Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 92

August 31, 2011

Menghebatkan Tafsiran Sebuah Kehidupan

[image error]


Sejauh manakah seorang insan yang hebat dipengaruhi oleh kehadiran insan hebat yang lain dalam hidupnya?


Panjang saya dan sahabat cuba mencari jawapan.


Beliau cenderung membuktikan kebenaran kata-kata itu.


Saya pula mahu membuktikan kebenaran kata-kata itu hanya sampingan.



Manusia mempunyai keupayaan memilih.


Memilih sama ada untuk dibentuk oleh persekitaran, atau memilih untuk menjadi apa atau siapa yang sepatutnya.


Mungkin agak ganjil bunyinya, tetapi pengaruh Abah ke atas diri saya lebih besar daripada apa yang Abah sendiri mahukan. Jika Abah seorang yang hebat, kehebatan Abah akan hilang ditelan perjalanan masa dan dilupakan begitu sahaja.


Tetapi Abah kekal hebat di dalam diri saya kerana kehebatan saya menafsirkan semua yang saya ingat tentang Abah. Saya membuka diri untuk dipengaruhi oleh Abah, caranya adalah dengan menafsirkan kenangan bersama Abah dengan sehebat-hebat Tafsiran.


Abah sepertinya tidak akan meninggalkan apa-apa pengaruh ke atas diri saya, sehinggalah saya membuka diri untuk dipengaruhinya. Pengaruh Abah ke atas diri saya adalah pilihan saya.


Apa-apa kekurangan Abah saya tafsirkan ia sebagai sempadan.


Segala kelebihan Abah saya tafsirkan ia sebagai teladan.


Justeru perjuangan saya di bidang latihan, bukan untuk mengubah Abah sesiapa. Perjuangan saya adalah untuk mengubah pandangan hidup sahabat-sahabat yang dikasihi tentang Abah mereka, emak mereka, kehidupan mereka, dengan sehebat-hebat tafsiran sebuah kehidupan.


Sesungguhnya ia bukan klise.


Kita tidak berkudrat menentukan arah angin bertiup. Tetapi kita diberi kudrat untuk membetulkan layar perjalanan.


Rizal rindukan Abah!




Related posts:Memaknakan Sebuah Kehidupan
Membuka Sebuah Lagi Pintu Kehidupan
Ihsan Dalam Sebuah Kehidupan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 31, 2011 03:43

August 29, 2011

Apa Selepas Ampun dan Maaf?

[image error]


Rizal minta ampun dan maaf sebab tak dapat selalu balik menjenguk emak.


Rizal minta ampun dan maaf sebab tak dapat selalu menjaga emak.


Rizal minta ampun dan maaf kalau ada tutur kata Rizal yang menyinggung hati emak.



Emak kata emak ampunkan. Emak maafkan.


Moga Allah juga ampunkan Rizal. Maafkan Rizal.


Tetapi macam mana nak buat supaya keadaan ini boleh diperbaiki?


Susahnya perjuangan menjadi anak soleh di akhir zaman.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

31650 IPOH




Related posts:Maaf Atas Pembatalan… Doakan Kami
Syawwal Pertama Tanpa Dia
Maaf Saya Tidak Suka Buku Ustaz!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 29, 2011 19:54

August 28, 2011

Warna-warni Menjelang Aidilfitri 1432H

[image error]


Tahun ini kehidupan kami sekeluarga melambung-lambung antara lonjakan ke atas dan dentuman jatuh ke bawah.


Allah menyelang-nyelikan antara ujian yang datang dalam bentuk kesenangan, dan ujian yang datang dalam bentuk kesusahan.


Semuanya bagai helaian mengkuang, menanti corak yang bagaimana ingin kami sulam sebagai tikar hamparan kehidupan.


Mengambil kedua-duanya, sebagai jalan kebaikan, dan menafsirkannya dengan tafsiran yang mendekatkan diri kepada Tuhan, atau menjadikan kesusahan kesenangan sebagai kerosakan iman yang membinasakan, Naudhubillahi min dzalik.



