Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 106

December 21, 2010

STC, ForTeen dan MBI di Berita Harian

[image error]Alhamdulillah, hari ini Berita Harian edisi Sentral memberikan liputan kepada projek terkini Saifulislam Training & Consultancy (STC).


Semenjak sekian lama, saya selalu cuba menekankan tentang peri pentingnya masjid ditadbir dan digerakkan secara mesra remaja. Masa depan masjid amat bergantung kepada penerimaan remaja terhadap institusi yang menjadi nadi komuniti ini.


Namun, lawatan ke Singapura baru-baru inilah yang cukup banyak membuka mata saya kepada sudut praktis hasrat ini. Dalam keterbatasan sumber dan logistik, masjid-masjid yang sempat saya lawati tidak mengalah kepada kekangan ini, sebaliknya terus berusaha mewujudkan pelbagai aktiviti yang menerima sambutan baik daripada kelompok anak muda.



Syukur Alhamdulillah, Masjid Bukit Indah di Ampang, bertindak berani dengan mengajak STC bersumbangsaran, merangka aktiviti untuk remaja di sekitar Bukit Indah dan Ampang secara umumnya. Walau bagaimana pun, saya dan rakan pasukan berpendapat, setakat ini kebanyakan program remaja di masjid adalah berbentuk ad-hoc. Ada peruntukan, ada pihak yang menekan-nekan, maka terbukalah mesyuarat untuk memikirkan tentang program. Ia seakan-akan bersifat reaktif dan tidak mendukung objektif yang jelas.


Malah banyak aktiviti dibentuk dalam bentuk yang tidak mengambil kira prejudis remaja yang 'cukup bijak' untuk menolak program-program yang bersifat 'membasuh' dan indoktrinasi. Didorong oleh isu ini, Masjid Bukit Indah melantik STC sebagai konsultan untuk merangka projek jangka sederhana untuk remaja dan daripada itulah lahirnya projek ForTeen.


[image error]


Semoga apa yang dirangka diberkati Allah dan sekalian kami yang sudah tidak berapa remaja ini tidak dihinggap lelah untuk menawarkan tangan, mata, telinga, kaki dan hati demi generasi pewaris Islam ini, ameen.


Buat warga kerja STC dan Masjid Bukit Indah, fastaqim kama umirta wa man taaba ma'ak!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 21, 2010 07:05

December 19, 2010

KEM HIJRI 1432: Kejayaan Teori Positive Reinforcement


"Kamilah penggerak, kamilah pembenteng, Islam masa depan!"


Lagu tema itu mengiringi upacara penutup yang melabuhkan tirai Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) 1432 kali ini.


Antara gembira dan sedih dengan perpisahan, hati saya bagai lautan mengucapkan rasa syukur atas kejayaan program tahunan kemuncak Saifulislam Training & Consultancy ini. Kali ini 48 orang peserta menyertainya dan program dijalankan sehari lebih panjang berbanding 3 hari 2 malam pada tahun-tahun sebelumnya.



"Mungkin ini KEM HIJRI terakhir yang saya akan anjurkan" hati pernah terdetik berkata begitu.


Masakan tidak, proses menganjurkan kali ini penuh dengan pelbagai liku. Saya dan warga kerja STC hampir-hampir berputus asa.


Tarikh program terpaksa ditukar sebanyak 3 kali untuk mengimbangkan desakan ibu bapa yang tersepit di antara minggu pengumuman jadual peperiksaan PMR, SPM yang belum selesai dan pelbagai isu lain. Akhirnya, berbekalkan statistik tahun lalu, kami menetapkan tarikh16 – 19 Disember sebagai tarikh paling optimum untuk majoriti.


Lokasi program juga amat mencabar. Pertukaran tarikh menyebabkan kem asal tidak dapat menyediakan ruang untuk kami. Lokasi kedua pula cuba menipu kami dengan pelbagai helah tidak beretika, ketika mana prasarana sebenar berkali ganda lebih teruk daripada apa yang ditawarkan di halaman iklannya di atas talian. Kami nekad membatalkannya.


Alhamdulillah, semua itu berakhir dengan keputusan yang terbaik. Tarikh terbaik di lokasi terbaik iaitu di Nur Bukit Unggul, Sepang.


Cabaran yang lebih besar, berlaku di balik tabir. Kekangan pelbagai projek yang mendesak kami bekerja tanpa mengira siang malam, diuji dengan kekurangan seorang tenaga kerja yang mengambil keputusan untuk mengundurkan diri. Saya bertawakkal kepada Allah dan terus meniup semangat kepada pasukan yang masih ada untuk bertenang dan sambil menujukan nasihat itu lebih kepada diri sendiri.


Tidak sempat menarik nafas rehat sejurus selepas pulang dari Australia, persiapan diatur bersama. Saudara Shakir dan Ashraf memfokuskan kepada persiapan teknikal dan saya memberikan 100% tumpuan kepada aspek content.


FASILITATOR


[image error]


Ingin menjadikan program ini sebagai serampang dua mata, saya membuka tawaran di Facebook untuk mana-mana anak muda yang berbakat tampil menjadi fasilitator bersama. Program ini tidak seharusnya sekadar memberi tumpuan kepada melahirkan remaja yang bersemangat HIJRAH ke arah perubahan yang lebih baik, ia juga boleh dimanfaatkan untuk melatih fasilitator pelapis yang mendukung cita-cita yang sama.


Alhamdulillah.


Selain Najmuddin Hasan dan Ashraf Rostam yang sudah bersama sebelum ini, STC berbesar hati menyambut Firdaus dan Nurman yang masing-masing menuntut di Australia dan kini sedang bercuti, serta Nurul Ashikin, mahasiswi tahun akhir di USIM. Namun paling unik, kami turut menerima Nurul Asna Hidayah yang baru sahaja selesai menduduki SPM, tetapi berdiri sama hebat dengan abang-abang dan kakak-kakak untuk berperanan sebagai fasilitator di Kem HIJRI kali ini.


