Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 103

March 3, 2011

Projek Komik Digital Dzulqar9 – Super Sinergi Kami

[image error]


Pertemuan yang cukup bermakna.


Saudara Md Ridzal Md Yusof, bekas pensyarah IT / Multimedia di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berusaha untuk mengatur pertemuan pagi tadi. Syukur Alhamdulillah, di celah-celah komitmen dan kesibukan semua, saya bersama beliau dan isteri bertemu di Lifelong Learning Centre (3LC) kami di Bandar Sri Permaisuri.


Tujuannya hanya satu.


Bersinergi.


Saya ada idea dan cerita. Akhi Ridzal ada kepakaran di dalam bidang Multimedia dan seni kreatifnya. Kami mahu meneroka ruang kerjasama agar komik digital yang telah dihasilkan oleh Akhi Ridzal dapat dikembangkan sebagai satu cabang pendidikan yang menghiburkan, hadiah buat generasi Y dan Z semasa.



MINAT KEPADA KOMIK


[image error]


Saya tertarik dengan peranan positif yang boleh dimainkan oleh komik sebagai medium pendidikan apabila menerima jemputan daripada KOMIK-M untuk membaca dan memberikan testimoni di muka depan naskhah Misi 8A hasil karya adik Afiq Feeqry dan Nazry Feeqry. Setelah berpuas hati dengan jalan cerita, serta Bahasa Melayu standard yang diguna, saya memberikan naskhah itu kepada anak, Muhammad Saiful Islam, untuk beliau membacanya.


Ternyata, si anak yang obses dengan skrin dan sukar fokus semasa membaca buku, jatuh hati serta merta dengan komik Misi 8A dan semenjak itu, beliau terus mengumpul komik-komik di bawah siri KOMIK-M, membacanya dan bertukar sekali sekala naskhah itu bersama sepupu dan rakannya.


Komik telah berjaya memecahkan kebuntuan 'susah membaca' anak saya dan kini beliau sudah mampu membaca buku versi penuh, terutamanya buku sejarah. Antara buku terawal yang berjaya beliau baca adalah Kuasa Kepimpinan al-Fateh karangan Ustaz Syaari Ab Rahman.


 


KOMIK DIGITAL DZULQAR9


Namun minat kepada komik, hanya dalam konteks sebagai seorang bapa yang memikirkan pendidikan anak-anaknya, berubah kepada sesuatu yang lebih besar.


Akhi Ridzal yang telah menghabiskan masa selama dua tahun untuk menyiapkan sebuah komik digital bertajuk Dzulqar9 And The Secrets of Andalusia Wonders, bertemu dengan saya untuk bersumbangsaran. Menggunakan Digital Interactive Comic & Intelligence Learning Sequence (CiQUENCE) untuk membangunkan komik ini, Akhi Ridzal yang turut mendapatkan khidmat nasihat daripada beberapa ilmuan untuk membantunya dari segi fakta dan jalan cerita, mengajak saya untuk turut bekerjasama.


Komik Dzulqar9 bukan sebarang komik.


Setelah menerima geran sebanyak RM20 ribu daripada MSC Malaysia, Akhi Ridzal menyiapkan komik ini dengan penuh itqan hingga melayakkan 'anak sulung'nya ini menerima pengiktrafan Multimedia Development Corporation (MDeC). Kejayaan tersebut mendapat Pingat Emas di dalam International Technology Expo (ITEX2010) serta Pingat Emas seterusnya di dalam Innovation and Invention Award di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE2010).


Melihatkan kepada tahap kemahiran dan kesungguhan yang begitu tinggi oleh Akhi Ridzal, saya berasa terpanggil untuk turut sama menyumbang.


Menggunakan pendekatan 'inspired by' dan bukannya 'based on' ruang untuk mengembangkan cerita komik ini menjadi luas. Ia boleh dilakukan dalam bentuk yang pelbagai tanpa terikat kepada kronologi peristiwa dan fakta yang mungkin akan mengulangi masalah kejemuan membaca di kalangan anak muda, terhadap sejarah Islam.


Komik Dzulqar9 And The Secrets of Andalusia Wonder memaparkan watak seorang pelajar sekolah pintar yang amat mengagumi ketamadunan moden tetapi tidak terdedah kepada kehebatan tamadun silam yang menjadi fondisi kepada apa yang berdiri di depan mata. Kombinasi di antara komik, hero dan pengembaraan, saya melihat lautan yang luas dengan pelbagai elemen menarik yang boleh dipetik di sepanjang sejarah Islam, untuk diolah secara kreatif melalui komik ini. Namun penceritaan juga seperti biasa, tidak boleh statik dan mendatar tanpa unsur-unsur saspen serta kejutan. Justeru, serba sedikit maklumat dan pengetahuan saya, terasa amat berfaedah untuk dimanfaatkan oleh siri komik Dzulqar9 ini.


