciknya. Dua keluarga berbeza untuk masa tujuh bulan. Tapi pelbagai sakit dan kecewa menjadi galang gantinya sampaikan dalam usia 12 tahun dia sudah menjadi terlalu matang untuk usianya, juga teramat pendiam. Jarang dengar suara, jarang buka kata. Dia bukan lagi Sirin yang berceloteh suka saja gemarnya sewaktu ada papa dan mama. Tidak juga Sirin yang bergirang ria saja tahunya ketika ada papa dan mama.
Dan untuk dua bulan selepas itu, ketika kembali bersama pak cik mama, dia jadi lebih matang dan diam. Dan sangat berjaga-jaga.
Sampailah malam dia berdiri di hadapan Vila Fatih pada malam itu. Masih hendak diam, masih tahu matang. Berjaga-jaga pula dari segi hal hati. Bukan lagi dari segi yang dia takutkan selama dua bulan sebelumnya di bawah jagaan pak cik mama. Dan sebaik tiba ke Vila Fatih, Sirin sudah mengajar hatinya untuk terus tega disakiti. Bersedia kalau-kalau luka yang ada jadi lebih-lebih besar lagi.
Tapi penerimaan penghuni Vila Fatih telah mengubah segalanya.
Dalam kegembiraan yang dikecapi, dia lupa tegarkan hati. Janji itu dia jadi tidak ingat. Sudahnya, dia membayar lagi. Buat ke sekian kalinya, kesakitan jadi sagu hati. Kali itu, pedihnya lebih-lebih lagi. Tusukan sembilu itu membuatkan ada nanah busuk dalam hati. Sesungguhnya, kesan tanggungannya lebih hebat daripada dibuang sanak saudara sendiri.
Haruskah dia menyalahkan takdir yang tidak pernah memihak kepadanya?
Tidak! Tidak mungkin! Itu melawan kuasa Tuhan namanya. Tambahan pula Dia sudah beri jalan kepada aku dan aku yang pilih jalan ni.
Dan arwah mama tidak pernah mengajar Sirin untuk membelakangi takdir yang Maha Kuasa. Arwah aunty tidak pernah mengajar Sirin untuk menuding jari kepada orang lain kiranya apa yang berlaku adalah atas pilihan diri sendiri. Ya, apa yang berlaku adalah silapnya. Hati yang alpa, minda yang leka. Kerana itulah semua ini berlaku. Kerana itulah kepedihan ini masih berbaki.
Ciri peribadi yang kuat adalah mampu menghadapi dan mengatasi kepedihan, ketegangan, kemalangan, kekalahan dan duka derita dengan rasa tawakal dan ketekunan usaha, disertai dengan keberanian ujian hidup. Dengan itu kita akan mampu mengambil manfaat daripada semua pengalaman itu, untuk mendewasakan diri, untuk lebih mematangkan dan menyempurnakan diri.
Itulah petikan daripada buku mengenai Rabiatul Adawiyah yang pernah dibacanya. Kekasih Allah yang hanya mencintai-Nya tanpa sebarang rasa belah bahagi. Mungkin Sirin tidak mampu jadi sepertinya, malah separuh daripada diri itu pun belum tentu. Namun tiada salah kiranya dia turut berpegang pada kata-kata itu sebagai pemberi semangat untuk diri, kala kekecewaan cuba mengejar. Jadikan ia pedoman serta kata nasihat dalam mencari kekuatan diri.
Ya, tiada salahnya. Dalam diam Sirin mengiakan.
“Kenapa angguk macam tu…?”
Sirin menjerit kecil. Terlalu terperanjat. Sama sekali tidak menyangka dia tidak sendirian lagi. Sejak bila, dia sendiri tidak tahu.
“You scared me to death!” Sirin mengurut dada. Rasa terkejut yang tersua pada mukanya diganti pula dengan rasa lega. Mujur bukan jembalang taman!
“Ya Allah…” Sirin terus-terusan mengurut dada. Selain itu, demi memastikan tangannya tidak melayang, menghentak tubuh Azaim yang telah mememeranjatkannya.
Akhirnya, Sirin angkat muka, merenung tajam paras Azaim yang sedang menggaru telinga. Sedar dirilah tu. Sedar dia dah buat salah.
“Abang Im tak sengaja. Bukan niat Abang Im…” Sambil menggaru telinga, Azaim memohon. Kemudian dia tayang gigi. Walaupun dia yakin ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kepada Sirin. Gadis itu bukan arwah ibunya atau Mak Tua, yang mudah tergoda dengan gelagat sebegitu.
Sirin cepat-cepat palingkan muka dari wajah Azaim. Senyuman manis Azaim membuatkan hatinya rasa tidak kena. Macam ada orang yang sua tangan ke dalam mulutnya, terus sahaja hingga menyentuh hati, menggeletek nakal. Dia tidak punya kekuatan luaran mahupun dalaman untuk menghalang semua itu. Azaim selalu buat rasa suam-suam menjengah diri.
Azaim mengeluh kecil. Kan dah cakap, Sirin tak akan terkesan sedikit pun dengan senyumannya. Mungkin sahaja bak melihat lukisan yang sedang tersengih. Dia melihat sahaja Sirin yang sengaja meliarkan mata ke sekitar taman bunga mini arwah ibu.
Ah, ibu. Inilah syurga ibu saat wanita itu masih bernyawa. Pantang ada masa terluang, pasti ibu akan habiskan setiap saat itu di sini. Ibu tak akan betah duduk kiranya satu hari tidak langsung jejakkan kaki ke sini. Di sini tempat ibu mencurah segala kasih sayangnya, buat setiap bungaan dan tumbuhannya. ‘Anak-anaknya’. Ada ketikanya dia lihat ibu berbual sendirian dengan ‘anak-anaknya’. Jika disoal, kata ibu, itu cara dia menunjuk perasan sayangnya. Kata ibu lagi, tumbuhan peliharaannya itu juga hidup, bernafas, seperti manusia. Ia turut perlukan perhatian, bukan sekadar penjagaan.
Malah sikap ibu yang satu ini turut jadi ikutan Sirin dahulu. Sirin sendiri suka berbual dengan bunga-bunga peliharaan ibu. Pernah sekali dia terdengar perbualan satu pihak antara Sirin dan bunga di sini. Kalau tak salah, pilihan Sirin ketika itu adalah rimbunan mawar kuning ibunya. Dah terlanjur terdengar, Azaim pun pasanglah telinga. Nak tahulah juga apa yang Sirin luahkan pada rimbunan mawar kuning di hadapannya, dengan penuh perasaan dan emosi.
Rupanya Sirin sedang mengadu tentangnya. Dia sendiri sudah lupa apakah ketidakpuasan hati Sirin waktu itu. Namun satu yang Azaim sedar, tiap kali Sirin marah atau radang dengannya, Sirin akan dapatkan mana-mana bunga di taman ini. Melainkan pagi tujuh tahun lalu. Marah serta rajuk dalam hati disimpan sahaja. Diusung bersama sehingga ke hari ini.
Azaim mengetap bibir, memaksa diri keluar daripada selubung kenangan. Semua itu sudah berlalu. Walau berjuta kali dia mengharap segalanya kembali pada malam tujuh tahun lalu, namun semua itu bukan dalam bidang kuasanya. Walau hati ingin sekali membetulkan kesilapan itu, demi kembalikan Sirinnya, tapi takdir tidak pada pihaknya. Namun jauh di sudut hati, Azaim tidak pernah jemu memanjatkan kesyukuran kepada yang Maha Tinggi. Sekurang-kurangnya dia ada peluang ini.
Azaim akan pastikan Sirinnya kembali kepadanya semula.
Azaim pandang Sirin, yang sengaja terus menumpukan perhatian pada persekitaran sebelah kanannya. Sebelah kiri tak kerling langsung. Maklumlah, dia sedang berdiri di situ.
“Sirin?” ucap Azaim mengakhiri kebisuan.
“Ada apa? Abang Im buat apa kat sini? Apa yang Abang Im nak?”
Soalan bertalu-talu daripada Sirin membuatkan Azaim terkebil seketika. Tidak sangka panggilan Sirin tadi mempunyai impak sebegini kepada gadis ini. Jelas ketidakpuasan Sirin menggebu dalam setiap soalan kerasnya itu. Soalan baling batu tak sembunyi tangan tu!
“Abang Im risau tengok Sirin. Tiba-tiba bawa diri ke sini. Adham dengan Afham masih usik Sirin?”
“Kami bukan budak lagi. Kami dah tinggalkan semua tu kat belakang. Saya kat sini sebab nak bersendirian, tapi tak tercapai pulak. Tetap ada gangguan. Punyalah luas Vila Fatih ni, tapi…” Sirin sengaja tidak menyudahkan kata. Hanya mengharap Azaim mengerti akan maksudnya. Dan dia yakin pemuda itu faham.
Azaim senyum kecil. Dapat menangkap sindiran Sirin yang memang berniat itu.
“Macam mana dengan majlis malam ni? Seronok?” tanya Azaim seraya melabuh punggung di sebelah Sirin. Kerusi panjang itu mampu memuatkan tiga orang, namun dia sengaja mencari peluang untuk membenarkan orang keempat duduk di situ. Saja-saja nak rapat-rapat dengan Sirin.
Sirin pamer muka tidak puas hati, memandang tangan Azaim yang berada di atas paha pemuda itu. Paha yang kini menyentuh pahanya sama. Kemudian matanya kembali ke muka Azaim. Berulang kali Sirin berbuat begitu. Nak kasi hint sikit kat awak tu yang awak tu dah overstep boundary. Namun usahanya tidak membuahkan sebarang hasil. Kedunguan Azaim membuatkan pemuda itu tidak mampu menangkap maksud yang mahu disampaikan. Tayang muka pintu kereta, buat dek. Itu aje!
Kureng! marah Sirin dalam hati seraya menjarak sedikit daripada Azaim. Tidak rela bersentuhan, sekalipun berlapik. Kerana hangat tubuh pemuda itu tetap tembus lapisan baju antara mereka. Tiba-tiba saja perut Sirin memulas tiga macam.
Bersama senyuman nakal mula terpasang, Azaim mengulang soalannya tadi. “Sirin tak jawab soalan Abang Im tadi. Abang Im tanya… macam mana dengan majlis malam ni? Seronok tak?”
Sirin angguk. “Dah lama tak jumpa semua. Banyak dah berubah rupanya.”
“Sirin yang larikan diri daripada semua ni.”
Sirin diam. Mengetap bibir cuma.
Azaim mula mengutuk diri sendiri. Dia tidak berada di sini untuk mengenang semula kisah silam, sebaliknya untuk mencipta kisah baru, yang bakal menjadi satu kenangan manis antara mereka. Bodoh! Bengap! Azaim memarahi dirinya.
Azaim berdeham kecil. “Hmm, Abang Im minta maaf. Abang Im tak sepatutnya cakap macam tu.”
Sirin membisu. Niatnya mahu terus-menerus begitu. Namun bila difikirkan ini adalah kali terakhir dia di sini, malah mungkin sahaja kali terakhir mereka duduk berbual-walau semenjak tadi mereka tidak berbual sebetulnya-begini, Sirin sudahnya mengalah pada kedegilan hatinya. Kewarasan akal mengajaknya untuk menjernihkan suasana, menghambat ketegangan yang cuba mengambil tempat. Biarlah perpisahan kali ini adalah dengan cara yang baik. Tanpa sengketa atau rasa hati. Itu yang Sirin mahu kenang di masa akan datang, ketika dia memulakan kehidupan lain di negara orang.
“Sudahlah, tak perlu cerita pasal benda dulu,” kata Sirin, akhirnya membuka mulut. Mengajar diri untuk memaniskan muka, menyedapkan bicara.
Kedengaran keluhan lega terhambur keluar dari kerongkong Azaim. Jelas sangat di pelupuk telinga Sirin.
“Sirin kata banyak yang dah berubah. Apa yang paling berubah, rasa-rasa Sirin?” Azaim berjaga-jaga mengatur kata. Dia perlu bijak menggunakan peluang ini. Ia tidak datang selalu, malah tidak juga datang bergolek. Kalau kali ini dia gagal, dia tahu maksudnya-gagal untuk selama-lamanya.
“Paling saya terkejut, Kak Adni. Tak sangka sangat hubungan Kak Adni dengan Abang Eman boleh jadi macam tu. Dan tak sangka, walaupun singkat, tapi dia bahagia dengan suami dia. Betul-betul bahagia.” Senyuman tipis meletus pada bibir Sirin tanpa sedar.