Setiap mereka mempunyai pengalaman, bakat, ilmu pengetahuan dan watak yang sudah menjadikan mereka 'half cooked' dalam pemudahcaraan kem seperti ini. Dengan hanya melalui dua sesi taklimat, saya sampaikan objektif dan falsafah program untuk mereka hayati. Selebihnya, saya berikan sepenuh kepercayaan kepada mereka untuk secara bebas menambah kurang apa sahaja yang diijtihadkan sebagai bermanfaat, selari dengan objektif serta falsafah Kem HIJRI serta STC yang sedia mereka maklumi.


Subhanallah… apa yang asalnya berkemungkinan menjadi liabiliti, berubah menjadi aset dan kelebihan.


Saya menerima pelbagai bahan menarik yang setiap fasilitator tawarkan dan ia menjadikan program ini seperti pelangi. Warnanya pelbagai dan penuh ceria, namun semuanya seragam menghasilkan cahaya putih yang disasarkan.


Saya tekad menutup mulut dan menahan diri daripada menegur atau membetulkan tindakan fasilitator malah jauh sekali cuba mengambil alih tugasan tatkala ada yang tidak mencapai benchmark saya. Semuanya saya simpan ke akhir program kerana sedari awal, saya tegaskan bahawa kita bekerja secara outcome oriented. Jika akhirnya segala kelebihan dan kekurangan itu bergabung menyampaikan kami semua kepada matlamat program, maka proses hanya perlu diperbaiki sebagai ruang penambah baikan dan bukan lagi bersifat pembetulan.


Yakin, andai kita memberikan sepenuh kepercayaan kepada fasilitator, mereka juga menerima kepercayaan itu untuk memberi segala yang terbaik daripada mereka.


Syabas fasilitator semua!


[image error]


Fasilitator Nurul Ashikin dan Nurul Asna


[image error]


Fasilitator Nurman


[image error]


Fasilitator Firdaus


[image error]


Fasilitator Najmuddin


[image error]


Fasilitator Ashraf


PESERTA


Syukur kepada Allah.


Syukur dan syukur.


Peserta yang menyertai Kem HIJRI kali ini sangat unik.


Sambil memperkenalkan diri, mata saya memerhatikan wajah setiap peserta untuk mengesan emosi mereka. Terpaksa, tertekan, mahu memberontak, tidak bermotivasi, atau apa sahaja perasaan yang negatif, saya cuba dapatkan agar kita boleh tentukan dos manakah yang perlu dilebih atau dikurangkan.


Dos akal.


Dos hati.


Dos nafsu.


Dos fizikal.


Alhamdulillah, wajah peserta bukan sahaja tenang dan ceria, malah kebanyakannya 'agak selesa' untuk berkampung selama 4 hari 3 malam bersama keluarga baru mereka di Kem HIJRI ini.


Di kem ini, kami menggunakan pendekatan positive reinforcement. Ia sangat selari dengan fitrah manusia dan sejujurnya Insya Allah akan lebih memudahkan kerja kami sendiri. Tidaklah mengambil bulat-bulat falsafah B.F. Skinner, para peserta diselesakan di dalam sesi pembelajaran dengan merangsang mereka melakukan perkara positif dengan ganjaran, serta membetulkan salah laku juga dengan pendekatan yang positif.


[image error]


[image error]


[image error]


Telefon bimbit boleh dipakai, tiada pakaian seragam, peserta dikekalkan dalam bentuk yang paling hampir dengan realiti kehidupan mereka. Tiada tengking menengking, menjerit-jerit memberi arahan, mengkawatkan mereka ke sana sini, malah tiada Qiamullail!


Apa yang ada, adalah asas-asas agama yang dididik oleh murabbi kami iaitu Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam pada membetul dan mengemaskinikan ibadah asas yang wajib. Saf dilatih setiap waktu untuk diluruskan, solat sunat Rawatib 'diwajibkan' untuk semua dan Solat itu sendiri dijadikan sebagai cara kami mengukur perkembangan peserta di sepanjang masa berlangsungnya program.


Kami menghormati peserta, peserta juga menghormati kami.


Bukan memanjakan, tetapi tegas dalam kelembutan.


[image error]


[image error]


[image error]


Berlaku salah laku, apabila ada peserta yang terjerumus kepada kesalahan yang membabitkan hak orang lain. Kami teruji dengan kejadian ini, namun berusaha untuk terus istiqamah dengan falsafah program. Tiada kepal tangan atau terajang pokok, tiada menengking-nengking atau mengugut, peserta dirasionalkan tentang apa yang berlaku, dan diperingatkan kembali tentang perjanjian bersama untuk saling percaya mempercayai bahawa kami bukan mahu mengaibkan, menghina atau menghukum pesalah. Hanya mahu memastikan segalanya selesai dengan baik, dan 48 peserta bersama para fasilitator semua sekali mengambil kejadian sebagai satu modul tambahan daripada Allah untuk kami belajar sesuatu.


Alhamdulillah, positive reinforcement berjaya membantu kami menyelesaikan kes dengan sempurna dalam masa sekitar satu jam sahaja.


Tertegaklah satu Sunnah dan terpudarlah satu bid'ah dalam pembentukan manusia.


[image error]


BERITA MENGEJUT


Saya secara peribadi teruji tatkala menerima berita mengejut, perkhabaran tentang kembalinya ke Rahmatullah sahabat yang amat saya kasihi, Dr. Mas Afzal Masarudin sekitar jam 3 pagi pada hari Sabtu tersebut. Selepas lebih setahun bertarung dengan kanser, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan meninggalkan 1001 misalan perjuangan yang akan terus kekal membakar semangat setiap insan yang pernah disentuhnya di sepanjang kehidupan pendek anak muda itu.


