Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 98

June 7, 2011

Kasut Kanak-kanak Syurga

[image error]


"Kenapa dia pakai kasut besar, Abi?" tanya Naurah.


"Abang dia terhilangkan kasut. Jadi mereka terpaksa kongsi kasut" saya menjawab.


"Belilah kasut baru" anak perempuan saya menyambung lagi perbualan.


"Mereka orang susah. Ayah dia kerja sampai kulit keras, muka berkedut, tangan kasar. Tapi duit masih sedikit" saya menjelaskan jalan cerita.


"Sebab itu dia masuk pertandingan berlari, ye?" tanyanya lagi.


Imad 'melangut' mendengar perbualan kami berdua.




"Ya. Dia tak mampu beli kasut. Dia berusaha masuk pertandingan berlari supaya menang kasut. Naurah macam mana? Apa yang Naurah buat dengan kasut Naurah?" saya cuba mengaitkan jalan cerita Children of Heaven itu dengan kehidupan kami.


Muka Naurah masam mencuka. Dia memang pantang ditegur. Tetapi jika mahu menegur ada caranya. Jangan sekadar mengkritik atau mempertikai, tetapi lanjutkan penjelasan dengan nada biasa, bukan marah.


"Yop, Naurah dan Imad banyak kasut. Tapi bertabur merata-rata. Itu mungkin tanda kita tak bersyukur mendapat nikmat kasut. Jadi lepas ini, boleh kita ubah?" saya bertanya.


Naurah dan Imad mengangguk. Abang mereka sudah terlelap.


Walaupun saya sudah berkali-kali menonton filem Children of Heaven karya Majid Majidi dari Iran itu, siarannya di TV Al-Hijrah kali ini agak berbeza. Kali pertama saya menonton filem ini bersama anak-anak yang sudah cukup mumayyiz untuk memahami.


TEKNIK ULUL ALBAAB


Aktiviti menonton filem secara selektif bersama keluarga cukup menyeronokkan. Ia bukan sahaja seronok, malah menjadi teknik pendidikan yang amat berkesan. Kuncinya hanya satu, menonton secara ULUL ALBAAB.


Allah Subhanahu wa Ta'aala mengungkapkan IBRAH, sebagai teladan yang dipetik oleh ULUL ALBAAB daripada sebuah pengkisahan.


Firman-Nya:


[image error]


"Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat IBRAH bagi ULUL ALBAAB" [Yusuf 12: 111]


IBRAH diertikan oleh ilmuan Islam sebagai teladan yang sifatnya mengaitkan sesuatu dengan sesuatu. Proses mengaitkan itu, membolehkan Ulul Albaab mendapat ISI berbanding KULIT. Mendapat intipati dan sari kefahaman terhadap apa yang diteladani.


Bukan sekadar, "cerita ini hebat", "Iran pandai buat filem" malah bukan menafikan pentingnya "semua pelakon menutup aurat", IBRAH perlu pergi lebih jauh.


Menonton, jangan hanya mencari keseronokan dan mencari apa yang kita sedia mahu mencari, tetapi singkaplah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Kaitkan apa yang dilihat, dengan mata dan diri yang melihat.


Kami mencapai tiga resolusi usai menonton filem bertaraf antarabangsa ini:



Apabila pulang dari sekolah, kasut hendaklah disusun dengan baik. Stokin jangan biar di dalam kasut. Masukkan ia ke dalam bakul pakaian atau mesin basuh.
Kasut, sama ada kasut sekolah, selipar harian atau 'kasut jalan', hendaklah dijaga daripada kotor dan basah dengan air.
Kasut di kaki, sama mulianya dengan ketayap di kepala, sebab kedua-duanya berkhidmat menjaga kehidupan kita.

Insya Allah selepas beberapa tahun, saya akan perkenalkan resolusi keempat, iaitu membaling kasut ke muka manusia zalim.


Mungkin…


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Nilai Dakwah di Dalam Syurga Cinta
Bercinta Sampai ke Syurga dan Teledrama HANI di TV3
RALAT BUKU BERCINTA SAMPAI KE SYURGA

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 07, 2011 07:36

June 5, 2011

Anakku Sedang Berfalsafah




[image error]


"Abi, phisolophy tu apa?" tanya Saiful Islam.


Kami sedang bergerak ke Gombak untuk menghadiri Bengkel Hijrah Remaja Islam (HIJRI) anjuran ANA EDAR.


"Bukan phisolophy. Philosophy!" saya membetulkan sebutannya.


"Oh, ok. Philosophy tu apa?" tanya Saif lagi.


"Yop dengar di mana perkataan Philosophy tu?" saya ingin mendapatkan kepastian.


"Entah. Yop dengar. Lepas tu Yop fikir" katanya.


Pagi Sabtu lapang daripada kesibukan kereta. Jalan Ampang lancar disusuri.


"Itulah Philosophy. Dengar dan fikir. Tanya dan fikir" saya menjawab.



Hujung minggu ini agak unik. Saya membawa Saiful Islam bersama meneman saya ke dua program besar yang saya kendalikan serentak. Program pertama ialah Kem Sinergi Remaja 2011 yang berlangsung selama 4 hari 3 malam di Nur Lembah Bestari, Ulu Yam. Program keduanya pula adalah Bengkel Hijrah Remaja Islam, program tiga slot yang dianjurkan bersama ANA EDAR di ibu pejabat mereka di Taman Greenwood.


