Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 108
November 7, 2010
Wacana Bersiri "Apa Erti Saya Menjadi Muslim" di Khalifah Model School
[image error]
Buku Apa Erti Saya Menganut Islam atau judul asalnya Maza Ya'ni Intimaa'i lil Islaam merupakan magnum opus Al-Marhum Dr. Fathi Yakan, seorang tokoh ilmuan Islam di Lubnan. Ia dikarang lebih dua dekad yang lalu dan telah diterjemahkan ke puluhan bahasa untuk rujukan umat Islam. Biar pun buku ini bersaiz kecil dan ringkas, namun mesej di dalamnya mencetuskan anjakan paradigma yang besar di kalangan umat Islam untuk kembali melihat Islam sebagai satu sistem hidup yang sempurna.
Namun begitu, dengan perkembangan globalisasi yang menyentuh hampir seluruh aspek kehidupan umat Islam, mesej di dalam buku Apa Erti Saya Menganut Islam ini memerlukan kepada pengolahan yang bersifat kontemporari agar pantas menjawab cabaran semasa.
Ustaz Haji Hasrizal Abdul Jamil menyahut keperluan ini dengan memperkenalkan siri ceramah Apa Erti Saya Menganut Islam versi beliau. Kuliah berkenaan telah disampaikan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di luar negara malah telah dimodulkan untuk pelbagai versi pendidikan dan korporat.
Kombinasi di antara legasi tradisi keilmuan Islam dan materi pengkaji kontemporari Timur dan Barat, Ustaz Hasrizal mengolah isi kandungan buku Apa Erti Saya Menganut Islam bersesuaian dengan cabaran pemikiran semasa yang banyak bersangkutan dengan soal sistem kepercayaan, pandangan hidup dan sistem nilai yang dipegang dalam kehidupan.
Mengekalkan penyampaian yang ringkas dan mudah difahami, penggunaan Powerpoint dan bahan-bahan multimedia, membantu kuliah ini disampaikan secara efektif.
Berikut adalah pecahan tajuk kuliah Apa Erti Saya Menganut Islam:
1. Paradigma Islam: Syariatik dan Saintifik
2. Muslim Pada Aqidah
3. Muslim Pada Ibadah
4. Muslim Pada Akhlaq
5. Muslim Pada Rumahtangga dan Keluarga
6. Muslim Pada Kendali Diri
7. Muslim Pada Keyakinan Masa Depan Milik Islam
8. Muslim Pada Hidupnya Adalah Untuk Islam
9. Muslim Pada Menyampaikan Islam
10. Rumusan
Jemput hadir bagi yang berkelapangan. Yuran minima dikenakan oleh pihak penganjur iaitu RM10 untuk individu dan RM5 bagi pelajar.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
November 2, 2010
Tsunami: Teladan al-Quran Daripada Kisah Nuh 'alayhi al-Salaam
[image error]
Pastinya bencana Tsunami mengingatkan kita kepada peristiwa taufan dan banjir besar di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam. Dengan jumlah kematian yang begitu besar (mencecah lebih 120,000 orang), mungkin ia menyamai jumlah mereka yang ditenggelamkan oleh banjir di zaman Nuh Alayhi as-Salam. Ia adalah banjir yang meliputi keseluruhan muka bumi dan pengetahuan tentang pernahnya berlaku banjir besar itu, diiktiraf oleh semua tamadun manusia.
Sewajarnyalah kisah di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam itu dijadikan iktibar. Ini adalah kerana, Allah SWT mengekalkan ingatan umat manusia kepada peristiwa di zaman Nabi Nuh itu supaya ia terus menjadi peringatan, amaran dan pengajaran bagi sekalian umat manusia, mukmin dan kafir. Firman Allah SWT di dalam surah al-Haaqqah ayat 11-12:
"Sesungguhnya ketika air banjir itu melampau-lampau limpahannya, Kami telah damparkan kamu dengan selamat di dalam bahtera (Nabi Nuh) itu. Agar dengan itu Kami jadikan peristiwa tersebut sebagai teladan bagi kamu. Dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga orang-orang yang mahu menerima pengajaran"
Apabila saya meneliti beberapa potongan ayat al-Quran tentang bencana di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam, saya mendapat kefahaman bahawa ia tidak jauh berbeza dengan bencana Tsunami 26 Disember lepas. Cuma mungkin berbeza dari segi skala kerana Tsunami yang Allah SWT datangkan kepada kita hanya menelan manusia yang menghuni daratan perairan Lautan Hindi, tidak segenap pelusuk bumi.
Renungilah ayat-ayat di dalam surah Hud ayat 40 – 41 berikut:
"Dan apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (faara at-tannur), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina) dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.
Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "
Kemunculan banjir besar di zaman Nuh itu bermula dengan limpahan air dari apa yang diistilahkan oleh al-Quran sebagai at-Tannur. At-Tannur ini pada makna asalnya adalah ketuhar atau oven yang digunakan untuk membakar roti. Ia dinamakan sedemikian rupa kerana di dalam ketuhar tersebut api marak membakar menyala-nyala di dalamnya.
Alangkah ganjilnya apabila kita cuba berfikir, bagaimana air keluar melimpah dari ketuhar yang di dalamnya api menyala-nyala!
Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi di dalam kitabnya Al-Qasas Al-Qurani: 'Ard Waqaa'ie' wa Tahlil Ahdaath [Darul Qalam 1419H / 1998M] menyatakan bahawa hikmah Allah SWT di dalam hal ini amatlah besar. Sesuatu yang diketahui umum, air berfungsi memadamkan api. Akan tetapi jika api itu menyala-nyala di tengah air, bagaimanakah ia boleh dipadamkan? Bagaimanakah api dan air boleh 'mesra' di dalam ketuhar yang membakar itu?
Sesungguhnya fenomena seperti ini menggambarkan betapa miskinnya qudrat manusia untuk memadamkan api yang menyala-nyala itu sebagaimana mereka juga tidak mampu mengekang air yang melimpah-limpah dari punca api tersebut. [mukasurat 191]
Saya melihat fenomena banjir dan ombak besar di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam dan hubungkaitnya dengan 'ketuhar' itu dari satu sudut lain yang mungkin boleh difikirkan bersama. Kita sama-sama mengetahui bahawa ombak Tsunami ini dicetuskan oleh gempa bumi yang berlaku di dasar Lautan Hindi berhampiran Sumatera. Gempa bumi ini berkait rapat dengan Lingkaran Api Pasifik. Batu batan dan api yang membara di perut bumi ini menjadikan kawasan terbabit tidak stabil sehingga mencetuskan gelinciran benua dan jenis-jenis gempa bumi yang lain. Dalam erti kata yang lain, seolah-oleh ombak besar Tsunami ini datang dari ketuhar Lingkaran Api Pasifik yang saya sebutkan sebentar tadi.
Bahkan ombak besar yang melanda bencana di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam itu juga lebih hebat dari Tsunami tempoh hari. Ia digambarkan seperti gunung oleh Surah Hud ayat 42 – 43:
"Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.
Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. "
MENGAMBIL IKTIBAR
Namun bagi kita hari ini, bagaimanakah sepatutnya kita mengambil pengiktibaran daripada bencana Tsunami tempoh hari? Apakah hanya dengan berfikir tentang usaha mengadakan sistem amaran awal semata-mata?
Kita bernasib baik kerana Tsunami itu tidak menelan semua sekali bahkan Malaysia mengalami keajaiban apabila angka kematiannya begitu kecil berbanding dengan negara jiran Acheh. Allah masih mengizinkan kita untuk bermuhasabah dan tidak membinasakan kita semua dengan suatu bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata. Firman Allah SWT:
"Dan takutlah kamu kepada bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata dari kalangan kamu secara khusus" (Al-Anfaal: 25
Tsunami tidak menelan Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong. Tsunami tidak mengundang rebah Flat Pekeliling di Kuala Lumpur walaupun gegarannya cukup kuat untuk mendesak penghuninya lari bertempiaran. Tsunami ini belum seperti 'Tsunami di zaman Nuh Alayhi as-Salaam'.
Pertamanya, terimalah hakikat bahawa bencana ini bukan 'kejadian alam tanpa sebab'. Ia adalah amaran Allah. Ia adalah peringatan yang maha menakutkan. Tsunami menelan Acheh yang menyaksikan penindasan pemerintah yang membunuh jutaan penduduk yang mahukan Acheh berdiri bebas merdeka. Bukit bukau di Acheh menjadi gunung kubur manusia yang dibunuh kejam. Tsunami menelan Selatan Thailand yang baru sahaja bermandi darah Muslim Tak Bai, Masjid Kerisik dan sebagainya. Thailand itu juga menyajikan industri seks sebagai tarikan pelancong ke Phuket dan lain-lain. Tsunami membaham warga Pulau Pinang yang saban malam berpesta mungkar di Sungai Nibong. Tsunami juga memamah Pulau Pinang yang menjadi sarang pengedaran dadah, sarang pelacuran, sarang segala jenis kemungkaran dan sarang sampah!