Saya tidak dapat menahan tangisan, menangis sepanjang subuh dan cuba untuk tidak menjejaskan tumpuan kepada program.


Terkilan tidak berkesempatan untuk menemani al-marhum ke persemadiannya di Bentong, saya mengajak peserta kem menunaikan solat jenazah ghaib, di samping mengambil peluang mengajar mereka aspek fiqh juga berkongsi beberapa video berkaitan al-marhum untuk pemergian pejuang seperti Mas Afzal, memutikkan pengganti-pengganti di kalangan generasi adik-adik ini.


Takziah buat keluarga Dr. Mas Afzal Masarudin dan seluruh yang mengenalinya.


MODUL


[image error]


Sangat ringkas.


Peserta diyakinkan betapa sakitnya andai mereka tidak difahami. Namun tiada siapa yang dapat memahami mereka jika mereka sendiri tidak membuka diri untuk difahami. Sebuah filem animasi kami gunakan sebagai filem tema dan seluruh elemen modul kami ekstrak daripadanya. Menerusi wacana filem itulah, seluruh usul Islam diterapkan secara mudah tetapi berimpak kepada peserta.


Semasa Malam Ekspresi Diri, kebanyakan kumpulan sangat terpeinci pada melakonkan adegan nakal atau jahat pra hijrah diri. Tetapi tatkala berputiknya keinsafan, kebaikan tidak diperincikan dan lakonan segera ditamatkan. Saya melihat semua itu sebagai satu refleksi kepada realiti kehidupan, bagaimana media begitu teliti pada memperincikan kejahatan. Baik di dalam drama mahu pun siaran akhbar.


Justeru, kami melihat betapa pentingnya kem ini kepada mereka kerana tatkala pelbagai medium memperincikan small steps kepada kejahatan, Kem HIJRI memperincikan small steps kepada kebaikan dan perubahan diri yang positif.


Syukur Alhamdulillah. Allah sangat banyak melimpahkan rahmat dan bantuan-Nya kepada kami semua di sepanjang berlangsungnya program.


[image error]


IBU BAPA


70% daripada ibu bapa peserta menyatakan persetujuan untuk hadir ke sesi pengisian untuk mereka yang kami rancangkan.


Sebelum majlis penutup, saya mengambil masa kira-kira dua jam berwacana bersama ibu bapa tentang segala yang berlangsung di dalam kem, pendekatan kami, dan menyampaikan banyak luahan hati anak-anak kepada ibu bapa mereka. Saya dan fasilitator memposisikan diri kami sebagai pihak yang berada di luar sistem peserta. Kami bukan sekolah, kami bukan ibu bapa. Kami adalah pihak ketiga yang menyediakan ruang untuk peserta mengeluarkan warna-warna sebenar mereka tanpa terikat dengan expectation sesiapa.



Ibu bapa memberikan maklum balas yang cukup baik, malah tanpa segan silu datang bertemu dengan saya dan fasilitator untuk mendapatkan maklum balas terpeinci untuk anak-anak mereka, termasuk juga di kalangan mereka yang mempunyai concern yang lebih spesifik. Setelah tamat program, pada jam 2 petang, saya tidak dapat berganjak daripada dewan hingga petang kerana banyak sesi kecil berlangsung untuk mengoptimumkan pertukaran maklumat dan pandangan antara peserta, ibu bapa dan kami sebelum berpisah.


Syukur kepada Allah.


Semoga seluruh perkongsian ilmu, maklumat, pengalaman dan persaudaraan yang terbentuk di dalam program berterusan menjadi manfaat buat semua.


[image error]


Terima kasih kepada ibu bapa kerana memberikan kepercayaan kepada kami.


Terima kasih kepada peserta kerana membenarkan kami mengasihi mereka malah belajar banyak perkara semasa 'mengajar' mereka'.


Terima kasih khusus saya kepada Shakir, Ashraf Fauzi, Dzulhuzmi dan Salihah, Ashraf Rostam, Najmuddin, Nurman, Firdaus, Nurul Ashikin dan Nurul Asna.


Terima kasih kepada Nur Bukit Unggul.


Terima kasih kepada Abang Mustafa, the cameraman.


Terima kasih kepada isteri dan anak-anak saya yang meminjamkan Abi mereka selama 4 hari 3 malam.


Dan, terima kasih ya Allah. Segala puji buat-Mu atas limpahan nikmat dan hidayah yang seluas Rahman dan Rahim-Mu.


Salam kasih sayang buat semua.


Pasti, Kem HIJRI ini bukan kem HIJRI terakhir daripada kami, Insya Allah!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


KREDIT FOTO: ASHRAF ROSTAM


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 19, 2010 07:19

December 17, 2010

Berlarilah Mas, ke Temanmu yang Maha Tinggi!

[image error]


Inna Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji'oon…


Akhi Maf Afzal yang dikasihi.


Dalam seluruh kesedihan yang terbendung di hati ini menyambut berita pemergianmu Subuh tadi, kulepaskan dirimu kembali ke Temanmu yang Maha Tinggi bersama selautan doa agar engkau ditempatkan di sisi hamba-hamba-Nya yang soleh dan solehah.


Adindaku..


Aku tidak menyimpan sebarang kenangan tentang dirimu kecuali engkau adalah seorang PEJUANG yang TIDAK PERNAH BERHENTI BERLARI.


Takziah buat kedua ayah bonda dan keluarga serta seluruh sahabat seperjuangan. Moga kesabaran melepaskan bintang hati kita ini, dibalas dengan Syurga-Nya, ameen.


