Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 99
May 23, 2011
Penubuhan Kumpulan Sokongan ABAH.MY
[image error]
Ada Kementerian Wanita.
Ada Yayasan-yasasan membela wanita.
Ada LRT koc wanita.
Ada bas wanita.
Ada halaman-halaman web dan komuniti sokongan untuk wanita dan ibu.
Ada pun suami serta bapa, pandai-pandailah sendiri. Mereka pemimpin keluarga, maka mereka harus tangkas menguruskan diri.
Namun bapa juga ada keperluannya. Bapa juga ada cabarannya. Keperluan dan cabaran yang tidak sama dengan keperluan serta cabaran isteri, ibu, atau ibu bapa.
Saya banyak mengambil inspirasi daripada gerakan kebapaan nasional di Singapura iaitu DADSFORLIFE.SG. Sudah beberapa tahun saya mengikuti perkembangan mereka, mengkaji cara mereka bergerak, serta impak yang berjaya dihasilkan daripada gerakan DADSFORLIFE.ORG. Selepas pulang dari Singapura awal tahun ini, usai mengendalikan kursus kebapaan yang diusahakan oleh sahabat-sahabat di sana, saya mula memikirkan secara serius, bagaimanakah semangat yang sama dapat dibentuk di negara kita.
Mempertimbangkan semua aspek itu, dengan keyakinan bahawa KEBAPAAN POSITIF adalah titik mula yang besar ke arah memulih dan menambah baik unit-unit keluarga pembentuk masyarakat, saya gerakkan sebuah kumpulan sokongan khusus untuk kelompok bapa, ABAH.MY.
ABAH.MY bukan tempat saya mengajar dan orang belajar. ABAH.MY adalah kumpulan sokongan untuk para bapa bertukar-tukar maklumat, ilmu dan kemahiran, juga mengusahakan bantuan-bantuan khusus kepada rakan-rakan dalam konteks diri mereka sebagai bapa.
KOMUNITI ONLINE SEBAGAI PEMULA
Ia dimulakan dengan membentuk dua medium di Facebook, Twitter dan sebuah halaman web.
Halaman ABAH.MY di Facebook saya bentuk untuk menggerakkan kesedaran tentang kewujudan kumpulan sokongan ini, dan seterusnya melihat corak reaksi masyarakat kepada isu-isu kebapaan. Ia terbuka kepada penyertaan sesiapa sahaja. Para bapa, isteri bapa, anak bapa, kawan bapa, bakal bapa, bekas bapa, bapa tunggal…
Kumpulan ABAH.MY di Facebook pula, saya bentuk sebagai kumpulan tertutup yang penyertaannya terbuka hanya kepada para bapa dan bakal bapa, untuk berbincang secara yang lebih fokus tentang idea-idea menggerakkan ABAH.MY. Ia juga medan saya mencari sukarelawan yang mahu bersama berganding bahu menggerakkan kumpulan ABAH.MY. Ada beberapa orang wanita memohon untuk menyertainya, namun saya terpaksa menolaknya kerana mahu mengekalkan perspektif bapa atau suami yang bebas daripada pengaruh langsung ibu atau isteri.
Mengambil manfaat daripada medium promosi dan komunikasi efektif semasa, sebuah akaun Twitter untuk ABAH.MY juga dibentuk untuk kemas kini dan makluman pantas kepada mereka yang mengikutinya.
[image error]
Halaman Web ABAH.MY
Manakala halaman web ABAH.MY pula menjadi medium penyataan visi dan misi ABAH.MY dalam bentuk yang lebih teguh dan berpanjangan, berbanding catatan-catatan Facebook yang lebih pantas diarkibkan.
PERANCANGAN
Semoga dengan pembentukan ABAH.MY ini, usaha mempromosikan kebapaan positif dapat dibangunkan di dalam masyarakat kita. Beberapa kempen kesedaran juga dirancang pada masa hadapan ini. Antaranya ialah:
Kempen ABAH @ SEKOLAH: Menggalakkan pembabitan para bapa dalam aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum anak, serta kerja-kerja kesukarelawanan di sekolah.
Mendapatkan maklum balas pelbagai pihak seperti bapa warga emas, remaja bermasalah, pesalah juvana dan lain-lain tentang perspektif mereka berhubung dengan bapa.
Menghasilkan pakej kempen ABAH.MY berbentuk stiker kereta, lencana jaket dan apa-apa yang difikirkan sesuai untuk disebarkan ke tengah masyarakat secara percuma.
Menghimpunkan database klinik perubatan, kaunseling, khidmat guaman dan sokongan-sokongan lain khusus untuk bapa, termasuk bapa tunggal.
Mempromosikan modul latihan kebapaan untuk masyarakat.
Menganjurkan kem cuti persekolahan yang disertai bersama oleh bapa dan anak.
Menghasilkan newsletter berkala untuk melaporkan aktiviti serta ilmu dan maklumat kebapaan.
Kesemua usaha ini memerlukan kepada sinergi pelbagai sokongan berbentuk idea, kemahiran dan kewangan. Sekiranya ada di kalangan pembaca yang mempunyai sebarang bentuk sokongan, bantuan dan kerjasama yang boleh dimajukan, janganlah teragak-agak menghubungi ABAH.MY.

Semoga usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah, ameen.
"Dan jadikanlah kami pemimpin kepada keluarga yang bertaqwa" [Al-Furqan 25: 77]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Related posts:Menyengajakan Beberapa Kesusahan
Mencari 'Sokongan Sejarah' Terhadap Kesudahan Sunni – Syiah
AAC Dan KCB Bersama ATN
May 19, 2011
STC: Yang Patah Tumbuh, Yang Hilang Berganti
[image error]
Permohonan saya untuk memperbaharui lesen perniagaan tidak diluluskan.
Pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyatakan bahawa nama syarikat saya tidak mematuhi pekeliling mereka yang tidak membenarkan penggunaan perkataan ISLAM. Saya mengemukakan rayuan kerana nama itu sudah lebih dua tahun digunakan dalam urusan-urusan pejabat termasuk akaun bank. Namun rayuan tersebut juga ditolak.
Saifulislam Training & Consultancy tinggal kenangan.
Saya tidak mahu menjadikan ia sebagai suatu kesedihan. Malah jauh di sudut hati, ada pula rasa lega kerana Saifulislam Training & Consultancy itu sendiri mempunyai 'beban'nya yang tersendiri ke atas diri saya. Masih belum bangkit sepenuhnya daripada cabaran-cabaran yang ditinggalkan oleh tahun 2010, kejadian kegagalan memperbaharui lesen syarikat persendirian itu, ada hikmahnya yang tersembunyi.
Saya perlu mengekalkan akronim STC.
Ia sudah lazim disebut diri, pasukan, kenalan, klien, masyarakat, dan URL untuk halaman web.
Puas saya memikirkan perkataan yang sesuai.
Saya berminat dengan perkataan SINERGI.
SINERGI itu menukar pandangan kita terhadap perbezaan. Pendek bukan kerana ada yang lebih tinggi dan panjang. Hitam bukan kerana ada yang lebih cerah. Perlahan bukan kerana ada yang lebih laju. Sebaliknya setiap perbezaan antara setiap kita, selain daripada cap jari, adalah kerana Allah mahu menjadikan setiap kita istimewa. Perbezaan bukan punca masalah. Perbezaan adalah sumbangan kepada kemakmuran dan perkembangan.
SINERGI memanfaatkan perbezaan, dan menukarnya menjadi keistimewaan dan sumber kejayaan.
Malangnya Synergy Training & Consultancy sudah pun mempunyai kedudukannya yang tersendiri di dalam dunia Latihan di Malaysia. Edward de Bono adalah terajunya. Puas berfikir dan hampir 7 permohonan nama ditolak, akhirnya permohonan saya diluluskan. STC kini dikenali sebagai:
SYNERGY TRAINING & CONSULTING
Semoga di tahun 2011 ini, usaha menembus masyarakat dengan 1001 kreativiti dakwah berjalan lancar. Apatah lagi dengan kerjasama STC bersama Total Success dan Infitah Training & Consultancy. Projek KEM SINERGI REMAJA GEN-I 2011 pada 2-5 Jun akan datang adalah SINERGI pertama kami.
Kami mahu membuktikan kepada diri sendiri dan masyarakat, bahawa syarikat dan pasukan di lapangan yang sama bukan pesaing, tetapi rakan kongsi yang saling melengkapkan.
Baru-baru ini juga DATAKL.COM yang menempatkan server Saifulislam.Com memberitahu saya bahawa trafik blog ini sudah melepasi kapasiti yang dibenarkan. Percubaan saya daripada shared hosting kepada Virtual Private Server tidak begitu berhasil. Saya didesak agar berhijrah ke Dedicated Server. Saya masih mempertimbangkan akan hal ini kerana Dedicated Server memakan belanja tidak kurang daripada RM500 sebulan dan ini merupakan satu komitmen yang besar.
Moga dipermudahkan Allah.
Doakan saya, Saifulislam.Com dan Synergy Training & Consultancy. Terima kasih atas persaudaraan dan sokongan semua.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
[image error] [image error]
Related posts:Ipoh: Seri yang Hilang Tidak Berganti
Hilang Tak Berganti
Apa Yang Hilang (Seketika)?
May 13, 2011
Jangan Jadi Lilin
"Jadilah lilin… yang membakar diri untuk menerangi… berkorban diri demi kebaikan orang lain!" itulah ungkapan 'indah' yang sering disebut orang kita.
Guru umpama lilin.
Kekasih umpama lilin.
Dan pelbagai siri lilin yang lain, terbakar diri untuk memberi.
Simbol pengorbanan.
LIKU DAKWAH
Dakwah adalah jalan yang penuh liku. Dari ujian kesusahan, hinggalah kepada ujian kesenangan malah kejemuan. Dakwah adalah wasilah Tarbiyah yang ertinya pada seni membentuk manusia. Tatkala usaha itu bersabit dengan manusia, banyaklah sakitnya berurusan dengan manusia.
Semuanya ditempuh oleh pendakwah, demi matlamat Tarbiyah yang dijunjungnya, pada seni membentuk manusia.
[image error]
"Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu"
Justeru kesakitan yang dialami oleh pendakwah adalah pada menggauli manusia, sebelum kesakitan berbentuk ujian yang datang dan pergi pada tabiat jalan dakwah.
Dakwah itu perjuangan. Perjuangan seiringan dengan pengorbanan.
JANGAN JADI LILIN YANG TERBAKAR
Dakwah boleh menyinar segar kehidupan manusia yang diseru, mengeluarkan manusia dari gelap kepada cahaya. Jalannya payah dan perlukan sabar, ketika sabar itu digelar Nabi SAW sebagai sinar mentari. Sumber kebaikan, sumber kehidupan, namun sinar hanya datang dari bakaran yang bukan sebarangan.
"… dan sabar itu adalah sinar"
Jika dakwah itu membawa sinar, maka sinar itu jugalah yang perlu dijaga. Usaha menyinari manusia dan alam, terlalu mudah membakar diri orang yang menyerunya sendiri. Manusia penyeru boleh terbakar bukan kerana berkorban, tetapi terkorban kerana hilang kepedulian terhadap tuntutan ke atas diri sendiri. Mengajak orang kepada kebaikan, tetapi membiarkan diri musnah tanpa kebaikan yang sama.
