Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 94

July 25, 2011

Kekuatan Doa Semasa Diet

[image error]


Bergambar bersama Dr Mahathir Mohamed, pembimbing diet saya. Turut bersama Tuan Fazrul Ismail, coach saya, juga adik-adik kepimpinan Mahasiswa UKM, usai Seminar Transformasi Ramadan baru-baru ini.


"Ustaz, apakah doa yang ustaz baca apabila rasa tersangat lapar sepanjang program diet ini?" tanya doktor kepada saya.


Termenung seketika.


Alhamdulillah sepanjang empat bulan saya mengusahakan perubahan diri, saya tidak pernah menjadi terlalu lapar.


Namun sesekali, memang terasa rindu pengalaman mengunyah nasi, biar pun rasa nasi sudah tidak sesedap dulu.



Tetapi apabila dikenang, memang benar. Perubahan fizikal juga berdepan dengan tuntutan istiqamah. Seperti yang saya sebutkan di dalam Seminar Transformasi Ramadan baru-baru ini, bahawa Taqwa memberi kesan kepada keseluruhan aspek hidup kita.



Kesan Taqwa ke atas fizikal
Kesan Taqwa ke atas intelektual
Kesan Taqwa ke atas emosional
Kesan Taqwa ke atas spiritual

Dan sudah tentu, spiritual itu tunjang segala-galanya.


Kekuatan spiritual adalah kekuatan paling besar dan paling diperlukan untuk mengukuhkan azam melakukan perubahan.


Teringat kenangan semasa menaiki pesawat Emirates ke Dubai beberapa bulan yang lalu. Pesawat yang kosong, memberi ruang kepada saya untuk 'menyendiri' di sepanjang perjalanan. Dua kerusi di kiri dan kanan kosong. Tatkala hidangan makan malam dihidang, saya diuji dengan Nasi Briyani ayam, kek span cokelat dan pelbagai makanan, semasa saya memang kelaparan. Ketika itu, boleh sahaja saya makan. Apalah sangat 'tipu sehari', esok kembalilah ke diet. Lagi pun bukan ada sesiapa yang nampak. Tiada siapa yang kenal saya.


Ketika itu fizikal kita menyuruh makan. Intelektual memproses ilmu untuk mencipta alasan mengharuskan. Emosional membuak menyuruh makan. Yang tinggal hanya spiritual. Kerohanian diri yang memberitahu, perubahan yang kulakukan bukan untuk sesiapa melainkan untuk diri sendiri. Hormatilah pandangan diri terhadap diri sendiri. Dan kehormatan itu benar-benar menjadi sesuatu yang kukuh, apabila Allah kita sedari bahawa Dia menjadi saksi.


Bukan hanya Allah sebagai saksi, malah Allah yang Maha Pengasih itu memberikan kepada diri ini tubuh badan yang sejahtera, bukankah menjaga dan memeliharanya adalah manifestasi SYUKUR yang besar.


Keresahan malam itu terubat dengan sepotong doa yang saya ulang-ulang sepanjang masa:


[image error]"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya." [Aal 'Imraan 3: 8]


Rahmat Allah itulah limpahan tenang di dalam hati.


Mintalah ia setiap hari, daripada Tuhan yang Maha Memberi.


Perubahan ini tiada jalan pulang.


Di persimpangan antara hidup dan mati, pilihlah banyak jalan yang membawa kepada kehidupan, agar tinggi harga sebuah kematian, suatu hari nanti.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Diet Erti Hidup Pada Memberi
Manual Diet Demi Deen
AGENDA 2008 di Pulau Bugis

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 25, 2011 16:09

July 24, 2011

Selamatkan Penceramah Daripada Lautan Kereta Ramadan

[image error]


"Allahu!" tergamam saya.


Kelihatan di hadapan, lautan kereta bagai tidak bertepi.


Tidak bergerak.


Keluar seawal jam 4:15 untuk mengejar ceramah yang ditetapkan di Shah Alam, saya menganggarkan tempoh dua jam 15 minit itu memadai.


Tik, tik… jam bergerak pantas. Lebih pantas dari putaran tayar kereta.


Jam sudah pukul 6:15 petang dan saya baru berjaya sampai ke Tol Jalan Duta. NKVE seperti Arafah.



"Saya mohon maaf, nampaknya tak ada rezeki nak berceramah di tempat tuan petang ini. Jam sudah 6:15 tetapi saya baru di Tol Jalan Duta. Ada berbelas kilometer lagi untuk saya tiba di Shah Alam" saya sms.