Saiful Islam mati kutu duduk di rumah.


Dia mendesak saya membawanya ke mana-mana sahaja, asalkan ke luar. Mendengar tentang kem, keghairahannya memuncak.


VISI DAN MISI NABI


"Jadi bagaimanakah visi dan misi kamu berbanding visi dan misi Nabi SAW?" tanya Jurulatih Fazrul Ismail, 'coach' pagi itu.


"Far but similar" jawab Saiful Islam.


Dia menjawab berdasarkan beberapa pilihan yang diberi oleh jurulatih.


"Kenapa kamu kata begitu?" tanya Jurulatih Fazrul lagi.


"Far sebab saya masih kecil. Similar sebab Nabi SAW nak masuk Syurga. Saya pun nak masuk Syurga" katanya.


Peserta yang 'tidak berdaftar itu' menjawab.


Saya di belakang, terkasima mendengarnya.


Dia kelihatan seperti bermain-main dengan beberapa murid tahun 3 di baris hadapan itu. Tetapi jawapannya menghairankan saya.


Semasa bergerak ke lokasi senaman, kami berbual lagi.


"Kenapa Yop tak dapat name tag?" tanya beliau.


"Yop tidak berdaftar sebab Yop datang sekejap-sekejap menemankan Abi sahaja, betul tak? Tahun depan Insya Allah Abi daftarkan Yop" saya memberi penjelasan.


"Kalau tak daftar, boleh makan ke?" beliau mengejutkan saya.


"Err… Abi tak makan. Jadi Yop ambillah bahagian Abi ya" saya menjawab.


"Abi, bila nak bagi Yop naik flying fox?" tiba-tiba beliau mengungkit kisah lama.


Saiful Islam masih belum berpuas hati. Semenjak tiga tahun lalu, dia mengikut saya ke Kem HIJRI. Dan selama tiga tahun itu juga beliau geram sebab saya tidak benarkan dirinya terbang dengan flying fox. Terlalu muda untuk itu.


"Kali ini kita tiada flying fox. Lagi pun tinggi sangat tu. Kalau jatuh, boleh mati dibuatnya. Kita ni, kalau nak mati biarlah syahid" saya membebel.


"Mati jatuh flying fox tak syahid ke?" tanya anak sulung saya ini.


"Yop rasa? Mati jatuh flying fox boleh mati syahid ke?" saya membalas pertanyaan beliau dengan pertanyaan.


"Rasanya tak. Mana boleh mati syahid sambil ketawa suka-suka!" katanya penuh yakin.


Saya hanya mengangguk.


[image error]


Saiful Islam sedang melaungkan azan


 


DI BENGKEL HIJRI


"Kamu boleh senaraikan 10 faedah pokok kelapa, tetapi kamu tak boleh senaraikan 10 faedah diri kamu sendiri kepada orang lain?" saya menyoal peserta.


50 orang anak-anak harapan tersengih.


"Maknanya pokok kelapa lebih istimewa daripada kamulah ya?" saya meneruskan provokasi.


"Mana boleh macam itu. Kita lebih istimewa daripada pokok kelapa sebab kitalah yang menjadikan pokok kelapa itu jadi istimewa!" sampuk Saiful Islam.


Terkasima.


Kaget saya dengan jawapannya.


"Habis tu kenapa tak tulis tadi? Salah satu keistimewaan saya ialah saya boleh menjadikan pokok kelapa istimewa?" saya enggan mengalah.


"Ini!" kata beliau sambil menunjukkan kertasnya.


Tergamam.


Terima kasih Sekolah Model Khalifah. Contemplative Thinking yang diajar, nampaknya menjadi. Namun, perkembangan baik ini menjadi amanah yang besar buat saya dan isteri. Anak yang pengamatan dan pemerhatiannya begitu tajam, memerlukan kepada panduan dan sokongan yang betul. Masih tidak kulupa, anak ini pada usia 6 tahun sudah terpaksa dibawa berjumpa dengan pakar jiwa kanak-kanak untuk diredakan pemerhatian dan kemarahannya yang sudah melepasi kemahiran dan ilmu ibu bapanya sendiri.


Semoga Allah memeliharamu, Muhammad Saiful Islam.


Anakku ini sedang berfalsafah!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Anakku Mahu Kahwin!
Saiful Islam ke PASTI
Ibrah #2 di Perth: Memaknakan Sebuah Percutian

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 05, 2011 18:50

Kem Sinergi Remaja Islam 2011 Melabuhkan Tirai

010 013 014 015 016 017

018 019 020 021 022 023

024 025 026 027 028 029

012 021 022 023 024 025

KEM SINERGI, a set on Flickr.



Kem Sinergi Remaja 2011 anjuran bersama Synergy Training & Consulting, Total Success Training & Consultancy dan Infitah Training & Consulting telah selamat melabuhkan tirainya petang ini di Nur Lembah Bestari Eco Resort, Ulu Yam, Selangor. Program kali ini disertai oleh 50 orang peserta daripada pelbagai latar belakang pengajian, kehidupan dan pemikiran. Selain aktiviti-aktiviti pengisian, riadah, jungle trekking, pembelajaran menerusi pengalaman dan latihan dalam kumpulan, program turut diisi dengan sesi keibubapaan yang diadakan di hari penutup.



