Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 95
July 11, 2011
Entry #1000: Saya Bukan Ahli Politik, Tetapi…
[image error]
ARTIKEL INI DITULIS PADA TAHUN 2007 DALAM KONTEKS 2007. MOHON DIRAIKAN KONTEKS MASA DALAM MEMBACA SEMULA ARTIKEL INI
"Aih, di sini pun cakap politik juga", keluh seorang pembaca.
"Ingatkan berkecuali. Rupa-rupanya sama sahaja si Abu Saif ni!", rungut pembaca yang satu lagi pula.
"Saya tak suka cakap-cakap politik ni. Boleh tak elakkan politik di sini?", minta seorang lagi pengunjung.
Panas juga. Tak pernah-pernah Abu Saif menulis tentang politik, tiba-tiba semenjak kebelakangan ini, lain pula nadanya. Saifulislam.Com sudah mula berpolitik?
Saya bukan ahli politik. Tidak terfikir di minda saya untuk menjadi seorang ahli politik. Ahli politik dalam erti kata berkempen politik, berceramah di pentas politik, atau mungkin juga bertanding sebagai ADUN atau Ahli Parlimen, menggantikan Lim Kit Siang yang sudah sekian lama mewakili orang kampung saya.
Saya bukan ahli politik.
Tetapi ini tidak bermakna saya buta politik, atau berkecuali dari berfikir tentang politik, apatah lagi menganggap politik bukan urusan saya dan bukan urusan agama. Saya bukanlah peminat Khomeini, tetapi ada kata-katanya yang patut diberi perhatian. Beliau pernah menyebut, "orang yang memisahkan politik dari agama, dia itu tidak faham apa itu agama, dan apa itu politik".
Jahil terhadap kedua-duanya.
Apabila saya berbual atau menulis tentang politik, saya maksudkan ia sebagai disiplin mengatur kehidupan manusia. Tentang peraturan hablun minannaas yang merupakan separuh kedua agama kita. Mahu tidak mahu, kita tetap merupakan sebahagian dari politik. Sama ada kita berperanan mencorakkan politik, atau kita sendiri menjadi mangsa percaturan politik akibat buta politik. Atau sengaja memejamkan mata terhadapnya.
Soal keterlibatan seseorang dengan perlakuan politik, itu soal kedua. Apatah lagi jika anda seorang pelajar. Biar pun undang-undang negara telah mewartakan anda pada usia begitu sebagai seorang yang layak mengundi, anda ada peraturan-peraturan universiti yang tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Maka soal keterlibatan pelajar dengan politik, saya serahkan kepada anda untuk membuat percaturan mengenainya.
Tetapi tidak terlibat dengan politik, tidak bermakna kita tidak boleh belajar, mengambil tahu dan membuat pendirian mengenainya. Buangkan jauh-jauh nama parti politik yang kalian tidak suka, isu-isu yang mereka bawa tetap tidak boleh kita pisahkan dari kehidupan.
Jika isu tol, kenaikan harga minyak, kepincangan sosial, pembelajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris dan korupsi serta kronisma dan nepotisma… kita kaitkan dengan parti politik tertentu, jika parti politik itu mati sekali pun, isu-isu berkenaan tetap merupakan masalah kita, masyarakat kita. Parti politik adalah kenderaan dan wadah untuk memperkata dan memperjuangkan isu-isu tersebut, tetapi tanpa parti politik sekali pun, isu berkenaan tetap wujud di depan mata.
Maka Islam mempersoalkan peranan kita terhadapnya. Ada istilah amar makruf, ada istilah nahi munkar. Bagaimanakah anda melaksanakan dua tanggungjawab ini, terhadap isu-isu yang saya sebutkan tadi.
Jika kita alah dengan parti politik, ia bukan alasan untuk kita buat tidak peduli kepada masalah yang membelenggu kehidupan kita dan masyarakat. Biar pun hadith , "barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam maka dia itu bukan dari kalangan mereka" itu dihukum sebagai hadith yang sangat lemah oleh al-Albani, apakah ini juga bermaksud saranan Islam agar seorang Muslim menjaga kebajikan saudara Muslimnya yang lain juga lemah?
Pernahkah Nabi SAW sambil lewa terhadap apa yang berlaku kepada sahabat, juga komuniti non-Muslim di sekitarnya? Apakah ada orang yang tertindas, ditekan dan dizalimi, dan Nabi SAW tidak peduli kepada nasib mereka?
Renung sahaja amaran Allah SWT:
[image error]
"Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. maka kecelakaan besar bagi ahli sembahyang (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri terhadap amalannya), dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya)" (Al-Ma'oon 107 : 1-7)
Pendusta agama yang diperincikan oleh Allah karakter mereka adalah golongan yang tidak melaksanakan tanggungjawab sosial, sebelum Allah menyebut kecacatan ibadahnya. Di peringkat massa, kebajikan anak yatim, membela kaum fakir miskin, adalah persoalan-persoalan yang membabitkan banyak aspek. Bagi kita sebagai rakyat, ia boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara. NGO dan badan-badan kebajikan boleh berperanan dalam membantu hal ini.
Tetapi bagi sebuah negara, ia bertanggungjawab untuk memastikan kebajikan rakyatnya terjaga. Polisi-polisi harus memberikan keadilan dan kesejahteraan hidup kepada masyarakat. Semua ini bersangkutan dengan politik kerana politik itulah medan urusan ini ditadbir dan dijaga.
Apakah kita bisa membiarkan diri menjadi pendusta agama dengan tidak mempedulikan tanggungjawab ini?
SAIFULISLAM.COM DAN PENDIRIAN POLITIK
Soal Abu Saif memilih parti mana, itu perkara yang berasingan. Tetapi wacana saya di sini menyeru kepada kita semua agar cintakan kebenaran dan keadilan. Sebagaimana kita suka menyuburkan kebenaran di pelbagai peringkat kehidupan, saya juga mahu kita peka kepada lawan kebenaran itu. Kebatilan tidak boleh disembunyikan. Ia mesti diperkatakan.
[image error]
Allah mengutuskan setiap nabi dan rasul kepada umat, bukan hanya untuk mengajak manusia kepada mengabdikan diri kepada-Nya, tetapi juga menjauhkan manusia dari saingan Allah. Al-Quran mengistilahkan saingan ini sebagai taghut, iaitu pelampau yang melampaui batas-batas Allah. Ia mungkin manusia, mungkin sistem. Lantas tanggungjawab amar makruf dan nahi munkar, menuntut kita untuk bukan sahaja cintakan kebaikan, tetapi juga mengambil bahagian dalam bertindak mengatasi kebatilan.
Tidak semestinya dengan membabitkan diri sebagai aktivis politik. Tetapi mustahil kita boleh berperanan jika kita buta politik atau jahil mengenainya.
MENYALAH TAFSIRKAN SAIFULISLAM.COM
Saya mendapat feedback daripada pembaca, bahawa ada golongan yang menjadikan artikel-artikel saya sebagai hujah mereka untuk menolak agenda BERSIH yang menuntut pilihanraya yang adil dan telus. Kata mereka, "lihat, Ustaz Hasrizal sendiri mengajak kita kepada perdamaian".
