.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 15] :.

MEMELUK tubuh, Sirin mengorak kaki perlahan-lahan. Tidak perlu mengejar waktu kerana dia bukannya melarikan diri daripada sesiapa. Sekadar membawa diri jauh daripada hiruk-pikuk yang mengisi halaman luas belakang Vila Fatih ketika ini. Tiba-tiba dia rasa perlu lari daripada semua itu. Mahu menyendiri demi dirinya sendiri. Perlukan waktu untuk melawan arus perasaan yang tiba-tiba dilanda gempa bumi.Aturan kaki Sirin masih seperti tadi. Santai dan bersahaja. Terus menyusuri jalan buatan yang disediakan sepanjang jalan ke taman bunga mini milik arwah Puan Nurfatih.
Nama bunga-bunga di taman mini ini tidak pernah Sirin ingat, walau berulang kali aunty nyatakan kepadanya. Semua ini bukan minatnya. Senang cakap, tak berkenan. Namun di sini, dia sering memperoleh ketenangan. Di sini, jiwanya tidak tahu dihempas badai. Di sini, hatinya selalu lapang.
Kerana itulah Sirin ke sini. Dia perlukan semua itu saat ini. Malah, dengan berada di sini Sirin terasa lebih dekat dan hampir dengan aunty. Walau wanita itu sudah terlalu lama meninggalkannya. Sama seperti mama, yang tinggalkannya empat tahun sebelum itu.
Sirin akhirnya melabuh punggung di sebuah kerusi buatan yang sengaja diletak di tengah-tengah taman bunga mini itu. Sekelilingnya tentulah rimbunan pohon-pohon bunga pilihan aunty sendiri. Malah di sinilah dia selalu menghabiskan waktu petangnya, bersama wanita itu. Sama-sama menikmati minum petang sambil berbual kosong. Namun, setiap ungkapan dari mulut wanita itu adalah amat berharga untuk Sirin. Ia mengiringi setiap langkahnya selama ini.
Ungkap wanita itu penguat jalannya. Bicara suami wanita itu pengukuh langkahnya. Mereka berdua penuh makna dalam hidup Sirin sampai kini.
Sirin masih ingat, ada kalanya uncle serta Azaim akan turut menyertai dia dan aunty di sini. Kala itu akan tambah havoc suasana petang mereka. Usik-mengusik, manja-bermanja. Masa paling ceria kerana itulah waktu biasanya mereka dapat berkumpul bersama.
Senyuman tipis menyentuh bibir Sirin saat mengenangkan zaman penuh kemanisan itu. Namun ia segera terpadam apabila menyedari harga kepahitan yang menyusul.
Sebelumnya, selepas pemergian papa dan mama ketika usianya hanya 12 tahun, dia berada di bawah jagaan saudara mama. Saudara jauh mama. Seorang pak cik yang mama sangat jarang jumpa. Seorang pak cik yang tidak menerima perkahwinan papa dengan mama, menentang sakan. Dan kerana mama mengikut mahu hati dan perasaan, lelaki itu menolak mama jauh daripada kehidupan bersaudara.
Lalu hiduplah mama dan papa, berdua saja tanpa sanak saudara. Kemudiannya bertiga setelah kelahirannya setahun selepas bergelar suami isteri. Atas sebab itulah, selepas mama dan papa tiada, Sirin menurut saja apabila lelaki bergelar pak cik kepada mama itu mengambil dia.
Tapi sekejap saja dia bersama lelaki itu. Dia dihantar ke rumah saudara isteri pak ciknya. Dua keluarga berbeza untuk masa tujuh bulan. Tapi pelbagai sakit dan kecewa menjadi galang gantinya sampaikan dalam usia 12 tahun dia sudah menjadi terlalu matang untuk usianya, juga teramat pendiam. Jarang dengar suara, jarang buka kata. Dia bukan lagi Sirin yang berceloteh suka saja gemarnya sewaktu ada papa dan mama. Tidak juga Sirin yang bergirang ria saja tahunya ketika ada papa dan mama.
Dan untuk dua bulan selepas itu, ketika kembali bersama pak cik mama, dia jadi lebih matang dan diam. Dan sangat berjaga-jaga.
Sampailah malam dia berdiri di hadapan Vila Fatih pada malam itu. Masih hendak diam, masih tahu matang. Berjaga-jaga pula dari segi hal hati. Bukan lagi dari segi yang dia takutkan selama dua bulan sebelumnya di bawah jagaan pak cik mama. Dan sebaik tiba ke Vila Fatih, Sirin sudah mengajar hatinya untuk terus tega disakiti. Bersedia kalau-kalau luka yang ada jadi lebih-lebih besar lagi.