Program ini bukan sahaja menyediakan pengalaman pembelajaran yang berharga untuk peserta, ia turut menjadi pengalaman pertama tiga buah konsultan bersinergi dan memanfaatkan kelebihan masing-masing mencipta sebuah paradigma baru kepada industri perundingan dan latihan negara. Keseluruhan jurulatih dan fasilitator belajar sama luas dan tinggi sebagaimana pengalaman para peserta.


Tahniah kepada semua yang terbabit.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:DAFTAR: Kem Sinergi Remaja 2011
KEM HIJRI: Kem Hijrah Remaja Islam 1430
Misi Jelajah Dubai Melabuhkan Tirai

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 05, 2011 08:02

May 31, 2011

Meraikan Hari Kembali ke Realiti

[image error]


Baju yang sama, pada hari ke -6 dan hari ke-60


"Metabolisma ustaz mencecah 1917. Agak tinggi ni. Maknanya, duduk-duduk sahaja tubuh ustaz membakar kalori sebanyak itu. Campur aktiviti harian dan sedikit senaman… bagus keadaannya" kata doktor.


Alhamdulillah.


Setelah ditimbang, saya berpuas hati. Saya mensasarkan 40 kilogram dibuang untuk kembali ke BMI yang ideal. Selepas dua bulan perjalanan, 50% sudah berhasil.


Doktor melakukan pengiraan dan mulai hari ini, jumlah pengambilan kalori tidak lagi dikira secara harian, sebaliknya mingguan.


"10,500kcal seminggu, selagi ustaz tidak melanggar jumlah ini, Insya Allah berat badan akan terus menurun" pesan doktor.


Terasa lumayan.



Saya sudah diberikan pelepasan oleh doktor untuk makan apa sahaja jenis makanan, tetapi mestilah mengekalkan pengambilan yang Syariatik dan Saintifik. Jangan makan sehingga kekenyangan, jangan makan lewat malam, banyakkan minum air, itu peraturan yang kekal sampai bila-bila.


Akan tetapi, mulai hari ini, sehari dalam seminggu, saya dibenarkan mengadakan 'cheat day'. Hari itu saya boleh makan dengan puas, bersama keluarga atau apabila ada keraian. Dua hari berikutnya, saya amalkan 500kcal sehari seperti di awal dahulu, dan empat hari berikutnya saya boleh amalkan low GI diet.


Senaman perlu diteruskan seperti biasa.


Dua kali seminggu, dianjurkan berpuasa.


Namun ada teknik yang dicadangkan agar pembakaran lemak berlaku secara optimum. Oleh kerana lemak hanya akan terbakar secara optimum pada jam ke-18 hingga ke-24 berpuasa, maka saya dianjurkan bersahur dengan kadar yang agar berat (seperti orang lain), dan apabila berbuka puasa, tidak mengambil apa-apa makanan atau minuman yang berkalori sehingga ke waktu sarapan esoknya. Namun kadar maksimum dibenarkan begini hanyalah dua kali seminggu.


Pokoknya, saya sudah boleh kembali ke pilihan makanan seperti biasa.


Sungguh terasa nikmat pemberian Allah.


Secara semulajadinya tentu sahaja saya seperti mahu meraikannya. Namun saya masih ingat, latihan diet ini bukan hanya pada kehendak fisiologi, tetapi pada mental, emosional malah spiritual. Ia hari mengucapkan syukur. Bukan hari membalas dendam.


[image error]


Tengah hari ini, saya makan Yong Tau Fu dengan kangkung yang digandakan kepada dua ikat. Sungguh nikmat, Alhamdulillah.


Ada sebulan untuk saya gembirakan diri sendiri dan keluarga dengan terangkatnya kekangan diet ini, sebelum pada awal Julai nanti, saya kembali kepada hCG Diet dengan Very Low Calorie Diet (VLCD) sebanyak 500kcal sehari. Pusingan kedua itu nanti mensasarkan 20kg lagi untuk ditumpaskan, Insya Allah dan Aidilfitri tahun ini bakal disambut dengan penuh makna, dengan izin-Nya.


Hari bersyukur, bukan hari menempah kubur!


Alhamdulillah.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Berlalunya Empat Puluh Hari
Palestin: Antara Ilusi Dan Realiti
Saya Bukan Bapa Mithali, Hanya Realiti

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 31, 2011 04:20

May 30, 2011

Membaca Lukisan Anak-anak

[image error]


 


Lukisan anak kami, Naurah Sabihah, 6 tahun


Sebelum menguasai bahasa percakapan, anak-anak secara semulajadi bercakap melalui visual.


Visual yakni pada apa yang mereka luahkan dalam bentuk lukisan.


Lama dahulu, anak saya Saiful Islam pernah menakutkan kami dengan gambar-gambar yang dilukisnya. Mewarisi sifat 'menyimpan perasaan' dan 'pendendam' daripada saya (barangkali), rasa tidak puas hatinya diluahkan dalam bentuk lukisan yang memiliki objek-objek pelik, dan luahan perkataan yang di luar sangkaan kami terhadap penguasaan menulisnya ketika itu.



Namun setakat ini, Saiful Islam adalah anak yang paling mudah diajak bekerjasama.


KISAH NAURAH


Lain pula kisahnya dengan Naurah Sabihah.