Tsunami juga menelan Sri Langka dan India yang menjadi pentas tradisi menyembelih umat Islam. Tsunami juga menelan Maldives yang menjadi destinasi pelancongan pengunjung warga Barat sehinggakan nilai Islamnya langsung tenggelam tidak kelihatan. Sesungguhnya Tsunami menelan tanah air dan anak watan yang begitu peri lakunya. Amat pedih untuk menyebut hakikat ini, namun kita perlu akur.
Janganlah 'terlalu saintifik' sehingga tidak sudi memikirkan hakikat ini. Tiada kerosakan yang berlaku di muka bumi ini kecuali dengan asbab.
Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Rum ayat 41:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)"
Seterusnya, ingatlah kembali kepada apa yang telah saya sebutkan di awal tadi, bahawa Allah SWT mengekalkan kisah ini di dalam ingatan sekalian manusia, agar kita semua mengambil peringatan.
Qatadah telah menyebut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari [Sahih al-Bukhari nombor 4869], "Allah SWT telah mengekalkan kapal Nuh supaya ia sampai kepada pengetahuan generasi awal umat ini".
WASIAT NUH ALAYHI AL-SALAAM
Sebagai penutup, renungilah wasiat Nabi Nuh Alayhi as-Salaam kepada anak-anaknya yang beriman sebelum Baginda wafat pulang kepada Allah.
Imam Ahmad dan al-Bayhaqi telah meriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr bin al-'Aas Radhiyallahu 'anhuma, beliau berkata:
Suatu ketika kami sedang bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Kemudian datang seorang lelaki dari pedalaman yang memakai jubah besar berwarna hijau (Seehan) dan dihiasi dengan sutera. Lalu Rasulullah SAW berkata:
"Sesungguhnya sahabat kamu ini telah meninggalkan setiap pahlawan berkuda anak pahlawan berkuda serta mengangkat setiap pengembala anak pengembala! (Pakaian yang melambangkan keangkuhan pemakainya)" Lalu Baginda SAW memegang jubah lelaki tersebut dan berkata kepadanya "Aku melihat engkau memakai pakaian orang yang tidak berakal!" Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi "Sesungguhnya Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam ketika nazak menghadapi kematian, beliau berkata kepada anaknya:
"Sesungguhnya aku mahu meninggalkan wasiat kepada kamu. Aku perintahkan kepada kamu dua perkara dan aku tegah kamu daripada dua perkara. Aku perintahkan kamu dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Sesungguhnya jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di suatu timbangan dan Laa Ilaaha IllaLlaah diletakkan di suatu timbangan yang lain, nescaya Laa Ilaaha IllaLlaah itu lebih berat. Seandainya tujuh petala langit dan bumi itu suatu rangkaian yang samar dan rapuh, ia terjalin kukuh dan kemas dengan Laa Ilaaha IllaLlaah.
Aku juga memerintahkan kamu dengan Tasbih dan Takbir. Sesungguhnya dengan demikian terhasil kesejahteraan setiap sesuatu dan dengannya jua makhluk dikurniakan rezeki.
Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)"
Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik?
Rasulullah SAW menjawab, "Tidak"
Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, "Tidak"
Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, "Tidak"
Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, "Tidak"
Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu?
Nabi SAW menjawab, "Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!"
[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79]
Inilah pesanan Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam kepada anaknya sebelum wafat. Dan kita ini semua adalah cucu cicitnya Baginda. Terimalah nasihat ini sebagai peringatan.
Sesungguhnya Tauhid dan Kalimah Tauhid adalah sebesar-besar perkara di dalam hidup ini. Menjadikan ia sebagai fokus diri, dan seterusnya disempurnakan pula dengan Takbir membesarkan Allah dan Tasbih mensucikanNya pada lisan dan perbuatan. Syirik yang muncul dengan pelbagai versi di dalam kehidupan kita hari ini bersama perbuatan angkuh, bongkak, takabbur atau Kibr itu pula hendaklah dijauhi. Sesungguhnya Syirik dan takabbur itu telah menjadi syiar dan cara hidup ramai manusia pada hari ini.
Manusia angkuh dengan Allah, orang ramai bongkak dengan hukum hakamNya, malah masih berani berpesta di Sungai Nibong walaupun bencana Tsunami hanya beberapa kilometer jaraknya. Selepas teguran dibuat oleh Mufti dan orang ramai, TV3 masih tidak segan silu meneruskan silsilah Konsert Sure Heboh yang hanya mengukuhkan lagi hedonisma sebagai rukun kehidupan masyarakat sekarang. Tidakkah sikap begini bermaksud memperlekehkan kebenaran? Bukankah sikap ini yang terpilih menjadi amaran Nabi Allah Nuh yang menyaksikan umatnya ditenggelamkan 'Tsunami'?
Apabila masyarakat kita diperingatkan oleh alim Ulama dengan kebenaran, ramai yang gembira mempersendakan kebenaran tersebut. Ramai yang memperlekehkan ayat-ayat Allah tanpa segan silu. Bahkan dengan sifat jelek seperti itu, tidak hairan jika ramai pula yang zalim, menindas sesama manusia sama ada dengan kuasa, akta, mahu pun sikap dan tanduk di peringkat individu.
Apakah kita mahu menunggu sehingga bumi Malaysia tersenak hidung dengan gelimpangan mayat seperti di Acheh, baru mahu tersentak dari kelekaan semua dan selama ini? Setiap kali menonton siaran berita di televisyen, saya tidak dapat menahan sebak di dada. Tetapi apabila mengenangkan kebiadapan manusia hari ini, mungkin Tsunami sahaja yang mampu memecahkan tempurung kepala kita hari untuk faham dan menginsafi kuasa Allah SWT. Ceramah tak makan, motivasi tak jalan, nasihat tak dilayan, teguran dipinggirkan, yang menang akhirnya tetap hiburan dan keseronokan. Tidakkah kita sebenarnya sudah terlalu jauh pergi meninggalkan sifat diri sebagai hamba Tuhan?
Tepuk dada tanyalah iman…
Salam takziah dari saya untuk tamadun manusia.
" Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi." (Al-A'raaf 98-99)
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Kuala Lumpur 31 Disember 2004
November 1, 2010
Selamat Maju Jaya, Puan Doktor!
"Suami boleh masak?"
"Anak berapa orang?"
"Bila nak tambah yang seterusnya?"
"Ada pembantu rumah?"
"Kalau nak ambil pembantu rumah, ada masalah?"
Itu adalah di antara soalan yang dituju oleh panel penemuduga kepada isteri saya semasa temuduga di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Hampir tidak ada soalan serius berkaitan klinikal. Kebanyakannya lebih menyentuh aspek sosial serta visi dan misi yang ada di fikiran calon program Clinical Masters di bidang Emergency Medicine yang seorang ini.
Ia kenangan lebih empat tahun lalu.
MAHU PILIH BIDANG APA?
"Family Medicine atau Emergency Medicine?" kami saling bertimbang tara.
Pengalaman bekerja selama kira-kira tiga tahun, belum cukup untuk menjelaskan fikiran, bidang apakah yang bakal isteri saya membuat pengkhususan. Biar pun saya tidak mempunyai sebarang kena mengena dengan bidang perubatan, perkongsian hidup kami sebagai suami isteri dengan kerja-kerja di hospital saban hari isteri saya ceritakan sebagai rutin harian kami, saya secara tidak langsung memainkan peranan sebagai pembantu peribadinya.
Semasa di Republic of Ireland, kontrak kerja untuk setiap posting para SHO (senior house officer) hanya enam bulan.
Ini bermakna setiap enam bulan para doktor ini perlu memohon kerja!
Terdesak untuk mendapat kerja, hampir apa sahaja tawaran yang diiklankan, pasti akan dipohon.
"Sanggupkah kita berpindah ke Cork?" isteri saya bertanya.
"Tak mengapa. Di mana-mana sahaja. Asalkan kita bersama" saya membalas.
[image error]
Setiap Khamis, saya akan membeli surat khabar Irish Independent kerana memantau iklan tawaran kerja. Haematology, Medical, Cardiology, Endocrinology, apa sahaja yang diiklankan, saya akan menggunting keratan akhbar, menandakannya selepas menyelesaikan tugasan memasak, mengemas rumah, memandikan anak dan melunaskan assignment pengajian Open University UK.
Bersama-sama isteri yang keletihan pulang bekerja, kami akan mengemaskinikan resume beliau dan menggunakan 'kuasa bahasa' saya 'menggoreng' surat permohonan kerja.
Mengapa mahu bekerja di Jabatan Haematology Hospital Universiti di Galway?