Sudah semestinya, di peringkat peribadi, pencapaian paling signifikan buat diri saya ialah kejayaan memperbaiki kesihatan tubuh dan mengurangkan berat badan. Penurunan berat badan melebihi 30kg mengajar saya sesuatu yang amat besar.


Sesungguhnya spiritualiti (S) diri adalah sumber kekuatan terbesar untuk memperbaiki fizikal (P- Physical).


P pula sangat mempengaruhi kesihatan S.


Dengan tubuh yang lebih sihat dan mematuhi hukum Penciptanya, emosi, intelektual dan spiritual, semuanya dapat diseimbangkan.


Ia menjadi kekuatan besar untuk saya bangkit daripada kemurungan di persimpangan kematian awal tahun ini. Tindakan drastik kami sekeluarga menjual rumah, kerana mahu meninggalkan Malaysia beberapa tahun demi menyelamatkan survival nyawa saya, dipintas oleh Allah dengan ketentuan yang berbeza.


Plan itu berjaya dipadam.


Jihad bisnes bersama STC yang tumbang di era kemurungan saya berjaya dilonjakkan ke fasa baru dengan pasukan yang bersemangat baru, dengan ilmu, kemahiran dan wawasan baru.


Daripada nomad tanpa rumah, kepada rezeki berpindah ke rumah baru dengan persekitaran baru.


Semuanya menyuntik rasa syukur yang sebanyak-banyaknya kepada Allah, Tuhan yang Maha Prihatin dan Maha Baik itu.


ISTERI TERCINTA


Demikian juga dengan isteri saya.


Kegagalan kali pertama di dalam peperiksaan akhir program Clinical Masters diterima dengan pasrah. Ia memang kegagalan yang perlu. Kegagalan untuk tidak membenarkan beliau melangkah meninggalkan alam MO ke Doktor Pakar dengan ilmu dan kemahiran ala kadar. Isteri saya dikurung oleh Allah Subhanahu wa Taala untuk tambahan 6 bulan yang besar dalam kehidupan.


Bukan sahaja berusaha keras memperbaiki ilmu pengetahuan, kemahiran klinikal dan kebijaksanaan urus tadbir jabatan, isteri saya juga mengambil 6 bulan itu sebagai tempoh muhasabah untuk menyediakan jiwa seorang hamba Allah yang kekal hamba. Bukan mudah untuk menjadi doktor pakar tetapi masih merendah diri, empati kepada kakitangan bawahan, tidak lupa bahawa kepakarannya lebih kecil daripada sebilah jarum yang jatuh ke lautan ilmu Allah.


"… dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui" [Yusuf 12: 76]


Muhasabah hubungannya dengan Allah.


Muhasabah hubungannya dengan keluarga.


Muhasabah yang menyeluruh, agar suatu hari nanti Dr. Nazhatul Muna Ahmad Nasarudin bukan sekadar seorang lagi doktor pakar, tetapi doktor pakar yang pakar dalam mengendalikan kehambaannya kepada Allah.


6 bulan ditempuh dengan sabar.


Saya sebagai suami terus setia memberi sokongan dan dorongan.


Peperiksaan diduduki buat kali keduanya.


Soalan teori dijawab jauh lebih baik daripada percubaan pertama tempoh hari.


Demikian juga aspek klinikal.


Keputusan yang diterima amat menyedihkan.


Isteri saya gagal sekali lagi kerana kekurangan markah kurang 1% untuk lulus.


Selepas hampir 6 tahun bertahan, semangat saya patah seketika. Ketika isteri seperti 'lumpuh' tidak memberi reaksi kepada kegagalan kali ini, saya menangis. Bukan keletihan, tetapi sedih melihat wajah anak-anak yang semenjak hari pertama lahir, membesar di dalam program Clinical Masters. Terkenang, ia bukan sesuatu yang mudah. Ada rumahtangga yang berantakan, ada ibu mengandung yang keguguran, program tersebut bukan sebarangan.


Bukan mudah untuk melahirkan seorang doktor pakar.


Biar pun bagi sesetengah yang 'bertuah', terasa bahawa baca sahajalah buku, belajar betul-betul, luluslah nanti!