Salah, tetapi hampir boleh sahaja sebab kereta memang tidak bergerak.


"Betul ya ustaz tak boleh hadir?" pihak urusetia kedengaran kecewa.


"Kalau 2 jam 15 minit tidak sampai dari Ampang ke Shah Alam, rasanya alternatif berikutnya hanyalah helikopter!" saya bergurau.


Urusetia ketawa kecil, namun masih bernada sedih.


Kejadian itu hanyalah salah satu daripada banyak kejadian yang lain. Saya hampir tidak tahu mahu menganggarkan berapa jamkah diperlukan untuk sampai ke satu-satu destinasi program, yang pada keadaan biasa hanya memerlukan 30 minit atau kurang daripada itu. Berceramah 45 minit, perjalanan pergi balik mencecah 4 jam adakalanya.


Saya serba salah.


Saya juga Muslim, hamba Allah. Mahu berdamping dengan Allah, bertilawah membaca al-Quran. Tetapi saya juga memikul amanah dakwah. Dakwah memerlukan saya menyahut seruan. Tetapi menyambut seruan itu bermakna saya dan ramai penceramah lain, berkubang di jalanraya hingga tiga ke lima jam sehari.


Apakata Ramadan ini kita cuba cara lain.


Syarikat-syarikat yang berasaskan ICT mengapa tidak mengambil inisiatif mewujudkan trend ceramah secara konferans video sahaja?


Seminar Transformasi Ramadan yang kami anjurkan baru-baru ini berjaya dipancarkan ke seluruh dunia. Sesi 4 jam berjalan lancar, dan saya terfikir bukankah ini alternatif yang WIN-WIN untuk semua pihak di bulan Ramadan ini?


Saranan ini adalah rayuan penceramah.


Memang kita semua sedia maklum, ia bukanlah pilihan yang digemari ramai. Cuma kalau sudi mempertimbangkan saranan ini, dapatlah kami para penceramah membaca al-Quran dan beribadah sesuai dengan keinginan kami mengejar Syurga, seperti kalian.


Saya di Synergy Training & Consulting (STC) dan Akademi Sinergi, bersedia dengan kemudahan untuk dimanfaatkan.


Ada sesiapa yang ingin menyahutnya?


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43650 Bandar Baru Bangi




Related posts:Mencari Khalifah Untuk Selamatkan Bumi Yang Parah
Penceramah Itu Manusia Biasa
Selamatkan Uda dan Dara Dengan Hikmah Puasa

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 24, 2011 20:11

July 21, 2011

July 20, 2011

Ultra Salafi: Saya Sahih Sebab Rujukan Saya Sahih

[image error]


Saya sahih sebab rujukan saya sahih!


Ini merupakan salah satu penyakit pemikiran yang merunsingkan saya.


Terutamanya dalam trend kembali kepada Quran dan Sunnah, ramai yang ditimpa penyakit ini.


Oleh kerana alasan idea saya adalah al-Quran, maka idea saya sahih sesahih al-Quran. Oleh kerana rujukan saya adalah hadith yang sahih, maka apa yang saya faham tentang hadith itu, juga merupakan idea yang sahih.


Penyakit ini menimpa golongan yang menisbahkan fikiran mereka sebagai mewakili teks yang dianggap benar. Ia bukan sahaja berlaku dalam lingkungan Muslim, malah telah wujud juga penyakit yang sama di semua agama. Masalah ini bukan masalah agama, tapi masalah sikap dan pemikiran.



Ketika menyelak lipatan sejarah, saya teruja melihat gelagat golongan Jacobin.


Semasa Perancis sedang bertarung dengan usaha membebaskan masyarakat dari cengkaman penguasa diraja dan gereja, 1793 memperlihatkan rusuhan besar-besaran yang akhirnya memberi ruang kepada Jacobin mengambil alih pemerintahan. Mereka menganggap bahawa merekalah golongan yang mewakili suara rakyat, memahami aspek keadilan serta baik dan buruk masyarakat.


Mereka menganggap tafsiran mereka terhadap konsep cintakan tanah air La Patrie dan kefahaman mereka terhadap kehendak Social Contract adalah yang paling tepat. Lantas mereka mesti menerima sokongan dan kepatuhan yang mutlak dari rakyat, kerana dari situlah rakyat beroleh kebaikan.


