Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 102

March 21, 2011

Hari Air Sedunia 22 Mac: Harga Secawan Air

[image error]


"Hah, cepat! Cepat!" Khairul memekik memanggil kami semua yang sedang berbual di bawah pokok plum.


"Cepat apanya?" saya bertanya.


"Air dah sampai" Khairul membalas.


Kami segera bingkas bangun menuju ke dalam rumah. Memang setiap minggu, inilah rutin kami. Menunggu air masuk ke tangki. Sudah seminggu air tidak datang. Bukan minggu ini sahaja, malah setiap minggu.


Kehidupan di Jordan pada musim panas memang memeritkan. Keperitan itu pelbagai, namun yang paling kami bimbangkan adalah masalah kekurangan air.



Memang tidak dinafikan cuaca pada musim panas di Jordan, memang panas dan terik. Ada kalanya mencecah 45°C. Apabila kami ke kelas, mata terpaksa dipejam kecil kerana tidak berupaya menahan silau matahari. Segera masuk ke kelas, segera pulang ke rumah. Panasnya tidak terkata.


Tetapi bukanlah kepanasan itu yang menjadi punca utama Jordan kekurangan air. Ada banyak faktor yang menjadikan Jordan kering lagi kontang.


Saya masih ingat, dalam perjalanan pertama dari Amman menuju Mu'tah, hati saya berdebar-debar. Pelajar senior sudah sedari awal menakut-nakutkan kami dengan pelbagai cerita tentang Mu'tah.


[image error]


Jauh!


Terpencil!


Badwi!


Dan entah apa lagi!


Tetapi rasa berdebar di hati saya timbul apabila bas yang kami naiki, melalui lereng gaung yang kosong. Perjalanan ngeri di antara pekan al-Qatrana dengan al-Karak. Sayup-sayup ke bawah kelihatan alur, seperti bekas sungai yang sangat besar dan luas. Namun kini, yang tinggal hanya lopak-lopak berisi air hijau menanti kering.


Apa yang telah berlaku di bumi ini? Ini bumi Isra', bumi yang subur di hari-hari itu.Bekalan air semakin berkurang, tahun demi tahun selama saya menetap di Jordan.


Jika dahulu, kami boleh pergi ke persisiran Laut Mati menuju ke beberapa batang sungai yang mengalir dari Wadi Mujib ke Laut Mati. Airnya dingin, dan cukup dalam untuk terjun tiruk!Jika ke Ma"™an, ada air terjun yang panas, dan ia sedikit sebanyak menghilangkan rindu kami kepada Malaysia.


Tetapi satu demi satu sungai itu kering.


Jika di Malaysia, orang boleh lemas kerana jatuh ke sungai. Tetapi di Jordan, hati-hati! Kemalangan yang sama mungkin mengakibatkan anda patah tulang. Tiada air di dalam sungai. Semuanya kering, kontang!


[image error]


Wadi Mujib


Setiap kali menjelang musim panas, kami menanti-nanti kedatangan hari Jumaat. Awal pagi, air akan datang secara mingguan, dan sepanjang hari, aktiviti kami akan berkaitan dengan air. Pada hari itulah kami semua membasuh kain, membersihkan rumah, mengisi botol-botol dan puluhan tong simpanan air, malah ada kalanya membasuh pinggan mangkuk yang berhari-hari terbiar kering tidak berbasuh.Malah apabila makan di talam, talam itu kami lapik dengan plastik agar talam tidak kotor. Habis makan, buang sahaja plastik tersebut. Memasak pun, perlu kurangkan sedikit minyak, agar mudah membasuh periuk.Semuanya kerana air!


Cukup dikenang, sewa rumah pun ditentukan oleh berapakah saiz tangki air rumah yang hendak disewa? Jika besar tangkinya, mahal jadinya sewa rumah tersebut. Sesuatu yang tidak dapat dibayangkan di negara seperti Malaysia.


Selama di Jordan, kami mesti meninggalkan tabiat 'hantu air' yang ada pada kebanyakan orang Malaysia. Pelajar baru sentiasa diingatkan agar jangan menyakiti hati senior dengan perbuatan mandi berkali-kali setiap hari, atau membasuh baju sesuka hati, kerana semuanya ada peraturan yang tersendiri.


Belajarlah untuk mandi tiga atau empat hari sekali. Kalau boleh, biar yang wajib-wajib sahaja!


Dan apabila mandi, bunyinya sahaja mandi sebab ada kalanya kami kena belajar mandi hanya dengan sebotol air 2 liter. Wudhu' usah dikira, secawan sudah memadai.


[image error]


Mungkin perit dan derita benar bunyinya. Tetapi alah bisa tegar biasa. Selepas tahun demi tahun hidup di Jordan, pengalaman itu adalah kebiasaan yang kami tempuhi dengan tenang.Barulah terasa benar hikmah mengapa Islam menggesa setiap lelaki yang sudah aqil dan baligh, untuk mandi pada hari Jumaat. Ia hanya dapat dihargai apabila kita tinggal di negara seperti Jordan, di mana sekurang-kurangnya seminggu sekali, setiap lelaki akan berusaha untuk mandi. Terasa sungguh cantik dan indahnya hari Jumaat. Kami membasuh kain, mandi betul-betul, malah memasak sungguh-sungguh. Seperti pesta dan hari raya.Mahu tidak mahu, kerana orang Jordan berdepan dengan krisis air, maka mereka perlu mengubah sikap dan kebiasaan. Perubahan ini bukanlah perubahan yang mengubah norma kehidupan, tetapi ia sebenarnya perubahan kepada apa yang lebih menepati Sunnah Rasulullah S.A.W.Islam mengajar kita sebagai khalifah, agar memuliakan air sebagai keperluan asasi kehidupan.


Allah SWT menyebut:


[image error]


Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (Al-Anbiyaa: 30)


Allah SWT juga menyebut:


[image error]


Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu ia menghidupkan dengan air hujan itu akan bumi sesudah matinya; Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mendengar (peringatan ini dan memahaminya). (Al-Nahl 16: 65)


Air itu dari Allah. Allah berikan kita air untuk kita sebagai hamba, menggunakan air itu sebagai perhambaan diri kita kepada-Nya.Tetapi, apabila manusia tidak lagi menghargai wahyu dari langit untuk roh dan jiwanya, manusia itu juga akan meremeh-temehkan air yang datang dari langit untuk fizikalnya.. Kehidupan manusia derita kerana masalah air, seiringan dengan derita jiwa dan batin manusia yang meremeh-temehkan wahyu dari 'sana'.


Sedari awal lagi, Rasulullah SAW sudah mengajar kita agar mempunyai akhlak atau sikap yang betul di dalam penggunaan air.


Abdullah ibn Umar meriwayatkan bahawa Baginda SAW pada suatu ketika, melintasi Saad ibn Abi Waqqas R.A. yang sedang berwudhu dengan menggunakan air yang banyak. Lalu baginda bertanya, "Mengapakah dengan pembaziran ini?" Saad bertanya kepada baginda: Apakah di dalam soal berwudhu' pun dikira pembaziran? Baginda S.A.W menjawab, "Ya, (membazir tetap membazir), walaupun kamu berada di sungai yang mengalir" - riwayat Ibn Majah.


Ya, bukan soal banyak atau sedikitnya air yang ada, tetapi sikap kita dalam menggunakannya. Islam tidak mengajar kita menjadi ayam yang bertelur di dalam kepuk padi, tidak tahu menghargai nilai yang ada pada padi tersebut. Jangan lupa harga air, semata-mata hidup ini penuh dengan sumber air.


Jangan bazirkan air, walaupun kamu berwudhu' di sungai. Itu pesan Islam. Sikap manusia yang tidak menghargai air, mengundang musibah lagi bencana.


Saya jarang sekali berjumpa dengan orang Arab yang menghadapi masalah was-was dengan air dan wudhu'. Hampir tidak pernah saya bertemu dengan Arab yang berbasah lenjun ketika berwudhu'. Walaupun Nabi SAW telah mengingatkan kita tentang syaitan Walahan yang mendatangkan was-was semasa berwudhu', namun dengan sikap positif, ada disiplin diri untuk menghadkan penggunaan air, ruang was-was syaitan itu dengan sendirinya menjadi sempit.


Tetapi terlalu biasa kita bertemu penyakit berkurung di dalam bilik air hanya kerana mahu berwudhu'. Sampai ke tahap Obsessive Compulsive Disorder (OCD) agaknya.


Apakah punca semua itu? Mungkin sebab pertama, ialah pada cara kita berfekah. Ketika Islam bersederhana di dalam masalah Thaharah, masyarakat kita amat berminat dengan kesusahan-kesusahan yang ditimbulkan dalam ibadah. Kerana setitik liquid paper di atas tangan, wudhu' mesti diulang. Kerana sebuah restoran pernah menghidangkan sosej yang dikhuatiri bersalut usus babi, kita sanggup menyimbah seluruh restoran dengan air tanah liat.


