Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 109

October 18, 2010

Hidup Memberi… Derma Organ!

[image error]


MUAT TURUN SLIDE DI SINI (FORMAT PDF)


Hari yang sungguh bermakna. Biar pun letih, tetapi pulang melangkah ke rumah dengan rasa yang puas. Tiga ceramah dalam sehari memang meletihkan. Tambahan pula hari bekerja. Tetapi keletihan hari ini berbaloi kerana saya beroleh keyakinan. Keyakinan yang menterjemahkan kemuncak cita-cita saya untuk HIDUP MEMBERI. Tengah hari tadi, saya telah menyampaikan ceramah bertajuk "Paradigma Islam Terhadap Pendermaan Organ". Suatu tajuk baru yang menuntut saya untuk membuat persiapan sebaik yang mungkin. Tetapi proses menyiapkan ceramah ini bukanlah untuk mengajar atau menyampaikan sesuatu kepada pendengar semata-mata, tetapi ialah adalah untuk membina keyakinan saya sendiri. Keyakinan untuk menjadi penderma organ.


[image error]


Saya amat tersentuh apabila Sister Norsalina Osman selaku Pengurus Bahagian Pendermaan Organ IJN menghubungi saya untuk berbincang tentang hal ini. Beliau menunjukkan kepada saya gambar-gambar beliau dan pasukannya semasa membuat kempen pendermaan organ di Kuil Maha Vihara pada hari Wesak yang lalu.


Sambutan yang diterima sungguh hebat dan hari itu, pasukan Pendermaan Organ IJN menerima pendaftaran penderma organ pada jumlah yang sangat memberansangkan. 150 orang mendaftar termasuk dua orang yang melakukannya sempena hari ulang tahun kelahiran mereka.


Saya beragama Islam. Agama yang cantik, indah, dan rahmat bagi sekalian alam. Agama yang datang untuk manfaat manusia. Agama yang memberikan manusia keperluan hidup mereka agar kehidupan manusia bukan hanya pada memikirkan soal diri sendiri, tapi segalanya berjemaah. Kerana Islam agama kebersamaan.


Tetapi di manakah silapnya hingga statistik penderma organ orang Melayu yang umumnya mewakili kaum Muslimin, terlalu kecil? Cina 64%, India 22% dan Melayu hanya 8%. Sedangkan Melayu dan Muslim juga mewakili senarai mereka yang memerlukan organ kerana mereka juga sakit dan sihat seperti orang lain


[image error]


Sumber: Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (NTRC) di Hospital Kuala Lumpur. Statistik sehingga 30 November 2005


MENGAPA SAYA MENDERMA ATAU TIDAK MENDERMA?


Saya cuba mencungkil hal ini dan memulakannya dengan bertanyakan soalan itu kepada diri saya sendiri. Mengapa saya tidak menderma? Adakah kerana agama? Saya telah meluangkan masa kira-kira seminggu meneliti perbincangan Ulama pelbagai negara, mazhab, pendekatan dan pendirian. Majoritinya sampai kepada titik noktah yang sama iaitu mengharuskan pendermaan serta pemindahan organ.


Apakah hujah-hujahnya meyakinkan? Ya, sungguh jelas dan meyakinkan. Malah fatwa-fatwa itu sudah matang kerana berbelas malah berpuluh kali Ulama bersidang mengenainya dan mereka terus konsisten pada menetapkan keharusannya.


Maka penjelasan dari segi agama, selesai. Islam bukan hanya mengharuskannya malah menganggap ia sebagai suatu kebajikan yang amat besar maknanya. Lantas agama tidak sepatutnya menjadi alasan kepada orang Islam untuk tidak menderma organ.


[image error]


Apabila saya menyemak statistik yang dikeluarkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia, nyata sekali, agama bukanlah faktor utama yang menghalang kita menderma.


[image error]


Sumber: Kaji Selidik IKIM: Majalah "Kefahaman Islam" Jan 2006 Bil 61 Muka Surat 18


Halangan utamanya ialah TAKUT. 56.3% mengakuinya. Takut ini puncanya pelbagai.


PUNCA TAKUT


Ada takut yang terbit dari keadaan tidak kenal mengenal. Kita memusuhi apa yang kita tidak kenal. Kita takut sesuatu yang kita tidak mengerti. Takut seperti ini mungkin kerana kurang maklumat. Kurang pendedahan. Maka takut seperti ini boleh dirawat dengan membekalkan maklumat seperti yang sepatutnya.


Namun ketakutan ini sukar untuk diubat jika majoriti kita masih terbelenggu oleh "Aku Tidak Pedulisma". Tidak mengendahkan apa yang berlaku di sekeliling kita, tidak peduli pada segalanya. Saya percaya faktor ini juga merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah penderma organ Melayu Muslim yang menyedihkan.


KEKURANGAN NILAI


Ada takut yang terbit kerana kekurangan nilai tertentu dalam diri. Di sinilah saya cuba menguji diri. Saya bayangkan yang di hadapan saya ada sekeping papan yang saya letakkan sebagai penghubung di antara dua meja. Dengan ketinggian 1 meter dari lantai, sanggupkah saya menyeberang dengan melintasi papan itu? Nyata sekali saya sanggup. Tiada risiko. Jika meja itu ditinggikan setinggi sebuah almari, apakah saya masih berani? Mungkin saya sedikit teragak-agak tetapi boleh mencuba jika jelas apa tujuannya. Ada upah? Barangkali…


Tetapi beranikah saya jika dua almari itu diganti dengan bangunan 3 tingkat?


Jawapan saya jelas… saya tidak berani, dan saya tidak perlu untuk mengatasi ketakutan saya kerana tiada keperluan di situ.


Bagaimana jika ada keperluan? Bagaimana kalau di tingkat 3 bangunan di seberang sana itu, anak saya sedang menjerit meminta tolong? Tingkat 1 dan dua sudah dijilat api. Satu-satunya cara untuk anak saya diselamatkan adalah dengan saya pergi mendapatkannya sendiri. Dengan melintasi papan itu. Pada kadar setinggi 3 tingkat. Sanggupkah saya? Saya sanggup. Mengapa tadi tidak sanggup, kini sanggup? Apa yang mendorong saya untuk berani? Keghairahan apa yang membara di dalam diri ini?


KUASA KASIH SAYANG


Itulah nilai kasih dan sayang. Kerana sayang saya sebagai bapa kepada anak, saya sanggup melakukannya. Jelasnya, saya perlukan nilai untuk membakar keberanian. Nilai harta tidak bermakna. Nilai kemegahan dan nama tidak berguna. Tetapi kasih saya mencetus keinginan yang membara. The burning desire…! Sesuatu yang mustahil kita lakukan, jadi tidak mustahil apabila ia dijana dengan nilai kasih sayang. Apakah 56.3% ketakutan itu berpunca dari gersang nilai? Tiada kasih sayang dan semuanya hanya ada secebis kasih saya untuk mengasihi diri sendiri sahaja?


Nilai ini tidak boleh dibuat-buat. Tidak mungkin seorang yang hidupnya self centered, mementingkan diri sendiri, tidak peduli kepada orang lain, tiba-tiba mahu menderma organ atas perasaan kasih sayang. Sama ada seseorang itu pengasih, atau sebaliknya. Perasaan kasih sayang menjadikan kita suka memberi. Menjadikan hidup ini penuh erti dengan memberi, terbit dari rasa kasih dan sayang.


"Tidaklah sempurna iman sesiapa dari kalanganmu, sehingga dia mengasihi untuk saudaranya, apa yang ia kasih untuk dirinya sendiri" (Hadith Muslim)


Kesediaan memberi yang terbit dari kasih dan sayang adalah pelengkap yang menyempurnakan iman. Sebagai seorang mukmin, saya sepatutnya mempunyai upaya untuk menyintai lebih dari sekadar zuriat dan ahli keluarga semata-mata. Bahkan sesiapa sahaja yang beriman, adalah saudara saya yang berhak saya kasihi. Rasa kasih kepada saudara dalam iman, menjadikan hidup memberi penuh bererti. Memberi itu tinggi, dan ia mendatangkan kemanisan kerana pemberian hadir dengan rasa kasih.


Masa, tenaga, fikiran, harta benda, yang selama ini diberi di jalan kasihkan sesama mukmin, dilengkapkan lagi dengan dorongan untuk menjadi penderma organ kerana ia adalah sesuatu yang saya tidak perlu bawa ke kubur, malah boleh dimanfaatkan oleh saudara saya yang masih hidup. Ia adalah wala' saya sebagai mukmin… Nilai kasih saya juga, menekan rasa takut untuk tidak mengganggu kefahaman saya di dalam soal pendermaan organ, biar pun organ itu mungkin akan diberi kepada orang yang tidak beriman.


Biar pun secara naluri, saya mahu keutamaan diberi kepada saudara saya yang beriman, namun biarlah Allah yang mengaturnya kerana organ ini adalah keperluan sekalian hamba-hamba-Nya. Jika Allah memberi kehidupan kepada hamba-hamba-Nya tanpa memilih di antara yang beriman dan tidak beriman, siapa saya untuk bersikap sebaliknya? Malah penghayatan saya kepada Islam sebagai agama Rahmat seluruh alam, menjadikan diri saya kasih kepada mukmin, dan prihatin kepada sekalian yang lain. Tidakkah Nabi SAW sendiri bangun ketika lalu di hadapannya mayat seorang Yahudi, atas alasan kemanusiaan…?


ALLAH MENGULANGI NAMA-NYA YANG PENGASIH


Benarlah, untuk melakukan suatu yang bersifat memberi, jiwa perlu kaya dengan kasih dan sayang. Bagi memudahkan hamba-hamba-Nya berperanan memberi, itulah ar-Rahman dan ar-Rahim, nama yang paling kerap diulang-ulang di dalam al-Quran. Allah sebagai Tuhan yang Rahman dan Rahim, Maha Memberi kepada makhluk-nya.