[image error]


Antara tokoh terkenal dari kumpulan Jacobin ini adalah Maximilien Robespierre (1758 – 1794). Pemerintahannya dianggap pemerintahan yang luhur, berteraskan rujukan yang sahih, lantas dinamakan sebagai Republic of Virtue.


Tindakannya yang anti perhambaan, memberikan hak sivil kepada komuniti Yahudi dan pelbagai reformasi positif, di peringkat awalnya disambut baik oleh rakyat. Tetapi tindakan yang dinisbahkan kepada memenuhi kehendak iman telah menjadikan beliau dan pemerintahannya meng'kebal'kan diri dengan alasan mereka mewakili apa yang sahih.


… to detest bad faith and despotism, to punish tyrants and traitors, to assist the unfortunate, to respect the weak, to defend the oppressed, to do all the good one can to one's neighbour, and to have with justice towards all men"


Robespierre telah membina imej agama kepada masyarakat yang ditadbirnya. Lantas, menentang pemerintahannya dianggap menentang kehendak agama.


Pemerintahan berteraskan tafsiran sahih terhadap kehendak rujukan yang sahih, telah membina sikap tidak boleh dikritik, lantas mereka menghukum sesiapa sahaja yang mempertikai. Mereka membanyakkan perisik untuk memastikan tiada usaha mempertikai dan menentang dari kalangan rakyat, dan sedikit demi sedikit, Republic of Virtue berubah menjadi Reign of Terror!


Saya bertemu dengan watak ini di dalam pusingan Sejarah. Sama ada Sejarah Islam, mahu pun sejarah yang di luar komuniti Islam. Golongan yang menganggap diri mereka mewakili teks yang sahih, terlupa bahawa teks yang sahih tidak menjadikan apa yang mereka faham tentang teks itu turut sahih dan tidak boleh menerima pertikaian.


Kerana itu, kita bertemu dengan pembiakan golongan yang mengambil teks secara literal tanpa mengambil kira peraturan-peraturan untuk teks tersebut difahami.


Misalnya, banyak hadith sahih tentang hubungan rakyat dan pemerintah diketengahkan. Teks hadith ini cuba untuk dijadikan prinsip siasah secara mudah, sedangkan kefahaman mengenai hadith-hadith itu langsung tidak mengambil kira apakah asbab al-wurud (sebab hadith itu disabdakan oleh baginda s.a.w), 'illah, maqasid, hikmah dan apa yang mahu dicapai oleh Syariat Islam melalui hadith itu.


Lantas, usaha untuk mempertahankan ketaatan rakyat kepada pemerintah diperbesarkan dengan bahasa mutlak, bahawa pemerintah tidak boleh ditegur kerana hadith sahih berkata begitu, atas nama kehendak Sunnah!


[image error]


Masyarakat diajak agar mengenepikan tanggungjawab membetulkan pemerintah, apatah lagi dengan memperkatakan apa yang benar, kepada pemerintah yang zalim. Sebaliknya tumpuan diberi kepada menjauhkan diri dari menyatakan penentangan kepada penyelewengan dan kezaliman pemerintah, kerana ia dilabel sebagai tradisi Khawarij. Sedangkan taat kepada pemerintah, dan menjauhkan Kalimah al-Haq 'inda al-Sultan al-Ja'ir, itulah Sunnah.


Fahaman ini sukar diperbetulkan kerana pemikiran pendukungnya ialah "saya sahih sebab rujukan saya sahih"!


Soal menegur pemerintah secara tidak beretika, itu soal lain. Al-Quran sendiri memberi garis panduan kepada insan setinggi Musa tentang cara yang betul menegur manusia sejahat Firaun. Teguran tentunya dengan bahasa yang tidak menjadikan penegur memberanakkan dosa. Teguran tentunya mesti berasaskan fakta yang diteliti. Semua ini kehendak Syariat Islam.


Tetapi memberikan imunisasi kepada pemerintah semata-mata dengan alasan hadith sahih tidak membenarkan pemerintah ditegur, adalah suatu yang menghairankan, bukan hanya kepada rakyat yang Islam, malah kepada pemerintah sendiri.


"Tidak sangka, rupa-rupanya kalau menurut Syariat Islam, kita ini tidak boleh ditegur!", kata pemerintah di empat penjuru alam Muslim. Siapa yang tidak mahu 'Islam' versi ini?