Fekah seperti ini seronok diamalkan di tempat yang banyak air seperti Malaysia. Tetapi sejahterakah hukum-hukum seperti itu, di tempat yang menghadapi masalah kekurangan air? Tak perlu fikir, kita memang banyak air!


Keputusan bekalan air dan pencemaran sumber air, adalah kesan buruk sikap manusia sendiri.


Nabi SAW memaksa kita agar mengubah sikap dan tidak membazirkan air.


Tetapi seperti yang sering saya ingatkan, manusia yang berubah kerana terpaksa adalah mangsa. Manusia yang memaksa dirinya untuk berubah, mereka itulah yang berjaya.


Apakah mahu menunggu El-Nino, baru mahu menilai semula ibadah dan menghargai hikmah al-Sunnah? Apakah dengan El-Nino baru kita TERPAKSA berubah?


Saya sudah pun belajar untuk biasa berwudhu dengan secawan air.


ABU SAIF @ www.saifulislaml.com

56000 Kuala Lumpur

22 Mac 2007




Related posts:Harga Minyak Tidak Secemas Harga Diri
Coretan Ramadhan Di Hari 1
Hari Penuh Makna

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 21, 2011 09:37

March 17, 2011

Komunikasi Kulit Komunikasi Isi

[image error]


Get the point, not the points!


"Ya Allah, rezekikanlah kami kefahaman!" mulut melafaz doa.


Rupa-rupanya FAHAM itu adalah rezeki.


Andai faham itu rezeki, maka jalan kepadanya sama seperti rezeki-rezeki yang lain.


Rezeki wang, datangkah ia berkepuk jatuh dari langit?


Tentu sahaja tidak. rezeki wang datang dengan kerja dan usaha. Perlu berusaha.



REZEKI PENJUAL MODEM BROADBAND


Seorang anak muda berusaha untuk mencari wang. Dia membuka meja untuk menjual modem Broadband, di bawah redup pohon bidara, di tepi sebuah lorong yang orang tidak berapa lalu. Berpeluh dari pagi hingga ke petang. Menjelang sore, terjualkah modem beliau?


Sifar!


Langsung tidak terjual.


Jika syarat rezeki itu ialah berusaha, bukankah beliau sudah berusaha? Tentu sahaja beliau sudah berusaha. Berpeluh, masa dan sabar, dari pagi hingga ke petang. Tetapi usahanya tidak membuahkan hasil. Puncanya, beliau SALAH CARA dalam BERUSAHA.


Jual modem Broadband di bawah pohon bidara? Pohon bidara itu pun orang sudah takut melihatnya. Mungkin ada yang sampai terdetik, "yang di bawah pokok itu manusia atau jembalang?" Lorong itu pula tidak ditempuh orang. Maka usahanya memang usaha. Tetapi hasilnya tiada. Semua kerana salah cara dalam berusaha.


Samalah juga dengan rezeki faham.


Bukan semua orang yang berusaha datang ke majlis ilmu akan faham. Yang tidak ke majlis ilmu sudah tentu bermasalahnya dia. Tetapi yang datang pun, sama ada majlis ilmu secara mengadap, mahu pun dengan melayari halaman-halaman web sebagai sumber ilmu, bukan semua yang berakhir dengan FAHAM. Ramai yang tidak faham.


Puncanya?


Bukan tidak berusaha. Tetapi salah cara dalam berusaha.


CIRI ULUL ALBAAB


Ulul Albaab tidak ada kena mengena dengan Ahmad Albab.


Albaab itu adalah kata jamak daripada Lubb. Ia memberikan maksud 'ISI' atau 'INTI'. Justeru Ulul Albaab memberi makna orang yang dapat isi, bukan kulit. Jika dikaitkan ia dengan faham, maknanya orang yang ULUL ALBAAB itu adalah orang yang faham isi, bukan faham kulit. Dalam bahasa mudahnya, orang yang get the point.


Siapakah mereka?


Ada 16 ayat di dalam al-Quran Allah Subhanahu wa Ta'aala menyebut tentang karakter Ulul Albaab.


Namun karakter yang satu ini, berkait secara langsung dengan soal rezeki faham:


[image error]


Syarat pertama untuk jadi orang yang fahamnya adalah faham isi, dia perlu ada kemahiran mendengar.


Dengar dahulu pendapat-pendapat yang datang kepadanya.


Dengar.


Kemudian membuat pertimbangan.


Memilih dan komited pada mengikut yang terbaik.


Itulah pra syarat orang yang mendapat hidayah.


Petunjuk… kunci kepada penyelesaian.


BAGAIMANA MENDENGAR DENGAN KEMAHIRAN TINGGI?


Mendengar, dengan telinga yang dua berbanding mulut yang satu itu, biar sekali ganda lebih bersungguh berbanding dengan bercakap.


Rehatkan persepsi, rehatkan pengalaman silam, rehatkan apa yang kita telah tahu, bukakan diri untuk mendengar dengan empati, supaya apa yang didengar bukan mengikut kehendak kita yang mendengar, tetapi mendengar seperti yang sepatutnya didengar.


Apabila ada sesuatu yang kita rasa tidak setuju, jangan cepat melatah melulu. Kawal diri, dengar atau baca sekali lagi, nilaikan apa yang kita faham.


Apakah kefahaman kita memang apa yang dimaksudkan oleh pihak yang bercakap?


Atau ia hanya persepsi kita?


Misalnya, tatkala seseorang berbicara tentang nuklear, jangan cepat melatah pada menganggap semua yang bercakap kritis tentang nuklear itu mengkritik teknologi nuklear. Mungkin yang dikritiknya adalah integriti pihak pemaju projek nuklear. Bukan teknologi nuklear. Tatkala kita melulu dalam berkata, yang terserlah adalah kegopohan kita. Latah yang melunturkan kesarjanaan pengetahuan kita sendiri. Maka jangan terlalu cepat memberikan maklum balas. Fikir seketika, dan nilaikan semula.


Jangan dengar dan baca apa yang kita mahu dengar dan baca sahaja.


Dengar apa yang orang mahu kita dengar.


Dengar apa yang sepatutnya kita dengar.


Jangan dengar hanya pada perkataan sahaja.


[image error]


APA SYARAT MENDAPAT KEMAHIRAN INI?


Manusia kulit berkomunikasi antara mulut dan telinga.


Manusia isi berkomunikasi dengan hati.


Komunikasi kulit, menganggap iPhone 4 adalah alat komunikasi paling canggih. Walhal jika hati tidak mahu berbicara, butang merah juga yang ditekannya. Secanggih mana pun telefon, akhirnya tidak dapat berbicara dan mendengar juga.


Komunikasi hati, lain kisahnya. Biar pun terpaksa naik bas loncat bersalin bas tiga kali, semuanya sanggup ditempuh kerana hati benar-benar mahu berjumpa dan berbicara.


Justeru komunikasi Ulul Albaab banyak memerlukan pembaikan hati.


Perbaiki hati, agar ada ukhuwwah, ada empati.


Dengan hati yang mahu berkomunikasi, kita lebih sabar dalam mendengar.


Lebih berisi.


Get the point, not the points!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Politik Semasa: Komunikasi ICT dan Hati
Renungan Surah al-Munafiqoon Ayat 7
Si Luncai Terjun Dengan Labu-labunya…

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 17, 2011 18:44

March 16, 2011

Cita-cita Nuklear Malaysia: Sebuah Harapan

[image error]


"Sekiranya berlaku gempa bumi, larilah ke loji nuklear!" kata seorang pensyarah berkaitan teknologi nuklear di sebuah universiti di Jepun.


Biar pun berbunyi agak dramatik, konotasinya ialah keyakinan pakar-pakar nuklear Jepun terhadap tahap keselamatan loji nuklear di negara berkenaan. Dunia yakin, Jepun adalah benchmark yang wajar pada mengukur kematangan dan kemajuan teknologi nuklear.



Namun pada 11 Mac 2011 yang lalu, perhitungan manusia rebah pada kuasa alam. Gempa bumi pada magnitiud 9 dan Tsunami maha dahsyat, bukan setakat memusnahkan kediaman manusia dan meragut ribuan nyawa, loji nuklear Jepun turut terjejas teruk. Tiga letupan besar berlaku dan radiasi yang terlepas ke ruang udara menjadi kegusaran mega bukan hanya penduduk tempatan malah mendebarkan masyarakat antarabangsa.


Kita berhadapan dengan masalah yang serius.