اللهم اجعله في الفردوس الأعلى من الجنة مع النبيين والصديقين والشهداء والصالحين


اللهم واجعل قبره روضة من رياض الجنة وافسح له فيه ويسر عليه الحساب اللهم ثبته عند السؤال إنك على كل شيء قدير






Kami sentiasa merindukanmu.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 17, 2010 17:25

December 16, 2010

Hari Menawan Hati di KEM HIJRI Kali Ini

[image error]


KEM HIJRI datang lagi.


Alhamdulillah kali ini, kami menerima penyertaan peserta dengan jumlah yang lebih kecil berbanding tahun lalu kerana kekangan logistik dan tenaga penggerak akibat perubahan tarikh dan lokasi yang terpaksa dibuat beberapa kali.


Tersepit antara memberi keutamaan kepada pelajar PMR atau SPM, tarikh 16 – 19 Disember 2010 dipilih hasil meneliti penyertaan tahun-tahun lalu. Kali ini, program diadakan di Nur Bukit Unggul, lokasi KEM HIJRI pertama, dua tahun yang lalu. Namun Nur Bukit Unggul cemerlang pada meningkatkan prasarananya dan kami bersyukur dengan 'jodoh' yang berhasil kali ini.



Malam ini, kami berkenal-kenalan sambil memberikan taklimat perjalanan program kepada peserta.


Para fasilitator juga diperkenalkan.


Nama, asal, sedikit latar belakang keluarga dan terus kepada dua elemen wajib dalam pengenalan diri iaitu 'SIAPA SAYA SEMASA SAYA DI USIA ANDA' dan 'APA MAKNA HIJRAH KEPADA SAYA SERTA APA PENGALAMAN HIJRAH YANG SAYA PERNAH ALAMI'.


Kami tidak mahu mewar-warkan apa kelulusan akademik dan pencapaian-pencapaian hidup kami kerana semua itu bukan keutamaan. Malah kami tidak mahu maklumat tersebut berubah menjadi tekanan ke atas peserta seolah-olah di hadapan mereka adalah 'contoh-contoh' yang mesti mereka tiru.


[image error]


[image error]


[image error]



Hari pertama adalah hari menawan hati.


Hari memberikan keyakinan kepada peserta bahawa kami adalah SAHABAT HIJRAH mereka, pernah berada di usia seperti mereka,  ada kejayaan, ada kegagalan, namun yang penting, setiap kali kami jatuh, kami jatuh ke hadapan.


Apa yang paling menggembirakan kami ialah, tahun ini pesertanya nampak lebih tenang, ceria, fokus dan tidak banyak wajah stress atau rasa ingin memberontak yang terbaca. Suatu permulaan yang baik, Insya Allah.


Tahniah kepada ibu bapa mereka.


Doakan perjuangan kami di Nur Bukit Unggul kali ini.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Nur Bukit Unggul, Sepang


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 16, 2010 07:11

December 14, 2010

Biar Pun Letih, Kami Tidak Kisah!

[image error]


"Amin, bolehkah anta datang lewat sedikit? Kita keluar sekitar jam 10, ya? Kami nak siapkan budak-budak ini" saya menghantar sms.


Amin memberikan persetujuan.


Kami bercadang untuk melawat AQWA, The Aquarium of Western Australia yang terletak di Hillary's Boat Harbour, kira-kira 40 minit ke utara ibu kota Perth. Selepas di AQWA, rancangannya adalah untuk kembali ke Perth dan menaiki bot dari jeti Barrack Street untuk ke Fremantle di selatan Perth. Bukan apa, sengaja mencari kelainan untuk melihat bandar Perth dari arah Sungai Swan, walaupun Fremantle boleh dituju dengan keretapi dan hanya memerlukan masa kurang 30 minit untuk tiba di sana.


Perjalanan yang agak jauh itu, memerlukan kami untuk bersiap awal.



Musim panas di Australia Barat, jam lima pagi mentari sudah bersinar-sinar membawa siang. Akan tetapi usaha untuk menguruskan empat orang anak kecil, memang memakan masa.


Memasak sarapan, membasuh baju, memandikan mereka, menyiapkan beg, membuang sampah dengan betul, meleraikan pergaduhan malah menjawab soalan-soalan yang ditanya, semuanya menjadi rutin harian. Tambahan pula semua itu perlu dilakukan bukan di rumah sendiri, tetapi di rumah sewa pelajar Malaysia yang kami tumpangi selama berada di sana.


"Yop, abi nak minta tolong sikit sahaja lagi. Boleh tak?" saya separuh menjerit dari dapur.


"Alaa, Yop lagi!" rungut beliau.


"Hari-hari Abi hantar Yop pergi sekolah, tak pernah abi sebut 'alaa, Abi lagi! Betul tak?" saya memberi hujah kilas.


"Ye la ye la… " Saiful Islam jalan terhoyong hayang akibat kimia kemalasan yang menguasai dirinya itu.


Saya berikan kepada beliau penyepit baju untuk diberikan kepada Ummi yang sedang menjemur di halaman belakang rumah.


"Allahu Akbar! Imad, kenapa tumpahkan keropok tu!" saya terkejut kerepek ubi berterabur di atas lantai.


[image error]


"Kakak kacau Imad!" jawabnya.


"Mana ada. Akak minta sikit tapi Imad tak bagi. Dia lari-lari. Sebab itulah tumpah!" Naurah dengan penuh yakin mempertahankan diri.


"Eh, Muiz mana?" saya terkejut.


"Tak tahu!" jawab Naurah dan Imad.


Sungguh tidak membantu.


"Ehhh, Muiz tu!!!" saya meninggikan suara.


Muiz sedang memanjat tangga.


