Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 97

June 18, 2011

BAPA Menceroboh Privasi Bapa

[image error]


Sebelum ini saya menerima emel yang saya pasti bukan SPAM. Ia dihantar ke emel peribadi saya.


Emel ucapan yang dihantar oleh PM dan keluarganya.


Kehairanan saya terjawab apabila Dato' Farid Ridzuan di dalam Twitter beliau secara terang-terangan menyerahkan database pelanggan halaman Media Prima kepada PM atau pihak yang menguruskan bagi pihak PM.



Semalam saya mendapat satu lagi ucapan Hari Bapa daripada PM melalui telefon bertalian MAXIS.


PM adalah PM. Tetapi bagaimana dengan privasi saya? Apakah nilai etika yang dipakai apabila data-data kita diberi sewenang-wenangnya tanpa persetujuan? Saya perlu membaca kembali teks syarat-syarat pendaftaran setiap kali mendaftarkan sesuatu.


Ya, teks yang panjang lebar itu.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Buntunya Bapa Terhadap Pendidikan Anaknya
Saya Bukan Bapa Mithali, Hanya Realiti
S.P.M : Ibu Bapa Permulaan Kita

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 18, 2011 19:55

Kapal Terbang Senget

[image error]


"Eh, kelas perniagaan? Buat apa rugikan wang. Saya ahli kelas ekonomi" saya bercakap dengan penganjur.


"Tak apa ustaz. Kami bukan apa. Kami nak ustaz selesa" katanya.


"Ekonomi pun selesa. Lagi pun perjalanan tak sampai satu jam" saya mengomel.


Bukan apa, kalau besar bajetnya, lebih baik tambah wang saguhati penceramah, daripada duduk di kelas bisnes. Membazir.


"Kami sebenarnya takut ustaz tak muat!" katanya.



Muka kering.


Aduh, besar sangat ke saya di matanya? Hingga tidak muat kerusi kelas ekonomi.


Tetapi saya sedar.


Tali pinggang keselamatan sudah hujung-hujung. Selepas pesawat mendarat dan saya membuka tali pinggang, tombolnya akan saya tolak ke tengah. Bimbang pekerja mengumpat, "siapalah si gemuk yang duduk di sini? Hingga habis tali pinggang dibuatnya"


Perjalanan dari Miri ke Kuala Lumpur petang tadi menggembirakan saya.


Tali pinggang sudah banyak boleh ditarik. Seperti orang lain. Kaki boleh duduk disilang. Peletak tangan sudah tidak terangkat-angkat dek lebihan muatan.


Paling menggembirakan saya, kini biar pun kepenatan saya sudah tidak berdengkur semasa tidur di dalam pesawat. Semuanya dengan izin Allah selepas kerja keras semenjak Mac lalu.


Sahabat-sahabat,


Jangan tertekan membaca cerita saya ini. Jangan kerutkan dahi.


Senyumlah.


Katakan kepada diri, "kalau Hasrizal boleh, mengapa tidak saya!"


Kalau sahabat di depan saya, saya ingin memeluk anda dengan ukhuwwah. Berbisik di telinga, "anta boleh!"


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

KLIA




Related posts:Segalanya Tidak Disengajakan
Ustaz Haji Nahar Haji Mantamin Dalam Kenangan
MHSHC: Selesai Sudah

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 18, 2011 05:15

June 17, 2011

Pertemuan Ilmuan Dan Da'i Malaysia

[image error]


Foto ihsan: Zaharuddin.Net


Saling berpesan untuk kebenaran bersama kesabaran, bukanlah agenda kecil.


Ia mengiringi untung rugi hidup sebagai hamba Allah yang menghargai masa kehidupannya.


Alhamdulillah segala puji bagi-Nya yang telah melimpahkan kurniaan rezeki untuk para asatizah berhimpun di dalam sebuah 'usrah', dengan inisiatif al-Fadhil Ustaz Haji Zaharuddin Abdul Rahman yang mengambil inspirasi usaha Sheikh Yusof al-Qaradhawi dalam hal ini.