Azaim renung seketika Sirin yang sedang tersenyum manis. Tanpa sedar tentunya. Kalau sedar, mana adanya Sirin nak sedekahkan senyuman sebegini kepadanya. Sudah lama senyuman itu tidak jadi hadiahnya. Betapa dia rindu.
“Cinta sejati adalah cinta di mana kita tak pernah berharap dengan yang kita cintai namun berharap agar Dia reda dengan cinta itu.”
Ungkapan Azaim membuatkan Sirin terkaku. Senyumnya sama mati. Tidak sangka sama sekali bait kata yang ditutur kepada ibu-ibu saudaranya tadi akan meniti bibir Azaim. Ia bukan sesuatu yang pelik kerana kata-kata itu memang dia pinjam daripada Azaim. Bait kata yang pernah dihadiahkan Azaim untuknya, terakam kemas dalam kotak ingatannya. Kerana kata itu pemberian Abang Imnya. Tentulah Sirin ingat. Malahan, walau Azaim sekarang bukan lagi Abang Imnya, dia masih ingat semua itu.
Tapi… dia tidak pernah sangka Azaim akan ingati setiap patah kata itu. Sangkanya Azaim sudah lupa pada semua kisah itu.
“Sirin, kenapa?”
Soalan Azaim tidak mengembalikan Sirin ke taman bunga mini itu, sebaliknya kehangatan tangan pemuda itu, yang tiba-tiba mengaut tangan kirinya, menyedarkan. Bingkas Sirin menarik tangan.
“Apa ni?!” marah Sirin, melangsing suara.
“Abang Im minta maaf.” Azaim garu kepala. Hmm, nampaknya Sirin memang suka mendengar kata maaf keluar dari mulutnya. Kalau seumur hidup begini, ada baiknya dia rakamkan kata maafnya dalam kaset. Bila Sirin terasa nak dengar saja kata itu, boleh on.
“Sirin tak apa-apa ke? Sirin nampak semacam tadi. Kenapa?” Azaim bertanya cepat-cepat. Cuba mengelakkan diri daripada perlu re-play perkataan yang sama.
“Saya tak apa-apa. Okey.”
“Sure?” Azaim masih harapkan kepastian. Anggukan Sirin buat dia menjongket kedua-dua belah bahu kemudian bertanya, “Sirin ingat lagi kata-kata tadi?”
Sirin sedikit kaget. Namun gadis itu cepat-cepat gelengkan kepala. Kembali pada tayangan muka selamba miliknya, yang sering menemaninya semenjak dua hari di Vila Fatih.
“Oh…” Azaim meraup muka. Sebetulnya nak sembunyikan senyuman yang terpasang pada bibir, tanpa dapat dihalang.
Masakan tidak, Azaim tahu Sirin sedang berbohong kepadanya. Berpura-pura melupakan kisah lalu sedang segalanya kemas dalam ingatan gadis itu. Sirin tidak lupa pada ungkapan tadi. Dia yakin. Bibir Sirin boleh menipu, namun bukan wajah Sirin sebentar tadi. Sirin masih ingat lagi! Hehehe. Tak boleh lepaskan peluang kalau gini. Azaim sudahnya membawa tangan, dari muka terus ke rambut hadapan, dikuak. Seolah-olah memperkemas juntaian rambut hadapannya, yang tak ganggu pandangan pun.
“Saya nak tanya sesuatu, boleh?”
“Hmm, tanyalah…” Azaim melontarkan pandangan ke muka Sirin, yang sengaja mengelak daripada menentang mukanya.
“Pasal arwah pak long. Betul ke arwah pak long ada anak perempuan? Dah jumpa dia kat mana sekarang?”
Dahi Azaim berlapis. Tidak menyangka itu soalan yang akan keluar dari mulut Sirin. “How did you know about this?”
“Kenapa? Saya tak boleh tahu? Sebab saya bukan ahli keluarga ni? Bukan anak buah sebenar pak long? Macam tu?” serang Sirin terus. Tak fikir lanjut.
“Sirin… apa ni…? Abang Im cuma tanya…”
“Tak apalah. Biarkan. Abaikan aje soalan tu. Saya tak nak tahu apa-apa!” Keras intonasi yang dihantar, menutup rasa hati sebenar.
“Sirin…” panggil Azaim lembut. Tahu Sirin mula diacah perasaan geram. Bukan kepada dirinya. Tapi rasa itu adalah untuk diri gadis itu sendiri. Terlanjur bertanya punya hal.
“Dahlah, saya tak nak tahu apa-apa. Saya sepatutnya belajar daripada apa yang berlaku dulu. Tapi saya ni…” Senyuman hambar muncul.
“Cepat lupa. Lupa Sirin Hassan bukan ahli keluarga Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih. Lupa saya tak ada sangkut-paut dengan mereka atau keluarga mereka.” Sirin sebak kasar rambut hadapannya.
“Sirin cakap apa ni?!” bentak Azaim jadi kurang sabar. “Ini keluarga Sirin. Semua yang ada malam ni, yang datang beramai-ramai malam ni, adalah keluarga Sirin!”
“Ini bukan keluarga saya! Abang Im dah pastikannya sejak hari tu. Tak payah berlakon lagi. Saya dah faham! Terlebih faham!”
Keluhan kasar terluah dari ruang dada Azaim. “Sirin, yang dulu tu… satu kesilapan. Abang Im tak rasa benda tu salah waktu tu. Tapi sekarang, Abang Im jelas sangat apa yang Abang Im buat tu salah, silap. Tak boleh ke kalau Sirin lupa semua tu? Tak mampu ke Sirin maafkan Abang Im?”
“Saya tak mintak apa pun. Hanya minta layanan seperti seorang adik. Tak k lebih daripada tu. Bukan layanan tuan puteri atau sebagaimana Abang Im layan Sal.”
“Sal?” Azaim blur. Macam mana Salmiha boleh masuk dalam perbincangan-atau perdebatan-mereka ini?
“Ya, Sal. Salmiha. Tak ingat? Yang Abang Im usung sejak tadi. Bakal isteri Abang Im tu!” Sirin berpeluk tubuh, sudah mengalih tubuh agar menentang Azaim.
Azaim tambah tidak faham dengan arus perdebatan mereka. Mula-mula nama Salmiha dikaitkan dengan cara dia melayan Sirin dan kini kisah Salmiha bakal menjadi isterinya. Wah, satu khabar baru, yang dia sendiri tidak pernah tahu. Hmm, bunyi macam menarik. Apa kata kita dengar keseluruhan cerita?
“Sal… bakal isteri Abang Im?” Azaim menjongket sebelah kening.
Sirin mula geram. Nak berlakon konon! Sudah tergaru bertanya pula! Miang! Tak payahlah tayang muka takjub ala I-tak-tahu-pun! Ni, I dah tahu segala.
“Tak payah berahsia lagi. Semua dah tahu sejauh mana hubungan Abang Im dengan Sal tu. Abang Im kata ni majlis keluarga, tapi Sal kat sini. Apa yang Sal buat kat sini kalau bukan sebagai keluarga atau lebih tepat, bakal jadi keluarga. Bakal isteri, bakal keluargalah, kan…?” Sirin mengangkat kedua-dua belah kening. Payback time konon!
“Syam and Kasyah are also here. Are they also my would be wife? The second and the third?” Azaim senyum kecil. Lucu dengan logik Sirin dalam mengintepretasikan hubungannya dengan Salmiha. Dalam masa yang sama lucu lihat perubahan wajah Sirin mendengar soalannya tentang Syamsul dan Kasyah.
“Don’t throw logic at me! Yang penting, saya tahu siapa Sal dalam hidup Abang Im dan yang paling penting, saya tak pernah minta Abang Im layan saya macam tu. Sikit pun tak pernah!”
Ah, now we’re back to the topic! Ufh, orang perempuan ni… Pelik. Mula-mula satu topik, kemudian tiba-tiba aje masuk topik kedua, lepas tu boleh pulak U-turn pada topik yang mula tadi. Pening kepala aku. Seumur hidup pun, tak adanya dapat faham perempuan!
“Abang Im tak faham apa yang Sirin nak sebetulnya,” ujar Azaim, berterus terang.
“Saya nak dilayan macam adik. Itu yang saya nak!” bentak Sirin mula berang dengan sikap acuh tak acuh Azaim. Dia sedang berperang dengan perasaannya ketika ini, Azaim pula boleh bersikap endah tak endah?
“Abang Im tak boleh. Abang Im tak boleh layan Sirin macam adik. Abang Im tak mampu…” ucap Azaim lembut. Lebih kepada nada memujuk. Tidak mahu marah di hati Sirin marak. Bukan itu caranya untuk mendapatkan Sirinnya semula.
Sirin diam. Agak lama. Akhirnya dia menggeleng kecil. “Tengoklah, saya masih tak berubah. Lepas tujuh tahun, saya masih nakkan benda yang sama. Saya tahu Abang Im tak boleh anggap saya sebagai seorang adik, tak mampu layan saya sebagai adik… tapi masih harapkannya. Saya patut ingat, saya dibuang dari sini dulu pun sebab Abang Im tak nakkan adik. Saya tak patut lupa…”
“Sirin…”
“Cukup!” potong Sirin sebelum Azaim meneruskan. Bosan mendengar atur maaf serta sesal daripada pemuda itu. “Saya tak nak cakap pasal ni. Tak payah layan saya macam adik. Tak perlu! Cukuplah sebagai tetamu di sini. Sampai masa, biar semuanya sudah dengan baik. Saya akan balik ke UK semula nanti dan harapan saya hanya satu. Kita berpisah secara baik, tak ada sengketa. Itu aje.”
Sirin bingkas daripada duduknya. “Saya tak nak dicampak keluar dari sini sekali lagi. Tak sanggup! Biar saya keluar secara elok. Biar akhir semua ni secara aman. Tak perlu anggap saya sebagai adik, tapi hanya selaku tetamu, yang akan pergi bila sampai waktunya. Saya masuk dulu. Penat!”
Sirin terus berlalu. Tidak menoleh ke belakang untuk melihat reaksi Azaim. Namun kebisuan Azaim, yang tidak menghalang langkah kakinya, mencetuskan perasaan pedih dalam hati. Bukan apa yang pernah dirasainya sebelum ini. Berbeza. Terlalu aneh. Terlalu baru.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 28, 2013 00:12

Sayang Dia Suam-Suam [Bab 15]

March 17, 2013

.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 14] :.

MASIH di atas kerusi, hampir dengan kolam renang sederhana besar di belakang halaman luas Vila Fatih, Salmiha pandang ke persekitaran majlis malam itu. Majlis khas untuk keluarga Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih, menyambut kepulangan anak angkat arwah kononnya, yang sudah lima tahun tidak pulang ke tanah air. Majlis khas yang disediakan hanya untuk keluarga sebetulnya. Namun, dia yang bukannya keluarga, turut sama.Semuanya kerana papa. Papa yang mahu dia berada di sini. Papa yang menggesa Azaim agar dia ada sama dalam majlis ini. Papa berjaya pastikannya, namun papa tidak pula menjemput diri papa sendiri kerana papa tahu sampai mana had Azaim dalam menerima gesaan. Tapi papa tidak kisah walaupun papa tidak dapat bersama dalam majlis ini. Kerana papa sudah berjaya tunjukkan apa yang papa mahu kepada jemputan malam ini.
Dia, Siti Salmiha Ahmad Burhan, sudah berada dalam jemputan majlis keluarga Azaim. Makna yang mahu disampaikan ke mata atau telinga telah sampai. Dia, Siti Salmiha Ahmad Burhan, bakal menjadi ahli keluarga itu. Walau tiada sahih dari bibir Azaim, namun spekulasi sudah ada. Itulah harapan papa dan memang lelaki itu berjaya. Sudah ada bunyi-bunyi sok-sek kedengaran berleluasa.
Cumanya, Salmiha yang tak berjaya melekat dengan Azaim sebagaimana papa hendakkan. Azaim menghilang sebaik tinggalkan dia di sini bersama makanan dan minuman.
“Kena tinggal?”