Maka untuk seorang hamba itu hidup memberi, suburkanlah perasaan kasih dan sayang itu di dalam diri, ia membakar keinginan agar membara untuk berbakti. Saya ada sedikit gentar dan takut, ketika menurunkan tanda tangan ke borang yang diberi. Tetapi saya lebih takut ke alam mati dengan amal yang tidak mencukupi. Saya lebih takut diseksa kerana berdosa semasa hidup, berbanding stigma terseksa kerana tubuh dibedah selepas mati. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan kerana semua ini tidak bermakna lagi, selepas hidup berganti mati. Letakkan diri di alam mati, tahulah nilai hidup memberi


.[image error]


Erti hidup di dunia pada memberi, erti hidup di Akhirat pada menerima… kurniaan Allah Rabbul Izzati. Semoga keputusan saya mendaftarkan diri sebagai penderma organ, boleh meyakinkan setiap insan yang saya temui, bahawa kemuncak tertinggi bagi sebuah hidup ini… adalah dengan mengertikannya pada MEMBERI..


BAGAIMANA SAYA MENURUNKAN TANDA TANGAN?


Saya telah berdaftar sebagai penderma organ dalaman sahaja. Ada pun kornea mata dan kulit, saya bimbang keluarga tidak bersedia dan mengalami trauma, walaupun saya tahu proses pemindahan organ dan tisu dilakukan dengan penuh penghormatan dan jenazah tidak akan dicacatkan sewenang-wenangnya. Anggota dalaman tidak mengapa. Setakat kesan jahitan tubuh, isteri saya sendiri adalah seorang doktor yang sudah melihatnya sebagai pemandangan biasa. Tetapi saya sudah berpesan kepada isteri. Tentang soal kornea mata dan anggota luar, biarlah beliau yang memutuskannya dari segi kesanggupan. Pada saya, selepas bercerai tubuh dan nyawa, segala-galanya tidak berguna lagi.


Teringat saya kepada kata al-Quran bahawa di Mahsyar, ada ibu yang sanggup korbankan anaknya sendiri, jika boleh digunakan untuk menyelamatkan diri. Memikirkan ayat itu sudah cukup pedih buat saya ketika 'melihat' betapa terdesaknya kita di Akhirat nanti. Jika menderma organ boleh menambah keselamatan saya di Akhirat, saya tidak teragak-agak untuk melakukannya. Selepas mati, apalah sangat nilai yang ada pada buah pinggang, jantung, hati dan tulang, berbanding kesanggupan ibu mengorbankan anak sendiri, demi keselamatan nafsi-nafsi di Akhirat nanti.


Saya seru dari lubuk hati' daftarkanlah diri sebagai penderma. Saya pun tidak tahu selepas mendaftar ni, adakah nanti fizikal saya sesuai dan boleh didermakan. Saya mungkin mati kemalangan, saya mungkin mengalami kerosakan jantung, hati, buah pinggang dan lain-lain. Tetapi dengan mendaftar sebagai penderma' Insya ALlah dengan niat yang betul, ganjaran di Sana sudah tersedia..


Ayuh!


Wahai insan yang kurang bekal, tambahkan amal banyakkan kebajikan.


Sudikah anda bersama?


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG

Tarikh asal: 25 Oktober 2007


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 18, 2010 16:37

Ruang dan Peluang Untuk Anak-anak Kita

[image error]


Little Khalifah bersedia membuat persembahan di majlis pembukaan


"Sebagai seorang arkitek, saya ada satu masalah khusus dengan kebanyakan tadika dan sekolah agama persendirian di Malaysia" kata Wardina Safiyyah.


Forum Keluarga anjuran Khalifah Model School berlangsung di Auditorium PPUKM baru-baru ini. Bertemakan "Cabaran Mendidik Generasi-Y: Antara Rumah dan Sekolah", forum dikendalikan oleh Bro Muhammad Qayyum daripada Khalifah Institute dengan saya dan Wardina sebagai panelis.


"Masalah yang saya maksudkan itu adalah masalah ruang. Kanak-kanak memerlukan ruang untuk mereka berkembang. Sekolah di bangunan kedai atau tadika yang sempit amat menjejaskan perkembangan diri anak-anak" tegas beliau.


Seorang arkitek yang juga berpendidikan di bidang psikologi, hubungkait antara perkembangan diri anak-anak dengan keterbatasan ruang persekitaran mereka amat mengganggu fikiran rakan panelis saya di forum tersebut. Wardina Safiyyah merupakan salah seorang personaliti yang terkenal dengan 'semangat'nya tatkala berbicara tentang rumahtangga dan anak-anak.



KENANGAN DI BELFAST ISLAMIC SCHOOL


[image error]


Pandangan beliau itu mengingatkan saya kepada pengalaman mengendalikan Belfast Islamic School di Northern Ireland satu ketika dahulu. Setiap kali pelajar berkumpul terutama dengan jumlah besar semasa Sunday School, masjid akan bergegar dengan aktiviti murid terutamanya sebelum kelas bermula atau semasa rehat di antara dua kelas.


"Children…. stop running!!!" antara jeritan saya saban minggu.


Mereka berhenti 30 saat kemudian kembali bergegar.


Setelah sedar yang tabiat berlari di ruang solat Masjid itu tidak boleh diubah, saya memaksa diri untuk memahami mengapa mereka bertabiat begitu.


"Do you love running in the Masjid?" saya bertanya kepada salah seorang murid.


"Yess!!!" katanya tercungap-cungap.


Pipinya yang putih gebuh kemerah-merahan menahan lelah penat berlari.


"Do you run like this at home?" saya menyambung tanya lagi.


"No! Of course not!" jawabnya sambil ketawa.


"Why not?" saya ingin tahu.


"Mosque is big. My house is like boxes!" katanya dengan sokongan rakan-rakan bersama.


SIGNIFIKASI 'RUANG' KEPADA ANAK-ANAK


Itu merupakan kali pertama saya terusik dengan realiti, ruang yang sempit seperti kebanyakan rumah di UK mempunyai kesan yang serius terhadap perkembangan diri anak-anak. Malah UNICEF sendiri pernah mengeluarkan hasil kajian menyatakan bahawa kanak-kanak di UK mempunyai hubungan kekeluargaan dan rakan yang paling lemah. Biar pun puncanya pelbagai, namun salah satu sebab utamanya berkait rapat dengan RUANG.


Ruang yang dimaksudkan itu boleh difahami daripada dua aspek sama ada yang bersifat literal mahu pun figuratif.


Literal dalam erti kata, ruang yang lebih luas memberikan peluang kepada anak-anak untuk berkreativiti. Tinggal di rumah yang sempit, persekitaran tanpa halaman dan taman, serta aktiviti harian yang semakin mengurung mereka di dalam kesempitan ruang persekitaran, menjadikan anak-anak yang bertenaga tinggi ini kucar kacir. Banyak kajian dibuat menunjukkan betapa pembabitan remaja di dalam aktiviti salah laku berkadar terus dengan kondisi kediaman mereka di rumah-rumah kuaters, rumah pangsa dan setinggan yang sempit lagi berkepadatan tinggi.


Hanya 2 daripada 10 kanak-kanak bermain di rumah terbuka sekitar kediaman mereka berbanding 8 pada generasi ibu bapa. Kekurangan ruang terbuka yang selamat dan children-friendly untuk generasi-Z hari ini amat membimbangkan. Di era Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam, hatta rumah tradisional Melayu seperti di negeri Perak, biar pun saiz rumah kecil, bentuknya lebih terbuka dan kawasan lapang di luar terbentang untuk eksplorasi anak-anak.


Figuratif pula, merujuk kepada ruang bersifat masa dan peluang yang diperlukan oleh anak-anak untuk mereka bebas menjadi kanak-kanak. Masa yang cukup tanpa perlu kesemuanya dijadualkan hingga mereka tidak mampu membuat keputusan sendiri tentang aktiviti yang diinginkan. Anak-anak terbantut kreativiti mereka dalam suasana seperti ini, dan kesannya akan dapat dilihat pada kegagalan mereka mengembangkan upaya fikir menjelang usia remaja dan dewasa.


Betapa kita sudah pergi terlalu jauh daripada keperluan fitrah ini.


[image error]


Sebahagian tetamu dan tenaga kerja Khalifah Institute yang hadir


[image error]


Tenaga kerja di sebalik penganjuran forum kali ini


USAHA KHALIFAH INSTITUTE DAN KHALIFAH MODEL SCHOOL


Forum Keluarga bersifat fundraisingi anjuran Khalifah Model School banyak membuka mata.


Bukan hanya kepada peserta, malah diri saya. Kombinasi soalan-soalan yang baik oleh moderator, perkongsian pengalaman dan observasi rakan panelis serta soalan-soalan para hadirin, saya pulang sarat dengan pelbagai perkara yang difikirkan.


Namun semuanya bermula dengan asas yang satu iaitu, cemburu untuk mendapatkan yang terbaik.


Jika tiada rasa cemburu itu, biar sahajalah anak-anak kita membesar dengan apa yang ada. Cukup sekadar meyakini bahawa mereka sedang melalui apa yang pernah kita lalui, hingga kita terlupa bahawa zaman, persekitaran, cabaran, termasuk ruang dan pemakanan, segala-galanya sudah tidak sama. Rasionalkah kita meletakkan jangkaan hasil yang sama?


[image error]


'Ala kulli haal, terima kasih kepada Khalifah Model School kerana menghadiahkan cenderamata paling hebat yang pernah saya terima selama berkecimpung di dalam kerja-kerja seperti ini. Tidak lain dan tidak bukan adalah lukisan tangan hasil karya anak saya sendiri, Muhammad Saiful Islam yang dibingkaikan dengan begitu cantik! Wardina juga mendapat senaskhah lukisan yang dihasilkan oleh rakan sekelas anak saya di Tahun 2 Yaqut.


Sungguh bermakna.