Mengapa mahu bekerja di Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital Tallaght di Dublin?
Mengapa mahu bekerja di Jabatan Perubatan Hospital Naas di County Kildare?
Kami menempuh kehidupan berpindah randah dari satu bandar ke satu bandar apabila menerima tawaran kerja yang dipohon. Biar pun penuh jerih dan payah, kehidupan semasa itu sungguh sederhana, bahagia lagi mendamaikan.
"Hah, kenapa menangis?" pernah sekali saya menyergah isteri.
"Sakit hati dengan doktor dari Pakistan itu. Sentiasa membuli!" cerita isteri saya.
"Lawan, jangan biarkan. Habiskan semuanya di hospital. Jangan dendam dibawa balik ke rumah" saya menghasut.
Dari semasa ke semasa, saya memberikan telinga untuk mendengar segala keletihan dan tekanan kerja, salah diagnosis hingga seperti hampir putus nyawa kerana khuatir, juga dibuli doktor-doktor lelaki yang chauvanist.
Mempertimbangkan semua pengalaman itu, saya yakin isteri saya paling gembira semasa beliau bertugas di Wad Kecemasan. Di Hospital Tallaght, di selatan Dublin, ibu kota Republic of Ireland.
Memang meletihkan.
Begitu juga persepsi rendah doktor di jabatan lain yang menganggap Wad Kecemasan sebagai tempat buangan.
Tetapi di situlah isteri saya belajar bertindak spontan terhadap kes-kes yang tidak boleh dijangka, mempelajari pelbagai kemahiran membabitkan O&G, psikiatri, paedatrik, medikal, surgikal, radiologi malah undang-undang (medic0-legal).
Segalanya berbaloi.
[image error]
"Programnya panjang dan berat. Peringkat yang menentukan siapa kita untuk seluruh usia kerjaya akan datang. Janganlah pilih mengikut keperluan semata-mata tetapi pilih yang paling diminati. Yang ada passion! Jangan khuatirkan abang dan anak-anak. Kami menyokong sepenuhnya, Insya Allah" itu ulasan penutup saya sebelum beliau membuat keputusan akhir.
Isteri saya memilih untuk menjadi pakar di dalam Perubatan Kecemasan.
Bidang ini memberi peluang yang paling luas untuk seorang doktor mempelajari hampir kesemua aspek pengkhususan yang wujud di dalam perkhidmatan kesihatan. Bidang yang masih agak baru di Malaysia namun mempunyai prospek yang tinggi di masa hadapan, adalah bidang yang paling menepati jiwanya, seorang wanita Muslimah yang sukakan cabaran, namun cepat bosan dengan rutin kes yang terlalu spesifik dalam skop yang terbatas.
Perubatan Kecemasan merangkumi sejumlah besar bidang General Medicine dan surgikal dan sub-surgikal. Seorang doktor di bidang perubatan kecemasan bertanggungjawab memeriksa dan merawat pesakit dalam jumlah yang besar, memerlukan pengetahuan yang luas dan kemahiran prosedural yang pelbagai termasuk prosedur bedah, resusitasi trauma, advanced cardiac life support dan advanced airway management. Seorang doktor di dalam bidang Perubatan Kecemasan juga harus mempunyai banyak kemahiran pakar untuk resusitasi pesakit (Critical Care Medicine), anesthesia, plastic surgery, orthopedic surgery, cardiology, obstetrics and gynecology, ENT, cardiothoracic surgery dan radiology.
Clinical Masters in Emergency Medicine adalah pilihannya.
Bismillah, dengan nama Allah langkah pertama dimulakan.
EMPAT TAHUN YANG PENUH MEHNAH
[image error]
Semenjak di tahun pertama program pengajian, kehidupan kami menempuh pelbagai ujian.
Kursusnya pelbagai, selain tutorial mingguan dan laporan kes, isteri saya juga pergi ke sana sini mendapatkan pelbagai kemahiran yang hakikatnya terlalu lasak untuk seorang perempuan. Belajar berenang untuk proses menyelamat di dalam air, menyertai latihan bersama akademi polis untuk mengenal tabiat peluru, bomba, tentera, pasukan paramedik, malah pasukan Formula 1, Karate dan 1001 lagi… sungguh mencabar!
Namun, gelanggang ujian yang besar buat kami adalah kelangsungan mahligai rumahtangga dan keluarga.
Saya yang ketika itu bergaji amat kecil, bekerja keras untuk menampung kehidupan. Isteri juga berusaha untuk bekerja sambil belajar, kehidupan kami yang serba sederhana menempuh pelbagai ujian.
Tidak sedikit salah faham yang terjadi.
Tidak kurang pertengkaran yang berlaku.
Semuanya banyak berpunca daripada tekanan hidup hingga perkara kecil menjadi besar.
Dalam suasana hidup yang masih kurang pilihan, saya menerima apa sahaja peluang tugasan dan kesannya membawa kepada banyaknya out station hingga ke luar negara. Keadaan itu meninggalkan isteri saya menanggung keletihan yang banyak, dengan tambahan kelahiran cahaya mata kami yang ketiga, Muhammad Imaduddin, ketika isteri saya bertarung dengan peperiksaan Tahun 1 yang amat mencabar. Tiada cuti bersalin. Hanya cuti tahunan sebanyak dua minggu dengan tambahan beberapa hari ihsan rakan-rakan di Jabatan Kecemasan, beliau kembali bertugas semasa masih di dalam 'tempoh berpantang'.
Selepas siri kerja saya di Republic of Ireland (2 kali), Australia, Jepun, Indonesia, Dubai dan Doha, saya nekad menjadikan tahun 2009 sebagai tahun domestik. Saya menyimpan pasport dan selama setahun, saya menolak semua jemputan ke luar negara kerana mahu memberikan sokongan yang diperlukan oleh isteri.
Tanpa ke luar negara, sekurang-kurangnya sebarang permasalahan kami tempuh bersama.
Salah faham dan perbalahan tetap berlaku. Namun, kuasa besar yang menjadi pelampung keselamatan hidup kami adalah kekuatan komunikasi.
Komunikasi dengan Allah berupa doa.
Komunikasi antara kami melalui perbincangan.
Setiap konflik yang timbul, kami memaksa diri untuk duduk berbincang.
Air mata, amarah, ketawa, suka dan duka, bersulam mengkuang menjadi tikar kami menempuh hidup yang serba mencabar. Dalam warna warni hidup itulah, terbitnya pelbagai artikel di blog www.saifulislam.com dan membawa kepada berhasilnya buku Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga serta Murabbi Cinta yang merakam suka duka kehidupan kami.
Tiada apa yang hendak dibanggakan.
Semuanya lebih berupa sebuah kesyukuran dan kelegaan.
Bermula dengan sebuah kehidupan yang serba sederhana, berempat, berlima dan di Tahun 3 pengajian, kami menyambut ahli keenam di dalam keluarga dengan kelahiran Ahmad Muizzuddin. Proses mengandung dengan kehamilan songsang (breech pregnancy) serta komplikasi Placenta Previa peringkat 2, keputusan berat terpaksa dibuat untuk menangguhkan satu semester pengajian setelah sebulan isteri saya terlantar di wad.
Alhamdulillah Ahmad Muizzuddin lahir, biar pun dengan cabaran yang besar, 6 bulan penangguhan yang tidak dirancang itu memberikan banyak kelegaan buat kami sekeluarga.
PUNCAK PERJALANAN
Hari ini, detiknya telah tiba.
Setelah 4 tahun setengah perjalanan, hari ini isteri saya menduduki peperiksaan akhirnya.
Saya doakan agar kesemua modul peperiksaan ditempuh olehnya dengan tenang, baik malah cemerlang.
Sebagai suami, pembantu peribadi, dan peminatmu, sekalung doa kupanjatkan ke hadrat Allah agar minggu ini dirimu, juga teman-teman yang bersama menempuh peperiksaan itu, dilimpahkan oleh Allah dengan rahmah, barakah, taufiq dan 'inayah, agar di hujung minggu ini, kita sama-sama mengakhiri perjalanan ini dengan sebuah PERMULAAN.
Sebagai doktor pakar di bidang Perubatan Kecemasan.
An Emergency Physician.
Selamat maju jaya, sayang!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
October 27, 2010
AL-IBAHIYYAH: Melengkapkan Syarat Sebuah Kemusnahan
[image error]
-Foto ihsan Malaysiakini.Com
"If there is one lesson which history has taught us, it is the fundamental importance of will power, as much for nations as for individuals, and in every circumstance of life, great or small. Greek civilization ended in failure, not because of the lack of intelligence, but because of the lack of character, of morality!" - George Sarton, petikan buku Introduction to the History of Science.
Bukan agama tidak memberitahu.
Bukan sejarah tidak membentang realiti.
Hanya diri yang angkuh menolak bukti.