Tapi penerimaan penghuni Vila Fatih telah mengubah segalanya.
Dalam kegembiraan yang dikecapi, dia lupa tegarkan hati. Janji itu dia jadi tidak ingat. Sudahnya, dia membayar lagi. Buat ke sekian kalinya, kesakitan jadi sagu hati. Kali itu, pedihnya lebih-lebih lagi. Tusukan sembilu itu membuatkan ada nanah busuk dalam hati. Sesungguhnya, kesan tanggungannya lebih hebat daripada dibuang sanak saudara sendiri.
Haruskah dia menyalahkan takdir yang tidak pernah memihak kepadanya?
Tidak! Tidak mungkin! Itu melawan kuasa Tuhan namanya. Tambahan pula Dia sudah beri jalan kepada aku dan aku yang pilih jalan ni.
Dan arwah mama tidak pernah mengajar Sirin untuk membelakangi takdir yang Maha Kuasa. Arwah aunty tidak pernah mengajar Sirin untuk menuding jari kepada orang lain kiranya apa yang berlaku adalah atas pilihan diri sendiri. Ya, apa yang berlaku adalah silapnya. Hati yang alpa, minda yang leka. Kerana itulah semua ini berlaku. Kerana itulah kepedihan ini masih berbaki.
Ciri peribadi yang kuat adalah mampu menghadapi dan mengatasi kepedihan, ketegangan, kemalangan, kekalahan dan duka derita dengan rasa tawakal dan ketekunan usaha, disertai dengan keberanian ujian hidup. Dengan itu kita akan mampu mengambil manfaat daripada semua pengalaman itu, untuk mendewasakan diri, untuk lebih mematangkan dan menyempurnakan diri.
Itulah petikan daripada buku mengenai Rabiatul Adawiyah yang pernah dibacanya. Kekasih Allah yang hanya mencintai-Nya tanpa sebarang rasa belah bahagi. Mungkin Sirin tidak mampu jadi sepertinya, malah separuh daripada diri itu pun belum tentu. Namun tiada salah kiranya dia turut berpegang pada kata-kata itu sebagai pemberi semangat untuk diri, kala kekecewaan cuba mengejar. Jadikan ia pedoman serta kata nasihat dalam mencari kekuatan diri.
Ya, tiada salahnya. Dalam diam Sirin mengiakan.
“Kenapa angguk macam tu…?”
Sirin menjerit kecil. Terlalu terperanjat. Sama sekali tidak menyangka dia tidak sendirian lagi. Sejak bila, dia sendiri tidak tahu.
“You scared me to death!” Sirin mengurut dada. Rasa terkejut yang tersua pada mukanya diganti pula dengan rasa lega. Mujur bukan jembalang taman!
“Ya Allah…” Sirin terus-terusan mengurut dada. Selain itu, demi memastikan tangannya tidak melayang, menghentak tubuh Azaim yang telah mememeranjatkannya.
Akhirnya, Sirin angkat muka, merenung tajam paras Azaim yang sedang menggaru telinga. Sedar dirilah tu. Sedar dia dah buat salah.
“Abang Im tak sengaja. Bukan niat Abang Im…” Sambil menggaru telinga, Azaim memohon. Kemudian dia tayang gigi. Walaupun dia yakin ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kepada Sirin. Gadis itu bukan arwah ibunya atau Mak Tua, yang mudah tergoda dengan gelagat sebegitu.
Sirin cepat-cepat palingkan muka dari wajah Azaim. Senyuman manis Azaim membuatkan hatinya rasa tidak kena. Macam ada orang yang sua tangan ke dalam mulutnya, terus sahaja hingga menyentuh hati, menggeletek nakal. Dia tidak punya kekuatan luaran mahupun dalaman untuk menghalang semua itu. Azaim selalu buat rasa suam-suam menjengah diri.
Azaim mengeluh kecil. Kan dah cakap, Sirin tak akan terkesan sedikit pun dengan senyumannya. Mungkin sahaja bak melihat lukisan yang sedang tersengih. Dia melihat sahaja Sirin yang sengaja meliarkan mata ke sekitar taman bunga mini arwah ibu.