Soalan daripada empunya tubuh yang tiba-tiba terhenyak di sebelahnya buat Salmiha segera berpaling. Sepantas itu juga ada sesal menghimpun. Kalau tahu, tak adanya dia nak baik hati tengok. Sebab dia bencikan wajah ini. Teramat! Dia tidak pernah boleh membenci sesiapa atau memandang rendah pekerjaan seseorang kerana mama tidak mengajar dia untuk jadi manusia sebegitu. Namun, dengan pemuda di sampingnya ini, dia lebih daripada sedia boleh dan mampu lakukannya.
“Huh! None of your business, secretary-guy!” Salmiha berpeluk tubuh, membawa wajah jauh dari paras kacak yang nampak lebih cantik di matanya.
Ya, bagi Salmiha lelaki ini terlalu cantik untuk digelar lelaki, malah pekerjaannya sendiri, sebagai setiausaha, tidak juga menunjukkan kelakiannya. Dengan rambut hitam yang ikal bawahnya, menyentuh kolar kemeja ropol-ropol pada tubuh itu, kulit putih bersih tanpa cela, kening bagai dipantis, hujung mata sedikit menjongket, anak mata dua warna berbeza, hidung kecil yang mancung terletak, bibir merah yang basah serta tahi lalat pada bawah bibir kiri—sesungguhnya lelaki ini kalau dipakaikan baju kurung memang ramai akan jangka dia perempuan. Begitulah nampaknya Ukasyah di mata Salmiha semenjak kali pertama bertemu pandang dua tahun lalu, selepas jeritan batinku. Sesudah melewati terkejut seram melihat dua anak mata berbeza warna sedang merenungnya.
Tawa daripada pemuda itu kedengaran. Teratur, perlahan dan sinis. Itulah yang menyapa telinga Salmiha. Seolah-olahnya memang sengaja aturan sebegitu dihantar untuk kupingnya. Marak mendatang. Hati jadi hangat dua macam. Terus saja Salmiha menoleh kepala, ke arah yang dilarikan seketika tadi. Matanya tepat ke mata yang sama ketawa itu. Tajam dan garang dia balas pandang.
“I memang sekretari pun. Tak boleh buat apa…” Masih senyum, badan yang sekejap tadi sengaja disengetkan jauh dari tubuh di sebelah, menyentuh belakang kerusi ringkas yang jadi letak punggungnya.
Elok saja Ukasyah begitu, Salmiha di sebelah tiba-tiba sahaja mengeras satu macam. Bukan main tegak belakang tubuh itu. Letak pembaris, sah boleh berdiri elok pembaris itu. Sama lurus.
“Dan you… You memang tak akan dapat Im walau apa pun papa you buat,” sambung Ukasyah sinis. Tangan pula dipanjangkan ke atas kerusi Salmiha.
Senyum sakan Ukasyah dengan reaksi dua kali terkejut Salmiha. Sebab kutukan langsungnya dan sebab gatal tangannya.
“Shut…” Tergagap seketika Salmiha. “Shut up! You tak ada hak nak cakap apa. Im tu bos you. Panggil dia Tuan Azaim. Tuan… Azaim!” Terteran-teran Salmiha menutur.
Entah mengapa, dengan Ukasyah suis marah Salmiha lebih cepat ditekan banding siapa saja. Sedang dengan Badlee yang selalu saja mencari pasal dengannya itu, Salmiha masih boleh kekang marahnya. Tak adalah lebih separuh temperature. Tapi kalau dengan Ukasyah, tembus daripada temperature tertinggi. Terhangat dalam hati!
“Tuan Azaim… Im…” Dia angkat bahu, tak ada hal. “Poinnya, you tak akan jadi Puan Salmiha Fatih Sdn Bhd, Sal…” Ukasyah kerdip mata.
Salmiha renung tajam dua anak mata berlainan warna itu. Satu kehijauan dan satu kebiruan. Penyakit. Heterochromia iridium. Penyakit yang sepatutnya buat Ukasyah nampak cela sedikit, sebaliknya membuatkan lelaki itu lebih indah di matanya. Wajah cantik yang jadi lebih mahal kerana anak mata kehijauan dan kebiruan itu. Sungguh tidak adil kerana lelaki ini dilahirkan sempurna semua pada mata kasar.
“Apa masalah you kalau I jadi Puan Salmiha Fatih Sdn Bhd? You takut perlu tunduk hormat kepada I nanti? Takut I guna kuasa secretary-guy you jugak nanti? Bakat perempuan! Tak sempurna sebagai lelaki!”
“Stop fencing about my masculinity, my sourheart. I do look feminine, my work is a woman’s job, usually. And I do like frilly clothes…” Ukasyah angkat hujung tangan baju yang agak beropol, sebagaimana pada bahagian dadanya yang terbuka dua butang baju atas kemeja. “Tapi, sudah-sudahlah kata I cantik macam perempuan. Sebab I tak pernah tolak kenyataan tu. I memang cantik macam perempuan, malah kadang I lebih cantik daripada perempuan.”
Ucapan selamba Ukasyah itu buat Salmiha kerut muka. Dia tak tahulah bagaimana Ukasyah lakukannya. Aku cakap kau bukan lelaki kut. Dalam ayat kurang menyayat, aku panggil kau pondan kut. Tapi, Ukasyah… Entah tebal manalah kulitnya. Lelaki ini, walaupun sudah dua tahun dia menyerang kelakian Ukasyah yang tidak pernah menyerlah, Ukasyah tak pernah naik angin. Lagi dia kata, lebih dia kutuk, lagi dan lebih Ukasyah tenang menerima.
Ukasyah selamba begitu juga dan Salmiha hangat hati selalu saja. Sudahnya, Salmiha yang nampak buruk muka sedang Ukasyah maintain cantik ceria. Adoyai!
“Dan I rasa I lebih cantik daripada perempuan macam you!”
Ayat sambung selambak tanpa riak berdosa itu membuntangkan mata Salmiha. Sungguh tidak menyangka akan terima ia. Dush, dush, gedegush punya kes dah ni!
“Why you…!” Spontan Salmiha capai apa yang ada di atas pahanya. Dia langsung tak perasan apakah yang dia guna untuk serang Ukasyah waktu ini, terus diarah ke muka yang kononnya cantik daripada dia itu.
Apa yang ada di tangan kanan Salmiha laju mengarah dan selaju itu juga Ukasyah terkejut sekali gus sedar. Cepat-cepat kedua-dua tangan kanan dan kiri Ukasyah saling melekap pada objek yang sedang meluru ke mukanya. Pemegang objek itu ditekap kanan dan kiri telapak tangan Ukasyah. Utuh dan ketat.
Ukasyah kelip mata tengok objek itu.
Salmiha kebil mata sedar objek itu.
Garpu!
Ukasyah rentap kasar garpu dari tangan Salmiha, sampaikan separuh tubuh gadis genit itu terkehadapan, ke arahnya. Masih kasar, dia main cengkam bahu Salmiha yang terdedah.
Hari ini, malam ini, pakaian Salmiha bukan seperti yang biasa-biasa Ukasyah tengok. Salmiha melaram sakan. Seksi sangat. Dengan kebaya moden pendek daripada lace, tangan kiri ditutup penuh dengan jahitan manik-manik dari atas bahu ke lengan, sarat. Bahu kiri dan lengan kiri, terbuka dan terdedah seluasnya untuk siapa saja melihat. Menampakkan mulus dan bersihnya kulit putih gebu Salmiha untuk mana-mana mata sahaja. Kebaya moden pendek warna kuning keemasan itu melekap elok pada setiap lekuk tubuh genit Salmiha. Kena pada tempatnya. Kainnya pula mengikut sakan bentuk pinggul dan sepasang kaki itu, membuatkan langkah Salmiha perlu kecil-kecil sahaja.
Masalahnya, itu semua langsung tak menggoda rasa-rasa kelakian Ukasyah—yang dia ada! Rasa-rasa yang menjunam tinggi dalam hatinya saat ini hanyalah marah merebak!
“Never…” marah Ukasyah terketap-ketap dengan tulang pipi bergerak-gerak.
Mata yang sedia kebil, jadi tambah-tambah berkebil. Sekejap ada, sekejap tak ada Salmiha nampak Ukasyah yang masih kuat genggam bahu tak beralasnya. Menyentuh terus kulit bahunya. Salmiha sangat tak selesa dengan hal itu. Sebagaimana tidak selesanya dia dengan pakaian pilihan papa untuknya malam ini.
Sungguh, Salmiha tak pernah lihat Ukasyah semarah ini. Marah yang menyerlahkan bahagian keras dan jantan Ukasyah sebagai lelaki. Selayaknya. Kalau sebelum ini, pelbagai cara dan cakap Salmiha hantarkan, demi buat Ukasyah marah, tak pernah Ukasyah tergelincir daripada persona tenang lagi santai sepanjang zamannya itu. Tapi kali ini, tanpa niat atau hendak, Salmiha berjaya lihat bahagian tegang Uksyah. Ukasyah sedang naik marah kepadanya kerana…
Garpu?
Rasa nak ting-tong pula apabila itu kenyataannya. Ukasyah tunjuk radang sebab garpu!
Tapi agak-agaklah kan… Kassim Selamat hilang mata pun sebab garpu. Mana tak marahnya. Takkan nak rasmikan Ukasyah sebagai Ukasyah Selamat kut!
“Never, ever,” ucap Ukasyah masih tegang dan keras, menyedarkan Salmiha daripada pelabuhan Ukasyah Selamat tak jadi.
“My face!”
Terkelip-kelip mata Salmiha hendak memahami. Muka dia?
“You boleh lukakan I kat mana pun. Termasuk sini,” ucap Ukasyah penuh perasaan, alih tangannya dari bahu itu, ke dada sendiri.
“Tapi… bukan sini…” Jari telunjuk terpusing-pusing pada raut sendiri.
“Ni harta I yang paling mahal tau…” kata Ukasyah selamba sentak bahu terdedah Salmiha sedikit ke belakang.
Tanpa hiraukan Salmiha yang sudah kebil mulut sekali gus mata, Ukasyah capai keluar sebuah cermin kecil dari poket hadapan seluar sleknya, membelek-belek muka yang mahal harganya itu. Setiap sudut diamati teliti.
Salmiha sedar diri, akhirnya. Dia buat muka dengan apa yang dikata Ukasyah serta komen Ukasyah. Lebih tak sangka tengok cermin kecil Hello Kitty di tangan lelaki itu, yang masih dengan pose kiri kanan atas bawah tengok muka sendiri. Ah, ada sindrom Dorian Gray ke apa makhluk entah apa jantina ini!
“Argh, you’re impossible, secretary-guy!” Kegeraman, Salmiha angkat kedua-dua tangan dan kepal-kepal. Sungguh siot!
Bingkas Salmiha bangun. Masih sukar hendak mendefinisikan geram dan rasa-rasa yang mengacah hati, cuba monopoli diri dengan sikap Ukasyah tadi. Marahnya bukan kerana garpu, tapi kerana wajah cantik itu harta paling mahalnya. Tak boleh dicela, tak dapat dicacat. Namun, kebingkasan Salmiha hendak cepat-cepat lari daripada ujian, sebelum Ukasyah jadi Ukasyah Selamat, gagal apabila Salmiha terpijak kain hadapan baju kebaya modennya. Tergadah ke hadapan dengan kedua-dua tangan tergapai-gapai hendak imbang tubuh genitnya.
Sebab, satu, di kirinya adalah kolam renang sederhana besar. Dan, dua, di kanannya pula meja panjang dengan hidangan majlis yang sudah berkurangan. Ke kiri basah, ke kanan kotor. Ke kiri air, ke kanan pelbagai sisa masakan dan minuman. Jadi, Salmiha cuba-cuba imbang badan sambil fikir-fikir, hala mana dia rela sembah kerana aksi gapai-gapainya sangat menjelaskan, dia perlu buat pilihan. Memikirkan dia lebih rela basah daripada mengotorkan pakaian cantik daripada papa ini (bimbangkan bunyi-bunyi sumbang yang akan dia dengar), Salmiha imbang badan lebih-lebih ke kiri.
Rela jatuh ke dalam kolam renang itu daripada kolam kuah makan minum.
Rupanya, Salmiha saja yang rela sedang ada pihak lain tidak tega.
Terkelip-kelip mata Salmiha apabila badannya sudah separuh menyenget ke arah kolam renang, namun dia tidak jatuh-jatuh juga. Macamnya ada kuasa magis menahan senget badannya itu.