Sehingga kini, saya melihat beliau sangat berbakat dalam melukis. Lukisannya sangat terpeinci. Tahun lalu, lukisannya berkenaan rumah kami, lengkap dengan bunga-bunga yang mekar serta daun kering berguguran di tanah. Malah di atas rumah ada piring satelit ASTRO. Pintu ada rangka bersama tombol. Baju pula lengkap bersama renda dan labuci.


Apabila melukis, beliau menghasilkan banyak lukisan yang unik, ceria dan menggembirakan. Walaupun dalam kehidupan sebenar, beliau sangat menguji kesabaran kami berdua. Sekali beliau berdegil, keras hatinya lebih keras daripada pintu. Mahu kehendaknya dituruti, pada usia lima tahun, anak dara kami yang seorang ini pernah menyepak pintu bilik air hingga berlubang pintu berkenaan.


Tetapi apabila melukis, ia memanifestasikan imaginasi beliau yang amat suka berangan-angan, bercakap seorang diri sambil mandi di bilik air atau drama teater lakonan beliau bersama anak patungnya di dalam bilik. Malah Naurah juga mempunyai koleksi komik yang beliau buat sendiri. Kertas A4 saya dilipat-lipatnya dan dibentuk menjadi seperti buku, kemudian dilakarkan lukisan dan dialog berdasarkan jalan cerita yang adakalanya lucu dan ada kalanya mengagumkan.


Beliau merupakan seorang pemerhati yang tajam.


BAHASA GAMBAR


Seorang dewasa yang paling sibuk, tetap secara pantas boleh membaca emosi kanak-kanak melalui lukisan mereka. Pakar-pakar memberitahu supaya kita berhati-hati dan peka dengan beberapa aspek lukisan anak-anak. Antaranya:


1. OBJEK ASING


Perlu kita perhatikan, kalau-kalau di dalam lukisan si anak ada senjata, hantu jembalang, haiwan berbahaya berbentuk ancaman, yang semua itu boleh memberikan makna ada kegelisahan dan rasa terancam di dalam diri si anak yang melukis.


2. WARNA


Warna hitam sering memberikan indikasi bahawa anak mengalami kemurungan. Warna merah yang banyak di dalam lukisan pula boleh memberikan isyarat kemarahan di dalam dirinya. Kadang-kadang warna merah juga menunjukkan tekanan yang dialami oleh si anak akibat rasa terkongkong, tidak bebas, terbatas oleh apa-apa faktor yang ada di dalam dirinya. Manakala warna biru dan hijau menunjukkan kanak-kanak yang melukis itu berada dalam emosi yang tenang.


3. SITUASI KELUARGA


Gambar ahli keluarga dan apa aktiviti mereka juga boleh menjelaskan apakah pandangan si anak tentang situasi keluarganya. Seandainya gambar yang dilukis memaparkan imej kanak-kanak itu beraktiviti bersama adik beradiknya, sedangkan ibu bapa beraktiviti bersama secara berasingan, ia boleh memberikan indikasi adanya jurang pergaulan antara ibu bapa dengan anak-anak yang mana si ibu dan bapa itu mungkin terlalu 'suami isteri' berbanding 'ibu bapa' kepada mereka.


LUKISAN NAURAH


Lukisan kali ini mungkin boleh menceritakan apa yang sedang difikirkannya tentang kami berdua. Namun saya dan isteri mengambilnya sebagai hadiah awal ulangtahun perkahwinan kami yang ke sepuluh tahun ini sebab gambar ini sangat romantik.


Dan saya serta isteri sentiasa beringat-ingat, pada setiap lukisan anak, tumpuan mestilah kepada pelukisnya, bukan apa yang dilukis biar pun ia gambar kita, sebagai ibu bapanya.


Naurah, Naurah…


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Memperkenalkan Seorang Rasul Kepada Anak-anak
Ruang dan Peluang Untuk Anak-anak Kita
Merawat Budaya Kuning Anak-anak

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 30, 2011 06:34

May 29, 2011

Seminar Ibrah Pembukaan Constantinople 1453: Impian Jadi Kenyataan

[image error]


Perjalanan 15 tahun yang lalu menyeronokkan tetapi ada segumpal sepi.


Tiada siap mengendahkan Turki.


Nama al-Fatih juga tidak begitu dikenali.


Keghairahan saya kepada usaha mendekatkan Malaysia dengan Turki, membawa kepada saya sebuah azam, mahu menjadi wakil Harakah di Turki.


Namun apa yang berlaku, berbeza daripada apa yang dibayangkan. Rezeki saya bukan di situ.


Hari ini, Turki, Legasi Uthmaniyyah dan Sultan Muhammad al-Fatih bukan lagi perkara asing. Ia semakin diperkatakan. Malah gerombolan rakyat Malaysia ke Turki dan warga Turki ke Malaysia bukan lagi suatu keganjilan.


Biar pun begitu, Seminar Ibrah Pembukaan Constantinople 1453 yang dianjurkan oleh Ibrah Paradigm Training & Consultancy semalam amat bermakna buat diri saya secara peribadi. Selain meletakkan penanda aras tentang penghayatan massa Malaysia terhadap Legasi Uthmaniyyah, saya juga dipertemukan dengan empat tokoh penting.