Disebabkan oleh tangisan Muiz sudah tidak berhenti-henti semenjak di dalam pesawat menuju ke Perth tempoh hari, saya hanya peduli kepada perbuatannya memanjat tangga, tetapi sudah 'lali' dengan tangisan anak bongsu kami ini. Muiz menangis mencari Ummi barangkali.


Saya bersegera mendapatkan Muiz dan meminta Naurah dan Imad bekerjasama bermain dengan adik mereka, sambil saya melangsaikan tugasan menyiapkan sarapan di dapur.


Selesai bersarapan, saya dan isteri perlu mengemas kesemuanya malah membasuh habis semua pinggan mangkuk. Musim panas di kawasan seperti ini, ada banyak serangga terutamanya lipas keluar dari sarang. Maka, jangan sekali-kali ada sisa makanan yang terbuka kerana ia mengundang kedatangan mereka tanpa mengira siang atau malam.


"Abi, Imad berak!" kata Imad.


"Ya Allaaah!" saya mengesat peluh di dahi.


Ummu Saif sedang menyusukan Muiz, maka sayalah yang perlu menguruskan Imad.


"Yop, bantu Abi sapu lantai sedikit, boleh?" saya berpesan kepadanya.


"Ok!" kata anak sulung yang sudah boleh diharap. Sekali sekala.


Setelah semuanya siap, barulah tiba giliran saya untuk mandi semula dan berkemas. Amin juga sudah tiba dan menunggu di bawah sambil memanaskan enjin van.


"Sudah siap semua?" saya bertanya.


"Sudahhh!" kata anak-anak sambil mereka bermain melontar bola rugby ke sana sini.


Semasa bersiar-siar di AQWA, saya mencuit bahu Saiful Islam.


[image error]


"So, macam mana Yop?" saya bertanya.


"Kenapa, abi?" beliau terkejut.


"Yop rasa, susah tak menjadi ibu bapa?" saya sengaja menyoal.


"Susaaahhh!" ujar beliau sepenuh hati.


"Susah tang mana?" saya menyambung soalan.


"Susah la. Kena masak, kena basuh, kena sapu lantai, kena mandikan anak…" beliau menyenaraikan satu persatu 'peristiwa' yang dilihatnya di rumah.


"Kena leraikan pergaduhan, betul tak?" saya memintas.


Saiful Islam mengangguk.


"Jadi, Yop nak tak jadi suami dan jadi bapa nanti?" saya menguji.


"Tak naklah! Susah!" kata beliau sambil melayan kolam tapak sulaiman yang terbuka untuk disentuh oleh pengunjung.


"Kalau abi takut susah dan tak nak kahwin, tentu Yop, Naurah, Imad dan Muiz pun tak ada.  Tapi sebab abi dan ummi sayang, kami tak kisah walaupun susah. Betul tak?" saya mahu menyudahkan perbualan.


"Abi!" Saiful Islam menyampuk.


"Kenapa?" saya terkejut.


"Imad tumpahkan keropok lagi. Tengok tu!" katanya.


"Grrr!" kepala saya seperti bertanduk dua.


"Imaadddd!!!" suara raksasa muncul semula.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Nedlands 6009 WA


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 14, 2010 14:35

December 12, 2010

Sesi Bertemu Pembaca di MPH Alamanda

[image error]


Kredit foto: Saudari Khadijah Nasir via FB


Programnya ringkas tetapi bermakna.


Terima kasih saya ucapkan kepada MPH Alamanda, Putrajaya dan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.


Sesi wacana buku yang dianjurkan bersempena dengan MPH Book Fair di ruang Concourse Alamanda siang tadi, telah lama dirancang. Biar pun saya sendiri tidak begitu pasti bagaimanakah bentuk kendalian sesi berkenaan, namun saya menyiapkan diri untuk apa jua bentuk penyampaian yang bakal diadakan.


Dalam kesibukan para pengunjung berlegar ke sana sini di pusat membeli belah terkemuka ini, saya menerima mikrofon untuk mempromosikan buku Aku Terima Nikahnya Edisi Istimewa (Trilogi ATN). Gayanya ala-ala jurujual, namun saya ubah set minda kepada sesuatu yang lebih positif.



"Bercinta cara Hollywood, ada banyak buku, drama dan filem yang sudah kedapatan di pasaran, bercinta cara Bollywood juga begitu. Namun bercinta cara Islam, tuan-tuan harus mendapatkan buku-buku seperti ini. Belajar bercinta di dalam Islam bukan bermula dengan membetulkan cara bercinta, tetapi membetulkan pandangan tentang kehidupan…" saya memulakan celoteh.


Beberapa orang pengunjung, mula menghampiri meja kami sedikit demi sedikit.


Teringat kepada sesi 'ceramah bebas' yang pernah saya hadiri di Speakers' Corner di kota London suatu ketika dahulu.


Cakap sahaja.


Jika berkualiti orang akan dekati.


Jika tidak berkualiti, cepat-cepatlah berhenti.


Selepas 15 minit berceloteh, saya memberhentikan ucapan dan menumpukan diri kepada beberapa orang pengunjung yang datang ke meja.


Saya difahamkan, di MPH Book Fair itu sahaja, sudah lebih 150 naskhah buku ATN Edisi Istimewa terjual. Alhamdulillah. Sebahagian besar pembeli yang sempat saya temui menyatakan bahawa buku itu mahu dijadikan hadiah perkahwinan kenalan, malah juga sebagai hantaran! Lebih menarik, sebahagian mereka tidak mengenali saya atau blog Saifulislam.Com, justeru kredit besar mesti diberikan kepada designer buku ini, saudara Mislan Samsuri dan Haji Badrul Hisham Shari di Galeri Ilmu.


Sempat juga, beberapa orang pengunjung mengambil peluang untuk bertanya banyak soalan hasil pembacaan mereka terhadap buku-buku saya.


