Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 101
April 3, 2011
Mencari Sinar Masa Depan di Celah Pencakar Langit Dubai
[image error]
"I'm in Grade 4. Al-Ansar International School" kata seorang peserta.
"I'm Grade 9. Same school as him" seorang lagi memperkenalkan diri.
Seorang demi seorang peserta program MUSLIM 'IDOL' di MATRADE Dubai memperkenalkan diri. Majoritinya bersekolah di Al-Ansar International School. Ada juga yang bersekolah di School of Creative Science juga beberapa sekolah lain.
Kebanyakannya bertempat di Sharjah.
Tidak dilupakan, ada peserta yang datang jauh dari Abu Dhabi, mereka juga belajar di International School di sana.
Demikian adalah fenomena semasa bagi anak-anak warga Malaysia yang bekerja di Negara Teluk seperti UAE dan Qatar.
Jarang sekali kedengaran ada yang bersekolah di Public School dan sudah tentu ia mempunyai latar belakang dan sebab yang pelbagai.
[image error]
Sebahagian peserta yang baru tiba
[image error]
Ceria dan penuh semangat
Pada tahun 2008, saya hanya berpeluang mengadakan dua sesi ceramah motivasi bersama anak-anak Malaysia, Singapura dan Indonesia di Doha, Qatar. Biar pun singgah dan berprogram di Dubai, keadaan pada masa itu tidak mengizinkan. Syukur Alhamdulillah, kali ini lawatan kerja saya ke Dubai dirangka khusus dengan fokus kepada 'Keluarga Cemerlang' oleh MY-UAE, dan salah satu programnya adalah program bersama anak-anak dengan tema MUSLIM 'IDOL'.
Di peringkat awal, jumlah peserta yang mendaftarkan diri adalah sekitar 20 orang. Namun pada sesi pendaftaran, jumlah yang mendaftarkan diri mencecah 50 orang dengan penyertaan anak-anak yang datang sejauh Abu Dhabi, satu setengah jam perjalanan memandu ke Dubai. Saya biarkan minda saya kosong daripada sebarang jangkaan, sama ada peserta bakal terdiri ramai daripada pelajar sekolah menengah atau sekolah rendah.
Alhamdulillah, Allah mengundang ramai peserta daripada kalangan anak-anak di sekolah rendah.
Berprogram bersama mereka menyeronokkan. Disebabkan oleh sistem pendidikan yang diterima adalah mengikut modul American, British atau Australian, maka anak-anak ini sama ada yang di sekolah rendah atau menengah gemar berpatisipasi. Rajin menjawab soalan, malah ramai juga yang mengangkat tangan sebelum menyediakan jawapan. Ia banyak membantu menampung cabaran dalaman saya yang serba sedikit teruji dengan diet semasa.
Selesai sesi pertama, kami membuat empat kesimpulan penting iaitu:
Death is sure and inevitable , appreciate our life.
Rule of success: always give the best, to get the best.
Freedom is good but principle is must.
Principle based belief enhances self confidence: it helps to overcome obstacles.
[image error]
"Look into your friend's eyes and say, "I love you!"
[image error]
Aktif menjawab soalan dan aktif seaktif-aktifnya sampai tidak boleh duduk diam
[image error]
Satu-satunya cara untuk memanggil peserta duduk bersedia kepada solat ialah dengan berselawat
Selepas selesai sesi pertama, peserta dipecahkan kepada empat kumpulan. Mereka diberikan tugasan untuk membincangkan keempat-empat kesimpulan sesi pertama dan membentangkannya. Saya menyerahkan peluang kepada empat pelajar senior memilih ahli kumpulan masing-masing. Dua kumpulan pelajar lelaki, menamakan kumpulan mereka sebagai Muslim Brotherhood dan Red Lunch Box, manakala dua lagi kumpulan pelajar perempuan yang menamakan kumpulan mereka sebagai Muslimah dan Entahlah!
Sungguh seronok mendengar pembentangan mereka. Semua orang bersetuju bahawa Islam mengharamkan bunuh diri seperti yang sering berlaku di dalam masyarakat Jepun, tetapi harus juga kita ingat kepada perbuatan membunuh diri perlahan-lahan dengan merokok, mengambil dadah dan makan berlebihan yang juga sebenarnya perbuatan membunuh diri.
"Hargailah kehidupan ini!" ramai yang menekan isu ini.
Di sesi kedua, saya mengajak anak-anak ini kepada peringkat kedua perbincangan bahawa percaya sahaja tidak cukup. Keyakinan diri yang tinggi tidak akan ke mana malah boleh menipu diri jika salah asasnya. Lihat sahaja audition awal rancangan American Idol. Ramai yang berkeyakinan diri tinggi untuk menyanyi walaupun hakikat sebenar, diam mereka lebih berharga!
Percaya untuk berjaya mesti disusuli oleh tindakan yang terancang.
Merancang adalah tuntutan kejayaan.
[image error]
Salah seorang peserta memberikan pendapat
[image error]
Abang ini pun banyak idea
[image error]
Abang yang ini pun lagi macam-macam ideanya
Peserta diajak kepada berfikir bagaimana untuk berjaya, kriteria-kriteria Ibadah di dalam Islam yang dijelaskan oleh Sheikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya al-'Ibaadah fee al-Islaam itu diambil kira. Ada benda yang mesti diberi perhatian sebelum membuat sesuatu. Ada benda yang mesti dijaga semasa membuat sesuatu. Malah selepas selesai membuat sesuatu juga ada benda yang perlu dijaga.
Dengan komitmen berpanjangan seperti itu, apa sahaja keputusan peperiksaan yang keluar, ia adalah bonus dan bersifat secondary.
Apa yang pasti, kita sudah pun menjadi orang yang berjaya, sebab memilih cara hidup orang-orang yang berjaya.
Success is not a destination. It's a journey!
Alhamdulillah sesi makan tengah hari sungguh meriah.
Seperti biasa, saya tidak menyertai makanan yang disediakan. Namun setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada pihak penganjur kerana sudi membantu diet saya dengan menyediakan makanan yang sesuai. Sesuatu yang mudah, namun boleh menjadi susah andai bukan bertitik tolak dari ukhuwwah. Sepotong dada ayam tanpa lemak dan kulit, dibakar dengan sedikit rempah. Saya menikmatinya bersama salad kosong dan air mineral. Alhamdulillah.
Di sebelah petang, kami menyambung sedikit lagi perbincangan berkenaan Rancang dan Menang.
Semuanya disimpulkan dengan Solat sebagai Talian Hayat.
[image error]
Keletihan dan teringat Nasi Mandi Kambing malam tadi yang berjaya dihindar
Sebenarnya sudah agak lama saya tidak mengendalikan program seperti ini di dalam Bahasa Inggeris. Namun disebabkan oleh keadaan anak-anak ini yang berfikir di dalam Bahasa Inggeris, maka menyampaikan pengisian di dalam bahasa fikiran mereka adalah tuntutan yang perlu saya ambil sebagai tanggungjawab. Syukur Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
Unik sekali, di awal program, anak-anak yang menjadi peserta program ini meminta kepada pihak penganjur agar mengeluarkan ibu bapa daripada program mereka. Saya ketawa dan dengan sukacitanya menyetujui saranan tersebut. Terpaksalah ibu bapa beredar walaupun ada barangkali yang 'mencuri-curi' dengar di sebalik dinding.
Keseluruhan program ini adalah subjek Tasawwur Islam.
Ia membantu anak-anak ini untuk melihat rupa Islam, menggunakan Islam sebagai asas memaju serta mencemerlangkan diri, seterusnya berbangga menjadi seorang Muslim… biar pun bersekolah di International School dan hidup di lingkungan antarabangsa Dubai.