Tindakan para Anbiya' seawal Nuh 'alayhi al-Salaam berdakwah terhadap golongan al-Mala', sirah Nabi s.a.w yang menolak pemerintahan Jahiliah di zamannya, derita para Imam seperti Imam Malik dan Imam Ahmad kerana tidak menyetujui pendirian pemerintah di zamannya, malah kematian dan derita pejuang Islam di Mesir, Syria, Jordan, Iraq dan di merata pelusuk alam, semuanya dilupakan.


Di dalam dunia kita hari ini, menegur kuasa pemerintah bukan hanya merujuk kepada peranan yang dimainkan oleh pembangkang. Ia hanya salah satu daripada format menyatakan pendirian. Teguran dan nasihat juga disampaikan dalam format jurnalisma (seperti diskusi Edward Said di dalam bukunya Covering Islam), seni suara, seni lukis, karikatur dan sebagainya. Kesemua format itu berkongsi etika yang sama, bahawa menegur pemerintah adalah sebahagian daripada proses check and balance demi memastikan kuasa berada di tangan yang betul, dan turun ke rakyat dengan polisi-polisi yang betul lagi saksama.


[image error]


Gerakan Islam, NGO dan pelbagai pertubuhan yang ada di dalam masyarakat, mempunyai pelbagai tanggungjawab dan peranan.


Malangnya, dalam suasana seperti apa yang ada hari ini, agenda menyelamatkan ummah dari ancaman Sekularisma hilang prioriti. Tanggungjawab menegakkan keadilan pada ekonomi, sosial dan undang-undang ditolak ke tepi. Tugas umat Islam menyelamatkan saudara-saudara mereka dari gelombang Riddah apabila manusia murtad menerusi peruntukan undang-undang dan lemahnya penguatkuasaan, sudah tidak lagi dibicarakan.


Malah bukan hanya itu, apa yang dinamakan sebagai perjuangan Islam. Bagaimana pula dengan polisi kerajaan dalam isu alam sekitar, pencemaran udara dan air, hinggalah kepada pencemaran budaya dan cara hidup, semua itu juga sebahagian daripada agenda Islam. Sistem Islam bukan hanya memperkatakan tentang undang-undang, malah mencakupi seluruh aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia.


Tugas pendukung agenda Islam sangat banyak. Sekurang-kurangnya ia sama banyak dengan kementerian dan jabatan kerajaan itu sendiri. Mereka perlu memantau keberkesanan penguasa di dalam isu kehakiman, sama juga di dalam isu kesihatan, penjagaan alam sekitar, kebajikan pekerja, pendidikan, dan senarai ini berterusan.


Di mana perjuangan al-Quran dan al-Sunnah dalam memperkatakan hal ini, jika kita semua diheret kepada sekadar persoalan "boleh atau tidak kita menegur pemerintah?". Pemerintah sendiri pun tidak sangka ada isu semacam itu di belakang mereka.


Bukanlah saya bermaksud mengajak pembaca menjadi pembangkang secara membuta tuli. Namun pemantauan oleh rakyat kepada pemerintah, adalah suatu amalan yang terlalu biasa yang manusiawi, tiada apa yang ganjil. Bukan sahaja sistem pemerintahan Islam, malah mana-mana sistem pemerintahan yang sedar akan 'keadilan' menerima kepada adanya saluran untuk mereka yang memerintah, dinasihati oleh mereka yang diperintah.


Tetapi dengan krisis pemikiran yang menimpa umat Islam, kita menjadi komuniti yang pelik.


Yang diutamakan ialah 'jangan menentang pemerintah selagi mana mereka bersolat'. Ini berpunca daripada kegelojohan untuk memahami hadith tanpa menggunakan alat-alat Syara' seperti Usul Fiqh, perbahasan mengenai Maqasid dan sebagainya. Apakah tujuan Rasulullah s.a.w mendisiplinkan proses menegur pemerintah? Ada besar hikmahnya di situ. Soal mencegah kemungkaran tanpa menimbulkan kemungkaran yang lebih besar, diberikan keutamaan di situ. Agar jangan sampai semua orang secara semberono membunuh kestabilan masyarakat demi membetul satu dua kesilapan pemerintah.


Tetapi perincian kepada soal ini begitu malas untuk diambil peduli. Yang penting, saya telah petik hadith yang sahih di dalam pendirian saya. Itu kehendak hadith sahih yang saya rujuk. Saya sahih kerana rujukan saya sahih. Rujukan anda apa?


