Forum: Muhammad (s.a.w) , Antara Durham dan Ampang

[image error]


Berbicara tentang Rasulullah Muhammad sallallaahu 'alayhi wa sallam tidak pernah habis.


Tidak pernah menjemukan.


Tidak pernah ada hentinya.


Cukup banyak sudut mengenainya Risalahnya yang boleh dipelajari, diteladani dan ia sahaja sudah semacam satu mukjizat tentang ketokohan Baginda.


Menjelangnya 12 Rabi'ul Awwal 1432 ini, seperti biasa, masyarakat kita akan masuk ke mood meraikan sambutan Maulid al-Rasul. Kesediaan masyarakat untuk 'diprogramkan' tidak harus dilepaskan begitu sahaja. Ia mesti dimanfaatkan oleh pendakwah sebagai peluang yang baik untuk kefahaman dan penghayatan masyarakat, khususnya di kalangan umat Islam dan jiran tetangga mereka.



Masjid Bukit Indah (MBI) di Ampang, mengambil inisiatif ini. Belum pun reda dengan Karnival Forteen pada 29 dan 30 Januari lalu, MBI telah membuat keputusan untuk menganjurkan sebuah forum komuniti sempena Sambutan Maulid al-Rasul di peringkat Masjid.


Kali ini, Masjid Bukit Indah menghimpunkan dua orang panelis yang diharapkan dapat mengupas topik "MUHAMMAD (sallallaahu 'alayhi wa sallam): ANTARA DURHAM DAN AMPANG".


Saya menerima undangan untuk menjadi salah seorang panelis, dan digandingkan dengan sahabat saya yang baru sahaja menyempurnakan pengajian di peringkat PhD beliau di Durham University, United Kingdom, iaitu al-Fadhil al-Ustaz Dr. Maszlee Malik. Beliau yang juga merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, bersetuju untuk memberikan komitmen memenuhi harapan komuniti Masjid Bukit Indah Ampang untuk menimba ilmu, maklumat dan analisa semasa. Terima kasih, ustaz.


Siapa itu Muhammad sallallaahu 'alayhi wa sallam?


Hidup dan berjuang di Mekah.


Risalah tersebar di seluruh alam.


Dibenci oleh sebahagian di Barat, dikaji dan diangkat sebagai tokoh oleh sebahagian yang lain.


Dipuji dan dan dipuja oleh sebahagian di Timur, diteladani oleh sebahagian dan dilupakan oleh sebahagian yang lain.


Antara 10 nama paling popular yang diberikan kepada kanak-kanak yang lahir di United Kingdom, antara nama yang sering terpalit dek pelaku jenayah yang bernamakan nama Baginda.


Di Durham ada pelbagai kisah berkaitan Baginda.


Di Ampang ada pelbagai anekdot, pelbagai paradoks berkaitan Baginda.


Semua ini dirangkumkan di dalam Forum Komuniti di Masjid Bukit Indah kali ini, Insya Allah.


Jemput hadir bagi yang berkelapangan. Jamuan makan tengah hari turut disediakan. Jangan lupa, solat Zohor berjemaah di masjid kebanggaan kita ini.


"Bro… lu pun wa tak lupa. Jangan tak datang bro!" kata Forteen.



Lihat Peta Yang Lebih Besar


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 06, 2011 07:25
No comments have been added yet.