Ya, saya mengajak kepada kedamaian. Tetapi bukan secara berkompromi dengan kebatilan. Saya sering berusaha mengajak semua daie yang cintakan Islam untuk bersatu, tetapi bukan atas nama kesatuan itu, perkara batil kita diamkan.
[image error]
Bila kalian mendapati keadaan di mana umatku takut untuk berkata kepada orang zalim, "Wahai zalim", maka kamu telah diucapkan selamat tinggal daripada mereka (HR. Ahmad)
Oleh yang demikian, tidak pernah dalam mana-mana artikel saya, ada cadangan agar kita memansuhkan politik dari pengetahuan dan perhatian kita. Apa yang sering saya kongsikan bersama pembaca, ialah agar kita menekuninya sebagai sebahagian daripada definisi diri kita menjadi hamba dan khalifah kepada-Nya.
Malah di peringkat pertubuhan-pertubuhan Islam, mereka boleh mengambil pendekatan untuk tidak terlibat dengan politik atas pertimbangan-pertimbangan tertentu. Tetapi ia sepatutnya dilakukan hanya untuk pengkhususan bidang dan strategi, dan bukannya menolak politik secara prinsip.
Maka, janganlah sekali-kali mereka yang berjuang di dalam NGO, menabur idea bahawa "perjuangan kami lebih baik dari perjuangan kamu sebab kami NGO yang selamat, sedangkan kamu parti politik yang mencampakkan diri ke kebinasaan!". Ini bukan bahasa da'ie yang tulus dalam perjuangannya.
ULTRA SALAFI YANG MENGHAIRANKAN
Ketika BERSIH berjaya mengumpulkan rakyat dari pelbagai agama, bangsa dan parti politik, atas suatu titik persamaan iaitu mahukan keadilan dan transparesi dalam pemerintahan dan pilihanraya, kita dikejutkan dengan idea-idea kelompok ultra Salafi yang tidak henti-henti melaungkan seruan, "haram menegur pemerintah secara terbuka".
Haram menegur pemerintah melalui ceramah dan tulisan terbuka.
Kemuncaknya adalah haram menegur pemerintah melalui demonstrasi di jalan raya.
Semua ini diklasifikasikan sebagai maksiat kepada Allah.
Saya faham, memang terdapat banyak hadith Nabi SAW dan peringatan dari atsar Sahabah tentang tuntutan menyabarkan diri atas kezaliman pemerintah. Tetapi hadith-hadith tersebut diungkapkan dalam konteks satu amalan politik yang ada karakter tertentu. Malah larangan menegur pemerintah secara terbuka juga tidak mutlak.
Konteks politik yang saya maksudkan itu ialah, selama 1000 tahun pemerintahan Islam, kita tidak mempunyai legasi constitution yang memperincikan bidang kuasa dan kaedah check and balance di dalam sebuah kerajaan. Channel menegur pemerintah lazimnya dalam format yang straight to the point dan kita bisa faham bagaimana teguran secara terbuka dan langsung mempunyai risiko yang tinggi untuk mencetuskan keresahan dan ketidak stabilan sosial. Maka, mengekalkan ketenteraman awam, lebih penting dari usaha meluruskan pemerintah dalam kesalahan-kesalahan peribadinya yang tertentu.
Hari ini, saluran menegur sudah diperincikan oleh perlembagaan. Bidang tugas dan ruang lingkup menyatakan pandangan juga sudah diperincikan oleh peraturan negara. Selagi mana komitmen terhadap peraturan ini dipatuhi, selagi itu kestabilan masyarakat terus terjamin. Kerajaan memberi peruntukan kebebasan bersuara, manakala rakyat pula memanfaatkannya secara berhemah dan bertatasusila.
Demonstrasi juga bukanlah suatu yang patut diselalukan, tetapi ia ada justifikasi selagi mana komitmen mereka yang terlibat boleh dikawal.
Jika Islam mengajar tenteranya agar sempat peka kepada larangan mematah pokok, menyerang orang tua, perempuan dan kanak-kanak serta mereka yang berlindung di rumah ibadat, maka tidak mustahil untuk demonstrasi dilakukan dengan etika-etika tertentu. BERSIH baru-baru ini sekali lagi mengulang cerita, bahawa yang melanggar komitmen kepada keamanan ialah pihak berkuasa, bukannya massa.
Tidak Mutlak
Tetapi larangan menegur dan tuntutan sabar terhadap kesalahan pemerintah itu juga tidak mutlak. Ia dibatasi dengan ingatan Baginda SAW bahawa "selagi mana pemerintah itu memastikan solat ditegakkan", "selagi mana pemerintah itu tidak melakukan kekufuran yang bawwah – nyata tanpa boleh dipertikaikan lagi -", juga "selagi mana pemerintah itu tidak melakukan maksiat yang bawwah".
Kecelikan kita semua terhadap isu-isu semasa amat penting dalam membuat penilaian, apakah unsur maksiat bawwah atau kufur bawwah itu ada di dalam masyarakat kita? Manusia yang jahil politik, atau sengaja memejamkan mata dari masalah-masalah masyarakat, tidak mungkin dapat menilainya dengan betul.
Bagi golongan yang tidak merestui korupsi pemerintah, mereka mengambil pendekatan menegur di dalam parlimen dan dewan rakyat, menyebutnya di dalam ceramah dan penulisan, dan dalam keadaan-keadaan tertentu mereka terpaksa berdemonstrasi. Apabila kaedah yang mereka pakai begitu terbuka dan jelas, maka mudah untuk kita membuat penilaian. Jika salah, boleh diperbetulkan.
Tetapi bagi yang mengharamkan perbuatan menegur pemerintah secara terbuka, kita perlu tahu apakah method yang mereka pakai untuk menegur pemerintah. Saya yakin, apa sahaja mazhab dan manhaj kita, kemungkaran tetap kemungkaran dan ia perlu dicegah dan dibasmi. Hal ini wajib menjadi suatu kesepakatan di antara kita.
Akan tetapi, bagi golongan ultra Salafi ini, apakah cara mereka melaksanakan nahi munkar tersebut? Apakah mereka menulis surat dan email kepada menteri-menteri kita? Apakah mereka buat temu janji untuk bertemu bagi sesi menegur? Apakah mereka jemput menteri ke rumah untuk mendengar nasihat mereka? Atau mereka bertandang ke rumah menteri untuk memberitahu mereka bahawa rasuah, ISA, bebanan tol, kepincangan sistem kehakiman, kronisma dan nepotisma, penipuan tender dan sebagainya ini, adalah suatu kemungkaran?
Ini yang perlu diperjelaskan.
Dalam mengemukakan pendapat yang berkaitan dengan ibadah, kesan bermanhaj secara literal tidaklah besar impaknya kerana ia terhad kepada amalan peribadi. Tetapi untuk memperkatakan tentang muamalah dan siasah, pendapat kita mesti valid untuk dijadikan polisi. Maka apakah polisi golongan ultra Salafi dalam menjalankan tanggungjawab mereka mencegah kemungkaran?