Saya juga merasakan bahawa komik ini mesti mendukung 'centralized idea' yang menjadi kerangka keseluruhan komik sebagai proses Islamisasi pandangan hidup dan nilai para remaja kita, agar kehebatan Tamadun Islam tidak dihayati secara kosong, sebaliknya berpijak di bumi nyata dengan konsep Syariatullah dan Sunnatullah yang sejak sekian lama dikempen sebagai penyembuh kepada paradigma sekular yang melemahkan umat.


[image error]


Bakat dan komitmen luar biasa Akhi Ridzal, seperti biasa berhadapan dengan kekangan dana.


DANA SEBAGAI MODAL PEMBANGUNAN


Namun, kekangan itu mesti dilihat sebagai cabaran yang wajib disahut dengan usaha keras dan bukannya mengalah sebelum kaki melangkah. Semoga dipermudahkan Allah.


Komik Dzulqar9 And The Secrets of Andalusia Wonder Insya Allah akan boleh dinikmati secara percuma pada jangkaan masa April akan datang, bersama diskusi interaktif di blog yang sedang dibangunkan.


Sinergi… sentiasa mengundang kebaikan dan barakah-Nya.


Ameen.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Sinergi Keluarga Bahagia: Seminar 3K
Sinergi Keluarga Bahagia di Bukit Jelutong
Maaf Atas Pembatalan… Doakan Kami

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 03, 2011 07:33

February 21, 2011

Jelajah Singapura di Serambi Februari

[image error]


Alhamdulillah.


Sekali lagi saya diberikan peluang untuk berprogram di Singapura.


Semoga program yang diatur kali ini berjalan lancar untuk manfaat perkongsian saudara kita di sana. Johor Baru pun sama, barangkali…



[image error]


SABTU


Pada hari Sabtu, akan diadakan Ceramah Motivasi Interaktif untuk remaja pada jam 9 hingga 11 pagi di Tampines East Community Centre. Program dianjurkan oleh Masjid Kampung Siglap.


Sejurus selepas itu, pada sebelah petangnya pula, bakal diadakan Insya Allah, Bengkel Bapa Hero dengan tema "Rahsia Menjadi Ayah yang Berkesan". Program ini akan diadakan di lokasi yang sama, bermula daripada jam 2 hingga 6 petang.


AHAD


8:30 pagi hingga jam 4 petang pula, akan diadakan bengkel pra perkahwinan yang dinamakan sebagai Bengkel Sebelum Cinta Bertasbih. Ia akan diadakan di Oditorium Aras 4, Masjid al-Mawaddah. Program ini dianjurkan oleh Masjid Al-Mawaddah, SAMRAH CLUB dan Masjid Kampung Siglap. Disokong oleh Punggol Park CCMC dan Punggol Park CCMAEC.


[image error]


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 21, 2011 13:24

February 20, 2011

Hikayat Negara Entah Berentah!

[image error]


Dunia sedang hangat.


Seorang demi seorang Old Guards tumbang dan sedang ditumbangkan. Ada yang kata, mereka ditumbangkan kerana memerintah sudah terlalu lama. Ada pula yang kata, mereka ditumbangkan kerana zalimnya mereka, yang sesetengah lain pula berkata,  juga kerana memerintah sudah terlalu lama.


"Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam bukankah memerintah sehingga ke akhir hayat!" kata seorang pejuang.


"Atau Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam sebenarnya memerintah hingga ke usia 62 tahun?" kilas seorang pejuang lagi.


Sisi pandang….


Ia mengingatkan saya kepada sebuah kisah yang ditulis lama dahulu oleh Randy Flood, seorang pelajar sebuah High School di Oregon. Kisah tersebut saya terjemahkan secara bebas dengan sedikit pengubah suaian, mengikut rentak ungkapan bahasa Negara Entah Berentah:



[image error]


ADAM DAN ARGOT: SIAPA EMPUNYA TAKHTA?


"Adam patut menjadi Raja. Dia berfikiran positif dan sentiasa optimis" kedengaran cakap-cakap di kedai kopi.


"Argot patut menjadi Raja. Dia berfikiran negatif dan sentiasa pesimis, macam kita!" soksek soksek di pasar pula berbicara.


Sebelum Raja mangkat, beliau menitahkan agar Majlis Syura membuat keputusan penentu. Tatkala baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah sepurnama gering di pembaringan, Majlis Syura memutuskan bahawa Adam dan Argot hendaklah bergerak mengelilingi negara, dan berdebat tentang selok belok kehidupan rakyat. Salah seorang yang memenangi perdebatan itu, akan terpilih menjadi Raja.


KEMBARA PENENTU


Sampailah Adam dan Argot serta rombongan diraja ke sebuah desa yang ramai petani. Mereka melintasi sekumpulan petani yang miskin kebuluran.


"Lihat itu, mereka tidak punya makanan. Mereka kebuluran. Sesungguhnya dunia ini adalah sebuah kediaman yang teruk. Penuh derita!" kata Argot.


"Tidak. Kurangnya makan meningkatkan kerohanian. Mereka mungkin tiada makanan, tetapi mereka sedang belajar sebuah teladan yang amat berguna. Sesungguhnya sabar itu lebih berharga daripada makanan!" balas Adam.


