.: Zara Zara [Bab 1*2]

DENGAN separuh badan menunduk, perlahan-lahan aku tolak tombol pintu yang tertutup rapat dan agak berat untuk makhluk cikeding. Usaha sungguh-sungguh dengan kedua-dua tangan aku genggam tombol dan pusing lalu tolak perlahan-lahan. Seterusnya, penuh hati-hati kalah orang hendak mencuri, aku sua muka antara bukaan pintu dewan yang sumgguhlah berat itu. Aku ushar habis ruang dewan Sekolah Menengah Jalan Atas, yang ketika ini berlangsungnya upacara alu-aluan buat pelajar-pelajar Pra-U 2012.
Hari ini, tanggal 12 Mei 2012, studen-studen tingkatan enam dulunya dan kini diangkat sebagai Pra-U, diterima masuk ke sekolah ini. Satu-satunya sekolah dalam kawasan ini yang menerima pelajar tingkatan enam. Sekolah Menengah Jalan Bawah memang taklah. Sekolah Menengah Jalan Kiri dan Sekolah Menegah Jalan Kanan, pun tak ada. Jalan lain, lagilah tak ada. Jalan Atas saja satu-satunya jalan untuk pelajar-pelajar yang hendak ambil STPM.
Disebabkan itulah aku dipaksa dengan cara agak senonoh oleh umi, agar melanjutkan pelajaran ke sini walaupun aku dah hentak kaki gaya kanggaru tak hendak tak hingin!
Muka yang aku kepit bagai burger paling ramping isinya, antara dua pintu, aku arahkan ke barisan-barisan panjang yang diletakkan di ruang tengah dewan. Tiga bahagian hadapan diisi tubuh-tubuh pelajar lelaki yang berbaju kuning lembut dengan seluar slek hitam, berserta tali leher hitam. Manakala empat barisan di belakangnya pula diisi pelajar-pelajar perempuan yang berpakaian seperti aku. Ada juga yang tidak bertudung antara mereka, pelajar bukan Islam. Namun anggun berbaju kurung.
Dan di barisan keempat, barisan pertama pelajar perempuan, aku mulakan adegan pengimbasan. Aku yakin sahabat baik boleh tahan sejati tak Search aku ada di barisan itu. Hazma binti Abdullah tu memanglah kaki tempat paling depan. Sebabnya senang hendak nampak apa yang patut nampak--lelaki kacak, handsome, tampan dan yang sama waktu dengannya. Antena bergerak aje kalau bab jantan jambu air! Menganga sakan...
Macam sekarang!
Dari sudut yang begini pun aku boleh tahu mana satu Hazma dalam barisan keempat itu. Makhluk yang paling luas ngangaan mulutnya tengok depan. Sebab di depan tu sekarang ini tidak berdiri Cikgu Besar Sekolah Menengah Jalan Atas yang memang besar, sebaliknya berdirinya seorang pelajar lelaki yang jadi wakil pelajar baru untuk berucap. Sekalipun muka mamat tu suci bercahaya-cahaya dari atas pentas sana, aku sikit pun tak ada rasa tertarik memang da'bomb hendak pandang. Bukan dalam antena aku!
Yang dalan antena aku, Hazma binti Abdullah yang nganga gaya nak bagi semua lalat satu Malaya tumpang berteduh barang seketika. Tinggal tak ada air liur menitik-nitik aje. Aku pandang kerusi di kanan dan kiri Hazma.
Yes!
Sebab inilah aku kata Hazma memang sahabat baik lagi sejati! Hazma sentiasa kosongkan kerusi untuk aku dalam apa keadaan pun. Tak pernah sibuk tanya kenapa aku lambat. Tapi, asal sedar aku akan lambat, Hazma dengan baik hatinya akan cop tempat untuk aku!
Itu Hazma binti Abdullah yang aku kenal sejak tingkatan tiga.
Masih memegang tombol pintu dengan kedua-dua tangan, aku tolak penuh perasaan pintu yang berat. Entah kayu jenis manalah dibuat pintu! Sambil tolak pintu, badan aku kekal dalam keadaan separuh tunduk. Elok saja lepas pintu dan berjaya diam-diamkan pintu ke tempatnya, aku terus buat gaya penguin miang. Kaki di atas lantai, badan merendah sehabis daya, aku jalan gaya penguin. Kiri, kanan, kiri, kanan. Ni kalau umi tengok... sah umi kahwinkan jugak aku! Tanpa belas kasihan dah.
Dengan gaya jalan penguin begitu, aku hati-hati bergerak ke barisan ketujuh di ruang tengah dewan itu. Mujur berjaya dengan cemerlang. Bila aku dah sampai ke barisan ketujuh baru ada yang perasan dan kebanyakan yang perasan adalah budak-budak satu sekolah lama dengan aku. Budak-budak yang dah hafal sangat dengan masalah rumah tangga aku--datang lambat!
Mereka berbisik-bisik “Lambat lagi?” kepada aku gaya menyakat dan aku membalas bagai sekolah lama dulu. Buat iklan ubat gigi!
Sambil itu aku terus ke baris keempat, untuk ambil tempat.
Elok saja sampai ke barisan itu, dengan peluh memercik pada dahi balik ruang dewan yang kipas-kipasnya ligat berpusing, aku dengan selambanya stunt di antara ruang yang ada. Tak ada maknanya aku nak berdiri tunjuk tak malu lalu masuk. Aku ini sungguh pemalu!