Selain SS Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, yang boleh menggunakan kapasitinya sebagai mufti untuk meluruskan ibadah, muamalah dan siasah Perlis, menjadi penasihat kepada Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Perlis, bagaimana pula dengan individu ultra Salafi yang lain? Apa method mereka? Mufti dengan tugas mufti, mereka yang bukan mufti juga adalah tanggungjawab masing-masing dalam hal ini.
Jika persoalan ini gagal dijawab, maka ia akan menjurus kepada gerakan Sunnah untuk sekali lagi diperguna dan diperalatkan oleh politik dan politikus. Sudah banyak kali gerakan Sunnah berjaya mencapai kuasa perlaksanaan, tetapi sering berakhir sebagai mangsa politik pemerintah. Bak kata pepatah Melayu, "habis manis sepah dibuang". Seperti kes yang menimpa Mehmet Birgili yang pernah saya bentangkan di seminar di UIA beberapa tahun yang lalu. (Klik di sini untuk muat turun kertas kerja tersebut).
Inilah yang saya maksudkan tadi, bahawa dalam kehidupan realiti, sama ada kita mengawal politik, atau politik akan mengikat dan mengawal kita. Untuk terlepas dari politik, jauh sekali.
Persoalan ini penting, kerana golongan ultra Salafi dan pihak pemerintah sendiri, senada dalam memberi teguran kepada orang ramai.
SS MUFTI PERLIS DAN BERSIH
Di dalam temubual oleh Radio 24 Bernama pada Berita 8 malam 12 November baru-baru ini, SS Mufti Perlis memberi ingatan kepada BERSIH supaya memikirkan bahawa ketika kepentingan peribadi, golongan atau parti tertentu mahu dicapai, kesan tindakan mereka sebenarnya menimpa semua orang. Beliau juga mahu BERSIH melihat nasib negara-negara Muslim lain yang tidak menikmati keamanan dan kebebasan bersuara seperti yang ada di Malaysia. Selain itu, beliau mengingatkan BERSIH agar tidak lupa kepada adab-adab semasa berada di Masjid, dan adab itu perlu dibawa juga ke luar masjid.
Soalnya, sekalian mereka yang terlibat di dalam BERSIH memang komited kepada keamanan. Buktinya, kesemua mereka bersurai secara aman dan teratur selepas memorandum berjaya diserahkan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Sedangkan siapakah yang menembak orang ramai dengan water canon dan air berasid? Siapakah yang mengunci masjid malah pernah dalam demonstrasi sebelum ini, mereka masuk ke masjid dengan memakai but? Tidakkah semua itu dilakukan oleh FRU sebagai jentera pemerintah?
Bukankah teguran sepatutnya ditujukan kepada pihak berkuasa, sebelum ia dilontar kepada massa?
Mengapa pembangkang juga yang akhirnya bersalah?
CELIK POLITIK
Kerana sedar dengan realiti politik, saya pernah menyebut sebelum ini bahawa, jika Dr. Asri dilantik sebagai Mufti selepas Pilihanraya Umum, maka saya pasti segera mengucapkan tahniah. Tetapi jika perlantikan dibuat sebelum Pilihanraya Umum, maka saya terpaksa tunggu dan lihat.
Masih belum terlambat untuk kita saling berlaku adil. Bahawa kemungkaran tetap kemungkaran, ia mesti diperbetulkan sama ada ia dilakukan oleh ahli bid'ah di tengah masyarakat, atau pun pemerintah yang berkuasa di negeri dan negara.
Jika dirujuk kepada sejarah, British tidak pernah menganggap penentangan kaum Hindu sebelum Ghandi sebagai suatu ancaman kepada kuasa kuasa kolonialisasi mereka. Ini berpunca daripada kepercayaan kaum Hindu bahawa mereka telah ditakdirkan dihidupkan di dunia ini pada kasta tersebut dengan nasib semasa yang menimpa. Justeru mereka mengambil langkah pasrah, dengan harapan boleh lahir semula di alam kedua nanti dengan kasta dan nasib yang lebih baik.
Malah agama Kristian juga begitu. Politik ditinggalkan kerana negara idaman hanyalah Kingdom of Heaven di alam sana.
Apakah ultra Salafi mahu menyemai sikap inferior yang sama seperti ini?
BELAJAR TIDAK SEMESTINYA TERLIBAT
Oleh itu, saya ingin mengajak kita semua, pelajar dan pekerja, Salaf dan Khalaf, ahli PAS mahu pun JIM, ABIM dan Tabligh, agar sama-sama peka dengan politik. Memperkatakan tentang politik, jangan sempitkan kepada isu partisan semata. Ia terlalu luas dan murni sebagai satu cabang kehidupan dan disiplin pengetahuan.
Apa erti saya menganut Islam?
Salah satunya ialah, peduli terhadap nasib umat Islam, pada makruf dan pada mungkarnya.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
12 November 2007
Related posts:Saya Bukan Bapa Mithali, Hanya Realiti
Rumah dan Pejabat Politik di Internet
Maaf Saya Tidak Suka Buku Ustaz!
Demi Mengelakkan BERSIH 3.0
Alhamdulillah, BERSIH2.0 sudah selesai bermula.
Ada beberapa cadangan yang ingin saya kemukakan kepada kabinet Najib Razak agar BERSIH 3.0 dapat dielakkan.
PERTAMA, BN mesti menguasai Kementerian Pelajaran dan menambah usaha agar sistem pelajaran negara berorientasikan peperiksaan. Pastikan semua murid menjadikan koleksi A di dalam UPSR, PMR (sebelum dimansuhkan) dan SPM menjadi satu-satunya agenda murid sekolah kita. Pemikiran kreatif jangan diajar. Gam persatuan-persatuan dan galakkan kelab catur menjadi badan induk sekolah. Paling penting, lakukan ini di sekolah agama.
KEDUA, tambah bajet dan sokongan lain kepada industri hiburan seni. Pastikan program-program realiti yang memberi jalan pintas kepada rakyat menjadi artis, tidak tergugat. Mungkin boleh pertimbangkan agar subjek seni vokal dan tari sebagai subjek wajib sekolah menggantikan subjek Sejarah, Tasawwur Islam dan Bahasa Melayu.
KETIGA, galakkan juga industri hiburan sukan sebagai tumpuan utama rakyat. Apabila sukan dan seni menjadi hiburan yang 'the in thing', rakyat akan sentiasa bahagia, menyanyi dan menari, tanpa menyedari apa-apa yang tidak kena di sekeliling mereka. Golongan ini akan menunjukkan sikap sentiasa sangat bersyukur dengan apa yang ada 'a.k.a zuhud ke qanaah ke apa, entah!
KEEMPAT, ramaikan lagi alim ulama 'Saudi Oriented' menganggotai badan-badan agama. Ugut mereka bahawa mereka Wahabi dan pengganas, kemudian mereka akan mencari perlindungan dengan menyertai UMNO dan menyerang pembangkang dengan hujah-hujah al-Quran dan al-Sunnah yang sahihah. Bukan senang nak dapat tu.
KELIMA, galakkan anak muda untuk lemah stamina minda dan mudah rungsing dengan politik semasa. Gambarkan kepada mereka politik akan mengganggu kelas, kafe dan katil mereka. Mungkin dengan kempen berstrategi dalam hal ini, akhirnya mereka malas hendak mengambil tahu malah berkemungkinan besar tidak mendaftar sebagai pengundi. Berleluasanya mereka tidak mengundi akan menyebabkan dengan sendirinya kuasa undi Melayu akan terhakis tetapi, so what?!