Kemudian baru dia perasan pada dua sentuhan. Tangan kanan yang kosong dan tangan kiri ada cermin yang terpatah apabila tangan menyentuh…
Dadanya!
Tangan kanan dan tangan kiri itu, tukang selamat yang memanglah akan jadi Ukasyah Selamat, menampung dia daripada jatuh ke dalam kolam renang dengan telapak tangan melekap pada…
“Aaa!!!” Salmiha jerit tak ingat sambil tak agak-agak tolak-tolak dan tampar-tampar kuat tangan kanan dan tangan kiri Ukasyah pada… tet!
“What the…!” Ukasyah sudah huyung-hayang apabila dipukul-pukul macam dia pencabul dan bukan penyelamat. Dia nak pastikan Salmiha tidak basah lencun ke dalam kolam renang kut. Ni apa hal pulak main tampar-tampar, jerit-jerit?
“Unhand me, you scoundrel, molester!” jerit Salmiha. Kali ini tak kisah-kisah balun orang belakangnya dengan siku kiri dan kanan. Biar senak Ukasyah. Dan bunyi “Urgh!” yang dia dengar setiap kali dia hentak Ukasyah jadi satu bentuk kepuasan kepadanya.
Namun, Ukasyah tak melepas tangan. Masih terayun ke kiri kanan cuba imbang badan mereka berdua.
“Lepaskan I, sengal! Lepaslah, bengong punya jant… perempuan!” Masih Salmiha memukul, menampar dan menyiku mana sempat sambil terus meronta hendak dilepaskan.
“Perempuan! You panggil perempuan ya, perempuan! Fine!” Ukasyah lepas tangan malah saja pula menyenget lebih-lebih ke arah kolam.
Nak sangat mandi kolam dengan kebaya bagai kan, biar yang dilepas terlepas ke situ!
Dan memang elok Salmiha jatuh ke dalam kolam, terkapai-kapai dalam kalut angkat diri dari situ. Mujur sangatlah dia pandai berenang, kalau tak mahunya kedang di dalam kolam dengan kebaya cantik ini. Elok angkat muka saja, yang masih dialiri air, terus Salmiha buka mulut menjerit, “You! Mampus you nanti I kerjakan!”
Ukasyah yang berdiri di tepi kolam, sangat terkejut, kebil mata sekali gus muka, terus renung Salmiha yang nampak agak menggoda apabila wajah itu dialiri air yang menitis jatuh. Sampailah suara garang radang tak ingat Salmiha menyapa kuping. Bukan saja marah dia, tapi sudah mula sumpah dia. Ukasyah tayang gigi sekejap lalu ketawa sakan.
Salmiha hanya berhenti mencarut apabila kawasan kolam renang diisi orang lain. Tidak lagi dia dan Ukasyah saja.
Tapi Ukasyah, haram berhenti. Makin huhahuha dia gelakkan Salmiha yang memberi dia pandangan marah sambil menggigil tubuh. Kasihan melihat Salmiha mula begitu, Ukasyah sucikan niat, murnikan hati dengan bertenggek dari tempatnya. Ukasyah hulur tangan untuk membantu Salmiha keluar.
Menggigil-gigil, Ukasyah lihat gadis itu perlahan-lahan berenang menghampiri. Timbul rasa bersalah pula di hati Ukasyah. Tambah apabila bibir yang basah gincu merah jambu itu terketar-ketar tak henti. Ukasyah unjuk badan ke depan sedikit supaya dia boleh cepat capai unjukan tangan kanan Salmiha. Tangan kiri Salmiha pula menutup bahagian dada yang lebih-lebih terlekat pada tubuh itu. Elok saja capai jemari tangan kecil halus itu, Ukasyah genggam dan hendak menarik Salmiha ke atas.
Tapi, Ukasyah jadi Ukasyah tertipu, sepupu Tipah. Tubuhnya yang menyenget dengan niat suci dan murni hati, disentak.
Tanpa sempat imbang, Ukasyah pun jadi tubuh kedua di dalam kolam renang itu. Geram kerana jadi Ukasyah tertipu, tambah geram apabila dengar tawa suka tanpa duka Salmiha, tanpa ketar atau gigil, kerana berjaya kenakan dia, Ukasyah meluru ke arah gadis itu demi membalas dendam. Hutang darah dibayar dengan darah, hutang air dibayar dengan junam Salmiha ke dalam air.
Lalu bermulalah adegan junam-menjunam tanpa kompromi atau belas kasihan. Gaduh kalah budak kecil jadinya Ukasyah dan Salmiha di dalam kolam. Sampailah…
“Ni budak umur berapa ni?”
Ujaran itu menghentikan Ukasyah dan Salmiha yang sedang saling tolak muka. Kau tonyoh muka aku ke sana, aku tenyeh muka kau ke sini punya kes. Dalam aksi begitu, kepala mereka telengkan dan terus nampak tubuh lampai Syamsul yang santai dengan jean lusuh serta stripe knitted shirt.
Spontan Ukasyah dan Salmiha saling lepas muka kau aku, sesudah saling tolak muka kau aku lebih dulu. Salmiha mula memikir kesopanan dan Ukasyah mula menjaga kesantunan. “Sampai bila nak berenang dengan baju cantik seksi gitu? Out, both of you!” tegas Syamsul sambil gedik-gedikkan jari telunjuk. Signal keluar sekarang!
Sempat saling balas pandang, kalau boleh nak gaduh terus, akhirnya Salmiha dan Ukasyah bergerak menghampiri tempat berdirinya Syamsul, memandang rendah kepada mereka. Tanpa dijangka, Salmiha hulur tangan kanan, mahu dibantu dan Ukasyah tunjuk tangan kiri, hendak ditolong. Serentak.
Terus Ukasyah dan Salmiha saling tengok, tajam, garang. Dan sama-sama…
Serentak Ukasyah dan Salmiha goyang-goyang tangan yang mereka panjangkan kepada Syamsul.
Syamsul mengeluh kecil. Mengalah dan beralah dengan dua budak besar perasan kecil ini. Malas hendak komen lebih kerana bimbangkan kedua-duanya, terus dia menunduk tubuh sedikit, unjuk kedua-dua tangan, dipanjangkan, mencapai tangan-tangan yang tersua itu.
Dan… tubuh ketiga pun masuklah kolam…
Ukasyah dan Salmiha ketawa seronok dapat rendahkan yang memandang rendah mereka tadi. Sampailah ada makhluk lampai satu lagi memandang rendah mereka berdua semula.
Azaim pandang Ukasyah dan Salmiha silih ganti. Menunjuk betapa kesal dan sesalnya dia kepada mereka. “Dah sudah?”
Bagai pesalah, Ukasyah dan Salmiha tunduk muka, anguk-angguk.
Sementara Syamsul baru hendak hilang kejut bahana diterbangkan tiba-tiba.
Isi-isi lain yang jadi penonton senyum-senyum dan ketawa-ketawa dengan aksi anak-anak bujang itu—selepas habis peranjat tidak percaya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 17, 2013 08:19

.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 13] :.

“RIN!”
Pekikan kuat itu membuatkan langkah kaki Sirin makin cepat. Jeritan yang kian berlagu, daripada dua suara yang hampir serupa itu tidak mematahkan semangat Sirin untuk terus mengorak kaki bak orang pekak. Sengaja buat tak peduli walaupun Adham dan Afham tidak mengalah dalam menagih perhatiannya.Semenjak majlis bermula lagi Sirin sengaja mengelakkan diri daripada bertembung muka dengan kedua adik-beradik itu--selain Azaim sendiri. Dia tidak mahu menjadi mangsa buli Adham dan Afham lagi. Namun keinginan hatinya, yang semenjak tadi mampu direalisasikan, akhirnya kecundang juga. Tuhan tidak mengizinkan dia untuk terus main kejar-kejar dengan kedua-dua pemuda itu. Sebaliknya mahu dia bertemu mata dengan mereka dan melunaskan hutang-piutang yang masih berbaki.
“Ada apa ni, Adham, Afham?” Sirin akhirnya bersuara.
Langkah Sirin sudah mati apabila Adham dan Afham sama-sama berdiri di hadapannya, menghadang jalannya. Siap pegang tangan masing-masing dan didepa penuh semangat. Tidak membenarkan dia terus-terusan melarikan diri. Dah gaya zaman mereka budak dulu pula. Cuma dulu tu, tak benarkan Sirin pergi sebab hendak mulakan adegan buli. Sekarang...?
“Sirin, janganlah mengelak daripada kami lagi. Kami tahu kau masih marahkan kami,” ucap Adham turunkan tangan lalu tayang muka kebajikan. Adiknya turut mengikut gerak lakunya.
Senyum kecil hampir terpasang apabila Sirin lihat raut wajah kembar tidak seiras di hadapannya itu. Cepat-cepat dia mengulum ia. Tidak mahu Adham dan Afham tahu betapa lucunya wajah mereka ketika ini. Dia mahu jelas akan tujuan mereka dahulu. Bukan main hambat lagi tadi...
“Sebenarnya… kami nak mintak maaf kat kau,” kata Adham. Terus pada tujuan yang satu, sejak mata mula menangkap tubuh lampai Sirin.
Mereka mahu minta maaf? Ia ke? Macam tak boleh nak percaya saja. Nak kenakan dia lagi? Mungkin juga! Hmm, rasanya yang kedua. Sirin menyimpulkan sendiri.
“Rin, janganlah diam macam ni. Cakaplah sesuatu,” pinta Afham apabila gadis itu hanya terpaku melihat mereka adik-beradik. Kaku memeluk tubuh. Dia kerling tengok abang kembarnya sekilas.
“Cakap sesuatu?” Sirin tersenyum sudahnya. Tapi sarat sinis.
“Kalau kita ni kawan baik sejak kecil dulu mungkin aku boleh cakap sesuatu. Bukan sesuatu aje, lebih daripada satu pun boleh!” Dihadiahkan jelingan paling tajam.
Adham dan Afham sama-sama garu kepala. Serentak pula tu! Nak sangat tawa Sirin tersembur, namun dikawal. Tidak mahu patahkan lakonan pertamanya.
Sirin tidak pernah bermusuh dengan Adham dan Afham. Apatah lagi membenci dua lelaki itu. Tidak mampu rasanya. Kerana selama dia sendirian di asrama penuh dan di UK, Adham dan Afham sering mengacah kotak fikirannya. Memang mereka berdua kaki usik. Kuat menyakatnya, sampaikan dia pernah menangis. Namun kala bersendirian, gelagat merekalah yang sering mengusik hati. Ada ketikanya, mengundang tawa tanpa dia mahu.
Terutama sekali apabila kenangkan mimik muka Adham dan Afham ketika dimarahi oleh Azaim kerana mengejeknya. Azaim tak pernah beri peluang itu kepada dua beradik tersebut.
Argh, kenapa lagi-lagi jejaka itu juga yang diingatinya? Sudah! Buang dia dan nama dia jauh-jauh daripada ingatan kau. Kalau tak mampu sekalipun, simpan saja dalam peti kenangan, tutup rapat-rapat, kunci ketat-ketat. Itulah tempat yang layak. Ya, hanya di situ.
“Rin…” kata Adham dan Afham serentak.
Kali ini Sirin sudah tidak mampu teruskan bakat lakonan yang memang dia tidak pernah ada selama ini. Tanpa pedulikan lirih suara Adham dan Afham, yang seiring dan sejalan, atau sekitarnya, dia ketawa kuat. Semahunya.
Adham dan Afham saling terpinga. Kena sampuk ke minah ni? Soalan yang sama berlegar dalam minda mereka, dengan muka takjub.
“Rin?” Adham menyentuh bahu Sirin, walaupun mulanya teragak-agak. Main tunjal-tunjal gaya takut kena sampuk. Tujuannya hanya untuk sedarkan gadis itu daripada ketawa gahnya. Tak ingat orang sebelah-menyebelah tu!
“Adham, Afham… sudahlah! Jangan tayang muka welfare gitu lagi. Please! Kau orang buat aku rasa nak gelak lagi. Dan… tolong jangan buat atau cakap benda yang sama, serentak. Aku tau kau orang kembar, tapi takkan semuanya kena sama? Geli tali pusat aku!” Sirin sempat bersuara sebelum tawanya bernada semula. Ada kawalan kini. Sudah tahu ingat orang sebelah-menyebelah.