Ah, ibu. Inilah syurga ibu saat wanita itu masih bernyawa. Pantang ada masa terluang, pasti ibu akan habiskan setiap saat itu di sini. Ibu tak akan betah duduk kiranya satu hari tidak langsung jejakkan kaki ke sini. Di sini tempat ibu mencurah segala kasih sayangnya, buat setiap bungaan dan tumbuhannya. ‘Anak-anaknya’. Ada ketikanya dia lihat ibu berbual sendirian dengan ‘anak-anaknya’. Jika disoal, kata ibu, itu cara dia menunjuk perasan sayangnya. Kata ibu lagi, tumbuhan peliharaannya itu juga hidup, bernafas, seperti manusia. Ia turut perlukan perhatian, bukan sekadar penjagaan.
Malah sikap ibu yang satu ini turut jadi ikutan Sirin dahulu. Sirin sendiri suka berbual dengan bunga-bunga peliharaan ibu. Pernah sekali dia terdengar perbualan satu pihak antara Sirin dan bunga di sini. Kalau tak salah, pilihan Sirin ketika itu adalah rimbunan mawar kuning ibunya. Dah terlanjur terdengar, Azaim pun pasanglah telinga. Nak tahulah juga apa yang Sirin luahkan pada rimbunan mawar kuning di hadapannya, dengan penuh perasaan dan emosi.
Rupanya Sirin sedang mengadu tentangnya. Dia sendiri sudah lupa apakah ketidakpuasan hati Sirin waktu itu. Namun satu yang Azaim sedar, tiap kali Sirin marah atau radang dengannya, Sirin akan dapatkan mana-mana bunga di taman ini. Melainkan pagi tujuh tahun lalu. Marah serta rajuk dalam hati disimpan sahaja. Diusung bersama sehingga ke hari ini.
Azaim mengetap bibir, memaksa diri keluar daripada selubung kenangan. Semua itu sudah berlalu. Walau berjuta kali dia mengharap segalanya kembali pada malam tujuh tahun lalu, namun semua itu bukan dalam bidang kuasanya. Walau hati ingin sekali membetulkan kesilapan itu, demi kembalikan Sirinnya, tapi takdir tidak pada pihaknya. Namun jauh di sudut hati, Azaim tidak pernah jemu memanjatkan kesyukuran kepada yang Maha Tinggi. Sekurang-kurangnya dia ada peluang ini.
Azaim akan pastikan Sirinnya kembali kepadanya semula.
Azaim pandang Sirin, yang sengaja terus menumpukan perhatian pada persekitaran sebelah kanannya. Sebelah kiri tak kerling langsung. Maklumlah, dia sedang berdiri di situ.
“Sirin?” ucap Azaim mengakhiri kebisuan.
“Ada apa? Abang Im buat apa kat sini? Apa yang Abang Im nak?”
Soalan bertalu-talu daripada Sirin membuatkan Azaim terkebil seketika. Tidak sangka panggilan Sirin tadi mempunyai impak sebegini kepada gadis ini. Jelas ketidakpuasan Sirin menggebu dalam setiap soalan kerasnya itu. Soalan baling batu tak sembunyi tangan tu!
“Abang Im risau tengok Sirin. Tiba-tiba bawa diri ke sini. Adham dengan Afham masih usik Sirin?”
“Kami bukan budak lagi. Kami dah tinggalkan semua tu kat belakang. Saya kat sini sebab nak bersendirian, tapi tak tercapai pulak. Tetap ada gangguan. Punyalah luas Vila Fatih ni, tapi…” Sirin sengaja tidak menyudahkan kata. Hanya mengharap Azaim mengerti akan maksudnya. Dan dia yakin pemuda itu faham.
Azaim senyum kecil. Dapat menangkap sindiran Sirin yang memang berniat itu.
“Macam mana dengan majlis malam ni? Seronok?” tanya Azaim seraya melabuh punggung di sebelah Sirin. Kerusi panjang itu mampu memuatkan tiga orang, namun dia sengaja mencari peluang untuk membenarkan orang keempat duduk di situ. Saja-saja nak rapat-rapat dengan Sirin.
Sirin pamer muka tidak puas hati, memandang tangan Azaim yang berada di atas paha pemuda itu. Paha yang kini menyentuh pahanya sama. Kemudian matanya kembali ke muka Azaim. Berulang kali Sirin berbuat begitu. Nak kasi hint sikit kat awak tu yang awak tu dah overstep boundary. Namun usahanya tidak membuahkan sebarang hasil. Kedunguan Azaim membuatkan pemuda itu tidak mampu menangkap maksud yang mahu disampaikan. Tayang muka pintu kereta, buat dek. Itu aje!