Banyak negara, seperti India, segera menyemak dan menilai kembali projek masing-masing berkaitan nuklear. Eropah seperti Perancis dan Jerman juga bertindak sama.


Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini membuat kenyataan bahawa Malaysia akan meneruskan cita-cita nuklearnya menjelang 2021 dan 2022.


Nuklear adalah subjek yang rumit. Aspek teknikalnya hanya difahami oleh pakar-pakar, tetapi potensi dan risikonya ditanggung bersama oleh semua lapisan masyarakat. Rakyat sendiri tidak tahu apa yang hendak ditanya tentang nuklear ini. Kerisauan mereka hanya mampu diluahkan dalam bentuk soalan "selamatkah?", "perlukah?" "mengapa tidak solar sahaja?" dan "empangan hidro itu tidak cukupkah?" yang mana kesemua soalan itu akan berbunyi penghinaan di telinga pakar yang telah membuat yang terbaik untuk kemajuan bidang mereka.


Namun kegusaran rakyat jangan diketepikan. Kerisauan mereka berasas. Bukan hanya semata-mata soal 'kejahilan' mereka tentang teknologi nuklear, tetapi ada isu yang lebih besar di sebalik itu.


Kita tinggal di sebuah negara yang maju tetapi jalanrayanya berlubang-lubang tanpa henti, stadium runtuh, sekolah roboh. Bakun diselaputi konflik dan amalan rasuah, nepotisme dan kronisme antara kerajaan, GLC dan sektor swasta, semua ini menjadi asas keraguan terhadap integriti kerajaan pada bertindak sebagai pelantik dan tulang belakang di sebalik pembangunan stesyen janakuasa nuklear negara.


Tambahan pula, kebebasan dokumen serta maklumat berkenaan hal-hal seperti ini teruji dengan akta-akta seperti ISA, OSA dan yang seumpama dengannya.


Apatah lagi jika aspek pelan bencana yang turut membabitkan kepakaran perubatan kecemasan, turut tidak jelas di mata rakyat, apakah kita mempunyai sistem sokongan ini seperti apa yang ada di Jepun?


Justeru, kita berharap agar pihak kerajaan serta agensi terbabit lebih bekerja keras pada mendidik rakyat agar berpengetahuan setanding dengan teknologi nuklear. Perlu telus dan jelas pada membentangkan maklumat yang diperlukan kepada rakyat dan wakil-wakilnya di Parlimen.


Jangan hanya mengambil teknologi secanggih Jepun, namun pastikan integriti kita lebih maju daripada mereka kerana kita adalah MUSLIM yang ISLAM!


Nuklear pun, ada dosa dan ada pahala. Ada Syurga dan ada Neraka.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Kausa Prima Sebuah Agenda
Agenda Tarbiyah vs. Cita-cita Siasah
Bukan Memperkecilkan Harapan dan Permintaan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 16, 2011 21:31

March 13, 2011

Secebis Yang Kutahu Tentang Jepun Itu

[image error]


Dari semasa ke semasa, saya menerima jemputan untuk menyampaikan ceramah motivasi.


Antara kumpulan peserta paling unik adalah adik-adik di Ambang Asuhan Jepun, di Universiti Malaya.


Berkali-kali saya hadir ke sana untuk berkongsi motivasi terutamanya pada mewacanakan Islam agar beralih daripada Islam Warisan kepada Islam Pilihan, akhirnya peluang menjejakkan kaki ke Jepun terealisasi pada Ogos 2008 yang lalu.


Seminggu berada di Jepun atas jemputan IPIJ untuk Kem Musim Panas, saya berpeluang mengenal serba sedikit tentang orang, pemikiran, budaya dan cara hidup di negara Jepun.



FIRST IMPRESSION


"Buku ini untuk siapa?" tanya pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo Narita.


"Untuk pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di negara anda" saya menjawab.


"Kamukah yang menulis buku ini?" soal beliau lagi.


Buku Aku Terima Nikahnya dibelek-belek depan dan belakang.


"Ya, ia buku tulisan saya. Gambarnya ada di situ" saya membantu beliau mengecam.


Tiba-tiba pegawai itu berdiri tegak di hadapan saya, tersenyum dan memberikan tunduk hormat.


Ia adalah taaruf pertama saya dengan Jepun serta budayanya.


BANGSA YANG KUAT


Menonton video di bawah, saya begitu teruja dengan kebesaran jiwa seorang pakcik yang terselamat kira-kira selepas 48 jam kejadian Tsunami melanda baru-baru ini. Saya tidak tahu apa-apa tentang Bahasa Jepun. Tetapi dengan bantuan adinda Luqman Hakim Ahmad Shah, yang juga graduan Universiti Tohoku di Sendai, saya tersenyum menonton video ini. Tatkala ditanya tentang rumahnya yang ranap sama sekali, pakcik ini dengan tenang berkata:


"また再建しましょう!


(Mari sama-sama bina semula!)"


 



 


Insya Allah, bencana Tsunami itu bukan penamat.


Mereka akan bangkit, seperti yang pernah mereka lakukan pasca Perang Dunia Kedua.


Sebagaimana Muslim harus belajar daripada kebangkitan umat pasca kejatuhan Baghdad 1258.


PERKENALAN SINGKAT


Oleh kerana tempoh berada di sana begitu singkat, hanya beberapa artikel sahaja yang mampu saya nukilkan, biar pun mempunyai keinginan untuk lebih mengetahui tentang Jepun.


Saya ingin mengetahui lebih lagi tentang nilai-nilai kemanusiaan di Jepun itu. Apakan daya, negara matahari terbit ini adalah dunia yang berjaya menjadikan saya pekak dan bisu sepenuhnya selama berada di sana dek kosongnya saya terhadap Bahasa Jepun. Namun memandang dengan hati, banyak membantu menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat.


Salam perjuangan buat rakyat Jepun pasca 110311:



Tsunami Akal dan Budi di Tanah Air Sendiri
HIKIKOMORI: Generasi-Z Idaman Kita?
Manusia Itu Yang Utama
Aku Insan Biasa
Kesungguhan Tanpa Tuhan dan Akhirat?
Membaca Dengan Mata Hati
Demi Islam, Ceriakanlah Dirimu!
Bahasa Untuk Shakaijin
Nihonjinron: Secebis Nilai Islam Tanpa Muslim
Ukhuwwah Manusia Hamba
Dari Istanbul ke Legasi Meiji
Harapan Mekar di Bumi Sakura
Tokyo: Sebelum Melangkah Pergi…

Semoga bermanfaat buat semua


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:'Tentang Bulan' Yang Mengecewakan
Nihonjinron: Secebis Nilai Islam Tanpa Muslim
Sesi Ramah Mesra di Pesta Buku

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 13, 2011 09:26

March 12, 2011

Tsunami Akal dan Budi di Tanah Air Sendiri

[image error]


Lori beras terbalik.


Orang ramai berpesta mengaut beras 'percuma' di Lebuhraya.


Pemandu lori yang parah mengerang dengan luka yang dihurung lalat meminta bantuan.


Kelindan lori terbiar hingga mati di tepi jalan.


Saya cuba untuk menghadam laporan kejadian lori beras terbalik di KM394 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Tanjung Malam bulan lalu. Apakah yang difikirkan oleh pengaut beras itu? Adakah mereka lebih miskin daripada penghuni pondok yang makan siput babi beberapa tahun lalu di siaran Bersamamu TV3? Jika tidak lama dulu orang ramai berkejaran mengutip duit syiling yang bertaburan akibat kemalangan di Lebuhraya yang sama, kali ini beras dikaut untuk habuan makan, membiarkan mangsa di tepi tanpa tindakan peri kemanusiaan.


Kebingungan.



Seperti ada satu 'petanda besar, bagai ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan perilaku masyarakat kita kebelakangan ini.


11 Mac 2011, seluruh penduduk dunia terkejut.


Sesuatu yang tidak pernah dicatat oleh sejarah, Pantai Timur Laut Jepun dilanda gempa bumi paling dahsyat berukuran 8.9 pada skala Richter. Gegaran yang begitu dahsyat mengundang bencana yang paling menakutkan iaitu gelombang Tsunami. Tanpa berlengah, ombak setinggi 10 meter menghempas pantai dan menyapu segala yang berdiri di muka bumi, 'tanpa belas kasihan'.


Tidak pasti apa yang mahu diungkap, selain berdoa agar kejadian itu tidak mengulangi penderitaan kesan Tsunami di Sumatera pada Disember 2004 yang lalu apabila lebih 200 ribu nyawa terbunuh di sekeliling pantai Lautan Hindi. Gelombang Tsunami kali ini menggoncang perairan Lautan Pasifik hingga melimpahkan kesannya ke perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, serta Sabah dan Sarawak.