Mereka kemudiannya melintasi pula sebuah pekan kecil. Kelihatan seorang lelaki buta di tepi jalan.


"Dunia ini adalah sebuah kediaman yang teruk. Penuh derita. Bagaimana Tuhan membiarkan ada manusia yang buta seperti itu!" keluh Argot.


"Sekali lagi, kamu silap. Walaupun lelaki itu tidak dapat melihat, tetapi deria-derianya yang lain menjadi kuat. Malah dia tahu sama ada seseorang itu bercakap benar atau berdusta hanya dengan mendengar nada suaranya. Menjadi buta itu lebih baik untuknya!" Adam membalas lagi.


Rombongan diraja bersama dua calon Raja meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai ke sebuah perkampungan. Mereka ternampak seorang lelaki sakit dan sedang nazak menunggu mati.


"Dunia ini adalah sebuah kediaman yang teruk. Penuh derita. Lihatlah lelaki itu sakit dan hampir mati tanpa seorang pun yang mempedulikannya. Ini sudah cukup menjadi bukti!" tegas Argot, penuh kesal.


"Bukankah kita semua akan mati? Mati itu bukanlah sesuatu yang tidak baik. Lelaki itu tidak lama lagi akan berada di sisi Tuhan. Bukankah itu lebih baik untuknya?" ulas Adam, dengan yakin.


[image error]


KEPUTUSAN


"Sudah! Cukup! Kami sudah melihat dan mendengar secukupnya. Sudah jelas bagi kami siapakah yang sepatutnya menjadi Raja memimpin negara" bentak seorang anggota Majlis Syura.


"Sangat jelas Adam adalah yang sepatutnya dipilih menjadi Raja. Beliau mengajar kita bahawa sabar itu lebih besar fadhilatnya berbanding makanan. Beliau menyedarkan kita betapa si buta itu lebih kuat pelbagai derianya berbanding kita yang celik. Malah Adam juga sudah membuktikan betapa kematian itu adalah lebih baik dan merehatkan untuk lelaki sakit itu tadi. Adam tidak pernah mengeluh dan sentiasa optimis. Apakah yang mampu Argot katakan lagi di saat ini?" anggota Majlis Syura itu mengurut-ngurut jambangnya sambil tegas membuat kesimpulan.


"Izinkan saya, jika kalian boleh benarkan, saya ingin membuat sedikit demonstrasi!" pintas Argot.


Anggota Majlis Syura dan kekandanya Adam mengangguk.


"Bukankah matlamat utama seorang pemerintah adalah untuk menolong dan menjaga kebajikan rakyatnya?" Argot meyoal.


"Sudah tentu!" jawab mereka.


"Bagaimanakah seorang pemerintah boleh menolong rakyatnya, jika dia sendiri tidak dapat melihat apa masalah rakyatnya?" soal Argot lagi.


"Saya tiada masalah untuk melihat masalah rakyat, jika mereka ada masalah. Jika ada!" pintas Adam.


"Kamu percaya bahawa lelaki buta itu tadi lebih baik buta?" soal Argot.


"Sudah tentu!" jawab Adam dan anggota Majlis Syura semua.


"Kalau begitu, pejamkan mata kamu semua. Pejam ya. Dan sekarang, adakah kamu masih percaya bahawa sabar lebih baik daripada makanan?" soal Argot lagi.


"Sudah tentu!" balas Adam dan seluruh rombongan.


"Baiklah, kalau begitu, jangan buka mata sehingga saya benarkan kamu" arah Argot.


Senyap-senyap, Argot mengeluarkan pedangnya dan menikam mati kekandanya Adam. Beliau membersihkan pedang tersebut dan menyimpannya semula.


"Baiklah, sekarang buka mata kamu!" perintah Argot.


"Oh Tuhan!!! Adam telah mati. Engkau telah membunuh kekandamu sendiri!" jerit anggota Majlis Syura.


"Kalau begitu, tentu lebih mudah untuk kamu semua membuat keputusan. Calon hanya tinggal seorang!" balas Argot.


"Tetapi kami mahu memilih Adam. Bukan kamu!" tegas anggota Majlis Syura.


"Bukankah aku yang memenangi perdebatan tadi?" Argot memberikan penjelasan.


[image error]


"Menjadi 'buta' telah menghalang kamu daripada menahan aku membunuh kekandaku Adam. Menjadi 'buta' tidaklah sebagus yang kalian katakan. Menjadi 'sabar' juga telah menyebabkan kamu terus menutup mata daripada melihat apa yang sedang aku lakukan. Justeri menjadi 'sabar' tidaklah sebagus yang kalian katakan. Dan jika 'mati' itu lebih baik untuk lelaki sakit di tepi jalan itu tadi, maka adillah apa yang aku telah lakukan kepada kekandaku Adam. Dia kini 'lebih baik' keadaannya. Adam telah mati, maka kamu mesti menabalkan aku selaku Raja di negara ini!" tegas Argot.