Kureng! marah Sirin dalam hati seraya menjarak sedikit daripada Azaim. Tidak rela bersentuhan, sekalipun berlapik. Kerana hangat tubuh pemuda itu tetap tembus lapisan baju antara mereka. Tiba-tiba saja perut Sirin memulas tiga macam.
Bersama senyuman nakal mula terpasang, Azaim mengulang soalannya tadi. “Sirin tak jawab soalan Abang Im tadi. Abang Im tanya… macam mana dengan majlis malam ni? Seronok tak?”
Sirin angguk. “Dah lama tak jumpa semua. Banyak dah berubah rupanya.”
“Sirin yang larikan diri daripada semua ni.”
Sirin diam. Mengetap bibir cuma.
Azaim mula mengutuk diri sendiri. Dia tidak berada di sini untuk mengenang semula kisah silam, sebaliknya untuk mencipta kisah baru, yang bakal menjadi satu kenangan manis antara mereka. Bodoh! Bengap! Azaim memarahi dirinya.
Azaim berdeham kecil. “Hmm, Abang Im minta maaf. Abang Im tak sepatutnya cakap macam tu.”
Sirin membisu. Niatnya mahu terus-menerus begitu. Namun bila difikirkan ini adalah kali terakhir dia di sini, malah mungkin sahaja kali terakhir mereka duduk berbual-walau semenjak tadi mereka tidak berbual sebetulnya-begini, Sirin sudahnya mengalah pada kedegilan hatinya. Kewarasan akal mengajaknya untuk menjernihkan suasana, menghambat ketegangan yang cuba mengambil tempat. Biarlah perpisahan kali ini adalah dengan cara yang baik. Tanpa sengketa atau rasa hati. Itu yang Sirin mahu kenang di masa akan datang, ketika dia memulakan kehidupan lain di negara orang.
“Sudahlah, tak perlu cerita pasal benda dulu,” kata Sirin, akhirnya membuka mulut. Mengajar diri untuk memaniskan muka, menyedapkan bicara.
Kedengaran keluhan lega terhambur keluar dari kerongkong Azaim. Jelas sangat di pelupuk telinga Sirin.
“Sirin kata banyak yang dah berubah. Apa yang paling berubah, rasa-rasa Sirin?” Azaim berjaga-jaga mengatur kata. Dia perlu bijak menggunakan peluang ini. Ia tidak datang selalu, malah tidak juga datang bergolek. Kalau kali ini dia gagal, dia tahu maksudnya-gagal untuk selama-lamanya.
“Paling saya terkejut, Kak Adni. Tak sangka sangat hubungan Kak Adni dengan Abang Eman boleh jadi macam tu. Dan tak sangka, walaupun singkat, tapi dia bahagia dengan suami dia. Betul-betul bahagia.” Senyuman tipis meletus pada bibir Sirin tanpa sedar.
Azaim renung seketika Sirin yang sedang tersenyum manis. Tanpa sedar tentunya. Kalau sedar, mana adanya Sirin nak sedekahkan senyuman sebegini kepadanya. Sudah lama senyuman itu tidak jadi hadiahnya. Betapa dia rindu.
“Cinta sejati adalah cinta di mana kita tak pernah berharap dengan yang kita cintai namun berharap agar Dia reda dengan cinta itu.”
Ungkapan Azaim membuatkan Sirin terkaku. Senyumnya sama mati. Tidak sangka sama sekali bait kata yang ditutur kepada ibu-ibu saudaranya tadi akan meniti bibir Azaim. Ia bukan sesuatu yang pelik kerana kata-kata itu memang dia pinjam daripada Azaim. Bait kata yang pernah dihadiahkan Azaim untuknya, terakam kemas dalam kotak ingatannya. Kerana kata itu pemberian Abang Imnya. Tentulah Sirin ingat. Malahan, walau Azaim sekarang bukan lagi Abang Imnya, dia masih ingat semua itu.
Tapi… dia tidak pernah sangka Azaim akan ingati setiap patah kata itu. Sangkanya Azaim sudah lupa pada semua kisah itu.
“Sirin, kenapa?”
Soalan Azaim tidak mengembalikan Sirin ke taman bunga mini itu, sebaliknya kehangatan tangan pemuda itu, yang tiba-tiba mengaut tangan kirinya, menyedarkan. Bingkas Sirin menarik tangan.
“Apa ni?!” marah Sirin, melangsing suara.