Salah seorang yang hadir, merupakan ahli 'Kelab Suami Doktor' seperti saya. Banyak yang sempat kami bualkan tentang liku-liku mengendalikan rumahtangga bersama seorang doktor apatah lagi isteri beliau baru sahaja menyelesaikan internship. Tentu sahaja mereka berada di 'marhalah kritikal' dan saya bersyukur kepada Allah jika perkongsian di dalam buku ATN dapat membekalkan tips dan panduan kepadanya.


Tidak dilupakan, sekumpulan pelajar bertandang ke meja dan memohon perkongsian tentang krisis cinta, dakwah kampus hingga kepada soal memilih jemaah.


"Pertimbangkan daripada semua jemaah yang lulus keabsahan prinsipnya, mana yang paling membolehkan kita memberi yang terbaik, dan mana yang orang ramai boleh menerima yang terbaik daripada kita. Cuma, oleh kerana dakwah itu adalah ibadah, maka hati-hati dengan gangguan nafsu dan syaitan yang melengah-lengahkan, menimbulkan rasa lemah dan semua cabaran seperti yang kita hadapi dalam ibadah-ibadah yang lain" saya menyimpulkan pesanan.


Sesi di ruang legar Alamanda petang tadi berakhir pada jam 4.


Insya Allah satu lagi sesi yang lebih optimum akan diadakan di POPULAR Book Fair di Alor Setar City Plaza pada 25 Disember 2010 akan datang.


Bertemu di sana.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


[image error]


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 12, 2010 07:31

December 10, 2010

Dzulqarnain (i): Memperincikan Biodatanya Bukan Kehendak al-Quran

[image error]


Kisah Dzulqarnain memang perinciannya di dalam al-Quran 'tidak lengkap'.


Bukan kerana tiada maklumat. Mustahil ada yang tersembunyi daripada ilmu Allah.


Sebaliknya ia sengaja dibiarkan sedemikian rupa oleh-Nya.


Kisah Dzulqarnain bermula di dalam Surah al-Kahf pada ayat yang ke-83.


Kalimah (من) yang disebut di dalam ilmu Tafsir sebagai Min al-Tab'idhiyyah (من untuk makna sebahagian) di dalam ayat berkenaan menjelaskan bahawa Allah SWT dengan sengaja hanya menceritakan sebahagian daripada kisah Dzulqarnain dan mendiamkan sebahagian yang lain. Mendiamkan sebahagian daripada perincian kisah Dzulqarnain, bukanlah satu kekurangan. Ia adalah untuk memandu kita kepada fokus yang berbeza. Biar pun kisahnya tidak terpeinci, namun ibrah dan teladan daripada kisah bertaraf wahyu di dalam Surah al-Kahf itu amat luas. Ibrah tidak bergantung kepada maklumat-maklumat sampingan yang tidak perlu seperti nama sebenar, nama tempat, ketentuan zaman dan yang seumpama dengannya.


Dengan kebesaran al-Quran sebagai mukjizat, segala keterangan konsisten pada membetulkan sistem kepercayaan (Aqidah), sistem berfikir dan melihat serta sistem nilai, sebagaimana yang ditegaskan oleh Sayyid Qutb, pengarang Tafsir Fee Dhilaal al-Qur'aan.



KISAH DZULQARNAIN ITU WAHYU


[image error]


"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Dzulqarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya" [al-Kahf 18: 83]


Demikian juga dengan kalimah (قل) yang disebut sebagai Qul al-Talqiniyyah, ia memberikan indikasi bahawa kisah Dzulqarnain ini bukan daripada Muhammad sallallaahu 'alayhi wa sallam. Sebaliknya ia adalah wahyu, diwahyukan oleh Allah kepada Muhammad sallallaahu 'alayhi wa sallam dan diamanahkan untuk disampaikan kepada umat.


Oleh kerana kisah ini adalah wahyu,  menjadi tuntutan ke atas kita untuk berinteraksi dengannya sebagai wahyu yakni Kalam Allah. Hanya al-Quran dan hadith yang sahih sahaja boleh diterima sebagai penerang kepada apa-apa yang mahu diterangkan berkenaan firman-firman Allah SWT ini.


Harus diambil iktibar, usaha untuk mencari maklumat-maklumat yang tidak diperincikan oleh al-Quran berkenaan kisah Dzulqarnain, hendaklah diberi pertimbangan hanya sebagai kajian sejarah yang menerima hipotesis, dan bukannyasebagai tafsir kepada ayat-ayat Allah di dalam al-Quran berkenaan dengannya. Malah, sifat keterlaluan dalam menyiasat tentang perincian kisah Dzulqarnain selain daripada apa yang dibekalkan oleh wahyu serta hadith-hadith yang sahih daripada Rasul-Nya, tidak akan sampai kepada sebarang kesimpulan yang muktamad, malah menjauhkan kita daripada tujuan asal kisah berkenaan dibentangkan di dalam al-Quran.


[image error]


Sheikh Muhammad Khayr Ramadan Yusuf, pengarah kepada kitab Dzulqarnain: Al-Qaaid al-Faatih wa al-Haakim al-Muslih menceritakan di dalam muqaddimah bukunya, sebelum beliau menulis tentang Dzulqarnain, beliau telah bertemu dengan seorang alim meminta pendapat beliau tentang hasratnya untuk mengkaji dan menulis tentang Dzulqarnain. Si alim berkenaan melarangnya, dan apabila diminta memberikan alasan, guru rujukannya itu berkata, "engkau tidak akan sampai kepada sebarang natijah!"


Akan tetapi Sheikh Muhammad Khayr Ramadan Yusuf meneruskan juga niatnya dan setelah selesai 'melengkapkan' buku tersebut, beliau benar-benar bersetuju bahawa kajiannya gagal menyampaikan dia kepada sebarang natijah yang konklusif.