Subhanallah!


Hanya pernah sekali menjejakkan kaki ke bumi Jepun, kenangan di bumi Ibaraki, menambah 'rasa terkait' dengan apa yang berlaku apabila gempa bumi dan Tsunami turut memusnahkan kawasan yang indah dan permai itu.


Namun kesedihan dan debar menyaksikan satu demi satu laporan berita di media, terpukul oleh beberapa siri laporan berita media tempatan yang membingungkan.


TAHAP KEPRIHATINAN KITA


Belum pun reda gegaran dan deruan ombak ganas Tsunami di Jepun, Buletin Utama di TV3 sudah berbincang tentang implikasi bencana besar di Jepun itu kepada pasaran saham di Tokyo serta akibatnya kepada kedudukan pasaran saham global termasuk Kuala Lumpur. Tanpa sensitiviti yang paling minima atas dasar kemanusiaan, Dato Mukhriz Tun Mahathir menyatakan harapannya agar Jepun segera memulihkan keadaan ekonomi serta pasaran sahamnya dan mudah-mudahan ia tidak berjangkit ke pasaran saham di negara kita.


Tatkala kenyataan rasmi Perdana Menteri tidak kedengaran, laporan ala kadar terhadap bencana luar biasa ini terus dihalakan pada soal ekonomi. Bukan ekonomi Jepun, tetapi kepentingan negara kita, rakan niaga tradisi negara matahari terbit itu!


Mulia sungguh hati rakan ini.


Apa sudah terjadi?


KOSMO THE PORNO


Menyelak akhbar di pagi Ahad, sekali lagi kita kebingungan.


[image error]


Kosmo Ahad 13 Mac 2011 di halaman 3, menyiarkan berita Ratu Pornografi Jepun, Maria Ozawa terselamat daripada malapetaka gempa bumi dan Tsunami itu.


Dalam ramai-ramai tokoh daripada kalangan rakyat Jepun, Miyabi juga yang jadi pilihan.


Bimbang benar dengan kehilangan ikon penting ini.


BERITA HARIAN HAIRAN


[image error]


Diselak pula akhbar Berita Minggu 13 Mac 2011 di halaman 24, kartunis Zoy melukis kartun Ultraman yang lari bertempiaran dikejar ombak Tsunami gergasi 11 Mac lalu. Entah apa yang cuba diterjemahkan melalui lakaran itu, ia pantas melahirkan betapa rendahnya moral kita hingga kejadian bencana sedahsyat itu, dilakar sebagai bahan senda gurau tanpa sedikit pun mempertimbangkan perasaan sekalian manusia, Jepun atau tidak Jepunnya mereka, berkenaan jurnalisma terencat jiwa ini.


Apakah semua ini?


Neo-journalism versi apakah ini?


[image error]


Foto kredit malaysiana.pnm.my


SI LUNCAI TERJUN DENGAN LABU-LABUNYA!


Bencana itu sudah tiba di Jepun!

Tak apa. Kita kan di Malaysia…


Bencana itu sudah tiba di Johor!

Tak apa. Kita kan di Selangor…


Bencana itu sudah tiba di Gombak!

Tak apa. Kita kan di Petaling Jaya…


Bencana itu sudah tiba di Seksyen 5!

Tak apa. Kita kan di Seksyen 2…


Bencana itu sudah tiba di Jalan 2/4!

Tak apa. Kita kan di Jalan 2/8…


Bencana itu sudah tiba di rumah nombor 47!

Tak apa. Kita kan di rumah nombor 74…


Bahagian depan rumah kita sudah runtuh!

Syukur. Dapur kita masih selamat…


Memperkenalkan… mazhab Aku Tidak Pedulisma!


WASIAT NUH ALAYHI AL-SALAAM


Sebagai penutup, renungilah wasiat Nabi Nuh Alayhi as-Salaam kepada anak-anaknya yang beriman sebelum Baginda wafat pulang kepada Allah.


Imam Ahmad dan al-Bayhaqi telah meriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr bin al-'Aas Radhiyallahu 'anhuma, beliau berkata:


Suatu ketika kami sedang bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Kemudian datang seorang lelaki dari pedalaman yang memakai jubah besar berwarna hijau (Seehan) dan dihiasi dengan sutera. Lalu Rasulullah SAW berkata:


"Sesungguhnya sahabat kamu ini telah meninggalkan setiap pahlawan berkuda anak pahlawan berkuda serta mengangkat setiap pengembala anak pengembala! (Pakaian yang melambangkan keangkuhan pemakainya)" Lalu Baginda SAW memegang jubah lelaki tersebut dan berkata kepadanya "Aku melihat engkau memakai pakaian orang yang tidak berakal!" Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi "Sesungguhnya Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam ketika nazak menghadapi kematian, beliau berkata kepada anaknya:


"Sesungguhnya aku mahu meninggalkan wasiat kepada kamu. Aku perintahkan kepada kamu dua perkara dan aku tegah kamu daripada dua perkara. Aku perintahkan kamu dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Sesungguhnya jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di suatu timbangan dan Laa Ilaaha IllaLlaah diletakkan di suatu timbangan yang lain, nescaya Laa Ilaaha IllaLlaah itu lebih berat. Seandainya tujuh petala langit dan bumi itu suatu rangkaian yang samar dan rapuh, ia terjalin kukuh dan kemas dengan Laa Ilaaha IllaLlaah.


Aku juga memerintahkan kamu dengan Tasbih dan Takbir. Sesungguhnya dengan demikian terhasil kesejahteraan setiap sesuatu dan dengannya jua makhluk dikurniakan rezeki.


Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)"


Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik?


Rasulullah SAW menjawab, "Tidak"


Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)?


Rasulullah SAW menjawab, "Tidak"


Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)?


Rasulullah SAW menjawab, "Tidak"


Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)?


Rasulullah SAW menjawab, "Tidak"


Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu?


Nabi SAW menjawab, "Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!"


[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79]


Inilah pesanan Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam kepada anaknya sebelum wafat. Dan kita ini semua adalah cucu cicitnya Baginda. Terimalah nasihat ini sebagai peringatan.


Sesungguhnya Tauhid dan Kalimah Tauhid adalah sebesar-besar perkara di dalam hidup ini. Menjadikan ia sebagai fokus diri, dan seterusnya disempurnakan pula dengan Takbir membesarkan Allah dan Tasbih mensucikanNya pada lisan dan perbuatan. Syirik yang muncul dengan pelbagai versi di dalam kehidupan kita hari ini bersama perbuatan angkuh, bongkak, takabbur atau Kibr itu pula hendaklah dijauhi. Sesungguhnya Syirik dan takabbur itu telah menjadi syiar dan cara hidup ramai manusia pada hari ini.


SALAH SIAPA


Habis, salah siapa semua itu?


Mahu dikata salah kerajaan, ia kerajaan pilihan rakyat.


Mahu dikata salah rakyat, siapakah pendidik-pendidik rakyat itu?


Nampaknya ia salah saya.


Salah pendakwah yang belum cukup kuat berusaha.


Justeru saya telah, sedang dan akan terus berusaha.


Saya sudah mendapat satu lagi tugasan.


Anda cukup dengan menonton sahaja?


[image error]


"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada satu kaum itu sehingga mereka bertindak mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" [Al-Ra'd 13: 11]


Salam takziah dari saya untuk akal dan budi tamadun manusia.


" Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi." (Al-A'raaf 98-99)


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Buang Bayi: Kejutan Budaya di Tanah Air Sendiri
Tsunami: Teladan al-Quran Daripada Kisah Nuh 'alayhi al-Salaam
Bahasa Akal Bahasa Hati

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 12, 2011 23:08

March 10, 2011

Hidup Adalah Ujian Membuat Pilihan

[image error]


"Saya hanya menjalankan apa yang telah Allah tetapkan ke atas saya" kata seorang anak muda.


"Kamu kata Allah yang tetapkan kamu buat dosa itu?" saya bertanya.


Beliau memandang saya. Seperti tidak mampu untuk berkata dengan yakin. Namun masih 'berani'.


"Ya!" jawab beliau perlahan.


Saya menjegil mata.


"Adoi!" beliau kesakitan.


Pedih dengan cubitan tebal saya di lengannya. Tidak bertanya 'mengapa' kerana jelas sekali apa yang bakal saya kata.


"Saya hanya menjalankan ketetapan Allah bahawa saya mencubit kamu!" saya mengulas.



"Cubitlah lagi!" katanya bernada gurau.


"Kali ini saya memilih untuk tidak mencubit. Saya bebas memilih sama ada hendak mencubit atau tidak mencubit" saya membalas.


"Tetapi bukankah di dalam Islam, kita belajar bahawa semua perbuatan kita berada di dalam ilmu Allah?" beliau kebingungan.