Pertemuan pertama diadakan bulan lalu di kediaman beliau, manakala pertemuan kedua berhasil diadakan dengan Ustaz Zahazan Muhammad sebagai tuan rumahnya.



[image error]


Foto ihsan: Zaharuddin.Net


Usaha ini mensasarkan manfaat dalam dan luar.


Manfaat dalaman adalah dalam bentuk taujihat, pertukaran pengalaman, ilmu pengetahuan dan hasil pemerhatian terhadap pelbagai isu serta cabaran yang wujud di dalam masyarakat. Ia juga menjadi medan untuk para asatizah saling nasihat menasihati, memberikan sokongan berdasarkan kepakaran masing-masing terhadap isu yang dihadapi bersama.


Manakala manfaat luaran pula adalah untuk dari semasa ke semasa berkongsi pandangan 'pihak ketiga' dalam persoalan-persoalan yang berlegar di tengah masyarakat. Pandangan ketiga yang diharapkan dapat mengimbangi kecenderungan yang kerap dibelenggu persepsi label, perkumpulan, hingga manhaj ilmiah yang menjadi tunjang satu-satu pendapat tidak berhasil diberi keutamaan.


Demi mencapai matlamat inilah, pertemuan kedua kami memberikan fokus kepada PEMIKIRAN WASATIYYAH sebagai core value dalam usaha menyatukan umat Islam merentas segala perkumpulan. Hanya Islam dan prinsip-prinsipnya yang mendukung kerjasama justeru perdamaian.


Setakat pertemuan kedua, barisan asatizah yang menganggotai usaha ini adalah:


[image error]


Foto ihsan: Zaharuddin.Net


Ahli-ahli setakat ini terdiri dari ilmuan berikut :-



Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ( Mursyid Liqa')
Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,
Ustaz Dr Zahazan Muhammad,
Ust Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
Ust Aizam Mas'ud,
Ust Hasrizal Abdul Jamil,
Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,
Imam Muda Asyraf,
Ust Ramadhan Fitri,
Ustaz Dr. Maszlee Malik,
Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,
Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman ( Pengerusi / Moderator Liqa')
Ust Syed Mohd Norhisyam

Bagi urusan sekretariat dan teknikal, kami menerima bantuan dua tokoh muda iaitu:



Saudara Imran Koyube (iluvislam)
Ust Ahmad Syarief

Moga usaha ini mendapat Rahmat dan Inayah Allah buat kami terus memperbaiki diri dan membantu mengislahkan masyarakat ke arah mengagungkan Allah dan mengangkat Rasul-Nya sebagai pemimpin ulung umat merentas zamaan dan makaan, ameen.


[image error]


"Tidaklah wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab dan Hikmah serta Kenabian, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya." [Aal 'Imraan 3: 79]


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

facebook.com/hasrizalabduljamil

68000 AMPANG




Related posts:Pertemuan Bukan Milik Kita
Malaysia Hari Ini (MHI) Sempena Maulid al-Rasul
9: 122… Dari Gombak ke Subang Jaya

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 17, 2011 17:32

June 16, 2011

Seminar Transformasi Ramadan – Tandakan Kalendar Anda

[image error]


AKADEMI SINERGI akan menganjurkan SEMINAR TRANSFORMASI RAMADAN pada 24 JULAI 11 akan datang.


Seluruh isi kandungan buku ini akan diwacanakan kepada Transformasi PIES iaitu Physical, Intellectual, Emotional dan Spiritual.


Semoga Ramadan kali ini disambut dengan penuh tenaga, menjadikannya benar-benar Madrasah Transformasi Diri, dengan izin-Nya.


Tandakan kalendar anda sekarang!



Hubungi 013 2006840 (Mohd Noor) atau 012 2240622 (Firdaus) untuk keterangan lanjut


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

facebook.com/hasrizalabduljamil

68000 AMPANG




Related posts:DAFTAR: Kem Sinergi Remaja 2011
Seminar Manual Cinta Haraki di Ipoh
Sinergi Keluarga Bahagia: Seminar 3K

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 16, 2011 22:02

1001 Sajian Kehidupan di Taman Tasik Ampang Hiliran

[image error]


Ada Makcik Arab pakai Jubah berlari sambil menolak stroller yang di dalamnya ada bayi perempuan comel tersengih-sengih dengan henjutan.


Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.


Ada pakcik-pakcik pencen berketayap, berjalan pantas bersama dua rakan sesurau, agaknya.



Ada suami dan isteri yang berpeluh-peluh berdiri mengadap tasik. Isteri dengan penuh kasih sayang mengusap-usap perut suami. Memberi sokongan agar kandungan 'digugurkan' barangkali.


Ada sekumpulan kru penggambaran sedang sibuk menyiapkan set di lokasi. Beberapa orang yang saya tidak kenal, sibuk berlatih pengucapan skrip di tepi pagar.


Ada sekumpulan 'Bro' yang usai berlari sedang menjamu selera dengan nasi lemak berkalori mewah.


Ada dua Akak singgah di gerai Kudap-kudap bertanyakan Gula Kapas. Terkenang zaman kanak-kanak dahulu barangkali.


7 sudu gula teh berlebihan sehari yang tidak dibakar, menghasilkan 7kg berat tambahan setahun.


Rakyat Malaysia mengambil 26 sudu teh gula sehari ketika Sunnatullah menetapkan keperluan mereka hanya 10 sudu teh!


Ada seorang ibu berjogging bersama anak lelaki dan anak perempuannya. Sesekali si ibu berkata-kata sambil mengusap belakang kedua anak-anaknya.


Ada seorang warga emas berkerusi roda, ditolak oleh pembantu rumah Indonesia mengelilingi Tasik.


Ada seorang lelaki yang lengkap berbaju sukan tetapi dua kali saya melintasinya dia masih belum berpeluh, sebaliknya sibuk membelek DSLR kesayangan.


Ada dua pelajar universiti barangkali, berjogging dengan selipar Pandang ke Timur.


Saya pula usai berlari 3.5km sekitar setengah jam, berehat dengan dua biji telur separuh masak. Plan mahu membeli kopi o ais dibatalkan. Sudah ditegur isteri, sudah ditegur rakan Facebook.


Saya mahu jadi baik.


Saya meminta kopi o panas tanpa gula.


Pagi ini kepala saya disaji dengan 1001 peristiwa berkandung ibrah.


Ia lebih menyihatkan berbanding pemandangan di Gimnasium. Saya meremang bulu tengkuk melihat para lelaki sasa mengangkat dumb bell di depan cermin sambil mata tidak lepas merenung dan sesekali mengusap otot lengannya.


Kawan-kawan yang lain pun memuji sama.


Erk!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Taman Tasik Ampang Hiliran




Related posts:Memaknakan Sebuah Kehidupan
Motivasi Pagi -1-: Menghargai Sebuah Kehidupan
Ihsan Dalam Sebuah Kehidupan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 16, 2011 18:28

June 13, 2011

Racau Sebuah Negara Berkebajikan

 


[image error]


Kredit foto: Malaysiakini


Semasa PAS bersama Barisan Alternatif (kini Pakatan Rakyat) mengenengahkan slogan Negara Berkebajikan pada tahun 2008, tiada siapa mengendahkannya.


PAS dan Barisan Alternatif menang besar.


Negara Berkebajikan atau The Caring State itu menjadi jambatan yang menghubungkan seluruh kelompok pengundi kepada nilai-nilai Islam yang menjadi teras perjuangan PAS. Bagaimana Islam mengagihkan manfaat dan tanggungjawab kepada rakyat secara adil, memerangi korupsi dan ketirisan bajet, menegakkan cara hidup yang memberikan kebaikan kepada semua pihak yang mencintai kebaikan dan keadilan.


Islam sebagai Rahmat kepada seluruh alam.Namun ada keresahan ketika itu.


Biar pun PAS bersama Barisan Alternatif mencapai kemenangan luar biasa, idea Negara Berkebajikan kurang dikembangkan. Malah di dalam lingkungan PAS sendiri, timbul pelbagai tanda tanya. Adakah perubahan yang berlaku itu merupakan perubahan form atau substance. Usul atau furu'?