Namun segala keperitan menerima berita itu, dan adjustment saya terhadap jemputan ceramah, perancangan bisnes dan lonjakan-lonjakan aktiviti yang terpaksa terus diperlahankan demi memberi laluan kepada 6 bulan lagi tambahan belajar, berakhir dengan berita baik. Semakan semula mendapati beliau lulus dengan kelayakan yang cukup. Surat senat diterima pada minggu terakhir Ramadan mengesahkan secara rasmi, perjuangan di dalam program Clinical Masters di dalam Perubatan Kecemasan berakhir dengan kejayaan.


Alhamdulillah.


'Ummi' balik, wahai anak-anakku.


Isteriku pulang, wahai sang suami itu.


SYNERGY TRAINING & CONSULTING


Saya juga sudah belajar daripada pengalaman silam. Biar pun Ramadan menjadi impian ramai orang seperti saya untuk berehat dan menumpukan diri kepada 'aktiviti mengasah mata gergaji peribadi', saya perlu berkorban. Sepanjang Ramadan, saya bekerja keras terutama di sebelah siang, bagi memastikan Synergy Training & Consulting yang sedang bangkit, terus maju. Sebagaimana tanggungjawab saya kepada isteri dan anak-anak, saya juga mengambil tanggungjawab sebagai majikan kepada dua kakitangan dengan sepenuh hati.


Keletihannya bukan sebarangan.


1 Ramadan, saya sudah kemalangan jalanraya.


Kereta unta merah saya remuk dan masih terbengkalai di bengkel hingga ke hari ini.


Syukur saya tidak cedera.


Keperitan itu diredakan dengan bantuan insan-insan berhati mulia yang banyak membantu saya.


Biar pun terasa bersalah kerana kereta yang dipinjamkannya kepada saya mencatat mileage 6000 kilometer dalam tempoh 3 minggu, saya berdoa kepada Allah agar setiap kilometer itu menghampirkan diri saya dan tuan punya kereta ke Syurga Allah.


Semoga STC terus maju.


Saya bangga dengan keluarga saya.


Saya juga bangga dengan STC.


Buat anak-anakku, berita baiknya ialah, "DIET ABI SUDAH BERAKHIR!!!"


Dan kepada seluruh pengunjung setia blog Saifulislam.Com, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin, Taqabbalallaahu Minna wa Minkum Ajma'een.


Salam ukhuwwah.


HASRIZAL ABDUL JAMIL

31650 IPOH




Related posts:Memaknakan Kemerdekaan Sebenar – Radio IKIM di Aidilfitri
Berlalunya Empat Puluh Hari
Catatan Sunyi di Pagi Aidilfitri 1428H

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 28, 2011 19:06

Memaknakan Kemerdekaan Sebenar – Radio IKIM di Aidilfitri

[image error]


Pagi ini merupakan pagi terakhir saya bersiaran untuk slot Motivasi Pagi versi Ramadan di Radio IKIM.fm.


Insha Allah saya akan memperkatakan tentang ISTIQAMAH PASCA RAMADAN.


Tafsiran kepada Surah Hud ayat 112 – 114 akan menjadi terasnya.



Namun pada malam ini Insha Allah saya akan bersiaran semula di dalam slot lain.


Sejurus selepas Takbir Raya disiarkan, Insya Allah Slot Motivasi Syawwal akan memberi laluan kepada saya untuk membicarakan tentang muhasabah Ramadan dan paradigma Syawwal. 10 minit bersiaran, saya cuba mengupas secara santai erti Aidilfitri, bagaimana mengisinya, agar Hari Raya istimewa pengganti perayaan Yahudi dan Nasrani di Madinah suatu ketika dulu, tidak muncul dalam bentuk yang kembali meniru cara Yahudi dan Nasrani bergembira.


Ia hari meraikan kemerdekaan.


Merdeka daripada penjajahan kuasa asing.


Merdeka daripada penjajahan kuasa tempatan.


Sesiapa sahaja yang merampas kemerdekaan diri adalah penjajah. Sama ada ia British, Jepun atau tentera Amerika, mahu pun Syaitan, dan kehendak hawa nafsu sendiri.