Benarlah HEDONISM itu didefinisikan sebagai berpaksi kepada PSYCHOLOGICAL EGOISM.
Saya hampir-hampir tidak mampu membicarakan hal ini dari sudut Islam kerana tidak yakin apakah ada secebis Islam telah dirujuk dalam penghasilan polisi sebegini. Halal dan Haram sudah tidak kelihatan, istilah berkat dan laknat, jauh sekali.
Segalanya tulen bersifat pleasure minus pain.
Ke mana perginya pelbagai slogan, gagasan dan rancangan berkaitan Islam semenjak era Penerapan Nilai-nilai Islam ke zaman Islam Hadhari?
Modal insan?
Semasa media berbual panjang tentang pembuangan bayi, pertambahan jumlah penagihan dadah, pesakit AIDS, kemusnahan akhlak generasi muda malah tua, jenayah yang sudah tidak terkawal, zina yang sudah hampir tenggelam daripada kejanggalan budi, bagaimana Program Transformasi Ekonomi (ETP) menawarkan solusi berupa menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan?
[image error]
Petikan PEMANDU.GOV.MY di bawah NATIONAL KEY ECONOMIC AREAS: TOURISM:
"4—Events, entertainment, spa and sports: Malaysia lags our neighbours in the magnitude and variety of events as well as in our nightlife offerings. Hosting more international events and promoting a vibrant nightlife is necessary to attract tourists and provide a boost to the tourism industry."
Hanya dengan membuat perbanding bersama negara jiran, yang jelas mendukung falsafah negara yang berbeza, kita terlalu tergesa-gesa membuat kesimpulan tindakan mahu menawarkan kehidupan malam yang lebih.
Lupakah kepada Rukunegara?
Kepercayaan kepada Tuhan?
Kesetiaan kepada Raja dan Negara?
Keluhuran Perlembagaan?
Kedaulatan Undang-undang?
Kesopanan dan Kesusilaan?
Berapa yang tinggal?
LAPORAN MALAYSIAKINI.COM
[image error]
Laporan Malaysiakini bertarikh 26 Oktober 2010 menyebut seperti berikut:
Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hab pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.
Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.
Langkah itu dijangka mendapat bantahan golongan konservatif agama yang sebelum ini telah berulang-kali berdemonstrasi membantah kehadiran penghibur antarabangsa. Sasaran terbaru mereka adalah bintang sensasi Amerika – Adam Lambert yang seorang 'gay'.
[image error]
foto: Malaysiakini.Com
Satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabnagsa ke negara ini.
Mulai suku terakhir 2010, acara antarabangsa yang menampilkan penghibur antarabangsa yang memenuhi tiga kriteria minimum dikecualikan daripada tertakluk kepada syarat-syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
Kriteria berkenaan adalah:
* Penarafan kelas A berasaskan pada kedudukan 100 teratas carta Billboard sejak lima tahun yang lalu;
* Menarik 2,500 penonton bagi setiap acara; dan
* Telah membuat pertunjukan di tiga tempat antarabangsa.
Selain mematuhi syarat Puspal, mereka bakal tertakluk kepada "garis panduan yang lebih fleksibel", pelepasan cukai, perlonggaran daripada imigresen untuk menjadikan Malaysia hub majlis acara antarabangsa.
Untuk meminda garis panduan Puspal, seperti yang dicadangkan, jawatankuasa Puspal akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang terlibat (majlis tempatan, Jabatan Imigresen, dan Kementerian Kewangan). Kementerian Pelancongan akan memantau dan menjejak proses pelaksanaan.
[image error]
foto: Malaysiakini.Com
Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan
Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.
Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.
"Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020," petik laporan itu.
Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan
Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.
Menerusi kerjasama dengan Greater KL/KV NKEA, dipersetujui bahawa lokasi berpotensi bagi kawasan hiburan baharu ialah kawasan di sekitar Central Market.
Kawasan ini akan direkabentuk untuk menarik pelancong dengan kemudahan 24 jam, keselamatan awam yang mencukupi, pengangkutan dan infrastruktur, tetapi ia akan kekal terpisah dari kawasan kediaman dan keagamaan.
[image error]
SOLUSI APAKAH INI?
Pelancong-pelancong dari negara maju pergi ke destinasi seperi Malaga, Majorca, Ibiza, Faro, Alicante dan Palma untuk melempiaskan nafsu hedonistik mereka, kemudian pulang ke negara masing-masing untuk kembali memacu tamadun. Tiada satu pun lokasi itu menjadi simbol kemakmuran hidup dan kemajuan untuk dijadikan uswah menjana ekonomi negara kita Malaysia.
Justeru apakah yang dipercayai oleh manusia-manusia berkebijakan ekonomi perangka ETP ini?
Andai ada keuntungannya sekali pun, apakah ia mahu diraih di atas kemusnahan anak watan?
Atau kita memang teruja dengan hakikat bahawa nama-nama seperti Malaga, Majorca dan Ibiza itu adalah BEKAS TANAH AIR UMAT ISLAM? Seperti kemusnahan Beirut yang sudah lebih awal menjadi hub hiburan serantau bergelar Paris of the Middle East?
Mahu menjadikan Malaysia sebagai bekas tanah air umat Islam?
Sungguh sukar untuk difahami.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengeluh tentang gejala sosial, diskriminasi wanita, dan keruntuhan institusi rumahtangga, Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak cukup tangan menangani krisis sedia ada, tiba-tiba semuanya itu mahu digandakan dengan solusi sejelek ini.
Atau apakah semuanya hanya berupa sebuah hipokrasi?
PERMISSIVE SOCIETY
Biar pun UMNO berada di dalam mood survival dengan persembahan lemahnya pada Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, tanpa mengambil kira faktor terakhir itu, ETP dengan begitu drastik berani mempromosikan sebuah gagasan ke arah menjadikan masyarakat Malaysia sebagai sebuah PERMISSIVE SOCIETY. Ia adalah istilah yang dirujuk kepada masyarakat yang norma-norma sosialnya semakin berubah menjadi liberal. Perubahan itu termasuk pada mengubah pandangan terhadap sesuatu yang pernah dianggap sebagai salah dan sesat.
Perkara yang baik dan buruk menurut neraca Islam, dinamakan sebagai MAARUF (معروف) vs MUNKAR (منكر). Perkataan MAARUF yang terbit daripada kata akar 'ARAFA (عرف) itu bermaksud sesuatu yang diketahui umum (a norm) dan menjadi kebiasaan orang ramai. Manakala perkataan MUNKAR yang terbit daripada kata akar NAKARA (نكر)memberi maksud sesuatu yang dibantah atau diingkari kerana kejanggalannya terhadap masyarakat.
Betapa anjalnya perkataan itu, Allah Subhanahu wa Ta'aala mahu memperingkatkan kepada kita betapa definisi baik dan buruk amat terkait rapat dengan perkembangan amalan kebiasaan di persekitaran kita. Apabila usaha dakwah lumpuh, masyarakat mula menerima sesuatu yang jahat dan keji sebagai kebiasaan, maka kebaikan mula menjadi MUNKAR dan kejahatan menjadi MAARUF.
Itulah falsafah PERMISSIVE SOCIETY.
Ia disebut di kalangan pengkaji Islam sebagai AL-IBAHIYYAH (الإباحية) iaitu Gerakan Pengharus!
Gerakan yang berusaha untuk mengharuskan apa sahaja hingga hampir-hampir tiada pantang larang kecuali 'jangan ganggu orang lain'.
Tragis sekali, kita sesungguhnya sedang menuju ke arahnya.
Marilah kita bersama merenung firman Allah yang Maha Esa ini buat peringatan kita bersama:
[image error]
"Orang-orang Munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang daripada perbuatan yang baik. Dan mereka pula menggenggam tangannya (bersifat bakhil kedekut). Mereka telah melupakan Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang Munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik." [Al-Taubah 9: 67]
MASIH SEBUAH PELAN
Sesungguhnya masih belum terlambat. Masih punya masa. Nafas masih mengisi dada, mentari masih setia di ufuknya.
Nasihatilah diri dan keluarga, nasihatlah rakan dan jiran tetangga. Nasihatlah masyarakat dan orang ramai. Nasihatlah semua yang sampai nasihat kita kepadanya.
Namun nasihat khusus buat pemimpin negara, murka Tuhan jangan dileka, balanya ke atas kamu, kami dan anak-anak kita.
Akhirnya:
[image error]
Oleh itu, biarkanlah mereka (Wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatannya dan leka bermain-main (dalam dunianya), sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan)! [al-Ma'aarij 70: 42]
Selamatkanlah negara kami ya Allah!
Julius Caesar sedang menggula-gulakan Rom dengan hiburan menuju kehancuran!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
p/s: tidak cukup maruah untuk mengulas peranan Ulama Muda UMNO
October 26, 2010
SEMINAR 3K: Kisah di Balik Tabir
"Ana takut baca soalan-soalan yang orang hantar melalui emel" saya membuka cerita.