Ia mengingatkan saya kepada artikel saya berkenaan kegusaran ini. Di bawah tajuk MENCARI BAHASA BARU bertarikh 25 Februari 2008, saya mencatat:


[image error]


Perubahan itu perubahan yang besar.


Daripada debat tentang konsep-konsep Islam dan Negara Islam, PAS melakukan suatu pendekatan yang amat drastik dengan beralih kepada menjelaskan bagaimana Islam dan kenegaraan yang diperjuangkan oleh PAS, boleh memperbaiki masyarakat.


Lantas tawaran PAS lebih sejagat kepada masyarakat Malaysia yang berkepelbagaian latar belakang dan kefahaman.


Daripada pendekatan mengheret pengundi kepada menekuni PROSES, kini PAS lebih mempromosikan OUTPUT dan menyerahkan urusan PROSES kepada jentera kerajaan (jika menang) untuk mengendali dan merealisasikannya.


Ia suatu perubahan yang besar, dan saya melonjakkan syukur kerana bertambah satu lagi contoh bagaimana pemikiran dinamik yang mengalu-alukan idea segar, tepat dan jelas… menjadi kunci kepada survival parti, ummah dan tamadun manusia keseluruhannya. Challenge and response… itu kata kuncinya.


MEMBUKA HARAPAN


Saya masih ingat kepada perbualan saya dan rakan bersama beberapa teman dari Centre for Public Policy Studies and akhbar kewangan The Edge, bahawa "harapan masih ada untuk PAS" kerana nyata sekali bahawa PAS bukanlah sebuah Parti ala-Taliban seperti yang sering dimomokkan oleh akhbar seperti The Star dan yang seumpama dengannya.


Kesediaan PAS untuk meneroka bahasa sejagat dalam memperjuangkan prinsip-prinsip Islam, membuka lebih banyak ruang kepada memberi kefahaman kepada masyarakat, mendidik mereka dan seterusnya menjemput kerjasama yang lebih luas ke arah cita-cita menegakkan Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafoo.


PENGHAYATAN ATAS BAWAH


Namun sejauh manakah perubahan ini dihayati oleh pendukung PAS dari atas ke bawah?


PAS telah pun mengadakan taklimat berkenaan dengan manifesto Pilihanraya ke-12, di Taman Melewar pada 6 Februari 2007 untuk jentera pilihanraya. Penjelasan mengenai perjuangan ke arah sebuah "Negara Beramanah, Bersih, Adil dan Berkebajikan", disampaikan dengan terpeinci, malah mendahului parti-parti komponen Barisan Alternatif yang lain.


Akan tetapi, sebaik sahaja taklimat ini berjalan, pergerakan promosi manifesto ini ada kalanya kelihatan tidak selaras dengan hasrat dan cita-cita yang telah disuarakan.


Di alam siber, artikel-artikel LAMA, tentang jenayah pemimpin Barisan Nasional memperlekehkan hukum hudud pada tahun 1990an telah disebarkan semula. Hal-hal yang bersangkutan dengan kebobrokan pihak yang alergik dengan perundangan Islam, kembali beredar dari satu inbox ke satu inbox yang lain… dan soalnya ialah, sejajarkan hal ini dengan pendekatan dan manifesto PAS untuk pilihanraya ke-12 akan datang?


Masuk ke hari penamaan calon, masih kedengaran laungan-laungan yang tidak mencerminkan perubahan yang telah berlaku kepada PAS.


"Hancur kuffar!"


"Hancur sekularisma!"


Slogan-slogan seumpama itu dikeluarkan kembali dari gerobok simpanan dan dimuntahkan tanpa memikirkan sejauh mana kesan slogan sedemikian rupa kepada hasrat PAS untuk menjana suatu perubahan?


Malah ada di antara calon, masih menggunakan bahasa Pilihanraya 1999 dan 2004 dalam taklimatnya selepas penamaan calon, bercakap tentang kepentingan hukum hudud dan subjek-subjek yang tidak selaras dengan manifesto PAS 2008.