Penjajah itu mungkin bangsa masing, mungkin bangsa sendiri, malah mungkin pihak yang terhampir kepada diri, iaitu diri kita sendiri.


31 Ogos hanya kekal bermakna apabila kemerdekaan daripada kuasa asing itu menganugerahkan kemerdekaan diri kepada anak watan.


1 Syawwal hanya benar-benar bermakna apabila kita sebagai manusia berjaya melepaskan diri daripada kehendak Syaitan, dan kehendak diri sendiri.


Merdeka agar bebas.


Namun kita perlu merdeka bukan untuk bebas melaksanakan kehendak diri sendiri. Kita memperjuangkan kemerdekaan agar bebas melaksanakan kehendak Tuhan.


Kehendak Tuhan yang dianut sebagai kehendak diri.


Aplikasi 'DEGREE OF FREEDOM' yang sering dilupakan, di sebalik sebuah kebebasan hasil kemerdekaan.


Ketemu di udara pada malam Raya di Radio IKIM.fm, dan beberapa kapsul Syawwal di hari-hari berikutnya. Insha Allah.


Terima kasih DJ Faiz dan rakan-rakan di IKIM.FM atas peluang yang diberi.


Selamat Hari Raya Aidilfitri,

Kullu 'aam wa antum bi alf al-Khair

Taqabbalallaahu minna wa minkum ajma'een.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

31650 IPOH




Related posts:Khutbah: Kemerdekaan Diri di Aidilfitri
Motivasi Pagi Ramadan di Radio IKIM.FM
Catatan Sunyi di Pagi Aidilfitri 1428H

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 28, 2011 14:04

Kerana Ia Hanya Sebulan

[image error]


"Kalau boleh, biarlah Ramadan sepanjang tahun" kata sebahagian kita.


Golongan yang benar-benar merasakan kemanisan hidup beramal di bulan Ramadan.


Namun Allah jua yang Maha Mengetahui, betapa Ramadan itu sebenarnya menjadi benar-benar berharga kerana ia hanya sebulan dalam setahun.



Kerana Dia jua Maha Mengetahui betapa manusia sangat mudah mensesiakan apa yang banyak, mudah, ada di mana-mana dan bila-bila masa, terutamanya 'nikmat biasa-biasa' di bulan-bulan biasa selain Ramadan.


Seperti lemang yang bukan lagi hidangan istimewa Raya.


Seperti durian yang sudah tidak lagi bermusim.


Sedangkan peperiksaan sentiasa mencemaskan, kerana ia tidak pernah dilakukan tanpa ketentuan tempoh masa.


Oh, sungguh pemergian Ramadan kali ini dengan 1001 cerita, suka duka dan catatan peristiwanya, benar-benar menimbulkan kesayuan di hati.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

31650 IPOH




Related posts:Kerana Aku Seperti Air
Saya Bukan Bapa Mithali, Hanya Realiti
Motivasi Pagi Ramadan di Radio IKIM.FM

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 28, 2011 06:16

August 26, 2011

Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2011

[image error]


Alhamdulillah.


Tahun ini, dua buku saya terpilih ke peringkat akhir pertandingan Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2011.


Murabbi Cinta.


Secangkir Teh Pengubat Letih.


Kedua-dua buku tersebut bakal berentap dengan satu senarai panjang buku terlaris di rangkaian kedai buku Popular, menerusi undian yang dilakukan melalui akhbar Berita Harian.



Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2011

Oleh Hafizah Iszahanid

hafiza@bharian.com.my

2011/05/23

BUKU laris di pasaran kategori fiksyen dan bukan fiksyen di rangkaian Kedai Buku Popular seluruh Malaysia bakal berentap sesama sendiri bagi menggondol carta buku popular menerusi Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2011. 


Penganjuran anugerah ini adalah bersempena Pesta Buku POPULAR, Bookfest@ Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada minggu terakhir Ramadan dan menginjak hingga berakhirnya minggu pertama Aidilfitri, 27 Ogos hingga 4 September 2011.