KEENAM, banyakkan lagi klinik 1Malaysia, sarapan 1Malaysia yang menyediakan hidangan sarapan RM2. Kempen 1Malaysia mesti lebih hebat daripada kempen Filem Dua Alam tempoh hari. Pastikan rakyat jelas akan jasa satu lagi projek Kerajaan Barisan Nasional. Rakyat yang terhutang budi akan sangat berbudi.
KETUJUH, pastikan rakyat terus bodoh, tiada common sense, self centered dan seterusnya sentiasa percaya kepada media arus perdana. Ajar mereka menggunakan internet agar pornografi membantu Malaysia berada di tempat ketiga dunia dalam carian Google. Tentu dengan corak seperti ini mereka akan malas membaca blog politik dan sumber alternatif.
KELAPAN, berdoalah kepada Allah (kalau berani, lah), agar strategi-strategi itu diberkati-Nya.
Semua itu memerlukan belanja yang besar serta strategi yang susah. Namun sudah tentu ia lebih mudah daripada Barisan Nasional berubah.
Fikir-fikirkan dan selamat beramal.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang
Related posts:BERSIH 1.0: Agar Tanah Airku Terus Bermaruah
Manual Diet Demi Deen
Demi Islam, Ceriakanlah Dirimu!
July 8, 2011
INSAN MERDEKA
[image error]
Tidakkah engkau membacanya?
Massa di Medan Tahrir siapa penggeraknya?
Bukan Ketua Google, bukan Ketua Ikhwan, bukan Ketua Pembangkang.
Hanya naluri seorang insan, setiap insan,
Yang menuntut hak kelahirannya bernama insan merdeka
(Yang sekian lama kauragut kebebasannya)
Hendak disabitkan Ikhwan, banyak sisi yang tidak kena.
Hendak disabitkan Google, rakyat massa masih luar talian.
Hendak disabitkan pembangkang, rakyat dan tentera saling berpelukan.
Kerana yang menggerakkannya bukan tokoh, bukan parti dan bukan kepentingan
Hanya naluri seorang insan, setiap insan,
Yang menuntut hak kelahirannya bernama insan merdeka
(Yang sejak sekian lama kaucabul pancainderanya)
Ini bukan era mobilisasi berpaksikan tokoh
Ini bukan era mengikut telunjuk parti
Ini bukan era manusia bangkit dibiayai Soros dan Amerika
Ini era manusia bangkit kerana mereka manusia
Hanya naluri seorang insan, setiap insan,
Yang menuntut hak kelahirannya bernama insan merdeka
(Yang sejak sekian lama kaucabul pemikirannya)
Jika tidak kaurasa dirimu sebahagian mereka
Antara iblis dan haiwan, pilih sahaja kelompokmu yang mana
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
facebook.com/hasrizalabduljamil
68000 AMPANG
Related posts:PERISTIWA MERDEKA 2007
Aku Insan Biasa
Modal Insan Bukan Dengan Wang Dan Mesin
BERSIH 1.0: Agar Tanah Airku Terus Bermaruah
[image error]
"Pembangkang sungguh tidak bersemangat menghadapi pilihanraya. Jika yang lepas, mereka over confident, kali ini apa pula?", tegas seorang 'wakil rakyat' di kedai kopi.
"Mereka ini, menguruskan kemenangan pun lemah, menguruskan kekalahan pun lemah. Macam mana nak pilihanraya ni?", keluh seorang pemerhati di meja runding warmak (warung mamak).
"Kita olang sudah manyak tak suka sama itu gomen. Tapi opposition talak confident. Macam mana mau kasi undi?", keluh seorang ahli perniagaan selepas membaca beberapa berita di akhbar.
Cakap-cakap di atas memang meresahkan. Ia adalah keluhan masyarakat terhadap realiti yang berlaku kepada barisan pembangkang yang masih belum panas enjin untuk mempersiapkan diri menjelang pilihanraya.
Cukuplah masalah yang menimpa Malaysia akibat kerajaan yang lemah, jangan pula masalah itu diburukkan lagi oleh pembangkang yang juga lemah. Kita bekerja harus dengan minda dan akal yang tajam, bukan semangat semata-mata. Tetapi bekerja tanpa semangat juga amat meletihkan. Seakan-akan tidak serius beragenda.
10 NOVEMBER
Akhirnya 10 November berjaya merawat kerisauan ini.
Biar pun menerima pelbagai mesej keras dari superiority attitude pihak berkuasa, seruan NGO, parti-parti politik dan semua 'seruan bebas', telah berjaya juga menghimpunkan rakyat prihatin untuk bersuara. Menyuarakan hasrat mereka untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang bermaruah, pada ketelusannya menegakkan equality and justice.
Pembangkang sememangnya tidak pernah kisah untuk kalah, tetapi biarlah kekalahan mereka hasil pertandingan yang adil. Penipuan dalam pilihanraya pula memang bukan suatu yang asing, tetapi untuk kita berhenti mengkritik dan seterusnya menerima penipuan itu sebagai salah satu syarat permainan, maka ucap sahaja selamat tinggal kepada umat yang bakal hancur dan binasa itu.
Saya menulis entri kali ini bukan dengan maksud untuk pembangkang menang sebab mereka pembangkang, dan pemerintah kalah kerana mereka pemerintah. Tetapi saya berpegang kepada perlunya sistem yang sihat untuk check and balance di dalam sebuah negara. Kerajaan berkewajipan untuk melaksanakan keadilan bukan hanya kepada kawan, tetapi juga kepada lawan. Andai jujur, pada lawan itulah mungkin pemerintah akan beroleh nasihat terbaik.
BERSIH MEMALUKAN NEGARA?
Saya hairan dengan kritikan-kritikan sumbang bahawa tindakan rakyat turun ke jalan telah memalukan negara, merugikan peniaga dan mencemar maruah Malaysia yang baru melakar nama di angkasa. Jika tindakan rakyat turun ke jalan dianggap memalukan negara, apakah selama ini kita pernah berasa malu dengan laporan-laporan ketidak telusan dan korupsi yang disiarkan oleh badan antarabangsa seperti Transparency International?
Jika kita benar-benar mahu memperkatakan tentang tindakan memalukan negara, komen Menteri Penerangan kepada al-Jazeera itulah yang mesti diberikan perhatian serius. Bukan sahaja tidak menjawab dengan bahasa seorang menteri, malah menyentuh Myanmar dan Pakistan secara bebas, tanpa memikirkan kesannya di peringkat antarabangsa.
Mendengar ucapan-ucapan menteri hari ini, secara jujurnya, saya jatuh 'rindu' kepada zaman Tun Mahathir. Ketepikan seketika soal pendirian-pendiriannya yang kita semua maklum, tetapi apa yang pasti, setiap ucapannya berbaloi didengar bahkan boleh dikaji sebagai suatu pemikiran. Jauh sekali dari bercakap semata-mata untuk memalukan negara secara murah.