MANIFESTO SEJAGAT, SLOGAN SEJAGAT


Jika perubahan yang berlaku itu adalah perubahan yang benar-benar mahu dilihat kejayaannya, maka PAS harus bergerak selari di antara hasrat kepimpinan dan jentera penggerak. Bahasa-bahasa baru yang lebih menepati cita-cita PAS di tahun 2008 mesti dipopularkan agar laungan yang dijana, mencetuskan momentum yang betul, dan bukannya menggatalkan kepala rakan-rakan di Barisan Alternatif serta para pengundi yang tekun memerhati.


"Hancur kezaliman"


"Hancur penipuan"


"Hancur korupsi"


"Hancur perhambaan"


"Hancur …. (fill in the blanks)"


Banyak lagi slogan yang boleh terbit dari manifesto PAS 2008, asalkan homework dibuat dan bukan hanya membuka gerobok untuk Siaran Ulangan.


Pepatah Arab menyebut:


[image error]


"Bercakap biar bertempat"


Kebijaksanaan pendukung PAS memilih perkataan yang betul akan menjadi bukti terbaik kepada masyarakat bahawa perubahan yang berlaku itu adalah perubahan yang berisi. Bukan sekadar menukar baju mengikut musim.


HILANG FOKUS


Selepas kemenangan cemerlang Barisan Alternatif pada Pilihanraya Umum ke-12, Mac 2008, PAS mengalami perubahan hala tuju, sedikit sebanyak berpunca daripada konsep Negara Berkebajikan yang tidak dipegang sebagai keutamaan dalam anjakan paradigma gerakan. Atas sebab yang pelbagai, PAS terheret kepada isu Kerajaan Perpaduan dan kerjasama dengan UMNO demi survival kaum Melayu di Malaysia. Biar pun banyak masa diperuntukkan untuk sampai kepada konklusi akhir menolak idea ini, ia menjadi positif jika disuluh daripada sudut mendidik aktivis PAS dan rakyat tentang tindak tanduk pragmatis Barisan Nasional, khususnya UMNO.


Kemerosotan pemikiran juga membelenggu akar umbi hingga cuaca dalaman PAS seperti berpatah balik ke era 2004 dan ia meresahkan seluruh rakyat yang meletakkan harapan untuk PAS berperanan dengan lebih baik, sama ada di dalam jentera Pakatan Rakyat, atau sebagai kuasa penyingkir kepada penguasaan UMNO dan Barisan Nasional.


Syukur Alhamdulillah, Muktamar PAS 2011 memadam keresahan ini.


Mengekalkan kedudukan sebagai Presiden PAS penggal seterusnya, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kini dikelilingi oleh 'amilin yang diyakini berkompetensi untuk menggerakkan PAS bersama Pakatan Rakyat menuju Pilihanraya Umum ke-13 dengan kemas. Ia menjadikan Ucapan Dasar Presiden PAS berisi, berpijak pada realiti dan berpeluang untuk direalisasi.


UMNO MERACAU


Tidak seperti 2008, kali ini gagasan Negara Berkebajikan menjadikan UMNO meracau.


Pemimpin-pemimpin UMNO rancak mengulas.


Datuk Mukhriz Mahathir mengatakan bahawa DAP dan PKR berjaya mempengaruhi PAS untuk meninggalkan dasar perjuangan Negara Islamnya. Datuk Seri Mohd Ali Rustam juga tidak mahu ketinggalan. Beliau sangat nampak yang PAS nampak sangat telah meninggalkan Hudud dan Negara Islam. Datuk Seri Mohamad Hasan juga menyuarakan pandangan yang sama tatkala melihat PAS meninggalkan agenda Kepimpinan Ulama. Khairy Jamaluddin juga meragui komitmen PAS kepada dasar perjuangannya kerana beralih arah.


Tun Mahathir yang pernah didoakan oleh al-Marhum Datuk Fadzil Noor agar panjang umur untuk melihat kesan kezaliman pemerintahannya turut tidak dapat menahan diri. Beliau mengomel di blognya, mengatakan bahawa PAS telah mempermainkan Islam kerana menggugurkan perjuangan Negara Islam.


Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi juga tidak betah menjadi pemerhati. Turut mengeluarkan kenyataan, beliau mencabar PAS menggugurkan perkataan Islam daripada nama Parti kerana mendakwa PAS sanggup membiarkan dirinya dibuli oleh DAP dan ini mengelirukan ramai pihak menurut beliau.