Saya yakin ada banyak lukisan lain yang lebih baik, tetapi memberi peluang lukisan anak saya dijadikan hadiah untuk forum tersebut yang kebetulan si bapa adalah panelis jemputannya, hanya ucapan jazakallaahu khair al-jazaa' yang bisa saya ungkapkan sebagai tanda penghargaan.


Paling mengejutkan, ada peserta forum yang datang jauh dari Pulau Pinang dan Melaka!


Terima kasih juga buat isteri saya yang bersungguh menemani diri di sepanjang forum dalam kesibukan melampaunya menjelang peperiksaan akhir seminggu dua lagi.


Syabas buat kalian. Semangat itu membakar azam untuk kita semua tidak lelah berusaha.


Mengusahakan yang terbaik untuk generasi-Z.


Pelapis ummah kita.



ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 18, 2010 00:20

October 14, 2010

Konsert Maher Zain di Auditorium MBSA Sepintas Lalu

[image error]


Persembahan yang meninggalkan bekas rasa dan mesej minda yang pelbagai.


Tahniah Maher Zain atas persembahan malam tadi.


Biar pun jelas di wajahnya raut kepenatan yang bersangatan, 10 buah lagu berjaya disampaikan dengan begitu baik, Alhamdulillah.


Tahniah juga kepada Inteam dan Kak Aisyah atas persembahan yang mantap dan membanggakan industri nasyid tempatan.


Husnul Bidayah dan Husnuh Khatimah.



Insya Allah saya akan mengulas lanjut mengenai Maher Zain dan konsert malam tadi sebagai perkongsian bersama dalam sehari dua ini.


Ucapan tahniah yang khusus kepada Ahmad Fedtri Yahya dan Wardina Safiyyah kerana dalam santainya mereka mengacarakan majlis malam ini, peluang di pentas digunakan sepenuhnya untuk inzar.


"Hidup ini adalah ujian untuk membuat pilihan. Di sana mereka memilih Adam (Lambert), di sini kita memilih Maher Zain. Maher Zain memilih untuk berhijrah kepada kebaikan, moga kita juga membuat pilihan yang sama" kata Wardina pada muqaddimah konsert malam tadi.


[image error]


Nombor siri tiket 0003 dan 0004, terima kasih Abu Fatihah atas bantuan mendapatkan tiket ini


[image error]


Persembahan 'Live', bukan Minus One. Bagus!


[image error]


Wardina Safiyyah dan Ahmad Fedtri Yahya menceriakan majlis dengan nasihat, 'amaran berhalus' dan gurauan yang bermakna


[image error]


Kumpulan Inteam memulakan persembahan dengan dua buah nasyid. Sangat bagus dan syabas untuk mereka


[image error]


Aisyah turut mempersembahkan dua buah lagu daripada album terbarunya. Nasihat-nasihatnya sungguh menyentuh hati. Kehadiran Aisyah, Wardina dan Maher, pasti boleh membantu meyakinkan artis-artis semasa bahawa HIJRAH meluaskan lagi hidup, bukan menyempitkan pilihan


[image error]


Tetamu istimewa yang dinanti-nantikan, Maher Zain muncul dengan 10 buah lagu, bermula dengan Allahi Allah Kiya Karo


[image error]


Kasihan juga melihat Maher Zain yang tidak dapat menyembunyikan keletihannya setelah seminggu berada di Malaysia. Namun semangat Islam menjadikan sedikit kelesuan persembahan tidak dipedulikan oleh sesiapa. Persembahannya tetap meninggalkan kenangan manis buat semua


[image error]


Maher Zain sedang menyampaikan lagu hit beliau, Insha Allah


[image error]


Kami berdua 'diisytiharkan' oleh Ahmad Fedtri Yahya sebagai pasangan berbulan madu, semasa melabuhkan tirai konsert. Biar pun keluar berdua, anak-anak tetap di hati!


[image error]


Mengambil peluang bersama dengan akhi Muhammad Hazamin Harun daripada kumpulan Inteam. Selamat maju jaya Inteam. Kalian berbakat dan bertekad!


[image error]


Turut bertemu dengan DJ Erwan Johari daripada Radio IKIM.fm yang hadir membuat liputan. Turut sama adalah sahabat saya, akhi Frizdan Fizarahman, salah seorang penyanyi latar Maher Zain untuk konsert malam ini


[image error]


Sekian laporan lintas langsung daripada Auditorium MBSA untuk siaran www.facebook.com/hasrizal



Rakaman amatur saya – bukan untuk tujuan komersil


Segala puji bagi Allah.


Terima kasih dan tahniah Maher Zain.


Doa mengiringi kesemuanya.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 14, 2010 08:55

October 13, 2010

Trilogi Aku Terima Nikahnya

[image error]


Saya bukan novelis.


Saya bukan penulis.


Saya belum ada ciri-ciri yang lazim terkait sebagai seorang penulis.


Saya hanyalah seorang anak, suami, bapa, adik, saudara, rakan, da'I serta insan pejuang yang menulis.


Menulis kerana itu cara saya memberitahu diri. Menulis kerana itu cara saya memaham erti. Menulis kerana ia dan diri sudah sebati. Malah menulis kerana itu cara saya menentang mati. Agar di satu hari nanti, saya tidak mati oleh sebuah kematian. Tulisan tinggal sebagai rakaman. Rakaman tentang kehidupan. Kehidupan yang menjadi cermin untuk setiap pembaca mencari diri.


Segalanya bermula di situ.



Aku Terima Nikahnya (2008), bermula daripada percubaan saya untuk memahami apa yang telah dan sedang saya lalui. Menilai kembali setiap satu langkah kecil yang diambil menuju kehidupan berumahtangga, Tauhid dan cinta menjadi sendi dan nadi membina mahligai impian.


Saya tidak pernah membayangkan Aku Terima Nikahnya diangkat sebagai manual cinta. Ia bukan cerita cinta. Ia cerita kehidupan.


Namun menjenguk kehidupan daripada jendela cinta, lebih sering mengurniakan pelangi, warna yang menghimpun semua perasaan kita. Calon pencinta menjadikannya sebagai persediaan. Pencinta semasa mengambilnya sebagai perencah rasa. Pencinta semalam bercermin diri menjadikannya sebagai renungan. Aku Terima Nikahnya tersedia untuk semua.


Aku Terima Nikahnya pergi terlalu jauh.


Abang dan kakak berpesan kepada adik, suami dan isteri saling memujuk pasangan membelek.


"Bacalah, bang. Ini bukan buku perempuan. Ia perspekif lelaki. Seorang suami. Seperti abang!" pujuk seorang isteri.


"Bacalah yang. Ini buku untuk perempuan. Hakikat lelaki untuk isteri memahami suami. Seperti abang!" rayu seorang suami.


Aku Terima Nikahnya terbuka kepada apa sahaja bentuk tanggapan dan jangkaan. Namun setinggi syukur kepada Allah atas setiap kebaikan yang diperolehi oleh mereka yang memanfaatkan. Perjuangan Aku Terima Nikahnya adalah untuk menyuntik keyakinan, bahawa kebejatan fitnah hidup semasa, tidak sama sekali menjadikan cinta dan perkahwinan berteraskan Islam, mustahil tegak di tengah arus yang derunya bertentangan.


Bercinta Sampai ke Syurga (2009) memanggil burung pulang ke sarang. Puas terbang tinggi meninjau kehidupan, sekual Aku Terima Nikahnya ini menjemput pembaca untuk terus menyapa awan namun kaki jangan memencil bumi.


Ia penuh dengan liku-liku perjalanan rumahtangga dan perkahwinan. Antara pedas, manis dan pahit. Tiga rasa yang merencah realiti kehidupan.


Jika Aku Terima Nikahnya membekalkan saranan membina kehidupan bersendikan Syariatullah, Bercinta Sampai ke Syurga pula menyuluh keperluan Sunnatullah. Syariat dijaga, hukum hakam dipelihara, namun rumahtangga tetap bergelora kerana Kitab Kalam tidak harus terpisah daripada Kitab Alam. Sunnatullah yang ditempa Allah sebagai sifir kehidupan, jangan disanggah, jangan diremeh temehkan.


Membina jambatan keserasian antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak, ahli keluarga dan persekitaran, semuanya harus tunduk kepada hukum alam tentang hubungan manusia.


Pertemuan saya dengan sisi kedua selepas Aku Terima Nikahnya, sungguh menginsafkan. Ia mengajar saya untuk lebih manusiawi terhadap isteri dan anak-anak, belajar seni rasa dan seni kata, bukan jauh meninjau seberang, tetapi bersuluhkan kekayaan jiwa insan bergelar Nabi. Rasulullah sallalaahu 'alayhi wa sallam sendiri yang hangat watak dirinya terhadap para isteri dan anak-anak.


"Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya. Dan aku adalah yang terbaik kepada keluargaku" – Al-Hadith


Segala atas dan bawah, hitam dan putih, salah dan betul yang terakam di dalam naskhah Bercinta Sampai ke Syurga, adalah usaha-usaha saya untuk menjadi manusia terbaik di pandangan baginda, juga pandangan Allah yang Esa.


Perkahwinan bertambah usia, anak-anak bertangga dewasa. Rumahtangga beralih ke fasa seterusnya, nikmat dan cabaran saling bersulam mematangkan kehidupan. Di medan itulah Bercinta Sampai ke Syurga menghidang cerita. Serunya bukan untuk kehidupan yang sementara. Ia suatu jemputan, mengajak pasangan yang hangat berkasih, bercinta selama-lamanya, hingga ke Syurga.


Hanya satu syarat ketetapan.


Taqwa yang benar kepada Tuhan.


Murabbi Cinta (2010) bukan ulangan cerita.


Setelah Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Sampai ke Syurga bermain peranan di pesada kembara insan mengenal Tuhan dan kehidupan, Murabbi Cinta mahu mengenengahkan sumber inspirasi terbesar seluruh perkongsian.


Cinta Hollywood.


Cinta Bollywood.


Pelbagai modul cinta terhidang di depan mata.