Hanya dengan 'Islam', kesilapan dan kesalahan pemerintah dapat didiamkan! Mahukah anda sebagai mangsa kepincangan profil tinggi, dengan Islam yang begini?


Lalu muncullah agamawan yang sibuk memperingatkan rakyat agar mentaati pemerintah lebih daripada peringatannya agar pemerintah mentaati Allah!


Saya sakit kepala memikirkannya.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

56000 Kuala Lumpur

15 April 2007




Related posts:Saya Tidak Suka Buku Ustaz Sebab…
Manhaj Salafi dan Krisis Emosi (Hati)
Maaf Saya Tidak Suka Buku Ustaz!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 20, 2011 18:36

July 19, 2011

Baginda Yang Berbuka Puasa Dengan Tamar Dan Air Itu…

[image error]


"Alhamdulillah ustaz. 2kg lagi turun semenjak Khamis minggu lalu" kata doktor.


"Alhamdulillah!" saya gembira.


Bersyukur.


"Insya Allah menjelang Ramadan, berat ustaz akan meninggalkan zaman tiga angka. Apabila berat sudah di bawah tiga angka, sudah banyak risiko kesihatan yang berjaya disingkir" jelas doktor.



Lawatan ringkas pagi tadi hanyalah rutin mingguan saya.


Program menurunkan berat badan saya semenjak Mac 2011 bukanlah bermatlamatkan hasil-hasil luaran. Saya melakukannya dengan bersungguh-sungguh kerana mahu memecahkan segala tabiat negatif kehidupan. Kegemukan hanya simptom. Ia bukan masalah dasar. Kegemukan adalah simptom kepada adanya kecacatan pada tabiat di dalam kehidupan kita. Itulah yang mahu saya pecahkan.


Ramadan semakin hampir.


DIET DI BULAN RAMADAN


3 minggu pertama Ramadan, saya akan masih berada di dalam regim 500kcal/day.


Jangan khuatir.


Saya tahu ramai dietitian, sama ada yang profesional mahu pun tidak, 'menyerang' plan diet saya ini.


500kcal/day ini bukanlah hanya dengan memotong karbohidrat dan gula. Selain senaman berkala, corak tidur yang dibetulkan dan jumlah air minuman yang dioptimumkan, saya juga menerima bantuan melalui suntikan hCG yang menyebabkan lemak simpanan banyak dibakar. Itulah sumber tenaga harian saya. Lawatan mingguan ke klinik dan pemantauan rapi doktor juga penting untuk memastikan saya tidak mengalami pelbagai jenis malnutrisi atau electrolyte imbalance.


Sebab itu amat penting bagai saya menghitung dan mengetahui secara terpeinci apakah yang saya makan dan tidak makan, minum dan tidak minum dalam satu hari.


Namun apa yang paling mengujakan saya dengan kedatangan Ramadan ini adalah pada nikmat yang satu ini:


Saya tidak sabar hendak mengecapi nikmat berasa cukup berbuka puasa dengan tamar dan air, yang selama 36 tahun hidup ini saya hanya membacanya di dalam Sirah insan luar biasa bernama Muhammad bin Abdullah sallallaahu 'alayhi wa sallam itu.


Catatan yang dirasakan begitu jauh.


Begitu mustahil.


Hingga terlupa, bahawa Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam itu susuk tubuhnya adalah sama fisiologinya dengan susuk tubuh saya dan anda semua.


Ramadan kali ini jangan kurang daripada berevolusi.


Namun berusahalah untuk berreformasi.


Demi sebuah transformasi.


TRANSFORMASI RAMADAN.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

FB: facebook.com/hasrizalabduljamil

68000 AMPANG


Untuk mendapatkan wacana lengkap tentang kaedah Transformasi Ramadan ke atas fizikal, intelektual, emosional dan spiritual, jangan ketinggalan untuk bersama kami di SEMINAR TRANSFORMASI RAMADAN, 24 Julai 2011, Ahad ini jam 8:30 pagi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


KLIK UNTUK MENDAFTAR 




Related posts:Selamatkan Uda dan Dara Dengan Hikmah Puasa
Selamatkan Rumahtangga Dengan Hikmah Puasa
Benci Yang Dengan-Nya Sudah Berganti

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 19, 2011 04:44

July 17, 2011

YB Dr. Lo'lo Ghazali: Lilin Tinggalanmu Kami Oborkan Hingga Sirna Mendung Jahiliah

[image error]


Majlis pagi semalam saya kendalikan dengan perasaan berkecamuk.