"Kenapa ustaz?" tanya Acap.
"Betapa naifnya ibu bapa muda sekarang. Tak tahu nak buat macam mana apabila anak demam panas. Semudah sponging pun boleh tak terfikir. Sanggup bawa anak ke wad kecemasan tengah-tengah malam buta" saya berceloteh.
"Tapi ustaz, dari mana mereka nak tahu semua tu? Mak ayah pun tak ada rasanya bagi ingatan?" Dzul menyoal.
Ada benarnya.
Tanpa sedar, kita percaya bahawa soal mengendalikan hal rumahtangga ini cukup sekadar berpegang dengan fahaman 'pandai-pandai kamu le'.
"Anta, Shakir. Sikit lagi nak jadi ayah. Banyak benda nak kena buat persiapan. Isteri mengidam satu bab. Bagaimana pula dengan postpartum depression (PPD)? Adakalanya, kita sebagai suami dan bapa, kena jauhkan anak daripada ibunya seketika kalau PPD menjadi berat" saya berleter.
"Ana sentiasa bersedia, ustaz!" balas Shakir.
"Ana pernah dengar, kalau seorang ibu yang meroyan lepas bersalin membunuh bayinya, dia tidak disabitkan hukum membunuh kelas 1, betul ke?" Asyraf memanjangkan soalan.
"Kalau di UK, betullah tu. Tapi kalau di Malaysia ana tak pasti pula" saya memberikan reaksi.
"Macam-macam cabaran rumahtangga ni, ya. Bab kesihatan, bab undang-undang. Aduhai" Danial mengeluh.
"Ada satu lagi, bab komunikasi" saya menambah.
"Hah, orang lepas kahwin, susah betul nak dihubungi!" Shakir membidas.
"Apa semua tengok ana ni?" Dzul kaget.
"Haha. Bukan komunikasi yang itu. Maksud ana, interaksi ibu bapa dengan anak-anak, suami dengan mertua, ibu dengan menantu, benda-benda jadi makin meruncing sebab dalam suasana hidup yang banyak tekanan, tinggi expectation, komunikasi yang lemah akan memburukkan lagi keadaan" saya berkata.
"Kalau macam itu, kita rumuskan sahajalah semua ini menjadi topik seminar akan datang ini. Inilah cara kita membantu. Kalau ustaz berleter dalam mesyuarat pun tak ke mana juga, kan" kata Acap.
SEMINAR 3K
Terpanggil dengan keadaan semasa yang membimbangkan, Saifulislam Training & Consultancy mengambil langkah proaktif menyediakan medium sokongan untuk membantu, khususnya pasangan suami isteri dan ibu bapa muda mendapatkan panduan pengendalian rumahtangga di dalam suasana yang kasual bersama tenaga-tenaga pakar yang dijemput. Panduan-panduan berkaitan dengan undang-undang dan keselamatan, kesihatan dan komunikasi, yang kesemuanya diadun dengan acuan Islam, diharapkan dapat membantu kita semua berperanan dengan lebih efektif sebagai suami, isteri, bapa dan ibu yang merupakan tunggak kepada sebuah keluarga.
Bukan sahaja panelis, program kali ini juga menyediakan peluang bagi para peserta bertemu dengan pelbagai pihak yang berkongsi inspirasi yang sama dalam hal pembangunan keluarga seperti SUSUIBU.COM serta ALIMKIDZ PLAYGROUP. Booth yang disediakan akan menyediakan ruang untuk kita berinteraksi dan mendapatkan maklumat berkaitan.
Jemput hadir bagi sahabat-sahabat yang berkelapangan.
Maklumat lanjut boleh dibaca di http://saifulislam.com/?p=8760 .
Loading…
October 24, 2010
Lambaian Galway Bay
Mencari damai di tebing Claddagh
Duduk di London, hujung bulan masih mencari kampung.
Duduk di Kuala Lumpur, terus menerus rindukan kampung.
Rezeki di kota, tetapi jiwa di kampung.
Di kota, kita dekat dengan bangunan-bangunan binaan manusia yang dicipta Allah. Di kampung kita dekat dengan alam semulajadi yang dicipta atur langsung oleh-Nya.
Mungkin di situ rahsianya rindu.
Bukan kampung halaman, bukan perantauan.
Tetapi rindukan kedamaian pada mendekatkan diri kepada-Nya.
Damai itulah yang dikenang-kenang dalam kebejatan politik semasa. Politik manusia memusnahkan negara atas nama patriotisme.
Jika di luar negara kita boleh menutup internet dan seketika melapangkan jiwa.
Namun tatkala kita menjadi sebahagian daripada kacau bilau itu, hanya kenangan yang boleh menyembunyikan keresahan.
Seketika.
GALWAY BAY
If you ever go across the sea to Ireland,
Then maybe, at the closing of your day,
You can sit and watch the moon rise over Claddagh
And see the sun go down on Galway Bay.
Just to hear again the ripple of the trout stream
The women in the meadow making hay
Just to sit beside a turf fire in the cabin
And watch the barefoot gossoons at their play.
For the breezes blowing o'er the sea from Ireland
Are perfumed by the heather as they blow
And the women in the uplands diggin' praties
Speak a language that the strangers do not know.
Yet the strangers came and tried to teach us their ways
And they scorned us just for bein' what we are
But they might as well go chasin' after moonbeams
Or light a penny candle from a star.
And if there is going to be a life hereafter
And faith, somehow I'm sure there's going to be
I will ask my God to let me make my heaven
In that dear land across the Irish sea.
I will ask my God to let me make my heaven
In my dear land across the Irish sea.
—-
Saya rindukan Claddagh.
Undan putih sekawan renang di muara, langit terbentang luas di gigi perairan Atlantik, sepoi bayu meniup syahdu.
Melepaskan pandang dan rasa sungguh mendamaikan jiwa.
Semoga buku Travelog Tarbiah versi Eropah saya segera sampai ke penutupnya, ameen.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
October 22, 2010
IFF: Menghina Islam Atas Nama Islam
Penyebaran fesyen jahiliah atas nama Islam di pentas Islamic Fashion Festival (IFF)
Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)?
Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing?
Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada di dalam arus perdana. Sesuatu yang jarang dilihat sebagai 'ajaran sesat', tetapi cukup banyak memesongkan manusia daripada landasan hidayah.
Itulah BUSANA MUSLIMAH.
LANDSKAP 1990′AN
"Mak Fatih di Turki, purdahnya bukan sehelai kain tambahan yang menutup muka. Tetapi tudung yang dipakai, digenggam dengan tangan di bahagian hidung. Semua perempuan pakai seluar besar," saya berbual dengan ibu tentang cara berpakaian wanita Anatolia yang saya lihat.
"Nak kenal mahasiswi Turki senang sahaja. Ramai di kalangan mereka suka memakai tudung dengan sanggul tinggi," saya bersembang dengan rakan-rakan di Jordan.
"Bukan sanggul tinggi itu, bonggol unta yang Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam laknat dalam hadith tu ke?" tanya rakan saya.
"Betul dah tu. Tak apa, kita buang sanggul tu, kita ambil tudungnya sahaja. Buat hadiah. Bukan senang nak dapat tudung sutera Turki di Malaysia" saya menokok perbincangan.
Kelana saya ke pelbagai negara umat Islam di era 90′an, memperkenalkan saya kepada pelbagai bentuk pakaian yang disesuaikan dengan budaya, persekitaran dan keperluan, namun masih mengekalkan prinsip-prinsip asas berpakaian menurut Islam. Pelbagai bentuk seluar, abaya, tudung, malah pelbagai bentuk niqab, kesemuanya membentuk satu kesediaan pada diri saya untuk lebih dinamik dalam mendefinisikan apa itu fesyen dan seluas manakah ruang yang disediakan oleh Islam untuk ia berkembang.
Ketika itu, segala-galanya masih asing daripada masyarakat kita.
Baju kurung, masih kekal dengan potongan baju kurung yang biasa.
Tudung juga tidak banyak jenis.
Malah berpurdah masih asing dan pantas dikaitkan dengan Jemaah al-Arqam.
Saya juga boleh rancak bercerita tentang pengalaman saya di negara Arab kerana jarang-jarang sekali muka Arab ditemui di jalanan ibu kota negara. Malah Malaysia hampir-hampir tidak termasuk di dalam destinasi pelancongan warga negara Arab yang ketika itu masih berkiblatkan Eropah untuk percutian mereka.
LANDSKAP SEMASA
Hari ini, komunikasi, teknologi maklumat dan mobilisasi manusia mengalami perubahan yang besar. Globalisasi menghimpunkan manusia yang pelbagai di sebuah perkampungan antarabangsa. Masyarakat kita semakin terdedah dengan pelbagai bentuk budaya dan ekspresi diri termasuklah fesyen. Pelbagai idea datang untuk mengembangkan cara berpakaian kita, khususnya untuk wanita Muslimah.
