Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 100

May 1, 2011

Kerana Akhirnya, Kita Semua Adalah DA'I

[image error]


Bersama Ustaz Riduan Mohd Nor dan sebahagian AJK juga peserta. Kredit foto: Akh Mohd Khairi


"Antara komen Facebook yang hanya mendapat LIKE dan tiada komen, ialah kata-kata hikmah. 40 LIKE, belum tentu dapat satu komen" saya berkongsi pandangan.


Salah seorang peserta bertanyakan pendapat saya tentang kesukarannya mendapat maklum balas melalui kemaskini status di Facebook. Hanya 'LIKE'!


"Begitu juga soalan-soalan yang memerlukan sahabat kita berfikir tiga lapis" saya menambah.


Sukar untuk kita menyalahkan orang lain yang enggan memberikan komen. Bukan bermakna perbuatan itu wajar begitu, namun usaha untuk mengubah sikap orang lain jauh lebih susah berbanding mencari ruang-ruang penambah baikan pada diri sendiri.



Bukan sahaja di Facebook.


Malah di blog juga begitu.


Pemilik atau penulis blog berhak untuk menyiarkan artikel tanpa ruang komen.


Tetapi komen-komen amat berguna kerana ia membantu penulis melihat sisi yang dia mungkin terlepas pandang. Komen juga mematangkan pendapat kita. Malah komen juga membantu kita menilai penerimaan dan siapakah crowd yang berjaya kita tawan dengan idea yang dikongsi. Itu akan membantu kita fokus, dan menambah usaha untuk meluaskan crowd berkenaan.


[image error]


Itu adalah serba sedikit perkongsian saya semasa BENGKEL PENULISAN PENDAKWAH MUDA – SIRI II 2011 yang diadakan di Dewan Masjid As-Solihin, Kampung Teras Jernang, pagi tadi. Program yang diusahakan oleh rakan seperjuangan yang juga seorang penulis prolifik, Ustaz Riduan Mohd Nor, dihadiri oleh ramai pendakwah muda dari dekat dan jauh. Saya diberikan kepercayaan oleh Ustaz Riduan dan pasukannya untuk mengendalikan bengkel kali ini.


[image error]


Banyak yang disentuh.


Namun akhirnya, penekanan kita berbalik kepada kausa prima sebuah dakwah iaitu DA'I itu sendiri. Kualiti penulisan atau pengucapan berkadar terus dengan kualiti penulis dan pengucap, yakni si da'i berkenaan.


[image error]


Perbahasan juga menyentuh tentang maksud menulis dan berdakwah dengan HIKMAH.


Berbekalkan pandangan al-Imam al-Raghib di dalam kitabnya al-Mufradaat, hikmah itu mengandungi 4 makna dasar iaitu:



AL-MAN'U (المنع). Dakwah yang berhikmah mesti ada unsur menghalang orang daripada kepercayaan, kefahaman, pilihan dan tindakan yang salah.
ISAABAH AL-HAQ BIL 'ILM WAL 'AQL (إصابة الحق بالعلم و العقل). Dakwah yang berhikmah juga mestilah mampu dan berjaya menyampaikan mad'u kepada kebenaran, dengan memanfaatkan ILMU dan AQAL.
AL-MA'RIFAH (المعرفة). Dakwah yang berhikmah mesti mampu membina makrifah, yakni gambaran yang betul dan lengkap bagi kefahaman seseorang tentang topik yang didakwahkan.
AL-FI'L (الفعل). Dakwah yang berhikmah juga bukan sahaja menghalang orang daripada kesalahan (unsur 1), malah ia juga mesti menjelaskan tindakan gantian kepada apa yang ditinggalkan itu. Ia mesti mendorong kepada tindakan perbuatan.

Teknik membina keupayaan mencari hikmah juga disentuh terutamanya pada mengambil penjelasan al-Quran berkenaan ULUL ALBAAB.


Terima kasih kepada penganjur juga peserta kerana menjayakan program yang bermakna ini.


Semoga bertambah pendakwah yang menulis, tanpa terikat kepada jurusan dan topik, kerana akhirnya, kita semua adalah DA'I.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Malam Ini Kita Semua Adalah Misri!
Kita Dapat Apa Yang Kita Beri
Akhirnya Kutemui Jambatan Itu…

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 01, 2011 07:54

April 29, 2011

DAFTAR: Kem Sinergi Remaja 2011

[image error]


Klik DI SINI untuk imej saiz poster


Namanya pun SINEGRI.


Mengubah cara melihat perbezaan.


Bukan mahu menyeragamkan manusia.


Tetapi mengiktiraf keunikan dan keistimewaan setiap insan, untuk dibangunkan atas prinsip-prinsip yang dikongsi bersama. Prinsip Rabbani yang diolah secara manusiawi.


Malah para jurulatihnya pun berbeza-beza dan unik. Justeru keunikan itulah yang Insya Allah menambah nilai kepada kem cuti sekolah yang bercita-cita besar ini.


AKADEMI SINERGI menghimpunkan tenaga pelatih yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang kemahiran termasuk kepimpinan, keusahawanan, intelektual. Konsultan yang terlibat adalah:


Total Success Training & Consultancy www.total-success.net


Saifulislam Training & Consultancy www.saifulislam.com


Infitah Training & Consultancy www.infitahtraining.com


PROGRAM TERKINI


Kem Sinergi Remaja 2011


Terbuka untuk pelajar:



Sekolah Rendah 10 – 12 tahun
Sekolah Menengah 13 – 17 tahun

SESI 1



Tarikh: 2 – 5 Jun (Sesi Khas Ibu Bapa pada 5 Jun)
Lokasi: Kem Sri Raudhah, Gombak

SESI 2



Tarikh: 9 – 12 Jun (Sesi Khas Ibu Bapa pada 12 Jun)
Lokasi: Kem Herba, Ulu Langat

Pendaftaran dibuka di www.akademisinergi.com


Hubungi 013 2006840 (Mohd Noor) atau 012 2240622 (Firdaus) untuk maklumat lanjut.


HALAMAN WEB


http://akademisinergi.com/




Related posts:KEM HIJRI: Kem Hijrah Remaja Islam 1430
Sinergi Keluarga Bahagia: Seminar 3K
Kursus Persediaan Aqil Baligh Remaja Lelaki

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 29, 2011 00:51

April 25, 2011

Memerdekakan Diri Daripada Kehendak Sendiri

[image error]


"Tinggalkan zina itu. Ia membinasakan"


"Berhentilah merokok. Ia memudaratkan"


"Dadah itu najis. Kamu membunuh diri"


Panjang nasihat seorang ustaz!


"Eleh ustaz. Sedap sahaja nak suruh orang berhenti zina, berhenti merokok, berhenti hisap dadah. Ustaz tu, nasi pun tak boleh lawan!" herdik seorang anak muda.