"Pendakwah seperti lilin"… mungkin bukan perumpaan yang hikmah.
Ingatlah pesan Nabi Sallallaahu 'alayhi wa sallam, agar jangan sewenang-wenangnya kita mahu menjadi lilin:
[image error]
"Perumpamaan orang yang mengajar orang ramai kebaikan tetapi melupakan dirinya sendiri adalah seperti lilin yang memberikan cahaya ke atas orang lain dan (dalam masa yang sama) membiarkan dirinya terbakar"
Lilin itu menyinar. Tetapi sinarnya hasil terbakar diri. Ia menghasilkan manfaat buat orang lain, tetapi membiarkan diri binasa. Ia membekalkan kebaikan yang dimanfaatkan oleh semua orang kecuali dirinya sendiri. Manusia lain mendapat kebaikan darinya, tetapi dirinya sendiri hancur binasa.
Lilin tidak sedar ketika sibuk menghasilkan cahaya, dirinya sendiri menuju gelita, fana' dan binasa.
JADILAH LAMPU PELITA YANG MENYINAR
Justeru Baginda Sallallaahu 'alayhi wa sallam berpesan dengan pesanan yang menampakkan ketelitian pada bicara dan makna, lantas bersabda:
[image error]
"Perumpamaan seorang yang berilmu yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai, dan melupakan (kepentingan-kepentingan) dirinya adalah seperti lampu pelita yang memberikan cahaya untuk manusia dan membakar dirinya"
Harusnya pendakwah dan pendidik itu jadi pelita.
Gelaran Nabi Sallallaahu 'alayhi wa sallam kepada mereka adalah si ALIM, bukan sekadar seorang manusia. ALIM itu sandarannya ilmu. Tahu ilmu mendidik orang, tahu ilmu mendidik diri.
Perumpamaan yang baik itu ditujukan kepada seorang alim yang muallim. Seorang yang bukan sekadar tahu-tahu kemudian menyibukkan diri memberitahu, lalu mudah alpa ke atas diri sendiri. Sesungguhnya manusia seperti inilah yang sering menjadi lilin.
Akan tetapi lampu pelita menyinarkan cahaya untuk orang lain, dengan apa yang ada pada dirinya. Dirinya diberikan hak seperti yang sepatutnya, agar boleh terus bekerja dan berusaha. Ilmunya, masanya, tenaganya, semua ini menghasilkan sinar. Yang dikorbankan adalah kepentingan-kepentingan diri yang merugikan, bukannya terkorban diri kerana sibuk memberi. Terbakar itu adalah pengorbanan diri dan bukannya mangsa korban diri,
Merekalah manusia yang hidupnya dengan ilmu itu adalah untuk memberi, hidup bukan untuk diri sendiri.
PESANAN BUAT LILIN
Justeru bagi sekalian yang alpa menjadi lilin, janganlah dirimu terang sebatang hanya sepetang. Engkau harus berusaha menjadi lampu yang sentiasa mengisi diri dengan bahan bakar untuk terus bercahaya. Terbakarnya berterusan menghasilkan kebaikan, dan terus menerus berkorban, bukannya tamat kerana mangsa korban… korban sendiri yang alpa terhadap diri.
Manusia yang tidak memiliki, adalah manusia yang alpa diri, tidaklah dia mampu hidup memberi.
Banyakkan usaha mencari, sebanyak cita-citamu untuk memberi.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
[image error] [image error]
Related posts:Jangan Jadi Keldai
Layan Jangan, Lawan Pun Jangan
Kenapa Anda Berdakwah? – Siri 3 (Saya Nak Jadi Wakil!)
May 12, 2011
Membeli Kerana Testimoni Atau Mengkaji?
[image error]
Herbalife® adalah di antara produk yang pernah saya gunakan, namun belum ada rezeki untuk menikmati perubahan kerana kelemahan-kelemahan diri semasa itu
"Assalamualaikum, Encik. Apa khabar?" seorang wanita duduk di sebelah saya.
"Waalaikum al-Salaam. Alhamdulillah!" saya menjawab.
"Encik pernah dengar tentang produk ini, kan? tanya beliau.
Mungkin badan saya memberitahu beliau bahawa saya berpotensi menjadi downline beliau, barangkali.
Beliau menunjukkan kepada saya fail di tangannya.
"Produk mana satu? Minuman kurus ke atau filem pecah panggungnya?" saya buat-buat tidak faham.
Beliau ketawa.
Saya gelisah. Nombor giliran saya sudah hampir. Menyesal pula datang ke Pejabat Pos untuk membayar bil. Selalunya dilakukan secara atas talian sahaja. Entah mengapa hari ini tergerak mahu ke Pejabat Pos.
Dan saya telah diperangkap oleh wanita ini.
"Encik cubalah. Saya dahulu, macam ini, selepas minum produk ini, Alhamdulillah. Berkesan, encik" sambung wanita itu.
"Macam mana minuman ni kuruskan akak. Apa yang dia buat?" saya bertanya.
"Minuman ni mengaktifkan sel-sel dalam badan kita, dik. Dia tukar gula jadi tenaga, pecahkan lemak dan hasilkan serotonin. Apabila bahan ni terhasil, tu yang tak rasa lapar atau letih" katanya.
Fasih.
Saya mengangguk.
"Sebenarnya saya dah ada produk ni di rumah. Sedang mencubanya" saya memberitahu.
"Tak boleh cuba-cuba, dik. Kena yakin" katanya. Sedikit mendesak.
"Terima kasih kak. Tu, nombor saya dah naik. Maaf ye" saya segera bangun menuju ke kaunter.
Semasa membayar bil, saya mengintai di hujung mata. Wanita itu masih menunggu. Tidak pasti menunggu saya, atau mencari si gemuk yang seterusnya.