PAK LATIP


Tokoh pertama yang saya gembira bertemu dengan beliau adalah Abdul Latip Talib atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Latip.


Penulis prolifik kepada lebih 30 novel sejarah ini benar-benar membumikan sejarah kepada masyarakat. Tulisan-tulisan beliau menjadikan bacaan sejarah sebagai sesuatu yang menarik. Biar pun saya tidak pantas membaca karya berbentuk novel, tempias usaha besar Pak Latip saya nikmati. Novel sejarah mungkin masih belum diterima sebagai satu cabang sastera untuk saya mendoakan pada suatu hari nanti Pak Latip dianugerahkan dengan gelaran Sasterawan Negara, Pak Latip sudah berada di kelasnya yang tersendiri.


Beliau mengubah subjek sejarah menjadikan sesuatu yang menarik hingga ratusan ribu malah mungkin mencecah jutaan ringgit dilaburkan oleh masyarakat kita yang selama ini kelihatannya meminggirkan sejarah.


Pak Latip memberi ucap utama dan seterusnya merasmikan seminar kali ini.


DR. EMAAN MUHAMMAD ABBAS


Tokoh kedua yang saya gembira bertemu dengan beliau adalah Dr. Eeman Muhammad Abbas. Kali pertama saya mengenali namanya, beberapa tahun yang lalu semasa membeli belah di kedai buku Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya terkasima melihat sebuah buku setebal lebih seribu muka surat bertajuk Sultan Abdul Hamid II dan Kejatuhan Khilafah Islamiah terbitan Pustaka Salam.


Seorang penulis berbangsa Arab, menulis buku setebal itu di dalam Bahasa Melayu. Rupa-rupanya ia adalah tesis PhD yang Dr. Eeman tulis, dan saya sangat menikmati buku itu kerana ia memberikan perasaan yang sama semasa saya membaca kajian-kajian Dr. Muhammad Harb Abdul Hamid yang menjadi platform awal kajian saya tentang Sejarah Uthmaniyyah.


Dr. Eeman menggantikan tokoh lain yang asalnya dijadualkan membentangkan kertas kerja. Beliau yang faham Bahasa Melayu, lebih selesa membentangkan kertas kerjanya di dalam Bahasa Arab dan kemudiannya diterjemahkan oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman kepada hadirin. Secara jujur, saya pantas menghargai jiwa Islam seorang intelektual Arab apabila beliau mendukung kepercayaan dan pemikiran yang sejahtera tentang Uthmaniyyah yang sering menjadi mangsa 'Urubah (perkauman Arab).


Pensyarah Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam UKM ini membentangkan kertas kerjanya pada menghuraikan Sirah Sultan Muhammad al-Fatih.


PROF. DR. MOHAMMAD REDZUAN OTHMAN


Tokoh ketiga yang juga bagai dream comes true melalui Seminar Ibrah Pembukaan Constantinople 1453 kali ini pula adalah Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman daripada Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya.


Kali pertama saya mengenali Prof Redzuan ialah semasa membaca artikel beliau tentang peranan Ulama dalam Kemerdekaan Malaysia, sekitar tahun 1997. Pengenalan teknologi internet pada tahun itu di negara pengajian saya, Jordan, segera saya manfaatkan pada menambah pengetahuan saya di bidang sejarah. Ketika itulah, artikel Prof saya temui, hingga akhirnya penghargaan saya kepada kajian dan keilmuan beliau disempurnakan dengan berita bahawa Prof Redzuan Othman adalah salah seorang daripada tokoh Kajian Uthmaniyyah terpenting di Malaysia.


[image error]


Tatkala Ibrah Paradigm memaklumkan bahawa saya bakal digandingkan dengan Prof sebagai pembentang kertas kerja di sebuah seminar, ia menimbulkan perasaan yang bercampur aduk. Di satu sudut, saya mengambilnya sebagai satu penghormatan yang besar kerana sukar untuk saya bayangkan diri ini berkongsi pentas dengan Prof Redzuan yang sudah lebih 10 tahun menjadi 'guru jarak jauh' saya dalam mengkaji Sejarah Uthmaniyyah. Ada pun di satu sudut yang lain pula, ia menimbulkan rasa rendah diri yang teramat sangat kerana saya adalah murid sejarah yang masih terperangkap di dalam sebuah perigi yang membingungkan. Saya amat mengasihi hakikat diri saya berpeluang belajar di dalam bidang Sejarah di IIUM, namun desakan hidup menjadi halangan hingga saya tidak berjaya menamatkan pengajian di IIUM.


Prof Redzuan yang pembentangan kertas kerja beliau digantikan oleh Dr Eeman Muhammad Abbas, memberikan teladan komitmen yang hebat apabila kepulangannya dari Kaherah dengan ketibaan di KLIA jam 2 petang, terus disambut AJK program dan hadir di hujung seminar. 30 minit terasa amat singkat, namun cukup bermakna buat diri saya dan sekalian hadirin.


Saya kepingin menjadi muridnya di Universiti Malaysia, namun tidak nampak di mana jalannya.


USTAZ SYAARI ABDUL RAHMAN


Tokoh keempat yang saya banggakan ukhuwwah dan peluang kerjasama dengannya adalah Ustaz Syaari Abdul Rahman.