"Mungkin inilah akibatnya, tatkala kita terperangkap dalam kekakuan terjemahan. Hingga menimbulkan salah faham yang serius" saya mengulas.


Salah faham tentang Qadha' dan Qadar, banyak membelenggu kehidupan kita hari ini. Tatkala bertanya akan hal ini kepada tuan guru, katanya Qadha' dan Qadar itu seperti matahari. Makin direnung dengan mata, makin kabur pandangan dibuatnya. Membiarkan soal Qadha' dan Qadar ini tidak berjawab ke tahap yang boleh dipegang sebagai suatu keyakinan, adalah musibah yang besar kepada kehidupan seorang Muslim.


Salah satu rukun imannya rapuh. Menunggu rebah.


Kita sering keliru di antara ketetapan Allah ke atas sebab musabbab, dengan ketetapan Allah ke atas perbuatan kita yang merupakan sebuah pilihan.


Renungkan sabda Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam:


[image error]Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas radhiyallahu anhuma beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya). [Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi nombor 2516. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan Sahih]


Apa yang telah ditetapkan oleh Allah itu adalah apa yang dikenali sebagai Sunnatullah.


Ia bermaksud, segala peraturan sebab musabbab yang menjadi sendi kehidupan di alam ini. Buat ini jadi ini, buat itu jadi itu. Perbuatan dan kesan perbuatan, peraturannya semua telah ditentukan oleh Allah. Itulah yang dikatakan sebagai ILMU ALLAH. Ilmu yang Maha Luas.


ILMU ALLAH ini, yakni Sunnatullah, telah disempurnakan manualnya. Demikianlah ia diungkapkan di dalam Hadith itu sebagai "Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya)".


Ini juga merupakan maksud firman Allah:


[image error]"Maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi Sunnatullah dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan Sunnatullah itu"

[Fathir 35:43]


"Tapi mengapa ada orang makan namun masih tidak kenyang? Atau makan ubat tetapi tidak sembuh?" tanya anak muda itu.


"Ilmu manusia sedikit. Kalau makan ubat, betul dos, maka ilmunya kata dia sepatutnya sembuh. Tetapi ada atau tidak variables lain yang melintasi sebab musabbab makan ubat itu tadi? Misalnya, dia memang makan ubat, tetapi mungkin tahap serapan ubat di dalam perut beliau tidak sama dengan orang lain. Atau dia ada makan sesuatu yang kesannya 'menawarkan' kesan ubat yang dimakan. Atau pun dia ada sakit lain yang kontra kepada rawatannya kepada sakit yang satu itu. Ada banyak 'atau' di situ yang mungkin tidak mampu dihitung manusia, tetapi SEMUANYA sudah tetap di dalam ILMU ALLAH" saya mengulas panjang.


"Sebab itulah kan, walau sehebat mana sekali pun kita sudah menghitung kebarangkalian, mengenal pasti risiko dan merancang sebaik mungkin, kita masih kena sebut Insya Allah?" tanya beliau meminta kepastian.


"Benar. Sebab ilmu Allah itu luas. Kita hanya nampak seribu cause and effect dan cuba untuk menguasainya. Sedangkan seribu itu hanya secebis daripada lautan cause and effect di dalam ilmu Allah yang telah ditetapkan-Nya. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Pilihan kita mungkin terganggu oleh pilihan orang lain yang tiada di dalam ilmu kita. Tetapi macam mana sekali pun bentuk akibat pertembungan pilihan kita dengan pilihan orang lain itu, ia masih dalam kerangka cause and effect yang telah ditetapkan Allah sebagai hukum alam" saya menyambung cerita.


BELAJAR TENTANG SUNNATULLAH


"Macam mana kita nak belajar tentang Sunnatullah itu?" soal beliau.


"Sunnatullah ini ada yang alam dengan alam. Ada yang alam dengan manusia. Ada yang manusia dengan manusia. Ada yang seorang manusia dengan dirinya sendiri. Jadi sebahagian daripada Sunnatullah ini kita belajar di dalam biologi, fizik, kimia, geografi, matematik, malah juga sejarah, psikologi, komunikasi dan sebagainya" saya cuba menjawab dan menjelaskan fikiran saya sendiri, yang turut dikongsi bersama rakan ini.


"Habis tu, kalau semua Sunnatullah itu kita belajar dalam Sains serta cabang-cabangnya, ilmu agama pula untuk apa?" tanya anak muda itu lagi.


"Maksud anta, Syariatullah?" saya meminta kepastian.


"Ya. Syariatullah. Yang ustaz selalu sebut dalam ceramah itu" tegas beliau.


BELAJAR TENTANG SYARIATULLAH


"Kita dituntut belajar tentang Sunnatullah supaya kita faham bagaimana Allah mensistemkan alam dan kehidupan ini. Dari situlah kita dituntut supaya hidup dengan mematuhi sistem Allah ke atas alam dan kehidupan ini. Itulah ujian kehidupan. Kita diuji, sama ada nak susun hidup ikut peraturan kehidupan yang Allah telah tetapkan atau tidak. Dan oleh kerana cause and effect atau Sunnatullah yang Allah tetapkan itu Maha Luas hingga banyak yang tidak sampai di akal manusia, apakah akibatnya jika memilih satu-satu pilihan dalam hidup ini, maka di situlah peranan Syariatullah. Peraturan yang disebut sebagai peraturan agama, diberikan oleh Allah sebagai pembimbing kepada manusia untuk membuat pilihan yang betul" saya menyambung.


"Agama menampung kejahilan manusia tentang akibat pilihan yang salah?" tanya beliau.


"Benar. Ada sesetengah perintah, kita tahu kesan baik buruknya. Disebut sebagai hikmah kepada perbuatan, jika di dalam bahasa ilmu agama. Tetapi banyak juga benda yang kita belum jelas akibatnya. Misalnya bab makan babi. Lebih mudah dan kuat jika kita patuh kepada perintah Allah yang melarang babi itu tanpa pening nak fikir kenapa. Tetapi dengan kajian-kajian manusia, semakin banyaklah nampak keburukan memakan babi tersebut. Sama juga dengan riba. Awal-awal mungkin tak nampak mudarat riba, dek lemahnya ilmu manusia yang hanya nampak apa yang mampu dicapai oleh pancaindera. Tetapi sebagai orang yang patuh Syariat Allah, kita menolak riba sebelum dapat dilihat mudarat riba sebab kita yakin, apabila melalui wahyu Allah mengharamkan sesuatu, pasti ia haram kerana akibatnya adalah buruk dan mudarat ke atas manusia. Dan dengan kajian demi kajian, semakin jelas mengapa riba itu haram" saya menambah.


Beliau termenung.


MAKSIAT PILIHAN SIAPA?


"Jadi, maksiat yang anta buat tu, anta buat ke atau Allah buat? Adakah Allah yang gerakkan tangan anta untuk buat maksiat atau anta yang memilih untuk menggerakkan tangan anta ke arah maksiat?" saya berpatah balik ke persoalan asal.


"Ia pilihan saya. Saya yang bersalah!" katanya lemah.


"Maknanya Allah tak tahu ke apa yang saya bakal pilih?" soal beliau. Terbeliak matanya.


"Soalnya bukan Allah tahu atau tidak tahu sebab pilihan anta belum wujud. Anta belum mewujudkannya dengan pilihan anta sendiri. Tetapi apa sahaja yang bakal anta pilih, ia tidak dapat lari daripada cause and effect yang telah Allah tetapkan. Itu maksudnya apa sahaja pilihan anta, ia tetap di dalam ilmu Allah. Namun apabila anta memilih A, bukanlah Allah yang memilih bagi pihak anta. Anta yang pilih. Anta yang mencipta pilihan itu di dalam lingkungan ilmu Allah, yakni cause and effect yang telah Allah tetapkan. Akibat perbuatan itu mungkin tiada di dalam ilmu anta, tetapi ia sudah ada di dalam variables Qadha' dan Qadar Allah pada cause and effect yang saya sebutkan tadi" saya cuba melangsaikan perbualan.


"Maknanya, salah sayalah atas semua pilihan yang saya sendiri buat?" tanya beliau, meminta kepastian lagi.


"Ya. Dan itulah hakikat kehidupan ini. Kita diuji dengan pilihan. Syariatullah diberi sebagai panduan untuk memilih pilihan yang betul di dalam lautan Sunnatullah yang telah Allah install di dalam kehidupan ini" saya menutup perbualan.


"Terima kasih ustaz!" balas anak muda tersebut.


"Kepada Allah juga segala puji dan puja" saya bersalam.


Hidup adalah ujian membuat pilihan.


Hidup berpandukan Syariatullah.