Sirin tengok Adham dan Afham. Kembar berbeza rupa. Adham ada rupa mak su sedang Afham lebih kepada rupa pak su. Adham kacaknya jambu air, sedang Afham kacaknya jambu batu. Walaupun kembar, penampilan Adham dan Afham tak sama langsung. Adham orangnya banyak mulut banding Afham. Kecil dulu, memang Afham kaki turut apa saja abangnya cakap. Adham adalah idola si adik itu.
“Jadi, kau dah maafkan kami? Dah tak marahkan kami?” soal Adham tidak sabar. Wajah yang tadinya sugul berubah ceria.
Nasib baik tak sama-sama cakap. Kalau tak, mahu pecah usus perut aku. Hehehe! Sirin tayang gigi sendirian. Direnung wajah Adham yang comel dan naif sekali nampaknya. Sejak dulu, sampai kini, masih babyface. Tapi budak muka bayi inilah yang paling nakal dan mengetuai segala rencana mengenakan orang dan menyakat dia. Taiko muka baik punya!
“Aku dah lama maafkan kau orang. Rasa marah pun tak ada. Benda lama, aku tak simpan apa-apa pun,” ujar Sirin melihat antara Adham dengan Afham.
“Tapi, kenapa kau asyik larikan diri daripada kami? Dari tadi kami cari peluang nak bercakap dengan kau, tapi kau duk mengelak aje. Tiba-tiba melekat dengan mak lang, mak teh, mama. Kami dah patah semangat dah. Ingatkan dia orang tak akan lepaskan kau. Tapi, tak sangka pulak…” Masih Adham bersuara.
Sirin menjongket bahu. “Memang pun. Aku saja aje elakkan diri daripada kau orang. Dah naik cuak dah kena sakat dengan kau orang tu. Tu pasal asyik mengelak. Tak sangka pulak niat kau orang suci murni. Kalau aku tau, aku tak elakkan diri gitu.”
“Kami tau kami bersalah kat kau dulu, Rin. Kami minta maaf,” harap Adham penuh syahdu.
Sirin betul-betul hendak ketawa. Tak sesuai betul tengok Adham dalam mood syahdu. Lari tema rasanya. Namun, apabila lihat keikhlasan yang terpancar pada raut muka dua beradik ini, dikawal baik keinginannya untuk gelak kuat. Mujur sangat, berjaya.
“Dahlah, kita kosong-kosong. Tapi aku nak kau orang tengok kulit aku dengan jelas. Masih tak berubah. Gelap macam kau orang cakap dulu jugak. Nak ke kau orang kawan dengan aku?” Sirin sengaja menggiat. Rasa dua macam apabila suasana syahdu-syahdan mengulit.
“Rin, dahlah tu. Kami betul-betul harapkan kemaafan kau, tak akan ulang semula benda lepas. Lagipun… kau manis macam ni, sesuai macam ni. Menarik. Kan, bro?”
Adham beria-ia mengangguk. “Kalau aku tahu kau akan membesar jadi gadis semanis ini, tak adanya aku nak sakat kau dulu. Aku akan jaga hati kau baik-baik. Untung-untung dah boleh jadi awek aku sekarang.” Dia tunjuk gigi.
Sirin mencebik kepada Adham yang menyeringai nakal.
Afham pula senyum bukan main lebar.
“Sebenarnya, Rin, lepas kau masuk asrama penuh, kami jadi bosan sangat. Boring! Datang sini, dah tak ada kau, dah tak boleh usik dan kacau. Masa kau ada, kami tak pernah sunyi kat sini. Tapi lepas kau tak ada, Vila Fatih dah tak sama. Membosankan!” luah Adham tiba-tiba.
Afham mengiakan. “Betul. Kami rindu kau sangat, Rin. Ingat lepas kau habis SPM boleh jumpa semula kat sini, tapi tiba-tiba aje kau hilang lagi. Kali ini lagi jauh kau pergi. Diam tak bagi tahu kat mana. Bukan kami tak ada ke UK. Niat nak melawat kau asyik tak lepas sebab Abang Im jahit mulut memanjang. Kesimpulannya, kami rindukan kau tau…”
Kata-kata Adham dan Afham yang lahir daripada perasaan mereka benar-benar menyentuh hati Sirin. Sangkanya pemergiannya tidak pernah diiring kerinduan. Malah, dia pernah anggap, ada ataupun tiadanya dia di Vila Fatih tidak akan memberi apa-apa kesan kepada penghuninya. Siapa dia untuk diingat dan dirindu?
Tapi Sirin sedar kini, dia salah selama ini. Pertemuan dengan ‘keluarganya’ hari ini telah menjelaskan semua itu. Penerimaan Adham dan Afham pula, yang sarat dengan penyesalan serta kerinduan menunjukkan dia sekali lagi mempunyai tanggapan yang salah. Sirin cuba tahan hatinya. Tidak mahu terlalu terbawa dengan perasaan sebak yang cuba berbisik di situ. Dia tidak boleh turuti perasaannya. Bimbang perpisahan kali ini, buat selama-lamanya, akan terasa lebih sukar bila tiba waktu.
Tak boleh begitu! Dia perlu kuat!
Tambahan pula Adham dan Afham tidak pernah tahu akan apa yang berlaku di sini sehinggakan dia berada di sekolah berasrama penuh. Malah Sirin yakin, selain ibu-ibu saudaranya, ahli keluarga Azaim yang lain tidak tahu-menahu. Dan lebih baik jika mereka terus tidak tahu. Lagipun, dia sendiri tidak tahu kata yang bagaimana perlu diatur untuk menyatakan semua itu kepada kedua-dua beradik ini atau mereka itu.
Apa penerimaan mereka? Apa pandangan mereka? Kepadanya? Kepada Azaim?
Aku dibuang oleh Abang Im yang tak inginkan aku lagi lepas pemergian uncle dan aunty! Itukah ayat yang sesuai untuk abang dan adik kembar ini? Argh, entahlah!
Biarlah yang sudah menjadi satu pengajaran dan pedoman untuknya. Tidak guna berbicara tentang hal lepas itu, kerana semua itu tak mungkin berubah. Sama sahaja. Dia tetap dibuang oleh lelaki yang dianggap bak abang sendiri selama ini. Walau pahit, itulah kenyataan yang harus ditelan oleh Sirin.
“Rin, kenapa ni?” Afham menggoncang lembut bahu Sirin. Menyedarkan gadis yang nampak hanyut dalam arus fikiran.
Gadis yang di mata Afham tambah anggun dipandang. Bukan cantik yang sangat, namun cantik biasa-biasa yang jadi lebih indah pada pandangan kerana tuan punya badan tidak menyedarinya. Mungkin juga atas ejek-ejek dan kata-kata mereka kecil-kecil dulu. Abangnya mengajar, dia pula jadi tukang turut. Betapa dangkalnya zaman budak-budak itu.
“Hah!” Sirin menyeringai, demi menutup silap sendiri. Sampai begitu sekali dia mengelamun? Ya Tuhan…
“Tak ada apa-apa. I was touched by what both of you said. Deeply, I guess. Sebenarnya, terus terang, aku sendiri pun rindukan kau orang. Dah biasa kena usik, kena sakat. Bila tak kena… rasa lain pulak! Asyik teringat.” Sirin akhirnya meluahkan perkara sebenar. Tiada gunanya berselindung apabila Adham dan Afham tanpa segan-silu mengakuinya. Tambahan pula dia bukan mereka cerita, sebaliknya berkata benar.
“Betul?!” tanya Adham dan Afham serentak. Mengharapkan kepastian. Manalah tahu mereka sama-sama pekak tiba-tiba.
Sirin mengangguk, masih disulami senyuman. Namun senyuman yang terpasang itu lantas berubah apabila jeritan halus keluar dari celah kerongkongnya, mengambil tempat di bibir. Terkejut bila tiba-tiba sahaja tubuhnya berada di dalam pelukan Adham dan Afham. Adham di kirinya sama tinggi, banding Afham di kanan yang tinggi lagi. Erat. Sirin tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya kaku menerima dakapan kedua-dua anak bujang mak sunya, yang nyata terlalu diusung perasaan terharu yang Sirin ikut rasa.
“What the hell is this?!” Suara itu terasa begitu dekat dengan telinga Sirin.
Sirin yang beberapa saat tadi berada di dalam dakapan Adham dan Afham tiba-tiba dicampak oleh kedua-dua pemuda itu kerana terlalu peranjat mendengar suara Azaim. Mujur Sirin tidak beraksi lagak ngeri di atas rumput di halaman Vila Fatih, sebaliknya tepat ke tubuh pemilik Vila Fatih.
Dan kini, tanpa sedar Sirin berada dalam dakapan Azaim yang pantas memaut pinggangnya, demi menghalang dia daripada jatuh gedebuk menyembah rumput menghijau di situ. Tubuhnya menyenget sikit pada kanan tubuh Azaim dan tangan Azaim terus melekap pada pinggangnya. Terkelip-kelip Sirin lihat Azaim, yang langsung tak pandang dia.
“Apa yang kau orang buat ni, hah? Adham?! Afham?!” pekik Azaim terus. Masih belum puas hati.
Mata Azaim tajam menampar paras Adham dan Afham yang tertunduk. Sesekali anak muda berdua itu berani-berani angkat pandangan ke wajahnya. Namun sudahnya mereka berdua menyerah kalah. Mungkin tidak mampu meneruskan pertandingan lawan mata dengannya. Dia hantar machine gun kut, bukan mata pedang.
“Uh! Apa menjerit dekat telinga orang ni? Nak pekakkan orang ke?” Sirin menyiku geram perut Azaim seraya melepaskan diri daripada terus melekat ke tubuh yang nampak kurus, tapi boleh tahan tegap itu.
Muka Azaim jelas tidak puas hati dengan soalan dan sikap Sirin ketika ini. Radang hatinya berlipat ganda. Namun sedaya upaya cuba dikawal. Tidak mahu menimbulkan perbalahan dalam kalangan sepupu. Tambahan pula Adham dan Afham masih muda. Takkanlah dia nak bertumbuk dengan mereka hanya kerana cemburu?
“Abang Im ni kenapa? Tiba-tiba aje lenting orang?” Sirin bertanya lagi. Berdiri di samping, menentang Azaim dengan berani. Siap tayang muka tak puas hati lagi.
Sirin kerling Adham dan Afham seketika. Serupa zaman kanak-kanak mereka dahulu. Apabila Azaim marah kerana menyakatnya, beginilah lagak kembar ini. Diam menunduk kepala kerana menyedari salah mereka. Tapi kali ini mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, jadi mengapa pula tertunduk bak pesalah begini? Dan apa pula hak Azaim untuk menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa?
“Adham dan Afham kacau Sirin lagi, kan?” Azaim bersuara di balik gigi yang diketap. Rahangnya turut bergerak-gerak. Jelas, dia sedang berlawan dengan amukan hati. Lebih ditujukan kepada siapa--Adham, Afham atau Sirin--Azaim tidak tahu. “Bila pulak? Lagipun, kalau dia orang ganggu saya, tahulah saya nak jaga diri. Saya bukan budak kecik lagi untuk tagih bantuan Abang Im. Terima kasih sebab ambil berat, tapi ia memberatkan saya untuk terima. Saya reti jaga diri.” Sirin berkata serius. Mahu Azaim tahu, dia tidak perlukan Azaim lagi.
“Sirin…”
Kata-kata Azaim dipotong Salmiha yang diam melihat semenjak tadi. Walaupun gadis itu sebetulnya di sebelah Azaim, Sirin langsung tidak sedar akan adanya. Maklumlah, tumpuannya seratus peratus kepada Azaim. Tidak berkalih. Suara Salmiha yang menyedarkan Sirin akan kehadiran gadis itu.
“Sudahlah, Im. She’s right. Dia boleh jaga diri. Tak perlu risaukan Rin lagi. Adik you dah besar.” Salmiha menyentuh lembut lengan Azaim, mengajak pemuda itu berlalu sahaja dari situ. Tidak perlu memanjangkan cerita bilamana pertolongan yang mahu diberi tidak diharapkan.
Azaim pandang Adham dan Afham sekilas sebelum halakan mata ke muka Sirin. Lama wajah masam Sirin serta pandangan tajam itu ditatap. Gadis ini tidak pernah faham hatinya sejak dulu. Malah kini pun begitu. Akhirnya, Azaim berlalu bersama Salmiha, yang masih memaut lengannya. Sama-sama mengatur kaki, tinggalkan Sirin bersama Adham dan Afham.