Semasa meninggalkan kaunter, wanita tersebut datang kepada saya semula.
Tersenyum kelat, saya menyegerakan langkah dan bergegas keluar meninggalkan Pejabat Pos di Jusco Taman Maluri tersebut. Rimas.
Ada orang, terbuka hati mahu mencuba. Ada orang, jadi rimas dengan geram apabila didatangi orang seperti wanita itu tadi.
Bagi saya, mencuba produk-produk di pasaran terutamanya yang dijual melalui stokis, adalah pilihan yang jarang berlaku. Mungkin bunyinya pesimis, tetapi adakalanya saya lebih percaya kepada produk yang diletakkan di rak kedai-kedai biasa, berbanding produk yang dijual melalui stokis tersebut. Tiada stokis atau promoter. Hanya maklumat di bungkusan yang mesti lengkap untuk meyakinkan pengguna seperti saya.
Saya kurang stamina melayan promosi stokis.
Malah bukan sengaja, tetapi saya juga ada pendirian sendiri dalam hal-hal kepenggunaan ini.
Saya membeli berdasarkan penjelasan penghasilan dan kajian yang menjadi asas produk tersebut.
Bukan testimoni.
BERIMAN KEPADA QADHA DAN QADAR
Sebagai seorang Muslim yang beriman kepada Qadha' dan Qadar, saya sentiasa berusaha untuk teliti dan peka kepada asbab-asbab yang membawa kepada natijah yang dikehendaki. Ilmu-ilmu d alam ini, termasuk Sains Perubatan dan Sains Pemakanan, wujud sebagai Sunnatullah yang Allah sistemkan kepada kehidupan di alam ciptaan-Nya.
Justeru, jika mahu menang, kena belajar betul-betul rule of the game yang Allah sediakan untuk menang. Jika mahu pandai, kena belajar betul-betul peraturan yang Allah sediakan untuk pandai.
Hatta jika mahu sihat, kena belajar betul-betul asbab yang Allah aturkan di alam ini untuk sihat.
Justeru, saya tidak akan membeli sebarang produk dengan orientasi testimoni.
"Saya berjaya kurus kerana sekian-sekian. Produk ini berkesan" kata seorang 'pemenang'.
"Semenjak menggunakan produk ini, anak saya semakin bijak belajar dan berderet A yang dicapainya" kata seorang ibu pula.
Ayat-ayat sedemikian sering kita dengar di corong radio dan TV. Ironinya, yang selalu bernada begitu adalah produk dan perkhidmatan 'Islam dan Muslim'. Tidaklah seratus peratus salah, namun membeli sesuatu kerana testimoni, boleh menjadi sebuah kepalsuan yang menjadikan kita mangsa penipuan. Lebih malang, jika kehebatan produk itu disandarkan kepada pengasasnya yang memiliki ijazah-ijazah hebat, bergelar profesor, yang kelulusan akademik itu diperolehi dari Universiti dan Negara yang tidak masuk akal.
Sijil beli?
Biar sahaja Allah yang mengadili.
Sebagai Muslim yang beriman kepada Qadha' dan Qadar, testimoni boleh menarik perhatian. Tetapi terasnya mesti pada memahami PROSES. Jika produk tersebut benar-benar baik, ia mesti dibuktikan terlebih dahulu melalui penjelasan tentang prosesnya.
Bagaimanakah secara ilmiahnya, produk itu berfungsi di dalam tubuh dan kehidupan?
Soalan inilah penentu besar kepada ketulenan satu-satu produk.
"Ah, memanglah produk ini tidak sesaintifik produk di hospital itu. Tetapi kesannya, jangan anta nafikan!" kata seorang teman.
Ada benarnya.
Namun izinkan saya untuk tidak mengambil pendapat sebegitu.
MENCEGAH MANIPULASI
Saya bukanlah seorang yang taasub dengan makmal dan kertas kerja, tetapi sudah terlalu kerap berlaku, apabila proses penghasilan produk-produk yang dikatakan berkesan apatah lagi Islamik ini cuba dibaca dan difahami, terserlah tembelangnya. Banyak benda yang tidak masuk akal, merepek, dan memanipulasi 'kebodohan' bakal pembeli produk tersebut.
Sebab itu, apabila ramai pihak bertanya, apakah rejim dan produk yang saya gunakan dalam proses mengurangkan berat badan, saya jarang sekali memperincikannya. Saya hanya memberi kata-kata kunci untuk penanya mengkaji, atau bertemu terus dengan doktor yang membimbing saya, agar penerangan dapat dibuat oleh mereka yang ahli dalam bidang tersebut. Itu cara saya menghormati dan mematuhi Sunnatullah.
Jika dahulu saya gemuk dan hari ini saya kurus, ia tidak menjadikan saya seorang pakar pemakanan dan perubatan anti penuaan. Saya masih bertaraf pengguna. Apa yang mampu saya lakukan, adalah pada menjuruskan mereka yang berminat kepada pakar, pengkaji, dan seterusnya menilai sendiri.
Andai ada pertambahan kepakaran saya dalam tempoh 40 hari ini, saya hanya menjadi lebih 'cerdik dan bijak' pada mengenal diri sendiri, menumpaskan tipu helah minda, dan seterusnya menjadikan taqwa sebagai asas pemulihan kesihatan dan berat badan.
Artikel diet saya duduk dalam lingkungan perspektif agama.
Kerana di situlah tempat saya.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
[image error] [image error]
Related posts:Salah Kerana Terbabit Atau Enggan Terbabit?
Blog, Bloggers Atau Apa?
Sokong ISLAM Atau MUSLIM?
May 9, 2011
Rapunzel Bukan Hikayat Jerman
[image error]
"Mother knows best!" itulah slogannya.
Zaman berzaman, Mother Gothel memberitahu Rapunzel kata-kata keramat ini.