Hingga kita mungkin terlupa, bahawa tiada insan yang hatinya mampu berkasih, seperti naluri Murabbi Cinta, Uswah Hasanah teladan mulia, Muhammad yang Amin, sallallaahu 'alayhi wa sallam.


Masakan tidak, setelah romantiknya kita tekuni, belas ihsan hatinya kita hayati, gurau sendanya kita teladani, tegas benarnya kita ikuti, tidakkah sebesar-besar cinta adalah cintanya kepada setiap kita? Mencintai manusia yang belum ada. Hingga hidupnya tidak berwasiatkan sisa, kecuali pedoman untuk sahabat dan ikhwan, yakni kita kaum mukminin di zaman kemudiannya, yang pernah mengusik jiwa baginda, akan rindunya kepada kita.


Itulah tema Murabbi Cinta.


Mengajak diri saya meneladani seorang Nabi.


Utusan Allah yang tidak pernah mensesiakan kuasa cinta, pada menjinakkan umat kepada agama. Cinta dan Tauhid menjadi satu, bekalan teragung sepanjang zaman.


Sunnahnya menjadikan kita hidup bercara.


Sunnahnya menjadikan masalah dan cabaran hidup sebagai laluan menjadi dewasa.


Sunnahnya mencegah lemah dan putus asa.


Sunnahnya terungkap di naskhah Murabbi Cinta, agar semua kebaikan yang sempat dilontar cerita, menambahkan penghargaan dan kasih, kepada mahaguru kita yang satu, Rasulullah Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam.


BERSAMA CHE AMRAN IDRIS (RAIHAN)


[image error]


Che Amran Idris (Raihan)

Foto ihsan Berita Harian Online


"Aku Terima Nikahnya banyak memberi panduan kepada para remaja yang akan menempuh gerbang perkahwinan. Banyak isu yang diketengahkan adalah hasil pengalaman penulis yang telah menempuh asam garam perkahwinan dan mempunyai anak sebagai anugerah Allah. Remaja yang suka bercinta perlu membaca buku ini agar dapat mengenal erti cinta dan tanggungjawab sebagai sepasang suami isteri, bapa, ibu, anak, ahli keluarga dan sebagainya. Penulis mengolah buku ini berdasarkan pengalaman sendiri. Sketsa hidup yang terkandung di dalam buku ini tentunya menjadi daya penarik kepada para pembaca untuk mengikuti kandungan selanjutnya. Bacalah Aku Terima Nikahnya kerana ia sesuai untuk seisi keluarga khususnya para ibu bapa yang ingin mengenali lebih jauh lagi erti sebuah perkahwinan yang diinginkan … . Kandungan buku ini menggarap pengalaman pasangan muda yang bertemu jodoh di bawah landasan syariat agama. Menarik dan penuh sarat dengan unsur nasihat. Kisah di dalam buku ini sekali-sekala mencuit hati. Sungguhberguna dan tak rugi membacanya!"


CHE AMRAN IDRIS,

Kumpulan RAIHAN


BERSAMA AHMAD FEDTRI YAHYA (PERSONALITI TV3)


[image error]


Ahmad Fedtri Yahya (TV3)


"Sebagai pengikut setia Ustaz Hasrizal, saya gambarkan bahawa beliau sebagai pemikir yang memiliki satu keupayaan untuk mengupas sesuatu perkara dengan tepat mengena sasaran, ringkas tapi mantap, pedas tapi jujur, panas tapi ikhlas dan berapi tapi beralas. Bahasa yang mudah dan tidak berbelit-belit begitu pantas dirakam oleh minda. Inilah kualiti pendakwah yang akan dirindui untuk zaman-berzaman. Sehingga kini, saya amat terkesan dengan satu titipan dalam Aku Terima Nikahnya. Beliau menulis, "Seorang ibu dan ayah mampu menahan pedih dan perit membesarkan anak-anaknya. Bukan setahun dua malah majoriti nyawa dan usia- CINTA TANPA SYARAT." Saya rasa kalimah ini sahaja sudah mampu menjentik jutaan mata dan hati untuk menangis dan menginsafi akan kasih sayang ibu bapa sebagai anugerah terindah di mayapada. Aku Terima Nikahnya bukan sahaja naskhah cinta gerbang perkahwinan, malah membawa bersama serangkaian cinta kepada Allah dan manusia yang wajar dijadikan koleksi berharga setiap Muslim. Inilah antara kupon daripada Ustaz Hasrizal untuk kita jadikan bekalan menuju gapura syurga abadi … "


AHMAD FEDTRI YAHYA

TV3


BERSAMA PROF. IZZI (PENSYARAH & MOTIVATOR)


[image error]


Prof Izzi

Foto ihsan anizyn.blogspot.com


Aku Terima Nikahnya karya Hasrizal Abdul Jamil bukan sekadar retorik. Falsafah cinta yang diutarakan tidak tertumpu pada cinta Adam dan Hawa, tetapi melampaui kehidupan selepas "Aku terima nikahnya…" dilafazkan oleh bakal suami. Tulisannya tertumpu pada memulihara dan 'survival' sebuah perkahwinan. DOs and DON'Ts yang dikongsikan wajar dijadikan rujukan bagi pasangan yang mahu atau telah berumah tangga. Sebuah buku yang amat relevan untuk masa kini. Patut dimiliki oleh orang yang cintakan kebahagiaan rumah tangga dunia dan akhirat.


Renung-renungkan dan selamat beramal.


PROF. MADYA HJ. MD IZUDDIN HJ. ALI (IZZI)

Pensyarah/Perunding Motivasi


TRILOGI AKU TERIMA NIKAHNYA merupakan gabungan buku best seller Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga dan Murabbi Cinta. Ia diterbitkan dengan hard cover bersama tajuk depan dengan  Gold Hot Stamping bersama dan teks dalam yang dicetak dwi warna. Turut dihiasi dengan petikan-petikan daripada setiap artikel untuk kemudahan pembaca. Dihasilkan dengan sasaran menjadikannya sebagai cenderamata dan hadiah perkahwinan, juga sesuai sebagai koleksi peribadi.


Dicetak dengan jumlah yang terhad, TRILOGI AKU TERIMA NIKAHNYA sudah menerima tempahan 1000 naskhah daripada Popular Bookstores. Insya Allah bakal berada di pasaran pada bulan November 2010 dengan harga RM55.


Abu Saif @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 13, 2010 19:19

October 11, 2010

Islam: Antara Murung, Masam, Senyum dan Ketawa

[image error]


"Apakah ada kebarangkalian semua yang kita rancang itu tidak berlaku?" saya bertanya.


Para peserta mengangguk.


"Apakah semua yang berada di universiti pasti mendapat segulung ijazah yang dikejar?" saya bertanya lagi.


Para peserta menggelengkan kepala.


"Apakah semua yang telah berjaya mendapat segulung ijazah pasti mendapat pekerjaan?" saya menyambung tanya.


Peserta sekali lagi menggelengkan kepala.


"Apakah semua yang telah bekerja berjaya kahwin?" saya menambah soalan.


"Insya Allah, Insya Allah!" jawab peserta sambil sebahagiannya ketawa manakala sebahagian lagi tersenyum.


"Apakah semua yang berkahwin pasti mendapat anak?" saya menyoal lagi.


Mereka menidakkannya dengan gelengan kepala.


"Apakah semua yang sudah beranak sempat tua?" saya belum selesai menyoal.


Benar sekali.


Semua yang dirancang itu mungkin berlaku mungkin tidak berlaku. Hanya satu sahaja yang pasti terjadi.


Bersedia, ia akan datang. Tidak bersedia pun ia datang. Berfikir mengenainya dia hadir. Tidak pedulikannya pun ia hadir.


Itulah mati.



"Jadi, yang sebenar-benarnya ialah, saya patut memanggil anda semua sebagai WAHAI BAKAL-BAKAL JENAZAH sekalian, betul tak?" saya bertanya.


Peserta tersentak.


Mereka ketawa.


"Kalau saya panggil wahai bakal Datuk, mungkin tak jadi Datuk. Kalau saya panggil wahai bakal Puan Seri, mungkin tak jadi Puan Seri. Apa yang betulnya ialah dengan memanggil anda sebagai 'wahai bakal-bakal jenazah sekalian', betul tak?" saya menyoal.


Peserta ketawa tetapi untuk hanya sesaat. Kemudian wajah mereka berubah.


Memberi satu pukulan maut ketika manusia sedang ketawa amat besar kesannya. Bukan mentertawakan sesiapa. Tetapi mentertawakan diri sendiri. Diri sendiri yang terlupa akan hakikat sejelas itu.


Pendekatan ini mengingatkan saya kepada sesuatu yang saya pelajari daripada Edward de Bono. Beliau menghuraikan di dalam bukunya, I am Right, You are Wrong, bahawa "minda itu adalah seumpama sebuah mesin yang menyesuai kenalkan pelbagai corak. Fungsinya berupa proses mengenalpasti cerita dan tindak tanduk, kemudian meletakkan mereka ke corak-corak yang biasa. Apabila corak yang biasa itu terganggu, dan hubungan alternatif yang baru terbentuk di dalam otak melalui jaringan yang lain, maka ketawa akan muncul kerana hubungan yang baru itu terbentuk."


Ini adalah penjelasan yang baik tentang seni lawak dan ketawa.


Kita menekuni sesuatu, tiba-tiba hujungnya berubah kepada sesuatu di luar jangkaan. Inilah yang mencetuskan ketawa.


LAWAK DAN CERAMAH


"Saya tak suka ceramah ustaz itu. Dia selalu buat lawak. Sunnah ke lawak tu?" tegas seorang anak muda.


Ya, adakah melawak itu Sunnah?


Jika melawak itu melawak yang tidak senonoh, berlebihan, menghina atau berakhir tanpa sebarang manfaat, maka jelas sekali ia jauh daripada ajaran Islam.