“Abang Im minta maaf.” Azaim garu kepala. Hmm, nampaknya Sirin memang suka mendengar kata maaf keluar dari mulutnya. Kalau seumur hidup begini, ada baiknya dia rakamkan kata maafnya dalam kaset. Bila Sirin terasa nak dengar saja kata itu, boleh on.
“Sirin tak apa-apa ke? Sirin nampak semacam tadi. Kenapa?” Azaim bertanya cepat-cepat. Cuba mengelakkan diri daripada perlu re-play perkataan yang sama.
“Saya tak apa-apa. Okey.”
“Sure?” Azaim masih harapkan kepastian. Anggukan Sirin buat dia menjongket kedua-dua belah bahu kemudian bertanya, “Sirin ingat lagi kata-kata tadi?”
Sirin sedikit kaget. Namun gadis itu cepat-cepat gelengkan kepala. Kembali pada tayangan muka selamba miliknya, yang sering menemaninya semenjak dua hari di Vila Fatih.
“Oh…” Azaim meraup muka. Sebetulnya nak sembunyikan senyuman yang terpasang pada bibir, tanpa dapat dihalang.
Masakan tidak, Azaim tahu Sirin sedang berbohong kepadanya. Berpura-pura melupakan kisah lalu sedang segalanya kemas dalam ingatan gadis itu. Sirin tidak lupa pada ungkapan tadi. Dia yakin. Bibir Sirin boleh menipu, namun bukan wajah Sirin sebentar tadi. Sirin masih ingat lagi! Hehehe. Tak boleh lepaskan peluang kalau gini. Azaim sudahnya membawa tangan, dari muka terus ke rambut hadapan, dikuak. Seolah-olah memperkemas juntaian rambut hadapannya, yang tak ganggu pandangan pun.
“Saya nak tanya sesuatu, boleh?”
“Hmm, tanyalah…” Azaim melontarkan pandangan ke muka Sirin, yang sengaja mengelak daripada menentang mukanya.
“Pasal arwah pak long. Betul ke arwah pak long ada anak perempuan? Dah jumpa dia kat mana sekarang?”
Dahi Azaim berlapis. Tidak menyangka itu soalan yang akan keluar dari mulut Sirin. “How did you know about this?”
“Kenapa? Saya tak boleh tahu? Sebab saya bukan ahli keluarga ni? Bukan anak buah sebenar pak long? Macam tu?” serang Sirin terus. Tak fikir lanjut.
“Sirin… apa ni…? Abang Im cuma tanya…”
“Tak apalah. Biarkan. Abaikan aje soalan tu. Saya tak nak tahu apa-apa!” Keras intonasi yang dihantar, menutup rasa hati sebenar.
“Sirin…” panggil Azaim lembut. Tahu Sirin mula diacah perasaan geram. Bukan kepada dirinya. Tapi rasa itu adalah untuk diri gadis itu sendiri. Terlanjur bertanya punya hal.
“Dahlah, saya tak nak tahu apa-apa. Saya sepatutnya belajar daripada apa yang berlaku dulu. Tapi saya ni…” Senyuman hambar muncul.
“Cepat lupa. Lupa Sirin Hassan bukan ahli keluarga Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih. Lupa saya tak ada sangkut-paut dengan mereka atau keluarga mereka.” Sirin sebak kasar rambut hadapannya.
“Sirin cakap apa ni?!” bentak Azaim jadi kurang sabar. “Ini keluarga Sirin. Semua yang ada malam ni, yang datang beramai-ramai malam ni, adalah keluarga Sirin!”
“Ini bukan keluarga saya! Abang Im dah pastikannya sejak hari tu. Tak payah berlakon lagi. Saya dah faham! Terlebih faham!”
Keluhan kasar terluah dari ruang dada Azaim. “Sirin, yang dulu tu… satu kesilapan. Abang Im tak rasa benda tu salah waktu tu. Tapi sekarang, Abang Im jelas sangat apa yang Abang Im buat tu salah, silap. Tak boleh ke kalau Sirin lupa semua tu? Tak mampu ke Sirin maafkan Abang Im?”
“Saya tak mintak apa pun. Hanya minta layanan seperti seorang adik. Tak k lebih daripada tu. Bukan layanan tuan puteri atau sebagaimana Abang Im layan Sal.”
“Sal?” Azaim blur. Macam mana Salmiha boleh masuk dalam perbincangan-atau perdebatan-mereka ini?