Saya yakin seluruh dunia menyaksikan video klip berikut:
MOMENTUM PILIHANRAYA
Semoga gelombang kuning yang tercetus pada 10 November baru-baru ini, berjaya mewujud dan mengekalkan momentum yang diperlukan untuk Barisan Alternatif mempergiatkan kerja mereka menjelang pilihanraya umum tidak lama lagi.
Dalam masa yang sama, janganlah pula Barisan Alternatif merasakan yang kerja mereka sudah selesai dalam memobilisasikan rakyat ke arah perubahan, semata-mata atas figur 100K yang turun baru-baru ini. Ia hanya suatu permulaan, dan kerjasama yang tulen mesti diusahakan.
Kepercayaan rakyat mesti berjaya dihasilkan, dan pastinya ia bukan hanya dengan menyandarkan diri kepada kerja mobilisasi seperti 10 November. Keyakinan rakyat sukar untuk dijana hanya pada komitmen BA kepada integriti, namun kompetensi juga penting. Calon mestilah berminda dengan minda policy makers serta bekerja dengan tangan seperti tangan administrators..
Itulah rahsia kejayaan banyak parti yang berjaya, seumpama pembangkang di Turki. Hanya sebilangan kecil sahaja yang mengundi Parti seperti Refah, Fazilet atau AKP atas dasar ideologi. Majoritinya mengundi atas keyakinan mereka kepada 'kualiti calon'. Dalam situasi seperti ini, kita perlu lebih menekankan kepada self improvement dan bersederhana dalam self promotion. Korupsi pada penguasa sedia ada sudah jelas, namun keupayaan penggantinya yang masih samar, di mata ramai.
BERSIH hanyalah spark dan ia mesti disambut oleh bahan api dan enjin jentera yang menjana pergerakan sebenar ke arah perubahan.
Seeru 'ala barakatillah!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
Related posts:Tidak Bersih Islam Dengan Kotor Muslim
Agar Kaumku Beringat-ingat
Usrah, Fathi Yakan Dan Perjuangan: Agar Jalan Itu Tidak Dialpakan
July 5, 2011
S̄uk̄hs̄ạnt̒ Wạn Keid, Muhammad Saiful Islam
[image error]
Selamat menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-9, Muhammad Saiful Islam.
Abi sentiasa bersyukur, bangga dan menikmati setiap detik menjadi ayah kepada seorang anak sepertimu.
Abi sentiasa juga sedar bahawa perkataan POTENSI adalah perkataan yang merbahaya.
Apabila ada orang memberitahu Abi bahawa Saiful Islam adalah seorang anak yang berpotensi, maka sudah tentu Abi akan gembira. Seronok membayangkan anak membesar dengan jayanya, menikmati setiap marhalah kehidupan, tidak perlu menempuh kesusahan yang pernah Abi tempuhi dan memandang itu semua dengan penuh rasa kasih sayang.
Tetapi di situlah kerisauan bermula.
Potensi, hakikatnya hanya sebuah kebarangkalian, bukan jaminan.
[image error]
Mungkin ramai orang sibuk mahu memasang lagu Mozart semenjak bayi dalam kandungan, mencari susu formula brain boosting, masukkan anak ke kelas gimnasium untuk membangunkan otot atau mengatur kelas Mental Arithmatic, belajar bahasa asing segera sebelum terlambat dan yang seumpama dengannya, seperti yang ada di negara-negara 'maju'.
Namun, untuk Abi, cukup sudah Abi membesarkan Saiful Islam sebagai hamba dan Khalifah Allah yang berjaya, jika Abi dapat sentiasa membantu Saiful Islam dalam tujuh teras dirimu meniti usia dewasa, yang Abi selalu rujuk kepada buku Smart Parenting for Smart Kids iaitu:
Tempering perfectionism
Building connection
Managing sensitivity
Handling cooperation and competition
Dealing with authority
Developing motivation
Finding joy
Semua foto Saiful Islam semasa kecil, penuh dengan keceriaan dan senyuman. Mata yang cantik dan senyuman yang manis itulah penyejuk hati Abi dan Ummi, semasa kita menempuh detik-detik sukar kehidupan. Semasa Abi terlantar sakit, semasa kita berkurung di rumah tidak pergi solat Jumaat kerana ketiadaan wang untuk memanggil teksi, ketika Saiful Islam bergolek di kaki mimbar semasa Abi berkhutbah Jumaat, tiada wang yang dapat membeli pengalaman itu.
[image error]
Dan Abi mahu anak yang comel, ceria dan bijaksana itu terus meniti usia dewasa, membesar sebagai anak muda yang bermotivasi tinggi dalam kehidupan.
Abi juga minta maaf kerana sebagai anak sulung, Saiful Islam selalu terpaksa beralah untuk adik-adik. Hati Abi selalu terguris melihat iras kekecewaan di wajahmu tatkala engkau terpaksa melepaskan keinginan-keinginan tertentu dek kerenah Naurah, Imad atau Muiz. Ada kalanya Abi seperti meminta Saiful Islam menjadi lebih dewasa daripada yang sebenarnya.
Maafkan Abi.
Dan sempena Ulangtahun Kelahiranmu yang ke-9 hari ini, kita sekeluarga masih berada di Bangkok… Abi nak belanja Saiful Islam tomyam!
Haha… jom kita meronda.
Happy birthday, son!
The proudest thing ever happen in my life, is to be your DAD!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Sukhumvit, Bangkok
Related posts:Saiful Islam ke PASTI
Saiful Islam Selamat Berkhatan
Saiful Islam Jadi Ketua Kelas
July 3, 2011
Coretan Santai di Malam Keputusan PRU Thailand
[image error]
Keletihan meneman anak-anak sementara isteri mendaftar di Konferans
Apa pun tidak sempat.
Lazimnya sebelum menuju ke tempat baru buat kali pertama, sekurang-kurangnya saya akan membaca serba sedikit mengenai lokasi, adat budaya, beberapa perkataan bahasa tempatan, di mana kedai Halalnya dan sistem pengangkutan yang perlu diguna.
Buku Insight Guides, selalunya saya beli. Ada Australia, Japan, UAE, Great Britain, Ireland, Turkey, Jordan dan beberapa buah yang lain.
Tetapi tidak untuk Thailand.
Saya membeli naskhah untuk negara Thailand di KLIA sejurus sebelum berlepas dan tidak berkesempatan membacanya.
Hanya satu petikan sahaja yang saya sempat pandang iaitu;
"Traveling with children is a breeze in Thailand. Thais love kids, and those with blonde hair will receive special attention. It can be a bit overwhelming, but people are just being friendly and it is part of the Thai sense of community. Footpaths in Bangkok and most Thai cities are not pedestrian-friendly. They are often in disrepair, and inevitably something or somebody obstructs them: leave the buggy at home and bring back or chest-mounted baby carriers" [Page 412]
Orang Thai memang sukakan kanak-kanak.
Habis pipi Muiz dicubit di kiri dan kanan.
[image error]
Cuma sukanya mereka kepada kanak-kanak tidak diterjemahkan kepada kemudahan awam.
Aduh.
Hampir tercabut pinggang saya menggendong buggy berisi Muiz dan 4 beg Isetan turun naik tangga stesyen MRT yang tinggi-tinggi belaka itu.