Anggota Majlis Syura terdiam.


Terpukul antara pengalaman mereka dengan ketepatan ulasan si anak muda.


"Kamu telah menjelaskannya dengan begitu baik. Saya percaya, Argot adalah Raja baru kita" kata jurucakap anggota Majlis Syura.


Seluruh anggota Majlis Syura bersetuju. Argot telah ditabal menjadi Raja di takhta. Dia memerintah selama beberapa tahun. Biar pun Raja Argot tidak pernah gembira selama menjadi Raja, namun negara dan rakyat makmur bahagia.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 20, 2011 02:18

February 17, 2011

Pemergianmu Ya Rasulallaah


Ceramah atas talian.


Teringat semasa bermastautin di London, dengan segala susah payah kami menggunakan khidmat teleconference yang disediakan oleh British Telecom untuk membantu pelajar-pelajar di USA mengikuti ceramah saya.


Internet masih berstatus dial up, Yahoo Messenger, Skype, ICQ dan lain-lain belum ada.


Namun perkembangan teknologi semasa, telah banyak memberikan kemudahan. Asalkan ada akses internet, dari semasa ke semasa pelajar Malaysia di sana sini terutamanya mereka yang berada di luar negara mengikuti siri kuliah yang diadakan.


[image error]


Video di atas adalah salah satu sesi Ceramah Online yang pernah saya lakukan. Ia diadakan bersempena dengan sambutan Maulid al-Rasul pada tahun 2006. Di dalam ceramah ini, saya terjemahkan secara langsung catatan buku Al-Khulafa' al-Raashidoon bayna al-Istikhlaaf wa al-Isytisyhaad karangan Sheikh Solaah Abd al-Fattaah al-Khaalidi. Riwayat-riwayat yang sahih dipetik untuk memberikan gambaran terpeinci, bagaimanakah detik-detik akhir Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam pergi meninggalkan kita buat selamanya.


Maaf atas kualiti audio yang tidak optimum. Semoga bermanfaat buat memperingati 12 Rabi'ul Awwal sebagai tarikh yang disepakati ulama sebagai tarikh kewafatan Baginda, dan bukan sebaliknya.


Kami merinduimu, ya Rasulallah…


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 17, 2011 06:14

February 15, 2011

Maulid al-Rasul: Kita Lebih Bersyiar di Majlis Ilmu

[image error]


Foto ihsan Muhammad Afiq Faiz via Facebook


Alhamdulillah.


Khabarnya, nasi briyani bungkus sebanyak 1500 unit tidak cukup.


Masjid Bukit Indah di Ampang, meriah dengan sambutan Maulid al-Rasul kali ini. Bermula daripada pendeklemasian sajak istimewa oleh Pyanhabib, diikuti dengan persembahan nasyid oleh kumpulan SMK Bukit Indah, SK Taman Bukit Indah, SMA(A) ILMI, Kumpulan Fazs dan One Soulz. Kemuncak kepada sambutan kali ini adalah Forum Komuniti bertajuk "MUHAMMAD SALLALLAAHU 'ALAYHI WA SALLAM: ANTAR DURHAM DAN AMPANG".


Forum kali ini dikendalikan oleh moderator, Saudara Abu Umar Ahmad Syarief.



[image error]


[image error]


[image error]


[image error]


Berikut adalah soalan-soalan yang dikemukakan kepada para panelis:



[Dr Maszlee Malik] Sebagaimana yang kita biasa dengar, penerimaan masyarakat Barat terhadap Islam semakin meningkat. Biar pun dari semasa ke semasa wujudnya tindakan kontroversi ahli politik, ahli seni dan ahli akademik yang ditafsirkan sebagai menimbulkan salah faham tentang ajaran Islam dan Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam, peningkatan jumlah mereka yang menerima Islam tetap berlaku. Berdasarkan pengalaman peribadi dan akademik Ustaz semasa bermastautin di Durham, UK, apakah elemen yang mendasari hal ini?

Ustaz Maszlee menghuraikan tentang sifat masyarakat Barat yang kritis dalam menerima maklumat. Mereka juga berusaha untuk mengekalkan asas kehidupan civil society yang sihat iaitu melalui kebebasan media. Di ruang kebebasan itulah berlakunya contest of idea, yang mana umat Islam bertindak mengisi ruang tersebut dengan kerja-kerja penerangan.


Diktatorisma tidak akan dapat digulingkan kecuali melalui revolusi pendidikan. Kebebasan bersuara tidak memungkinkan sesiapa untuk menjadi pemeras di dalam masyarakat.




[Ustaz Hasrizal Abdul Jamil] Ustaz juga pernah bermastautin di Belfast suatu ketika dahulu. Tempat yang menyaksikan pertembungan antara Protestant dan Catholic tidak ubah seperti krisis antara Aus dan Khazraj di zaman penghijrahan Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam ke Madinah. Kini Ustaz sudah lama kembali ke Malaysia, dan menjadi sebahagian daripada penduduk Ampang. Bagaimanakah huraian-huraian Dr Maszlee tadi di dalam konteks Ampang atau negara kita Malaysia itu sendiri?