“Penyibuk!” ungkap Sirin geram. Geramkan siapa, tidak pula pasti. Sama ada Azaim atau Salmiha, dia tiada jawapan.
“Sal tu buat apa kat sini? Kan ke ni majlis keluarga kita? Sejak bila pulak dia jadi keluarga kita?” soal Afham setelah pasti Azaim dan Salmiha jauh, bersama kerutan pada dahi.
Afham tidak mahu Azaim mendengar katanya. Bimbang lebih mencabar kesabaran Azaim yang membengis tiba-tiba sekejap tadi. Tak ada sapa, terus terkam. Orang tak buat dia marah, dah bertukar jadi Hulk. Mungkin Azaim menyangka mereka menyakat Sirin seperti dulu. Tapi… agak-agaklah! Aci serkup saja!
“Sal tu kan bakal isteri Abang Im. Takkan tak faham lagi?” gerutu Adham. Sempat menoleh kepala ke arah Azaim dan Salmiha yang sudah jauh. Kang, tetiba patah balik kang… mampus terkangkang!
“Bakal isteri?” Sirin rasa macam tercekik duit syiling 50 sen lama, melalui hidung.
“Ya! Kau tak tau ke?” Adham bersemangat nak mulakan sesi menganyam ketupat. Diyakini tumpah ke atasnya daripada ibunya.
Sirin menggeleng. Terlalu terperanjat untuk mengeluarkan suara. Dia tahu Azaim dan Salmiha rapat. Dia nampak Azaim dan Salmiha mesra. Tapi… dia tak pernah jangka Salmiha bakal menjadi isteri Azaim. Sungguh tidak!
“Kau jangan main-main, Ad. Kalau tahu dek Abang Im, kau bawa mulut gini, buat cerita… nahas kau dikerjakan.” Afham memberi amaran. Mulut si abang ini memang macam perempuan sikit. Malah ada ketikanya, perempuan sendiri kalah. Menurun daripada ibulah ni!
“La, aku cakap benda yang betullah. Abah dengan pak lang ada cakap hubungan Abang Im dengan Sal dah akrab lain macam. Lagipun, bukti dah ada depan mata kut. Nak sangsi apa lagi?” ujar Adham penuh yakin. Hilang kecut perutnya lihat wajah Azaim seketika tadi. Sebab abang sepupunya jauh sudah… dan dia jadi berani sudah…
“Bukti?” Afham mengerutkan dahi.
“Depan mata?” Kening Sirin hampir bertemu.
“Hmm. Ni kan perjumpaan keluarga. Hanya keluarga yang dijemput. Kedatangan Sal dah jelaskan. Sal bakal jadi salah seorang daripada keluarga kita. Percayalah…”
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 17, 2013 06:38

.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 13]

March 14, 2013

.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 12] :.

SUASANA Vila Fatih tidak seperti hari-hari sebelumnya pada malam ini. Cahaya lampu neon berkerdipan di sekitar banglo mewah tiga tingkat itu. Pelbagai warna indah menyinari malam yang agak gelap, tanpa kehadiran bintang-bintang halus menghias ruang angkasa. Sesudah bertahun lamanya, inilah kali pertama sambutan sebegini diadakan. Semenjak pemergian Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih, semua ini seolah-olah telah dilupakan oleh pemilik baru Vila Fatih. Vila Fatih tidak pernah berwarna sebanyak ini. Namun malam ini, segalanya sudah berubah.Hiruk-pikuk kedengaran di halaman belakang Vila Fatih yang luas dan lapang. Batang-batang tubuh kelihatan berkumpul di mana-mana sudut. Terutama berhampiran dengan kolam renang sederhana luasnya di mana terletak meja yang disusun memanjang, dipenuhi hidangan bufet. Ada sama susunan kerusi-kerusi.
Ketika ini, yang menjadi tumpuan tentu sahaja Sirin, kerana majlis ini sememangnya khas buat gadis itu. Sudah berbulan-bulan Azaim merencanakannya, demi menyambut kepulangan Sirin ke Vila Fatih semula. Salah satu cara yang digunakan oleh pemuda itu untuk jelaskan kepada Sirin bahawa kehadiran Sirin memang dialu-alukan malahan amat-amat dinantikan sekian lama.
Sayang, Sirin tidak menyedari hakikat yang satu itu.
Di satu sudut, Sirin, Asma, Ainun dan Atiyah kelihatan rancak berbual sesama mereka. Tapi kalau ditengok gaya masing-masing, situasi yang lebih tepat adalah Asma, Ainun dan Atiyah menyoal jawab Sirin. Dan Sirin, sesekali hanya tayang gigi kerana tidak mampu menjawab setiap soalan ketiga-tiga wanita itu, yang sudah lama menjadi ‘ibu saudaranya'.
"Tambah manis Rin sekarang ni," ujar Asma menyentuh lembut paras kanan muka Sirin.
Sederhana. Begitulah Sirin semenjak dulu, malah sampai saat ini pun. Walau ada yang pasang badan untuk malam ini-contohnya dia sendirilah-namun Sirin tidak lari daripada kesederhanaannya. Hanya legging jeans hitam dengan padanan chiffon tee biru dengan lengan 3/4 panjangnya. Rambutnya yang berombak dibuat sanggul longgar dan rambut hadapan menutup seluruh dahi. Beberapa helaian rambut perang keemasan itu sudah terkeluar dari sanggul. Tidak menyelekehkan langsung mata yang melihat. Satu bentuk cantik semula jadi di mata Asma. Kerana anak gadis itu memang semula jadi cantik orangnya. Namun Sirin saja tak sedar, berkat perangai dua sepupunya yang nakal.
Sirin tayang gigi. Sungguh tidak tahu apa yang harus dilakukan, selain menjadi model iklan ubat gigi. Untuk melempiaskan rasa tidak selesanya dengan pujian-pujian yang diberikan oleh wanita-wanita di hadapannya ini, dia tidak tahu bagaimana. Sudahnya, jalan yang dipilihnya adalah upacara mengira batang gigiku sajalah. Yalah, dah orang nak puji, terima sajalah. Walau Sirin tidak pasti apa yang disumbatkan ke telinganya semenjak tadi adalah ikhlas ataupun tidak. Dia sudah terlalu lama mengajar diri untuk tidak percaya sesiapa sampaikan timbul prasangka pada setiap patah kata.
"Betul kata mak lang Rin tu. Mak teh setuju sangat. Kalau arwah abang ngah dan kak ngah masih ada, tentu dia orang bangga dengan Rin. Makin manis. Malah anak gadis pertama keluarga kita yang berjaya menyambung pelajaran ke luar negara. Rin pasti jadi kebanggaan dia orang, lebih daripada kami semua. Mak teh yakin. Tak gitu, kak su?" Ainun mengalih muka ke arah Atiyah lalu kembali talakan mata ke paras Sirin semula, bersama senyuman bangga seorang ibu.
"Betul, Rin. Arwah tentu bangga dengan Rin," ucap Atiyah menyokong. Bukan kerana mahu ambil hati kakaknya atau Sirin sendiri. Namun dia menyatakan hal yang sebenar.
Semenjak Sirin masih kecil lagi, gadis itu sudah menjadi kebanggaan arwah abang dan kakak iparnya. Walaupun bukan anak sendiri, namun mereka tidak pernah membezakan Sirin dengan Azaim. Sebagaimana Azaim dikasihi dan dikendong dengan perasaan sayang yang menebal, itu jugalah yang diberi kepada Sirin. Tapi sayang, masa mereka bersama Sirin tidak lama. Sirin hanya sempat merasa cebisan kasih itu sahaja. Itulah yang paling Atiyah kesalkan.
Sekali lagi Sirin tersengih. Pujian demi pujian yang serupa dan berulang daripada ibu-ibu saudaranya membuatkan dia jadi semakin tidak selesa. Dia tahu, ketiga-tiga wanita ini amat bangga dengannya malah gembira menerima kepulangannya. Segalanya jelas tersua pada raut muka mereka sejak bertemu semula buat pertama kali sesudah lima tahun masa menginjak, lebih setengah jam tadi. Tapi janganlah duk tekankan lif untuknya sampaikan dia berada terlalu tinggi. Sudah tiba masanya untuk dia kembali jejakkan kaki ke tanah. Bimbang lupa daratan pula. Dia pun tak bijak nak terbang di langit tinggi.
"Mmm, ramainya yang datang hari ni. Abang Im kata cuma perjumpaan keluarga, tapi… ramai pulak yang ada." Sirin mencuba nasib, menukar topik perbualan. Tidak mahu berkisarkan dirinya lagi. Dalam hati doa dilanjutkan agar usahanya direstui. Moga berjaya.
Asma, Ainun dan Atiyah hanya merenung Sirin. Agak lama. Sudahnya mereka saling menghadiahkan pandang-yang hanya diketahui oleh mereka maksudnya-lalu menguntum senyuman tipis. Sama-sama mengangguk serentak tanda mengalah. Mahu mengikut rentak Sirin.
Sirin mungkin hanya anak angkat arwah abang serta kakak ipar mereka. Itu pun bukan atas kertas. Namun semenjak Sirin mula-mula hadir ke Vila Fatih, tidak pernah seorang pun antara mereka anggap Sirin demikian. Untuk arwah Azamuddin dan Nurfatih, Sirin adalah anak perempuan mereka yang tidak pernah dilahirkan. Buat mereka bertiga pula, Sirin adalah anak buah mereka yang telah mewarnai hidup abang dan kakak ipar mereka semenjak hadirnya. Tiada siapa pun antara mereka pernah menolak Sirin sebagai salah seorang daripada keluarga itu. Sirin adalah darah daging mereka yang tidak pernah lahir, namun dinanti sekian waktu.
Hanya Sirin yang jadi lupa dan anggap diri orang luar sekian waktu.
"Memang pun ni majlis perjumpaan keluarga. Untuk sambut kepulangan Rin. Dah lama Im tak buat sebarang majlis macam ni. Kalau ada pun, kenduri arwah, untuk arwah ayah dan ibu Rin serta papa dan mama Rin. Selain tu, masa raya aje. Tapi tak pernah semeriah ni. Sebab tu jugaklah semua sanak saudara kita tak lepaskan peluang untuk berkumpul gini. Jauh mana pun kami, tetap datang untuk Rin…" Ainun usap lembut paras Sirin. Sayang sangat-sangat.
"Tambahan pulak sekarang ni dah tak macam dulu. Keluarga kita dah beranak pinak. Bila dengar Rin balik, lepas lima tahun diamkan diri kat UK, tak bagi siapa pun antara kami jumpa Rin kat sana, takkanlah nak lepaskan peluang? Semua pakat-pakat datang…" sambung Ainun mengerdip mata.
"Hmm, lima tahun pergi sana dah bertambah-tambah manis. Lepas ni susahlah Im nak jaga Rin. Mesti ramai yang mencuba nasib. Ia tak?" usik Asma menyiku lembut pinggang Atiyah. Sama-sama tayang sengih nakal. Sarat dua makna.
Terkelip-kelip Sirin rendahkan mata melihat ketiga-tiga wanita yang biasa-biasa saja tinggi mereka. Sungguh konspirasi mak cik-mak cik aku ni! Sakan nampak menyakat aku, detik hati Sirin tidak langsung lepas pandang wajah mak lang, mak teh dan mak su, yang bukan main anggun tayang gigi kepadanya. Sebagaimana anggunnya mereka berhias badan. Sama sekali dia tidak mengagak ibu-ibu saudaranya akan bersikap sebegini. Dulu, zaman dia kecil-kecil, tak pernah pula dia lihat perangai kuat menyakat mereka. Mungkin sebab baru kini tersua. Diam-diam ubi sudah berisi rupanya…
"Hah, Rin, kat sana tak ada pakwe ke? Tak tersangkut dengan mana-mana mat salih?" Asma mula cucuk jarum.
Terbuntang mata Sirin mendengar soalan itu. Biar betul! Mak cik aku ke ni?
"Rin ke sana untuk belajarlah, mak lang, bukan nak cari pakwe mat salih!" Sirin menjuih bibir.
Asma sengih luas. Ainun dan Atiyah turut ikut jejak kakak mereka.
Pesta tayang gigi gamaknya. Sirin tambah-tambah pelik.