Tarikh yang dipilih adalah sebahagian daripada cara POPULAR menyambut bulan mulia, Ramadan dan Syawal, dengan 10 peratus daripada jualan buku kategori agama, motivasi dan masakan bersempena kempen terbabit akan disumbangkan kepada lima rumah anak yatim.


Sepuluh buku fiksyen yang akan berentap bagi merebut carta buku popular dalam Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2011 adalah berdasarkan statistik jualan sepanjang 2010. 


Sepuluh buku itu ialah Lafazkan Kalimah Cintamu (Siti Rosmizah), 2×5 (Areila Sahimi), Cinta Sufi (Ramlee Awang Murshid), Cinta 3 Suku (Herna Diana), Pergilah Air Mata (Hanni Ramsul), Masih Setia (Aisya Sofea), Coke & Sundae (Ilya Abdullah), Sepupuku Suamiku (Lynn Allyna), Saat Kau Kata Cinta (Anis Ayuni) dan Bukan Tak Sudi (Mimie Affinie).


Pembaca boleh memulakan undian untuk setiap buku kegemaran mereka menerusi undian yang akan bermula pada 3 Jun hingga 17 Julai ini dengan menggunakan borang undian dalam laman Sastera, Dunia Buku yang terbit setiap Jumaat, selain boleh mendapatkan borang undian di semua 64 Rangkaian Kedai Buku Popular di seluruh negara. 


Bagi kategori bukan fiksyen pula, 10 yang bertanding ialah Agenda Yahudi Menakluk Dunia (Sabaruddin Hussein), Menyangkal Kiamat (Mohd Nizam), 10 Terminal Syurga Rumah Tangga (Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood), Jejak Bisnes Rasul (Alzuddinur Zakri & Mohd Sulaiman), Murabbi Cinta (Hasrizal Abdul Jamil), Nasib Melayu Di Bumi Melayu (Dr Ridhuan Tee), Mengemudi Bahtera Perubahan Minda (Dr Mohd Asri Zainul Abidin), Secangkir Teh Pengubat Letih (Hasrizal Abdul Jamil), Berbunga Cinta Aisyah Di Hati Rasulullah (Zamri Mohamad & Imran Yusof) dan Indahnya Amalan Doa (Datuk Ismail Kamus). 

Turut memeriahkan lagi Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2011 ialah pembaca berpeluang menikmati potongan harga 20 peratus bagi pembelian buku yang disenaraikan untuk anugerah ini, bermula 3 Jun sehingga 2 Oktober. 


Potongan harga 10 peratus juga diberikan kepada buku pilihan daripada kategori agama, motivasi dan masakan sempena Ramadan@Popular bermula 3 Jun dan berakhir pada 14 Ogos ini. 


SUMBER: BERITA HARIAN


Majlis bakal berlangsung esok (Sabtu 27 Ogos jam 10 pagi) di Kuala Lumpur Convention Centre.


Ayuh, bagi sesiapa yang berminat dan berkelapangan. Menang atau kalah tidak penting, apa yang utama adalah kita bersama memartabatkan industri buku dan budaya membaca negara.


Bukankah kita sudah 54 tahun merdeka?


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 BSP




Related posts:Anugerah Pilihan Pembaca Popular – Berita Harian 2010
STC, ForTeen dan MBI di Berita Harian
Menghargai Pembaca Blog di Telefon Pintar

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 26, 2011 01:14

August 25, 2011

Merasa Enak Dengan Sebuah Kepahitan

[image error]


"Ustaz, saya nak tanya satu perkara, boleh?" tanya Ahmad.


"Pernahkah tidak boleh?" saya menjawab dalam nada mengusik.


"Bagaimana jika kita berkahwin dengan seorang perempuan, tetapi perempuan itu memang 'tak ngam' dengan kita. Macam mana, ekk?" beliau melontarkan soalannya.


Wajahnya serius.


Benar-benar menantikan jawapan saya.


"Berat soalan anta, akhi. Berat!" saya membalas.



Kereta masih meluncur laju.


"Kita dah cuba macam-macam. Tapi memang tak ngam" tambah Ahmad lagi.


Hening petang itu meninggalkan kami dalam sepi.