Industri fesyen semasa berkembang maju. Ia sesuatu yang boleh dihargai pada sudut-sudut positifnya.
Baguslah begitu.
Dahulu kala, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan HIJRAH bukan sekadar pada memakai tudung, tetapi terus kepada mengubah keseluruhan penampilan diri dan gaya hidup. Imej perubahan diri Hajjah Wan Chik Daud, Siti Fairuz, Rahimah Rahim juga Noorkumalasari, memperlihatkan hijrah itu benar-benar suatu hijrah.
Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, HIJRAH boleh berlaku dalam format yang lebih mudah. Ia tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, namun sekadar mengenakan tudung atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang dianggap sebagai simbol perubahan diri. Semakin lama, ia semakin berkembang. Malah perkembangan fesyen alternatif ini sudah sampai kepada berjaya menganjurkan pertunjukan fesyen di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
Antaranya adalah Fashion Show Busana Muslim 2010 di MIDF HALL, di ibu kota Kuala Lumpur tidak lama dulu.
Versi DUBAI!
PENTAKRIFAN
[image error]
"…Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…" [al-Ahzaab 33: 33]
Sejauh manakah pakaian itu boleh diterima sebagai Busana Muslimah?
Bagaimana dengan batas-batas Aurat?
Bagaimana dengan sifat bersederhana dan MALU yang menjadi tunjang ekspresi diri pada berpakaian itu?
Perkembangan semasa, memperlihatkan, apa yang dilabelkan sebagai Busana Muslimah itu, bukan lagi sekadar Tabarruj Jahiliah malah sudah menjadi al-Kaasiaat al-'Aariyaat seperti yang diungkapkan oleh Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam yang bermaksud SEPARUH TELANJANG, atau BERPAKAIAN TAPI BERTELANJANG.
[image error]
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam telah bersabda, "Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. "[Hadith riwayat Muslim]
Fesyen yang membiarkan leher keluar, telinga keluar, dada terdedah, jenis kain lembut yang rapat membalut tubuh dengan bentuk yang menonjol, semua itu diterima sebagai sebahagian daripada kriteria BUSANA MUSLIMAH. Malah tahun 2010 menyaksikan berleluasanya pemakaian tudung dengan bonggol yang sangat menonjol di bahagian atas kepala, sama ada oleh rambut sendiri yang panjang, atau dengan sanggul palsu yang dijual di kedai HIJAB?
[image error]
Sekadar meletakkan sesuatu di atas kepala, atau melabuhkan top hingga ke bawah ala-ala jubah atau abaya, jadilah ia BUSANA MUSLIMAH!
Di manakah Islamnya?
Pakaian ini diberikan kepada artis-artis yang mungkin di hatinya memang mahu membuat perubahan diri. Saya tidak berada di posisi untuk menilai niat di hati sesama insan. Tetapi niat yang baik itu ditemukan dengan solusi yang sangat jauh daripada Islam. Apatah lagi, dengan status pemakainya sebagai ikon masyarakat (jika masih mahu mengikonkan artis), ia menjadi ikutan. Lalu berleluasalah segalanya.
Tidak sampai ke suku ketiga tahun 2010, penyelewengan cara berpakaian menurut Islam semakin menjadi-jadi.
Jika kalian yang tidak pernah bertudung, mula bertudung dengan fesyen sebegini, mungkin sukar untuk menghayati perubahannya. Namun bagi kalian yang dahulunya berpakaian secara sederhana tetapi mula memperagakan fesyen seperti ini, tanyalah secara jujur ke dalam hati, adakah kalian semakin malu di hadapan Allah atau semakin berani dan bijak mencipta justifikasi?
Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seorang wanita Muslimah dan lelaki Muslim yang belum menutup aurat untuk segera mencari kekuatan berbuat demikian. Tetapi menyambut kejayaan membuat perubahan dengan menghantar mereka ke daerah Busana Muslimah yang sangat bercanggah dengan Islam ini, ia adalah suatu kesesiaan yang mengundang penyesalan.
KUASA BESAR DI SEBALIK TABIR
Sedutan www.islamicfashionfestival.com.my
Bukan hanya di Dubai seperti paparan di atas, penyebaran konsep asing ini di atas nama Islam tidak berlaku sekadar di peringkat akar umbi masyarakat malah didukung oleh sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai Islamic Fashion Festival (IFF). Penganjur kepada Festival Fesyen Islam di peringkat antarabangsa ini ditubuhkan pada tahun 2006 dengan warga Malaysia menjadi tulang belakang utamanya, dengan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor sebagai penaung utamanya.
Gagasan ini mahu menyebarkan satu rujukan budaya dan visual yang mahu memperlihatkan bagaimana Islam boleh dimesrakan dengan dunia moden semasa serta memperbaiki imej Islam yang tercalar oleh keganasan di sana sini. Amat malang sekali apabila ijtihad sebenar ini tiada langsung memperlihatkan sebarang rujuk silang dengan agamawan, atau badan-badan agama untuk membimbing konsep rekaan fesyen yang mahu ditampilkan.
Terkini, Islamic Fashion Festival yang berlangsung di Monte Carlo pada 9 Ogos 2010 mengulangi penampilan atas nama Islam, yang sangat jelek dan terang-terangan menghina Syariat Allah Subhanahu wa Ta'aala.
"Saya berbangga kerana IFF telah berjaya sampai sebegini jauh untuk mempromosikan busana Islam dan mendapat maklum balas daripada pelbagai latar belakang dan agama di samping memperkukuhkan industri fesyen tersebut ke peringkat lebih tinggi" ujar Datin Paduka Seri Rosmah Mansor usai berlangsungnya Festival Fesyen Islamik tersebut.
Penyelewengan konsep 'Busana Muslimah' ini sesungguhnya bukan lagi kerja tukang jahit di Masjid India atau butik-butik kecil sekitar ibu kota. Islamic Fashion Festival bertindak sebagai sebuah gagasan antarabangsa yang mendapat empati dunia atas nama Islam progresif, moden dan anti keganasan.
Ia adalah sebuah gerakan.
"Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!"
BEBAS
"Inilah kata-kata orang agama. Semua salah" ulasan yang muncul.
"Semua itu hanya Male Chauvinism. Semua perbuatan orang perempuan mahu dikawalnya" tegas seorang yang lain.
Sesungguhnya kata-kata seperti itu sangat jauh dari kalam terbitan IMAN.
Islam memuliakan kaum lelaki dan perempuan, pada TAQWA, iaitu kualiti diri berkaitan dengan ilmu, bakat, Akhlaq, keupayaan diri dan jauh sekali daripada memperhambakan diri kepada mengejar usaha mengisi makna CANTIK yang tidak pernah berakhir itu. Sesungguhnya CANTIK itu adalah satu bentuk perhambaan wanita yang menyeronokkan (lagi menguntungkan).
Jika demikianlah komen-komen yang timbul tatkala saranan ini datang, ketahuilah anda sememangnya bebas berpakaian sesuka hati anda dan kita tidak akan mengganggu kebebasan individu yang dibanggakan itu. Namun sebaik sahaja pakaian jelek itu kalian nisbahkan kepada Islam, kami bangkit menentangnya.
Kami cemburu dengan agama kami.
BUSANA MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada Syariat Allah.
[image error]
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzaab 33: 36]
FULL STOP!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Islamic Fashion Festival Menghina Islam Atas Nama Islam
Penyebaran fesyen jahiliah atas nama Islam di pentas Islamic Fashion Festival (IFF)
Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)?
Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing?
Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada di dalam arus perdana. Sesuatu yang jarang dilihat sebagai 'ajaran sesat', tetapi cukup banyak memesongkan manusia daripada landasan hidayah.
Itulah BUSANA MUSLIMAH.
LANDSKAP 1990′AN
"Mak Fatih di Turki, purdahnya bukan sehelai kain tambahan yang menutup muka. Tetapi tudung yang dipakai, digenggam dengan tangan di bahagian hidung. Semua perempuan pakai seluar besar," saya berbual dengan ibu tentang cara berpakaian wanita Anatolia yang saya lihat.
"Nak kenal mahasiswi Turki senang sahaja. Ramai di kalangan mereka suka memakai tudung dengan sanggul tinggi," saya bersembang dengan rakan-rakan di Jordan.
"Bukan sanggul tinggi itu, bonggol unta yang Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam laknat dalam hadith tu ke?" tanya rakan saya.
"Betul dah tu. Tak apa, kita buang sanggul tu, kita ambil tudungnya sahaja. Buat hadiah. Bukan senang nak dapat tudung sutera Turki di Malaysia" saya menokok perbincangan.