Sabda Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam:


[image error]


"Janganlah kamu membanyakkan ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati" [Hadith riwayat Ahmad dan Ibn Majah]


Banyak ketawa, banyak bermain, banyak bercakap, banyak menangis atau apa sahaja yang keterlaluan, pasti akan menjurus kepada kemudaratan dan kemurkaan Allah. Banyak itu yang perlu dipelajari kesesuaiannya. Bukan dengan meninggalkan keseluruhan perbuatan yang asalnya harus itu.


Demikianlah juga halnya dengan bergurau, melawak dan ketawa.


Abu Hurairah radhiyallaahu 'anhu menceritakan, bagaimana pada suatu ketika para sahabat kaget dengan gurauan Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam. Lalu mereka bertanya, "Ya Rasulullah, sesungguhnya kamu bergurau senda dengan kami?"


Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam menjawab:


[image error]Ya,aku juga bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar sahaja [Hadith riwayat al-Tirmidhi dan Ahmad]


Bergurau jenaka dan ketawa adalah seni kehidupan manusia.


Kebolehan manusia untuk ketawa adalah sebahagian daripada fitrah dirinya yang memerlukan makanan. Apabila manusia ketawa, keseluruhan kondisi dirinya menjadi positif dan ia menjadikan manusia itu senang lagi disenangi. Tidak menghairankan apabila lawak jenaka, kelucuan, gurau senda, senyum dan ketawa wujud di sepanjang sejarah kehidupan manusia, termasuk di lingkungan kehidupan era Nubuwwah bersama baginda Muhammad sallallaahu 'alayhi wa sallam.


JENAKA DI ERA NUBUWWAH


"Wahai Utusan Allah, doakanlah buatku agar aku masuk ke Syurga" kata seorang wanita tua kepada baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam.


"Wahai ibu fulan bin fulan, orang tua tidak masuk ke Syurga!" jawab Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam, bergurau.


Wanita tua itu terkejut dengan jawapan Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam lalu menangis dan meninggalkan majlis.


Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam memberitahu sahabat, "beritahulah kepadanya bahawa beliau tidak akan masuk ke Syurga sebagai seorang tua, kerana Allah Subhanahu wa Ta'aala berfirman: Sesungguhnya Kami telah menjadikan perempuan-perempuan itu istimewa. Yang Kami jadikan mereka itu gadis dara semuanya [al-Waaqi'ah 56: 35-36]"


Kisah ini diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dengan martabat Hasan.


Begitulah watak Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam. Baginda bergurau dengan mekanisme kata-kata seperti ironi, sarcasm dan permainan perkataan (wordplay) iaitu kerangka-kerangka jenaka yang biasa diulas daripada aspek psikologi semasa. Baginda menjadikan perbualan, pengajaran dan kehidupan hariannya bersama sahabat hidup lagi bersifat manusiawi.


Kerana itu, baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam boleh mengajak isterinya Aishah radhiyallaahu 'anha berlumba lari.


Baginda juga bergurau dengan kanak-kanak seperti gurauan baginda dengan Abu 'Umayr yang bermain dengan Nughair.


Malah gaya yang kasual itu turut ditemui di dalam kehidupan para sahabat yang hidup di sekeliling baginda.  Di dalam al-Adab al-Mufrad, al-Imam al-Bukhari melaporkan daripada Bakr ibn 'Abdillah, beliau berkata: "Para sahabat Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam itu, mereka sering membaling-baling sesama mereka kulit tembikai ke arah satu sama lain. Tetapi dalam keadaan-keadaan yang serius, mereka adalah lelaki-lelaki yang benar"


SAHABAT YANG KELAKAR


Abu Bakr radhiyallahu 'anhu bermusafir ke Busra untuk urusan perniagaan.


Bersama dengan beliau adalah dua orang sahabat iaitu Nu'ayman dan Suwaybit ibn Harmalah radhiyallaahu 'anhuma. Mereka berdua adalah Ahli Badr. Suwaybit telah diamanahkan dengan tugasan menguruskan makanan di sepanjang musafir itu.


"Berilah aku makan!" kata Nu'ayman.


Beliau yang kelaparan meminta makanan daripada Suwaybit.


"Tidak boleh, sehinggalah Abu Bakr pulang!" tegas Suwaybit.


Nu'ayman adalah seorang lelaki yang terkenal dengan sifatnya yang suka berjenaka. Ketegasan Suwaybit telah mencetus sesuatu di dalam dirinya. Nu'ayman telah pergi kepada sekumpulan mereka yang membawa binatang ternak bersama.


"Mahukah kamu membeli seorang hamba Arab yang degil?" Nu'ayman bertanya.


"Ya, tentu sahaja" jawab mereka.


"Cuma, aku ingatkan kamu bahawa dia itu banyak mulut. Nanti dia akan mendakwa bahawa dia itu orang merdeka dan bukan hamba. Kalau keteranganku ini menyebabkan kamu tidak mahu membelinya, maka lupakan sahaja hal ini. Jangan susahkan aku dengan masalah lelaki itu!" tegas Nu'ayman.


"Tidak mengapa. Kami mahu membelinya!" orang ramai bersetuju dengan tawaran tersebut.


Setelah mengambil beberapa ekor haiwan ternakan sebagai tukaran, Nu'ayman membawa mereka kepada Suwaybit.


"Hah, itu pun dia!" kata Nu'ayman.


"Eh, aku lelaki merdeka. Aku bukan hamba abdi!" Suwaybit meronta-ronta mahu melepaskan diri.


"Sudahlah. Dia (Nu'ayman) telah pun menceritakan segalanya tentang kamu kepada kami" balas orang ramai itu.


Mereka mengikat Suwaybit dengan tali hingga ke leher dan membawanya pergi.


Tidak lama selepas itu Abu Bakr radhiyallaahu 'anhu kembali. Terkejut dengan apa yang berlaku, Abu Bakr memulangkan kembali haiwan ternakan pada Nu'ayman kepada pemilik-pemiliknya dan membebaskan Suwaybit. Hal itu dibawa kepada Rasulullah sallalaahu 'alayhi wa sallam.


Baginda tidak marah.


Malah Baginda ketawa.


Ketawa bersama para sahabat hingga ke beberapa tahun selepas itu setiap kali mereka teringatkan gelagat Nu'ayman.


Kisah ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad daripada Ummu Salamah radhiyallaahu 'anha.


[image error]


SARDONICISM


Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam bergurau.


Namun guraunnya berisi. Tidak pernah berlebihan. Malah jauh sekali berisi pembohongan.


[image error]


"Celakalah orang yang berbicara lalu dia berdusta kerana mahu orang ramai ketawa. Celakalah baginya. Celakalah baginya" [Hadith riwayat Ahmad dan al-Darimi]


Apabila sesuatu itu salah tempat, salah cara dan salah niat, segalanya berubah menjadi dosa.


Bukan semua lawak itu menghiburkan. Ada jenaka yang menyakitkan. Jenaka yang tidak kena tempat. Jenaka yang dipaksa-paksa. Hingga berubah menjadi tabiat lalu digelar kaum Melayu sebagai LOYAR BURUK.


"Waah, kayalah kamu, Din. Nanti jangan lupa belanja aku!" kata Abu sambil menepuk peha rakannya yang sedang sugul menguruskan jenazah bapanya.


Lawak itu bukan lagi gurauan yang menghiburkan. Ia berubah menjadi senda yang menyeksa.


Ia menjadi Sardonicism.


Satu cara bercakap atau menulis yang berupa ekspresi berasaskan ejekan, sinis dan skeptis, termasuk ketika melontarkan gurauan.


Pengalaman saya mengendalikan kursus-kursus tidak kira pesertanya itu pelajar mahu pun kelompok dewasa lagi profesional, amat sukar untuk mendepani golongan Loyar Buruk yang tidak dapat atau sengaja tidak mahu membezakan keadaan yang sesuai untuk bergurau.


"Bagaimanakah keadaannya kalau hal ini berakhir dengan sebuah kematian?" saya menyoal peserta.


"Huhuhu… insafnya!" sampuk seorang peserta. Berpura-pura menangis.


Ia sangat jengkel.


Saya kasihan kerana selalunya individu seperti ini berakhir dengan kehilangan kawan. Namun atas dasar empati, saya cuba berbaik sangka bahawa orang yang suka berkelakuan sedemikian rupa, sering berbuat demikian kerana mahu membina topeng untuk menyembunyikan wajahnya yang sebenar. Penuh duka, malang barangkali. Ia sering begitu. Terpulang kepada kesungguhan dan kebijaksanaan penceramah mendekati dan mengorek apa yang tersembunyi, sambil bersabar dengan Loyar Buruk yang memeningkan itu.


BUKAN SEMUA LAWAK ITU GURAUAN


"Hahaha… aku ceraikan engkaulah kalau begitu ya!" seorang suami ketawa besar.


Isteri sudah berubah wajah.


[image error]


"Tiga perkara yang bersungguhnya pun dikira, bergurau mengenainya pun dikira juga: nikah, talak dan membebaskan hamba abdi" [Hadith riwayat Abu Daud, al-Tirmidhi dan Ibn Majah]


Bergurau biar bertempat.


Bergurau biar berilmu.


KEINDAHAN ISLAM


"Tak baik gelak-gelak. Tak tsiqah!" kata seorang naqibah kepada anak buahnya.


Pelajar-pelajar baru itu terdiam.


Benarkah begitu?


Berhati keras, bermasam muka, tidak bergurau, tidak faham gurauan dan miskin senyuman apatah lagi ketawa, adalah watak yang jauh daripada keperibadian Nabi sallalaahu 'alayhi wa sallam.


Bergurau senda dan ketawa yang berlebihan, tidak kena masa dan suasana juga dicela oleh Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam.


Bergurau sendalah dengan isteri, suami dan anak-anak. Bergurau sendalah dengan mad'u di dalam dakwah. Bergurau sendalah dalam kehidupan seharian. Ia menyegarkan fikiran, merangsang perhatian dan menyemai kasih sayang yang berpanjangan.


Bersederhanalah!