Mengenali beliau di zaman aktivisma mahasiswa, saya sentiasa gembira mengikuti perkembangan beliau. Ustaz Syaari, usai menamatkan pengajian ijazah pertamanya di IIUM menyatakan azamnya untuk mendalami bidang sejarah. Berbual santai  di satu ketika bersamanya, kini saya bangga mengetahui seorang mujahid yang membawa jiwa dan pemikiran Islam ke Jabatan Sejarah IIUM.


Kegagalan saya menamatkan pengajian, mudah-mudahan terubat sedikit dengan berhasilnya Ustaz Syaari sebagai graduan pasca siswazah Sejarah IIUM, suatu hari ini.


Selamat maju jaya buat Ustaz dan terima kasih atas usaha gigih beliau memasyarakatkan topik Uthmaniyyah kepada generasi muda di Malaysia melalui Ibrah Paradigm Training & Consultancy.


Jika suatu ketika, Ustaz Syaari membaca artikel dan hadir ke ceramah saya berkenaan Sultan Muhammad al-Fatih dan Uthmaniyyah, hari ini saya bersyukur dan menumpang gembira membaca buku unggul beliau, KUASA KEPIMPINAN AL-FATEH terbitan PTS.


Tidak dilupakan, dua sahabat yang turut sama menjadi teraju kepada Seminar semalam, iaitu Ustaz Zahiruddin Zabidi dan Akhi Mazni Irfan. Kedua-dua mereka turut menyumbang nilai kepada melengkapkan pakej Seminar semalam. Seorang mempengerusikan Seminar dalam format santai, bersahaja namun berisi. Seorang lagi menerajui Mazni Irfan Publication dengan buku-buku kajian sejarah yang dibumikan (meminjam istilah beliau).


PERKONGSIAN SEMINAR


Di dalam seminar semalam, saya memberikan penekanan kepada beberapa isu penting berkaitan IBRAH yang mahu dipetik daripada Sejarah Pembukaan Constantinople itu.


Sebahagiannya boleh dirujuk di dalam slaid berikut:


 


Pembukaan Constantinople 1453: Ibrah Buat Umat

 


View more presentations from Hasrizal Jamil.

Semoga perkongsian semalam menjadi titik mula kepada resolusi Seminar mahu menjadikan Seminar Ibrah Pembukaan Constantinople 1453 ini sebagai acara tahunan nasional setiap kali menjelangnya 29 Mei di negara kita.


"Manusia yang tidak menguasai Sejarah, tiada tempat buatnya di masa depan" – Al-Marhum Prof Necmettin Erbakan


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Sinergi Keluarga Bahagia: Seminar 3K
SEMINAR 3K: Kisah di Balik Tabir
Seminar Manual Cinta Haraki di Ipoh

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 29, 2011 01:14

May 27, 2011

Diet Erti Hidup Pada Memberi

[image error]


Bulan ini adalah bulan suri rumah buat saya.


Sepanjang Mei ini saya perlu berada di rumah pada waktu siang untuk menguruskan dua orang anak kerana pembantu rumah pulang bercuti ke Indonesia.


Semua program siang ditangguhkan.


Dan malam menjadi sesak.


Maka kerja saya semenjak awal Subuh adalah menyiapkan Saif dan Naurah untuk ke sekolah, menyediakan sarapan untuk mereka dan memastikan segalanya selesai sebelum jam 7 pagi. Jika isteri saya tidak mengambil giliran menjaga resuscitation, maka beliau akan menghantar anak-anak ke sekolah.



Saya pula meneruskan rutin menguruskan basuhan kain dan menyidainya, menyiram bunga, membersihkan 'tandas' Kedi, si kucing kami, memberinya makan, memandikan Imad dan Muiz, menyediakan sarapan untuk mereka, menyapu dan mengemas rumah, menyediakan Imad untuk bersiap ke PASTI, dan pada jam 11 barulah saya boleh menarik nafas lega. Ada sedikit masa untuk membalas emel, menguruskan program, mengendalikan mesyuarat yang di bawa ke rumah sehingga menjelang Zohor. Makan tengah hari untuk Muiz perlu disiapkan dan saya sendiri perlu memikirkan apakah makanan saya untuk tengah hari.


Jam 3 Imad akan pulang ke rumah dari PASTI, mahu makan tengah hari dan mandi, kemudian bergayut dengan saya yang sambil itu menyapu rumah semula, mengangkat kain di jemuran, menyediakan makan untuk Saif dan Naurah yang pulang dari sekolah jam 4 atau 5 petang bergantung kepada hari. Sejam masa berbaki, adalah masa saya menyambut seisi keluarga yang berhimpun apabila isteri saya pulang dari kerja. Jam 6 saya sudah bersiap sedia untuk keluar ke kuliah-kuliah Maghrib dan ceramah, manakala isteri saya mengambil giliran untuk menjaga anak dan menguruskan rumah.


[image error]


Kenangan terakhir menjadi 'sura rumah' adalah semasa tinggal di Naas, Ireland. Biar pun letih, hati puas melihat anak membesar di depan mata dan makan suapan air tangan sendiri


Sungguh memenatkan.


Tetapi fadhilatnya besar.


Mungkin bulan ini adalah bulan menguji 'teori diet' saya.


Selalu surirumah mengeluh yang mereka susah hendak diet kerana perlu menjaga anak-anak, apatah lagi memasak.