Hidup berpandukan Sunnatullah.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


P/S: Kisah di atas diolah dan disusun semula hasil perbualan dengan seorang anak muda semasa saya mengendalikan sebuah program mahasiswa di luar negara




Related posts:Sinar Iman di Sebalik Ujian
Dirimu Itu Sendiri Adalah Sistemnya
KHUTBAH JUMAAT: Kita Diuji Dengan Pilihan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 10, 2011 10:52

Brother Idris Tawfiq Bersama Malam Kutipan Amal Khalifah Model School (KMS)

[image error]


Rugi benar rasanya.


Lama saya menantikan peluang sebegini tetapi jadual yang terlebih awal sudah terisi dengan komitmen, saya terpaksa melepaskannya.


Kesempatan untuk menghadiri wacana bersama Brother Idris Tawfiq tidak harus dilepaskan. Saya meminati pendekatan beliau yang mudah, berterus terang namun lancar mengajak kepada berfikir. Beliau sering menegaskan bahawa dirinya bukan seorang ulama' tetapi seorang Muslim yang berdakwah dengan bahasa yang mudah agar Islam difahami, terutamanya oleh generasi muda dan masyarakat Barat. Memeluk Islam dengan sokongan Yusuf Islam, bekas paderi ini berbicara seperti mentol terang yang menerangi setiap kita yang meminjam telinga dan hati kepada tutur bicaranya yang berinspirasi.



26 Mac ini, di Dewan Perdana FELDA pada jam 8 malam, sekolah anak saya mengadakan acara tahunannya iaitu Majlis Makan Malam Kutipan Amal untuk membangunkan dana Khalifah Model School yang sentiasa berdiri di atas kaki sendiri, di simbahan hujan dan di bawah panas mentari. Setiap tahun, inilah majlis yang diharapkan dapat berfungsi secara serampang dua mata iaitu school fundraising dan menyebarkan konsep ilmu dengan menjemput tokoh-tokoh pendidikan dan dakwah sebagai tetamu.


Dana yang berjaya dikumpulkan akan digunakan untuk menampung keperluan sekolah, guru dan murid-murid semua.


Biar pun tidak dapat hadir untuk sama-sama menimba ilmu serta pengalaman daripada tetamu istimewa ini, saya tidak mahu terus ketinggalan untuk berusaha menjayakan Majlis Makan Malam Kutipan Amal ini. Justeru dengan penuh rasa berbesar hati dan rendah diri, saya menjemput rakan pengunjung blog Saifulislam.Com mengambil peluang ini untuk hadir dan berwacana bersama Brother Idris Tawfiq.  Para tetamu boleh hadir sama ada secara individu, atau 'membeli meja' seperti yang diiklankan oleh pihak penganjur.


Kami di Parent Teacher Association (PTA) juga mengalu-alukan seandainya ada badan-badan korporat dan para dermawan yang turut sama boleh menaja meja yang dijual itu. Insya Allah meja-meja tajaan akan dimanfaatkan oleh pihak penganjur dengan menjemput para pelajar, mahasiswa dan mahasiswi serta individu yang berpotensi untuk hadir ke majlis Ilmu dan Amal ini, seandainya penderma berhajat agar pihak penganjur berbuat demikian bagi pihak mereka.


[image error]


KHALIFAH INSTITUTE DINNER & TALK BY BRO. IDRIS TAWFIQ


British Muslim writer and broadcaster, Idris Tawfiq, was a Roman Catholic priest before embracing Islam. After serving the Church for twenty years, doubts about his vocation eventually led him to leave the priesthood. By Allah's grace a much needed holiday tour landed him in Cairo where for the first time in his life he met and talked to Muslims, observing their rituals up close. Hearing the call to prayer and watching people stop everything to turn towrds Mecca left a deep impression on him.


"It began to sow the seeds of Islam within me. It was the first time I had spoken to, or even met, Muslims. I saw that they weren't sabre-rattling fanatics, they were just ordinary people. More than that, they were very gentle people and faith-filled in a way I had never seen before."


Back in London he took up teaching comparative religion in a secondary school where he had to learn more about Islam and a chance meeting with Yusuf Islam at London's Central Mosque led to his eventual conversion to Islam.


Idris Tawfiq summarises Islam:

"I would say that Islam is completely God-centered. The whole thing revolves around Allah. I think people who embrace Islam see a calmness and simplicity that many have not experienced before. I don't see Islam as rigid, it's empowering. Islam is beautiful, sweet and gentle."


His style of speaking is both simple and very gentle, touching hearts, as well as causing people to think. Do not miss this opportunity to mmet him in person.


Books he has authored:

- Gardens of Delight: a simple introduction to Islam

- Talking to Young Muslims

- Talking to New Muslims

- Talking to Muslims in the West

- Talking about Ramadhan

- Calling Others to Islam

- Talking About Other Faiths

- Looking for Peace in the Land of the Prophets


Bro. Idris Tawfiq will be in Kuala Lumpur on 26 March 2011 delivering a talk entitled "Do Your Best!" 8:00pm, Dewan Perdana FELDA.


Contact: 03-4256 6810/03-4251 3386/012-354 7392


+++++++++++++++++++++++++++++++++++


Dinner Table For 10 pax


Type A – RM 10,000.00

Type B – RM 7,000.00

Type C – RM 5,000.00

Type D – RM 3,000.00

Type E – RM 1,500.00


+++++++++++++++++++++++++++++++++++



[image error]


Contribution form 2011


Dari jauh, saya mendoakan agar majlis ini berlangsung dengan cemerlang.


Insya Allah pada tarikh berkenaan saya akan berada di Baling, Kedah untuk mengendalikan ceramah motivasi bersama anak-anak daerah Baling bersama JKUK Pertubuhan Kebajikan an-Nidaa' Malaysia, selepas sesi pertama di Maahad Muhammadi lil Banaat, Kota Bharu Kelantan, baru-baru ini.


Jangan ada satu hari, berlalu tanpa amal dan bakti.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Wacana Bersiri "Apa Erti Saya Menjadi Muslim" di Khalifah Model School – Siri II
Saya, Amin Idris dan Magnet Diri
AAC Dan KCB Bersama ATN

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 10, 2011 07:08

March 7, 2011

Kuliah Ibrah Daripada Surah al-Kahfi Melabuhkan Tirainya

[image error]


Sebahagian daripada buku rujukan yang saya gunakan di sepanjang siri Kuliah ini. Buku utamanya adalah Ma'a Qasas al-Sabiqeen fee al-Qur'aan oleh Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khaalidi


Alhamdulillah!


Kuliah bersiri Ibrah Daripada Surah al-Kahfi tamat malam ini.


Setelah setahun lebih menelusi empat kisah besar di dalam Surah itu, malam tadi di Surau an-Naim Wangsa Maju, kembara jemaah bersama kisah Ashaab al-Kahf, Lelaki Kafir Pemilik Dua Kebun, Musa dan Khaidir 'alayhima al-Salaam dan Dzulqarnain, berakhir dengan rumusan Sayyid Qutb berkenaan teladan penting kisah Dzulqarnain.


Keempat-empat kisah utama yang terkandung di dalam Surah Makkiyyah ini, mendukung proses yang amat besar. Ia membetulkan sistem kepercayaan, membetulkan pandangan hidup dan cara berfikir (world view and mindset), dan ia juga membetulkan sistem nilai. Inilah rumusan sahib Tafsir fee Dhelaal al-Quran tentang enjin di sebalik peranan Surah al-Kahfi membentengi umat Islam daripada fitnah Dajjal.



Biar pun saya berusaha mengekalkan pembentangan pada hanya memperincikan apa yang diperincikan oleh Allah dan Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam, dan meninggalkan apa yang ditinggalkan oleh al-Quran dan al-Sunnah, kuliah Ibrah Daripada Surah al-Kahfi ini tetap memerlukan saya untuk membaca pelbagai bahan, sama ada yang menyokong atau bertentangan, yang datang dari sumber Islam mahu pun bukan Islam.


[image error]


Salah satu slaid Powerpoint© yang digunakan semasa kuliah




KISAH ASHAAB AL-KAHF


Kisah ini membetulkan kepercayaan, serta cara untuk mempercayai sesuatu.


Ia adalah sebuah kisah yang amat ringkas pada jalan penceritaan. Namun ia dinobat sebagai kisah paling utama Surah ini. Ringkasnya cerita yang dianggap cerita terpenting, menyebabkan sebahagian kita cuba untuk meluaskan penceritaan dengan mencedok penjelasan di luar al-Quran dan al-Sunnah. Akan tetapi, jika kita komited dengan kaedah al-Quran membentangkan sejarah, yakni kisah-kisah umat terdahulu, kita akan menyingkap 1001 rahsia di sebalik kehalusan Allah Subhanahu wa Ta'aala memilih perkataan di dalam bait-bait wahyu Al-Quran.