Berpeluh saya membayangkan dialog di atas.


Ia tidak pernah berlaku. Tetapi masakan saya mahu menunggu hingga ia berlaku.


Teringat saya kepada kenyataan 'bunuh diri' yang pernah saya ungkapkan di Surau an-Naim, Wangsa Majusetahun yang lalu.


"Jika saya gagal mencapai BMI yang betul, bermakna saya belum menyempurnakan salah satu cabang ketaqwaan diri!" saya menyebut tanpa teragak-agak.


Di dalam ceramah, saya menegaskan bahawa salah satu maksud Taqwa ialah SEDAR dan KAWAL DIRI. Seorang yang bertaqwa itu sentiasa mempertahankan tahap sedar dirinya, tidak mudah dirasuk oleh faktor persekitaran, justeru menghasilkan daya mengawal diri dalam melaksanakan apa yang diperintah, serta meninggalkan apa yang dilarang.


TAQWA


Taqwa can be defined in many ways. But the conversation between Ubay bin Kaab and Umar al-Khattab was a good summary about the essence of Taqwa. Once, Umar asked Ubay what he knows about Taqwa. Ubay replied by asking him, "Have you walked through thorny path?"


Umar answered, "Yes, indeed"


Ubay then asked him, "What did you do?"


Umar replied, "I tucked up (my garment) and did my best (to avoid thorns)"


Thereupon Ubay said, "That is Taqwa!"


Our life is a journey. Like someone who is driving from a place to another. Throughout the journey, he will meet many road signs that might instruct him to do against his will. He wants to drive at full speed, but a sign says, "No, the limit is only 80km/h".


He wants to arrive as early as possible but suddenly a red light instructs him to stop and let others move first.


Someone who is wise and on top of his rational thinking, would never ever see all the road signs as challenge to his right exercising his freedom. The truth is, the road signs are there to help him achieve safety throughout the journey until he reaches the destination.


The same thing applied to our big picture of this life. Do's and don'ts of Islam are not the obstruction and challenge to the access of his freedom of choice. They come from the Creator who knows better what is good and what is bad in this life. They are there for our safety, peace and harmony.


Someone who has the quality of Taqwa will take his journey like someone who walks through thorny path. He is a person with a full of consciousness about what is good and what is bad around him. He must also have a good self control, like a person who is good in controlling his car steering.


This is the essence of fasting. You learn to exercise your self control.


[image error]


SELF CONTROL


If someone does not take his lunch because there is nothing to eat, then it causes him tiredness and anger.


But a believer who chooses not to eat while he has everything to do so, for the sake of obeying his Lord, then he is exercising his ability to control himself against some of his desire.


You can eat, but you don't eat. You can drink, but you learn not to drink, so that you can tell yourself that you are a proactive person. Not a reactive one.


A reactive person will get mad when something stimulates him to anger. He will be sad and out of control when something causes him sadness.


He has no 'pause' button. He has no ability to control himself to choose a better reaction. His actions are determined by things around him. He is not the one who controls himself. He is occupied by others. He is under the real occupation of others.


A Muslim is not an effective Muslim if he does not have a control over his own actions. He must be a proactive Muslim.


Return back you self control… you are the strongest!


- Quoted from entry titled "FASTING: STRONGER OR SLEEPIER?"


Jangan mudah marah.


Jangan mudah melenting.


Jangan mudah melatah.


Ia diulang berkali-kali di dalam ceramah.


Alhamdulillah, setakat 36 tahun bernafas di muka bumi ini, saya tidak diuji dengan orang mengajak saya berzina. Saya tidak diuji dengan orang mengajak saya menghisap rokok. Saya juga tidak diuji dengan orang mengajak saya menagih dadah.


Tetapi saya diuji dengan orang mengajak saya makan.


Kerana banyak hati yang mahu dijaga (termasuk hati dan kehendak sendiri), akhirnya saya menjadi mangsa makan.


Makan tidaklah ketara banyaknya, tetapi hidup penuh dengan majlis makan. Memang budaya masyarakat kita, memuliakan tetamu, menghiburkan diri, dengan aktiviti makan. Bekerja sebagai trainer atau motivator, solatnya lima kali sehari, makannya enam kali.


Hari ini adalah hari ke-32 saya berada di dalam regim diet hCG.


Alhamdulillah, lebih 4 inci ukur lilit diri berhasil dibuang. Beberapa belas kilogram sudah berhasil dibuang. Namun perjalanan masih panjang.


Bukan mudah.


Semasa di Dubai, semua orang di keliling saya makan Nasi Mandi Kambing. Saya hanya senyum kambing.


Semasa menghadiri majlis perkahwinan seorang sahabat di Dewan Perdana FELDA, semua orang menjamu selera. Saya berqanaa'ah dengan air mineral dan sepotong dua buah-buahan.


Semasa menemankan anak-anak dan isteri makan di restoran, saya menyuapkan nasi, dan pelbagai makanan lain. Untuk diri saya, sifar karbohidrat dan sifar gula.


Cabaran besar apabila balik kampung. Masakan emak… tetapi saya dengan penuh 'sopan' memaklumkan apa yang sedang saya lakukan, dan memohon maaf untuk tidak menjamah langsung rendang pedas ayam, taufu goreng, kangkung tumis belacan, ulam-ulaman, sambal belacan dan nasi panas.


"Eloklah begitu. Alang-alang dah mula, teruskan. Lagi pun anak-anak kamu kecil lagi!" sokong emak saya.


Kenyataannya lembut tetapi menikam kalbu.


Pencapaian terbesar saya selama 32 hari tanpa nasi, tanpa roti dan kekal 500kcal sehari bersekitar epal, isi dada ayam, fillet ikan, Shirataki, sayur-sayuran dan air mineral yang banyak, bukanlah sekadar berat badan dan ukur lilit diri yang berkurang.


Pencapaian terbesar saya ialah, saya belajar untuk dengan rasional dan sedar, menolak nasi. Menolak gula. Menolak roti.


Kejayaan berkata TIDAK kepada diri apabila TIDAK itu lebih dekat dengan redha Allah.


Pencapaian pada membangunkan keazaman. Meneguhkan will power. Membina daya kawalan diri yang terbaik.


40 hari sudah hampir berlalu.


Insya Allah 40 hari lagi perlu ditambah, hingga hilang sekurang-kurangnya 30 kilogram, lebih sempurna jika mencapai 40 kilogram.


Latihan ini, membantu saya untuk secara yang lebih bermaruah, berkata kepada penzina, kepada perokok, kepada penagih, "ANDA MAMPU MENGUBAHNYA"!


Ayuh merdekakan diri.


Bukan daripada penjajah luaran.