Selepas Fawwaz mewakili ibunya, YB Dr. Lo'lo Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa merasmikan Seminar Sinergi Keluarga Bahagia, beliau dan isteri bergegas keluar meninggalkan majlis.


Keadaan Dr. Lo'lo kritikal.


Perkembangan mengenai beliau dikemas kini dari satu jam ke satu jam.



Ini adalah kali kedua Seminar Sinergi Keluarga Bahagia diusahakan, bermula dengan perbualan saya bersama YB Dr. Lo'lo di Twitter. Seperti kali pertama November 2010 yang lalu, Dr. Lo'lo sudah pun keuzuran yang tidak mengizinkan beliau hadir merasmikan majlis. Seperti biasa, anakandanya yang juga merupakan adinda seperjuangan saya semenjak di United Kingdom akan menggantikan peranan itu.


Dr. Lo'lo memikul tanggungjawab yang amat besar di kawasan Parlimen Titiwangsa. Isu Kampung Baru yang amat meruncing, kesamsengan pelbagai pihak yang rakus dengan nilai kampung di perut kosmopolitan itu, menjadikan beliau seorang perajurit mempertahankan apa yang beliau yakini sebagai keadilan dan kebenaran untuk mereka yang berhak. Dari semasa ke semasa, ada poster fitnah digantung di sana sini oleh 'puak-puak itu' biar pun ketika Dr. Lo'lo sedang bertarung di peringkat akhir kanser beliau dalam sebulan dua ini.


Saya banyak memerhati dari pinggir kota.


Usaha saya berada di medan yang sedikit berbeza.


Saya tahu YB Dr. Lo'lo adalah seorang pemimpin masyarakat, PAS dan Pakatan Rakyat yang amat menitik beratkan pemerkasaan institusi keluarga. Malah tidak keterlaluan saya katakan, sebelum beliau memimpin massa, beliau adalah seorang isteri dan ibu yang telah menjadi adiwira di dalam lingkungan keluarganya sendiri. Saya mengenali beliau sebagai public figure sejak sekian lama, sentiasa mengingati kebanggaan bapa mertua saya yang semasa bertugas sebagai Naib Qadhi, telah menikahkah Prof Aminuddin dengan Dr. Lo'lo, lama dahulu.


Dr. Lo'lo mahu banyak usaha dibuat untuk memperkasakan institusi keluarga.


Dengan kerjasama Yayasan Prihatin Titiwangsa, Nisa' Titiwangsa, Yayasan Selangor dan beberapa badan lain, beliau memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjalankan program Sinergi Keluarga Bahagia. Synergy Training & Consulting berusaha untuk memenuhi setiap hasrat Dr. Lo'lo dalam hal ini. Semangat Nabi SAW yang mahu kita memudahkan urusan, lamaran di Twitter sudah memadai untuk dua buah program diusahakan.


Kali pertama November 2010 yang lalu, penduduk di rumah pangsa dan kawasan sekitar Parlimen Titiwangsa dikumpulkan dan saya meluangkan masa pagi ke petang berkongsi saranan, pengalaman, panduan dan sokongan kepada mereka untuk memperbaiki dan memperkukuhkan keluarga masing-masing sebagai tapak asas perjuangan.


Kali kedua, Dr. Lo'lo menyapa saya dalam kesihatannya yang terbatas, juga di Twitter, meminta satu lagi tarikh. Kali ini 17 Julai dipilih, dan pesertanya ramai terdiri daripada anak-anak muda yang bakal mendirikan rumahtangga, serta pasangan muda yang baru menapak menuju pembinaan Baiti Jannati.


17 Julai itu juga tarikh sebuah kehilangan.


Usai seminar berakhir, saya mengkursuskan pula pelajar Program ke Jepun di Universiti Malaya, dan sekitar jam 10:30 malam, berita luka itu tiba.


YB Dr. Lo'lo Ghazali menghembuskan nafasnya yang terakhir, meninggalkan keluarga, perjuangan, alumni Sinergi Keluarga Bahagia dan seisi dunia buat selama-lamanya. Hati saya hancur luluh hingga tidak dapat memandu pulang. Saya berhenti di stesyen minyak, mencari kekuatan kerana di sebalik seribu lapis kesedihan yang ada, saya berasa amat terkilan kerana hajat Dr. Lo'lo mahu menemui saya, yang disampaikan oleh Fawwaz anakanda beliau, tidak sempat saya tunaikan.