Indahnya Islam kerana semuanya tepat pada sebuah kesederhanaan.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 11, 2010 10:53

Forum Keluarga KMS Bersama Ustaz Hasrizal dan Puan Wardina Safiyyah

[image error]


Sudah puas berkenduri di sepanjang Syawwal?


Tentu sahaja sepanjang bulan lalu, kita sibuk memenuhi undangan bukan sahaja ke rumah-rumah terbuka, malah walimah perkahwinan yang mengambil semangat Aidilfitri dan Syawwal.


Khalifah Model School (KMS) dengan kerjasama Kelab Wanita Universiti Kebangsaan Malaysia Gugusan Kesihatan menjemput anda semua untuk menyertai sebuah forum amal pada pagi Ahad ini di Auditorium Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) atau dahulunya dikenali sebagai Hospital UKM di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.



Forum bertajuk "Cabaran Mendidik Generasi-Y: Antara Rumah dan Sekolah" kali ini akan dikendalikan oleh trainer Khalifah Institute, saudara Muhammad Qayyum Abdul Raof bersama dua panelis jemputan iaitu Ustaz Haji Hasrizal Abdul Jamil daripada Saifulislam Training & Consultancy serta Puan Wardina Safiyyah, personaliti TV dan penulis buku kanak-kanak.


Kedua-dua panelis akan berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman pada membicarakan tentang cabaran-cabaran semasa dalam pendidikan anak-anak. Jurang antara generasi dengan cabaran serta pendedahan yang amat berbeza di antara anak-anak, ibu bapa dan guru-guru di sekolah menuntut kepada perkongsian bijak kesemua pihak ke arah membentuk formula pendidikan yang berkesan.


Sesuai dengan pendekatan Metod Khalifah, ibu bapa di rumah sentiasa diberi galakan agar sistem dan pembentukan yang diamalkan di sekolah turut dilaksanakan di rumah. Sekolah dan rumah mesti saling berganding bahu, bukan sahaja ke arah meningkatkan sinergi, malah untuk mencegah konflik nilai yang serius di kalangan anak-anak.


Bayaran tiket untuk program ini adalah sebanyak RM80 seorang.


Di dalam program ini, seluruh hasil jualan tiket akan disalurkan ke dana sekolah Khalifah Model School untuk pembangunan pendidikan murid-murid. Usaha merealisasikan cita-cita melahirkan insan yang menghayati jati diri mereka sebagai Khalifah Allah di KMS ini memerlukan kepada komitmen kewangan di samping sokongan moral, tenaga, masa dan upaya semua pihak.


Bagi ibu tunggal, pelajar dan individu yang berminat untuk menyertai forum ini, namun terhalang oleh komitmen kewangan, pihak penganjur berusaha untuk mendapatkan penajaan semaksima mungkin. Hubungilah nombor-nombor yang disertakan di bawah untuk keterangan lanjut.


Saifulislam Training & Consultancy juga bermurah hati menawarkan diskaun hebat untuk pembelian buku-buku di booth jualan mereka bagi pemegang tiket forum ini, terutamanya buku tulisan al-Fadhil Ustaz Haji Hasrizal Abdul Jamil (Abu Saif) seperti Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga (ATN2), Murabbi Cinta (ATN3), Rindu Bau Pohon Tin, Secangkir Teh Pengubat Letih dan Transformasi Ramadan. Buku-buku lain juga ada disediakan termasuk buku-buku tulisan Puan Wardina Safiyyah.


Untuk keterangan lanjut dan tempahan tiket, sila hubungi nombor-nombor berikut:


Khalifah Model School:


03-42513386 (PN JEHAN) / 03-42566810 (CIK FARAH) / 012 3600165 (PN SHOMIRIZA) / 013252336 (PN SITI)


Kelab Wanita UKM:


03- 91455051 (PN ROSNAH) / 03- 91455154 (PN FAZLEEN) / 03- 91455028 (PN HARIZAN) / 0122810281 (DR SUZANA)


Ketemu di sana, Insya Allah.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 11, 2010 06:13

October 4, 2010

Nazeel Azami dan Dunya: Cinta Kasih Seorang Anak

[image error]


Ada banyak kesan Sami Yusuf yang dapat dirasa.


Mungkin hasil peranan yang pernah dimainkannya sebagai penyanyi latar kepada Sami Yusuf di dalam album pertama beliau, al-Mu'allim.


Namun Nazeel Azami berdiri sendiri dengan sentuhannya yang banyak mengenengahkan seni muzik Bengali. Genre yang menjadikan album DUNYA ini berada di kategorinya yang tersendiri, menambah khazanah Awakening Records pada menawarkan nasyid-nasyid Islami antarabangsa.



Saya mungkin terlewat mengenali Nazeel Azami. Akan tetapi saya harus mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Inteam Records Sdn. Bhd. yang membawa album-album berkualiti tinggi ini ke pasaran Malaysia. Selepas Sami Yusuf dan Maher Zain, kehadiran anak kelahiran kota London bernama Nazeel Azami ini, harus diberi perhatian oleh peminat nasyid semua.


Suara yang lembut tetapi matang, mengalunkan sepuluh buah lagu di dalam album yang diterbitkan pada tahun 2006 ini. Ada rasa tenang yang muncul semasa kali pertama saya menumpukan pendengaran dan perhatian kepada album yang dibeli di Speedy Ampang Point ini. Ketenangan itu mungkin sebahagian daripada keberkatan yang dapat dirasakan, kerana ia terbit daripada kasih seorang anak yang setia menemani ibu yang gering, mengalunkan lagu-lagu yang berasaskan syair Bengali untuk mengurangkan kesakitan yang ditanggung, hingga ibu tercinta menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi Nazeel Azami.


Kenangan dan perasaan itulah yang dihimpun di dalam sebuah album yang sederhana, tetapi pantas sampai ke hati saya yang mendengarnya.


Dunya menampilkan lagu-lagu berikut:



Rahmanur-Rahim
Ishara
Realisation
Opening
Realisation
Knowledge
Salam
Traveller
Heart to Heart
Confession
Light


Kesemuanya enak dihayati dan mengubat kerinduannya saya kepada album-album awal Sami Yusuf yang lebih tenang dan dekat dengan irama tradisional bangsa-bangsa Muslimin.


Marilah kita bersama mengalu-alukan kehadiran Nazeel Azami ke keluarga seni Islam di Malaysia. Semoga beroleh kebaikan daripadanya.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 04, 2010 04:31

September 30, 2010

Kursus Persediaan Aqil Baligh Remaja Lelaki

[image error]


Siri REMAJA KHALIFAH (LELAKI)

Melangkah ke Alam Dewasa

"Remaja Bertaqwa Akhlaq Terpelihara"


Tarikh: 10 Oktober 2010 (Ahad), 8:00 pagi -5:00 petang

Terbuka kepada: Anak-anak Lelaki, 13-15 tahun

Tempat: Bilik Latihan, Khalifah Institute 427, Jalan 2, Taman Ampang Utama 68000 Ampang Selangor


DIKENDALIKAN OLEH KHALIFAH YOUTH CIRCLE (KYC), KHALIFAH INSTITUTE

Tel: 03-4256 6810 Fax: 03-4256 5423

Emel: khalifahproject@yahoo.com

www.islamic-world.net

www.khalifahtraining.com



PENGENALAN


Peringkat baligh merupakan fasa yang penting dalam kehidupan seseorang individu. Kanak-kanak lelaki akan menghadapi perubahan yang besar apabila mereka mencapai peringkat baligh dan seterusnya memasuki alam dewasa. Walaupun ini berlaku secara semulajadi, pengetahuan tentang perubahan ini dan isu-isu yang berkaitan dengannya adalah sesuatu yang harus dipelajari dan difahami. Selain daripada perubahan fizikal dan emosi, perubahan yang lebih penting yang akan dihadapi oleh semua anak-anak ialah tanggungjawab selepas baligh kerana anak-anak ini sekarang adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala dosa dan pahala berhubung segala perbuatan mereka.


Malangnya, seringkali anak-anak ini tidak disediakan dari awal untuk menghadapi perubahan besar ini. Selain itu, isu-isu penting seperti pengetahuan seks amat jarang dibincangkan. Kebanyakan ibu bapa berasa agak malu untuk berbincang dengan anak-anak mereka tentang isu seperti ini. Akibatnya, anak-anak ini menggunakan sumber-sumber lain seperti kawan-kawan mereka dan media massa untuk memenuhi rasa ingin tahu mereka.


Apabila membicarakan tentang pendidikan seks, ramai yang melihatnya dari sudut fizikal atau lahiriah semata-mata. Dalam Islam, aspek seksual sentiasa dibincangkan seiring dengan tanggungjawab agama dan amalan Islam sebagai satu cara hidup. Inilah yang perlu ditekankan kepada anak-anak dari awal untuk membentuk muslimin yang bertaqwa. Anak-anak perlu dipupuk kecintaan kepada Allah swt sedalam-dalamnya dan kecintaan untuk melaksanakan tanggung jawab mereka sebagai khalifah di muka bumi.


Dengan ini timbullah keperluan untuk mengadakan satu bengkel kefahaman tentang proses baligh kepada kanak-kanak lelaki. Isu-isu yang bersangkutan khususnya pendidikan seks akan dibincangkan secara lebih menyeluruh dan merangkumi aspek fizikal dan spiritual. Bengkel ini terbuka untuk anak-anak lelaki berumur 13 hingga 15 tahun. Kehadiran ibu bapa sebagai pemerhati juga digalakkan bagi memupuk suatu hubungan yang sangat istimewa antara ibu bapa dan anak kerana perkongsian ilmu yang begitu suci tetapi sukar dibincangkan ini merupakan titik permulaan untuk memulakan perbincangan terbuka dan menjalinkan hubungan yang mesra antara ibu bapa dan anak.