Tetapi merdeka daripada kehendak diri sendiri!


Itulah TAQWA!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Tipu Diri Sendiri
Motivasi Pagi -3-: Membebaskan Diri Daripada Taklukan Faktor Luaran
Erti Kejayaan Diri

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 25, 2011 00:39

April 24, 2011

Sebuah Kotak Cinta

[image error]


Foto kredit: www.dadcando.com


"Sudah berkahwin nanti, senanglah hati. Tidak perlu runsing-runsing lagi" kata Ali.


"Baju pun tak payah basuh sendiri. Sudah ada washing machine pelbagai guna!" sampuk Amir.


Semua ketawa.


Berderai-derai, meraikan hari-hari akhir bujangnya Ali.



Biar pun semua rakan ketawa, hati Ali ada gelisahnya. Dia tahu, pandangannya terhadap Alia, bakal isterinya itu, jauh lebih mulia daripada gurauan rakan-rakannya. Dia berharap agar perkahwinannya itu nanti akan menjadi mahligai hidup. Bayangannya banyak dibantu oleh drama, novel, dan kisah mulut ke mulut yang didengari selama ini.


Malah sebahagiannya adalah bayangan ciptaannya sendiri.


Perkahwinan itu indah.


KENANGAN LALU


Peristiwa gurau senda Ali bersama rakan-rakannya di kedai mamak itu sudah lama berlalu. Sudah lima tahun Ali dan Alia mendirikan rumahtangga. Mereka juga sudah dikurniakan dua orang cahaya mata yang comel. Ia benar-benar seperti watak-watak mahligai hidup yang pernah dibayangkannya dahulu. Dua insan sebagai pasangan yang sempurna, sepasang cahaya mata, seorang lelaki seorang perempuan… mereka bahagia.


Sepatutnya.


Tetapi ada sesuatu yang tidak kena. Apabila Ali melepak bersama rakan-rakannya, beliau gembira. Ketawa. Walaupun ketawanya tidak sampai ke lubuk hati, namun cukuplah sesi itu menjadi 'panadol' yang melegakan. Akan tetapi, apabila Ali pulang ke rumah, serabutnya datang semula. Melihat Alia, dan merenung keletah anak-anak, ia tidak lagi menyejukkan mata. Ia memanaskan emosi.


Apakah mengahwini Alia merupakan tindakan yang betul?


Jika cinta di luar perkahwinan banyak halangan, mengapa selepas halangan-halangan itu hilang, perkahwinan tidak memberi bahagia?


HAKIKATNYA


Dalam perkahwinan tiada cinta.


Ia seperti sebuah kotak yang kosong.


Cinta hanya ada dalam diri manusia.


Maka manusialah yang mengisi kotak perkahwinan itu dengan cinta.


Apabila manusia mula berhenti mengisi kotak perkahwinan itu dengan cinta, ia kembali menjadi sebuah kotak yang kosong.


Hukum perubahan, antara kebahagian dan kesengsaraan sentiasa Allah letakkan pada firman-Nya:


[image error]


"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" [Al-Ra'd 13: 11]


Perkahwinan, medan memberi.


Banyak mengambil kurang memberi, perkahwinan kembali menjadi kotak kosong, sebuah penjara!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Arah Tuju Sebuah Cinta: Forum Bersama Kang Abik
Kelantan: Demi Sebuah Cinta!
Cinta Ilahi Bukan Lakaran Puisi

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 24, 2011 20:02

April 22, 2011

Rakaman Forum Baitul Muslim Bersama Kang Abik di UTP (2010)

[image error]


Forum Baitul Muslim di Universiti Teknologi Petronas (UTP) bersama Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob selaku moderator dan Kang Abik (Habiburrahman El-Shirazy) sebagai rakan panelis


Forum ini memberikan kenangan istimewa buat saya.


Sesuatu yang tidak terjangkau di fikiran, saya diberikan rezeki oleh Allah SWT untuk berforum bersama salah seorang karyawan ulung Nusantara, baik pada novel-novelnya, mahu pun naskhah yang diterjemahkan kepada filem yang berimpak.


Tidak lain dan tidak bukan adalah Bapak Habiburrahman El-Shirazi atau lebih dikenali sebagai Kang Abik, penulis novel Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan banyak lagi, sesuai dengan statusnya sebagai karyawan prolifik semasa.



Forum Baitul Muslim ini, berlangsung di Universiti Teknologi Petronas (UTP), telah diadakan pada 18 Februari 2010 yang lalu. Berikut adalah sedutan rakamannya untuk perkongsian para pembaca sekalian.


Semoga bermanfaat.







Terima kasih kepada penganjur, juga hasmadi88 yang berkongsi rakaman di Youtube


[image error]


[image error]


[image error]


[image error]


[image error]


[image error]


[image error]


[image error]


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Arah Tuju Sebuah Cinta: Forum Bersama Kang Abik
Forum Keluarga KMS Bersama Ustaz Hasrizal dan Puan Wardina Safiyyah
AAC Dan KCB Bersama ATN

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 22, 2011 16:29

April 21, 2011

Khutbah Jumaat: Membayar 'Sewa' Menumpang Hidup di Bumi

KHUTBAH JUMAAT:


MEMBAYAR 'SEWA' MENUMPANG HIDUP DI BUMI


 


[image error]


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى أَحَلَّ لَنَا الطَّيِّبَاتْ ، وَحَرَّمَ عَلَيْنَا الْخَبَائِثْ ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْن.


أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ، اِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ ، وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Saya berpesan kepada diri saya, dan sidang hadirin semua agar mencari kejayaan hidup dengan bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah bekalan taqwa.


Di dalam pepatah Melayu, batu sering digunakan untuk menunjukkan kepada sikap-sikap yang mazmumah. Hati batu, batu api, batu loncatan dan lain-lain. Batu itu lazim difahami dengan sifatnya yang keras dan sukar dibentuk. Tetapi ada peribahasa lain yang menyebut, "batu empuk, jangankan hati manusia!" Benar sekali apa yang disebut itu. Batu yang keras pun boleh dibentuk, sedangkan hati manusia boleh menjadi lebih keras daripada itu.


Membuat perumpamaan kehidupan pada mengaitkannya dengan batu atau apa-apa bahan alam sekitar, menunjukkan yang masyarakat kita suatu ketika dahulu akrab hubungannya dengan persekitaran. Mereka melihat batu bukan hanya sekadar batu. Tetapi belajar sesuatu daripadanya.



Ini amat bersesuaian dengan kehendak al-Quran yang menyuruh kita mengambil iktibar, cuba melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat.


Renungilah firman Allah SWT:


[image error]


"Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan" [Al-Baqarah 2: 74]


Allah menyuruh kita merenung batu. Merenung Langit, merenung bulan. Berfikir tentang alam, dan membaca 'mesej Allah' di sebalik kejadian alam.