[image error]


Apa yang pasti, Dr. Lo'lo tidak mahu pemergiannya hanya meninggalkan sebuah luka dan kesedihan.


Pemergiannya mesti menjadi api yang membakar semangat untuk kita semua meneruskan perjuangan.


Seperti ungkapan asy-Syaheed Sayyid Qutb di ambang kepulangannya kepada ar-Rahmaan:


Seandainya kau tangisi kematianku

Dan kau siram pusaraku dengan air matamu

Maka di atas tulangku yang hancur luluh

Nyaalakanlah obor buat umat mulia ini

Dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya


Kematianku adalah suatu perjalanan

Mendapatkan Kekasih yang sedang merinduku

Taman-taman di syurga bangga menerimaku

Burung-burung berkicau riang menyambut ku

Berbahagialah hidupku di alam abadi


Puaka kegelapan pasti akan hancur

Dan alam ini akan disinari fajar lagi

Biarlah roh ku terbang mendapatkan rindunya

Janganlah gentar berkelana ke alam abadi

Nun di sana fajar sedang memancar


Berehatlah bonda YB Dr. Lo'lo Ghazali dari keletihan dunia.


Tiada lilin yang pernah engkau nyalakan, melainkan akan kami oborkan ia hingga sirna gelap Jahiliah dan terbit fajar kemenangan, tidak lama lagi!


Buat adinda Fawwaz dan Farhan sekeluarga, semoga tabah dan teguh di jalan yang penuh ranjau dan liku ini…


Inna Lillaah wa Inna Ilayhi Raaji'oon…


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Maaf Atas Pembatalan… Doakan Kami
Projek Komik Digital Dzulqar9 – Super Sinergi Kami
Memperkasakan Unit Keluarga: Seminar Sinergi Keluarga Bahagia 17/07/2011

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 17, 2011 22:55

July 15, 2011

July 14, 2011

Selamat Ulangtahun Kelahiran Anakanda Tersayang Ahmad Muizzuddin

[image error]


"Abang minta maaf sebab rasanya Muiz amat kurang menerima penyertaan Abang sebagai ayah pada memandi, membasuh kencing berak dan menukar lampinnya. Sedih pula" saya mengeluh.


"It's okay. You have done your time. Abang bukan orang muda lagi" kata isteri saya.


Terpana.


Tangan meraba-raba kepala, terasa rambut sudah banyak yang gugur. Uban tidak ketara, tetapi kulit kepala makin jelas di mata.



Jika Muhammad Saiful Islam, Naurah Sabihah dan Muhammad Imaduddin masih sempat saya mandi, peluk dan belai serta melayan segala kerenah mereka semenjak berusia sehari sehingga kini, Ahmad Muizzuddin sedikit berbeza. Saya menyedari kekurangan yang berlaku pada sudut itu. Tetapi hati seorang bapa, tidak sedikit pun berbeza atau membeza-bezakan kasih sayang antara anak.


Ahmad Muizzuddin lahir pada 15 Julai 2009 ketika saya dan ibunya sama-sama berada di peringkat usia yang bekerja keras mengatur kehidupan. Kesibukan yang menggila dan adakalanya terasa seperti sukar untuk dimaafkan. Dalam serba kepayahan, kami tetap berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Muiz, biar pun sering bertukar ganti urusan menjaganya antara saya dan isteri, juga pembantu rumah yang setia, terus membesar sebagai anak yang istimewa.


[image error]


Syyy!!!


Identitinya berlainan.


Muiz seorang yang agak kurang bercakap tetapi aktif seperti abang-abang dan kakaknya. Dalam mulutnya ada ketul emas, saya sering membuat ungkapan.


Dia juga sangat memerhati.


Jika ada botol bedak yang jatuh dari meja, dia bukan sahaja mengutip dan meletakkannya kembali ke atas meja, malah meletakkannya pada posisi sebelum botol itu jatuh. Memerhati dan melihat perkembangan karakter Muiz dan setiap anak kami, saya sentiasa belajar perkara-perkara baru tentang manusia dan kehidupan.


[image error]


Ini 'sewious', ada kanak-kanak dalam bahaya. Berpura-pura menangis kerana membantah ketiadaan Ummi yang bekerja shif malam. Puas saya ditendangnya.


Selamat ulangtahun kelahiran yang kedua anakku sayang.