Syukur Alhamdulillah, semua urusan pendaftaran isteri saya di konvensyen yang disertainya selesai. Poster pertandingan juga telah diserahkan. Ia di luar kefahaman saya. Sebagai suami hanya memberikan sokongan padu dari belakang.
Hari ini juga saya luangkan masa mendengar raptai presentation isteri di dalam bilik dan memberikan kritikan untuknya. Berpuluh-puluh pembentang, pelbagai tajuk, berjam-jam, pagi hingga ke petang, masa yang diberikan pula hanya 10 minit. Tentu sahaja susah untuk outstanding.
Saya manfaatkan ilmu dan kemahiran yang Tuan Fazrul Ismail ajarkan kepada kami di dalam kursus yang pernah diadakan sebelum ini. CASIC wajar diamalkan dalam situasi sebegini:
Connect yourself with the audience.
Acknowledge their conditions.
Serve them their needs.
Inquire.
Choice.
Empat langkah awal itulah yang perlu dimantapkan sebelum peserta Konvensyen diberikan CHOICE iaitu pembentangan kita. Ia hanya memakan masa seminit, tetapi dengan menyedari elemen tersebut dan menyampaikannya dengan intonasi yang betul terutamanya pada kata-kata kunci, saya yakin penyampaian Dr. Muna akan jadi lebih cemerlang.
Mungkin modul CASIC oleh Total Success boleh diusulkan kepada profesional perubatan selepas ini. Saya akan cuba mengusahakannya.
[image error]
Hari pilihanraya umum juga berjalan lancar di Bangkok.
Keputusan malam ini menunjukkan Pheu Thai Party yakni Parti Thaksin Shinawatra (geng baju merah) menang besar. Pelancong dinasihatkan berada di hotel. Kedua belah pihak bersetuju menghormati pilihan pengundi. Harap pengikut-pengikut pun bertenang juga.
Kemenangan ini lebih sedap dibaca di Malaysia sebagai kemenangan PEMBANGKANG.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Soy 8, Sukhumvit Bangkok
Related posts:Coretan Ramadhan Di Hari 1
Salam Baju Kuning Dari Bangkok
Forum Nikah Tunai Malam Ini di Kota Bharu
July 2, 2011
Sunnatullah Dalam Sunnah Berniaga
Jika misinya adalah Constantinople, cara membaca kekalahan itu berbeza.
Setiap percubaan yang tidak mencapai matlamat besar itu bukan kegagalan. Ia sudah membawa pasukan kepada jarak yang semakin hampir ke sasaran. Ia bukan kekalahan. Ia adalah siri kemenangan tertangguh.
Pusingan pertama pasukan Saifulislam Training & Consultancy memulakan langkah dengan keyakinan yang mutlak terhadap Syariatullah. Kita yakin apa yang diperjuangkan ini adalah apa yang dipilih oleh Allah untuk kita sampaikan kepada masyarakat. Ia mesti dipertahan dan dikembangkan di tengah-tengah gelanggang.
Namun aspek Sunnatullah juga penting. Ilmu pengetahuan dan kemahiran mengendalikan pelbagai aspek bisnes tidak boleh diabaikan. Setiap ilmu penting malah kepakaran di dalam pembedahan otak atau pidato mega, boleh pincang hanya dek ilmu menguruskan premisnya tidak diberi perhatian.
Banyak ujian yang datang.
Saya menutup tirai 2010 dengan hati yang berbelah bagi. Mahu diteruskan atau kembali berpatah ke belakang.
Di usia 36 tahun, saya tidak lagi berfikir tentang mencari jalan mengisi keperluan hidup semata. Saya mahu membina legasi. Mengambil kehebatan Rasulullah SAW pada keberhasilan baginda membentuk generasi sahabat. Ada Alul Bayt, ada sahabat.
RUMAHTANGGA
Tahun ini genap 10 tahun saya membina rumahtangga bersama isteri tercinta. Jatuh bangun kami, pahit manis mengendalikan realiti, daripada sepasang suami isteri menyewa bedsit di bucu bungalow sebuah lorong di Ireland, kini rumahtangga sudah meriah dengan 4 cahaya mata, dibantu oleh seorang pembantu rumah dan seekor kucing Parsi bernama Kedi. Oh ya, seekor kura-kura tanpa nama. Sekadar Toto, sebagai gelaran bersempena Tortoise barangkali.
Saya bangga dengan keluarga saya. Bangga kerana mereka adalah kekuatan penting yang setia bersama, jatuh bangun, memaafkan kelemahan saya dan bersyukur dengan kelebihan yang ada.
Baiti Jannati.
SAHABAT
Bagaimana dengan sahabat?
Allah mengurniakan rezeki kepada saya untuk bersahabat dengan rakan yang luar biasa. Selalu saya katakan, kami berdua adalah sepasang 'orang gila' yang dijodohkan untuk berjuang bersama. Di saat-saat getir, sahabat saya Ahmad Shakir terus setia meneman. Pembaca dan pengkaji tegar buku-buku Bisnes, Shakir tidak mahu mengalah. Berjam-jam, berhari-hari kami berdiskusi, segala kelebihan dan kelemahan dilambakkan di atas meja (selepas ayam penyet Wong Solo dikemaskan pelayan), dan Shakir mahu saya teruskan perjalanan, dan beliau menyertainya.
Tetapi bagaimana?
Jalan buntu.
SINERGI
Saya mencari ruang sinergi untuk kelebihan kami dikahwinkan dengan kelebihan pasukan lain, kelemahan kami ditampung dengan kelebihan pasukan lain. Saya hanya mampu berdoa agar dibukakan jalan untuknya.
Muncul pula seorang rakan yang telah saya kenali semenjak 2007. Sahabat yang hilang seketika kerana menyambung pengajian ke Rutgers, USA tetapi tidak pernah berhenti berutus khabar berita, biar pun bermusim seperti silih ganti bunga dan luruh di sana.
Firdaus Hasim yang telah menamatkan pengajian di USA kini menjadi anggota Total Success Training & Consultancy (TSTC). Beliau menemukan saya dengan Sifu beliau Tuan Fazrul Ismail. Pertemuan formal kami di Masjid Tun Abdul Aziz, PJ usai program Remaja de Ramadan, memulakan penerokaan kami.
Tuan Fazrul yakin bahawa saya mampu menghasilkan sesuatu untuk masyarakat, yang tidak mengizinkan saya untuk menarik diri. Industri perundingan dan latihan umat Islam memerlukan kepada alat-alat keperluan diri, kerjaya dan keluarga yang mana alat-alat itu diterbitkan daripada LATHA'IF al-Quran.
Kemahiran Total Success di dalam teknik Coaching perniagaan, Pemikiran Sistemik bersama modul CASIC, juga cabang-cabang urus tadbir bisnes yang lain, adalah 'doa yang dijawab Tuhan' bagi saya. Selama beberapa bulan, saya terasa bagai mengambil jurusan pengurusan bisnes apabila segala ruang yang ada, kami isikan dengan pelbagai sesi wacana untuk mengatur semula rentak.