Biar pun mereka bersekolah di International School dengan dikelilingi oleh guru, kawan-kawan dan budaya yang berbeza daripada apa yang lazim ditakrifkan sebagai Islam, namun saya berasa agak cemburu dengan 'keselamatan spiritual' yang mereka nikmati. Biar pun sibuk bekerja, ramai ibu bapa yang mempunyai ruang masa yang lebih bersama anak-anak mereka dek sistem kerja yang baik di Dubai.
Pemerintah UAE juga bertegas dalam mengenakan sekatan ke atas halaman-halaman web pornografi, judi dan 100 kategori yang lain. Semua ini banyak memberikan ruang menarik nafas lega di kalangan anak-anak, khususnya ibu bapa, berbanding cabaran luar biasa yang sedang menguji kita di tanah air.
Selamat maju jaya anak-anak semua.
Maafkan kekurangan kami sebagai ibu bapa, moga dengan kasih sayang kami, apa yang kalian kenang nanti adalah sebuah kesungguhan.
Sesungguhnya kami tidak pernah mengalah!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Related posts:Misi Masa Depan Negeri Kelantan
Bayangan Masa Depan
Misi Jelajah Dubai Melabuhkan Tirai
April 2, 2011
Misi Jelajah Dubai Melabuhkan Tirai
[image error]
Alhamdulillah.
Jerayawara di Dubai sudah pun selesai dengan baik.
Program bermula semenjak Khamis sehingga ke petang Sabtu, dengan pelbagai sesi santai dan formal, kesemuanya menjurus kepada satu kata kunci iaitu CHALLENGE & RESPONSE.
Mengenal pasti cabaran.
Mengenal pasti tidak balas yakni tindakan terhadap cabaran itu.
Program keibubapaan, program keluarga, dan program anak remaja.
Terima kasih kepada MY-UAE atas usaha murni ini juga hospitaliti yang cukup bermakna, semoga semua usaha dihitung Allah sebagai ibadah yang diterima di sisi-Nya. Tidak dilupakan para ibu bapa yang datang sejauh Abu Dhabi, dan teristimewa adik-adik dan anak-anak yang ceria di sepanjang program bersama.
[image error]
Semoga manfaat program ini berterusan, mudaratnya dihapuskan, dan kenangannya dikekalkan dalam semangat persaudaraan, ameen.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Deira, Dubai, UAE
Related posts:Misi Dubai
Jerayawara Dubai Dan Jihad 500 Kalori Sehari
PERMAI'08 Melabuhkan Tirai
Program di Dubai Melabuhkan Tirai
Alhamdulillah.
Jerayawara di Dubai sudah pun selesai dengan baik.
Program bermula semenjak Khamis sehingga ke petang Sabtu, dengan pelbagai sesi santai dan formal, kesemuanya menjurus kepada satu kata kunci iaitu CHALLENGE & RESPONSE.
Mengenal pasti cabaran.
Mengenal pasti tidak balas yakni tindakan terhadap cabaran itu.
Program keibubapaan, program keluarga, dan program anak remaja.
Terima kasih kepada MY-UAE atas usaha murni ini juga hospitaliti yang cukup bermakna, semoga semua usaha dihitung Allah sebagai ibadah yang diterima di sisi-Nya. Tidak dilupakan para ibu bapa yang datang sejauh Abu Dhabi, dan teristimewa adik-adik dan anak-anak yang ceria di sepanjang program bersama.
Semoga manfaat program ini berterusan, mudaratnya dihapuskan, dan kenangannya dikekalkan dalam semangat persaudaraan, ameen.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Deira, Dubai, UAE
Related posts:PERMAI'08 Melabuhkan Tirai
Jerayawara Dubai Dan Jihad 500 Kalori Sehari
Misi Dubai
March 30, 2011
Jerayawara Dubai Dan Jihad 500 Kalori Sehari
[image error]
Alhamdulillah.
Perjalanan ke Dubai berlangsung dengan baik.
Pesawat Emirates yang saya naiki agak lengang. Berpeluang tidur berlunjur di kelas Ekonomi.
Saya berada di Dubai kali ini atas jemputan MY-UAE untuk mengadakan beberapa buah program mencakupi keibubapaan dan motivasi remaja. Ini merupakan kunjungan kedua saya ke Dubai selepas kali pertama berprogram pada tahun 2008.
Seperti biasa, cabaran besarnya adalah pada menyesuaikan keberadaan saya di Dubai dengan regim diet 500 kalori sehari yang sedang saya jalani. Penerbangan Emirates yang terkenal dengan makanannya yang lazat, saya terima sebagai satu proses Tarbiyyah untuk belajar meningkatkan kuasa Self Control. Sama seperti kejadian siang tadi. Semasa membuat lawatan mingguan saya ke klinik di Kelana Jaya, doktor memberitahu saya ada hidangan di Restoran Tarbush yang boleh dijamah asalkan portion yang dihidangkan itu hanya dimakan 3/4 daripadanya agar tidak melebihi had 100 gram sehari. Saya membelinya dalam perjalanan balik ke rumah. Tetapi melihat kepada kilauan kesan bakaran, saya pula yang hilang keberanian menjamahnya. Maka rezeki isteri dan anak-anaklah nampaknya kali ini.
[image error]
Memulangkan 'sebahagian besar' hidangan kepada tuan rumah
Di dalam pesawat, saya hanya menjamah salad bersama cebisan isi ayam yang dihidangkan sebagai appetizer. Manakala hidangan utama, saya mengambil isi ikan yang dibuang krimnya. Teh kosong bersama air mineral diminum sebanyak-banyaknya, dan itu sudah cukup untuk keperluan diri. Makan untuk tujuan dan keperluan, bukan kemahuan atau kemampuan. Semua itu adalah kelangsungan daripada seminggu tanpa nasi, roti atau sebarang karbohidrat, juga tanpa gula, sepenuhnya.
Supaya tidak 'terlapar', segeralah lelapkan mata. Subhanallah semenjak mengikut program diet ini, memang mata saya akan segera mengantuk menjelang Isyak.
Semoga program berjalan lancar dan komuniti di Dubai mendapat manfaat daripadanya. Ada permintaan agar program kali ini dikendalikan di dalam Bahasa Inggeris. Saya sedang mempertimbangkannya.
Berbeza daripada kunjungan tahun 2008, kali ini saya tidak berpeluang untuk ke Doha di Qatar kerana sahabat-sahabat di sana majoritinya pergi ke Tanah Suci mengerjakan Umrah. Dengar khabar, 4 bas berombongan ke sana. Semoga selamat pergi dan balik dengan umrah yang diterima sempurna di sisi Allah.
[image error]
Buat isteri dan anak-anak di rumah, kudoakan agar semuanya selamat sejahtera di dalam pemeliharaan Allah. Di pandangan Allah, kadang-kadang terasa keluarga meminjamkan diriku kepada umat, ada kalanya terasa umat meminjamkan diriku kepada keluarga. Semuanya berkaitan dengan tugasan, pada kehidupan dunia yang sungguh sementara ini.
Salam kasih sayang dari bumi Imaraat, Dubai.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Mirdif, Dubai UAE
Related posts:Misi Dubai
Sehari Yang Sebegini
Pulang Dengan Debu Seribu Makna
March 29, 2011
Diari si (Budak) Gemuk
[image error]
"Ooi badak!" kawan saya memanggil.
Tersengih.
Badak pun, badaklah. Itu satu sahaja yang dia boleh kalahkan saya. Saya badak, dia tidak badak.
Saya mula sedar yang badan saya menjadi semakin montel adalah selepas berkhatan. Maka di sepanjang kehidupan sekolah rendah, memang saya sudah dikenali sebagai 'budak gemuk'. Bagi yang molek sedikit sebutannya, memanggil saya dengan 'budak montel'. Semenjak kecil, saya sudah mentakrifkan diri saya sebagai si budak gemuk.
[image error]
Semasa melangkah kaki ke sekolah menengah, saya memulakan perjalanan sebagai budak gemuk.