Kelana saya ke pelbagai negara umat Islam di era 90′an, memperkenalkan saya kepada pelbagai bentuk pakaian yang disesuaikan dengan budaya, persekitaran dan keperluan, namun masih mengekalkan prinsip-prinsip asas berpakaian menurut Islam. Pelbagai bentuk seluar, abaya, tudung, malah pelbagai bentuk niqab, kesemuanya membentuk satu kesediaan pada diri saya untuk lebih dinamik dalam mendefinisikan apa itu fesyen dan seluas manakah ruang yang disediakan oleh Islam untuk ia berkembang.
Ketika itu, segala-galanya masih asing daripada masyarakat kita.
Baju kurung, masih kekal dengan potongan baju kurung yang biasa.
Tudung juga tidak banyak jenis.
Malah berpurdah masih asing dan pantas dikaitkan dengan Jemaah al-Arqam.
Saya juga boleh rancak bercerita tentang pengalaman saya di negara Arab kerana jarang-jarang sekali muka Arab ditemui di jalanan ibu kota negara. Malah Malaysia hampir-hampir tidak termasuk di dalam destinasi pelancongan warga negara Arab yang ketika itu masih berkiblatkan Eropah untuk percutian mereka.
LANDSKAP SEMASA
Hari ini, komunikasi, teknologi maklumat dan mobilisasi manusia mengalami perubahan yang besar. Globalisasi menghimpunkan manusia yang pelbagai di sebuah perkampungan antarabangsa. Masyarakat kita semakin terdedah dengan pelbagai bentuk budaya dan ekspresi diri termasuklah fesyen. Pelbagai idea datang untuk mengembangkan cara berpakaian kita, khususnya untuk wanita Muslimah.
Industri fesyen semasa berkembang maju. Ia sesuatu yang boleh dihargai pada sudut-sudut positifnya.
Baguslah begitu.
Dahulu kala, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan HIJRAH bukan sekadar pada memakai tudung, tetapi terus kepada mengubah keseluruhan penampilan diri dan gaya hidup. Imej perubahan diri Hajjah Wan Chik Daud, Siti Fairuz, Rahimah Rahim juga Noorkumalasari, memperlihatkan hijrah itu benar-benar suatu hijrah.
Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, HIJRAH boleh berlaku dalam format yang lebih mudah. Ia tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, namun sekadar mengenakan tudung atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang dianggap sebagai simbol perubahan diri. Semakin lama, ia semakin berkembang. Malah perkembangan fesyen alternatif ini sudah sampai kepada berjaya menganjurkan pertunjukan fesyen di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
Antaranya adalah Fashion Show Busana Muslim 2010 di MIDF HALL, di ibu kota Kuala Lumpur tidak lama dulu.
Versi DUBAI!
PENTAKRIFAN
[image error]
"…Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…" [al-Ahzaab 33: 33]
Sejauh manakah pakaian itu boleh diterima sebagai Busana Muslimah?
Bagaimana dengan batas-batas Aurat?
Bagaimana dengan sifat bersederhana dan MALU yang menjadi tunjang ekspresi diri pada berpakaian itu?
Perkembangan semasa, memperlihatkan, apa yang dilabelkan sebagai Busana Muslimah itu, bukan lagi sekadar Tabarruj Jahiliah malah sudah menjadi al-Kaasiaat al-'Aariyaat seperti yang diungkapkan oleh Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam yang bermaksud SEPARUH TELANJANG, atau BERPAKAIAN TAPI BERTELANJANG.
[image error]
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam telah bersabda, "Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. "[Hadith riwayat Muslim]
Fesyen yang membiarkan leher keluar, telinga keluar, dada terdedah, jenis kain lembut yang rapat membalut tubuh dengan bentuk yang menonjol, semua itu diterima sebagai sebahagian daripada kriteria BUSANA MUSLIMAH. Malah tahun 2010 menyaksikan berleluasanya pemakaian tudung dengan bonggol yang sangat menonjol di bahagian atas kepala, sama ada oleh rambut sendiri yang panjang, atau dengan sanggul palsu yang dijual di kedai HIJAB?
[image error]
Sekadar meletakkan sesuatu di atas kepala, atau melabuhkan top hingga ke bawah ala-ala jubah atau abaya, jadilah ia BUSANA MUSLIMAH!
Di manakah Islamnya?
Pakaian ini diberikan kepada artis-artis yang mungkin di hatinya memang mahu membuat perubahan diri. Saya tidak berada di posisi untuk menilai niat di hati sesama insan. Tetapi niat yang baik itu ditemukan dengan solusi yang sangat jauh daripada Islam. Apatah lagi, dengan status pemakainya sebagai ikon masyarakat (jika masih mahu mengikonkan artis), ia menjadi ikutan. Lalu berleluasalah segalanya.
Tidak sampai ke suku ketiga tahun 2010, penyelewengan cara berpakaian menurut Islam semakin menjadi-jadi.
Jika kalian yang tidak pernah bertudung, mula bertudung dengan fesyen sebegini, mungkin sukar untuk menghayati perubahannya. Namun bagi kalian yang dahulunya berpakaian secara sederhana tetapi mula memperagakan fesyen seperti ini, tanyalah secara jujur ke dalam hati, adakah kalian semakin malu di hadapan Allah atau semakin berani dan bijak mencipta justifikasi?
Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seorang wanita Muslimah dan lelaki Muslim yang belum menutup aurat untuk segera mencari kekuatan berbuat demikian. Tetapi menyambut kejayaan membuat perubahan dengan menghantar mereka ke daerah Busana Muslimah yang sangat bercanggah dengan Islam ini, ia adalah suatu kesesiaan yang mengundang penyesalan.
KUASA BESAR DI SEBALIK TABIR
Sedutan www.islamicfashionfestival.com.my
Bukan hanya di Dubai seperti paparan di atas, penyebaran konsep asing ini di atas nama Islam tidak berlaku sekadar di peringkat akar umbi masyarakat malah didukung oleh sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai Islamic Fashion Festival (IFF). Penganjur kepada Festival Fesyen Islam di peringkat antarabangsa ini ditubuhkan pada tahun 2006 dengan warga Malaysia menjadi tulang belakang utamanya, dengan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor sebagai penaung utamanya.
Gagasan ini mahu menyebarkan satu rujukan budaya dan visual yang mahu memperlihatkan bagaimana Islam boleh dimesrakan dengan dunia moden semasa serta memperbaiki imej Islam yang tercalar oleh keganasan di sana sini. Amat malang sekali apabila ijtihad sebenar ini tiada langsung memperlihatkan sebarang rujuk silang dengan agamawan, atau badan-badan agama untuk membimbing konsep rekaan fesyen yang mahu ditampilkan.
Terkini, Islamic Fashion Festival yang berlangsung di Monte Carlo pada 9 Ogos 2010 mengulangi penampilan atas nama Islam, yang sangat jelek dan terang-terangan menghina Syariat Allah Subhanahu wa Ta'aala.
"Saya berbangga kerana IFF telah berjaya sampai sebegini jauh untuk mempromosikan busana Islam dan mendapat maklum balas daripada pelbagai latar belakang dan agama di samping memperkukuhkan industri fesyen tersebut ke peringkat lebih tinggi" ujar Datin Paduka Seri Rosmah Mansor usai berlangsungnya Festival Fesyen Islamik tersebut.
Penyelewengan konsep 'Busana Muslimah' ini sesungguhnya bukan lagi kerja tukang jahit di Masjid India atau butik-butik kecil sekitar ibu kota. Islamic Fashion Festival bertindak sebagai sebuah gagasan antarabangsa yang mendapat empati dunia atas nama Islam progresif, moden dan anti keganasan.
Ia adalah sebuah gerakan.
"Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!"
BEBAS
"Inilah kata-kata orang agama. Semua salah" ulasan yang muncul.
"Semua itu hanya Male Chauvinism. Semua perbuatan orang perempuan mahu dikawalnya" tegas seorang yang lain.
Sesungguhnya kata-kata seperti itu sangat jauh dari kalam terbitan IMAN.
Islam memuliakan kaum lelaki dan perempuan, pada TAQWA, iaitu kualiti diri berkaitan dengan ilmu, bakat, Akhlaq, keupayaan diri dan jauh sekali daripada memperhambakan diri kepada mengejar usaha mengisi makna CANTIK yang tidak pernah berakhir itu. Sesungguhnya CANTIK itu adalah satu bentuk perhambaan wanita yang menyeronokkan (lagi menguntungkan).
Jika demikianlah komen-komen yang timbul tatkala saranan ini datang, ketahuilah anda sememangnya bebas berpakaian sesuka hati anda dan kita tidak akan mengganggu kebebasan individu yang dibanggakan itu. Namun sebaik sahaja pakaian jelek itu kalian nisbahkan kepada Islam, kami bangkit menentangnya.