Kereta berpusu-pusa mengejar pulang.


Kepala saya juga ligat berfikir.


Teringat tiga buku best seller yang sudah ditulis. Teringat kepada 1001 petikan kata di dalamnya. Seperti semua persoalan ada jawapan.


"Tidaklah begitu penting untuk kamu mengahwini perempuan yang kamu cintai. Apa yang lebih penting ialah mencintai perempuan yang kamu kahwini"


Oh, mahu sahaja saya jawab soalan Ahmad dengan kata-kata itu.


Namun entah mengapa, saya sendiri terasa seperti bukan itu jawapannya.


"Jika anta berada di dalam situasi itu, apakah yang mungkin anta lakukan?" saya bertanya.


Seperti seorang 'coach' yang menjawab soalan dengan soalan.


"Saya tak tahu, ustaz. Sebab itu saya tanya ustaz" jawab anak muda itu.


Tenang.


Soalan-soalannya tentang rumahtangga dan perkahwinan sesekali menimbulkan rasa sayu di dalam hati saya. Alangkah bagusnya jika semasa saya di usia beliau, saya punya seseoang yang saya percayai untuk meminta nasihat dan panduan.


Tetapi saya sudah tidak punya bapa.


Ibu pula jauh di kampung halaman.


Abang-abang pun jauh semua.


Teman-teman pun dua kali lima sahaja 'kebingungan' mereka dengan saya. Malah selalunya topik kahwin-kahwin ini, akan berakhir dengan ketawa dan gurau senda.


Bagaimana saya masuk ke gerbang perkahwinan?


Apa bekalannya?


Adakah saya mengahwini perempuan yang 'ngam dengan saya'?


"Akhi, pertamanya, kita sama-sama mengurangkan kebarangkalian soalan itu dengan segala pencegahan yang termampu. Sebelum berkahwin lagi. Soal latar belakang agama, pendidikan, keluarga, adat budaya, hatta fahaman politik, semua tu kena ambil kira semasa hendak membuat keputusan melamar" saya cuba berkongsi pendapat.


Ahmad tekun mendengar.


Biar pun rasa saya soalan ini bukanlah untuk praktikal segera.


Ahmad masih muda. Belum ada desakan besar untuk segera berumahtangga. Cuma dia rajin bertanya kepada saya soalan-soalan sebegini. Mungkin untuk dia membuat persiapan intelektual dan emosional tatkala menyambut fasa umur berumahtangga.


"Perempuan yang ngam itu jarang plug and play. Maksud ana, jarang yang sudah tersedia ngam dan boleh berkongsi bahagia" saya menyambung.


"Kitalah yang kena mengusahakannya. Usaha bukan sekali dua, setahun dua. Selagi masih bernyawa, dan usaha membabitkan carian manfaat tanpa cetusan mudarat, maka teruskan usaha" saya menambah.


"Tanpa cetusan mudarat?" Ahmad terkejut.


"Maksud ana, selagi belum membabitkan physical abuse, menyakiti anak-anak dan yang seumpama dengannya, maka usaha mesti berterusan. Andai sudah sampai kepada kemudaratan yang nyata maka barulah sampai ke peringkat dar'u al-mafasid muqaddam 'ala jalb al-masalih. Menolak kemudaratan adalah lebih penting daripada mendapatkan manfaat" saya cuba meredakan kusut fikiran Ahmad.


"Maknanya, jika gagal juga atau sudah masuk ke peringkat physical abuse, kita bercerai?" tanya Ahmad.


"Anta ni nak ana tulis buku Aku Ceraikan Dikau ke?" saya menyoal.


Kami ketawa.


"Talaq bukan maksiat. Ia dibenarkan oleh Islam sebagai jalan keluar. Hanya perlu beringat agar menggunakannya sebagai solusi akhir" saya menjawab soalan Ahmad itu tadi.


Beliau termenung.


Apabila tangan mula mendagu, tandanya dia sedang termenung jauh.


Apabila rumahtangga itu ibadah, tentu sahaja solat ada petunjuknya.