Firman Allah SWT:


[image error]


" Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka" [Aal 'Imraan 3: 190-191]


Sidang Jumaat sekalian,


Tanah yang kita duduki ini, pohon yang kita berteduh itu, awan yang kita menadah hujan, serta sekalian penghuni alam yang berkongsi hidup dengan kita di bumi ini, semuanya itu makhluk Allah yang berpenghulukan kita. Kita adalah khalifah Allah. Dan tugas seorang Khalifah itu adalah pada mentadbir, mengatur dan menguruskan alam ini menurut peraturan Pencipta alam.


Sukar sekali untuk bercakap tentang alam sekitar dengan bahasa agama.


Sedangkan agama kita adalah agama yang amat menekankan peri pentingnya kita menjaga alam ini. Ia bukan sahaja untuk kegunaan kita, malah merupakan ayat-ayat Allah untuk kita mendekati-Nya.


Kita mengenal Allah melalui ayat-ayat Allah yang MAQROO'AH (مقروءة) yakni ayat-ayat Allah yang dibaca berupa WAHYU.


Kita juga mengenal Allah melalui ayat-ayat yang MANDHOORAH (منظورة) yakni ayat-ayat Allah yang direnung, berupa alam sekitar.


Islam memuliakan alam. Kerana itu Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam melarang kita dengan sengaja merosakkan alam. Hatta tentera yang sedang sibuk berperang itu pun tidak dibenarkan dengan sewenang-wenangnya merosakkan tumbuh-tumbuhan, mematah ranting dan batang kayu yang tidak perlu, malah kita juga dilarang daripada membuang air kecil ke dalam air bertakung yang tidak mengalir.


Hari ini, kita semua sedang menanggung azabnya. Cuaca yang tidak menentu, penyakit yang pelbagai menular, dan kita hidup dalam keadaan kucar kacir. Bagaimana dunia yang hendak diwariskan kepada anak-anak kita ini, 10 atau 20 tahun akan datang?


Tidak perlu kita bercakap tentang Bumi yang mungkin terlalu luas untuk direnung. Cukuplah sekadar kita melihat persekitaran kejiranan kita di Ampang. Kita menghadapi pelbagai musibah penyakit seperti Denggi, dan banyaknya pelbagai haiwan perosak seperti nyamuk, tikus, gagak dan anjing liar. Semua itu adalah cara Allah memberitahu kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan tatacara hidup kita hari ini. Sesuatu perlu dilakukan.


Sidang kaum Muslimin, rahimakumullah,


Ada sebuah pepatah Cina menyebut, "jika setiap rumah menyapu sampah, nescaya akan bersihlah seluruh negara"


Benar sekali pepatah itu.


Jangan kita beralasan pada apa-apa yang kita tidak boleh buat. Buat apa yang kita semua boleh buat sendiri. Jaga halaman rumah masing-masing. Ini bersesuaian dengan Sabda Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam:


"إن الله طيب يحب الطيب نظيف يحب النظافة كريم يحب الكرم جواد يحب الجود فنظفوا أفنيتكم ولا تشبهوا باليهود " رواه الترمذى


"Sesungguhnya Allah baik dan menyukai kebaikan, bersih dan menyukai kebersihan, murah hati dan senang kepada kemurahan hati, dermawan dan senang kepada kedermawanan. Kerana itu bersihkanlah halaman rumahmu dan jangan meniru-niru orang-orang Yahudi."(Hadith riwayat al-Tirmidzi)


Membiarkan halaman rumah kotor disifatkan oleh Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam sebagai perangai buruk orang-orang Yahudi. Rumah orang Islam, halamannya bersih. Tidak perlu cantik. Tidak perlu ada landskap Bali atau Jepun. Cukup sekadar kemas dan bersih. Justeru pulang ke rumah selepas Solat Jumaat ini, perhatikanlah halaman masing-masing. Jika bersih, kekalkan kebersihannya. Jika tidak bersih, ambillah tugas membersihkannya sebagai satu perintah agama yang penting.


Kaum Muslimin sekalian,


Alam sekitar kita sedang menderita. Deritanya itu pula datang menimpa kita berbentuk bencana. Bencananya besar. Tetapi ia bermula daripada makhluk-makhluk kecil seperti kita.


Lihat sahaja bencana nyamuk.


Berapa ramai manusia di Malaysia yang mati dibaham harimau dalam setahun? Ada 50 orang? Jauh sekali. Hendak mendengar berita seorang pun jarang-jarang . Tetapi berapa ramai manusia yang mati digigit nyamuk? Saya yakin kita setuju bahawa jumlah mereka lebih 100 orang setahun. Setiap hari, semua hospital menerima kemasukan pesakit yang sakitnya kerana nyamuk. Lihat, kita takut kepada keganasan harimau. Tetapi akhirnya manusia mati digigit nyamuk.


Itulah mesej Allah di sebalik nyamuk.


Jangan remehkan benda-benda kecil dalam hidup.


Firman Allah SWT lagi:


[image error]


"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" [Al-Room 30: 41]


Segala musibah berbentuk kemarau, banjir, ribut, penyakit dan pencemaran-pencemaran empat penjuru alam ini, adalah kesan perbuatan tangan kita sendiri. Allah kenakan kita hanya sebahagian daripada azabnya. Maknanya ada azab yang lebih besar menanti. Kecuali kita sedar mengapa musibah itu datang. Iaitulah agar kita kembali.


Kembali kepada cara hidup Islam.


Cara hidup Islam bukan hanya pada solat, mengaji, menutup aurat dan makan makanan halal.


Menjaga kebersihan diri, halaman rumah dan persekitaran juga adalah cara hidup Islam.


Membuang sampah merata-rata adalah dosa.


Mencampakkan bungkusan air, puntung rokok dan tisu dari tingkap kereta adalah dosa.


Memakai pakaian yang kotor juga adalah dosa.


Semuanya itu adalah petanda iman yang bermasalah.


Dunia tercemar kerana iman tercalar.


Itulah ruginya alam, apabila Muslim menjadi lemah. Bukan hanya lemah politik, ekonomi dan sosial, malah lemah penghayatan terhadap cara hidup bertertib menurut Islam. Lemah menjaga kebersihan.


Renungi firman Allah:


[image error]


"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi" (Al-Muddaththir 74 : 1-5)


Allah memerintahkan kita bangkit.


Bangkit memberi peringatan.


Khatib memberi peringatan kepada sidang Jumaat.


Imam memberi peringatan kepada makmum.


Suami memberi peringatan kepada isteri.


Ibu bapa memberi peringatan kepada anak-anak.


Guru-guru memberi peringatan kepada anak murid.


Kita semua adalah pemberi peringatan.