Malah, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak hairan mengapa baru sekarang PAS terfikir tentang konsep Negara Berkebajikan yang telah lama diperjuangkan oleh UMNO sebagaimana beliau dakwa.


Tidak cukup dengan kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO, blogger UMNO turut memakmurkan racau ini dengan pelbagai ulasan mereka.


Paling kecewa dengan perubahan yang berlaku pasca Muktamar PAS 2011 ini adalah kitab rujukan harian, Utusan Malaysia!


BUAT-BUAT TIDAK FAHAM


Sama ada mereka buat-buat tidak faham atau memang tidak faham, Islam sebagai ideologi politik (Islamism?) semenjak di era Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Ridha, Sultan Abdul Hamid II, Hasan al-Banna, al-Mawdudi, Sayyid Qutb membawa ke era Necmettin Erbakan, Recep Tayyib Erdogan dan Luthfi Hasan Ishaaq, idea Islam sebagai kuasa politik berkembang dari semasa ke semasa dalam bentuk perbincangan, penafsiran dan penterjemahannya kepada agenda kerja.


Penamaannya sebagai Negara Islam atau apa-apa istilah, berubah dari satu zaman ke satu zaman.


Ia membuktikan dinamika gagasan Islam dalam menyesuaikan prinsip-prinsipnya dengan realiti semasa. Challenge and response sebagai enjin survival, paling cantik diperlihatkan oleh kemaskini gerakan Islam merentas zaman. Gerakan Islam sentiasa menyemak dan mengemaskini idea yang didukung tanpa berganjak daripada prinsip-prinsip yang menjadi asas kewujudannya.


Hanya yang 'tidak baca buku' sahaja meracau-racau gagal memahami perubahan ini.


SESUNGGUHNYA


Kata Dale Carnegei:


"Unjust criticism is often a disguised compliment. It often means that you have aroused jealousy and envy. Remember that no one ever kicks a dead dog"


"Kritikan yang tidak adil sebenarnya adalah pujian yang tersirat. Ia selalunya bermaksud anda yang dikritik itu telah menimbulkan rasa cemburu dan dengki. Ingatlah, tiada sesiapa yang menyepak anjing yang telah mati"


Terima kasih kepada UMNO yang meracau.


Ia mendesak PAS untuk segera memperincikan konsep-konsep Negara Berkebajikan, menuju Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.


Sesuatu yang sepatutnya sudah lama PAS lakukan.


Semenjak 2008.


Don't Grow Old – Grow Up!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Kutiup Sebuah Azam
Mencari Bahasa Baru
Mesej di Sebalik Keputusan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 13, 2011 19:21

Sudahkah Ia Menjadi Akhlaq?

[image error]


Jogging itu sudah bagus. Jangan musnahkan ia dengan sesi penutup bersama nasi lemak.


80 hari sudah berlalu.


Makan secara sihat.


Senaman tiga kali seminggu.


Tidur jangan lewat-lewat.


Hidup lebih sihat.


Persoalannya, selepas 80 hari perubahan itu dilakukan, adakah ia sudah menjadi TABIAT?


Selepas 80 hari pilihan-pilihan yang baik itu dijadikan keutamaan, sudahkan ia menjadi AKHLAQ?


'Berita buruk' buat semua, ia masih sebuah MUJAHADAH.


[image error]"Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya; serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada bertaqwa; sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – Yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih, dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya" [Al-Shams 91: 7-10]


Mujahadah dalam erti kata, masih ada 'perjuangan dalaman' untuk membuat pilihan yang betul.


Mahu makan makanan-makanan yang asalnya adalah makanan orang kerja bendang. Sedangkan kerja masih membanting jari di hadapan komputer.


Mahu bersenam, tetapi dilintasi kemalasan, cuaca lebih mendung di mata berbanding realiti sebenarnya, mencari-cari alasan.


Mahu tidur awal, tetapi masih membiarkan kerja-kerja mengheret jaga ke lewat malam.


Tipulah, kalau ada yang kata perubahan-perubahan yang cuba dilakukan ini mudah. Hakikatnya, ia memerlukan usaha gigih yang berterusan.