Kami cemburu dengan agama kami.
BUSANA MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada Syariat Allah.
[image error]
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzaab 33: 36]
FULL STOP!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
October 19, 2010
Sinergi Keluarga Bahagia: Seminar 3K
HIKIKOMORI: Generasi-Z Idaman Kita?
"Bagaimanakah cara yang boleh kita gunakan untuk menyelamatkan generasi Y dan Z?" tanya salah seorang peserta forum.
Asas kebimbangan sudah dibentangkan.
Kemerosotan interaksi sesama manusia, bukan sahaja menyebabkan anak-anak kita kehilangan minat untuk berbual dengan ahli keluarga dan sanak saudara, malah banyak fondisi agama musnah.
Aktiviti galah panjang yang memerlukan 6 pemain setiap petang, berubah kepada PS2 yang diregukan dengan seorang rakan, berakhir dengan PSP yang dimainkan sendirian, dengan headset yang menyumbat telinga. Manusia yang asalnya hidup secara inter-dependant kini berubah menjadi sangat individualistik.
Buat masa ini, kesan kepada cara hidup semasa sudah dapat dirasa. Anak muda tidak bijak berbahasa, PR musnah oleh salah bicara, kesan kurangnya pendedahan dan interaksi sesama manusia.
Namun bagaimana di masa hadapan?
Saya gementar membaca tentang fenomena HIKIKOMORI di Jepun.
KESONGSANGAN SOSIAL
Hikikomori (ひきこもり or 引き籠もり, adalah satu istilah di dalam Bahasa Jepun yang memberi maksud fenomena manusia yang memilih untuk menyendiri serta menarik diri daripada kehidupan bermasyarakat. Mereka mengasingkan diri di tahap yang ekstrim disebabkan oleh pelbagai faktor yang bersifat akumulatif, berkait mungkin dengan masalah social phobia atau social anxiety. Malah mungkin juga agoraphobia, avoidant personality disorder atau sifat malu yang ekstrim lagi menyakitkan.
Golongan Hikikomori di Jepun, tidak meninggalkan rumah mereka untuk jangka masa yang panjang. Isolusi mereka berlangsung selama berbulan-bulan, bertahun-tahun malah ada yang mencecah dekad. Saya yakin, sukar untuk kita bayangkan remaja di Malaysia boleh terjebak kepada penderitaan sosial seperti benchmark Hikikomori.
Namun bagaimanakah keadaan anak-anak kita hari ini?
Hikikomori meninggalkan rumah mereka hanya apabila ada keperluan yang mendesak. Pengasingan diri yang berlaku itu menyebabkan mereka kehilangan teman, berhenti sekolah, berhenti kerja, sentiasa hidup dalam kegelisahan dan dalam banyak keadaan, memutuskan terus hubungan mereka dengan ahli keluarga terdekat.
Bibit-bibit ke arah itu semuanya jelas mewarnai perkembangan semasa remaja kita.
Bertemu dengan segelintir yang mempunyai ciri-ciri calon Hikikomori, saya seperti berdepan dengan mayat hidup.
Mereka kehilangan insight tetapi bukan schizophrenic. Pantang diberi peluang, remaja ini akan sentiasa berusaha untuk balik ke bilik, menyumbat telinga dengan Ipod, memutuskan hubungannya dengan dunia luar. Itu pengalaman biasa di kem-kem remaja kita.
Hikikomori di Jepun bukan fenomena golongan bawahan. Taraf hidup yang rendah, tidak mengizinkan ibu bapa menyuap anak-anak dengan keperluan hidup mereka secara pasif tanpa anak itu perlu keluar meninggalkan bilik dan rumah. Mereka perlu membantu ibu bapa, kemudiannya keluar bekerja dan semua itu menjadi suatu bentuk paksaan untuk Hikikomori tidak berlaku. Hikikomori adalah fenomena remaja golongan pertengahan dan elit.
Selain trauma dengan pengalaman sosial seperti menjadi mangsa kes buli yang ekstrim, Hikikomori juga boleh terjadi akibat tekanan melampau yang dikenakan ke atas remaja, terutamanya budaya KIASUISM yang menjadi-jadi menerusi sistem pendidikan, desakan pekerjaan dan dikahwinkan pula keadaan ini dengan keupayaan nafkah ibu bapa menyuap anak-anak dengan keperluan hidupnya tanpa menyedari si anak mula merangkak ke dunia Hikikomori.
[image error]
Dr. Tamaki Saito
[foto milik The Mainichi Daily News]
Dr Tamaki Saito, pakar psikiatri berkaitan Hikikomori berpendapat, punca kepada fenomena ini berakar umbikan sejarah dan struktur sosial masyarakat Jepun.
Puisi-puisi dan muzik tradisional Jepun sering mengagung-agungkan pemencilan diri. Maka tidak hairanlah jika sehingga pertengahan kurun ke-19, Jepun sendiri telah memutuskan hubungannya dengan dunia luar selama 200 tahun.
Tetapi, ada sesuatu yang turut menarik perhatian kita. Dr. Saito menjelaskan juga bahawa fenomena Hikikomori ini banyak dialami oleh orang lelaki, terutamanya anak sulung. Ia berkait rapat dengan betuk hubungan simbiotik dan co-dependent yang unik di antara ibu dengan anak lelaki mereka di Jepun. Ibu-ibu yang keterlaluan dalam melindungi anak mereka, terutama anak sulung yang juga lelaki, mendorong kepada berlakunya keadaan luar biasa yang disebut sebagai Amae (甘え) iaitu perilaku seseorang yang cuba untuk memujuk, menarik dan mendesak pihak yang berkuasa, seperti pasangannya, guru, orang tua, majikan atau penjaga untuk melindungi, membekalkan keperluan tanpa batasan kepada dirinya.
Apabila hal ini berlaku kepada si ibu, beliau sendiri tidak sedar bahawa anaknya telah 'memperalatkan' kasih sayangnya untuk si anak itu memutuskan hubungan dengan dunia luar, tetapi memanfaatkan bantuan si ibu untuk hidup sebagai Hikikomori di dalam dunia kecilnya yang penuh misteri.
Menakutkan.
PENCEGAHAN DAN SOLUSI
"Apa penyelesaiannya?" soalan yang besar untuk dijawab.
Sebagaimana punca Hikikomori itu bersifat akumulatif, penyelesaiannya juga bukan satu dan segera.
Namun sebuah kajian antropologi bertajuk Japan's Changing Generations: Are Young People Creating a New Society? terbitan Routledge (London, 2004), memberikan pandangan bahawa salah satu punca kepada munculnya fenomena Hikikomori ini ialah pertembungan budaya tradisional Jepun pada hiraki sosial dan kehidupan generasi muda, menyebabkan ramai di kalangan mereka yang percaya bahawa segala warisan itu sudah tidak berguna, yang semua itu diburukkan lagi oleh KETIADAAN TUJUAN HIDUP YANG JELAS.
Itulah kuncinya.
AGAMA.
Agama bukan sahaja membekalkan jawapan kepada TUJUAN HIDUP sebagai pegangan, malah menyediakan mekanisme berupa konsep dan ritual yang tidak mengizinkan fenomena Hikikomori berlaku.
Solat berjemaah.
Solat Jumaat.
Malah bercampur gaul dengan orang ramai tidak dibiarkan sebagai pilihan, sebaliknya diangkat menjadi urusan agama yang mesti dilunaskan.
[image error]Hadith Ibn Umar Radhiyallahu 'anhuma, "Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai dan bersabar di atas kesakitan yang timbul akibat pergaulan itu, adalah lebih baik daripada seorang mukin yang tidak bercampur gaul dengan orang ramai dan tidak sabar di atas kesakitan akibat pergaulan itu" (Al-Tirmidhi 2507, Ibn Majah 4032)
Begitu juga, perbuatan mengasingkan diri dianggap sebagai menyerahkan diri untuk dimangsakan oleh Syaitan pada menyesatkan kehidupan manusia.
Sabda Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam:
[image error]"Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala bagi manusia seperti serigala terhadap kambing. Ia menyerang kambing yang jauh dan memencilkan diri. Maka hindarkanlah dirimu daripada hidup jauh berjauhan, dan hendaklah kamu berjemaah, bersama orang ramai dan melazimkan diri dengan masjid" [Hadith riwayat Ahmad]
Justeru itu berhati-hatilah wahai ibu bapa.
Kegagalan kita untuk berinteraksi secara efektif dengan anak-anak, membebankan mereka dengan harapan-harapan yang lebih kepada menebus keinginan peribadi kita, kemewahan harta yang dilimpahkan untuk mereka, dan hidup beragama yang semakin dilupa, bisa berakhir dengan kita kehilangan mereka.
Anak-anak itu berada di bilik masing-masing di rumah kita.
Namun dengan Hikikomori, kita kehilangan mereka.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG