Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 104
February 1, 2011
Era Walimah SPAM
"Wan datang dengan siapa?" tanya Hajah Sofiah.
"Si Jakpo nak ke kubur. Awak minta dia turunkan di rumah Yah!" balas Wan Saadah.
"Gitu… Hai, datang macam berhajat gayanya ni" usik Hajah Sofiah lagi.
"Takkan le tunggu berhajat baru nak datang menjenguk. Tapi memang berhajat pun. Wan nak mengajak Yah sekeluarga ke kenduri kahwin cuti sekolah ni" kata Wan Saadah.
Beliau mengeluarkan sekeping kad daripada beg tangan usang yang turut berisi telekung sembahyang.
"Oh ye ke. Alhamdulillah. Anak yang mana?" tanya Hajah Sofiah.
"Ishh kamu ni. Mana ada lagi yang tinggal. Teruna seorang tu aje le. Si Karim!" ujar Wan Saadah.
"Allah, kalau Wan telefon pun tak mengapa. Idak le susah payah nak datang ke baruh ni" Hajah Sofiah menyambut kad jemputan yang dihulurkan oleh Hajah Sofiah. Mereka pernah sama-sama mengajar di sekolah sebelum bersara lama dahulu.
"Tak elok le main cakap telefon. Tengah ada kudrat ni, boleh le digagah-gagah datang. Jangan tak datang ye" Hajah Sofiah menghirup teh bujang yang Wan Saadah hidangkan.
"Insya Allah. Seronok Wan ye. Selesai sudah urusan anak-anak" Hajah Sofiah mengusik.
Tangannya menghulur kain buat mengelap.
"Selesai urusan anak, bersiap urusan emak le pula. Urusan ke kubur!" gurau Wan Saadah.
Mereka saling ketawa.
Terdiam seketika.
Setiap kali menjelang musim cuti sekolah, ramailah makcik yang menumpang basikal, motor dan kereta untuk pergi dari satu rumah ke satu rumah. Ada rumah saudara mara, ada rumah kawan lama. Kad-kad sudah ditulis dengan tangan. Ia dihimpun mengikut kedudukan rumah yang saling berdekatan agar mudah menuju nanti. Hajatnya cuma satu. Jemputan kahwin.
Begitulah bersungguhnya ibu bapa kita memuliakan majlis perkahwinan.
Dalam sakit-sakit lutut, mereka berusaha untuk menyampaikan sendiri jemputan kahwin, selalunya berkad, kepada setiap tetamu. Selagi boleh.
Belum sempat ibu-ibu ini menghembuskan nafas terakhir mereka di alam yang fana' ini, adab sopan yang mulia ini mati dahulu. Adab sopan yang tidak dapat difahami oleh anak-anak mereka, tatkala kad jemputan kahwin diimbas (scan) dan kemudiannya dipos ke dinding Facebook lalu ditag secara beramai-ramai.
"Sila berikan alamat anda jika mahukan kad jemputan" mesej ringkas mengiringi tag berkenaan.
Sesama rakan yang sudah tidak dapat menilai adab dan sopan, ia diterima sebagai amalan biasa. Sebagaimana tanpa segan silu melambakkan iklan pelekat detoks kaki, jubah, kek cawan di dinding Facebook semua 'rakan' yang dianggap pelanggan.
Namun bagi ibu bapa yang masih bernyawa, abang-abang yang sempat melihat ibu tua memegang lutut meredah kampung, perbuatan itu sungguh tidak sesuai.
Walimah Spam?
Mahukah hal ini diberi perhatian?
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
January 30, 2011
Hosni Yang Tidak Mubarak Lagi!
[image error]
Rusuhan jalanan bukanlah satu pilihan yang mudah.
Rakyat akan hanya mengambil pilihan itu apabila mereka putus asa dengan sistem dan ahli politik. Sesungguhnya apa yang sedang membara di Mesir, merupakan amaran keras kepada pemerintah-pemerintah yang tanpa segan silu mencemar dan merosakkan sistem melalui korupsi yang tebal dan kebal.
Menumpaskan Hosni Mubarak bukan hanya penting untuk memperbaiki Mesir. Malah apa yang besar di sebalik itu adalah untuk meruntuhkan sekatan sempadan di Rafah.
Membuka jalan ke Palestin.
"This is the most important individual for us today in the Middle East arena, and I think the only leader that I know who identifies himself, in a clear way, with the importance of the peace agreements with Israel," Benjamin Ben-Eliezer, Ahli Parlimen Rejim Zionis bercakap sebagaimana dipetik oleh Businessweek.Com
Palestin, teruskan perjuangan, doa dan munajatmu.
Lorong-lorong gelap sebuah kemenangan mula disimbah cahaya.
Buat kita di sini, berdoa, bermunajat dan teruskan berbicara untuk membentuk pendapat umum yang memenangkan Islam.
Salam, doa dan tiupan semangat buat saudara seperjuangan di Bumi Kinanah!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
January 27, 2011
KHUTBAH JUMAAT: Lahir Muslim, Biar Hidup Muslim dan Mati Muslim
[image error]
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Bertaqwalah kepada Allah. Kita hamba, Allah Tuhan kita. Tiada milik kita. Semua milik Dia. Semua yang ada pada harta, kehidupan dan nyawa, adalah amanah daripada-Nya. Bertaqwalah kita pada melunaskan amanah itu, dan jangan sekali-kali mati, kecuali sebagai Muslim yang tunduk dan patuh kepada-Nya.
Firman Allah SWT:
[image error]
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)" [Surah al-An'aam 6: 162-3]
Sidang kaum Muslimin yang berbahagia di hari Jumaat ini,
Kita semua bersetuju bahawa seseorang itu tidak boleh menjadi doktor tanpa ilmu dan latihan yang secukupnya. Dia perlu belajar dan belajar, memahami sepenuhnya tentang tugas yang digalas kerana risikonya adalah keselamatan dan nyawa pesakit. Kita semua setuju bahawa seseorang itu tidak boleh menjadi jurutera awam tanpa ilmu dan latihan yang diperlukan. Tanpa kelengkapan itu, risikonya boleh meretakkan jambatan, merosakkan lebuh raya dan meruntuhkan bangunan.
Semua itu perlu kepada ilmu.
Tetapi bagaimana dengan seorang ibu dan bapa?
Pentingkah untuk seseorang yang menjadi ibu, khususnya bapa, untuk dirinya mempunyai ilmu dan kemahiran yang cukup untuk menjalankan tugasnya? Subjeknya bukan jambatan atau bangunan. Subjeknya bukan pesakit yang tidak dikenali atau mayat yang sudah tidak boleh diselamatkan. Subjeknya adalah zuriat kita sendiri. Anak yang berbinkan nama kita. Anak yang akan dipersoalkan oleh Allah di Mahsyar nanti, sama ada kita telah melunaskan tanggungjawab dengan sebaiknya, atau kita gagal dalam menjalankan tugasan yang amat besar ini.
Firman Allah SWT:
[image error]
Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan. [Surah at-Tahrim 66: 6]
Ya, risikonya bukan jambatan runtuh. Bukan bangunan retak. Risikonya bukan setakat kecederaan dan kematian orang yang tiada kena mengena dengan kita. Malah risikonya lebih besar. Allah memberi ancaman bahawa kegagalan berperanan dengan baik sebagai ibu dan bapa, akan mengundang seisi keluarga menghuni Neraka! Wal'iyadzabillah. Kita rasa sangat marah mendengar ibu bapa yang mendera anak-anak dengan mencucuh putung rokok atau seterika panas kepada zuriat mereka sendiri. Tetapi berapa ramai ibu dan bapa yang kerana tidak peduli akan hal ini, sedang menyiapkan anak-anak mereka untuk dibakar oleh api Neraka Allah? Tidakkah ini pendera hakiki? Tidakkah nanti anak-anak itu akan mengheret ibu bapanya sekali?
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Sabda Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam:
[image error]
"Tidaklah lahir setiap bayi melainkan dia dilahirkan di atas fitrah. Maka ibu bapanya itulah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi…" - Riwayat Muslim / 4803
Ibu bapa adalah guru pertama anak-anak.
Ibu bapa Yahudi berjaya meYahudikan anak-anak mereka.
Ibu bapa Nasrani berjaya meNasranikan anak-anak mereka.
Ibu bapa Majusi berjaya meMajusikan anak-anak mereka.
Bagaimana dengan kita sebagai ibu bapa Muslim? Berjayakan kita meMuslimkan anak-anak kita? Jika Yahudi hari ini benar-benar menyerupai sifat Yahudi yang disebut di dalam al-Quran, jika Nasrani hari ini benar-benar menyerupai sifat Nasrani yang disebut di dalam al-Quran, jika Kuffar dan Musyrikin hari ini benar-benar menyerupai sifat Kuffar dan Musyrikin yang disebut di dalam al-Quran, serupakah kita dengan gambaran Islam dan Muslim di dalam al-Quran? Serupakah anak-anak kita dengan gambaran Islam dan Muslim di dalam al-Quran?
Mimbar hari ini tidak bermaksud untuk berbicara secara pesimis.
Tetapi atas amanah yang diterima daripada Sunnah Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam, kita perlu saling mengingatkan akan hal ini. Tiada makna kita berjaya di dalam kerjaya, tidak bererti keuntungan yang dikecapi dalam perniagaan, jika harga yang dibayar adalah kemusnahan keluarga sendiri. Membentuk rumahtangga dan anak-anak mesti diangkat sebagai suatu JIHAD.
Sabda Nabi sallallaahu alayhi wa sallam:
[image error]
Daripada Umm al-Mu'minin Aisyah radhiyallahu anha beliau berkata, Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda: Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya dan aku adalah yang terbaik kepada keluargaku. [Hadith riwayat al-Tirmidhi]
NAFKAH FIZIKAL
Seorang ibu bapa yang baik adalah ibu bapa yang mengusahakan keperluan nafkah fizikal anak-anak. Soal makan minum, pakaian, tempat tinggal, dan keperluan fisiologi anak-anak, diusahakan sebaik mungkin. Rezeki yang diberikan bukan sahaja Tayyiban, malah Halal. Kita mungkin tidak membawa pulang makanan yang haram seperti babi atau haiwan yang tidak disembelih. Namun berhati-hati dengan RIBA, RASUAH, gaji yang diperolehi oleh ibu bapa yang ponteng waktu kerja, zakat pendapatan yang tidak dilunaskan atau peniaga yang menipu dalam perniagaan.
Membina kehidupan dengan sumber yang haram, merupakah salah satu bencana kepada keluarga. Bertaqwalah kita kepada Allah daripada rezeki-rezeki yang kotor seperti ini.
NAFKAH MENTAL
Seorang ibu bapa yang baik juga adalah ibu bapa yang sedar bahawa anak-anaknya bukan sekadar bertubuh badan yang memerlukan minum makan dan pakaian. Setakat memberi makan minum dan perlindungan keselamatan, mungkin ada ibu burung, bapa kambing dan emak kucing yang lebih bersungguh mengusahakannya berbanding sesetengah kita yang sering anak-anaknya terlepas sarapan pagi sebelum ke sekolah.
Namun anak-anak kita dianugerahkan oleh Allah akal fikiran. Akal fikiran itu memerlukan kepada ilmu, pendidikan, dan rangsangan berfikir. Sifat anak-anak yang bertanya soalan, ingin tahu, jangan dibunuh dengan menutup mulut mereka. Galakkan mereka berfikir, kerana manusia yang akalnya gagal berfungsi, akan menurunkan martabat dirinya ke serendah-rendah kejadian.
NAFKAH EMOSI
Seorang ibu bapa yang lebih baik juga sedar bahawa anak-anaknya mempunyai perasaan atau emosi yang turut memerlukan makanannya sama seperti tubuh badan memerlukan makanan harian. Ibu bapa perlu berusaha untuk menunaikan nafkah emosi ini dengan memberikan perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak. Pendapat mereka hendaklah dihargai, diminta dan didengar dari semasa ke semasa.
Hari ini kita berhadapan dengan dua kelompok ibu bapa yang ekstrim.
Kelompok pertama adalah ibu bapa yang terlalu merancang segala-galanya untuk si anak. Bukan sahaja apa makanannya, sekolah di mana, belajar subjek apa, mengaji bidang apa, di universiti mana, kerja sebagai apa, malah kahwin dengan siapa dan bagaimanakah bentuk rumahtangga anak-anak itu, semuanya diatur mengikut kehendak ibu bapa. Perbuatan sebegini akan menyebabkan anak kehilangan WUJUD DIRI mereka kerana pendapat mereka tidak pernah diberi perhatian.
Lebih memburukkan keadaan, ibu bapa cuba untuk memenuhi impian peribadi mereka yang gagal dicapai, dengan memindahkan impian itu kepada anak-anak. Terlalu ramai remaja di luar sana yang berasa tertekan dengan sikap ibu bapa seperti ini. Mereka mungkin sangat lemah lembut terhadap anak-anak, tetapi hakikatnya mereka telah bersikap kasar kepada emosi anak-anak.