Dan setelah Rapunzel itu 'berhutang hidup' dengan Mother Gothel yang memberinya makan dan minum, kata-kata itu memang masuk ke logik fikiran Rapunzel.
"Ibu, mengapa saya tidak boleh ke luar sana?" tanya Rapunzel semasa rambut cantiknya disikat lembut oleh si ibu penyayang.
"Oh sayang, di luar sana amat berbahaya. Ada ramai manusia dengki, mementingkan diri sendiri, dan merbahaya untuk kamu. Tinggallah kamu di sini, kerana ia yang terbaik buatmu, nak!" kata-kata Mother Gothel sungguh berbunyi mithali.
Tetapi Rapunzel itu manusia.
[image error]
Setelah sekian lama duduk di dunia makam tingginya di menara itu, Rapunzel melihat bulan penuh. Masih melihat bulan sabit. Berganti-ganti. Sekali sekala nampak mercun roket meletup indah di angkasa. Menghias buana. Rapunzel tahu, dunia di luar sana lain ceritanya.
Tingkap kecil binaan Mother Gothel di bilik Rapunzel itu adalah untuk membuktikan dirinya masih manusia. Masih memberi ruang nafas dan pandang jauh buat Rapunzel. Biar pun hakikatnya Rapunzel sedang dikurung. Dipenjara. Dan pandangan jauh si anak dara itu dijadikan 'gula-gula' memujuk anaknya bahawa dia sedang menikmati dunia, biar pun dari pandangan luar, Rapunzel sebenarnya hidup dalam tahanan.
Dipenjara.
Oleh ibunya sendiri.
Ibu yang lebih mengetahui.
Rapunzel terus membesar.
Nalurinya berkembang.
Fitrahnya mencari.
[image error]
Flynn Rider muncul.
Flynn Rider dimomok sebagai perompak. Tamakkan tiara Rapunzel. Berniat jahat. Pengganas. Penjenayah. Dipropagandakan oleh Mother Gother sendiri di empat penjuru negeri.
Anda tontonlah sendiri RAPUNZEL: THE TANGLED TALE.
Anda tahu bahawa ia bukan Hikayat Jerman.
Ia kisah kampung halaman kita sendiri.
Wahai Rapunzel, slogan Mother Knows Best itu jangan ditelan bulat-bulat.
Ia berperisa gula.
Hakikatnya racun pembodohan yang cuba menggula-gulakan kamu.
Masakan selepas 50 tahun, kamu masih percaya dengan nasihat Mother Gothel kepada 'kanak-kanak yang diculik' itu?
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Batu Ferringhi, Pulau Pinang
[image error] [image error]
Related posts:Hikayat Negara Entah Berentah!
Cinta Ilahi Bukan Lakaran Puisi
Akhlaq Itu Bukan Lalang
May 7, 2011
Antara Syukur dan Kufur
[image error]
Adakalanya kita terlupa.
Terlupa membezakan di antara halaman web informasi, berita, dakwah, kesihatan dan ke hujung senarai yang berterusan.
Kita akan kecewa apabila kita masuk ke sebuah halaman dengan kehendak kita, kerana sering tidak bertemu dengan apa kita hendak.
Justeru harus ada empati.
Menemukan kehendak diri dengan kehendak dunia yang 1001 di sekeliling kita.
Saifulislam.Com bermula sebagai sebuah 'Halaman Web Peribadi' dan kini berformat blog.
Ia kekal sebagai sebuah halaman yang begitu, biar pun konotasinya, serta pandangan orang lain mengenainya, berubah-ubah mengikut musim dan zaman.
Maafkan Saifulislam.Com jika anda yang mencari analisa siasah, bertemu dengan resepi masakan. Maaf juga kepada anda yang mencari kisah rumahtangga, bertemu dengan perbincangan yang mencabar stereotaip Islam anda.
Lazimnya, jika hati lurus berukhuwwah, kita akan lebih melihat apa yang ada berbanding dengan apa yang tiada.
Kata al-Imam al-Raghib, kalimah Syukur (شكر) itu adalah keterbalikan kalimah (كشر) yang memberi maksud (الكشف) yakni terbuka.
Lawan SYUKUR ialah KUFUR dan kalimah (كفر) bermaksud tertutup atau terhijab.
Orang yang bersyukur sentiasa nampak. Sentiasa dapat melihat apa yang dia ada.
Orang yang kufur sentiasa tidak nampak. Sentiasa tidak dapat melihat apa yang dia ada.
Orang yang bersyukur akan menghitung nikmat yang ada hingga tidak cukup lafaz Alhamdulillah dan ketaatannya pada membalas nikmat yang ada.
Orang yang kufur akan mengeluh dan kecewa dengan segala yang tiada di tangannya hingga datang pelbagai penyakit jiwa dan agama.
[image error]
"…Dan sedikit sekali daripada kalangan hamba-Ku yang bersyukur" [Saba' 34: 13]
Mari bersyukur.
Ia rawatan jiwa untuk bahagia.