Budak gemuk yang tidak pandai bermain bola, dipaksa menjadi goalkeeper pasukannya, berakhir dengan tiang gol saya bagi tiada penjaganya. Bola masuk entah berapa biji, angkara si budak gemuk itu. Pengalaman itu melekat di kepala bagai selama-lamanya.
Mungkin makanan di asrama sekolah menengah banyak membantu saya mengatasi hal ini. Sentiasa tidak berselera untuk makan, dan aktif dengan pelbagai aktiviti, saya semakin kurus dan meninggi. Tetapi dari semasa ke semasa, saya sering marah dengan butang seluar atau peha yang ketat. Masih merasakan diri gemuk, tambahan pula dengan berat badan yang tinggi berbanding kawan yang lain. Baru berusia 17 tahun dan 'kurus kering', berat saya 76kg.
[image error]
DI NEGARA ARAB
"Ayam ke daging?" tanya kawan.
"Macam biasa le. Ayam!" jawab kami.
Berada di Jordan, seperti kebanyakan pelajar Malaysia di luar negara, lauknya hampir setiap hari adalah ayam. Ayam, ayam, ayam dan ayam.
Sesekali kalau ada duit lebih, beli daging.
Sesekali rindukan Malaysia, berusaha beli ikan.
Cuaca sejuk, setiap hari masak sendiri. Makannya kalau di luar bermenukan Maqlubah, Nasi Mandi, Syawarma dan Ayam Masywi, rata-rata kami yang menuntut di negara Arab naik berisi. Jadi montel. Selera Arab!
"Teruk Imam tu kena tadi" kata seorang sahabat.
"Kenapa?" saya tertanya.
"Dia berceramah tentang zuhud, jangan tertipu dengan dunia dan macam-macam lagi, tetapi badannya gemuk perutnya boroi. Kena hentamlah dengan jemaahnya sendiri" cerita beliau.
Kasihan… terkasima saya mendengar kisah sahabat itu yang pulang dari mendengar ceramah di sebuah masjid di Amman. Orang Arab memang begitu. Berterus terang. Khatib pun boleh disanggah semasa berkhutbah di atas mimbar.
Namun entahlah, dialog itu amat melukakan hati saya. Sangat melukakan…
[image error]
Tetapi kegemukan di kalangan pelajar Malaysia jarang diperkatakan kerana sentiasa boleh disembunyikan. Hidup di sebuah negara yang cuacanya sejuk, saya sendiri jarang berbaju selapis. Sentiasa ada jaket yang disarung. Jaket itulah yang menyembunyikan perubahan fizikal. Saiz seluar yang bertambah satu ke satu, ada sahaja saiz Arab yang boleh dibeli. Selama berada di Jordan, pertambahan berat badan berlaku sedikit demi sedikit.
Badak.
Debab.
Semua itu jadi bahan usikan harian. Nostalgia sekolah rendah dahulu datang semula.
"Allah membenci Qari (pembaca al-Quran) yang gemuk!" tersentak saya membaca hadith ini semasa mengaji subjek Mustalahaat al-Hadeeth.
Oh, hadith palsu rupanya.
Saya lega.
Terlupa bahawa hadith itu palsu, tetapi kegemukan saya masih sebuah realiti.
DI NEGARA ORANG PUTIH
Saya sentiasa melihat diri saya sebagai seorang yang gemuk.
Tidak pernah membayangkan gemuk semasa gemuk itu adalah kurus berbanding gemuk yang akan datang.
[image error]
Namun setiap hari saya sedar yang saya semakin mula mengubah suai penampilan diri akibat kegemukan. Suka berpakaian gelap, berpakaian dua lapis, semua itu adalah untuk menyembunyikan sebuah kegemukan. Terasa diri gemuk, dan dalam senda gurau diberitahu oleh kawan bahawa saya gemuk.
Di Ireland, semasa bertugas menjadi Imam, sedikit sebanyak tubuh badan saya yang agak besar ketika itu membantu menonjolkan diri sebagai pemimpin pada usia yang muda. Jika saya bertubuh kecil, berwajah kanak-kanak, sukar juga mahu menjabat tangan pengantin untuk dinikahkan. Berkhutbah, berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat, bertubuh besar (gemuk) serba sedikit membantu!
Oh, itu kepercayaannya.
Segalanya teruji apabila saya mahu berumahtangga.
Saya yang selama ini sentiasa menyembunyikan tubuh di balik dua tiga lapis baju, bakal berumahtangga, dan buat pertama kalinya menjadi risau dengan kegemukan diri.
Tatkala runsing dengan pelbagai cabaran menjelang perkahwinan, saya makan ini dan makan itu untuk mengurangkan kegemukan. Ada krim yang diiklankan di TV, khabarnya boleh mengurangkan seinci dua kegemukan jika rajin diguna. Saya beli.
Dengan berat badan 100kg, saya mendirikan rumahtangga.
Pengantin yang gemuk.
[image error]
Gemukkah saya?
Entahlah.
Apa yang pasti, saya melihat diri saya sebagai seorang yang gemuk.
Namun kehidupan beberapa tahun pertama perkahwinan adalah di luar negara. Jarang makan luar, semua masak sendiri, maka segalanya masih dalam suasana yang sihat.
"Best betul kalau dapat pergi pasar malam, kan? Boleh beli kuetiaw kerang, favourite abang tu!" saya mengomel dengan isteri.
Rindukan kampung halaman. 11 tahun hidup di perantauan.
DI MALAYSIA
Malaysia disebut Syurga Makanan.
Apa yang tiada? Semua ada.
Rindu masakan Arab, jom ke Rausyah, jom ke Hadramaut, jom ke Saba'.
Rindu masakan Eropah, spaghetti dan pizza ada di mana-mana.
Selain daripada apa yang dimasak di rumah, corak hidup di Malaysia semakin memburukkan keadaan. Makanan di luar yang macam-macam, dan menjadi pendakwah serta penceramah, hampir setiap hari saya diberi penghargaan dengan diberi makan. Makan, makan,makan dan makan.
Maghrib tidak sempat makan, segera ke tempat ceramah, habis ceramah sudah jam 11 malam kadangkala 12 malam, kemudiannya pasti disusuli dengan jamuan ringan. Siapa yang nak mengubahnya? Ia memang protokol tetap semua majlis. Habis ceramah, jamuan. Sebelum ceramah tadi pun, minum-minum bertemankan karipap.
Gemuk.
Makin gemuk.
Benar-benar gemuk.
Saya mula mengalami kemurungan akibat kegemukan.
Malah ia menjadi faktor utama semasa kemurungan itu saya enggan meneruskan kerja di Institut Jantung Negara. Malu dengan diri sendiri. Melihat diri sendiri sebagai calon pesakit.
Pelbagai supplement dicuba, tidak berhasil. Bersenam, susah sekali. Harapkan tangga stesyen LRT sahajalah pemaksa. Namun ia jauh sekali untuk berfungsi sebagai senaman. Hanya tekanan, berkejar-kejaran dan hiruk pikuk di celah manusia yang bagai lautan.
Masuk ke usia 30′an, fisiologi kita juga mula mengalami perubahan. Berbeza sekali dengan usia 20′an. Jenis dan jumlah makanan, keadaan kerja, cara hidup, semuanya memburukkan lagi keadaan. Membeli baju siap pakai sudah lama ditinggalkan. Kebanyakannya mesti ditempah. Dengan kemampuan kewangan yang meningkat sedikit berbanding zaman belajar, boleh pula mencari pakaian di Ebay. Membeli seluar atau baju besar dari negara orang besar-besar.
DENIAL SYNDROM
Kekesalan datang berkali-kali.
Tetapi tidak cukup kekuatan untuk bertahan.
Pada usia 34 tahun, saya sudah mengalami metabolic syndrom. Seboleh-bolehnya pemeriksaan darah jangan terlalu terpeinci. Berpuasa semenjak jam 9 malam, dengan harapan pemeriksaan darah jam 9 pagi esok bagus. Keputusan 'normal' penting untuk memberitahu diri yang semuanya 'normal'. Walhal setiap inci tubuh sedar, ia jauh dari normal. Jika dahulu boleh berceramah 16 slot panjang-panjang dalam tempoh lima atau enam hari, kini tiga slot sehari sudah bagai hampir terputus nyawa.
Sedar yang segalanya tidak normal, tetapi perlu hidup dalam penafian (denial syndrome) kerana jika mengaku tidak normal, tiada banyak perubahan yang boleh dibuat untuk menormalkan kembali kehidupan.
"Di Malaysia ini, makanannya seperti syurga. Senaman jauh sekali. Hari-hari stress dengan kesesakan jalan raya. Politik pula macam sial. Kombinasi semuanya memang mengundang maut!" saya merungut di Facebook.
Akhirnya saya secara rasmi menjadi pesakit diabetik.
Setelah diet tidak berjaya, saya diarahkan oleh doktor agar memulakan pengambilan ubat.
Setahun lebih, setiap hari saya perlu menelan Metformin serta mengurangkan pengambilan gula. Kurang? Kurang banyak makan? Usahkan gula yang di dalam minuman, di dalam makanan pun banyak gula, ikan bakar yang sepatutnya sihat pun rempah atau sosnya berisi gula. Gula di sana- sini. Syukur Alhamdulillah saya tidak merokok, sedikit sebanyak ia tidak drastik memburukkan kesihatan dir.
BANGKIT DARIPADA KEKECEWAAN
[image error]
Isteri saya seorang doktor.
Suaminya gemuk.
Ustaz pula tu (seperti ramai ustaz dan ustazah lain yang juga gemuk).
Entah apa yang difikirkannya. Entah apa kesan kegemukan saya kepada psikologi beliau.
Namun saya sendiri mencipta bayangan bahawa semakin saya gemuk, semakin rendah kepercayaan isteri saya bahawa saya boleh berubah.
Di usia 35 tahun, kami mula bercakap tentang takaful, segera membeli rumah, wasiat dan tema-tema yang sepertinya adalah persiapan untuk sebuah kematian.
Mahu mati?
Mahu jandakan isteri yang dicintai?
Mahu yatimkan anak-anak yang dikasihi?
Kalau mati gempa bumi, letupan gunung berapi, ribut taufan atau banjir, tidak mengapa. Ia mengorbankan si gemuk atau si kurus.
Kalau mati kereta dilanggar pemandu gila yang lain, tidak mengapa. Bukan salah kita.
Tetapi kalau mati kerana diri sendiri memandu tidak berhemah, saya yakin kepada derita yang menanti pada kehidupan di kubur dan di Sana nanti. Demikian juga jika mati kerana penyakit-penyakit yang berpunca daripada SESUATU YANG SAYA BOLEH UBAH.
Saya mahu mengembalikan rasa hormat saya kepada diri saya sendiri. Saya yakin walaupun dalam sebulan saya mungkin mempunyai 20 majikan yang berbeza, 20 tukang masak yang berbeza, yang kesemuanya menguasai diri saya, kunci perubahannya masih di tangan saya sendiri.
"Tiada cara lain. Insulin sudah merosot. Kena kurangkan berat badan!" kata doktor di Jabatan Endokrinologi sambil memegang lengan saya, yang mungkin sebesar peha beliau.
Muka saya kelat.
Just do it!
Dengan lafaz Bismillah, saya memulakan program penurunan berat badan ini. Diet 500 kalori sehari, pembetulan hormon, senaman, pembetulan cara tidur, semuanya dihimpun di dalam sebuah regim dengan bantuan seorang doktor. Seluruh kehidupan saya 'dibentuk semula'. Ia sebuah revolusi. Namun masih semulajadi, dan santun kepada diri, agar kegemukan yang berpunca daripada melanggar Sunnatullah, tidak dibetulkan juga dengan cara yang melanggar Sunnatullah.
Saya mahu menutup diari si (budak) gemuk.
Sebelum diari itu tutup dan tidak buka-buka lagi… oleh sebuah kesedihan yang kekal abadi.
Kegemukan adalah penyakit.
Salah makan adalah maksiat.
Mendurhakai Sunnatullah.
Mengurangkan berat badan adalah sebuah Taubat. Memberhentikan hidup dalam penafian. Kembali kepada sebuah kejujuran.
Jujur dengan diri sendiri.
Wallahu al-Musta'aan…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Related posts:Aku Mampu Mengubahnya
PERISTIWA MERDEKA 2007
'Tentang Bulan' Yang Mengecewakan
March 28, 2011
Nota Pengenalan Kuliah Ibrah Daripada Kisah Luqman di Dalam al-Quran
[image error]
Sama seperti banyak watak lain di dalam al-Quran, Luqman yang disebut di dalam Surah 31 yakni Surah Luqman ayat 12 – 19, dikelilingi oleh pelbagai maklumat yang masyhur, tetapi tidak bersumber daripada sumber yang muktamad kesahihannya. Sebahagiannya kedapatan di dalam petikan-petikan yang dimuatkan oleh Mufassirin di dalam kitab Tafsir mereka, manakala sebahagian yang lain terdapat di dalam naskhah kitab turath keilmuan Islam.
Sheikh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf menghimpunkan maklumat-maklumat ini secara terpeinci di dalam kitabnya Luqman al-Hakim.
Walaupun sesetengah riwayat tersebut disebut oleh para sahabat, namun amat sedikit yang diangkat nisbahnya kepada Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam. Sama seperti perbahasan kita tentang Yusuf alayhi al-Salaam, Ashaab al-Kahf dan Dzulqarnain, kita mengambil pendirian mendiamkan diri, tidak mengiya, tidak juga menafikannya (التوقف).
Memandangkan kisah Luqman adalah perkara ghaib (kisah silam) yang mustahil kita tahu kecuali diberitahu, maka kita hanya berpegang kepada apa yang diberitahu oleh Allah di dalam al-Quran, serta tambahan maklumat yang disebut secara sahih oleh Baginda Rasulullah SAW.
Bertolak ansur dalam disiplin ini telah banyak mengakibatkan 'kecederaan' kepada kefahaman kita, malah mengheret kita tersasar jauh daripada tumpuan sebenar al-Quran semasa menceritakan tentang satu-satu kisah di dalamnya. Kesibukan mencari maklumat tentang siapakah Dzulqarnain, melarikan kita daripada menghalusi kalimah-kalimah al-Quran pada memperincikan Dzulqarnain sebagai contoh pemimpin bertaqwa yang mengurus tadbir dengan worldview, mindset serta sistem nilai berteraskan Aqidah, sebagai mesej utamanya. Malah kita juga boleh menghabiskan banyak masa memperincikan Yakjuj Makjuj sehingga terlupa bahawa subjek utama adalah Dzulqarnain. Bukan tembok, bukan kaum berbahasa majhul dan bukan siapa Yakjuj Makjuj.
Bertolak ansur dalam disiplin ini, menyebabkan kita alpa dengan kisah Yusuf 'alayhi al-Salaam bersama Zulaikha, yang tidak pernah disebut oleh mana-mana nas bahawa mereka itu berkahwin, hingga kita melihat kisah Yusuf sebagai kisah cinta, walhal ia adalah sebuah kisah perjuangan yang penuh dengan ibrah penting untuk kehidupan.
Bertolak ansur dalam disiplin ini juga menyebabkan kisah kezuhudan Abu Ubaidah yang saya nukilkan di dalam kuliah Maghrib tadi, mencederakan peribadi Umar al-Khattab radhiyallahu anhum, ketika mana Umar itu adalah Amir al-Mukminin.
Di situlah pentingnya kita komited kepada peraturan, iaitu kita tidak tahu kecuali diberitahu. Tiada yang bisa memberitahu, kecuali Allah, 'Aalim al-Ghaib wa al-Syahaadah.
Maka berkaitan dengan kisah Luqman, ada lima kekaburan yang tidak diperjelaskan oleh mana-mana nas yang sahih, justeru hendaklah ia dibiarkan begitu sahaja, dan kita sama-sama memberikan tumpuan kepada subjek utama kisah Luqman menurut al-Quran.
Kekaburan (المبهمات) itu ialah:
Apakah asal usul Luqman? Nasabnya, keturunannya, bangsanya sama ada Habsyi, Arab, Bani Israel atau 'Ajam, Qabilah mana dan tanah air asal usulnya.
Zaman kehidupannya. Adakah sezaman Nabi Hud dan Kaum 'Aad, adalah sezaman dengan Nabi Daud atau bagaimana?
Nama anaknya yang diberi nasihat, umurnya, adakah dia menerima nasihat itu atau menolaknya?
Bagaimanakah kesudahan hidup Luqman? Matinya pada usia berapa? Di mana dan bagaimana?
Adakah Luqman itu seorang Nabi atau bukan?
Kesemua perbahasan tentang hal-hal yang lima di atas, adalah membahaskan tentang sesuatu yang didiamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'aala. Ibrah penting yang mahu dipetik daripada kisah Luqman, hakikatnya tidak berhajatkan kepada perincian terhadap persoalan-persoalan yang lima itu tadi.
Apa yang ingin kita tumpukan hanyalah dua subjek utama berikut iaitu:
Luqman sebagai bapa. Bagaimanakah beliau memberi nasihat kepada anaknya, daripada segi teknik (modul). Semua ini merupakan asas-asas kebapaan yang penting kerana bapa memikul tugas Fiqh al-Taurith kepada anak-anak. Yakni tanggungjawab memindahkan pegangan, pandangan hidup, nilai dan panduan hidup kepada anak-anak. Teknik Luqman mencakupi penggunaan elemen zikir, dan fikir.
Mesej-mesej yang terkandung di dalam nasihat Luqman itu sendiri. Bermula daripada Aqidah, kemudian Ibadah, dan juga Akhlaq.
Bersambung, Insya Allah.
P/S: Kuliah hanya sekitar 25 minit. Saya terperangkap di dalam kesesakan jalanraya selama hampir dua jam. Wallahu al-Musta'aan.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Related posts:Kuliah Ibrah Daripada Surah al-Kahfi Melabuhkan Tirainya
Tsunami: Teladan al-Quran Daripada Kisah Nuh 'alayhi al-Salaam
Dzulqarnain (i): Memperincikan Biodatanya Bukan Kehendak al-Quran
March 27, 2011
Berpantang Demi Nafas Dakwah Yang Panjang
[image error]
"Mampukah?"
"Bolehkah?"
"Tahankah?"
Pelbagai persoalan timbul mengiringi pagi Jumaat lalu.
Setelah menyelesaikan STAGE 1 pada hari Rabu dan Khamis, Jumaat merupakan hari pertama kepada STAGE 2 saya dalam proses untuk mengurangkan berat badan. Selama 40 hari, saya akan mengikuti program Very Low Calorie Diet (VLOE) dengan pengambilan kalori tidak melebih 500 unit sehari. Tiada nasi, tiada roti, tiada susu, tiada gula. Ia seperti sebuah misi mustahil.
JUMAAT
[image error]
Japanese Green Tea (Ocha)
Saya bersarapan pagi dengan hanya sebiji buah jambu bersama Japanese Green Tea. Selepas solat Jumaat, saya membuang tabiat membeli air buah atau cendol bagi menghilangkan dahaga. Hanya sebotol air mineral sebagai penyembuh.
Di sebelah tengah hari, saya membakar 100 gram potongan dada ayam bersama sedikit garam dan lada hitam, juga sedikit asparagus. Sekali lagi makanan ini ditemani oleh Japanese Green Tea. Alhamdulillah, untuk hari itu, saya berasa cukup dan lega dengan apa yang dijamah.
[image error]
Namun kerisauan besar saya ialah apabila berada di luar rumah.
Sebelum Maghrib, saya bergegas menuju ke KLIA untuk ke Pulau Pinang. Dari sana, saya akan bergerak ke Baling, Kedah untuk berprogram bersama pelajar-pelajar di daerah Baling di dalam sebuah program anjuran JKUK Pertubuhan Kebajikan al-Nidaa' Malaysia. Kelam kabut berurusan, saya terlupa untuk membawa sebiji epal. Di KLIA, tiada sebarang makanan yang sesuai untuk dijamah, maka saya hanya meneguk air mineral sebagai bekal.
Tiba di Baling lewat jam 12 malam, saya segera melelapkan mata keletihan.
SABTU
Awal pagi, saya hanya bersarapan dengan dua cawan teh tanpa gula dan beberapa potong buah.
"Mampukah aku berceramah dan mengendalikan 7 jam sesi bersama pelajar dengan makan sebegini?" terdetik juga resah di hati.
Namun saya sudah sedia membawa mesin untuk memeriksa kandungan gula di dalam darah, sebagai langkah berjaga-jaga bimbang saya mengalami hypoglycemia.
Tepat jam 9 program bermula. Saya mengendalikan sesi motivasi kecemerlangan hidup bersama pelajar-pelajar daripada Sek Men Agama (Arab) Diniah Islamiah, Sek Men Agama (Arab) Yayasan Khairiah, Sek Men Agama An-Najjah dan Maktab Mahmud Baling.Alhamdulillah, para pelajar di dalam program kali ini aktif berpatisipasi dan ia kuat memberikan semangat kepada saya untuk terus mengendalikan program.
Topik pertama mengambil masa 3 jam untuk disempurnakan antara pengisian dan aktiviti. Ia membicarakan soal PERCAYA untuk BERJAYA. Biar pun saya bercakap memberikan inspirasi kepada adik-adik peserta, namun ia banyak ditujukan ke minda dan hati saya sendiri yang sedang bermujahadah. "You are what you believe" mesti seiringan dengan "you are what you eat"!
Seperti biasa, untuk mengawal dan mengendalikan diri sendiri, saya boleh berusaha dengan izin-Nya. Namun cabaran sebagai seorang ustaz atau penceramah adalah makanan yang disediakan oleh pihak penganjur di dalam program.
Saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja JKUK an-Nidaa' kerana memberikan sokongan padu kepada usaha saya di dalam diet ini. Mereka berpakat dengan pihak katering agar ada serba sedikit makanan yang disediakan sesuai dengan peraturan ketat VLCD saya.
"Allah, bolehkah ustaz? Ikan bawal bakar, tetapi ada rempah dan sambal-sambalnya?" tanya salah seorang AJK.
"Khair Insya Allah" saya tersenyum.
Memang sukar bagi sesiapa sahaja di pihak tuan rumah mahu membayangkan memasak ikan yang dibakar kosong tanpa sebarang rencah. Saya mengambil inisiatif membuang seluruh kulit ikan dan hanya menjamah isi separuh ikan tersebut, bersama 3 keping timun. Air suam menjadi pembasah tekak. Selebihnya, saya berikan ia kepada AJK sebagai bahagian untuk mereka makan, yang mudah-mudahan tidak berjangkit hilang selera kerana melihat saya.
Syukur Alhamdulillah, biar pun penat, penatnya tidaklah berbeza banyak daripada kepenatan saya di dalam program-program lain sebelum ini.
[image error]
Sebahagian peserta program yang dirasmikan oleh YB Cikgu Johari Abdullah ini
Usai berprogram, kami bertolak ke Lapangan Terbang Pulau Pinang. AJK merancang untuk singgah makan nasi kandar, saya seperti biasa hanya boleh tersenyum dan berkata, "saya dalam pantang!"
Tiba di Lapangan Terbang, saya menjamah sedikit ayam bakar Kenny Rogers yang dibuang semua lemak dan kulit, dan dihidangkan tanpa gravy. Salad dimakan bersama tanpa dressing dan secawan kopi jadi peneman. Tidak dinafikan, semasa di dalam pesawat yang berasa amat letih, namun badan terasa lebih 'segar' dan 'sihat'.
Saya tiba di rumah hampir jam 12 malam. Seteguk air diminum dan saya tidur tanpa bertangguh.
AHAD
Pagi ini, saya bersarapan dengan buah jambu bersama secawan Japanese Green Tea.
Ia satu mujahadah fikiran yang besar. Saya jarang mendapat peluang bercuti pada hari Ahad bersama keluarga. Sering kelapangan yang ada akan diisi dengan aktiviti bersarapan pagi atau makan tengah hari bersama. Namun kali ini, saya perlu menguatkan semangat dan mendapatkan sokongan keluarga untuk berpantang, hanya untuk 40 hari di bawah program VLCD ini.
Sudah tentu, ia bukan hanya bergantung kepada diet.
Saya juga diberikan oleh pihak doktor beberapa supplement untuk memperbaiki hormon di dalam diri. Program ini dibuat secara customised berdasarkan keputusan terpeinci pemeriksaan darah yang saya lakukan.
Setiap hari juga, untuk peringkat awal ini, saya perlu melaksanakan program senaman ringkas tetapi bertumpu, The Plank Exercise. Ia sesuai dengan tahap stamina saya pada masa ini, boleh dilakukan di rumah dan membakar banyak kalori di samping menguatkan otot-otot utama.
Manakala di sebelah tengah hari, saya menjamah 100g isi ikan merah yang dimasak bersama rempah kari dengan sedikit sayuran. Ia tidak begitu menyelerakan, dan saya berazam untuk tidak lagi mengkarikan isi ikan, sebaliknya menukar ia kepada sup yang lebih ringan, Insya Allah.
"Jom keluar, barang dapur semua sudah habis," ajak isteri saya.
"Ada nak makan di luar ke?" saya bertanya.
"Kita cari yang sesuai. Macam doktor sebutkan tempoh hari, kita cuba di Subway" cadang isteri saya.
Kini, makan tidak boleh lagi secara ikut dan, sebaliknya mesti dirancang dengan teliti.
[image error]
Roasted Chicken Salad di Subway (tanpa dressing)
Di Subway, saya menjamah roasted chicken salad, iaitu sayur-sayuran bersama sekeping isi ayam yang dibakar ringan. Alhamdulillah, tidaklah sesedap mana, namun cukup membekalkan tenaga yang diperlukan. Saya perlu mengekalkan tahap pengambilan kalori yang rendah supaya hCG berperanan memberikan arahan kepada tubuh agar memecahkan lemak-lemak lama yang tersimpan sebagai bekalan tenaga.
Hari ini, badan terasa sedap.
Mujahadahnya tidak mudah. Bohonglah kalau saya katakan saya melakukannya dengan mudah. Namun, ia adalah satu perjuangan untuk saya memulihkan kepercayaan bahawa saya berada di tahap yang optimum pada menentukan apa yang baik dan apa yang buruk pada diri, berhenti memberikan alasan, dan menghayati sepenuhnya prinsip BEGIN WITH THE IN MIND.
[image error]
Jamuan oh jamuan! (Foto ihsan Cempaka Islamic Association)
Andaikata saya berjaya, mudah-mudahan ia boleh menjadi satu kempen kesedaran untuk para pendakwah bersungguh 'menyelamatkan' diri mereka, dan menyuntik kesedaran juga kepada penganjur agar berhenti membunuh pendakwah atau penceramah 'kesayangan' mereka.
Menimbang berat badan hari ini, Alhamdulillah saya sudah kehilangan 4 kilogram. Jumlah itu kecil daripada jumlah akhir yang mahu dicapai, namun ia adalah suatu permulaan yang baik.
Saya berdiri lama di hadapan cermin. Melihat dengan mata mencari bahagian mana yang sudah berkurang.
Saya tidak bertemu apa-apa.
Saya terus berdiri lama di hadapan cermin. Melihat dengan hati, barulah ternampak, dosa 'makan banyak' sudah berkurang.
Rabu ini Insya Allah saya akan ke Dubai, UAE untuk berprogram di sana sehingga Ahad. Ia menjadi cabaran mega buat saya…. Allahu!
Kuatkanlah diriku ya Allah, taufiqkanlah usahaku, wahai Tuhan yang Maha Pengasih kepada hamba-Nya.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Related posts:Langkah Satu Yang Itu
Dakwah di Bumi Kenyalang
Nafas Baru: PUISI 2007
March 25, 2011
My Life The Movie: Perjalanan Mencari Sebuah Kedamaian
[image error]
"Mati adalah satu cara yang susah untuk belajar tentang makna sebuah kehidupan" Bob bermonolog sendirian.
Di tengah malam yang sepi, Bob meluahkan isi hatinya kepada Brian yang nyenyak tidur. Anak itu seharusnya mustahil untuk Bob menatap wajahnya, selepas didiagnos dengan kanser buah pinggang.
"Benar kata pakcikmu, Paul. Dalam kebencianku kepada ayah, aku semakin menjadi benar-benar seperti ayah. Atukmu adalah seorang ayah yang baik. Cuma dia sentiasa sibuk bekerja. Tiada di sisi. Engkau tidak akan mengenaliku dan engkau mungkin akan hidup dengan kemarahan sepanjang hayatmu kerana kematianku. Tetapi anakku, engkau tidak mahu hidup begitu…" Bob bertatih melafazkan kata-katanya ketika perjalanannya menghampiri penghujung sebuah ketentuan.
[image error]
MY LIFE (1993) adalah sebuah filem berkenaan Bob Ivanovich, seorang kanak-kanak yang dilahirkan di Detroit, Michigan. Filem bermula pada tahun 1963 apabila Bob yang kuat berangan-angan, berjaya meyakinkan kelasnya bahawa di belakang rumahnya ada pertunjukan sarkis. Tatkala seluruh rakan kelasnya datang, mereka hampa kerana sarkis itu tiada. Ia hanyalah imaginasi Bob.
Seorang anak yang membesar dengan rasa tidak puas hati dengan keluarganya, terutama bapa yang sibuk bekerja, Bob mencipta dunianya sendiri.
Filem itu segera meninggalkan kehidupan kanak-kanak Bob, pantas bergerak 30 tahun ke hadapan, menceritakan kehidupan Bob sebagai seorang konsultan Perhubungan Awam di sebuah firma yang berjaya di California. Bob (lakonan Michael Keaton) juga hidup bahagia mengahwini isterinya, Gail (lakonan Nicole Kidman), yang sedang mengandung anak sulung mereka.
Segala kebahagiaan yang dikecapi teruji apabila Bob yang telah menukar nama keluarganya kepada Bob Jones, didiagnos dengan kanser buah pinggang, yang juga telah merebak hingga ke paru-paru.
Berdasarkan kondisi beliau, doktor menjangkakan masa yang amat sedikit untuk Bob bertahan. Beliau berkemungkinan besar tidak sempat menatap wajah anak yang bakal lahir.
Cuba untuk mengalahkan sebuah kematian, Bob mula merakam pelbagai episod kehidupan sebagai bekalan untuk isteri dan terutamanya anak yang bakal lahir. Beliau mengajar anaknya memasak spaghetti, mencukur muka, memandu dan cara hadir ke temuduga kerja.
Tetapi ada sesuatu yang terbuku di hati Bob. Sesuatu yang tidak dapat dirasakannya, sehinggalah atas pujukan Gail, Bob bersetuju untuk bertemu dengan seorang tabib Cina bernama Mr. Ho. Rawatan yang diberikan oleh Mr. Ho sangat unik. Ia bukanlah rawatan yang bersifat ubatan untuk membunuh kanser tersebut. Tetapi Mr. Ho berusaha membetulkan cara pandangan Bob terhadap dirinya, kehidupannya dan sakit yang dideritainya.
"Berikanlah kemaafan!" pesan Mr. Ho.
Bob tidak pasti, apakah yang hendak dimaafkannya. Walaupun beliau hakikatnya tahu kemarahan di dalam dirinya itu adalah berkenaan masa silamnya bersama keluarga.
Bob dan Gail terbang ke Detroit kerana menghadiri majlis perkahwinan Paul, adiknya. Bob cuba mengambil kesempatan untuk memperbaiki hubungannya dengan keluarga. Beliau berkonfrontasi dengan ibu, ayah, dan adiknya. Mereka juga meluahkan rasa kecewanya kerana seperti kata bapanya, "Bob sentiasa merasakan bahawa keluarga ini tidak cukup bagus untuknya. Sebab itu dia menukar nama keluarga dan 'melarikan diri' ke California".
Usaha damai itu tidak berhasil.
Bob dengan nada yang sedih memberitahu isterinya, "ini adalah kepulangan terakhirku kepada mereka!"
Kecewa dengan kegagalan dirinya berdamai dengan keluarga, Bob berkunjung semula bertemu dengan Mr. Ho.
"Aku tidak menyuruh engkau pergi bertemu keluargamu. Yang kusarankan ialah agar engkau bermusafir ke dalam hatimu. Kenali dirimu. Di situ ada bahagia. Ada kemaafan" nasihat Mr. Ho.
Perjalanan hidup Bob di rentetan akhir kehidupannya sungguh menyayat hati. Pelbagai perkara dilakukannya untuk tidak mati oleh sebuah kematian, dan berusaha memahami makna sebuah kehidupan.
[image error]
Semasa di pembaringan menanti kematian, detik paling memilukan adalah semasa Bill (ayah Bob) membantu beliau bercukur wajah. Seorang ayah dan anak yang sukar untuk meluahkan isi hati masing-masing, namun akhirnya Bob memegang tangan ayahnya dan berkata, "saya sayangkan ayah!"
Detik itulah Bob berjaya bertemu kedamaian, dengan sebuah kemaafan, yang menyerlahkan erti kasih dan sayang.
Sebuah filem yang sangat menyentuh hati.
Semoga Allah Subhanahu wa Ta'aala memberikan kesembuhan dan jiwa pejuang kepada kakak ipar saya yang sedang bertarung menentang Leukemia.
"Cancer is not a sentence. It's just a word!"
[image error]
Biar pun kematian itu pasti, kepastian itu hakikatnya ingin memberitahu, "hargailah sebuah kehidupan!"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Related posts:Love Happens (Movie): Introspeksi Seorang 'Pakar Motivasi'
14 April 2010: Mengimbas Sebuah Perjalanan
Setiap Kerut dan Uban di Perjalanan
MY LIFE THE MOVIE: Perjalanan Mencari Sebuah Kedamaian
[image error]
"Mati adalah satu cara yang susah untuk belajar tentang makna sebuah kehidupan" Bob bermonolog sendirian.
Di tengah malam yang sepi, Bob meluahkan isi hatinya kepada Brian yang nyenyak tidur. Anak itu seharusnya mustahil untuk Bob menatap wajahnya, selepas didiagnos dengan kanser buah pinggang.
"Benar kata pakcikmu, Paul. Dalam kebencianku kepada ayah, aku semakin menjadi benar-benar seperti ayah. Atukmu adalah seorang ayah yang baik. Cuma dia sentiasa sibuk bekerja. Tiada di sisi. Engkau tidak akan mengenaliku dan engkau mungkin akan hidup dengan kemarahan sepanjang hayatmu kerana kematianku. Tetapi anakku, engkau tidak mahu hidup begitu…" Bob bertatih melafazkan kata-katanya ketika perjalanannya menghampiri penghujung sebuah ketentuan.
[image error]
MY LIFE (1993) adalah sebuah filem berkenaan Bob Ivanovich, seorang kanak-kanak yang dilahirkan di Detroit, Michigan. Filem bermula pada tahun 1963 apabila Bob yang kuat berangan-angan, berjaya meyakinkan kelasnya bahawa di belakang rumahnya ada pertunjukan sarkis. Tatkala seluruh rakan kelasnya datang, mereka hampa kerana sarkis itu tiada. Ia hanyalah imaginasi Bob.
Seorang anak yang membesar dengan rasa tidak puas hati dengan keluarganya, terutama bapa yang sibuk bekerja, Bob mencipta dunianya sendiri.
Filem itu segera meninggalkan kehidupan kanak-kanak Bob, pantas bergerak 30 tahun ke hadapan, menceritakan kehidupan Bob sebagai seorang konsultan Perhubungan Awam di sebuah firma yang berjaya di California. Bob (lakonan Michael Keaton) juga hidup bahagia mengahwini isterinya, Gail (lakonan Nicole Kidman), yang sedang mengandung anak sulung mereka.
Segala kebahagiaan yang dikecapi teruji apabila Bob yang telah menukar nama keluarganya kepada Bob Jones, didiagnos dengan kanser buah pinggang, yang juga telah merebak hingga ke paru-paru.
Berdasarkan kondisi beliau, doktor menjangkakan masa yang amat sedikit untuk Bob bertahan. Beliau berkemungkinan besar tidak sempat menatap wajah anak yang bakal lahir.
Cuba untuk mengalahkan sebuah kematian, Bob mula merakam pelbagai episod kehidupan sebagai bekalan untuk isteri dan terutamanya anak yang bakal lahir. Beliau mengajar anaknya memasak spaghetti, mencukur muka, memandu dan cara hadir ke temuduga kerja.
Tetapi ada sesuatu yang terbuku di hati Bob. Sesuatu yang tidak dapat dirasakannya, sehinggalah atas pujukan Gail, Bob bersetuju untuk bertemu dengan seorang tabib Cina bernama Mr. Ho. Rawatan yang diberikan oleh Mr. Ho sangat unik. Ia bukanlah rawatan yang bersifat ubatan untuk membunuh kanser tersebut. Tetapi Mr. Ho berusaha membetulkan cara pandangan Bob terhadap dirinya, kehidupannya dan sakit yang dideritainya.
"Berikanlah kemaafan!" pesan Mr. Ho.
Bob tidak pasti, apakah yang hendak dimaafkannya. Walaupun beliau hakikatnya tahu kemarahan di dalam dirinya itu adalah berkenaan masa silamnya bersama keluarga.
Bob dan Gail terbang ke Detroit kerana menghadiri majlis perkahwinan Paul, adiknya. Bob cuba mengambil kesempatan untuk memperbaiki hubungannya dengan keluarga. Beliau berkonfrontasi dengan ibu, ayah, dan adiknya. Mereka juga meluahkan rasa kecewanya kerana seperti kata bapanya, "Bob sentiasa merasakan bahawa keluarga ini tidak cukup bagus untuknya. Sebab itu dia menukar nama keluarga dan 'melarikan diri' ke California".
Usaha damai itu tidak berhasil.
Bob dengan nada yang sedih memberitahu isterinya, "ini adalah kepulangan terakhirku kepada mereka!"
Kecewa dengan kegagalan dirinya berdamai dengan keluarga, Bob berkunjung semula bertemu dengan Mr. Ho.
"Aku tidak menyuruh engkau pergi bertemu keluargamu. Yang kusarankan ialah agar engkau bermusafir ke dalam hatimu. Kenali dirimu. Di situ ada bahagia. Ada kemaafan" nasihat Mr. Ho.
Perjalanan hidup Bob di rentetan akhir kehidupannya sungguh menyayat hati. Pelbagai perkara dilakukannya untuk tidak mati oleh sebuah kematian, dan berusaha memahami makna sebuah kehidupan.
Semasa di pembaringan menanti kematian, detik paling memilukan adalah semasa Bill (ayah Bob) membantu beliau bercukur wajah. Seorang ayah dan anak yang sukar untuk meluahkan isi hati masing-masing, namun akhirnya Bob memegang tangan ayahnya dan berkata, "saya sayangkan ayah!"
Detik itulah Bob berjaya bertemu kedamaian, dengan sebuah kemaafan, yang menyerlahkan erti kasih dan sayang.
[image error]
Sebuah filem yang sangat menyentuh hati.
Semoga Allah Subhanahu wa Ta'aala memberikan kesembuhan dan jiwa pejuang kepada kakak ipar saya yang sedang bertarung menentang Leukemia.
"Cancer is not a sentence. It's just a word!"
Biar pun kematian itu pasti, kepastian itu hanya untuk memberitahu, "hargailah sebuah kehidupan!"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Related posts:Love Happens (Movie): Introspeksi Seorang 'Pakar Motivasi'
14 April 2010: Mengimbas Sebuah Perjalanan
Setiap Kerut dan Uban di Perjalanan
March 23, 2011
Isyak: Kembali ke Fitrah
Semasa bertugas sebagai Imam di Belfast Islamic Centre, saya pernah terfikir "ini kerja gila!"
Masakan tidak.
Sendirian menjadi imam sepenuh masa, solat di masjid yang sama lima kali sehari, bertahun-tahun. Mengimamkan Solat Jumaat setiap minggu. Menikah kahwinkan orang dan menguruskan penceraian. Menjadi pengetua sekolah merangkap guru dan kerani. Mempunyai tugasan di universiti dan penjara dari semasa ke semasa. Dan senarai itu berterusan.
Ini bukan kerja seorang.
Ini kerja sebuah organisasi.
Tetapi ada sesuatu yang unik tentang kerja itu.
Bukan hanya pada soal pengalamannya, malah sesuatu yang pasti ialah segala urusan tamat usai mengerjakan solat Isyak.
Di sebelah siangnya bekerja sepenuh hati dan diri. Sesiapa sahaja yang ada urusan dengan saya datanglah ke pejabat. Bagi yang mahu mengaji, datanglah ke masjid. Semua urusan dilakukan di tempat yang satu. Semua selesai setelah selesai Solat Isyak.
Pulang ke rumah, saya boleh menghayati peringatan penting Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam:
عن أبي برزة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يكره النوم قبل العشاء والحديث بعدها
Daripada Abu Barzah, sesungguhnya Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam itu tidak menyukai perbuatan tidur sebelum Isyak dan berbual-bual selepasnya [Hadith riwayat al-Bukhari (568) dan Muslim (647)]
Tidur sebelum Isyak itu dikhuatiri akan menyebabkan solat berjemaah diabaikan, atau terlajak waktu.
Berbual-bual selepas Isyak pula tidak digemari kerana melewatkan tidur akan menyulitkan Qiamullail malah Solat Subuh.
Malah, malam itu memang dijadikan oleh Allah sebagai waktu berehat dan tidur, berbanding siang sebagai masa untuk bekerja dan beraktiviti. Bukankah Allah Subhanahu wa Ta'aala telah berfirman:
[image error]
"Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) – masa untuk mencari rezeki?" [Al-Naba' 78: 9-11]
Ia adalah Syariatullah.
Ia juga adalah Sunnatullah.
Apabila keadaan yang disediakan Allah ini dimanfaatkan, hidup bukan sahaja dilimpahi keberkatan malah makmur dengan kesihatan dan potensi diri yang optimum.
Melanggarnya?
Antara Harus, Makruh dan Haram, kesan segera timbul pada fisiologi.
Kesan melanggar fitrah.
KEHIDUPAN PARA USTAZ
[image error]
Isteri dan anak-anak masih bersabar dan sudi memaafkan keletihan ini. Namun sampai bila?
Isunya ada dua.
Ustaz itu sendiri. Dirinya adalah pemegang kunci kepada kawalan diri dan kehidupan.
Keduanya adalah persekitaran.
Keputusan pemeriksaan perubatan semenjak setahun dua ini tidak menggalakkan. Malah saya sendiri sentiasa letih tidak bermaya.
Saya sudah 'menceburkan diri' di dalam 'kerjaya Kuliah Maghrib' ini semenjak di usia 18 tahun, iaitu selama saya berada di Malaysia. Di Jordan keadaannya berbeza. Di Turki tiada 'budaya 'Kuliah Maghrib' untuk dihadiri. Di UK dan Ireland, sudah saya ceritakan.
Di Malaysia ini saya tersepit. Dalam serba kepayahan memegang kunci kehidupan sendiri, saya terbelenggu oleh satu corak kehidupan yang seperti melanggar Sunnah dan Fitrah.
Ketika kereta berduyun pulang ke rumah bersama mentari senja, saya pula mula bergerak menongkah kesesakan lalu lintas untuk 'bekerja shif malam' menuju Kuliah Maghrib. Ada yang sekitar kurang 10km dari rumah, tidak sedikit yang sejauh 20 atau 30km sebagai rutin tetap, selain dari semasa ke semasa bergerak ke luar Lembah Kelang dengan jalan darat dan udara.
Selepas kuliah, ada jamuan makan. Teh mesti manis-manis. Mesti kaw-kaw punya! Masakan, kurang sedikit meja pengantin, ada kalanya. Puas menepis, dan sehingga kini saya banyak berjaya menepis atau menjamah sedikit sahaja 'demi menjaga hati tuan rumah' dan penganjur.
"Kami masak semenjak pagi, ustaz!" kata sesetengahnya.
Sayu!
Usai kuliah dan ceramah, memandu sepi membelah sepi, tiba di rumah sudah detik 12 malam. Sering juga lajak ke jam 1 atau 2 malah 3 pagi. Sungguh memenatkan.
Badan melekit-lekit, tekak dahaga. Perut berkeroncong kerana sebelum Maghrib tidak sempat makan, selepas ceramah pula 'malu-malu kucing' menolak hidangan. Jika kuat semangat, tidur berlapar. Jika lemah semangat, perlu juga menjamah sesuatu.
Itulah rutin.
Semasa melabuhkan diri dan cuba memejamkan mata, "eh, ceramah pagi esok! Powerpoint belum siap!"
Sejam lagi ditambah masa berjaga.
Qiamullail dalam kepayahan. Solat Subuh bermujahadah menolak keletihan.
Di manakah kesudahannya?
Kini, sebiji epal pun sudah melonjakkan kandungan gula di dalam diri tanda insulin sudah tidak berfungsi dengan baik. Hormon Endorphin sudah tidak dihasilkan secara neutral, hingga stress dan rasa sakit tidak dapat dilawan dengan sempurna. Sentiasa tertekan. Tambah-tambah pula dengan pemandu Malaysia yang sopan santun itu. Di sampingnya pula, Cortisol semakin bermasalah dan menghuru-harakan sistem di dalam diri.
"Dakwah tidak mampu digalas oleh orang-orang yang manja" terdengar petikan kisah pejuang-pejuang silam.
Ia mendatangkan sejuk kaki tatkala ingin mencari ruang rehat dan riadah.
Berdakwah di waktu malam, mengorbankan tidur, membiarkan makan minum jadi tidak menentu, sesuaikah ia dengan Sunnah dan Fitrah?
Nabi dulu macam inikah?
Saya cuba mengatur semula dan semua.
Kisah telus dilema seorang pendakwah yang obes, diabetik, keletihan dan hodoh diri untuk dijadikan teladan, bisa mengundang ejekan dengan pengakuan ini, tetapi saya yakin ada ramai di luar sana, yang terbelenggu oleh kondisi yang sama.
Ustaz-ustaz gemuk, menggemukkan dan terus digemukkan, termasuk oleh peminat-peminat setia mereka!
Bagaimana?
Saya sedang menyuntik hCG di perut. Pengambilan kalori terhad kepada 500 sehari. 40 hari mujahadah, demi diri dan dakwah yang memerlukan da'i bernafas panjang!
Dan Sunnah Isyak… masih jauh daripada sebuah kepastian.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Related posts:Selamat Kembali ke Fitrah, Michael
Kerenah 'Ahli Fitrah'
Kembali ke Asal