Lupakah kita kepada sikap yang ditunjukkan oleh Ibrahim alayhi al-Salam kepada anaknya Ismail.
Ibrahim adalah sepatuh-patuh manusia kepada Allah. Tatkala menerima perintah daripada Allah untuk menyembelih anaknya Ismail, apakah kata Ibrahim kepada anaknya itu?
[image error]
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar". [Surah al-Saaffaat 37: 102]
Kata-kata Ibrahim (فانظر ماذا ترى) yang bermaksud "Maka fikirkanlah apa pendapatmu?" adalah contoh bagaimana dalam soal sebesar melaksanakan wahyu Allah sekali pun, Ibrahim masih meminta pendapat anaknya Ismail. Inilah jiwa seorang bapa mithali yang wajar kita teladani.
Dengarlah, sebelum kita berharap pendapat kita didengari.
Berikan perhatian, sebelum kita berharap diri kita menerima perhatian mereka.
Ia bukan seruan Kebaratan atau menolak adat kebiasaan masyarakat Melayu. Ia adalah seruan kepada mencontohi para Anbiya' dan Rasul.
NAFKAH ROHANI (SPIRITUAL)
Sidang Jumaat sekalian,
Anak-anak kita dilahirkan sebagai Muslim. Perjuangannya adalah untuk memastikan kita dan mereka yang lahir Muslim, mati sebagai seorang Muslim. Kita sering risaukan cara kita mati. Jika boleh, kita mahu mati semasa berdoa di atas sejadah, atau mati semasa bertawaf di Kaabah, atau mati semasa menderma di rumah anak yatim.
Sedangkan cara mati itu di luar kuasa kita.
Apa yang berada di tangan kita adalah cara hidup. Cara hidup yang ditentukan oleh tujuan hidup. Apakah tujuan hidup kita? Tahukah anak-anak kita mengapa mereka lahir ke dunia?
Sebatang pen digunakan untuk menjadi paku di dinding bagi menggantung bingkai gambar akan pecah dan rosak semasa diketuk. Apabila rosak ia dibuang ke tong sampah. Bagaimana pen menjadi sampah? Pen diciptakan atas tujuan yang khususnya. Apabila disalah guna dia akan rosak. Dan apabila rosak ia menjadi sampah.
Demikian juga manusia. Allah menciptakan manusia dengan satu tujuan yang khusus. Jika manusia hidup dengan tujuan yang lain, dia akan menjadi rosak. Apabila rosak mereka menjadi sampah. Dan itulah asal usulnya sampah masyarakat. Siapakah sampah masyarakat? Kita boleh namakan mereka sebagai penagih dadah atau mat rempit. Tetapi hakikatnya mereka adalah manusia yang gagal menjawab soalan paling penting: HIDUP INI UNTUK APA?
Sains tidak mampu memberi jawapan. Matematik tidak boleh memberi jawapan. Hanya AGAMA sahaja yang mampu menjawab persoalan ini.
Itulah intipati firman Allah:
[image error]
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [Surah al-Dzaariyaat 51: 56]
Kita mesti sedar bahawa kita hamba. Anak-anak perlu diajar bahawa mereka hamba. Apabila manusia gagal hidup sebagai hamba, mereka akan menjadi tuhan. Tuhan kepada diri mereka sendiri. Hamba kepada nafsu sendiri yang semuanya itu mengundang binasa.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Marilah kita berusaha untuk memainkan peranan ini. Berfungsilah kembali sebagai bapa dan ibu yang bertanggungjawab. Ibu bapa yang bukan hanya memiliki anak yang lahir Muslim, tetapi mesti juga hidup Muslim dan mati Muslim.
[image error]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Surah al-Kahf: Pertembungan Antara Iman dan Materialisma (Pengenalan)
Siri Ibrah daripada al-Quran hampir mencapai kesudahannya untuk siri Surah al-Kahfi di Surau an-Naim Wangsa Maju.
Berniat untuk mengemaskan lagi kupasan dan mencari elemen-elemen penting untuk kegunaan masyarakat, saya bertekad memetik kembali siri kuliah ini untuk dibincangkan di dalam kuliah di surau-surau lain dan di dalam diskusi sumbangsaran saya bersama rakan.
Berikut adalah rakaman Siri 1, berupa pengenalan kepada latar belakang Surah al-Kahfi, berdasarkan perbincangan oleh Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi di dalam siri bukunya Min Kunuuz al-Qur'aan, Faith vs Materialism oleh Sayyid Abu al-Hasan Ali al-Nadawi dan Tafseer fee Dhilaal al-Qur'an oleh al-Syaheed Sayyid Qutb.
Moga bermanfaat.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
January 25, 2011
Krisis Nilai Dalam Politik Semasa
[image error]
Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek [foto: harakahdaily]
Bukan semua kepulangan dialu-alukan.
Ada sesetengahnya lebih baik pergi tidak kembali.
Pergi bermuhasabah dan menyusun kembali harga diri.
Itulah yang saya fikirkan tentang mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, yang menyambut tahun baru 2008 dengan skandal seks beliau hingga menggemparkan seluruh Malaysia.
Beristerikan Datin Seri Wong Sek Hin, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengaku bahawa beliau adalah lelaki di dalam DVD yang tersebar itu. Tanpa sedikit pun rasa bersalah kepada isteri dan kepada posisinya sebagai Menteri Kesihatan, beliau meletakkan semua jawatan di dalam kabinet dan MCA, dengan menganggap insiden tersebut hanya sebahagian daripada usaha menjatuhkan dirinya. Beliau menyalahkan kerja keras dan kehendak tugas yang memerlukan beliau bertemu dengan orang ramai, sebagai punca dia dilihat berkepentingan. Tanpa semua itu, perbuatannya mengadakan hubungan seks dengan wanita di dalam rakaman video berkenaan mungkin tidak menjadi isu.
Beliau tidak pernah menyesali perbuatan kejinya.
Tidak daripada sisi dirinya sebagai seorang yang beragama, bertanggungjawab terhadap perkahwinan dan rumahtangganya, malah tidak juga sebagai Menteri Kesihatan yang bertanggungjawab mempromosikan cara hidup sihat yang bertentangan dengan perbuatannya.
Ia hanya sebahagian daripada catatan hitam putih politik negara kita.
Namun apa yang mengejutkan kita, adalah kepulangan beliau ke pesada politik negara, hingga mampu meraih jawatan sebagai Presiden kepada MCA, parti komponen Barisan Nasional.
Apakah nilai yang didukung oleh perwakilan MCA apabila memilih orang seperti ini sebagai Presiden?
"MENILAI NILAI SAYA"
Skandal seks itu saya timbulkan semula kerana merujuk kepada tindak tanduk Presiden MCA ini, yang juga merupakan seorang doktor pakar psikiatri terlatih, tatkala beliau memainkan isu MORAL dan NILAI di dalam kempennya.
Semasa kempen pilihanraya kecil DUN TENANG, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek memainkan isu calon PAS, Puan Normala Sudirman menyarung sarung tangan semasa bersalam. Kenyataan beliau menimbulkan reaksi tidak senang semua pihak, bukan sahaja kerana sentimen agama, malah apa kaitannya cara bersalam seseorang dengan kompetensi dirinya menjalankan tugas sebagai seorang ADUN?
Dengan penuh rasa sombong, hingga menepis peringatan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar beliau berhenti daripada memainkan isu berkenaan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek membuat kenyataan berikut:
'What's so great?'
Despite the storm, Chua stood his ground, saying there was nothing great about knowing the Islamic religious values.
"So what is so great about that? That is your religious value which I don't know. How am I to know about the religious values when I'm not practising that religion?"
"I have the right to say that it's basic manners to shake hands with people. That's my values. Understand? You also must value my value, which is good manners, which includes shaking hands," he went on, as quoted by Malaysiakini. [Harakahdaily 25 Januari 2011]
Kenyataan ini bukan lagi soal perbezaan fahaman politik, malah mencapai kemuncak KRISIS NILAI yang menghancurkan masyarakat.
Nilai dan rujukan moral apakah yang didukung oleh Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek?
Kami tidak ingin mengetahuinya.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
January 24, 2011
Memilih Cinta Yang Susah
[image error]
Bersama moderator dan AJK program. Tahniah semua!
"Mengasingkan diri, atau bercampur gaul tanpa batasan, kedua-duanya adalah ekstrim. Islam adalah cara hidup yang seimbang. Ia menyuruh kita bergaul seluas mungkin, dan pergaulan itu pula ada garis panduannya" saya menjawab soalan pertama yang diajukan oleh moderator.
Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya menganjurkan Forum Dari Mata Turun ke Hati sempena kempen Biah Solehah di kampus PJ tersebut.
"Antara input, proses dan output, apakah status pergaulan?" saya melontarkan soalan kepada peserta.
Kerusi di Dewan al-Malik Faisal mula berisi. Seperti biasa, di sayap sisters kerusi tambahan sudah mula disusun, manakala kerusi brothers sudah separuh penuh. Lebih positif daripada menyebut masih separuhnya kosong.
[image error]
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." [At-Taubah 9: 71]
Lelaki dan perempuan, bukan sebarang lelaki dan perempuan.
Mereka adalah lelaki dan perempuan yang beriman.
IMAN itu adalah asas pergaulan dan interaksi kita.
Mereka saling bantu membantu dalam urusan amar makruf nahi munkar, menegakkan Solat dan melunaskan Zakat, serta seluruh agenda yang berada di dalam lingkungan mentaati Allah dan Rasul.
[image error]
Apa yang sering menjadi bahan 'perbalahan' sesama anak muda ialah tentang perincian pergaulan sebagai PROSES.
Akan tetapi, jika titik mulanya adalah soal Aqidah, soal Iman seorang hamba kepada Allah, dan matlamat daripada pergaulan itu adalah untuk menegakkan perintah serta meninggalkan larangan Allah, bisakah tatacara pergaulan menyimpang daripada niat dan matlamat?
"Syaitan menyesatkan anak Adam berdasarkan dia itu belajar di universiti mana!" saya sengaja menyebut demikian.
Bagi brothers and sisters di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, sesuai dengan tema Islam itu sendiri, tindakan syaitan akan lebih licik. Maksiat akan lebih berpotensi dijamah andaikata ia dikosmetikkan dengan warna-warna Islam.
"Cinta fillaah!"
"Benda ini maslahah 'ammah. Kepentingan orang ramai"
"Islam mesti dilihat progresif dan memimpin modernisasi"
"Ahh, yang di'sms' itu bukan lirik lagu Anuar Zain. Ia hadith of the day. Bukankah Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam pernah berpesan, ballighu 'anni walau aayah!"
Berhati-hati. Syaitan itu jauh lebih sabar daripada dirimu. Ia tidak tergesa-gesa pada mengheret anak Adam tersimpang daripada jalan kebenaran. Tadarruj!
Justeru itu, ambillah secara serius usaha untuk mengenal tatasusila pergaulan seperti yang diajarkan oleh Syariat Islam. Berpersatuan, berbincang tentang pelajaran, berurus niaga, bekerjasama dalam apa sahaja bentuk aktiviti, semuanya diharuskan malah digalakkan oleh Islam. Jika ada saranan yang mahu lelaki dan perempuan itu hidup berasingan dan menghindari kerjasama, ia bukan Islam. Ia pseudo-agama. Akan tetapi, jika ada saranan yang mahu lelaki dan perempuan itu bergaul lagi bekerjasama, tanpa mengira apa motifnya, bagaimanakah tatacaranya, dan tanpa tujuan yang jelas, ia juga bukan Islam. Ia adalah seruan Ibahiyyah yang mahu meleraikan panduan Syariat daripada kehidupan.
"Sebab itu murabbi saya dahulu, 'mewajibkan' kami menghadam buku Tafsir Surah an-Nur oleh al-Maududi. Di samping belajar elok-elok Surah Akhlaq, Surah al-Hujuraat" saya menambah.
[image error]
Pergaulan antara lelaki dan perempuan itu adalah untuk saling mengambil manfaat daripada keunikan masing-masing. Buah fikiran, tumpuan, kemahiran dan kecenderungan antara lelaki dan perempuan itu, banyak perbezaannya. Kerjasama antara kedua-dua belah pihak, berperanan melengkapkan kerja. Namun pergaulan itu tidak boleh terlepas daripada tujuan asalnya ialah IMAN, serta proses yang betul, dan tujuan akhirnya adalah untuk melaksanakan ibadah serta meraih keredhaan Allah.
Jika kerja, pergaulan hendaklah dalam ruang lingkup menyempurnakan kerja.
Jika belajar, pergaulan hendaklah dalam ruang lingkup menyampaikan maksud belajar.
Selebihnya?
Lagha. Purposeless. Ruang-ruang tanpa motif inilah tempat terbaik nafsu dan syaitan menyerang luar dan dalam untuk mengkucar kacirkan pergaulan silang jantina. Salah satu potensi pergaulan yang kucar kacir ini adalah ZINA.
Lazimnya, kebanyakan maksiat adalah kombinasi antara pain and pleasure antara mangsa dan pemangsa. Jika berlaku kecurian, mangsa berasa sakit, pemangsa pula beroleh keseronokan. Namun berbeza dengan ZINA. Ia adalah maksiat yang sedap. Sama ada pelaku atau yang diperlakukan, kedua-duanya mendapat keseronokan. Itulah hikmah mengapa Allah bukan sekadar mengharamkan ZINA, malah memerintahkan kita agar MENJAUHINYA.
[image error]
"Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia adalah suatu kecelaan dan seburuk-buruk jalan pilihan manusia" [al-Israa' 17: 32]
Allah tahu, zina itu sedap dan nikmat. Menolaknya jika sekadar menolaknya, terlalu sukar. Justeru sama seperti maksiat-maksiat yang lain, Allah bantu kita untuk mengelaknya dengan menutup pintu-pintu kepada zina. Sesungguhnya menolak zina hanya menjadi realiti apabila MUQADDIMAH ZINA dilihat sebagai muqaddimah zina yang mesti dihindari.
Jika soalan timbul pada meminta perincian terhadap tatacara pergaulan silang jantina di dalam Islam, temuilah ia di dalam perintah-perintah berikut:
1. MENUNDUKKAN PANDANGAN
Tingkap itu yang mesti dipelihara. Jendela penglihatan yang turun ke hati dan kemaluan. Menundukkan pandangan itu bermaksud memelihara penglihatan daripada melihat perkara haram. Perkara yang merangsang libido dan mengundang diri kepada zina. Firman Allah Subhanahu wa Ta'aala:
[image error]
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan." [al-Nur 24: 30]
Wanita-wanita yang beriman itu juga diberikan saranan yang sama. Di dalam ayat yang menyusul perintah di atas, Allah memerintahkan kaum wanita seperti kaum lelaki, sama-sama memelihara pandangan daripada melihat apa yang tidak diharuskan baginya melihat.
"Alahai, takkanlah baru tengok sudah mahu berzina!" seorang manusia mahu berbijak-bijak berhujah dengan Tuhan.
Dia lupa, fitnah penglihatan dan zina bukan urusan rasional. Ia urusan nafsu dan kemaluan. Urusan hati yang membuat pertimbangan. Justeru itu Allah berpesan, "yang demikian itu lebih suci bagi mereka". Muqaddimah zina ini bukan hanya urusan di peringkat individu. Ia bertujuan membentuk suasana yang sihat. Saling bekerjasama untuk mewujudkan suasana yang tidak mengundang zina.
2. MEMELIHARA AURAT
Menundukkan pandangan daripada perkara haram menjadi lebih mudah apabila perkara haram itu tercegah dalam daerah halalnya. Anggota tubuh yang perlu diberi perlindungan, adalah cara seseorang memuliakan dirinya sendiri dan menghormati orang lain yang bermata lagi berhati, juga bernafsu.
Peliharalah aurat.
Wanita.
Lelaki.
Sama sahaja.
[image error]
"Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…" [al-Nur 24: 31]
Perintahnya bukan perintah menutup rambut.
Perintahnya adalah perintah memelihara aurat.
3. TIDAK BERTABARRUJ JAHILIAH
Menutup aurat itu cara Allah mengajar kita membentuk diri. Biar dengan menutup aurat itu kita belajar menganut sifat malu, belajar mengenal batas-batas diri yang mewujudkan rasa berTuhan dalam kehidupan dengan batasan-batasan itu.
[image error]
"Dan hendaklah kamu melazimkan diri berada di rumah kamu serta janganlah kamu mendedah, menghias dan menonjolkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu" [Al-Ahzaab 33: 33]
"Saya sudah menutup aurat!" kata seorang perempuan yang bertudung.
Beliau terlepas pandang, tudungnya memang bertudung tetapi solekan di bibir dan kelopak matanya sangat keterlaluan, di dalam tudungnya ada bonggol sanggul yang sengaja ditolak ke atas meninggikan kepala, kakinya memakai rantai berloceng, hingga setiap inci tubuhnya menarik perhatian untuk dilihat dan direnung, biar pun beliau itu bertudung.
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda :
Dua golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka yang tak pernah aku lihat iaitu yang pertama mereka yang memegang cemeti seperti ekor lembu (bentuk cemeti itu seperti ekor lembu yang berbulu-bulu dan berambut-rambut) dan mereka memukul manusia dengan cemeti tersebut. Yang kedua adalah perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. [Hadith riwayat Muslim no. 2128]
Bertudung. Tetapi masih mahu menarik perhatian orang memandang dan membelek.
Justeru hilanglah hikmah memelihara aurat.
Biar pun rambut ditutup, dia masih kaya dengan elemen Jazb al-Intibah (menarik perhatian dan pandangan orang).
4. BERURUSAN DENGAN BATASAN
Bekerja, belajar, bermesyuarat, berjiran dan bermasyarakat, semuanya harus.
Namun keharusan itu harus dipandu oleh batasan.
Silang jantina perlu mengenal keperluan dan tujuan, jangan hanya berpandukan kemahuan.
[image error]
"Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta daripada mereka maka mintalah kepada mereka dengan perantaraan hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka" [al-Ahzaab 33: 53]
Sama ada hijab itu berupa tabir yang fizikal, atau sekurang-kurangnya mengekalkan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.
Bermesyuaratlah, tetapi biar seadanya.
"Hai, takkanlah sembang-sembang sudah terangsang?" hujah seorang bijak pandai di syarikat Multinasional.
"Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka" jawab Allah.
Dia yang memiliki hati. Dia tahu sifat baik dan buruk hatimu. Justeru nasihat-Nya tentang hati itulah nasihat terbaik untuk manusia yang mahu berhati-hati.
Lihatlah di pejabat, siapa di meja sebelah, siapa di kubikel depan, keluar makan tengah hari dengan siapa, dari Stesyen LRT ke pejabat tumpang kereta siapa, pergi ke site atau bertemu pelanggan naik kereta siapa, semua itulah yang perlu dipertimbangkan kembali, kerana melakukannya tanpa batasan adalah MUQADDIMAH ZINA.
5. TIDAK MELUNAKKAN SUARA
Dengar suara, mahu orangnya.
Itu akibat manusia-manusia yang hatinya berpenyakit.
Sakitnya pula letak di hati yang tidak kelihatan. Justeru jangan cari penyakit. Jangan lunakkan suara semasa berbicara. Bersahaja, sederhana, seperti biasa, jangan dimanja-manja, jangan mengada-ngada.
[image error]
"Andaikata kamu benar-benar beriman, maka janganlah kamu lunak-lunakkan suara semasa berbicara. Nantinya orang-orang yang hatinya berpenyakit menjadi tamak. Justeru berbicaralah dengan perbicaraan yang maaruf" [al-Ahzaab 33: 32]
"Tetapi, saya mahu jawapan kepada soalan yang panelis kedua tadi selitkan iaitu apakah hukum bercinta sebelum kahwin?" tanya salah seorang peserta.
"Jika mahu bercinta sebelum kahwin, boleh. Bercintalah. Seperti kata mak ayah kita masa kecil dahulu, kan? Nak panjat pokok, panjatlah!" saya menjawab.
"Apa hukumnya" adalah template biasa yang diguna pakai di dalam masyarakat kita untuk meminta penjelasan. Biar pun dalam sesetengah keadaan, persoalannya bukan semata-mata hukum.
"Bercinta sebelum berkahwin ini, boleh. Dengan syarat, jangan tanpa apa pandangan Islam. Ia adalah CINTA YANG SUSAH. Saya menyebutnya begitu kerana saya sendiri tidak tahu pasangan kekasih yang mana daripada kalangan sahabat Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam yang ingin saya ambil sebagai contoh. Cinta di luar perkahwinan adalah seperti membela haiwan liar di luar kandang. Ia adalah cinta yang susah. Masakan tidak… ia adalah cinta yang tiada panduan al-Quran, tiada panduan al-Sunnah. Apa yang ada hanyalah kebijaksanaan akal masing-masing untuk memanipulasi mana-mana nas al-Quran dan al-Sunnah, sebagaimana lagu "For The Rest Of My Life" dendangan Maher Zain, yang asalnya ditujukan oleh seorang suami kepada seorang isteri, diselewengkan sebagai hadiah Valentine seorang buayafriend kepada gelifriend" saya menambah lagi.
[image error]
"Dan bagi mahasiswa lelaki yang masih berdegil untuk tidak mahu memenuhi kerusi hadapan, tidak seperti mahasiswi, jangan satu hari nanti rumahtangga anda digugat oleh sebuah Jabatan Isteri Pertama oleh isteri yang lebih memimpin" saya mengusik peserta lelaki dek dewan yang semakin sesak di bahagian belakang.
Mereka kebingungan.
Saya ketawa sendiri.
Perjalanan mereka masih panjang.
Sepanjang forum yang masih ada sejam berbaki.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
January 22, 2011
Ibu Bapa Yahudi, Nasrani dan Majusi Berjaya. Kita Bagaimana?
[image error]
"Aqidah yang berfungsi, adalah aqidah yang pertamanya, ia membentuk pandangan hidup. Melihat kehidupan dengan pandangan hidup Islam" saya memulakan pengisian.
Sedikit demi sedikit, ibu bapa hadir dan mengambil tempat.
Pagi ini adalah mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Khalifah Model School. Seperti biasa, sebelum mesyuarat bermula, ada sesi pengisian. Kali ini, saya berasa syukur kepada menerima pelawaan Khalifah Model School untuk mengisi slot berkenaan dengan tajuk "Apa Erti Saya Menjadi Muslim – Asas Pembentukan Pandangan Hidup Islam".
Saya mengajak hadirin melihat kepada realiti.
Setiap bayi lahir dengan potensi yang sama. Fitrah.
Guru pertama mereka, iaitu ibu dan bapa, berperanan sama ada mengembangkan fitrah itu atau menghalakannya ke arah yang lain.
Ibu bapa Yahudi berjaya meyahudikan anak-anak mereka.
Ibu bapa Nasrani berjaya menasranikan anak-anak mereka.
Ibu bapa Majusi berjaya memajusikan anak-anak mereka.
Ibu bapa Muslim bagaimana?
[image error]
Semasa sesi pembentangan
Asas pertama pada berperanan 'memuslimkan' anak-anak kita adalah dengan diri kita sendiri beraqidah dengan Aqidah Islam, dan seterusnya melihat kehidupan dengan pandangan hidup Islam.
DUA LELAKI MENANGIS
Pada tahun 2005, seorang lelaki menangis kerana mendapat khabar berita meninggal dunianya seorang 'lelaki tua' di Afrika Selatan bernama Ahmed Deedat. Pada sekitar suasana yang sama, seorang lagi lelaki menangis kerana menerima berita kekalahan Felix kepada Mawi di dalam Akademi Fantasia Musim ke-3! Kedua-dua mereka melakukan perkara yang sama iaitu menangis. Namun mengapa subjek yang ditangisi itu amat berbeza?
Ayuh kita renungkan.
Lelaki pertama, kepercayaannya adalah Aqidah Islam. Dengan Aqidah Islam, dia mentakrifkan dirinya sebagai hamba dan khalifah kepada Allah, manakala Allah pula adalah Tuhan yang berada di keutamaan tertinggi hidupnya (Ilah). Ia membentuk pandangan hidup buat lelaki itu. Kehidupan ini dilihat sebagai kehambaan (Ibadah) dirinya kepada Allah. Justeru apa-apa yang menyumbang kepada perhambaan dirinya kepada Allah adalah berguna, bernilai lagi berharga dan ini pula membentuk sistem nilai di dalam hidupnya.
Siapakah Ahmed Deedat?
Seorang Ulama' yang sangat banyak berusaha untuk memahamkan manusia kepada ajaran Islam. Justeru Ahmed Deedat menurut sistem nilai lelaki pertama ini adalah seseorang yang sangat berharga. Lelaki itu membeli buku-buku dan kaset ceramahnya, menonton rakaman dvd di Youtube dan mengikuti perkembangan Ahmed Deedat. Apabila beliau meninggal dunia, ia adalah kehilangan yang amat besar tentang sesuatu yang sangat berharga. Justeru memang patut kematiannya disambut dengan kesedihan dan air mata.
Lelaki kedua, berdasarkan kad pengenalan dan dokumen-dokumen rasmi yang lain, aqidahnya adalah Aqidah Islam. Dia juga menjawab dengan betul, soalan-soalan tentang Rukun Iman semasa peperiksaan. Namun Aqidahnya itu tidak membentuk pandangan hidup. Dia memandang kehidupan bukan dengan pandangan hidup Islam. Habis, apakah kehidupan ini di sisi pandang lelaki tersebut? Tanpa Islam, kehidupan ini adalah secara solid dilihat sebagai La'ibun wa Lahwun (permainan dan keseronokan). Apa-apa yang menyumbang kepada keseronokan, dilihat bernilai dan berharga, patut digalak dan diberi sokongan. Asas kepada sistem nilai lelaki itu.
Pain and pleasure.
Utilitarianism?
Siapakah Felix Agus?
Seorang artis baru yang suara serta persembahannya cukup memberikan rasa seronok dan gembira. Justeru Felix menurut sistem nilai lelaki kedua ini adalah seorang yang sangat berharga. Lelaki kedua ini sanggup membelanjakan RM500 untuk sms AFUNDI, AFUNDI, AFUNDI… dengan harapan Felix menjuarai Akademi Fantasia. Tiba-tiba Felix kalah kepada Mawi. Sesungguhnya ia adalah kehilangan yang amat besar tentang sesuatu yang sangat berharga. Justeru memang patut kekalahan Felix disambung dengan kesedihan dan air mata.
Demikianlah contohnya.
Khalifah Model School bersama Metod Khalifah sangat menekankan soal pandangan hidup Islam. Pelbagai cara diamalkan di dalam pendekatan pendidikan agar Aqidah sebagai kepercayaan berfungsi membentuk pandangan hidup tenaga pengajar dan murid-murid agar mengikut acuan Islam. Salah satu sebab penting mengapa saya memilih sekolah ini adalah kerana pandangan hidup yang didokong.
Islamic Weltanschauung.
Sudah tentu asas paling utama kepada pandangan hidup Islam ini ialah pada Tauhid antara Syariatullah dan Sunnatullah. Kefahaman dan penghayatan kepada hal ini menjadi senjata paling ampuh pada menolak musuh terbesar pandangan hidup Islam semasa iaitu Sekularisma.
[image error]Sekularisma memisahkan di antara Syariatullah dan Sunnatullah.
Sekularisma memisahkan di antara Agama dan Sains.
Sekularisma memisahkan di antara doa dan tawakkal dengan usaha.
Sekularisma memisahkan di antara integriti dan akhlak dengan kompetensi.
Sekularisma memisahkan di antara urusan Dunia dengan Akhirat.
Semuanya itu akan mempengaruhi cara berfikir, cara hidup, cara bekerja, cara mendidik, cara meletakkan perancangan dan harapan terhadap anak-anak, kerana Sekularisma merosakkan intipati Tauhid yang menjadi paksi carakerja Allah (sibghatullah).
PARENTS – TEACHERS ASSOCIATION (PTA)
Persatuan Ibu Bapa dan Guru pula adalah wadah yang terbaik, untuk saya mengambil peluang menyumbang kepada kelompok sasaran terpenting iaitu IBU BAPA.
Profesor Muhammad al-Mahdi, pengasas Khalifah Institute dan Khalifah Method
Profesor Muhammad al-Mahdi seperti yang saya ketahui melalui tulisan dan pemikiran yang ditinggalkannya, mengharapkan agar Khalifah Model School bergerak sebagai sebuah sekolah komuniti, menggalakkan voluntarism agar ia berkembang sebagai sebuah sekolah milik Ummah. Saya yang tidak berpeluang bertemu dengan Prof semasa hayatnya, memberikan komitmen untuk menjayakan harapan itu, bukanlah semata-mata kerana ia visi dan misi Profesor Muhammad al-Mahdi, namun itu jugalah keyakinan dan kepercayaan saya sebagai seorang Muslim.
Tanpa segan silu, setelah gagal memberikan komitmen pada tahun 2010, bagi tahun 2011 ini saya menawarkan diri untuk menyertai jawatankuasa PIBG sekolah. Harapannya cuma satu, merealisasikan keyakinan saya bahawa pendidikan anak-anak adalah suatu JIHAD.
Ia juga menjadi salah satu cara untuk saya menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru Khalifah Model School serta Trustees yang mendukung amanah yang besar lagi mulia ini.
Tahniah kepada kesemua 17 anggota baru PIBG Khalifah Model School bagi tahun 2011.
Tahniah kepada semua ibu bapa juga.
Ayuh berfikir mulai sekarang tentang projek Sekolah Menengah anak-anak kita.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
January 21, 2011
Nikmatnya Menjadi John Doe
[image error]
Ustaz Hasrizal kata ini.
Ustaz Hasrizal kata itu.
Selalu juga, apa yang dikata itu hanyalah kata-kata biasa. Namun sering dilihat seperti ia sebuah fatwa.
Ada dua kejadian di sepanjang hidup saya, yang sangat menguji diri apabila mehnahnya bukan kesusahan, kepayahan malah bukan kesakitan dan penderitaan. Tidak luak walaupun sedikit. Hanya yang terusik adalah sebuah harga diri.
Pernah sekali, saya diminta oleh seorang ustaz untuk menggantikan tempat beliau berkuliah. Atas dasar bantu-membantu dan kebetulannya saya juga memang lapang, saya penuhi permintaan itu. Beliau hadir sama, dan saya berkuliah secara spontan dengan sebaik upaya.
Usai berkuliah, ustaz itu bangun membuat pengumuman yang mengejutkan saya. Beliau memberitahu jemaah bahawa saya tidak cukup wang untuk berceramah ke luar negara, maka sehelai sejadah sudah dibentang di pintu surau, memohon derma ikhlas jemaah yang hadir! Terasa malu tidak terkata, dan bingung cuba untuk memahami apa yang berlaku, saya terpaksa akur bahawa itulah kali pertama saya berceramah dan selepas ceramah, seluruh hadirin enggan bersalam dengan saya.
Terasa bagai ditelanjangkan diri.
Hilang harga diri.
Kali kedua rasa aib itu timbul, sehari dua yang lalu.
Saya berbual dengan rakan di Facebook, tanpa menyedari adanya 'Paparazzi' menceroboh perbualan tersebut dan menyiarkannya di 'halaman berita' kampus.
Saya terheret ke perbalahan bersama pelajar USIM, tentang BORIA!
Susahnya menjadi saya.
Nikmat rasanya menjadi John Doe.
لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
NIKMAT MENJADI JOHN DOE
Ustaz Hasrizal kata itu.
Ustaz Hasrizal kata ini.
Sesetengah yang dikata itu hanyalah kata-kata biasa. Tetapi sering yang biasa itu dilihat seperti 'fatwa'.
Sesekali terdetik di hati…
Lebih mudah menjadi Zaid dan 'Amr.
Nikmatnya menjadi John Doe.
"Seorang Mukmin yang bercampur gaul dengan orang ramai dan bersabar atas kesakitan kesan pergaulan itu, adalah lebih baik daripada seorang Mukmin yang tidak bercampur gaul dengan orang ramai dan tidak sabar ataa kesakitan kesan pergaulan itu" – Al-Hadith
January 20, 2011
Ini Sahajakah Imej Malaysia?
[image error]
Gambar Hiasan
"Alah payunglah payung, ketipang payung. Payung sutera anak raja muda, alah tolonglah tolong, cik abang tolong. Janganlah marah pada adinda!" merdu suara Aliya, seorang pelajar kejuruteraan elektrik mendendangkan lagu klasik Melayu di Malam Malaysia itu.
Persembahan diserikan lagi dengan iringan penari yang rancak menyusun langkah. Satu depan, dua kiri, satu depan, tiga kanan. Cantik sekali tarian mereka.
Teruja penonton melihatnya. Bakal doktor, bakal akauntan, bakal jurutera, bakal pemimpin teraju negara, semuanya berbakat menari dan berdansa.
Sekejap lagu asli, sekejap lagu balada. Sekejap selembut nasyid, sekejap sekeras Rock membatu.
Malam Malaysia di mana-mana. Seluruh dunia yang ada pelajar Malaysia, mesti ada Malam Malaysia. Alasannya adalah untuk memperkenalkan budaya, mengukuh patriotik kepada negara. Tinggi falsafah indahnya warna.
Tetapi, ini sahajakah wajah Malaysia di mata dunia? Apakah Malaysia hanya ada tarian, hanya ada seni persembahan?
Saya akur bahawa jika Malaysia mahu disebut dari bahasa budaya, tentu sahaja zapin, wayang kulit, tarian dan dansa, itu yang terlintas di kepala. Akan tetapi, saya adalah seorang yang result oriented. Saya tidak melakukan sesuatu melainkan dalam keadaan penuh sedar, dengan apa yang mahu dicapai.
Apa yang mahu dicapai dari Malam Malaysia?
Asing benarkah tarian dan dansa kepada si putih di sini sana, sehingga setiap tahun dansa itu mesti diulang? Asyik-asyik menari, asyik-asyik menyanyi…
Saya telah beberapa kali cuba bertindak secara pro aktif, memberikan cadangan kepada pelajar di kampus-kampus luar negara. Jika mahu memperkenalkan Malaysia di mata dunia, janganlah hanya pada makan pakai, tari dan suara. Di mana idea Malaysia? Di mana pemikiran Malaysia?
Apabila pelajar bertanya kepada saya tentang hal ini, saya sering memberikan pandangan, mengapa tidak diadakan bersama "wacana minda". Jika soal tari menari tidak boleh ditolak ansur, sekurang-kurangnya adakan juga sesuatu yang dapat memperkenalkan Malaysia dari sudut yang sesuai dengan imej universiti tempat ilmu dan pemikiran.
Mengapa tidak diadakan sesi, memanggil pakar-pakar ekonomi Malaysia, hadir memberikan pembentangan untuk memperkenalkan polisi pembangunan negara? Kalau rasa terlalu sensitif untuk menjemput figure yang dikaitkan dengan politik, kita ada ramai ahli akademik yang dapat menampilkan idea mereka di peringkat antarabangsa.
Tayangkan dokumentari tentang Malaysia yang tidak sukar untuk diperolehi dari pelbagai badan dan media. Didik masyarakat Barat tentang sesuatu yang boleh memperbaiki jati diri mereka. Bukan hanya hedonisma atas nama budaya.
BERALASANKAN KAUM CINA
Sesetengah pengalaman saya membabitkan alasan pelajar bahawa mereka mesti melibatkan tari menari kerana sejumlah besar tenaga penting persatuan adalah pelajar Malaysia berbangsa Cina. Sungguh pelik… apakah pelajar Cina bukan rakyat Malaysia, yang juga ada tanggungjawab sosial, politik, ekonomi, dan intelektual, sama seperti mana-mana bangsa Malaysia? Apakah hedonisma hanya salah pada harga diri Melayu tetapi tidak Cina? Apakah kaum Cina di Malaysia tiada agama untuk dipedulikan? Di mana rukun negara yang pertama?
Itu kalau benar, kaum Cina yang mahukan tari menari dan dansa.
Saya pernah berdialog dengan sebuah persatuan pelajar Malaysia yang kepimpinannya adalah daripada pelajar Cina. Subhanallah, mereka sangat terbuka.
"Saya harap peraturan-peraturan pelajar Muslim boleh sama-sama kita hormati" saya memberi pandangan.
"Sudah tentu. Kaunter arak akan dilabelkan sebagai 'not for Muslims' dan kami harap pelajar Muslim akan berpakat agar tidak bercampur jantina pada satu meja ketika dinner, dan tidak bercampur jantina dalam kumpulan bola tampar itu nanti. They need to be pro active" kata Presiden persatuan pelajar Malaysia itu.
Sangat terbuka dan bertanggungjawab terhadap pluraliti agama dan budaya Malaysia.
Tetapi, pelajar Melayu Muslim sendiri yang suka bercampur bebas, terdesak untuk berjoget tanpa diminta oleh persatuan. Maka memberikan alasan bahawa mahu menghormati bangsa lain, hanyalah alasan untuk meneruskan budaya gersang minda dan lapar hedonisma pelajar Malaysia.
ISLAM SEBAGAI SEBAHAGIAN DARIPADA SEBUAH MALAYSIA
Saya hairan. Jika Mak Yong yang sudah pupus kerana tenggelam oleh kesedaran beragama itu, boleh diberikan nafas dan nyawa baru atas nama budaya, mengapa tidak Islam juga dipromosikan kerana ia elemen yang penting bagi sebuah Malaysia? Selain Islam, tidak salah untuk dibuka ruang agar wakil agama Kristian, Buddha dan Hindu di Malaysia, berdialog tentang kesedaran beragama di Malaysia. Mungkin boleh dibincangkan tentang bagaimana agama berperanan membina internal strenght di dalam jati diri bangsa Malaysia.
Kalau aktiviti agama, penuh prejudis, halangan dan kekangan. Tetapi tari menari, cepat sahaja bantuan diberi. Saya tidak faham di mana rasionalnya hal ini. Seorang doktor, bukan hanya menjadi doktor. Dia akan memimpin sebuah jabatan, dia akan berurusan dengan pesakit yang insan. Maka, pelajaran tarian mana yang bakal meninggalkan kesan pada kepimpinannya di masa hadapan?
Segala peruntukan dan sokongan, hanya untuk nyanyian, tarian, fesyen dan pakaian. Itu sahaja imej Malaysia yang diulang-ulang dari zaman sebelum merdeka, sampailah menjelang milenium kedua.
Kerana kemaruk hedonisma, budaya dan jati diri Malaysia disalah guna untuk melesenkan nafsu muda yang tidak habis-habis mahu berpesta.
Di manakah masa depan Malaysia yang lebih bermakna?
Soalan itu tenggelam oleh libasan lidi Mak Yong di Barat sana.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur