Semangat Bendang di Chenderong Balai

[image error]

Bergambar bersama sebahagian peserta dan guru pengiring


Perjalanannya jauh, tetapi sentiasa berbaloi.


Sebelum ini JKUK membawa saya ke Kota Bharu. Kemudian ke Baling. Terkini di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak.


Program kali ini adalah yang terakhir untuk tahun ini pada jelajah saya bersama sukarelawan Pertubuhan Kebajikan an-Nidaa' Malaysia di bawah JKUK. Kagum saya dengan kesungguhan sukarelawan ini. Mereka memaparkan semangat di sebalik firman Allah:


"Dan sesiapa yang berjaya merdeka daripada kekikiran diri, mereka itulah orang-orang yang berjaya'" [Al-Hashr 59: 9]


Kita tidak akan dapat mengecap makna gembira yang sebenar sehinggalah kita berjiwa mahu berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Itu semangat di sebalik kesukarelawanan.


[image error]


Bendang oh bendang


Program kali ini diadakan di Sekolah Tahfiz dan Rumah Anak Yatim al-Amin. Terletak di tengah-tengah bendang Kampung Pengkalan Ara, keletihan saya memandu seawal jam 4:30 pagi hilang oleh kesegaran perkampungan yang menghijau itu. Sekolah Tahfiz dan Rumah Anak Yatim al-Amin ini diusahakan oleh Mak Long, seorang wanita yang jiwanya menjadi motivasi untuk motivator seperti saya.


Selain anak-anak Yatim di situ, peserta kali ini terdiri daripada murid-murid Sekolah Menengah Dato Sagor, Sekolah Menengah Sungai Manik dan Sekolah Menengah Sultan Abdullah. 130 orang murid, saya 'lanyak' mereka dengan loghat pekat negeri Perak, semata-mata mahu mereka percaya, bahawa mereka mampu cemerlang dan berhak untuk lebih baik daripada keadaan sedia ada.


Seorang dermawan pula, melakukan amal jariah dengan menghadiahkan 130 naskhah buku saya kepada setiap peserta. Anak-anak petang itu sungguh ceria wajahnya pulang dengan naskhah Aku Terima Nikahnya dan Rindu Bau Pohon Tin yang saya tandatangani sebagai kenangan sebuah semangat mengajak kepada kehebatan buat mereka.


Terima kasih kepada anak-anak semua kerana gagal tidur di sepanjang program, walaupun akibatnya saya sendiri terbengkalai tidur di R&R Tapah, keletihan.


Tahniah dan terima kasih juga kepada an-Nidaa' atas jihad pendidikan yang bermakna ini. Semoga projek pembinaan Sekolah Islam di Chenderong Balai itu juga sukses dalam barakatillah.


Saya masih belum hilang rasa teruja mendapati anak-anak Teluk Intan ini telah pun menjadi rakan Twitter saya sebelum saya bersua muka dengan mereka di petang yang hijau itu.


Selamat maju jaya anak-anak semua.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Post From iPhone




Related posts:Imej Baru: Melakar Semangat Remaja Islam
Dakwah di Bumi Kenyalang
Memperkenalkan Seorang Rasul Kepada Anak-anak

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 27, 2011 09:02
No comments have been added yet.