Semasa solat, khusyuk kita sering entah ke mana. Cinta kepada Allah lebih mudah menyebut daripada merasanya. Malah kita mungkin selesa berpura-pura kerana tidak dapat merasakan cinta kepada Allah itu terlalu buruk bunyinya.


Namun mengapa kita terus bersolat?


Mengapa diteruskan juga rutin yang hati kita tidak hadir itu?


Sepanjang hayat!


Kekuatan itu datang daripada sebuah SEPATUTNYA.


Bahawa itulah yang sepatutnya.


Cinta kepada Allah bukan mahu atau tidak mahu, ngam atau tidak ngam, ia adalah sebuah SEPATUTNYA yang paling besar dalam hidup ini.


Pinjamlah sedikit daripada kekuatan itu.


Sabar dalam mengendalikan perkahwinan, jika sudah kehabisan sebab untuk sabar, peganglah sabar yang terakhir itu.


Sabar Lillaah, sabar semata-mata kerana Allah.


"Selamat berfikir ya akhi. Perkahwinan itu enaknya bukan selalu dalam kemanisan. Sedap manis yang keterlaluan boleh memudaratkan. Kena imbangkan dengan enak daripada sebuah kepahitan. Belajarlah makan sayur sikit. Dalam sawi yang pahit itu ada kebaikan" saya bergurau.


"Apa kena mengenanya, ustaz?" tanya beliau.


Kebingungan.


"Keupayaan merasa enak dengan sebuah kepahitan, adalah petanda kita semakin matang. Sudah dewasa" saya membuat rumusan.


Ahmad termenung.


Selamat menuju dewasa, Ahmad dan rakan-rakannya.


Saya yang di sini, sentiasa ada dengan doa dan nasihat.


Semata-mata kerana Dia.


Kerana Allah.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 BSP




Related posts:Kurus Atau Gemuk, Bertandinglah Dengan Diri Sendiri
Pulang Dengan Debu Seribu Makna
Menolak Zina Dengan Mujahadah, Bukan Karamah!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 25, 2011 18:11

August 24, 2011

Silap Mata di Ramadan Kita

[image error]


"Saya sudah masuk khatam ketiga untuk Ramadan" kata Hamid.


Semangat.


Khatam al-Quran tiga kali di bulan Ramadan bukan sebarangan. Satu pencapaian yang amat membanggakan.


"Ana masuk geng lapan. Bukan menyalahkan 20, tetapi lapan rakaat rasanya lebih dekat dengan Sunnah" kata Nawi.


Seronok berbual.


Jam di dinding kedai mamak menunjukkan pukul 10:30 malam.



Seronok mendengarnya. Insha Allah dengan keikhlasan hati, tentu sahaja semua itu diganjari.


Baca al-Quran, bacalah macam mana pun, tetap kebaikan dan berpahala. Baca lancar, baca gagap, baca banyak, baca sedikit, semuanya ibadah. Semuanya mulia.


Cuma bab khatam tiga kali itu yang musykilnya.


Al-Quran ada 30 juzuk. Kita bentuk 10 kumpulan dan agihkan setiap kumpulan agar menghabiskan 3 juzuk dalam tempoh seminggu!


Insya Allah ia bermanfaat, berpahala. Tetapi tanyalah hati sendiri, adakah kita benar-benar percaya yang kita telah khatam al-Quran, semasa 27 juzuk lagi dibaca oleh orang lain? Kita tidak membacanya, dan tidak juga mendengar bacaannya. Bagaimana amalan orang lain yang tiada kena mengena dengan kita boleh menjadi amalan kita?



وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ


Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya sendiri; [Al-Najm 53:39]


Sama juga dengan Tarawih kita itu tadi.


Masing-masing mahu mendakwa kaifiat pilihannya adalah yang paling Sunnah ketika mana 8 hatta 20 rakaat kita, tidak sama dengan kualiti dan kuantiti 1 rakaat Tarawih Rasulullah SAW.


Ikhlaskan hati.


Biar ibadah itu wasilah kita bertaqarrub kepada-Nya.