Namun di dalam ayat Surah al-Muddaththir itu tadi, Allah bukan hanya memerintahkan kita membesar serta mengagungkan Allah, malah diperintahkan-Nya juga agar kita berpakaian bersih.


Pendakwah juga mesti berpakaian bersih. Khatib, Imam, Suami, Isteri, Ibu bapa, Guru, para Ustaz, Pendakwah yang pengotor, adalah fitnah kepada peringatan dan nasihat yang disampaikannya. Anak-anak mungkin gagal mengikut kata-kata orang tua, tetapi mereka tidak pernah gagal meniru perbuatan ibu bapa dan orang dewasa di sekitar mereka.


Kebersihan iman membawa kepada kebersihan diri. Kebersihan diri membawa kepada kebersihan rumah dan halaman. Kebersihan rumah dan halaman membawa kepada kebersihan Negara.


Sesungguhnya  Allah tidak akan mengubah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka bertindak mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.


Bersempena dengan Hari Bumi Sedunia hari ini, pulanglah kita daripada Solat Jumaat hari ini dengan suatu kesedaran, memelihara alam ini dan mentadbirnya dengan Syariat Allah, adalah sewa yang dibayar kepada Allah pada menumpang hidup kita di bumi ini.


Bersihkan diri. Bersihkan pakaian. Bersihkan rumah. Bersihkan halaman. Semuanya bermula dengan membersihkan IMAN.


بَارَكَ الله لِي وَلَكُمْ فِي الْقُرْآنِ الْعَظِيمِ ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالِّذكْرِ الْحَكِيمِ ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ الله الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ ، وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِينَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِينَ



ABU SAIF @ www.saifulislam.com


Jumaat 22 April 2011 / 19 Jamadil Awwal 1432H


[image error]KLIK IMEJ INI UNTUK SALINAN KHUTBAH VERSI PDF




Related posts:KHUTBAH JUMAAT: Lahir Muslim, Biar Hidup Muslim dan Mati Muslim
KHUTBAH JUMAAT: Kita Diuji Dengan Pilihan
KHUTBAH JUMAAT: Sinergi Memanfaatkan Perbezaan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 21, 2011 20:00

Alam Tercemar Kerana Iman Tercalar

 


[image error] 22 APRIL 2011: HARI BUMI SEDUNIA


"Ini amaran pertama. Kami telah menemui dua keping plastik di dalam bungkusan sisa makanan dari tong sampah berwarna perang pada tarikh 25 Mac 2002″ jelas surat yang berada di tangan saya.


"What! Mereka ni periksa satu-satukah bungkusan sampah kita?" saya terkejut besar.


Isteri saya juga.


Saya mengakui kesilapan saya. Walaupun pengasingan sampah dibuat seteliti mungkin, tetapi ada masanya tersilap juga. Akan tetapi, apa yang mengejutkan saya ialah betapa tegas dan telitinya Galway City Council memastikan penduduknya mengasingkan sampah mereka sebagaimana yang diarahkan.



Saya kagum dengan Galway.


Galway merupakan bandar terawal di Ireland yang mengamalkan sepenuhnya sistem kitar semula sampah secara total. Setiap rumah dibekalkan dengan 3 tong sampah berwarna hijau, perang dan kelabu.


Tong hijau untuk barang-barang yang boleh dikitar semula dan kering, seperti surat khabar lama, kotak-kotak dan sebagainya. Manakala tong perang pula adalah untuk barang organik seperti lebihan makanan dan sebagainya, di mana kesemuanya mesti dibungkus di dalam kertas sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah. Manakala tong kelabu pula adalah untuk bahan buangan yang tidak boleh dikitar semula.


Sistem ini telah benar-benar mengubah cara hidup saya sekeluarga. Bagi tetamu yang datang dari bandar lain, sering terpaksa saya ingatkan dan mereka juga terpaksa bertanya ke bahagian mana sampah patut dibuang.


"Ehh, tunggu kejap. Plastik tu masukkan dalam bekas ni. Tulang-tulang tu masukkan di sana" saya terpaksa mendisiplinkan tetamu luar yang datang ke rumah.


[image error]


Tetamu yang datang ke rumah saya di Upper Newcastle, mesti belajar mengasingkan sampah!


Malah semasa saya mula-mula berpindah ke Galway dari Belfast, kotak-kotak dan plastik pembungkus perabot dan barang-barang lain, semuanya saya masukkan kembali ke dalam van, dan terpaksa meminta jasa baik kawan agar sampah itu dibawa balik ke Belfast dan dibuang di sana.


Bukan apa, kepala saya pening untuk biasakan diri pada hari-hari pertama di Galway.


Tetapi saya tidak pernah berasa terbeban dengan peraturan ini, malah saya rasa perbuatan mengasing dan mengitar semulakan sampah, sangat selari dengan Iman saya sebagai Muslim.


Apabila saya rasa seperti mahu culas dengan secara tidak endah memasukkan sampah ke bekas yang salah, serta merta saya rasa tercalar Iman. Terasa Allah memerhati dan terasa betapa perbuatan saya itu merosakkan alam yang Allah beri kepada saya untuk diuruskan sebagai khalifah-Nya.


Kesan daripada disiplin itu, sampai sekarang saya tidak tergamak untuk membuang sampah merata-rata, walaupun hanya sekadar bungkusan gula-gula sebesar tapak tangan saya.


Setiap kali saya makan gula-gula, bungkusannya saya lipat dan masukkan ke dalam kocek, sehinggalah saya berjumpa dengan tong sampah.


Di rumah, apabila pakaian saya mahu dibasuh, poket-poket sering perlu diperiksa kerana bimbang ada bungkusan gula-gula atau apa-apa kertas yang saya simpan, dan ia tidaklah pula menyulitkan saya sekeluarga.


Pada saya, penjagaan alam sekitar adalah soal Iman dan peranan saya sebagai Khalifah. Saya bertanggungjawab memelihara alam sekitar kerana alam ini adalah amanah.


Allah telah menjadikan air sebagai sumber kehidupan, maka menjaga air dan sumbernya adalah sebahagian daripada agenda saya memperelokkan kehidupan manusia. Maka agenda menjaga sumber air, adalah agenda saya sebagai pendakwah dan pekerja Islam.


[image error]


Claddagh, keindahan kuala sungai di Galway yang mendamaikan


"Eleh, macam bagus aje. Tahulah kamu tu lama duduk di Eropah!" sindir rakan saya apabila saya menegurnya membuang tisu dari tingkap kereta.


Mungkin ia hanya isu kecil sekecil kertas tisu itu sendiri. Tetapi saya sendiri terasa begitu malu dilihat berada di dalam kereta berkenaan. Lazimnya saya akan mencabut ketayap dan menyimpannya kerana tidak mahu dikaitkan ketayap itu dengan perbuatan 'jenayah' membuang tisu dari tingkap kereta.