Saya memahaminya.


Memasak kari dan kurma ayam, menggoreng telur, menyediakan ayam masak merah dan gulai ikan, semuanya perlu saya lakukan tanpa menjamah sedikit pun makanan-makanan itu. Bahagian saya masih sama. Cuma doktor membenarkan saya sekarang ini makan taufu dan sebiji telur sehari. Itu sudah cukup Syurga buat saya.


Kuncinya masih sama.


Hormati diri.


Kawal diri.


Semasa memasak tanpa makan itu, ulang beberapa kali bagai tebu di bibir, ERTI HIDUP PADA MEMBERI!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Motivasi Pagi MHI TV3: Erti Hidup Pada Memberi
Erti Hidup Pada Memberi… Hati!
Indah Desa Pada Hidup Memberi

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 27, 2011 09:50

Semangat Bendang di Chenderong Balai

[image error]

Bergambar bersama sebahagian peserta dan guru pengiring


Perjalanannya jauh, tetapi sentiasa berbaloi.


Sebelum ini JKUK membawa saya ke Kota Bharu. Kemudian ke Baling. Terkini di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak.


Program kali ini adalah yang terakhir untuk tahun ini pada jelajah saya bersama sukarelawan Pertubuhan Kebajikan an-Nidaa' Malaysia di bawah JKUK. Kagum saya dengan kesungguhan sukarelawan ini. Mereka memaparkan semangat di sebalik firman Allah:


"Dan sesiapa yang berjaya merdeka daripada kekikiran diri, mereka itulah orang-orang yang berjaya'" [Al-Hashr 59: 9]


Kita tidak akan dapat mengecap makna gembira yang sebenar sehinggalah kita berjiwa mahu berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Itu semangat di sebalik kesukarelawanan.


[image error]


Bendang oh bendang


Program kali ini diadakan di Sekolah Tahfiz dan Rumah Anak Yatim al-Amin. Terletak di tengah-tengah bendang Kampung Pengkalan Ara, keletihan saya memandu seawal jam 4:30 pagi hilang oleh kesegaran perkampungan yang menghijau itu. Sekolah Tahfiz dan Rumah Anak Yatim al-Amin ini diusahakan oleh Mak Long, seorang wanita yang jiwanya menjadi motivasi untuk motivator seperti saya.


Selain anak-anak Yatim di situ, peserta kali ini terdiri daripada murid-murid Sekolah Menengah Dato Sagor, Sekolah Menengah Sungai Manik dan Sekolah Menengah Sultan Abdullah. 130 orang murid, saya 'lanyak' mereka dengan loghat pekat negeri Perak, semata-mata mahu mereka percaya, bahawa mereka mampu cemerlang dan berhak untuk lebih baik daripada keadaan sedia ada.


Seorang dermawan pula, melakukan amal jariah dengan menghadiahkan 130 naskhah buku saya kepada setiap peserta. Anak-anak petang itu sungguh ceria wajahnya pulang dengan naskhah Aku Terima Nikahnya dan Rindu Bau Pohon Tin yang saya tandatangani sebagai kenangan sebuah semangat mengajak kepada kehebatan buat mereka.


Terima kasih kepada anak-anak semua kerana gagal tidur di sepanjang program, walaupun akibatnya saya sendiri terbengkalai tidur di R&R Tapah, keletihan.


Tahniah dan terima kasih juga kepada an-Nidaa' atas jihad pendidikan yang bermakna ini. Semoga projek pembinaan Sekolah Islam di Chenderong Balai itu juga sukses dalam barakatillah.


Saya masih belum hilang rasa teruja mendapati anak-anak Teluk Intan ini telah pun menjadi rakan Twitter saya sebelum saya bersua muka dengan mereka di petang yang hijau itu.


Selamat maju jaya anak-anak semua.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Post From iPhone




Related posts:Imej Baru: Melakar Semangat Remaja Islam
Dakwah di Bumi Kenyalang
Memperkenalkan Seorang Rasul Kepada Anak-anak

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 27, 2011 09:02

May 25, 2011

LYNAS: Bencana Yang Tidak Berperi


Ryan Albrey sudah berpesan.


Anak muda dari Perth Australia ini berusaha untuk berbahasa Melayu. Bahasa orang Gebeng, bahasa orang Pahang, bahasa orang kita.


Jangan bergantung kepada sarikata. Mungkin ada penyelewengan pada terjemahan.


Namun setelah mesej beliau disampaikan dengan begitu jelas, andai kita masih tidak faham, anggap sahajalah Kilang Lynas itu sebagai bencana dari Allah atas kebodohan yang tidak boleh dimaafkan.


Moga Allah celikkan mata kita daripada kesombongan yang tidak berperi ini.


Saya jiran Bukit Merah, kawasan berhantu yang kini sepi penuh misteri dan keji.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Kejayaan Yang Tidak Begitu Diraikan
Ipoh: Seri yang Hilang Tidak Berganti
Kecelaruan Prasangka Yang Tidak Kena Masa

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 25, 2011 21:53

May 23, 2011

Penubuhan Kumpulan Sokongan ABAH.MY

[image error]


Ada Kementerian Wanita.


Ada Yayasan-yasasan membela wanita.


Ada LRT koc wanita.


Ada bas wanita.


Ada halaman-halaman web dan komuniti sokongan untuk wanita dan ibu.