Saya memfokuskan kepada sebab mengapa Allah SWT memilih bangsa Arab dan Semenanjung Tanah Arab sebagai tapak permulaan Islam. Selain daripada kemurnian fikiran masyarakat Arab yang bebas daripada pengaruh kecamukan falsafah Greco-Roman dan Parsi, bangsa Arab juga mempunyai karakter yang penting untuk 'menyambut agama'. Sifat cemburu dengan maruah, lasak, mempunyai will power yang tinggi, yang kesemua itu menjadikan mereka lasak dan tabah untuk mendukung Islam.
Masyarakat Barat juga memfokuskan kepada pembangunan karakter ini di dalam sistem pendidikan mereka. Berfikir secara kritis, berani bertanya, menghargai hujah dan memuliakan kesamarataan serta kebebasan berpendapat disemai seawal usia persekolahan. Ia menjadi fondisi yang penting kepada kesuburan mereka menerima Islam.
Pembangunan karakter adalah aspek yang amat tercicir daripada sistem pendidikan semasa kita yang terlalu obses dengan A di dalam peperiksaan, lambakan akademik yang tidak sesuai dengan tahap umur hingga mengabaikan aspek penting yang hanya boleh dilakukan semasa manusia di usia 10 tahun pertama mereka.
Sekali lagi reformasi pendidikan diperlukan.
Saya juga menyentuh tentang kritikan Fazlul Rahman ke atas gerakan Muhammad bin Abdul Wahhab yang cuba untuk mengeluarkan manusia daripada taqlid, tetapi mengabaikan mekanisma penting ke arah itu iaitu galakan berfikir. Akibatnya, mereka yang mengambil seruan Muhammad bin Abdul Wahhab, berpindah daripada satu taqlid kepada satu bentuk taqlid baru yang lain. Demikian juga kelompok tradisionalis yang membahaskan Aqidah dengan mekanisma akal dan logik melalui sistem Sifat 20, turun mengalami nasib yang sama apabila Sifat 20 dihafal dan bukan lagi menjadi bahan kritis dalam menggarap ilmu.
Akibatnya lahirlah Salafi yang tidak berfikir, serta Khalaf yang juga tidak berfikir. Kedua-duanya menambah masalah di dalam masyarakat dan bukannya menyelesaikan masalah.





[Dr Maszlee Malik] Asia Barat panas dengan perkembangan semasa yang menyaksikan tumbangnya regim diktator Ben Ali di Tunisia serta Hosni Mubarak di Mesir. Terkini Yaman dan Algeria sedang bergelora menyaksikan kebangkitan rakyatnya kesan daripada apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir. Bagaimanakah Ustaz menilai perkembangan semasa ini daripada sudut prinsip-prinsip ajaran Nabi Muhammad sallallaahu 'alayhi wa sallam? Bagaimanakah Sunnah Baginda bertindak sebagai enjin di sebalik kejadian semasa ini.



[Ustaz Hasrizal Abdul Jamil] Ketika pemuda Tunisa Mohamed Bouazizi dan pemuda Mesir Khaled Saeed menjadi sebab kepada perubahan landskap negara berkenaan, kita di Malaysia sedang bekerja keras mengekang pemuda pemudi kita daripada musnah oleh serakah Cinta dan Valentine. Apa pandangan Ustaz tentang hal ini? Di manakah negara kita dan anak-anak mudanya hendak diposisikan di tengah-tengah perkembangan umat Islam sejagat?

Sesi soal jawab juga dihujani dengan puluhan soalan, namun hanya beberapa sahaja yang sempat disentuh oleh kedua-dua panelis.


Terima kasih kepada pihak Masjid Bukit Indah kerana menjemput saya. Terima kasih kepada Ustaz Dr Maszlee Malik kerana sudi menerima undangan untuk menjadi rakan panelis. Terima kasih kepada akhi Ahmad Syarief kerana menyahut tawaran terbuka saya di Facebook untuk menjadi moderator. Terima kasih kepada sekurang-kurang 30% yang hadir itu adalah mereka semua adalah rakan daripada Facebook. Dan terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan majlis ilmu kita.


Adakalanya terfikir juga…


Di saat umat Islam sedang menjuarai statistik pembuangan bayi, dadah, penceraian, mat rempit dan kecundang persekolahan, apakah yang cuba disyiarkan dalam perarakan Maulid al-Rasul? Mungkin kita lebih kelihatan bermaruah apabila Maulid al-Rasul diraikan di dalam majlis ilmu kerana jelas di situ, umat Islam sedang membuat muhasabah diri di samping membina kekuatan yang sebenar.


Semoga semuanya bermanfaat untuk sekalian yang hadir.


[image error]


Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [AL-Ahzaab 33: 56]


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 15, 2011 01:01

February 14, 2011

Dia Pernah Mencintaimu

[image error]


"Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku," ujar Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam.


Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi'. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.


"Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?" para sahabat melontarkan soalan.