Kemanisan bekerjasama itu akhirnya mendorong kepada terbentuknya Akademi Sinergi yang turut sama disertai oleh Infitah Training & Consultancy yang beroperasi di Seremban. Menjadikan Home Tution sebagai bisnes teras, Infitah juga mempunyai kekuatan jaringan tutor dan murid-murid yang luas. Kami meluaskan kerjasama.
Semangat itu tidak cukup. Allah tidak dengan mudah memberikan sahaja kepada saya jawapan kepada doa yang dipohon.
Tiba-tiba, Saifulislam Training & Consultancy gagal diperbaharui lesen perniagaannya. Suruhanjaya Syarikat Malaysia memberikan alasan, perkataan Islam tidak boleh digunakan di dalam nama entiti perniagaan kerana telah digazetkan.
Appeal juga gagal.
Pedih.
Banyak perubahan perlu dibuat.
Tetapi ia berlaku dengan 1001 hikmah.
Saya mengambilnya sebagai peluang rebranding. STC dengan singkatan yang sama, kini dikenali sebagai Synergy Training & Consulting.
Sebagai insan yang sudah berumahtangga, dan kini bergelar bapa, Shakir juga ada komitmen yang mungkin menyebabkan beliau tidak dapat berjuang bersama secara fizikal dengan STC. Saya sekali lagi berdebar. Berfikir tentang backup plan. Fikiran masih kecamuk dengan ratusan jemputan program dan permintaan untuk kami berperanan, yang masih belum saya uruskan.
KEKUATAN DOA
Mengulangi doa yang pernah saya bacakan suatu ketika dahulu, saya sekali lagi mencari kekuatan doa sebagai senjata mukmin.
Selepas Allah memerintahkan Musa pergi berhadapan dengan Firaun yang Taghut, Musa alayhi al-Salaam merayu agar kelemahan-kelemahan peribadinya disembuhkan.
"Musa berkata: Tuhanku, lapangkanlah dadaku, mudahkan urusanku, hilangkan simpulan pada lidahku, agar yang mendengar memahami perbicaraanku" [Taha : 25-28]
Musa tidak betah bergerak sendiri. Baginda meneruskan doanya:
"Dan jadikanlah untukku seorang pembantu daripada kalangan ahliku, Harun, saudaraku. Kuatkanlah dengan sokongannya pendirianku. Dan jadikanlah beliau berganding sama dalam urusanku" [Taha : 29-32]
Itulah doa saya.
Mengharapkan pasukan menjadi besar, kukuh dan BUILT TO LAST bak kata Jim Collins dan Jerry I. Porras.
Namun asasnya lebih besar dari ungkapan dua penulis itu.
"Supaya dengan kerjasama itu kami akan banyak bertasbih memuji-Mu. Dan banyak mengingati-Mu. Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal urusan kami" [Taha : 33-35]
AHLI KELUARGA BARU
Kolaborasi saya dan Shakir di dalam STC bersama-sama Total Success dan Infitah di dalam Akademi Sinergi, menemukan saya dengan peluang-peluang baik yang lain.
Paling utama, STC mengalu-alukan Akhi Zainal Lutfi menyertai perjalanan ini.
Graduan segar juga dari Rutgers USA yang baru sahaja menamatkan pengajian, menerima tawaran tugas pada 1 Julai 2011, di samping potfolio perkongsian sinergi tiga syarikat ini.
Zainal sudah menjadi rakan Facebook saya semenjak 2008 biar pun saya tidak menyedarinya. Dengan sedikit bantuan teknologi social network ini, saya boleh mengesan semua komunikasi kami dan gambarsn cara fikir kami. Saya yakin dengan kebolehannya.
Mengambil iktibar daripada praktis awal yang bermula dengan ringkas tetapi berkembang menjadi kompleks hingga sukar diurus, perjalanan Zainal kami cuba permudahkan dengan SOP yang lebih teratur dan fokus, bersama perancangan untuk mengembangkan lagi kualiti dan kuantiti sedia ada pada jangka masa terdekat ini.
STC perlu diperbesarkan lagi.
Dan sudah pasti kredit besarnya adalah pada mentor beliau iaitu Akhi Firdaus Hasim sendiri, dan Coach kami semua, Tuan Fazrul Ismail yang tidak pernah jemu dan lokek menggilap kami semua, termasuk menyiapkan Akhi Zainal Lutfi dengan ilmu, kemahiran dan sistem yang baik untuk berfungsi.
RAHSIA KEBANGKITAN
Mungkin ada yang tidak percaya.
Namun amat benar bagi diri saya.
Keupayaan untuk saya bangkit semula memang banyak bersumberkan spiritual yang tidak luntur oleh jalan yang berjongkang jongket ini. Namun spiritual itu juga memerlukan kepada premis yang optimum.
Jihad tahun 2011 saya adalah untuk membebaskan diri daripada penyakit obesiti, diabetis, kemurungan, sleep apnea dan kolestrol yang kebanyakannya adalah sindrom metabolik akibat cara hidup yang salah. Setelah lebih 20kg berjaya disingkirkan, saya berasa lebih bertenaga, aktif, kreatif, rasional dan kurang emosional.
Transformasi P iaitu fizikal, adalah amat penting untuk mental, emosional dan spiritual dapat direalisasikan.
Berada di tahap keaktifan yang tinggi, saya mahu menjadi pemimpin yang memberikan inspirasi kepada pasukan saya. Mahu mereka bangga bekerja bersama saya. Mahu dengan bersama saya, tiada sempadan keupayaan yang tidak boleh dilangkau, selama Allah bersama kita.
Islam agama bangkit!
Lebih teguh kamu berpegang dengan Islam, lebih teguh kamu bangkit berjuang!
Itu pesanan Sayyid Qutb.
Jalan penuh liku, kerana hujungnya ada Syurga.
Doa kalian, kami hargai.
Buat Shakir dan Zainal, seeru 'alaa Baraakatillah.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Sukhumvit Bangkok
Related posts:Jangan Gopoh Dalam Bicara
Sabar dan Hikmah Dalam Berdakwah
Dalam Derita Ada Bahagia
Salam Baju Kuning Dari Bangkok
Pilihanraya Umum?
Tergamam juga kami dibuatnya.
Thailand pada hari Pilihanraya Umum bukanlah hari terbaik untuk berada di tengah-tengah kota Bangkok. Pertembungan antara pasukan baju kuning menentang pasukan baju merah boleh sampai melumpuhkan seluruh negara hingga Lapangan Terbang pun tutup.
Tawakkal.
Tiket sudah dibeli, hotel telah ditempah, seminar ACEM yang isteri saya sertai masih diteruskan.
Alhamdulillah ketibaan kami di Bangkok petang tadi berjalan lancar. Trafik tenang kerana hujung minggu yang panjang (cuti Sabtu hingga Isnin). Ia banyak melegakan kerana Bangkok terkenal dengan traffic jam yang menakutkan kita.
Dalam batasan bahasa, dapat juga saya berbual dengan pemandu teksi yang memandu kami ke hotel.
"Malam ini orang-orang Thaksin akan ketuk pintu-pintu rumah bagi 200 atau 300 Baht supaya esok mengundi mereka. Ini merosakkan negara!" katanya.
"Geng Baju Merah di mana-mana pun jahat" saya membalas.