Menegur peminat dan pembangga kisah pelik, membetulkan tanggapan terhadap anak muda, menghuraikan keunikan Rahmat Allah yang diminta Ashaab al-Kahfi, kerjasama tentera-tentera Allah yang tersirat untuk menyokong pemuda itu, keunikan umat Tauhid yang mempunyai sistem hitungan kalendar pada sebutan 300 tahun tambah 9, sikap orang awam dan ahli bid'ah pada membina masjid di atas kubur Ashaab al-Kahfi serta pelbagai lagi huraian tentang kepercayaan, cara berfikir dan cara menilai, menghiasi kisah ringkas tetapi kaya dan padat ini.


Ia memfokuskan kepada fitnah Aqidah yang menjadi senjata berbahaya Dajjal menyesatkan umat.


KISAH KAFIR PEMILIK DUA KEBUN DAN SAHABATNYA SEORANG MUKMIN


Kisah ini diperselisihkan Ulama sama ada ia kisah yang benar-benar berlaku atau ia sekadar tamsilan.


Namun dek kepentingan isi serta pembentangannya yang selari dengan tiga kisah lain di dalam Surah al-Kahfi, maka kita cenderung kepada pendapat Ulama' yang menerima kisah ini sebagai kisah yang benar-benar terjadi biar pun kosong dari nama watak, serta tiada kisah yang selari dengannya di dalam Israiliyyat.


Ia membetulkan cara memandang lelaki kafir yang dua kebunnya subur dengan pelbagai tanaman, mengeluarkan hasil bersilih ganti tidak berhenti-henti, hingga tidak terbayangkan semua itu ada ajalnya. Menafikan Kiamat dan cuba menyedapkan hati dengan meyakinkan diri bahawa kekayaan dunia juga adalah kekayaan Akhirat, kepercayaan lelaki kafir yang kaya raya itu dibetulkan dengan nasihat mudah tetapi mendalam rakannya yang Mukmin.


Jangan disangka semua yang berhasil itu berada di dalam genggaman tangan sendiri, justeru sebutlah Masya Allah, Laa Quwwata illaa biLlaah tatkala melihat kesuburan tanaman yang diusaha.


Betulkan cara kita menaggap kehidupan.


Jangan tertipu oleh keindahan dunia transit hingga lupa kepada hakikat destinasi sebenar yang dituju.


Kisah ini menyediakan diri seorang Mukmin pada mendepani fitnah harta kekayaan sebagai senjata penyesat manusia.


KISAH PENGEMBARAAN MUSA DAN KHAIDIR ALAYHIMA AL-SALAAM


Ada peringkat-peringkat tertentu di dalam perjalanan hidup ini, yang Allah tangguhkan hikmahnya untuk digarap oleh akal manusia yang terhad.


Menjaga diri di dalam pelukan sabar, melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat, tidak gopoh dalam mengejar faham, bersabar dan ikhlas dalam usaha mencari ilmu mengenal diri, alam dan Tuhan, kesemuanya dibentangkan dengan begitu unik di dalam kisah ini.


Ilmu yang datang bersama rahmat Allah.


Ilmu yang datang secara terpisah daripada rahmat-Nya.


Fitnah ilmu, turut menjadi lorong-lorong fitnah Dajjal menyesatkan umat.


[image error]


Sebahagian jemaah ketika hadir ke kuliah-kuliah di Surau an-Naim – Foto ihsan surau-annaim.blogspot.com


KISAH DZULQARNAIN


Luasnya kerajaan Dzulqarnain, sama luasnya dengan kupasan yang wujud di dalam legasi ilmu tentang beliau.


Cyrus atau Alexander, mana satu Dzulqarnain? Yakjuj Makjuj itu Yahudi, Cina atau Turki? Siapakah kaum-kaum yang ditemuinya di dalam tiga kembara ke Barat, Timur dan Utara? Kesemua soalan itu enak dijadikan bahan kajian, hingga kita mungkin akhirnya terlupa, bahawa paksi utama kisah ini adalah Dzulqarnain dan kuasanya.


Dzulqarnain dipaparkan sebagai contoh mithali seorang pemimpin, yang Aqidahnya benar, Pandangannya luas dan bernas. Penilaiannya adil dan mengangkat penilaian Tuhan, Dzulqarnain membentangkan watak peribadi pemimpin yang Soleh, serta watak peribadi pemimpin yang berwawasan. Dia tidak menjadikan posisinya sebagai peluang mengaut kepentingan diri, tidak memperhambakan rakyat di wilayah baru, tidak memanipulasi kemunduran jiwa dan pemikiran rakyat.


Dzulqarnain memaparkan bentuk good governance yang baik, sebagai teladan buat pemimpin yang menjunjung Taqwa.


Dzulqarnain bukan sahaja berintegriti tinggi, malah kompetensinya luar biasa.


Beliau bukan sahaja menerima pelbagai kelebihan ilmu dan kemahiran, malah lebih utama beliau itu memanfaatkan kelebihan-kelebihan tersebut, serta memelihara tatacara kerjanya seperti yang ditunjukkan di dalam kembaranya ke  daerah Utara.


Adunan besi dan tembaga sebagai pengukuh radmun (gunung binaan), tidak sama sekali mengatasi sadd (gunung 'semulajadi'), malah ketika berada di kemuncak pencapaian sains dan teknologi, Dzulqarnain memulangkan segalanya kepada Rahmat Allah, serta mengingatkan ajal segala makhluk, termasuk tembok agung yang hari sudah rebah, hingga wajah Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam menjadi merah, tatkala mimpi diperlihatkan Allah, Yakjuj dan Makjuj tidak lagi terkurung di belakang tembok, tetapi sudah menjadi sebahagian komuniti dunia.


Maka Laa Haula wa Laa Quwwata illaa Billaah!


Fitnah kuasa, juga bertindak sebagai cabang musibah Dajjal menyesatkan manusia. Wal'iyaadhabillaah!


[image error]


Sebahagian contengan nota


Semoga siri kuliah ini diberkati Allah dan lunyainya buku digantikan dengan ganjaran Mardhatillaah buat penyampai dan penerima, ameen.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Kuliah: Iktibar Dari Surah al-Burooj
Semester Dua Melabuhkan Tirainya
KEM HIJRI 1431 Melabuhkan Tirainya

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 07, 2011 08:56

March 6, 2011

Membangunkan Watak Para Bapa di Singapura

[image error]


"Program petang ini bukan program yang mudah. Kita menongkah arus" saya memberi komen kepada sukarelawan yang menjadi petugas program.


Kami bakal menjalankan Bengkel Bapa Hero, iaitu bengkel yang membicarakan tentang Fiqh Kebapaan, Psikologi Kebapaan dan seterusnya Bapa 360 Darjah yang mudah-mudahan menjurus kepada semangat sebenar di sebalik pembentukan institusi keluarga berteraskan Islam.


"Berapa ramai watak bapa yang kita temui di dalam al-Quran berbanding watak ibu? Nuh sebagai bapa. Ibrahim, Syuaib, Luqman, Zakaria, 'Imran malah junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu 'alayhi wa sallam. Ertinya, banyak teladan ditujukan secara langsung kepada para bapa" saya memulakan wacana.


Program Bengkel Bapa Hero petang itu dianjurkan oleh Unit Pembangunan Sosial Masjid Kampung Siglap (MKS) dengan kerjasama Kelab Masyarakat Tampines East. Biar pun bunyinya agak janggal, namun saya mengucapkan syabas kepada pihak penganjur atas komitmen mengusahakan juga Sunnah yang dilupakan ini. Sunnah mendidik para bapa.



Koleksi foto sepanjang jelajah saya di Singapura pada Februari 2011 yang lalu – Kredit kepada Masjid al-Mawaddah dan Saudara Adly Amin


Saya sudah mengikuti perkembangan gerakan "Good Fathering" di Singapura sejak sekian lama. Malah aktiviti kumpulan Dad's For Life juga sentiasa saya ikuti. Singapura segera maju ke hadapan mengisi keperluan ini apabila gejala sosial dan kerapuhan institusi keluarga dilihat puncanya banyak berkisar pada kelemahan watak seorang bapa di dalam sebuah keluarga.


Lemah daya kepimpinan.


Lemah membuat keputusan.


Lemah dalam komunikasi.


[image error]


Lama mengagumi usaha di Singapura, biar pun ia banyak dipelopori oleh rakan-rakan yang beragama Kristian dan Buddha. Namun akhirnya 'penantian' saya terisi apabila pihak Masjid Kampung Siglap menghubungi saya dan mengajak untuk membangunkan modul Bapa Hero untuk dibentangkan di sebuah program di seberang tambah. Saya tanpa berlengah, memberikan 100% persetujuan.