Persoalan.


Jika Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?


"Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!" jawab Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam.


Aneh.


Mencintai insan yang belum ada.


Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.


Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.


Cinta luar biasa.


Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.


SENYUMAN PERPISAHAN


Tiga hari Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.


Subuh Isnin, 12 Rabi'ul Awwal tahun ke 11H,


Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu 'anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.


"Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat," kata Anas bin Malik, Radhiyallahu 'anhu.


Wajah itu mengubat rindu mereka.


Tiga hari yang hilang warna dan sepi.


Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.


Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.


Sangka mereka itu senyum kesembuhan.


Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…


Dhuha Isnin, 12 Rabi'ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.


"Fee al-Rafeeq al-A'laa, Fee al-Rafeeq al-A'laa..." Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.


"Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi" bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.


Tangan itu rebah terkulai.


Basah dalam bejana air.


Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.


Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.


Merindui saudara-saudaranya.


Kita.


SEBUAH PERTANYAAN CINTA


Justeru…


Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?


Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?


Hati kecil itu tidak mampu berbohong.


Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….


[image error]


"Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia" [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa'ie dan Ibn Majah]


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 14, 2011 08:35

February 13, 2011

Menghargai Pembaca Blog di Telefon Pintar

[image error]


Saifulislam.Com di paparan iPhone versi Mobile


"Ustaz, saya selalunya melayari blog ustaz dengan menggunakan iPhone. Data saya hanya 1GB sebulan. Bolehkah ustaz kurangkan gambar pada blog?" pinta seorang pembaca.


"Saya adakalanya lebih suka membaca artikel di blog ustaz berbanding di buku sebab di blog ada gambar!" beritahu seorang pembaca yang lain.



Menyedari akan pentingnya peranan gambar, dan dalam masa yang sama menyedari juga betapa pentingnya penjimatan data untuk pembaca dengan perantara telefon, saya perlu lakukan sesuatu.


Malah kebelakangan ini, kita sama-sama mendapat manfaat daripada inisiatif Al-Jazeera.Net yang menyediakan kemudahan halaman web serta siaran langsung televisyennya versi telefon pintar. Kita tidak harus menafikan betapa ramainya masyarakat kita yang menggunakan Smartphone mereka benar-benar sebagai jendela dan pintu kepada dunia, bukan sekadar sms serta mengambil gambar kemalangan yang menambah sesak jalan.


PLUGIN WORDPRESS


Ada beberapa plugin untuk WordPress yang boleh membantu ke arah ini. Namun selepas beberapa bulan mencuba, akhirnya saya yang berdarah O+ ini, mengambil keputusan untuk melengkapkan blog Saifulislam.Com dengan plugin WPTouch PRO.


Semoga dengan khidmat terbaru ini, pembaca akan lebih tenteram melayari blog Saifulislam.Com mengikut keselesaan masing-masing. Maklum balas para pembaca berkenaan plugin ini, dan seperti biasa komen-komen penghidup blog, amat saya hargai.


Salam ukhuwwah.


[image error]


Saifulislam.Com di paparan iPhone tanpa plugin WPTouch Pro


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


p/s: Ya, iPhone saya adalah versi Jailbroken dengan untethered 4.2.1


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 13, 2011 10:58

Menghargai Pembaca Blog Dengan Perantara Telefon

[image error]


Saifulislam.Com di paparan iPhone versi Mobile


"Ustaz, saya selalunya melayari blog ustaz dengan menggunakan iPhone. Data saya hanya 1GB sebulan. Bolehkah ustaz kurangkan gambar pada blog?" pinta seorang pembaca.


"Saya adakalanya lebih suka membaca artikel di blog ustaz berbanding di buku sebab di blog ada gambar!" beritahu seorang pembaca yang lain.



Menyedari akan pentingnya peranan gambar, dan dalam masa yang sama menyedari juga betapa pentingnya penjimatan data untuk pembaca dengan perantara telefon, saya perlu lakukan sesuatu.


Ada beberapa plugin untuk WordPress yang boleh membantu ke arah ini. Namun selepas beberapa bulan mencuba, akhirnya saya yang berdarah O+ ini, mengambil keputusan untuk melengkapkan blog Saifulislam.Com dengan plugin WPTouch PRO.


Semoga dengan khidmat terbaru ini, pembaca akan lebih selesa melayari blog Saifulislam.Com mengikut keselesaan masing-masing. Maklum balas para pembaca berkenaan plugin ini, dan seperti biasa komen-komen penghidup blog, amat saya hargai.


Salam ukhuwwah.


[image error]


Saifulislam.Com di paparan iPhone tanpa plugin WPTouch Pro


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 13, 2011 10:58

Masih Lenakah Tidurmu di Belakang Bicara Anak Muda Itu

[image error]


Kisah lalat masuk telinga yang menyebabkan kematian Taghut bernama Namrud itu tidak dapat dipastikan kesahihannya.


Tiada di dalam al-Quran.


Tiada di dalam hadith yang sahih.