Peminat Manchester United jangan salah faham. Saya maksudkan di sini, baju Merah dalam politik.
Hujung minggu ini juga, pub dan bar ditutup serta parti-parti hedonis tidak dibenarkan untuk diadakan. Thailand mesti 'remain conscious' untuk membuang undi dalam pilihanraya ini. Menarik…
Di Malaysia, berita-berita propaganda di televisyen dan surat khabar arus perdana itu sudah cukup menghilangkan kewarasan rakyat. Tipikal al-Mala'!
Perbualan kami sekali sekala terganggu dengan gelagat anak-anak di belakang. Pemandu yang ada dua anak perempuan itu pun pening agaknya.
"I like girls. But I don't like Monkey Boys!" katanya dalam nada gurau.
"Hah, Monkey Boys! Senyap sikit!" saya menoleh ke belakang.
"Ahaha, Imad Monkey!" Saif mengejek.
Apa-apalah.
Saya sudah terlalu letih dan mengambil keputusan untuk membiarkan mereka buat apa sahaja asalkan tidak mencetus mudarat kepada diri dan orang lain.
Enam hari di Bangkok ini asalnya adalah peluang bercuti untuk saya dan anak-anak sementara isteri menyertai conference dan mempertandingkan thesis beliau berkenaan denggi bersama beberapa orang rakan yang lain. Saya perlu merehatkan diri selepas adrenaline rush beberapa minggu berkaitan kerja hingga tidak sempat makan dan kehabisan suara.
Tetapi ada banyak tugasan yang perlu diselesaikan dalam minggu ini. Menyelesaikan buku yang disasarkan berada di pasaran Ramadan ini, menyiapkan kertas kerja Seminar Meneladani Kejatuhan Khilafah Othmaniyyah di UKM Ahad 10 Julai, dan memastikan Product Development Unit kami menemui beberapa hasil untuk pembangunan modul.
Saya akan cuba mengagihkan masa sebaiknya dengan membahagi-bahagikan hak ramai pihak ke atas diri saya. Dan dengan teknologi, saya bersyukur kerana tidak terputus hubungan dengan pejabat, agar Zainal dan Shakir tidak terjejas momentum semasa ketiadaan saya seminggu ini.
Saya juga akan membuka mata dan telinga untuk memerhati perkembangan semasa Pilihanraya Umum Thailand hari ini.
Salam Baju Kuning dari Bangkok.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Sukhumvit, Bangkok
Related posts:Salam Muhibbah Dari Bumi Syam
9: 122… Dari Gombak ke Subang Jaya
Merawat Budaya Kuning Anak-anak
July 1, 2011
June 30, 2011
Panduan Meneliti Kesan Surah al-Kahf
[image error]
Hari ini hari Jumaat.
Penghulu sekalian hari.
Kehadirannya bukan hanya dengan semangat seronok menyambut hujung minggu dan cuti, tidak juga sekadar 'rutin' Surah al-Sajadah dan Surah al-Insan di solat Fajarnya.
Rebutlah beberapa keutamaan penting yang disediakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'aala khusus dengan kedatangan hari ini.
Antaranya ialah membaca dan bertadabbur dengan Surah al-Kahf.
Daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam, baginda bersabda, "BARANGSIAPA MEMBACA SURAH AL-KAHF PADA HARI JUMAAT, NESCAYA DIRINYA TERPELIHARA HINGGA LAPAN HARI, DARIPADA SEGALA FITNAH YANG MELANDA, DAN JIKA KELUAR DAJJAL SEKALI PUN, DIA AKAN TERPELIHARA DARIPADANYA" [Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5: 355]
FUNGSI SURAH AL-KAHF
Menurut Sahib Tafseer fee Dhilaal al-Quran, Surah al-Kahf berfungsi melindungi orang-orang yang beriman daripada fitnah Dajjal kerana ia menyediakan 'tools' untuk menghasilkan tiga perkara:
(تصحيح العقيدة) Membetulkan sistem kepercayaan (Aqidah)
(تصحيح منهج الفكر و النظر) Membetulkan metod berfikir dan memerhati (Pandangan Hidup)
(تصحيح القيم بميزان العقيدة) Membetulkan sistem nilai dengan pertimbangan kepercayaan (Nilai)
CHECK LIST
Justeru, usai membaca Surah al-Kahf, jawab soalan-soalan berikut sebagai menilai keberkesanan isi kandungan Surah itu kepada kehidupan kita:
Apabila mempercayai sesuatu dalam hidup ini, atas asas apakah ia dipercayai? Aqidah, Ibadah, urusan jual beli dan kepenggunaan, bagaimanakah kita menetapkan pendirian tentang keputusan 'buy-in' kita terhadap sesuatu yang datang ke dalam hidup?
Bagaimanakah kejadian-kejadian di dalam hidup ini diberikan makna? Kerjaya, keluarga, perancangan hidup, adakah ia sekadar makna kulit bagi setiap perkataan itu atau ada makna yang lebih besar? Jika sistem ganjaran terhadap kerjaya dan keluarga gagal memenuhi jangkaan diri, bagaimanakah ia diatasi dan di sisi manakah kita mendapatkan kepuasan mengenainya?
Apakah yang baik, berguna, penting dan utama dalam hidup ini? Bagaimana pertembungan di antara pelbagai komitmen ke atas diri yang satu, disusun atur antara yang perlu disusun atur, atau dibuang dan diabaikan seandainya tidak perlu? Bagaimanakah keputusan untuk hal-hal ini dibuat? Atas pertimbangan apakah keputusan itu dibuat?
Ini adalah soalan kehidupan yang boleh digunakan untuk menilai, sama ada 'tools' yang terdapat di dalam Surah al-Kahf berjaya digarap atau sebaliknya.
Fitnah Dajjal tidak datang dalam bentuk ancaman fizikal. Ia muncul dalam keadaan kita pun mungkin tidak sedar dengan kemunculannya. Ia menyelinap masuk mengganggu gugat kepercayaan, merosakkan sistem fikir dan sistem nilai.
MUHASABAH
Muhasabah KEPERCAYAAN anda (cetusan kisah Ashaab al-kahf).
Muhasabah HARTA anda (cetusan kisah lelaki kafir pemilik dua kebun).
Muhasabah ILMU anda (cetusan kisah Musa dan Khaidir).
Muhasabah KUASA anda (cetusan kisah Zulqarnain).
Adakah setiap satunya itu ASET atau LIABILITI?
Jika setiap satunya membawa kita kepada Allah, maka ia adalah aset yang penting bagi pelaburan hidup dunia dan Akhirat.
Jika setiap satunya gagal membawa kita kepada Allah, maka ia adalah liabiliti yang mengundang musibah dunia dan Akhirat.
Ia mesti berhubung dengan Allah.
Terputus hubungan dengan Allah, semua kepercayaan, harta, ilmu dan kuasa akan melekat di dinding Materialisma.
Mazhab Dajjal.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Related posts:Pengantar Sejarah Islam: Kisah Ashaab al-Kahf
Kuliah Ibrah Daripada Surah al-Kahfi Melabuhkan Tirainya
Surah al-Kahf: Pertembungan Antara Iman dan Materialisma (Pengenalan)