Hidup sihat adalah ibadat. Ia menjadikan kita lebih hampir dengan Allah.


Nafsu dan Syaitan tidak suka semua itu.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Kurus Atau Gemuk, Bertandinglah Dengan Diri Sendiri
Akhlaq Itu Bukan Lalang
Kenapa Mahu Menjadi Doktor?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 13, 2011 16:08

June 11, 2011

Kurus Atau Gemuk, Bertandinglah Dengan Diri Sendiri

[image error]


"Ada sahaja orang gemuk yang lebih sihat daripada orang kurus" komen seorang sahabat.


Kenyataan yang 100% benar.


Namun boleh juga menjadi 100% salah.


Membandingkan orang gemuk dengan orang kurus yang sakit, memang sihatlah orang gemuk itu. Akan tetapi mengapa dibandingkan dengan orang kurus yang sakit? Mengapa tidak dibandingkan dengan orang kurus yang sihat?



Gemuk dan kurus semakin berkonotasi 'rupalistik' (berkaitan rupa dan penampilan). Apabila seseorang mahu menguruskan badan, sering dianggap motifnya adalah memperbaiki rupa. Apabila seseorang menjadi gemuk, ada pula pertandingan Ratu Gemuk untuk menyokong psikologi orang obes bahawa mereka juga tidak kurang rupa.


Hakikatnya, semua itu adalah permainan minda. Tipu helah akal kita agar diri tidak ditekan membuat perubahan.


Orang kurus mungkin sihat, mungkin tidak sihat.


Orang gemuk, pasti tidak sihat.


"Eh, saya gemuk tetapi saya sihat!" akal mengeluarkan defence mechanism.


"Awak bandingkan kesihatan awak dengan siapa?" soalan yang perlu ditanya.


"Dengan orang kurus yang lain" jawab minda.


Itulah blind spot minda. Kita selalu membandingkan diri kita dengan orang lain, baik kurus mahu pun gemuk. Bertanding kesihatan dengan orang lain bukanlah caranya. Di dalam hidup ini, untuk berjaya dengan sejahtera, kurangkan bertanding dengan orang lain. Sebaliknya bertandinglah dengan diri sendiri.


Jika gemuk pun sihat, bukankah dengan mengurangkan kegemukan itu kita lebih sihat? Dan bukankah kita berhak menikmati kelebihan itu?


Jangan tertipu dengan akal sendiri.


Bertandinglah dengan diri sendiri.


Selamat mendukung revolusi!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Taman Tasik Datuk Keramat, KL




Related posts:Tipu Diri Sendiri
Memerdekakan Diri Daripada Kehendak Sendiri
Membeli Kerana Testimoni Atau Mengkaji?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 11, 2011 18:23

June 10, 2011

Manual Diet Demi Deen

[image error]


Saya mensasarkan Julai sebagai bulan penerbitan buku seterusnya.


DIARI SI BUDAK GEMUK, adalah judul yang saya cadangkan. Walaupun saya bukan lagi budak, perjalanan pengkisahan buku tersebut bermula daripada zaman saya budak-budak. Lagi pun, jika ditulis 'Diari si Ustaz Gemuk', risau pula kumpulan pembaca sasaran saya enggan membacanya.


Jika segalanya berjalan lancar, buku ini bakal diterbitkan di permulaan cycle kedua diet saya. Sudah 20kg berjaya dibuang, saya menuju ke 20kg yang berikutnya.


Mungkin keunikan yang ingin saya terapkan di dalam buku ini ialah melihat proses diet dan revolusi kesihatan daripada perspektif agama. Menyuntik agama ke dalam semangat mahu sihat dan menyuntik kesihatan di dalam cara hidup beragama.


Komen-komen pembaca di kesemua entri saya berkenaan diet sangat bagus. Sama ada yang skeptis (amat sedikit), mahu pun majoriti yang memberi galakan, banyak yang ingin saya petik dan abadikan di dalam buku ini.