Saya sendiri baru 9 tahun berpengalaman menjadi bapa.


Namun apa yang disampaikan, bukan menilai pengalaman orang dengan pengalaman sendiri. Sebaliknya, secebis pengalaman sendiri, hanya mewakili sepotong kek persembahan yang lebih banyak diisi dengan hasil pergaulan saya dengan remaja-remaja yang merupakan hasil, mahu pun mangsa, kepada kualiti baik atau buruknya para bapa. Panduan-panduan daripada al-Quran dan al-Sunnah menjadi teras pada membina kerangka yang terbaik untuk memandu para bapa memimpin rumahtangga dan keluarga.


[image error]


Petikan www.dadsforlife.sg


PENDEKATAN ALA GERILA


"Ramai ke bapa yang datang?" tanya seorang sahabat.


"Kalau yang datang hanya seorang pun, kita teruskan juga" kata AJK program.


Memang benar. Bukan satu perkara yang mudah untuk mengajak kaum bapa hadir ke kursus. Cepat sahaja kursus itu disangka sebagai sesi untuk membetulkan mereka. Namun kita tidak boleh mengalah. Ia mesti dimulakan.


"Di Malaysia, apa yang saya cuba buat, ialah melakukan program ini ala gerila. Jika satu program khusus tidak dapat dibuat, saya sentiasa akan selitkan di mana-mana sahaja ruang saya bercakap. Di kuliah Maghrib atau di ceramah korporat, saya akan selitkan beberapa elemen khusus sebagai pesanan untuk kaum bapa. Namun saya juga berdoa, mudah-mudahan dengan hebahan Bengkel Bapa Hero di Singapura ini, masyarakat di Malaysia juga akan tergerak hati untuk meneroka serta mengembangkannya" saya berkongsi.


"Insya Allah" kami semua tersenyum.


Optimis.


Biar pun saya berdiri di hadapan para bapa yang lebih berpengalaman, apa yang lebih penting ialah, program kebapaan seperti ini menjadi medan terbaik untuk diri saya sendiri, melakukan muhasabah dan penambah baikan diri.



Terima kasih anak-anakku.


Kalianlah guru paling hiper yang pernah Abi, dan Ummi temui!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Jelajah Singapura di Serambi Februari
Percubaan Untuk Memahami Singapura
Wacana di Singapura Sabtu Ini

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 06, 2011 07:11

March 3, 2011

Projek Komik Digital Dzulqar9 – Super Sinergi Kami

[image error]


Pertemuan yang cukup bermakna.


Saudara Md Ridzal Md Yusof, bekas pensyarah IT / Multimedia di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berusaha untuk mengatur pertemuan pagi tadi. Syukur Alhamdulillah, di celah-celah komitmen dan kesibukan semua, saya bersama beliau dan isteri bertemu di Lifelong Learning Centre (3LC) kami di Bandar Sri Permaisuri.


Tujuannya hanya satu.


Bersinergi.


Saya ada idea dan cerita. Akhi Ridzal ada kepakaran di dalam bidang Multimedia dan seni kreatifnya. Kami mahu meneroka ruang kerjasama agar komik digital yang telah dihasilkan oleh Akhi Ridzal dapat dikembangkan sebagai satu cabang pendidikan yang menghiburkan, hadiah buat generasi Y dan Z semasa.



MINAT KEPADA KOMIK


[image error]


Saya tertarik dengan peranan positif yang boleh dimainkan oleh komik sebagai medium pendidikan apabila menerima jemputan daripada KOMIK-M untuk membaca dan memberikan testimoni di muka depan naskhah Misi 8A hasil karya adik Afiq Feeqry dan Nazry Feeqry. Setelah berpuas hati dengan jalan cerita, serta Bahasa Melayu standard yang diguna, saya memberikan naskhah itu kepada anak, Muhammad Saiful Islam, untuk beliau membacanya.


Ternyata, si anak yang obses dengan skrin dan sukar fokus semasa membaca buku, jatuh hati serta merta dengan komik Misi 8A dan semenjak itu, beliau terus mengumpul komik-komik di bawah siri KOMIK-M, membacanya dan bertukar sekali sekala naskhah itu bersama sepupu dan rakannya.


Komik telah berjaya memecahkan kebuntuan 'susah membaca' anak saya dan kini beliau sudah mampu membaca buku versi penuh, terutamanya buku sejarah. Antara buku terawal yang berjaya beliau baca adalah Kuasa Kepimpinan al-Fateh karangan Ustaz Syaari Ab Rahman.


 


KOMIK DIGITAL DZULQAR9


Namun minat kepada komik, hanya dalam konteks sebagai seorang bapa yang memikirkan pendidikan anak-anaknya, berubah kepada sesuatu yang lebih besar.


Akhi Ridzal yang telah menghabiskan masa selama dua tahun untuk menyiapkan sebuah komik digital bertajuk Dzulqar9 And The Secrets of Andalusia Wonders, bertemu dengan saya untuk bersumbangsaran. Menggunakan Digital Interactive Comic & Intelligence Learning Sequence (CiQUENCE) untuk membangunkan komik ini, Akhi Ridzal yang turut mendapatkan khidmat nasihat daripada beberapa ilmuan untuk membantunya dari segi fakta dan jalan cerita, mengajak saya untuk turut bekerjasama.


Komik Dzulqar9 bukan sebarang komik.


Setelah menerima geran sebanyak RM20 ribu daripada MSC Malaysia, Akhi Ridzal menyiapkan komik ini dengan penuh itqan hingga melayakkan 'anak sulung'nya ini menerima pengiktrafan Multimedia Development Corporation (MDeC). Kejayaan tersebut mendapat Pingat Emas di dalam International Technology Expo (ITEX2010) serta Pingat Emas seterusnya di dalam Innovation and Invention Award di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE2010).


Melihatkan kepada tahap kemahiran dan kesungguhan yang begitu tinggi oleh Akhi Ridzal, saya berasa terpanggil untuk turut sama menyumbang.


Menggunakan pendekatan 'inspired by' dan bukannya 'based on' ruang untuk mengembangkan cerita komik ini menjadi luas. Ia boleh dilakukan dalam bentuk yang pelbagai tanpa terikat kepada kronologi peristiwa dan fakta yang mungkin akan mengulangi masalah kejemuan membaca di kalangan anak muda, terhadap sejarah Islam.


Komik Dzulqar9 And The Secrets of Andalusia Wonder memaparkan watak seorang pelajar sekolah pintar yang amat mengagumi ketamadunan moden tetapi tidak terdedah kepada kehebatan tamadun silam yang menjadi fondisi kepada apa yang berdiri di depan mata. Kombinasi di antara komik, hero dan pengembaraan, saya melihat lautan yang luas dengan pelbagai elemen menarik yang boleh dipetik di sepanjang sejarah Islam, untuk diolah secara kreatif melalui komik ini. Namun penceritaan juga seperti biasa, tidak boleh statik dan mendatar tanpa unsur-unsur saspen serta kejutan. Justeru, serba sedikit maklumat dan pengetahuan saya, terasa amat berfaedah untuk dimanfaatkan oleh siri komik Dzulqar9 ini.


Saya juga merasakan bahawa komik ini mesti mendukung 'centralized idea' yang menjadi kerangka keseluruhan komik sebagai proses Islamisasi pandangan hidup dan nilai para remaja kita, agar kehebatan Tamadun Islam tidak dihayati secara kosong, sebaliknya berpijak di bumi nyata dengan konsep Syariatullah dan Sunnatullah yang sejak sekian lama dikempen sebagai penyembuh kepada paradigma sekular yang melemahkan umat.


[image error]


Bakat dan komitmen luar biasa Akhi Ridzal, seperti biasa berhadapan dengan kekangan dana.


DANA SEBAGAI MODAL PEMBANGUNAN


Namun, kekangan itu mesti dilihat sebagai cabaran yang wajib disahut dengan usaha keras dan bukannya mengalah sebelum kaki melangkah. Semoga dipermudahkan Allah.


Komik Dzulqar9 And The Secrets of Andalusia Wonder Insya Allah akan boleh dinikmati secara percuma pada jangkaan masa April akan datang, bersama diskusi interaktif di blog yang sedang dibangunkan.


Sinergi… sentiasa mengundang kebaikan dan barakah-Nya.


Ameen.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG




Related posts:Sinergi Keluarga Bahagia: Seminar 3K
Sinergi Keluarga Bahagia di Bukit Jelutong
Maaf Atas Pembatalan… Doakan Kami

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 03, 2011 07:33