Semoga Ahmad Muizzuddin membesar sebagai pejuang yang benar-benar mengukuhkan Agama, seperti namamu. Seperti perjuangan Ummi bertarung nyawa semasa mengandung dan melahirkanmu dengan pelbagai komplikasi. Engkau pejuang, anak pejuang!


Abi sayangkan Muiz!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Selamat Ulangtahun Kelahiran Yang Pertama Ahmad Muizzuddin
Selamat Ulangtahun Kelahiran Kelima, Sayang!
Selamat Tiba Ahmad Muizzuddin

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 14, 2011 11:49

Memperkasakan Unit Keluarga: Seminar Sinergi Keluarga Bahagia 17/07/2011

[image error]


Visi Synergy Training and Consulting (STC) adalah membentuk manusia yang tindakannya adalah berasaskan kepada sistem kepercayaan, pandangan hidup dan sistem nilai yang sejahtera.


Ia sendi tingkah laku manusia.


Membabitkan soal tingkah lakunya sebagai individu di tempat kerja, rumahtangga dan anggota masyarakat.



Sudah tentu, dalam senarai medan pembentukan, unit keluarga memainkan peranan yang amat besar. Sebagaimana Islam meletakkan pengagihan harta pada mengutamakan keperluan keluarga berbanding saluran-saluran yang lain, keluarga adalah unit yang amat penting untuk dibangun dan diperkasakan ke arah Ummah yang cemerlang.


Synergy Training and Consulting (STC) sekali lagi bekerjasama dengan Yayasan Selangor, Nisa' Titiwangsa dan Yayasan Prihatin Titiwangsa menganjurkan Seminar Sinergi Keluarga Bahagia (Siri II) pada hari Ahad, 17 Julai 2011.


Terbuka kepada semua, pengunjung Saifulislam.Com dialu-alukan menyertai seminar sehari yang berbentuk interaktif, dengan kelompok sasaran pasangan muda yang akan dan baru mendirikan rumahtangga. Hubungi Cik Nazirah di talian 013-318 3845 atau Puan Hafizzah di talian 03-3321183 atau emel di nisatitiwangsa@gmail.com untuk maklumat lanjut dan pendaftaran.


Saya memberikan sepenuh hati untuk program ini.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Sinergi Keluarga Bahagia: Seminar 3K
Seminar Sinergi Keluarga Bahagia di Pulau Pinang
Sinergi Keluarga Bahagia di Bukit Jelutong

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 14, 2011 11:22

July 12, 2011

Katak Rebus

[image error]


KATAK REBUS


Jika katak itu disimbah dengan air panas, mungkin cepatnya ia melompat pergi mencari dingin. Katak itu akan segera melarikan diri kerana terkejut dengan perubahan suhu yang memudaratkannya.


Tetapi katak yang satu ini bersenang lenang.


Disangkanya kolam sekangkang katak itu adalah tasik terindah, termewah dan terbaik. Kerana katak yang satu ini hanya kenal kolam sekangkang itu, lantaran tempurung yang lama menjadi langitnya jua. Sedangkan katak itu tidak sedar, bahawa tasik impiannya itu adalah air rebusan di dalam periuk.


"Panas pula air sekarang ini", keluh si katak yang terasa pijar.


"Oh, semua tasik impian hari ini suam dan panas. Ia fenomena sejagat", kata suara ghaib di balik dinding.


"Aku yang harus bertahan. Panas ini tiada jalan keluarnya. Lagi pun segalanya masih ada", jawab si katak kepada dirinya sendiri. Lidah panjangnya asyik mengejar lalat habuan tembolok.


"Tenanglah katak. Bukan air tasik impianmu yang panas. Ia fenomena sejagat", suara ghaib itu terus datang. Menyumbat telinga, menyumbat mata, menyumbat hati… kerana sumbat menyumbat memang kerja *al-Mala'.


MATI ATAU BUNUH DIRI?


Akhirnya katak kembung yang sepatutnya cekap melompat ke sana sini, MATI KATAK.


Mati dalam rebusan yang panas sedikit demi sedikit, selari dengan sangka baiknya yang sedikit demi sedikit percaya, bahawa ia fenomena sejagat.


Mati katak… mati atau bunuh diri?


Anda mampu menjawabnya dengan pilihan pada HARI MENGUNDI!


Abu Saif @ www.saifulislam.com

56000 Kuala Lumpur

19 Februari 2008




Related posts:Kurus Atau Gemuk, Bertandinglah Dengan Diri Sendiri
Tanpa Tajuk
Mencari Bahasa Baru

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 12, 2011 09:05