Ada pun suami serta bapa, pandai-pandailah sendiri. Mereka pemimpin keluarga, maka mereka harus tangkas menguruskan diri.


Namun bapa juga ada keperluannya. Bapa juga ada cabarannya. Keperluan dan cabaran yang tidak sama dengan keperluan serta cabaran isteri, ibu, atau ibu bapa.



Saya banyak mengambil inspirasi daripada gerakan kebapaan nasional di Singapura iaitu DADSFORLIFE.SG. Sudah beberapa tahun saya mengikuti perkembangan mereka, mengkaji cara mereka bergerak, serta impak yang berjaya dihasilkan daripada gerakan DADSFORLIFE.ORG. Selepas pulang dari Singapura awal tahun ini, usai mengendalikan kursus kebapaan yang diusahakan oleh sahabat-sahabat di sana, saya mula memikirkan secara serius, bagaimanakah semangat yang sama dapat dibentuk di negara kita.


Mempertimbangkan semua aspek itu, dengan keyakinan bahawa KEBAPAAN POSITIF adalah titik mula yang besar ke arah memulih dan menambah baik unit-unit keluarga pembentuk masyarakat, saya gerakkan sebuah kumpulan sokongan khusus untuk kelompok bapa, ABAH.MY.


ABAH.MY bukan tempat saya mengajar dan orang belajar. ABAH.MY adalah kumpulan sokongan untuk para bapa bertukar-tukar maklumat, ilmu dan kemahiran, juga mengusahakan bantuan-bantuan khusus kepada rakan-rakan dalam konteks diri mereka sebagai bapa.


KOMUNITI ONLINE SEBAGAI PEMULA


Ia dimulakan dengan membentuk dua medium di Facebook, Twitter dan sebuah halaman web.


Halaman ABAH.MY di Facebook saya bentuk untuk menggerakkan kesedaran tentang kewujudan kumpulan sokongan ini, dan seterusnya melihat corak reaksi masyarakat kepada isu-isu kebapaan. Ia terbuka kepada penyertaan sesiapa sahaja. Para bapa, isteri bapa, anak bapa, kawan bapa, bakal bapa, bekas bapa, bapa tunggal…


Kumpulan ABAH.MY di Facebook pula, saya bentuk sebagai kumpulan tertutup yang penyertaannya terbuka hanya kepada para bapa dan bakal bapa, untuk berbincang secara yang lebih fokus tentang idea-idea menggerakkan ABAH.MY. Ia juga medan saya mencari sukarelawan yang mahu bersama berganding bahu menggerakkan kumpulan ABAH.MY. Ada beberapa orang wanita memohon untuk menyertainya, namun saya terpaksa menolaknya kerana mahu mengekalkan perspektif bapa atau suami yang bebas daripada pengaruh langsung ibu atau isteri.


Mengambil manfaat daripada medium promosi dan komunikasi efektif semasa, sebuah akaun Twitter untuk ABAH.MY juga dibentuk untuk kemas kini dan makluman pantas kepada mereka yang mengikutinya.


[image error]


Halaman Web ABAH.MY


Manakala halaman web ABAH.MY pula menjadi medium penyataan visi dan misi ABAH.MY dalam bentuk yang lebih teguh dan berpanjangan, berbanding catatan-catatan Facebook yang lebih pantas diarkibkan.


PERANCANGAN


Semoga dengan pembentukan ABAH.MY ini, usaha mempromosikan kebapaan positif dapat dibangunkan di dalam masyarakat kita. Beberapa kempen kesedaran juga dirancang pada masa hadapan ini. Antaranya ialah:



Kempen ABAH @ SEKOLAH: Menggalakkan pembabitan para bapa dalam aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum anak, serta kerja-kerja kesukarelawanan di sekolah.
Mendapatkan maklum balas pelbagai pihak seperti bapa warga emas, remaja bermasalah, pesalah juvana dan lain-lain tentang perspektif mereka berhubung dengan bapa.
Menghasilkan pakej kempen ABAH.MY berbentuk stiker kereta, lencana jaket dan apa-apa yang difikirkan sesuai untuk disebarkan ke tengah masyarakat secara percuma.
Menghimpunkan database klinik perubatan, kaunseling, khidmat guaman dan sokongan-sokongan lain khusus untuk bapa, termasuk bapa tunggal.
Mempromosikan modul latihan kebapaan untuk masyarakat.
Menganjurkan kem cuti persekolahan yang disertai bersama oleh bapa dan anak.
Menghasilkan newsletter berkala untuk melaporkan aktiviti serta ilmu dan maklumat kebapaan.

Kesemua usaha ini memerlukan kepada sinergi pelbagai sokongan berbentuk idea, kemahiran dan kewangan. Sekiranya ada di kalangan pembaca yang mempunyai sebarang bentuk sokongan, bantuan dan kerjasama yang boleh dimajukan, janganlah teragak-agak menghubungi ABAH.MY.







 


Semoga usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah, ameen.


"Dan jadikanlah kami pemimpin kepada keluarga yang bertaqwa" [Al-Furqan 25: 77]


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Menyengajakan Beberapa Kesusahan
Mencari 'Sokongan Sejarah' Terhadap Kesudahan Sunni – Syiah
AAC Dan KCB Bersama ATN

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 23, 2011 18:56