Tetapi matinya manusia-manusia besar oleh sebab-sebab yang kecil, ia disaksikan oleh sejarah sepanjang zaman.



Ada manusia mati digigit nyamuk.


Ada maharaja tumbang oleh sebab yang tidak disangka-sangka.


[image error]


Dan tiap-tiap kisah dari berita Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman. [Surah Hud 11: 120]


Kisah Musa 'alayhi al-Salaam menentang Firaun adalah amaran Allah kepada Taghut, bahawa penumbangnya mungkin membesar di dalam istana beliau sendiri. Mentor ditumbangkan Mentee, Ayahanda ditumbangkan Anakanda, Perdana ditumbangkan Timbalannya.


Manakala kisah Ashaab al-Ukhdood pula, menjadi amaran Allah kepada Taghut, bahawa penumbangnya mungkin bukan orang besar-besar, namun hanya seorang anak muda dari jalanan. Ghulam yang tidak punya nama, namun kematiannya meruntuhkan empayar angkuh pemerintah yang zalim.


Menyesallah sekalian masyarakat yang memperlekehkan Ibrahim alayhi al-Salaam, semata-mata kerana beliau itu HANYA seorang anak muda.


[image error]"(Setengah daripada) mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya (berhala)" [Al-Anbiya' 21: 60]


Anak muda bukan sebarang anak muda.


Anak muda ada sesetengahnya benar-benar menggoncang dunia.


ANAK MUDA DARI JALANAN


[image error]


Justeru wahai sekalian Taghut,


Selepas Taghut Tunisia Zine El Abidine Ben Ali tumbang akibat kematian ngeri anak muda yang dihina di jalanan, bernama Mohamed Bouazizi,


Selepas Taghut Mesir Muhammad Hosni Sayyid Mubarak tumbang akibat pembunuhan ngeri anak muda yang dihina di jalanan, bernama Khaled Mohamed Saeed,


Masih lenakah tidur kamu di belakang kesempitan rakyatmu?


Anak-anak muda sedang berbicara di luar sana.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 13, 2011 05:06

February 11, 2011

Malam Ini Kita Semua Adalah Misri!

[image error]


"Alhamdulillah….!"


Bersujud syukur setiap hamba Allah yang menghargai sebuah keadilan.


Keadilan yang menjadi tunggak sesebuah kuasa. Mengkhianatinya akan mengheret kejatuhan sebagai hukum Alam sebelum hukum Agama.


Tanggal bersejarah 11 Februari '11, Omar Suleiman membuat pengumuman perletakan jawatan Presiden Republik Arab Mesir ketiga, Muhammad Hosni Sayyid Mubarak selepas tiga dekad pemerintahannya.



[image error]


"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." [Aal 'Imraan 3: 26]


18 hari rakyat Mesir berhimpun di Dataran Merdeka Kaherah, tegas dengan satu tuntutan.


Pelbagai insentif ditawarkan oleh Hosni Mubarak, memecat kabinet dan melantik Perdana Menteri yang baru, malah buat pertama kalinya mewujudkan jawatan Timbalan Presiden yang disandang oleh anak didik CIA kesayangannya, Omar Suleiman, segalanya ditolak dengan aman oleh seluruh rakyat. Mereka hanya mahukan satu.


Hosni Mubarak meletakkan jawatan!


[image error]


Tidak berganjak walaupun sedikit, selepas buat pertama kalinya umat Islam di Mesir bersolat Jumaat dengan 2 juta makmum dan satu imam, malam yang bersejarah ini, melaporkan bahawa Hosni Mubarak meninggalkan Kaherah dan beredar ke Sharm Sheikh di Sinai, dan Omar Suleiman mengumumkan perletakan jawatan Taghut besar itu.


Moga tertebus kepedihan yang ditanggung oleh rakyat yang diseksa.


Moga terubat tahanan-tahanan pendapat (prisoners of opinion) di penjara Mesir.


Moga sembuh al-Azhar daripada campur tangan regim.


Moga terbuka jalan pulang Sheikh Yusuf al-Qaradhawi ke bumi Kinanah.


Moga terawat kerinduan Sheikh Kamal Helbawi yang lama berkelana di bumi Eropah.


Moga sirna kepungan derita umat di Gaza dan Palestin.


Moga bermakna 12 Februari 2011 pada mengenang terbunuhnya pengasas al-Ikhwan al-Muslimin, Hassan al-Banna pada 12 Februari 1949.


Segalanya, ameen untuk semua itu!


TELADAN REVOLUSI TUNISIA


Mesir mengambil teladan yang amat penting daripada mesej yang dilontarkan oleh Revolusi Tunisia.


Sheikh Rashid Ghanushi, pemimpin al-Nahdhah yang kembali ke tanah air selepas 20 tahun dalam buangan, memberikan pendapat bahawa sebuah revolusi rakyat tidak boleh berlaku jika ada mana-mana parti yang cuba mendominasinya dengan slogan masing-masing. Seluruh rakyat mesti bersatu pada menuntut pengunduran regim zalim yang memerintah. Ia mesti bersifat gerakan rakyat. Bukan an-Nahdhah, bukan mana-mana parti.


Itulah wajah Revolusi Mesir.


Ia tidak didominasi oleh mana-mana parti, tidak juga oleh mana-mana pemimpin pembangkang.


Ia benar-benar sarat membawa kehendak seluruh rakyat yang menderita membayar 7 Pound untuk sebotol susu, ketika Presiden menghimpun harta mencecah USD70 billion, biar pun dia hanya manusia biasa yang kapasitinya mampu makan sekeping roti setiap pagi. Rakus, tamak dan kejam, rakyat sudah memainkan peranannya.


Al-Ikhwan al-Muslimun tidak bersikap simplistik pada membayangkan perjuangannya sebagai pengisi kekosongan yang berjaya diperolehi.


Mohamed Mustafa El-Baradei juga tidak memposisikan dirinya sebagai pemimpin rakyat Mesir pasca pengunduran Hosni Mubarak.


Justeru apakah masa depan Mesir?


MANUSIA YANG AMAN


[image error]


Richard Mitchell di dalam bukunya The Society of Muslim Brothers membuat sedikit analisa menarik berkaitan dengan tabiat rakyat Mesir.


Pembunuhan Anwar El-Sadat pada 6 Oktober 1981 menggemparkan seluruh negara. Namun unik sekali, kejadian itu tidak mencetuskan revolusi. Apa yang menyusul kematian Anwar Sadat adalah sesuatu yang sangat aman. Yayasan-yayasan Islam terbentuk, ramai rakyat mula mendefinisikan jati dirinya sebagai Muslim dan Islamic Activism berkembang. Rakyat Mesir di peringkat marhaen yang terkenal dengan sifat agresif mereka, sebaliknya adalah rakyat yang komited dengan langkah-langkah aman untuk membentuk perubahan di negara yang diperintah secara hukum darurat oleh Hosni Mubarak ekoran pembunuhan Anwar El-Sadat itu.


Rakyat Mesir adalah rakyat yang komited dengan keamanan.


Inilah juga contoh yang ditunjukkan oleh demonstrasi aman jutaan penduduk Kaherah di Dataran Merdeka (Tahrir Square).


Biar pun ada usaha provokasi yang dibuat oleh jet-jet yang terbang rendah di awal kebangkitan, orang-orang upahan yang menimbulkan kacau bilau sambil menunggang kuda dan unta, serta 1001 usaha yang dilakukan oleh Hosni Mubarak termasuk usahanya mewujudkan rasa tertekan tertinggi apabila membuat pengumuman pada 10 Februari 2011 bahawa beliau tidak akan berundur, rakyat Mesir bertegas dengan tuntutan yang satu, dan mereka menuntutnya dengan AMAN.


Pastinya hal ini menjadi subjek yang diteliti oleh penduduk seluruh dunia.


Amerika Syarikat dan Eropah yang dilanda 'Ikhwanphobia', tidak berhasil setakat ini pada mencari sisi-sisi keganasan yang sering digembar gemburkan.


Islamist bukan pengganas.


Mereka adalah manusia yang berintegriti.


Integriti yang bertunjangkan ajaran yang aman, ISLAM.


Malah imej ganas golongan Islamist itu sendiri adalah projek panjang regim warisan Jamal Abd al-Naser ini.


Semoga Mesir berjaya membentuk kehidupan yang lebih baik selepas pengunduran bersejarah Hosni Mubarak.


Amerika Syarikat memerhati. Regim Zionis memerhati. Eropah memerhati. Seluruh dunia memerhati.


Akan tetapi berpeganglah dengan firman Allah:


[image error]


"Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman "Jadilah engkau!" Maka ia terus menjadi." [Yaasin 36: 82]


MUSNAHNYA KUASA MEDIA PERDANA


[image error]


Namun saya gagal menyembunyikan rasa gembira yang amat sangat secara khusus terhadap Radio Televisyen Mesir.


Media dokongan regim Hosni Mubarak itu yang selama ini bertindak sebagai alat propaganda, menyembunyikan keadaan sebenar Mesir yang bergolak, mempotretkan baik hatinya Hosni Mubarak pada mendahulukan rakyatnya dengan pelbagai reformasi dan insentif serta tidak henti-henti mencela TV Satelit (Al-Jazeera secara khusus), Facebook, Twitter, Blog dan internet sebagai petualang negara yang sengaja menimbulkan salah tanggap masyarakat terhadap kerajaan yang memerintah…


Akhirnya Media itu jugalah yang menjadi platform Omar Suleiman mengumumkan kekalahan Hosni Mubarak!


Jamal Abd al-Naser tumbang oleh racun.


Anwar El-Sadat tumbang oleh peluru.


Hosni Mubarak tumbang oleh Facebook dan Twitter.


Media Perdana bukan lagi 'tuhan' yang menguasai pendapat umum.


Semoga iktibarnya diteladani dengan bijaksana oleh semua.


Malam ini, kita semua adalah Misri!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 11, 2011 09:31