"Jangan berseorangan lama-lama sangat, Rin. Sepupu-sepupu perempuan Rin semua dah berumah tangga. Sebab tulah ramai sangat malam ni. Anak pinak semuanya ada. Anak-anak perempuan mak teh Rin semuanya dah berpunya. Aliah, Adlin dan Ariana dah selamat jadi isteri orang. Atifa pulak tengah hitung hari aje, untuk langsungkan akad. Sebulan lebih aje lagi. Dah tak lama…" Atiyah menarik nafas panjang lalu dihela.
Sirin sudah faham. Itu tandanya mak su nak ‘menurunkan' ilmu. Panjang lebarlah ceritanya nanti. Itu pasal tarik nafas siap-siap. Takut semput tengah jalan.
"Anak-anak mak lang Rin pulak, si Adan, Adna dan Adni pun alhamdulillah dah berumah tangga. Adan dah nak masuk anak kedua dah pun. Gembira bukan main dia bila tahu nak jadi papa lagi. Adna pulak tengah sarat dengan yang nombor tiga. Sebab tulah Rin tak nampak Adna. Yang datang cuma suaminya, Akhbar, dengan dua orang anak dia orang. Adni pulak baru dua bulan kahwin. Adni nilah yang paling liat antara semua sepupu Rin. Dia patah hati dengan si Eman," terang Atiyah penuh semangat.
Sirin hanya diam mendengar. Mak su, sejak dulu, kalau bab bercerita tentang anak-anak buahnya, cukup suka. Lepas itu, bertong-tong pujian dihadiahkan buat mereka. Tapi kalau masuk bab anak-anak bujangnya, Adham dan Afham, tetap juga berkobar-kobar semangatnya. Namun diiring dengan bertimba-timba rasa geram dan tidak puas hati. Semenjak dulu, memang begitulah nasib Adham dan Afham. Anak kandung yang dilayan macam anak orang.
Tapi memang patut pun! Degil dan nakal tak ingat! Sempat Sirin mengomen.
"Patah hati sangat-sangat dengan Eman. Kesian betul mak su tengok Adni tu…" Atiyah menggeleng kepala. Baur simpati membuak-buak pada bait bicara.
"Kenapa Kak Adni tak jadi dengan Abang Eman? Rin ingatkan Kak Adni kahwin dengan dia. Masa dapat berita perkahwinan Kak Adni, mati-mati Rin ingatkan dengan Abang Eman…" Sirin meluahkan rasa terkejutnya. Masakan tidak, hubungan Adni dan Eman bukannya terjalin untuk sebulan dua. Sebaliknya lebih sepuluh tahun.
Ainun meneruskan gelengan adiknya. "Eman buat hal. Bertahun berkawan, dua-dua belah pihak dah tahu dan setuju, tiba-tiba semua tak jadi. Sebabkan perempuan lain, yang tiba-tiba datang dalam hidup Eman, dia tolak Adni tanpa fikirkan keadaan Adni. Macam tu aje. Kesian sungguh Adni masa tu. Tak sanggup mak teh tengok keadaan dia. Betul-betul patah hati. Tapi, jodoh… buat apa pun, kalau bukan dia yang tercipta untuk kita, kenalah terima dengan hati yang pedih. Macam tulah keadaan Adni masa tu."
"Betul kata mak teh Rin tu," sokong Atiyah.
Asma di sisi turut menggoncang kepala.
Sirin menyepi sahaja. Tidak tahu apa harus diucapkan sesudah mendengar segala cerita ibu-ibu saudaranya. Tambah pula apabila menyedari ada kesuraman yang cuba mengambil tempat pada wajah Asma. Mungkin mengenangkan kembali keadaan anak gadis bongsunya yang terpaksa menahan hati dan menanggung kesedihan akibat apa yang dilakukan oleh Eman dahulu. Entah berapa lamalah masa yang diambil oleh Adni untuk benar-benar pulih dan merelakan hatinya menjadi isteri kepada lelaki lain, yang tiba-tiba jadi sebahagian daripada hidupnya.
Sirin tak dapat bayang hendak letak diri di tempat itu…
Tanpa Sirin mahu, matanya terarah pada susuk tubuh Adni. Gadis manis berusia 31 tahun itu kelihatan begitu cantik dengan kurung moden pilihannya. Warna merah garang membangkitkan seri muka Adni yang putih melepak dan nampak girang. Jejaka di sebelahnya pula, yang mungkin lebih kurang usianya, kelihatan tampan dengan gaya kasual pilihannya. Kemeja lengan pendek merah garang dengan jean biru lusuh.
Padan! Itulah perkara pertama yang terdetik dalam hati Sirin melihat mereka. Malah pasangan itu nampak begitu serasi berbanding dia melihat Adni bersama Eman dahulu. Adni nyata lebih sesuai dengan lelaki di sampingnya itu, Zikry, yang sudah dua bulan menjadi suaminya. Nyata, masa bukan tanda akan bersama. Lebih sepuluh tahun berkawan dengan Eman bukan tandanya.
Asma, Ainun dan Atiyah turut mengikut arah pandangan Sirin. Sama-sama memerhati lagak Adni dan Zikry, yang nyata nampak mesra dan gembira. Tanpa menutupnya. Inilah yang ingin mereka lihat dahulu. Kala hati Adni pedih, inilah yang mereka harap-harapkan. Hendak sangat-sangat lihat Adni gembira ria. Kuasa Tuhan, atur Dia, menghadiahkan anak muda sekuat dan seyakin Zikry dalam mendapatkan hati si isteri yang ada parah dan cabek.
"Rin mesti tak percaya kalau mak su kata Zikry lebih muda daripada Adni dan Zikry jugak sepupu Eman." Atiyah senyum luas tiba-tiba. Cukup seronok kalau dapat khabarkan kenyataan itu kepada pihak yang tidak tahu.
Aturan dan permainan takdir yang tidak terjangkau dek sesiapa pun antara mereka. Malah Adni sendiri.
"Hah?" Sirin memang tak menyangka. Nganga sakan dia.
"Hmm. Itulah kenyataan. Nanti ada masa mak su cerita. In detail. Ikut kronologi. Mesti Rin lebih-lebih tak sangka." Atiyah gelak tiga nada-konspirasi, inspirasi, misteri.
Asma dan Ainun senyum tengok semangat Atiyah.
Sirin hanya membisu, namun sempat lagi menilik Adni dan Zikry. Tidak terjangkau. Sangat ya. Bab umur dia boleh terima lagi kerana dalam dunia sekarang ia bukanlah sesuatu yang pelik. Cumanya… Zikry sepupu Eman?
"Mmm, macam mana dengan Kak Adni sekarang?" soal Sirin tidak sempat menghalang diri. Tahu soalan itu terlalu peribadi sebenarnya. Dan dia seolah-olah mempersoal keyakinan ketiga-tiga wanita ini, yang telah menerima perkahwinan pasangan pengantin masih baru itu dengan hati yang sangat lapang.
"Apa yang Rin nampak?" Senyuman Asma tak lekang.
Sirin mengerling semula Adni dan Zikry. Ah, tidak sangsi lagi! Matanya tidak menipu. Memang pasangan yang sepadan.
"Kalau dah jodoh, tak ke mana. Larilah ke hujung dunia sekalipun, dengan kuasa Allah mesti bertemu jugak. Seperti Adam dan Hawa, terpisah di sana namun kekuatan jodoh serta cinta, akhirnya mereka ditemukan Allah di dunia," ucap Asma bangga.
Sirin hanya mengangguk. Setuju dengan kata-kata mak lang. Kekuatan jodohlah yang akhirnya menyatukan Adni dengan Azri. Tidak semena-mena, kata-kata yang pernah dihadiahkan Azaim kepadanya ketika hubungan mereka masih baik meniti benaknya. Walau berkali-kali dia menghalang akal daripada mengingatinya, namun apa yang sudah kemas terakam tidak mungkin mampu dicampak keluar begitu sahaja. Otaknya bukan CPU, yang boleh membuang mana-mana maklumat yang dia tidak mahu. Mr. recycle bin, here you are! Nope!
Sirin masih ingat segalanya. Tiap patah kata. "Cinta sejati adalah cinta di mana kita tak pernah berharap dengan yang kita cintai namun berharap agar Dia reda dengan cinta itu."
Sirin langsung tidak sedar akan apa yang dilakukannya. Namun, pandangan ketiga-tiga ibu saudaranya menyampaikan segala. Jelas, dia tidak berfikir sendirian seketika tadi. Sebaliknya setiap bait kata yang pernah diungkap oleh Azaim telah meniti bibirnya. Tanpa sedar dia sudah pun mengucapnya.
Wajah Sirin mula berubah. Tambahan pula apabila lihat senyuman melebar pada bibir ketiga-tiga wanita itu. Walau tanpa sebarang kata, senyuman mereka telah menyampaikannya. Ya Allah… Memalukan! Macam mana boleh tak sedar? Bodoh! Sirin mula mengutuk diri. Terlalu alpa dalam kenangan silam sehingga tidak sedar pada kenyataan hari ini. Sirin, apa yang tak kena dengan kau?!
"Hmm… Mungkin sebab cinta Zikry kepada Adni adalah sejati, sebab tulah hati Adni terbuka." Atiyah meluaskan senyuman.
Sirin cuba tayang muka selamba. Bukankah dia cukup terror bab sua muka slumberland?
"Sekarang ni, Rin dah balik. Semua orang tengah tunggu giliran Rin. Dah tak sabar nak tengok Rin bersanding atas pelamin. Ingatkan Rin balik kepit mana-mana mat salih sorang. Nasiblah tak. Taste Rin masih orang tempatan, kan?" Asma pula bersuara.
"Mujur!" ucap Atiyah sendirian. Namun mampu didengar oleh Sirin.
Aik, mujur apa pulak ni? Sirin pandang wajah ibu saudaranya satu per satu. Masing-masing cuba diamkan sesuatu di balik senyuman yang menggetah. Ah, lantaklah! Yang dia tahu, wanita bertiga ini, kalau mahu diamkan sesuatu, sampai sudahlah bibir terjahit. Dalam bentuk senyuman. Apa usaha pun tak akan tetas ia."Rin muda lagi. Kalau ada yang perlu berumah tangga, orangnya Abang Im. Dah jatuh harus rasanya." Selamba Sirin menyatakan pandangan. Dah memang betul pun…
Senyuman yang kian meluas-mujur tak cecah telinga-bersama pandangan yang punya maksud tersendiri, yang hanya boleh difahami ketiga-tiga wanita itu, terlukis. Membuatkan kerutan halus menodai dahi Sirin. Tidak faham dengan maksud sebenar mereka bertiga. Namun Sirin tidak suarakan apa-apa. Membisu sahaja. Tidak mahu memanjangkan cerita. Tambah pula bila menyentuh hal nikah kahwin.
Usia dia baru 23 tahun. Masih muda, malah ada kalanya Sirin rasakan terlalu muda dan mentah. Belum boleh dapat title bujang terlajak pun. Lainlah kalau title itu diberi kepada Azaim. Tapi, usia 31 tahun untuk seorang lelaki… boleh dikira terlajak ke? Tambah pula apabila jejaka itu adalah Azaim Haji Azamuddin.
"Daripada fikirkan Rin, baik mak su tumpukan pada Adham dan Afham. Mak su tak risaukan dia orang tu ke? Dia orang pun belum kahwin lagi." Sirin melihat mak su, yang tiba-tiba menarik muka masam apabila mendengar nama anak-anak kembarnya disebut.
Senyum kecil menyentuh bibir Sirin. Hmm, masih yang serupa. Rupanya mereka masih racun dan penawar hati mak su. Masih seperti tujuh tahun lebih yang sudah. Rupanya ada juga yang tidak berubah dikejar waktu.
Mak su tidak seperti mak ngah atau mak teh. Tidak dikurniakan anak yang ramai. Adham dan Afham sebetulnya anak mak su yang keempat dan kelima. Namun kuasa Tuhan, Dia yang menginginkan sesuatu, maka ia terjadi. Anak-anak mak su, abang-abang kepada Adham dan Afham meninggal dunia ketika masih bayi lagi. Adham dan Afham pula, ditakdirkan panjang usia mereka walau mulanya Adham hampir-hampir meninggal dunia. Kuasa Allah, masih menghendaki Adham menjalani hari-harinya di dunia fana ini. Dan alhamdulillah, kedua-dua beradik kembar itu sudah pun menjangkau usia 22 tahun.