Melayari blog pun lebih gembira.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Batu Ferringhi, Pulau Pinang
[image error] [image error]
Related posts:Dialog Gen-Y: Antara Iman dan Kufur
Antara Kak Nor dan Encik M – Update
Antara Mengambil dan Memberi
Selamat Hari Ibu
Duhai Bonda
Bagai kerdipan lilin yang berkilau, bercahaya
Menggantikan mentari terangi malam nan gelita
Membakar diri pun membeikan cahaya
Membiar diri musnah terlebur
Korban segalanya penuh rela
Biar dimamah arus usia
Tidak pernah kenal derita
Bagai sungai kasih yang mengalir
Tiada penghentiannya, tak bertebing
Duhai ibunda kaulah anugerah istimewa
Berkorban jiwa raga redahi hidup nan mencabar
Berusaha dan sabar dalam mengharungi derita
Hidupmu penuh ranjau meniti kepayahan yang tiada kesudahan
Tidak sekali mengharapkan dibalasi permata
Cukup engkau rasa bahagia
Lihat anak-anakmu berjaya
Kau penawar hati duka
Walau hatimu terluka
Engkau ibu engkaulah bapa
Pabila ayah tiada
Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasamu
Kerana Tuhan saja yang tahu penderitaanmu
Wahai bonda
-oleh Nowseeheart.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
[image error] [image error]
Related posts:Nadiku Mendegupkan Kasihmu
Selamat Hari Raya Aidiladha
Selamat Hari Raya… Taqabbalallah Minna wa Minkum!
May 6, 2011
Benar-benar Sebuah 'Insya Allah'
[image error]
Jadilah seperti Ashaab al-Kahf
"Kalau aku mahu membuat perubahan ini, bolehkah bertahan?" keluh Ahmad.
"Semoga usahaku berhenti merokok ini berterusan" kata Ali.
Dalam bunyinya.
"Mudah-mudahan menjadi" ujar Aminah, berhajat untuk menurunkan berat badannya.
"Insya Allah, ok kot" ujar Siti.
Beliau mahu memberhentikan tabiatnya yang hantukan roti telur bawang di kedai mamak.
Hakikatnya, apa sahaja hasrat perubahan yang dinyatakan bersama perkataan-perkataan 'kalau', 'semoga', 'mudah-mudahan', 'ok kot', hatta Insya Allah 'versi Melayu', semua akan gagal. Semuanya menggambarkan kegagalan di awal langkah perjalanan. Ia bukan sebuah tekad. Ia amat jauh daripada peraturan perubahan pada langkah satu, iaitu:
[image error]"Kemudian apabila engkau telah berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." [Aal 'Imraan 3: 159]
TELADAN KISAH ASHAAB AL-KAHF
Islam adalah sumber terbaik untuk membangkitkan manusia.
Bangkit daripada kegagalan.
Bangkit daripada kemunduran.
Namun bangkitnya mesti berstrategi. Agar jangan 'hangat-hangat tahi ayam'.
Langkah untuk bangkit, dibentangkan oleh Allah Subhanahu wa Taala di dalam kisah pemuda al-Kahf.
[image error]
"Sesungguhnya mereka itu adalah para pemuda yang telah beriman kepada Tuhan mereka. Lalu Kami pertambahkan kepada mereka petunjuk. Dan Kami ikatkan hati mereka…" [Al-Kahf 18: 13-14]
Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang sebuah hakikat al-Quran berkaitan dengan Iman dan Hidayah.
Seorang mukmin itu berada di posisi memilih. Mengambil langkah yang pertama. Memilih untuk menetapkan kesungguhan, keazaman dan pendirian. Memilih untuk beriman.
Inilah cabaran terbesarnya iaitu pada mengambil langkah yang pertama. Selagi langkah pertama ini tidak diambil, tiada bantuan dan sokongan kemudahan yang boleh diharapkan daripada Allah. Rule of the game yang ditetapkan oleh Allah ialah, kamu harus memulakannya terlebih dahulu. Setelah pemuda al-Kahf itu bertindak mengimani Allah, barulah Allah datangkan sokongan dan jalan-jalan kemudahan untuk melapangkan jalan merealisasikan pilihan tersebut.
Benar sekali kata pepatah:
البداية نصف الشيء
"Permulaan itu adalah separuh daripada sesuatu"
Setelah bermula, selesai separuh daripada urusan itu.
Yang susahnya adalah untuk bermula.
Yakinlah, apabila kita bertindak memulakan apa yang hendak dimulakan, bantuan untuk memudahkannya akan datang.
Setelah itu, barulah muncul sesuatu yang penting untuk mengekalkan seseorang di atas jalan perubahan tersebut. Istiqamah.
[image error]
"… Dan Kami ikatkan hati mereka…" [Al-Kahf 18: 14]
Seperti air di dalam sebuah botol. Air itu mungkin akan berkurang kerana tersejat ke udara. Bisa sahaja hilang apabila tumpah dari bekasnya. Lalu botol itu ditutup, dan diikat penutupnya. Sebagai perumpamaan yang digunakan oleh Sayyid Qutb pada menggambarkan erti ayat ini.
Pemuda al-Kahf memilih untuk beriman.
Allah menyokong pilihan itu dengan memberikan petunjuk untuk menjayakannya.
Pilihan itu seterusnya diperkukuhkan, apabila keazaman mereka bersimpul mati. Tekad. Nekad.
Benar sekali kata Abu Tayyib al-Mutanabbi:
إذا كنت ذا رأي فكن ذا عزيمة…. فإنّ فساد الرأى ان تترددا
"Jika kamu seorang yang mempunyai pandangan, maka jadilah juga seorang yang mempunyai pendirian. Sesungguhnya suatu pandangan itu akan menjadi rosak, hanya kerana kamu berbelah bagi"
Pandangan yang baik boleh rosak, semata-mata kerana kita sendiri tidak bulat hati terhadapnya. Teragak-agak. Berbelah bagi. Melayan bisikan-bisikan alasan, yang entah dari nafsu, entah dari Syaitan, tetapi لاoleh sahaja disangka 'suara Tuhan'.
Untuk Allah Subhanahu wa Ta'aala mengikat hati manusia, Dia letakkan syarat-syaratnya. Hati yang bulat memerlukan karakter tertentu pada diri.