Bukan pertandingan bermain silap mata di hadapan Tuhan.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 BSP




Related posts:Kita Dapat Apa Yang Kita Beri
Sebelum Mata Dipejam
Aidilfitri: Meraikan Islamnya Kita

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 24, 2011 17:47

August 16, 2011

Ironi Hari Nuzul al-Quran 2011

[image error]


"Ustaz, Al-Quran sebenarnya turun berapa hari bulan?" tanya seorang penghantar emel.


"Kami puas berbslah tentang tarikh sebenar Nuzul al-Quran" kata seorang yang lain pula.


Hairan.


Semasa saya belajar subjek Ulum al-Quran dahulu, kita diberitahu bahawa al-Quran turun secara berperingkat. Ada kata satu. Ada kata dua, ada kata tiga. Ramainya berpendapat satu atau dua. Tarikhnya pun diperselisihkan ulamak sama seperti banyak isu tarikh yang lain, sebagai menunjukkan kepada kita persoalan tarikh tidak pernah menjadi agenda penting generasi Islam yang awal kecuali dalam beberapa perkara yang asas sahaja.


Apatah lagi mahu membayangkannya sebagai punca berbalah.


Sungguh tidak masuk akal.


Biarlah tarikh mana pun ia, asalkan tujuan penurunan al-Quran itu ditunaikan. Al-Quran dimuliakan sebagai rujukan kehidupan si hidup, bukan bekalan kematian si mati.


"Pelik sungguh orang Selangor. Al-Quran diturunkan sebagai galakan kepada manusia bekerja. Tetapi sempena turunnya al-Quran, orang Selangor bercuti kerja pula!" rungut orang Kuala Lumpur dan Putrajaya di pagi hari dalam kereta masing-masing.


Saya hanya mampu tersenyum.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 BSP




Related posts:Dzulqarnain (i): Memperincikan Biodatanya Bukan Kehendak al-Quran
Kem Sinergi Remaja Islam 2011 Melabuhkan Tirai
Siapa di Sebalik al-Quran Itu?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 16, 2011 22:18

August 14, 2011

Motivasi Pagi Ramadan di Radio IKIM.FM

[image error]


Alhamdulillah.


Terima kasih kepada DJ Erwan, DJ Pyan Saujana juga DJ Siti serta pihak Radio IKIM.FM.


Sekali lagi saya diberi peluang berkongsi wacana di segmen Motivasi Pagi, selepas sebulan bersiaran pada Julai 2010 yang lalu. Kali ini, bertemakan Ramadan, saya diberi peluang mengisi 9 slot yang akan ke udara setiap pagi Isnin hingga Khamis jam 7:30 pagi. Siaran ulangannya pula seperti biasa ialah sejurus selepas azan Maghrib pada hari yang sama.



Saya telah pun selesai merakamkan kesemua slot tersebut pagi tadi di Studio.


Agar mencabar merakamkan 9 episod sekali gus di bulan Ramadan.


Namun demi membuktikan bahawa Allah itu Maha Benar dan berdustalah Habib Bourghiba, saya sahut cabaran itu.


Insya Allah kesembilan-sembilan episod itu akan dipecahkan kepada segmen-segmen berikut:


1. Ramadan: Beragama Jangan Tidak Bertuhan

2. Buktikan Habib Bourghiba Salah

3. Puasa itu Input, Proses atau Output

4. Taqwa: Matlamat Sebuah Proses Bernama Puasa

5. Transformasi Ramadan: Perubahan P,I,E Berpaksikan S

6. Ramadan: Sebuah Transformasi Fizikal

7. Ramadan: Sebuah Transformasi Intelektual

8. Ramadan: Sebuah Transformasi Emosional

9. Istiqamah Pasca Ramadan


Semoga bermanfaat buat semua.


Siaran pertama Insya Allah bermula pada pagi Isnin 15 Ramadan 1432 bersamaan 15 Ogos 2011, jam 7:30 pagi.


Salam ukhuwwah


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 BSP




Related posts:Motivasi Pagi MHI TV3: Erti Hidup Pada Memberi
Motivasi Pagi -5- : Puasa Menjana Manusia Efektif
Motivasi Pagi -1-: Menghargai Sebuah Kehidupan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 14, 2011 07:11