Berbalik kepada persoalan asas, menentukan sama ada Cyrus atau Alexander the Great itu adalah Dzulqarnain, tidak sama sekali menjadi tujuan penceritaan kisah ini kepada umat di dalam al-Quran.


Menetapkan metodologi kita pada memahami kisah Dzulqarnain dengan iltizam kepada disiplin al-Quran, kita akan terselamat daripada dipenatkan oleh 'lautan maklumat' yang tidak menyampaikan kita kepada kehendak sebenar kisah ini diwahyukan oleh Allah sebagai teladan umat.


Ya Allah, selamatkanlah kami daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, dan amal yang tidak dihitung, ameen!


Bersambung…


[Ini adalah petikan nota kuliah di Surau an-Naim Wangsa Maju]


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 10, 2010 17:53

December 8, 2010

Love Happens (Movie): Introspeksi Seorang 'Pakar Motivasi'

[image error]


Cinta bukanlah subjek utama filem ini.


LOVE HAPPENS adalah sebuah filem ringan yang mempunyai banyak subjek untuk diperhatikan oleh kita semua, terutamanya oleh para motivator.


Ia adalah sebuah filem yang menuturkan kebesaran prinsip. Sering berlaku, kemunculan seorang motivator banyak didorong oleh kejayaan dirinya mengatasi peristiwa-peristiwa luar biasa yang menumbangkan ramai manusia, namun mereka yang terpilih ini berjaya bangkit dengan pegangan dan kepercayaan yang positif. Namun, sejauh manakah titik-titik hitam itu berjaya diputihkan? Atau sebahagiannya masih membebani diri?


Inilah dilema Burke Ryan, seorang jururunding motivasi berkelulusan PhD yang berjaya menghasilkan sebuah buku best seller berkenaan petua mengatasi kesedihan dan kekecewaan akibat kehilangan insan tersayang. Burke menulis buku itu sebagai rakaman usaha dirinya untuk bangkit daripada kesedihan akibat kematian isterinya di dalam sebuah kemalangan jalan raya. Beliau menyuntik inspirasi kepada orang lain yang menempuh pengalaman-pengalaman yang pahit sepertinya. Mereka diajak melepaskan diri daripada kekecewaan dan ketakutan yang semua itu bukan mewakili realiti semasa, tetapi hanya situasi minda yang membelenggu.


Ramai yang beroleh inspirasi.


Namun Burke Ryan terperangkap di dalam dilemanya yang tersendiri.





KOMITMEN KEPADA SEBUAH PRINSIP


Apa yang menjadi tumpuan filem LOVE HAPPENS ini ialah usaha seseorang itu untuk memeluk prinsip yang diajar agar kita hidup hanya dengan satu wajah. Menjadi seorang motivator memerlukan seseorang itu sentiasa optimis dan positif untuk membantu orang lain. Namun akan sampai juga kepada satu titik, bahawa kita hanya akan benar-benar berjaya membantu orang lain apabila berjaya membantu diri kita sendiri.


Dalam semua yang diceritakan di dalam sebuah buku, tersembunyi beberapa 'missing link' yang disepikan demi sebuah kekuatan. Burke menyembunyikan beberapa hakikat yang menjadikannya seorang 'hipokrit' demi untuk tidak patah jiwa menempuh realiti. Ia memberi beliau sejumlah kekuatan. Namun tiada kekuatan yang lebih bertahan sehebat kekuatan yang terbit daripada sebuah kejujuran.


Sebelum berusaha untuk jujur kepada orang lain, seseorang itu, terutamanya seorang motivator, mesti berusaha untuk jujur kepada hakikat diri.


LOVE HAPPENS (2009), sebuah filem yang wajib ditonton oleh semua motivator bukan hanya kepada subjek utama, tetapi kepada seluruh subteks di sepanjang filem.


Komitmen kepada prinsip.


Peranan seorang Personal Assistant.


Bebanan aspek perniagaan dan desakan komersil.


Nilai-nilai kehidupan dan kekeluargaan.


Cinta.


Semuanya diadun dengan baik namun sederhana di dalam perjalanan hidup Burke Ryan tatkala berseminar di Seattle, kota yang mempunyai erti yang tersendiri buatnya.


Introspeksi diri, adalah mood saya semasa menonton filem ini.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 08, 2010 08:26

Jangan Berhenti Berlari!

[image error]


"Baiklah, ustaz. Pada 15 Februari nanti kita akan lancarkan kempen ini. Ustaz ditugaskan untuk membaca doa pembukaan dan penutup, menjadi penterjemah kepada tetamu-tetamu Arab yang hadir dan memastikan program berjalan lancar kerana kita mahu aspek agama yang ditonjolkan dalam kempen itu nanti!" kata Pengarah Urusan.


"Tapi…" saya tergamam.


"Okay, ustaz. Jika ada apa-apa keperluan, ustaz datang ke pejabat saya" Pengarah Urusan segera beredar dari sesi taklimat.


"Mana boleh macam itu, bang. Kita dah ada jadual kita sendiri. Macam mana abang boleh terima arahan tanpa perbincangan seperti itu!" isteri saya berbisik.


Berkerut-kerut dahinya menahan marah.



"Nak buat macam mana, sekarang ini abang sudah bekerja dengan orang!" saya mengeluh sambil memicit kepala yang tidak sakit.


Resah.


"Kenapa aku kembali membuat kerja yang aku tidak suka?" saya bertanya kepada diri.


Terasa jantung berdegup kencang.


"Astaghfirullah!" saya terkejut.


Subhanallah, jam di dinding menunjukkan pukul 4 pagi. Saya terbangun. Rupa-rupanya kisah tadi itu hanya sebuah mimpi. Mainan tidur.