OBJEKTIF



Memberi maklumat kepada anak-anak lelaki mengenai isu-isu penting berhubung proses baligh dan pendidikan seks dari perspektif sains dan agama.
Menyedarkan anak-anak lelaki tentang tanggungjawab agama setelah baligh.
Memberi kesedaran kepada anak-anak lelaki tentang isu perhubungan lelaki dan perempuan berlandaskan syariat Islam.
Membuka jalan kepada para ibu bapa untuk berbincang isu-isu berhubung pendidikan seks secara terbuka dan ikhlas dengan anak-anak lelaki mereka pada masa akan datang.

TENTATIF





MASA
PERKARA


8:00 pg
Pendaftaran


8:30 pg
Ice Breaking


9:00 pg
Sesi 1

"Anatomi dan Fisiologi Sistem Reproduktif "


(perbincangan mengenai perubahan emosi dan fizikal serta pendidikan seks)


10:30 pg
Minum pagi


11:00 pg
Sesi 2


"Lelaki Sebagai Pelindung"


( perbincangan mengenai tanggungjawab agama sesudah baligh)


12:00 pg
Aktiviti dalam Kumpulan


1:00 t/hari
Makan tengah hari


Solat Zuhur Berjemaah


2:00 ptg
Sesi 3


"Manual Cinta"


(perbincangan mengenai perhubungan antara lelaki dan perempuan)


3:00 ptg
Plan Tindakan


"Strategi Menghadapi Cabaran Kini"


4:00 ptg
Resolusi & Penutup


Solat 'Asar Berjemaah


5:00 ptg
Bersurai



PENCERAMAH



Dr. Kamarul Azahar Mohd Razali (Pakar Peruding Kanan Pediatrik dan Penyakit Berjangkit, Paediatric Institute, Hospital Kuala Lumpur)
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Saifulislam Training & Consultancy, Penulis Buku "Aku Terima Nikahnya")
Saudara Muhammad Qayyum Abdul Raof (Trainer, Khalifah Institute)

YURAN DAN PENDAFTARAN


Tempat: 35 Peserta Sahaja tidak termasuk ibu bapa


Yuran: RM80.00 (seorang), RM50.00 (ibu bapa)


Sertakan butiran pendaftaran berikut:



Nama peserta
Nama ibu bapa / penjaga
Alamat
Telefon
Emel

Hantarkan ke: khalifahproject@yahoo.com


Untuk keterangan lanjut, hubungi kami: 03-4256 6810 (Farah) / 012-932 6959 (Huda) /013 2336312 (Mursyidi)


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 30, 2010 19:16

September 28, 2010

Schadenfreude: Menikmati Sebuah Rakaman Penderitaan

[image error]


"Tengok ni. Ish… ngeri sungguh!" kata Abu.


"Pergh… sampai patah dua pinggang dia. Mesti mati punya tu!" ulas Ali pula.


"Aku pernah tengok accident lebih kurang macam ni. Memang termuntah aku dibuatnya" Ali menyambung cerita.


Mereka berdua tercegat di hadapan skrin komputer menonton klip video yang memaparkan imej seorang lelaki yang badannya terlipat dua dan berlumuran darah kerana digilis sebuah lori besar. Pemandangan yang sepatutnya amat mengerikan itu, tanpa disedari berubah menjadi satu bentuk keseronokan dan kepuasan hingga tanpa bertangguh, Abu segera menekan butang share di rangkaian halaman sosial Facebook beliau agar pemandangan ngeri itu boleh ditonton oleh orang lain pula.


Tabiat ini juga membabitkan foto-foto anak kecil di Palestin yang hilang separuh kepala akibat letupan bom, atau imej wanita di sebuah negara direjam dengan batu bata hingga berkecai muka dan kepalanya. Siri ini berterusan tanpa henti.



Ada garis pemisah yang halus di antara sisi baik keadaan ini, dengan sisi buruknya. Ramai di kalangan pengguna internet menyebarkan foto dan klip video seperti ini dengan tanggapan bahawa ia adalah materi yang berkesan untuk menimbulkan kesedaran.


Ingat mati.


Bersyukur dengan keselamatan.


Mengambil iktibar.


Bertaubat.


Semua itu mewarnai lapisan pertama motif mengapa mereka gemar kepada bahan-bahan yang mengerikan seperti ini.


Tetapi ketika mana perbuatan menonton dan menyebar bahan sebegini berubah menjadi seperti suatu ketagihan, ia bukan lagi sebuah keprihatinan. Sebaliknya ia berubah menjadi penyakit mental!


'Keinsafan' yang dirasai itu bukan lagi sebuah keinsafan, sebaliknya kepuasan luar biasa, hasil melihat dan mengulang lihat foto serta imej yang ngeri itu.


REGARDING THE PAIN OF OTHERS: SUSAN SONTAG


[image error]


Lambakan foto peperangan ini mengingatkan kita kepada sebuah buku yang secara khusus membincangkan tentang implikasinya terhadap jiwa manusia. Susan Sontag (1933 – 2004), di dalam bukunya, Regarding the Pain of Others meneliti secara terpeinci berkenaan dengan peranan yang dimain serta ditinggalkan oleh foto kepada jiwa dan moral manusia.


Fotografi yang kini menjadi sesuatu yang boleh dilakukan dan dinikmati hasilnya oleh sesiapa sahaja, telah membentuk satu kod visual yang baru. Di satu ketika, manusia menghadkan hak dirinya untuk melihat apa yang hanya bersangkutan dengan dirinya, lambakan foto semasa telah mengubah itu kepada suatu tanggapan bahawa setiap kita boleh berasa mahu dan berhak untuk menatap hampir apa sahaja yang boleh divisualkan di dalam bentuk foto. Ini merupakan satu set pemikiran yang baru, yang mungkin kita sendiri tidak sedar akan kewujudannya setiap kali kita berada di atas talian (online).


Fotografi daripada satu sudut yang lain, membantu kita di dalam proses pendidikan. Ia membantu kita meluaskan penglihatan ke masa silam dan mencapah realiti semasa, sedangkan tanpa foto hanya segelintir sahaja di kalangan kita yang tahu bagaimanakah yang dikatakan Piramid di sebuah negara bernama Mesir.


Namun, apa yang paling menjadi tumpuan kebimbangan kita adalah sentuhan tentang PEMBIUSAN FOTO.


Lambakan foto kejam berkaitan dengan peperangan, pembunuhan atau kemalangan telah membunuh sensitiviti para penatap. Desensitization yang berlaku itu memberikan kesan yang amat buruk kepada jiwa manusia. Sontag sendiri bercerita tentang pengalaman dirinya berkenaan hal ini.


Dirinya sebagai seorang remaja, pengalaman melihat imej-imej Holocaust Camps, mencetuskan sesuatu yang membimbangkan. Katanya, "when I looked at those photographs something broke… something went dead, something is still crying." Entah di mana kebaikannya bagi seorang remaja untuk beliau mengakses imej-imej tersebut tanpa pengetahuan dan kematangan yang sebenar di dalam memahami apakah Holocaust itu sendiri. Apa yang pasti, imej-imej itu menjadi seperti bius, meninggalkan rasa lumpuh dan kebas pada jiwa hingga hilang sensitiviti terhadap REALITI. Images anesthetize dan akses tanpa had, adalah implikasi negatif daripada lambakan foto sadistik ini.


ASHAAB AL-UKHDOOD DAN SCHADENFREUDE


Kisah Ashaab al-Ukhdood amat menyayat hati.


Pemerintah yang zalim, berasa amat tergugat dengan keimanan yang dijulang oleh seorang remaja, telah mencetuskan fenomena apabila kematiannya akibat pembunuhan yang beliau sendiri ajarkan kepada pihak pemerintah itu, menyebabkan masyarakat berpaling daripada mentaati raja kepada mengimani Tauhid Allah Subhanahu wa Ta'aala.


Ikhtiar akhir… mereka dibunuh.


Pembunuhan beramai-ramai itu pula dibuat dalam bentuk yang paling kejam.


Sebuah parit besar disediakan. Api yang marak dinyalakan. Orang-orang yang beriman dicampak atau dipaksa terjun ke dalam kemarakan api itu. Termasuk kanak-kanak dan bayi yang belum mengerti.


Bagaimanakah jika pemandangan ini diimejkan?


Sebelum soalan itu dijawab, ayuh kita lihat bagaimanakah Allah Subhanahu wa Ta'aala membentangkan kisah ini:


[image error]"Celakalah kaum yang menggali parit itu. Parit yang penuh dengan api yang dinyalakan itu. (Mereka itu dilaknat) tatkala kejadian (yang mengerikan) itu mereka duduk mengelilinginya. Mereka itu, perbuatan kejam yang mereka lakukan terhadap orang-orang yang beriman… disaksikan (dengan kepuasan). Dan tidaklah mereka melakukan sedemikian rupa melainkan kerana dendam mereka hanya kerana kaum tersebut beriman kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji" [al-Burooj 85: 4-8]


Jiwa penjenayah itu berada di kemuncak kejam.


Mereka bukan sahaja membunuh kaum yang beriman itu dengan membakarnya, malah mereka duduk di keliling parit berapi, menikmati pemandangan yang sangat kejam itu. Jiwa manusia apakah ini? Manusiakah mereka?


Tingkah laku yang amat buruk ini boleh difahami sebagai fenomena Schadenfreude. Ia adalah perkataan yang berasal daripada Bahasa Jerman yang memberikan maksud, KEPUASAN YANG DINIKMATI DARIPADA PENDERITAAN ORANG LAIN.


Ia adalah suatu kecacatan jiwa yang amat luar biasa. Menonton atau menyaksikan pemandangan-pemandangan ngeri, sama ada secara realiti, video atau foto, telah dikaji pada tahun 2009 dan hasilnya memperlihatkan bagaimana perbuatan tersebut telah mengaktifkan anterior cingulate cortex di dalam otak, iaitu bahagian yang turut berfungsi sebagai pusat penganugerahan otak. Timbul rasa nikmat, puas bersama rembesan oxytocin [Simone G. Shamay-Tsoorya, et. al., "Intranasal Administration of Oxytocin Increases Envy and Schadenfreude (Gloating)," Biological Psychiatry, Volume 66 Issue 9, Pages 864–870 (1 November 2009)].