“Ya, Sal. Salmiha. Tak ingat? Yang Abang Im usung sejak tadi. Bakal isteri Abang Im tu!” Sirin berpeluk tubuh, sudah mengalih tubuh agar menentang Azaim.
Azaim tambah tidak faham dengan arus perdebatan mereka. Mula-mula nama Salmiha dikaitkan dengan cara dia melayan Sirin dan kini kisah Salmiha bakal menjadi isterinya. Wah, satu khabar baru, yang dia sendiri tidak pernah tahu. Hmm, bunyi macam menarik. Apa kata kita dengar keseluruhan cerita?
“Sal… bakal isteri Abang Im?” Azaim menjongket sebelah kening.
Sirin mula geram. Nak berlakon konon! Sudah tergaru bertanya pula! Miang! Tak payahlah tayang muka takjub ala I-tak-tahu-pun! Ni, I dah tahu segala.
“Tak payah berahsia lagi. Semua dah tahu sejauh mana hubungan Abang Im dengan Sal tu. Abang Im kata ni majlis keluarga, tapi Sal kat sini. Apa yang Sal buat kat sini kalau bukan sebagai keluarga atau lebih tepat, bakal jadi keluarga. Bakal isteri, bakal keluargalah, kan…?” Sirin mengangkat kedua-dua belah kening. Payback time konon!
“Syam and Kasyah are also here. Are they also my would be wife? The second and the third?” Azaim senyum kecil. Lucu dengan logik Sirin dalam mengintepretasikan hubungannya dengan Salmiha. Dalam masa yang sama lucu lihat perubahan wajah Sirin mendengar soalannya tentang Syamsul dan Kasyah.
“Don’t throw logic at me! Yang penting, saya tahu siapa Sal dalam hidup Abang Im dan yang paling penting, saya tak pernah minta Abang Im layan saya macam tu. Sikit pun tak pernah!”
Ah, now we’re back to the topic! Ufh, orang perempuan ni… Pelik. Mula-mula satu topik, kemudian tiba-tiba aje masuk topik kedua, lepas tu boleh pulak U-turn pada topik yang mula tadi. Pening kepala aku. Seumur hidup pun, tak adanya dapat faham perempuan!
“Abang Im tak faham apa yang Sirin nak sebetulnya,” ujar Azaim, berterus terang.
“Saya nak dilayan macam adik. Itu yang saya nak!” bentak Sirin mula berang dengan sikap acuh tak acuh Azaim. Dia sedang berperang dengan perasaannya ketika ini, Azaim pula boleh bersikap endah tak endah?
“Abang Im tak boleh. Abang Im tak boleh layan Sirin macam adik. Abang Im tak mampu…” ucap Azaim lembut. Lebih kepada nada memujuk. Tidak mahu marah di hati Sirin marak. Bukan itu caranya untuk mendapatkan Sirinnya semula.
Sirin diam. Agak lama. Akhirnya dia menggeleng kecil. “Tengoklah, saya masih tak berubah. Lepas tujuh tahun, saya masih nakkan benda yang sama. Saya tahu Abang Im tak boleh anggap saya sebagai seorang adik, tak mampu layan saya sebagai adik… tapi masih harapkannya. Saya patut ingat, saya dibuang dari sini dulu pun sebab Abang Im tak nakkan adik. Saya tak patut lupa…”
“Sirin…”
“Cukup!” potong Sirin sebelum Azaim meneruskan. Bosan mendengar atur maaf serta sesal daripada pemuda itu. “Saya tak nak cakap pasal ni. Tak payah layan saya macam adik. Tak perlu! Cukuplah sebagai tetamu di sini. Sampai masa, biar semuanya sudah dengan baik. Saya akan balik ke UK semula nanti dan harapan saya hanya satu. Kita berpisah secara baik, tak ada sengketa. Itu aje.”
Sirin bingkas daripada duduknya. “Saya tak nak dicampak keluar dari sini sekali lagi. Tak sanggup! Biar saya keluar secara elok. Biar akhir semua ni secara aman. Tak perlu anggap saya sebagai adik, tapi hanya selaku tetamu, yang akan pergi bila sampai waktunya. Saya masuk dulu. Penat!”
Sirin terus berlalu. Tidak menoleh ke belakang untuk melihat reaksi Azaim. Namun kebisuan Azaim, yang tidak menghalang langkah kakinya, mencetuskan perasaan pedih dalam hati. Bukan apa yang pernah dirasainya sebelum ini. Berbeza. Terlalu aneh. Terlalu baru.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 28, 2013 00:12
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.