Saya sebenarnya kesal melihat rumah rakan-rakan yang aktif dengan dakwah tetapi gagal terhadap kebersihan. Saya tidak pasti bagaimana kita boleh bercakap tentang Islam dalam keadaan diri yang pengotor, atau menghalalkan kekotoran di dalam kehidupan.


Bukankah Allah sendiri telah menggabungkan kerja dakwah dengan imej yang bersih?


[image error]


"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi" (Al-Muddaththir 74 : 1-5)


PENDAKWAH DAN KEBERSIHAN


Pakaian tidak bersih, adalah satu bab.


Tetapi rumah yang kotor, inilah yang paling mendukacitakan.


Bercakap berdentam dentum tentang Islam, tetapi amalan Islam sekecil menjaga kebersihan ini gagal diamalkan. Saya hilang keyakinan.


Teringat saya kepada satu pepatah kaum yang terkenal dengan sensitiviti mereka tentang kebersihan iaitu masyarakat Turki. Ada pepatah mereka yang menyebut 'arslan yatağından bellidir'. Maksud peribahasa itu ialah, "singa itu diketahui hebat atau tidaknya ia, daripada rupa tempat tidurnya!"


Peribahasa ini sering disebut oleh emak-emak semasa menyuruh anak remajanya mengemas tempat tidur. Hebat atau tidaknya seseorang, diukur pada rupa tempat tidurnya.


Jika pejuang Islam, tidur di katil ladang pijat dan berbantalkan 'peta Kepulauan Melayu', saya rasa Iman jadi amat tercalar.


Inilah yang saya temui dari kehidupan saya selama bermastautin di bandar seperti Galway. Walaupun tiada suara Islam, tiada label Islam, tetapi banyak substance Islam itu menjadi sebahagian daripada kehidupan.


[image error]


Tanpa label Islam sekali pun, hidup masih disistemkan dengan kehendak Islam


Ketika negara Islam kita sibuk menswastakan air, di Ireland yang tiada Petroleum sebagai sumber negara itu, tiada bil air. Hanya sedikit jumlah yang dibayar sekali setahun untuk pengurusan. Penjagaan alam sekitar pula sangat dititik beratkan.


Malah ada bandar di Ireland yang tidak membenarkan lampu jalan dipasang dalam keadaan cahayanya terlepas ke atas. Cahaya yang terlalu silau dari lampu di bandar-bandar menyebabkan langit sukar dilihat. Akibatnya, keindahan bulan dan bintang tidak dapat dinikmati oleh generasi hari ini dan ia dianggap sebagai merampas hak manusia untuk memanfaatkan langit yang membumbungi kehidupannya.


Kalau saya sebut istilah 'pencemaran cahaya' di Malaysia, mungkin ramai yang ketawa terguling-guling meremehkan ia.


Sedangkan begitulah sekali prihatinnya orang Ireland kepada alam sekitar. Tanpa Islam sekali pun, alam sekitar mereka lebih kelihatan seperti ada Khalifah yang menjaganya.


Di mana umat Islam dalam sensitiviti mereka menjaga alam sekitar?


Semasa di Jordan, saya sangat biasa melihat anak dara dengan begitu selamba mencampakkan plastik hitam berisi sampahnya dari tingkap rumah di tingkat 4 ke bawah! Ada kalanya plastik itu tersangkut di penyidai baju rumah kami di tingkat 2.


Saya sering 'bertasbih' memaki Arab kerana tabiat yang AMAT buruk dan keji ini.


Tetapi apabila balik ke Malaysia, sikap yang sama semacam bertambah buruk dari sehari ke sehari. Lihat sahaja setiap sungai dan longkang yang membelah KL.


Mengeluh sahaja tiada manfaatnya. Saya yakin, perubahan ini mesti diusahakan bermula dari agenda pendakwah sendiri.


Apabila kita memperkatakan tentang Islam sebagai sistem hidup yang lengkap, sistem itu bukan hanya pada undang-undang. Manusia tidak boleh hidup di dunia ini jika mereka hanya dihidangkan dengan undang-undang.


Manusia perlukan air yang bersih, mereka perlukan udara yang bersih. Di sisi pendidikan yang baik dan undang-undang yang menjaga.


Tidakkah di dalam al-Quran dan al-Sunnah itu penuh dengan arahan memelihara alam sekitar? Tidakkah kita perasan betapa kaedah membina rumah pun, diperincikan oleh Syariat. Ketinggian bangunan jangan sampai menyekat cahaya matahari dari rumah jiran. Bagaimana saluran air longkang patut dialirkan dalam hal penggunaan tanah jiran dan tanah awam?


Semua itu ada di dalam Islam. Dan ia sebahagian daripada Islam sebagai sistem hidup yang diperjuangkan.


Maka perjuangan Islam dan dakwah tidak boleh terhenti setakat leteren terhadap hal-hal yang bersifat konsep dan retorik. Penjagaan alam sekitar mesti diterima sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad di jalan Allah.


Pada saya, pencemaran alam adalah berkala dengan pencemaran Islam. Jika alam di sekeliling kita terus tercemar, air diniagakan hingga mencetuskan kesusahan, rumah terus kotor dan halaman seperti kediaman Yahudi (sebagaimana yang diingatkan oleh Baginda SAW), maka Islam yang dilaungkan hanyalah retorik yang kosong.


Lebih kuat Iman, lebih kuatlah kita menjaga alam persekitaran.



DUNIA INI

(Lagu: Erwan Johari. Lirik: Hasrizal Abdul Jamil. Nyanyian: Erwan Johari. Persembahan: Usrah al-Firdaus Jordan. Album: Dunia Ini ,1996)



Dunia ini indah cantik dipandang

Rahmat Allah kepada hamba-Nya

Suria tersenyum riang, insan aman bahagia

Menikmati kasih sayang-Nya


Dunia ini insan hidup harmoni

Dengan keadilan Ilahi

Pemerintah bertaqwa rakyat taat setia

Menjunjung Islam yang mulia


Sayangnya itu cuma semalam

Manusia lupa pada Tuhannya

Pohon rebah ke bumi gunung runtuh berkecai

Rakusnya hawa nafsu mereka


Bumi merintih hiba

Tuhan semakin murka

Lantaran makhluk yang durhaka


Dunia ini selamatkan segera

Dari tangan insan durjana

Membina kesombongan lupa kemanusiaan

Bencana tak berkesudahan


Dunia ini kembalikan segera

Kepada sistem Penciptanya

Pemerintahan Islam rahmat untuk semua

Adil diberkati dan saksama


Malangnya jika kita semua

Lupa kepada janji Tuhan

Islam penyelesaian tiada dua dan tiga

Sejarah telah membuktikan


Bumi merintih rindu

Tuhan terus menunggu

Insan pulang ke pangkuan-Nya


Singa dikenali daripada tempat tidurnya!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG

Versi 1: 16 April 2007




Related posts:Sinar Iman di Sebalik Ujian
Training of Trainers Surau al-Furqan Puncak Alam F2
Iman Bukan Warisan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 21, 2011 14:21

April 19, 2011

Jemputan Bengkel Aqil Baligh Lelaki & Perempuan

[image error]


Bengkel Aqil Baligh untuk remaja lelaki berumur 12-15 tahun dan remaja perempuan berumur 10-13 tahun akan diadakan pada Ahad, 24 April 2011. Kedua-dua sesi tersebut akan diadakan serentak di Dewan Kuliah 1 dan Dewan Kuliah 2 Pusat Perubatan UKM (PPUKM) Cheras.