KISAH MUHAMMAD ABDUH
Ingatkah kita kepada kisah Muhammad Abduh di usia belasan tahun, melarikan diri daripada Jame' Ahmadi di Tanta, Mesir, kerana membantah sistem pendidikan di sekolahnya itu yang tidak memberikan kepuasan diri? Bukanlah melarikan diri daripada sekolah itu yang hendak dicontohi. Namun nekad untuk lari dari sekolah kerana sebuah prinsip dan kepercayaan itulah yang dikagumi. Karakter yang kuat.
Will power yang tinggi.
Determination!
Karakter 'degil' dan keras kepala itu penting sebagai tempat untuk menjadi tapak membina agama.
Hari ini, antara punca sukarnya kita untuk istiqamah adalah kerana karakter yang lemah. Gagal menimbulkan upaya berpendirian terhadap sesuatu. Hanya dengan sedikit rangsangan luar, pendirian kita mudah berubah. Berubah kepada baik atau berubah kepada buruk, sama sahaja. Sukar bertahan.
BERHENTI MEMBUAT ALASAN
[image error]
"Bolehkah aku kurangkan berat badan? Aku ada 30 chef sebulan. Sentiasa makan makanan yang dihidangkan orang. Inilah nasib penceramah. Apa nak buat…"
Sudah puas beralasan begitu.
Meletakkan seolah-olah perubahan akan hanya berlaku jika 30 chef itu berubah. Jika dunia berubah menyokong kehendakku untuk berubah.
Semasa ditepuk bahu oleh doktor di klinik Endokrinologi PPUKM yang kecewa dengan perkembangan kesihatan saya, fikiran ini terus teringat kepada ceramah saya berkenaan Surah al-Kahf ini. Tiba masanya, saya diuji dengan apa yang saya kata.
Buat pilihan, mula bertindak
Allah akan mudahkan
Hati akan diikat untuk nekad
Berhentilah membuat alasan.
Diri ini sendiri yang sedang di persimpangan membuat pilihan. Pilihan untuk sebuah perubahan.
Selagi hasrat berubah itu disaluti oleh kalimah 'kalau', 'semoga', 'mudah-mudahan', 'ok kot', hatta Insya Allah 'versi Melayu', semua akan gagal. Saya harus nekad seperti nekadnya Ashaab al-Kahf. Saya yang harus memulakannya. Yakin nantinya jalan kemudahan akan dikurniakan Tuhan. Yakin kedegilan diri boleh ditimbulkan semula. Yakin bahawa hidup adalah medan kita membuat pilihan.
Pilihlah untuk berubah.
Sedikit pun tidak akan disesiakan Allah.
Yakinlah.
[image error]
"Kemudian apabila engkau telah berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." [Aal 'Imraan 3: 159]
Insya Allah.
Kali ini benar-benar sebuah INSYA ALLAH.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
[image error] [image error]
Related posts:A Birthday Present from Allah: Sebuah Catatan Hati Peserta KEM HIJRI 1432
Kausa Prima Sebuah Agenda
Allah Akan Membuktikan Isi Hatimu
May 4, 2011
Jika Artis Boleh Berubah…
[image error]
Ujian hidup 'para ustaz'.
Saya hanya tersenyum, menjamah sepotong dua buah, dan ulam bersama air kosong, tanpa mengecilkan hati 'tuan rumah'. Foto kredit: Bro Khairol Khalid
"Eh, betul ke tu?" langkah saya terhenti.
Semasa melintas sebuah kedai muzik, saya ternampak gambar seorang penyanyi.
"Itu Guy Sebastian, Australian Idol. Menakjubkan!" saya berkata-kata sendirian.
Saya bukan meminati penyanyi atau nyanyiannya. Tetapi saya terkejut melihat perubahan dirinya.
Seingat saya beberapa tahun yang lalu, penyanyi yang berasal dari Malaysia tetapi kini menjadi warganegara Australia itu adalah seorang yang chubby. Kini beliau menjadi kurus dan kemas.
ARTIS TEMPATAN
Pandangan itu mengingatkan saya juga kepada seorang lagi artis, iaitu Aizat daripada Akademi Fantasia.
Semasa menjadi peserta program realiti itu, beliau berbadan besar.
Tetapi kini sudah slim dan sentiasa berpakaian sendat. Menghargai perubahan dirinya barangkali.
Begitu juga dengan Bob AF, Imran Ajmain dan beberapa orang artis yang sempat saya semak di carian internet.
Saya tidak pasti apakah motivasi mereka membuat perubahan kepada diri. Tetapi dunia hiburan memang 'rupalistik'. Rupa paras amat penting. Seorang artis yang begitu berbakat seperti Aizat, kalah di pertengahan jalan. Mungkin ya, mungkin tidak, namun keadaan fizikalnya barangkali ada menyumbang kepada kekalahannya.
Kekalahan itu sudah terakam. Tidak boleh diubah. Tetapi punca kekalahan itu boleh diatasi. Jika mahu. Jika kalah dan jatuh, jatuhnya biar ke depan.
Beliau berjaya.
OBESITI AGAMAWAN
Taboo.
Takut mahu membicarakannya.
Tetapi orang berkata. Mengata.
Saya sendiri berkali-kali diejek, dikutuk malah dimaki hamun di Facebook dan Blog.
"Ustaz gendut tak tsiqah!" kata seseorang di Facebook.
Pedih sekali kata-katanya. Sungguh melukakan.
[image error]
Namun apakan daya.
Masalah ini kalau mengikut kata 'orang putih', "there's an elephant in the room!"
Ada gajah di dalam bilik ini!
Maksud peribahasa itu, semua orang tahu ada satu masalah yang besar sedang berlaku, tetapi semua memilih untuk tidak memperkatakannya. Mungkin kerana hormatkan para ustaz dan ustazah. Masalah didiamkan. Dibiarkan (dan terus disuburkan dengan jamuan dan bekal), hingga akhirnya benar-benar kami jadi gajah di dalam masjid!