Pernah terdetik saya ingin mencari semula beberapa orang 'rakan' di blog dan Facebook yang pernah memaki hamun saya sebagai 'ustaz boroi', 'gemuk makan duit haram', dan sebagainya. Mahu memberitahu mereka, badan buruk sudah diubah. Akhlaq buruk bagaimana?


Tetapi itu hanya sebuah dendam. Perasaan yang sebenarnya sama tidak sihat dengan makan dan minum yang tidak sihat. Malah ia bukan sekadar menggemukkan badan, tetapi menguruskan amal dan kemuliaan di sisi Tuhan.


Saya redha. Cuma berharap kata-kata pahit itu tidak dihambur kepada orang-orang gemuk yang lain. Kena kepada saya, saya mengambilnya sebagai cabaran. Kena kepada orang yang salah, ada yang mungkin mati membunuh diri!


Cita-cita saya, selepas terbitnya buku ini, saya mendapat peluang untuk mengendalikan Kuliah Subuh yang seterusnya diikuti dengan senaman berjemaah di perkarangan surau bersama sarapan yang menyihatkan.


Maklum balas pembaca amat saya alu-alukan.


Abu Saif @ www.saifulislam.com

68000 Taman Tasek Ampang Hiliran




Related posts:Diet Erti Hidup Pada Memberi
Manual Cinta Haraki
Berlalunya Empat Puluh Hari

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 10, 2011 19:05

Memanfaatkan Teknologi FASTPENCIL.COM

[image error]


Ada lima buah buku yang sedang saya siapkan.


Lima buku.


Bukan kerja mudah.


Tetapi saya tidak mahu beralasan.


Penghujung 2010 membawa ke suku pertama 2011, saya sampai ke kemuncak depresi diri hingga hilang motivasi. Tiga bulan saya bermujahadah untuk 'kembali ke asal. Baru separuh perjalanan. Badan yang segar hari ini, memberikan juga tenaga fizikal, mental, emosional dan spiritual yang lebih baik. Justeru projek tumpuan saya adalah pada menyiapkan buku-buku.



Gembira sekali, dalam kesulitan saya menyelesaikan tugasan ini, saya ditemukan dengan sebuah halaman web yang kemunculannya bagai menjawab doa saya kepada Allah.


FASTPENCIL.COM ialah sebuah halaman web yang menyediakan sistem lengkap untuk seseorang itu menghasilkan sebuah buku, bermula daripada penulisan, edit hingga kepada penerbitan dan penjualan. Ada beberapa halaman web lain yang turut menyediakan perkhidmatan seperti ini, misalnya BLURB, namun saya dapati FASTPENCIL.COM adalah yang terbaik.


Paling mengujakan saya adalah kemudahan 'menyedut' entri di blog dengan sistem WORDPRESS, terus kepada isi kandungan sebuah buku. Inilah alat paling berharga di dalam FASTPENCIL.COM.


KAIFIYAT


Ada beberapa cara untuk memindahkan entri blog ke FASTPENCIL.COM.


Saya mencuba beberapa cara dan bagi saya, kaedah paling berkesan ialah dengan mengeksport fail XML yang dihasilkan di blog anda dengan turutan di DASHBOARD >>> TOOLS >>> EXPORT >>>POSTS >>> CATEGORIES >>> KATEGORI ARTIKEL ANDA UNTUK BUKU BERKENAAN.


Fail XML yang telah dihasilkan itu boleh dimuat naik ke FASTPENCIL.COM di bahagian IMPORT BLOG >>> Upload an XML file exported from your blog software


Proses menulis dan mengedit yang anda lakukan, boleh juga dikongsi bersama penulis lain jika anda menulis bersama, atau juga bersama editor syarikat penerbitan buku anda, di samping meletakkan nota privasi yang hanya anda boleh membacanya, serta rekod perubahan-perubahan yang anda lakukan.


Sesungguhnya FASTPENCIL.COM benar-benar menjadikan penulis blog yang tidak menulis buku, berada di dalam pembaziran dan kerugian.


Anda pasti bukan salah seorangnya.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Maaf Saya Tidak Suka Buku Ustaz!
Menghargai Pembaca Blog di Telefon Pintar
Selamat Datang ke Server Baru

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 10, 2011 07:25