Di dalam bengkel ini, peserta akan didedahkan mengenai perubahan emosi dan fizikal serta kesihatan reproduktif mereka, tanggungjawab agama sesudah baligh, dan mengenai perhubungan di antara lelaki-perempuan berlandaskan syariat.


Di dalam masyarakat kita topik-topik tersebut masih lagi jarang dibincangkan di antara anak dan ibubapa, oleh itu, kami turut menggalakkan ibu bapa menyertai bengkel ini bersama-sama anak mereka dengan harapan selepas menghadiri bengkel ini, kedua-dua pihak tidak kekok membincangkan topik-topik tersebut bersama.


Untuk maklumat lanjut mengenai bengkel ini, sila hubungi 03-4256 6810, atau e-mel ke khalifahproject@yahoo.com.



Anda juga boleh lawati event page Bengkel Aqil Baligh Lelaki http://www.facebook.com/event.php?eid=111184018964282 dan Bengkel Aqil Baligh Perempuan http://www.facebook.com/event.php?eid=205867289431616.


BENGKEL LELAKI


[image error]


PENCERAMAH



Dr. Kamarul Azahar Mohd Razali (Pakar Runding Kanan Pediatrik & Penyakit Berjangkit, Institut Paediatrik, Hospital Kuala Lumpur)
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Saifulislam Training & Consultancy)
Saudara Muhammad Qayyum Abdul Raof (Trainer, Khalifah Institute)

BENGKEL PEREMPUAN


[image error]


PENCERAMAH



Dr. Ariza Mohamad (Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Ampang Puteri; Penulis buku "Ibu Dibelai Anak Dibuai")
Dr. Alini Marzuki (Konsultan dan Trainer, Khalifah Institute)
Pn Hanani Saman (Pengasas Tadika Dzul Iman, Trainer Khalifah Institute)

FASILITATOR


- Sukarelawan Khalifah Youth Circle (KYC)


YURAN


RM100.00 seorang (anak)


RM80.00 seorang (ibu/bapa)


Harap dapat berjumpa anda pada 24 April ini!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Kursus Persediaan Aqil Baligh Remaja Lelaki
Bengkel Kaedah Khalifah Untuk Guru
Perempuan Suka 'Tuisyen'

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 19, 2011 07:41

April 17, 2011

Jangan Bunuh Hudhud Itu

[image error]


ٍSumber foto: static.howstuffworks.com


"Mengapa aku tidak melihat burung Hudhud? Apakah dia termasuk di kalangan mereka yang ponteng?" Sulaiman 'alayhi al-salaam bertanya.


Pemeriksaan hari itu, begitu teliti dilakukannya.


Kerajaannya besar. Bukan setakat kerajaan manusia di Timur dan Barat, malah menakluki segala haiwan hingga ke komuniti Jin.


Namun Sulaiman tidak hilang pemerhatian. Tidak hilang kawalan. Baginda tahu siapa yang ada dan siapa yang tiada.


Ketidak hadiran Hudhud menimbulkan murka Sulaiman.


"Sesungguhnya aku pasti akan menghukum Hudhud itu dengan hukuman yang keras, malah aku tidak teragak-agak untuk menyembelihnya sahaja!" begitu sekali kemarahan Baginda.



Ia menggambarkan prihatian dan tegasnya Sulaiman dalam menjaga kabinet, tenaga kerja dan seluruh jentera kerajaannya. Pemimpin yang tidak meremehkan sesiapa, biar pun kakitangannya itu hanya si burung Hudhud.


"Kecuali jika Hudhud mendatangkan penjelasan yang konkrit!" Sulaiman memberi penegasan.


Tegasnya bukan sampai buta dari pertimbangan. Biar pun murka, ruang penjelasan sentiasa ada.


Kisah ini merupakan petikan firman Allah di dalam al-Quran, Surah al-Naml berkenaan Nabi Sulaiman 'alayhi al-Salaam sebagai pemimpin kerajaannya.


[image error]


"Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung Hudhud? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir. Burung Hudhud itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari Negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya" [Surah al-Naml 27: 20-23]


PERANAN HUDHUD


Kisah di dalam al-Quran bukan bedtime story. Ia datang dengan 'ibrah yang besar.


Hudhud di dalam kisah ini tidak seharusnya mencerminkan fenomena tasayyub yang boleh berlaku di dalam gerakan Islam. Gejala 'hilang kawalan' dan pandai-pandai sendiri dalam melakukan gerak kerja hingga tidak bergerak selari dengan dasar dan matlamat gerakan Islam, tidak harus bersandarkan kepada kisah ini.


Hudhud tidak lari daripada tujuan dan disiplin gerak kerja sebuah gerakan. Tetapi apa yang hendak ditonjolkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'aala di dalam ayat ini adalah sifat penting yang mesti wujud di dalam diri amilin gerakan Islam yang diwakili oleh Hudhud tersebut. Sifat yang dimaksudkan itu adalah kepekaan amilin terhadap peluang-peluang yang wujud di sekitarnya, yang mungkin tidak disedari oleh sebuah gerakan yang sudah mempunyai SOP rutinnya.


Sulaiman alayhi al-Salaam yang kekuatan serta kemampuan Baginda menguasai komuniti manusia, haiwan dan jin, tetap diperlihatkan oleh Allah betapa masih ada perkara yang berlaku di luar pengetahuannya. Dengan kemudahan dan kemahiran, maklumat masih sesuatu yang terlalu luas untuk dikuasai.


Inilah intipati penjelasan yang dikemukakan oleh Hudhud.


"Ada benda yang pengetahuan tuan tidak sampai kepadanya" kata Hudhud.


Hudhud tahu apa yang dilakukannya. Sebelum menjelaskan apa yang mahu dijelaskan, Hudhud terlebih dahulu menyediakan Sulaiman untuk menghargai apa yang bakal diterangkan.


"Aku baru pulang dari Negeri Saba' dengan sebuah Naba'" tegas Hudhud.


Kisah yang dibawa bukan sebarang cerita. Bukan kisah kosong. Ia adalah sebuah Naba', yakni berita penting yang perlu diketahui oleh Sulaiman.


TELADAN BUAT DA'I DAN MURABBI


Seorang da'i mesti mempunyai inisiatif positif pada mencari kebaikan. Ke mana atau di mana sahaja beliau berada, biar pun atas nama kerja dan urusan peribadi, matanya tidak harus alpa daripada membaca peluang-peluang dakwah di sekitarnya. Ruang-ruang seperti ini sering berada di luar cakupan jentera dakwah, justeru perlu dimanfaatkan mata peninjau yang berada di mana-mana.


Ia perlu berlaku tanpa menunggu arahan khusus.


Hal ini harus timbul daripada kesedaran dakwah yang tidak terikat dengan masa dan kelapangan da'i. Pengurusannya mungkin separuh masa, tetapi komitmennya sepenuh masa.


Gerakan Islam juga perlu akur bahawa bukan semua perkara mampu direncanakannya hatta ada sahaja perkara penting yang tercicir daripada keupayaan dirinya. Sulaiman alayhi al-Salaam yang merupakan seorang Rasul penerima wahyu, dan dikuatkan lagi dengan kemahirannya yang dikurniakan Allah, masih berhajatkan kepada sumbangan jentera kecilnya bernama Hudhud yang bersikap proaktif meninjau sesuatu yang berada di luar lingkungan ketuanya.


MENGHARGAI SUMBANGAN HUDHUD


Saeed Hawwa rahimahullah di dalam siri wacana Jundullah beliau, menegaskan tentang wujudnya dua bentuk penggabungan seseorang di dalam sebuah gerakan Islam.


Penggabungan yang pertama disebut sebagai al-Intimaa' al-Tandheemi (الإنتماء التنظيمي). Ia merupakan penggabungan formal mereka yang tidak lagi bertindak sebagai penyokong, tetapi mengambil kemuliaan menjadi pendukung. Kelompok ini mesti berkualiti kerana integriti serta kompetensi mereka memberikan kesan langsung kepada perjalanan dan perkembangan gerakan yang didukungnya.


Penggabungan yang kedua, disebut sebagai al-Intimaa' al-'Aatifee (الإنتماء العاطفي). Penggabungan yang lebih berbentuk kebersamaan sokongan dan emosi ini, memerlukan kepada keluasan jiwa kepimpinan gerakan Islam untuk melihatnya sebagai sebuah penggabungan. Berbicara secara realistik, penggabungan kedua ini sering lebih besar saiznya berbanding dengan kelompok yang bergabung dengan penggabungan pertama. Atas apa sahaja sebab yang tidak menjadi persoalan di sini, di luar sana ada ramai penyokong atau kelompok yang simpati kepada gerakan Islam. Mereka berada di mana-mana. Berjawatan rendah berjawatan tinggi, malah berada di balik tembok-tembok yang sukar sekali untuk ditembusi oleh sebuah gerakan.


Namun mereka mungkin seperti Hudhud.


Si kecil yang membawa berita besar.


Gerakan Islam mesti menjiwai pembawaan Sulaiman yang amat tegas dalam menekankan disiplin kerja, tetapi cukup rendah jiwa dan diri untuk membuka ruang penjelasan dan pengambilan manfaat hasil tinjaun proaktif si burung Hudhud.


Hari ini, Hudhud itu mungkin orang dalam, mungkin orang luar.


Mereka itu bermaklumat. Resourceful. Mereka membekalkan pelbagai maklumat. Membekalkan statistik. Membekalkan hasil tinjauan. Semuanya untuk mengkayakan Gerakan Islam dengan Naba' di era Perang Maklumat ini.


Hudhud bukan HANYA HUDHUD. Tanpa Hudhud, Kerajaan Sulaiman tidak mencecah Saba' dan penyatuan Makkah dan Palestin tidak berlaku.


Jangan semata-mata dek sarang Hudhud alamatnya tidak bercawangan seperti cawanganmu atau tidak berkawasan seperti kawasanmu, kamu bunuh Hudhud itu!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


Bacaan lanjut:



Seri Taujihat Pekanan Kader PKS Jilid 1
Jundullah Takhteetan oleh Saeed Hawwa



Related posts:Jangan Bunuh Angsa Itu
Jangan Gopoh Dalam Bicara
Layan Jangan, Lawan Pun Jangan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 17, 2011 17:38

April 15, 2011

Mendidik Anak Menghargai Akal

[image error]


"Yop, tengok tu" saya menunding ke tepi jalan.


"Apa dia, Abi?" tanya anak saya.


Tidak pasti apa yang sepatutnya ditengok.


"Rumah pagi tadi sudah tiada. Sudah lapang" saya memberitahu.


"Ha ah. Dah runtuh" kata beliau.


"Bukan runtuh" saya mengusik.


"Habis tu?" Saiful Islam kehairanan.



"Bumi telan. Dalam rumah tu ramai orang buat dosa. Sebab itu bumi telan" saya mereka cerita.


"Isyy, tak percayalah. Takkanlah bumi telan. Runtuhlah, Abi" anak saya menafikan kisah yang didengarnya.


"Yop tak percaya Abi? Abi kan ayah Yop" saya menambah provokasi.


"Memanglah. Tapi Yop tak percaya cerita Abi" tegas beliau.


"Abi kan ustaz. Takkanlah ustaz salah" saya menyusahkan lagi fikirannya.


"Tapi Yop tetap tak percaya cerita Abi. Ustaz pun boleh salah" beliau tetap dengan pendiriannya.


Alhamdulillah.


Anak saya sudah mendapat asas-asas yang perlu untuk menekuni liku-liku kehidupan di akhir zaman.


"Rumah tu memang runtuh. Abi sengaja nak uji Yop" saya membuat kesimpulan.


Anak saya tersenyum.


Bubuhlah label apa sekali pun, saya menghormati pancaindera dan kurniaan akal yang Allah berikan kepada manusia. Anak-anak juga dididik begitu. Jangan membelakangkan instinct dan pendapat, semata-mata 'gerun' dengan kebapaan atau 'keustazan' seorang saya.


Lebih penting, menolak pendapat saya, tidak sedikit pun menghilangkan rasa hormat anak saya kepada bapa dan ustaznya.


Agama tidak pernah bertentangan dengan akal.


Mengatakan akal bertentangan dengan agama, adalah senjata terakhir agamawan membisukan pengkritiknya.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Mendidik Anak Berdakwah
Mendidik Anak Ilmu Kebal
Mendidik Anak Berfikir

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 15, 2011 06:54