[image error]
Sheikh Taher Khalid di Dubai
Teringat saya kepada Sheikh Taher Khalid yang saya temui di Dubai.
Beliau amat bertegas dalam soal menjaga kesihatan tubuh seorang pendakwah. Beliau sendiri pada usia emas, masih tangkas dan pantas, mengalahkan orang muda.
MOTIVASI 'DUNIA' VS AGAMA
Melihat kepada Aizat, Guy Sebastian dan Nik Sayyidah Fatiha Yazib (Mek Nasi Lemak Kopi O TV9), ia harus diambil sebagai satu cabaran.
Jika dengan dorongan faktor hiburan, mereka boleh membuat perubahan, sepatutnya dengan dorongan agama dan Tuhan, kita lebih mampu.
Mudah-mudahan tok-tok guru, para ustaz dan ustazah, mengambil persoalan ini sebagai sebahagian daripada perjuangan mereka. Bukan berjuang menguruskan badan, tetapi berjuang menyihatkan tubuh. Kurus belum tentu sihat, namun gemuk pasti tidak sihat.
Janganlah dikejar 'sunnah menggembala kambing dan makan kambing' , jika ia benar sebuah sunnah. Nanti yang banyak adalah bid'ah yang fitnah.
AJK Surau dan Masjid, ada yang membelanjakan hingga RM10K setahun untuk jamuan-jamuan program Kuliah Maghrib dan Kuliah Subuh, bagaimana jika perbelanjaan itu ditukar, daripada terus menambah buruk keadaan, kepada menghimpunnya dan menaja ustaz-ustaz menyertai apa-apa program yang boleh membantu mereka sihat.
Namun, segalanya berbalik kepada diri sendiri. Diri para agamawan.
Berubah bukan supaya dihormati masyarakat, tetapi berjaya menghormati diri sendiri.
[image error]"…Kemudian apabila engkau telah berazammaka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya" [Aal 'Imraan 3: 159]
Sepanjang mujahadah saya mengurangkan berat badan dan memerdekakan diri secara total daripada diabetik, saya amat jarang menyentuh tentang program atau produk atau sebarang jenama, hatta klinik dan doktor yang membantu saya dalam hal ini.
Puncanya hanya satu.
Kunci perubahan masih pada DIRI, bukan bentuk program yang dipilih. Apa sahaja rejim atau program yang dipilih, semuanya boleh dimusnahkan sekelip mata, apabila tidak amanah memegang janji kepada diri, kepada Ilahi.
Berat badan naik semula.
Harga diri turun kembali.
Sesungguhnya ia sebuah HIJRAH!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
[image error] [image error]
Related posts:Tenaga Tidak Boleh Dimusnah
Lebih Baik Susah Dari Berubah
Berlalunya Empat Puluh Hari
May 2, 2011
Berlalunya Empat Puluh Hari
[image error]
"Abi, yang pegang buku tu kawan abi ke? Apa nama dia?" tanya Imad.
Saya hilang punca.
Antara gembira dan kasihan.
Bukan kasihankan Imad, tetapi kasihan diri sendiri.
Alhamdulillah, syukur kepada-Mu ya Allah.
Sebelum terlambat.
MOTIVASI ISTERI
Saya pernah menjadikan isteri sebagai motivasi. Kasihan, seorang doktor bersuamikan lelaki tidak sihat. Mungkin macam-macam kata orang. Doktor apa itu, suaminya seperti tidak ada doktor dalam hidupnya. Saya kasihan dengan isteri. Tidak mahu dia malu. Justeru saya mesti buat perubahan.
Saya gagal.
MOTIVASI ANAK
Saya pernah juga menjadikan anak-anak sebagai motivasi. Kasihan, bapa mereka sudah mula bersarapan pagi dan makan malam dengan Metformin. Dengan Lovastatin. Saya sendiri kehilangan ayah pada usia 17 tahun. Sakitnya terasa sehingga kini. Mahukah saya membiarkan anak-anak menjadi yatim? Bapa mati awal, bukan kemalangan, bukan dibunuh penjahat, bukan ditembak Taghut, tetapi mati kerana tidak menjaga kesihatan. Saya kasihan dengan anak-anak. Tidak mahu mereka yatim. Justeru saya mesti buat perubahan.
Saya gagal.
MOTIVASI EMAK
Saya pernah pula menjadikan emak sebagai motivasi. Kasihan, emak mengandung saya dengan BMI yang betul. Lahir dan membesar sebagai manusia sihat. Emak sudah tua, tetapi saya takut dalam usia emak yang tua, emak mengebumikan saya. Emak juga pernah cakap, "Rizal, cuba jaga badan sikit!" Tapi saya tak buat. Bukan tak mahu buat, tapi banyak alasan untuk tidak buat. Saya kasihankan emak. Saya tidak mahu emak yang sudah tua itu kematian anak. Justeru saya mesti buat perubahan.
Saya gagal.
MOTIVASI DIRI
Semuanya gagal kerana saya mengambil faktor luaran sebagai sebab membuat perubahan. Walhal saya sendiri yang sejak sekian lama berceramah, bahawa manusia itu INSIDE-OUT. Perubahan mesti datang dari dalam.
Dari diri sendiri.
[image error]"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehinggalah mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka itu" [Al-Ra'd 13: 11]
Jujur kepada diri.
Belajar menghormati diri.
Di hadapan Allah saya berdiri, bahawa Engkau menciptakan diriku dengan sempurna, sebagai hamba yang beriman dan bersyukur, nikmat Engkau yang manakah mahu aku dustakan?
Bismillah, tawakkaltu 'alallaah…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
[image error] [image error]
Related posts:Hari Penuh Makna
Selamat Hari Raya… Taqabbalallah Minna wa Minkum!
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1431H