Makanya aku stunt gaya kucing merangkak sampaikan pelajar-pelajar barisan itu terangkat-angkat kaki, badan dan mula menceceh terganggu. Tak kurang pula yang ketawa semput. Di balik semua ini, bunyi latar masih ada. Bunyi suara memberi ucap yang terhenti sekejap, terteran seketika.
Tapi, tu bukan hal aku!
Hal aku adalah sampai dengan selamat dan berjaya duduk di sebelah Hazma--yang masih menganga gaya terngiur habis tengok depan. Rupanya bukan Hazma seorang kena sampuk gaya begitu. Ramai lagi minah-minah baju kuning yqng bagainya nak jadi geng I will follow you. Pakai Digi beramai-ramai gamaknya!
Ah, tu bukan masalah aku!
Masa dan waktu ini, aku hendak sampai ke kerusi kosong di sebelah Hazma, yang masih menganga sakan tak perasankan aku. Perasankan mamat yang tengah berucap di podium itu lagi! Yalah, aku ni kan tak handsome, kacak atau sewaktu dengannya. Aku ni… jelita! Cis, sungguh masuk bakul sendiri angkat! Habis, dah Hazma tak mahu tolong angkatkan…
Aku meneruskan ‘perjalanan’ ke destinasi sambil merangkak-rangkak terus. Pedulilah pada bunyi-bunyi kecil serta desas-desus yang sepertinya semakin berleluasa di dalam ruang dewan itu. Asal sahaja tak ada yang perasan akan aku. Malangnya, ingin aku tak jadi. Gagal. Digagalkan dek suara melengking satu macam dengan jeritan nyaring habis.
“Aaa!!! Tikus!!!”
Aku yang terkejut terus berhenti merangkak, tengok kiri kanan. Yalah, tikus kut. Bukan sugarglider ke apa. Tikus! Tahap comel tikus tu… aku tak pernah nampak langsung! Tikus tu… tak comel!
“Kenapa tu? Kenapa tu?” Suara dari atas pentas. Perempuan.
Bukan tikus!
“Tikus, tikus, tikus! Aaa… Gelilah!” Suara dari barisan ketiga, hampir dengan tempat aku terberhenti dengan kedua-dua lutut dan telapak tangan di atas lantai. Lela… Lelaki ke?
Terus aku angkat muka sikit untuk pastikan jantina tukang jerit yang masih menjerit itu. Mak aih, dah di atas kerusi dengan gaya geli tak ingat dan tak sanggup. Siap kepit-kepit kaki dengan sebelah tangan pada dada dan sebelah lagi pada pipi. Ini Usop Wilcha pun kalah! Gemalai sei! Patutlah aku ragu-ragu nak habiskan ayat lelaki tadi. Ghazal Untuk Ghazali rupanya!
Bukan tikus!
Jadi, mana pulak tikus? Terkebil sekejap aku, sampailah aku boleh faham. Lalu, terkelip-kelip menggayakan mata gedik masuk habuk filem Hindustan dulu-dulu, buat muka tikus paling comel dalam alam semesta, aku pun perlahan-lahan bangun, berdiri dengan memegang telinga, di atas tudung. Terus aku terkam mata ke pentas sana. Berdiri cikgu besar, tiga guru kelas Pra-U bersama guru kelas aku. Cikgu Widelia bam-bam yang comel walau tembam!
“Cikgu… saya, cikgu. Tikus kepala kuning cair. Teehee…”
Cikgu Widelia sentuh dahi dan dengan gaya ratu drama sengetkan tubuh ke kiri sedikit lalu berkata dramatik, “Oh, anak muridku…”
Ngam sungguh dengan tempat berdirinya Cikgu Fauzi, cikgu kelas Pra-U yang jadi bahan Cikgu Widelia main mata semenjak enam bulan sebelumnya, wanita bagai salinan Adibah Noor itu corner baring. Cikgu Fauzi pula seperti kena seru paut saja bahu Adibah, eh… Cikgu Widelia. Cikgu Widelia masih pegang dahi, tapi mata dah menggedik-gedik suka. Amboi, cikgu aku kan…
Cikgu-cikgu lain nampak lega dan tergeleng-geleng. Cikgu besar yang sebelumnya panjat naik ke atas kerusinya baru sedar dan perasan cikgu-cikgu lain tak perasan aksinya, perlahan-lahan turun dari kerusi, buat selamba dan lihat ke depan, menggeleng sakan. Aku perasan sangat ya aksi tu!
Aku tunjuk muka bersalah sambil pegang telinga terus. Apabila bertembung pandangan dengan Hazma, yang membulatkan mata kepada aku, aku sengih dan jelir lidah. Buat muka I-tak-sengaja-you. Pandangan aku terarah semula ke pentas dan di luar boleh, pandangan bertembung dengan mamat yang berucap di podium tadinya. Wakil pelajar Pra-U. Dan aku hampir tercekik ayat sendiri apabila nampak renungan makhluk Tuhan boleh tahan seksi itu. Padanlan kan Hazma tenung macam nak makan. Cumanya, waktu ini dia tengah renung aku macam hendak makan hidup-hidup. Tak ada barbeku, goring, stim atau sewaktu denganya. Makan hidup-hidup!
Terus hilang senyuman aku.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 22, 2013 04:13
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.