"Adham dan Afham tu sama-sama hingusan. Mak su tak harap kalau dia orang ada cita-cita nak menikah dalam umur macam sekarang ni. Kalau dia orang bawak balik mana-mana perempuan pun, mak su akan nasihatkan budak perempuan tu, fikirkan semula keputusan dia orang untuk bersama anak-anak bujang mak su tu. Hisy, tak nak mak su kalau hidup dia orang bakal dirosakkan oleh anak sendiri." Atiyah mencebik mulut.
Sirin mengulum senyum. Untuk tayang gigi secara terang-terangan, bimbang pula kalau mak su bakal kecil hati. Tapi dia tahu, mak su tak akan kisah sebetulnya. Kalau tidak, takkanlah mak su kutuk kedua-dua anak bujangnya secara langsung! Nasib kau oranglah, Adham, Afham. Balasan sebab kau orang asyik kenakan aku masa dulu kut!
"Yang tinggal sekarang ni cuma Im, Rin, Adham dengan Afham. Kau orang ajelah yang belum," ucap Ainun cuba pesongkan perhatian Atiyah daripada anak-anak bujangnya. Selalu sesak nafas adiknya itu kalau bangkitkan hal dua beradik itu.
"Eh, jangan lupakan anak perempuan arwah abang long, kak teh!" Beria-ia Asma mengingatkan.
Anak perempuan? Dahi Sirin berkerut. Niat untuk menyoal terbantut apabila mak su lebih dulu bersuara.
"Betul tu, kak teh. Anak abang long kan ada lagi. Jangan matikan dia tanpa kubur. Macam mana pun hubungan kita dengan dia orang, dia masih anak buah kita. Tetap anak saudara kita," ujar Atiyah lembut apabila Ainun menjuih mulut tanpa sembunyi dengan bicara awal Asma tadi.
"Anak arwah pak long? Siapa?" Sirin akhirnya mengambil peluang memuntahkan kekeliruan yang menguasai benaknya. Mahu tahu siapa sebenarnya anak perempuan pak long, yang tidak pernah diketahui kewujudannya sebelum ini.
Selain itu, kenapa pula mak teh nampak tidak senang apabila topik ini dibangkitkan?
"Ailee. Tulah nama anak arwah pak long Rin," jawab Atiyah tanpa pedulikan muka berkerut kakaknya, tidak puas hati dengannya.
"Ailee?" Kerutan halus kian menggarisi dahi Sirin. "Anak arwah pak long?"
Tidak pernah Sirin tahu yang pak long punya anak. Walau hakikatnya dia tidak punya kesempatan menemui pak long, abang kembar kepada arwah uncle dan abang kepada ibu-ibu saudaranya, kerana lelaki itu meninggal dunia sebelum kehadirannya ke Vila Fatih, namun dia tahu akan kewujudan pak long yang disangkanya meninggal bujang. Rupanya pak long bukan sahaja pernah berkahwin malahan turut punya seorang anak perempuan.
Tapi… kenapa dia tidak pernah tahu akan hal ini sebelum ini?
"Hmm, Ailee, anak perempuan pak long Rin. Rin tak tahu sejarah hidup pak long Rin sebenarnya. Dulu, nak ceritakan pun Rin masih terlalu kecil untuk faham. Tambahan pulak kami semua sangka kisah arwah dah tamat selepas pemergian dia. Rupanya tak, sebab arwah tinggalkan seorang balu dan anak perempuan," terang Asma secara ringkas.
"Rin tak faham," kata Sirin jujur. Masih tidak mampu menangkap cerita wanita itu. Malah raut tegang mak teh turut memberi kesan pada daya fahamnya.
"Cerita ajelah, kak lang. Rin ni bukan kecik lagi untuk kita diamkan. Dia dah besar panjang, dah boleh faham. Dia jugak bukan orang luar untuk kita sembunyikan hal ni. Arwah abang long tu pak long Rin jugak. Lagipun, lambat-laun dia akan jumpa Ailee jugak. Insya-Allah." Atiyah menggesa Asma.
Ainun tetap diam dengan muka masam. Tiada tanda mahu menghalang atau menyokong tindakan kakak dan adiknya.
Sirin memandang sekilas ketiga-tiga ibu saudaranya. Inilah yang dia suka tentang mereka. Biarpun ada berpuluh percanggahan pendapat antara mereka, namun penerimaan yang satu tidak pernah berubah sejak dulu. Dia adalah anak saudara walaupun tidak sedarah sedaging dan dengan keluarga tiada apa perlu dirahsiakan. Begitulah dengan hal anak perempuan arwah pak long dengannya!
Mata Sirin kembali memandang mak lang. Menanti butir bicara keluar dari mulut wanita itu. Bukannya dia nak bergosip atau bercerita tentang keburukan pak long, sebaliknya tidak mampu tahan diri daripada mengetahui kebenaran diri pak long yang selama ini dia tidak pernah maklum. Malah, baru kini dia tahu, bahawa dia sebetulnya punya satu lagi sepupu. Walau bukan sepupu kandung.
"Dah lama dah perkara ni jadi." Asma memulakan mukadimah. Matanya jauh daripada mereka. Seolah-olah kembali ke masa lampau.
"Pak long Rin waktu tu dalam pertengahan 20-an. Keluarga kami memang susah sejak kami kecil, tapi tak pernah sekali pun antara kami ada yang mengadu. Kami terima seadanya. Tapi pak long Rin tu lain sikit daripada kami adik-beradik. Dia dah bosan hidup susah. Nak cepat kaya, nak hidup senang. Tapi cara yang dia guna salah. Kalau dia berusaha dengan keringat peluh sendiri, mungkin kami adik-beradik bangga. Tapi dia gunakan orang lain untuk dapatkan semua tu. Dia…"
Kata-kata Asma tergantung apabila dipotong oleh Ainun, yang akhirnya meluahkan juga ketidakpuasan hati yang didiamkan.
"Kak lang bercakap macamlah abang long sorang yang salah. Perempuan tu pun salah jugak! Yang dia pergi terima abang long tanpa usul periksa, buat apa?!" Terbuntang luas mata Ainun. Tidak puas hati dengan ayat pilihan kakaknya.
"Kak teh, mulut tu baik sikit. Perempuan tu, perempuan tu pulak! Dia tu kakak ipar kita. Nak tak nak, kena terima. Hormat sikit," tegur Asma, keras.
"Entahnya kak teh ni. Walaupun kak teh anggap kak long yang bersalah selama ni, dia tetap isteri abang long. Kak long tetap kakak ipar kita! Kak teh tak boleh nafikannya, malah kak teh tak boleh tolak Ailee. Dia anak buah kita!" tokok Atiyah menyokong kakaknya. Penuh emosi.
Ainun menarik muka masam. Tidak lagi bersuara. Mungkin sedar kemenangan tidak akan berpihak kepadanya apabila dua pihak beradu tenaga dalam membangkangnya. Tambahan pula memang sejak dulu, inilah perbalahan yang tak sudah antara mereka. Hanya dia menentang. Pihak pembangkang.
Sirin yang semenjak tadi melakukan senaman leher, sebab duk kalih kiri, kanan, kiri, kanan, akhirnya memakukan pandangan ke muka Asma semula. Menunggu wanita itu meneruskan kisah pak long. Satu yang dia sedar sejak topik ini mula diperkata, mak teh sama sekali menentang pandangan kakak dan adiknya. Berlainan parti.
"Hmm, pak long Rin… dia kahwini mak long Rin, anak perempuan orang kaya dekat tempat kami waktu tu. Mak long Rin lebih berusia daripada pak long. Lebih lima tahun tak salah. Sangka mak long Rin, pak long kahwin sebab cinta. Tapi akhirnya dia dapat tahu sebab sebenar. Mak long Rin patah hati sangat. Dia tinggalkan pak long Rin dan harta yang pak long Rin nakkan sangat tu. Dia anak yatim piatu, saudara-mara jauh pulak tak setuju dia kahwin pak long Rin. Bila dia pergi, tak ada siapa peduli sebab untuk dia orang, tu salah dia.
"Pak long Rin, yang sepatutnya rasa gembira sebab dah dapat apa yang dia angan-angankan, tak pernah bahagia sejak tu. Kekayaan yang ditinggalkan buat pak long Rin selalu dihambat rasa bersalah. Malah, dia mula rindu mak long Rin yang dah bawak diri. Pak long Rin akhirnya jatuh cinta kepada isterinya, tapi mak long Rin dah buang dia. Sejak tu, pak long Rin hanya harapkan kepulangan isteri dia." Asma menghentikan bicara apabila terasa ada air hangat menyentuh pipi. Lekas dikesat.
Sirin kemam bibir. Jadi kekok. Tambah apabila perasan mak su juga mengelap pipi yang disinari air jernih. Malahan keadaan mak teh pun sama. Namun ego wanita itu buat dia palingkan muka jauh-jauh, sembunyikan hakikat mata yang basah. Sirin terus diam. Tak pernah dia tahu arwah pak long ada menyimpan kisah sedih sebegini. Spontan, dikaut jemari tangan mak lang dan jemari tangan itu digenggam erat.
"Sayang, keinginan pak long Rin tak pernah tercapai. Lepas satu tahun, surat talak sampai daripada mak long Rin, minta dilepaskan. Nak tak nak bercerai jugak. Sejak tu semangat pak long Rin hilang. Perlahan-lahan… dia pun pergi. Tapi masa hayat dia, pak long Rin tak pernah jemu jejaki mak long Rin, malahan sampai akhir nafas dia, itulah usaha yang tak pernah dia hentikan. Lepas arwah pergi, arwah ayah Rin pulak teruskan. Berita yang kami dapat daripada orang yang diupah arwah ayah Rin, mak long Rin berhijrah ke China dan tak pernah berkahwin lepas cerai. Dan dia ada anak nama Ailee. Yang terkini, ikut maklumat orang upahan Im, mereka ada di Malaysia. Kalau diikut, umur Ailee dah 33 tahun sekarang. Mungkin dah berumah tangga, mungkin tak. Entah kat manalah dia orang sekarang…" Asma menarik nafas panjang sesudah selesai menceritakan semuanya.
Sirin hanya diam membungkam. Sehitam ini kisah pak long? Ya Allah. Dia tidak pernah tahu. Mungkin pak long bersalah pada awalnya, tapi bukankah pak long sedar sudahnya? Kenapa mak long terlalu degil untuk menerima maaf pak long? Tapi, ada jaminankah ia takkan berulang? Bukankah dia sendiri sering memikirkan soalan itu? Jadi apa haknya untuk tuding jari kepada mak long, yang hanya mahu jaga hati dan perasaan agar tidak disakiti sekali lagi?
"Ailee dan ibunya tak tinggal kat China lagi dan tu lebih sukarkan pencarian. Walaupun tahu mereka dah kat Malaysia, tapi…" Atiyah menggeleng-geleng. "It's harder to find. And, they are hiding. Dia orang tak mahu kita jumpa kut. Tapi Im tetap nak pencarian diteruskan dan kalau tahu kat mana dia orang, pastikan dia orang tahu yang kita mencari dan menunggu selama ni. Tak pernah berhenti. Cuma… tak pastilah kalau dia orang nak jumpa kita ke tak bila dah jumpa nanti…"
Sirin lihat saja Atiyah mengeluh penuh rasa.
"Bagi kak teh, lebih baik dua beranak tu terus duduk kat mana dia orang ada sekarang. Dia orang tak diperlukan lagi! Im pun satu. Buat apa entah suruh si Jamil jejak dia orang lagi. Dia orang tu dah tak ada hubungan dengan kita semenjak kak long mintak cerai!"
Asma dan Atiyah sama-sama mencerun mendengar kata-kata Ainun. Sungguh tak sayang mulut!
Sirin hanya melihat. Tidak layak rasanya untuk buka mulut beri pendapat. Apatah lagi campur mulut.
"Kak teh tak patut cakap macam tu! Ailee tetap darah daging abang long!"
Sirin mula rasa tidak enak dengan intonasi suara mak su. Wanita itu lembut orangnya. Tapi kalau marak, hilang rupa orang, apatah pula bahagian lembut. Dia pandang pula mak teh. Tegang terpamer. Akhirnya, mata mati kepada mak lang, yang sedang menanti pandangannya. Dengan isyarat mata, wanita itu mengarahkan dia agar lekas-lekas berlalu dari situ.
Sirin tidak tunggu lama. Terus pecut serupa dapat kereta.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 14, 2013 02:02

Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.