Jangan tertipu dengan fungsi foto.


Pendedahan yang asalnya bermaksud mahu mencetuskan kesedaran, berubah menjadi pembiusan jiwa yang mematikan sensitiviti.


Adakah anda membaca berita dengan hanya menatap slide BERITA BERGAMBAR? Anda sentiasa tertarik pada imej darah, kecederaan, kesakitan, penderaan, pembunuhan dan kematian? Adakah anda mendapat tabiat suka menghantar gambar-gambar sadistik itu melalui emel ke kenalan dan bukan kenalan? Adakah ada mempunyai tabiat gemar mengedit gambar-gambar anak Palestin yang cedera parah dan terbunuh, lalu menghasilkan poster tanpa disuruh?


Tanyalah kepada diri.


Pada usia 35 tahun, saya menganalisa diri, sejauh manakah kemudahan liputan dan foto kekejaman peperangan di Palestin, kemalangan di jalanraya Malaysia, menambah TINDAKAN saya seperti yang sepatutnya.


Atau segala-galanya berubah menjadi BIASA?


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 28, 2010 16:04

Menikmati Sebuah Rakaman Penderitaan

[image error]


"Tengok ni. Ish… ngeri sungguh!" kata Abu.


"Pergh… sampai patah dua pinggang dia. Mesti mati punya tu!" ulas Ali pula.


"Aku pernah tengok accident lebih kurang macam ni. Memang termuntah aku dibuatnya" Ali menyambung cerita.


Mereka berdua tercegat di hadapan skrin komputer menonton klip video yang memaparkan imej seorang lelaki yang badannya terlipat dua dan berlumuran darah kerana digilis sebuah lori besar. Pemandangan yang sepatutnya amat mengerikan itu, tanpa disedari berubah menjadi satu bentuk keseronokan dan kepuasan hingga tanpa bertangguh, Abu segera menekan butang share di rangkaian halaman sosial Facebook beliau agar pemandangan ngeri itu boleh ditonton oleh orang lain pula.


Tabiat ini juga membabitkan foto-foto anak kecil di Palestin yang hilang separuh kepala akibat letupan bom, atau imej wanita di sebuah negara direjam dengan batu bata hingga berkecai muka dan kepalanya. Siri ini berterusan tanpa henti.



Ada garis pemisah yang halus di antara sisi baik keadaan ini, dengan sisi buruknya. Ramai di kalangan pengguna internet menyebarkan foto dan klip video seperti ini dengan tanggapan bahawa ia adalah materi yang berkesan untuk menimbulkan kesedaran.


Ingat mati.


Bersyukur dengan keselamatan.


Mengambil iktibar.


Bertaubat.


Semua itu mewarnai lapisan pertama motif mengapa mereka gemar kepada bahan-bahan yang mengerikan seperti ini.


Tetapi ketika mana perbuatan menonton dan menyebar bahan sebegini berubah menjadi seperti suatu ketagihan, ia bukan lagi sebuah keprihatinan. Sebaliknya ia berubah menjadi penyakit mental!


'Keinsafan' yang dirasai itu bukan lagi sebuah keinsafan, sebaliknya kepuasan luar biasa, hasil melihat dan mengulang lihat foto serta imej yang ngeri itu.


REGARDING THE PAIN OF OTHERS: SUSAN SONTAG


[image error]


Lambakan foto peperangan ini mengingatkan kita kepada sebuah buku yang secara khusus membincangkan tentang implikasinya terhadap jiwa manusia. Susan Sontag (1933 – 2004), di dalam bukunya, Regarding the Pain of Others meneliti secara terpeinci berkenaan dengan peranan yang dimain serta ditinggalkan oleh foto kepada jiwa dan moral manusia.


Fotografi yang kini menjadi sesuatu yang boleh dilakukan dan dinikmati hasilnya oleh sesiapa sahaja, telah membentuk satu kod visual yang baru. Di satu ketika, manusia menghadkan hak dirinya untuk melihat apa yang hanya bersangkutan dengan dirinya, lambakan foto semasa telah mengubah itu kepada suatu tanggapan bahawa setiap kita boleh berasa mahu dan berhak untuk menatap hampir apa sahaja yang boleh divisualkan di dalam bentuk foto. Ini merupakan satu set pemikiran yang baru, yang mungkin kita sendiri tidak sedar akan kewujudannya setiap kali kita berada di atas talian (online).


Fotografi daripada satu sudut yang lain, membantu kita di dalam proses pendidikan. Ia membantu kita meluaskan penglihatan ke masa silam dan mencapah realiti semasa, sedangkan tanpa foto hanya segelintir sahaja di kalangan kita yang tahu bagaimanakah yang dikatakan Piramid di sebuah negara bernama Mesir.


Namun, apa yang paling menjadi tumpuan kebimbangan kita adalah sentuhan tentang PEMBIUSAN FOTO.


Lambakan foto kejam berkaitan dengan peperangan, pembunuhan atau kemalangan telah membunuh sensitiviti para penatap. Desensitization yang berlaku itu memberikan kesan yang amat buruk kepada jiwa manusia. Sontag sendiri bercerita tentang pengalaman dirinya berkenaan hal ini.


Dirinya sebagai seorang remaja, pengalaman melihat imej-imej Holocaust Camps, mencetuskan sesuatu yang membimbangkan. Katanya, "when I looked at those photographs something broke… something went dead, something is still crying." Entah di mana kebaikannya bagi seorang remaja untuk beliau mengakses imej-imej tersebut tanpa pengetahuan dan kematangan yang sebenar di dalam memahami apakah Holocaust itu sendiri. Apa yang pasti, imej-imej itu menjadi seperti bius, meninggalkan rasa lumpuh dan kebas pada jiwa hingga hilang sensitiviti terhadap REALITI. Images anesthetize dan akses tanpa had, adalah implikasi negatif daripada lambakan foto sadistik ini.


ASHAAB AL-UKHDOOD DAN SCHADENFREUDE


Kisah Ashaab al-Ukhdood amat menyayat hati.


Pemerintah yang zalim, berasa amat tergugat dengan keimanan yang dijulang oleh seorang remaja, telah mencetuskan fenomena apabila kematiannya akibat pembunuhan yang beliau sendiri ajarkan kepada pihak pemerintah itu, menyebabkan masyarakat berpaling daripada mentaati raja kepada mengimani Tauhid Allah Subhanahu wa Ta'aala.


Ikhtiar akhir… mereka dibunuh.


Pembunuhan beramai-ramai itu pula dibuat dalam bentuk yang paling kejam.


Sebuah parit besar disediakan. Api yang marak dinyalakan. Orang-orang yang beriman dicampak atau dipaksa terjun ke dalam kemarakan api itu. Termasuk kanak-kanak dan bayi yang belum mengerti.


Bagaimanakah jika pemandangan ini diimejkan?


Sebelum soalan itu dijawab, ayuh kita lihat bagaimanakah Allah Subhanahu wa Ta'aala membentangkan kisah ini:


[image error]"Celakalah kaum yang menggali parit itu. Parit yang penuh dengan api yang dinyalakan itu. (Mereka itu dilaknat) tatkala kejadian (yang mengerikan) itu mereka duduk mengelilinginya. Mereka itu, perbuatan kejam yang mereka lakukan terhadap orang-orang yang beriman… disaksikan (dengan kepuasan). Dan tidaklah mereka melakukan sedemikian rupa melainkan kerana dendam mereka hanya kerana kaum tersebut beriman kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji" [al-Burooj 85: 4-8]


Jiwa penjenayah itu berada di kemuncak kejam.


Mereka bukan sahaja membunuh kaum yang beriman itu dengan membakarnya, malah mereka duduk di keliling parit berapi, menikmati pemandangan yang sangat kejam itu. Jiwa manusia apakah ini? Manusiakah mereka?


Tingkah laku yang amat buruk ini boleh difahami sebagai fenomena Schadenfreude. Ia adalah perkataan yang berasal daripada Bahasa Jerman yang memberikan maksud, KEPUASAN YANG DINIKMATI DARIPADA PENDERITAAN ORANG LAIN.


Ia adalah suatu kecacatan jiwa yang amat luar biasa. Menonton atau menyaksikan pemandangan-pemandangan ngeri, sama ada secara realiti, video atau foto, telah dikaji pada tahun 2009 dan hasilnya memperlihatkan bagaimana perbuatan tersebut telah mengaktifkan anterior cingulate cortex di dalam otak, iaitu bahagian yang turut berfungsi sebagai pusat penganugerahan otak. Timbul rasa nikmat, puas bersama rembesan oxytocin [Simone G. Shamay-Tsoorya, et. al., "Intranasal Administration of Oxytocin Increases Envy and Schadenfreude (Gloating)," Biological Psychiatry, Volume 66 Issue 9, Pages 864–870 (1 November 2009)].


Jangan tertipu dengan fungsi foto.


Pendedahan yang asalnya bermaksud mahu mencetuskan kesedaran, berubah menjadi pembiusan jiwa yang mematikan sensitiviti.


Adakah anda membaca berita dengan hanya menatap slide BERITA BERGAMBAR? Anda sentiasa tertarik pada imej darah, kecederaan, kesakitan, penderaan, pembunuhan dan kematian? Adakah anda mendapat tabiat suka menghantar gambar-gambar sadistik itu melalui emel ke kenalan dan bukan kenalan? Adakah ada mempunyai tabiat gemar mengedit gambar-gambar anak Palestin yang cedera parah dan terbunuh, lalu menghasilkan poster tanpa disuruh?


Tanyalah kepada diri.


Pada usia 35 tahun, saya menganalisa diri, sejauh manakah kemudahan liputan dan foto kekejaman peperangan di Palestin, kemalangan di jalanraya Malaysia, menambah TINDAKAN saya seperti yang sepatutnya.


Atau segala-galanya berubah menjadi BIASA?


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 28, 2010 16:04