Namun apakah sebenarnya yang mengheret 'sketsa' itu menerjah masuk ke mimpi saya?


Berjaga dengan fikiran yang enggan berehat, tidur pun menyambung cerita.


Hati saya sayu melihat blog Saifulislam.Com terbiar. Kali ini bukan sehari dua, malah sudah berbulan ia seakan-akan tidak bertuan. Bukan saya tidak mencuba, namun setiap kali saya mengadap skrin, fikiran saya bersimpang siur dengan pelbagai persoalan. Ada berupa tugasan, ada berupa tanggungjawab, ada berupa tekanan dan sebahagiannya cuba menjadi penenang yang merehatkan. Tetapi fikiran yang berserabut itu enggan berdamai.


Lazimnya selama ini saya menenangkan fikiran dengan menulis. Kali ini ia tidak mujarab lagi.


[image error]


Sebulan yang lalu, saya berusaha keras mengatur strategi untuk menyelamatkan keadaan. Dengan bantuan banyak pihak, saya sekeluarga terbang ke Perth, Australia.


Pemergian itu bukan melancong.


Seminggu di sana, saya cuba mengatur kembali fikiran dan perasaan saya tentang kehidupan. Tentang keluarga. Perjuangan. Masa depan. Kelemahan. Kekuatan. Kekurangan. Kelebihan. Semuanya dipertimbangkan dengan semasak-masaknya.


Berdiri di atas kaki sendiri, tidak semudah mengungkapkannya.


Mimpi malam semalam memaksa saya untuk tidak lelah.


Kejayaan adalah sebuah perjalanan, bukan destinasi.


Saya mesti teruskan perjalanan.


'Audah atau Hijrah, saya mesti terus berlari.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 08, 2010 07:47

December 6, 2010

Hijrah: Percaya Untuk Berjaya – 1431 ke 1432


Baru-baru ini saya dijemput oleh saudara Ahmad Fedtri Yahya untuk hadir sebagai tetamu di dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) bersempena dengan cuti Maal Hijrah.


Saya menyetujuinya.



Semenjak segmen Islam Hadhari dimansuhkan daripada rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM1 selepas peralihan tampuk kepimpinan negara kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, sudah agak lama saya tidak muncul di kaca televisyen.


Peluang untuk bersiaran di televisyen mungkin terasa bagai satu kerugian, seperti tidak berbaloi.


Masakan tidak, kita bergegas menempuh kesesakan jalan raya pada awal pagi, berpinar kepala mencari petak meletak kereta di stesyen televisyen, dan kemudian ke udara hanya selama 15 minit. Ia mungkin kelihatan tidak berbaloi. Juga jangan ada yang menyamakan kemunculan penceramah di televisyen sama dengan persembahan artis dari segi honorariumnya. Itu bukan isu. Malah ada stesyen televisyen yang tidak memberi apa-apa saguhati dengan persetujuan tetamu, kecuali urusan pengangkutan disediakan daripada rumah ke stesyen tv.


Tetapi, bercakap 15 minit di televisyen membolehkan puluhan ribu atau ratusan ribu manusia mendengar isi penyampaian kita. Sesuatu yang tidak mungkin mampu berlaku di dalam sesi ceramah, hatta oleh pemidato sehebat Sukarno.  Ia adalah suatu ruang dakwah yang sangat besar, maka 15 minit yang diperuntukkan mesti dioptimumkan sebaik mungkin. Jangan disesiakan.


Malah, saya yang tidak berkemampuan untuk berkongsi wacana dengan saudara mara yang tinggal jauh di kampung, berasa amat bersyukur apabila kekurangan kita itu sedikit sebanyak ditampung oleh sampainya mesej kita kepada mereka melalui siaran televisyen, radio dan majalah. Tertunai juga sebahagian daripada hak mereka ke atas diri kita.


Justeru saya tanpa rasa teragak-agak memberikan persetujuan.


BERITA SEDIH


Namun sedih sekali, pagi tadi (Khamis) saya menerima sms daripada saudara Ahmad Fedtri bahawa beliau selaku Penerbit MHI esok (Jumaat) tidak dapat berada di studio kerana bergegas mahu pulang ke kampung memandangkan bondanya sedang gering yang bersangatan. Saya mendoakan kesembuhan buat bondanya dan berpesan agar berhati-hati di jalan raya.


Tidak lama kemudian, saya menerima satu lagi sms daripada saudara Ahmad Fedtri, memberitahu bahawa bonda yang dikasihinya telah kembali ke Rahmatullah, sebelum sempat beliau tiba untuk mengadapnya. Allah jua yang tahu perasaan seorang anak tatkala menerima berita kehilangan abadi sebahagian dirinya, yang bergelar seorang ibu.


Saya menyampaikan rasa takziah yang mendalam kepada beliau. Semoga Allah melimpahkan Rahmah dan Maghfirah seluas-luasnya kepada roh al-Marhumah dan menempatkan di taman Syurga pada kelananya di alam Barzakh.


KETEMU ESOK DI TV3


Esok (Jumaat), jam 7:20 pagi selepas siaran Buletin Pagi, Insya Allah saya akan hadir sebagai tetamu di rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) untuk memperkatakan tentang Maal Hijrah di bawah tajuk AZAM: PERCAYA DAN BERJAYA.


Semoga kedatangan 1 Muharram 1431H disambut dengan keyakinan yang optimum untuk kita sama-sama mengusahakan perubahan ke arah yang lebih baik.


Insya Allah lanjutan kepada perbincangan esok, akan diperpanjangkan lagi melalui segmen Motivasi Pagi di TV3 di bawah tajuk, ISLAM: RANCANG DAN MENANG.


Salam Maal Hijrah…


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 06, 2010 16:29